Wednesday, December 21, 2011

Ada Di Hati - Bab 39


BAB TIGA PULUH SEMBILAN
            Aku bergegas turun ke bawah. Sudah pasti Hafiz sudah lama menungguku. Jam di tangan aku kerling sebentar. 6.15 petang, aku sudah terlewat 45 minit dari janjiku padanya semalam. Lif yang aku naiki terasa perlahan sahaja nombornya bergerak turun. Aku sudah semakin resah. Aku tidak suka membuatkan orang menungguku seperti mana aku tidak suka menunggu orang lain terlalu lama. Lif itu berhenti di beberapa tingkat terlebih dahulu untuk mengambil penumpang yang lain sebelum ia sampai ke tingkat G.
            Sebaik sahaja butang G bernyala dan pintu lif terbuka luas, aku segera menyusup keluar dari lif itu dan bergerak ke bahagian lobi untuk mencari Hafiz. Selalunya jika dia tiba awal dia akan menunggu di lobi terlebih dahulu. Begitulah seperti apa yang kami janjikan selalu jika dia menjemputku pulang dari pejabat.
            Aku terus menuju ke meja reception bangunan apabila ternampak Hafiz sedang berbual dengan Pak Kasim yang merupakan pengawal keselamatan di bangunan ini. Rancak sungguh nampaknya mereka berbual, dan kelihatan Hafiz sekali sekala tersenyum senang. Melihat senyumannya itu aku menarik nafas lega seketika. Setidak-tidaknya aku tahu dia tidak mungkin dalam keadaan marah. Jika dia dalam keadaan marah, tidak mungkin dia boleh tersenyum selebar itu dengan Pak Kasim.
            “Hah tu pun anak dara dah sampai.” Kata Pak Kasim sewaktu dia berpaling dan melihat aku yang hanya lagi beberapa langkah untuk menghampiri mereka.
             Aku hanya tersenyum mendengar kata-katanya itu. Hafiz juga turut berpaling memandangku apabila suara Pak Kasim begitu lantang mengumumkan ketibaanku. Senyuman yang Hafiz lemparkan aku balas segera. Aku tidak mahu dia memarahiku atas kelewatanku. Aku seringkali terlewat jika aku sudah berjanji dengannya. Namun itu semua bukan aku sengajakan, aku benar-benar tidak sengaja. Aku terlalu khusyuk menyiapkan kerja yang Mona serahkan padaku semalam sehingga aku lupa yang aku telah berjanji untuk keluar menemaninya petang ini.
            “Kenapa lambat Safi, penat buah hati Safi ni tunggu hah.”
            Langsung aku memandang wajah Pak Kasim sewaktu perkataan ‘buah hati’ itu keluar dari bibirnya. Aduh, inilah satu-satunya perkara yang aku tidak suka pada Pak Kasim, jika dia mahu bercakap ikut sedap mulutnya sahaja. Mengalahkan orang perempuan pula lagaknya.
            “Memandai jelah Pak Kasim ni.” Segera aku menamatkan perbualan yang aku tahu akan dipanjangkan oleh Pak Kasim jika aku terus membiarkannya.
            Pak Kasim ketawa kuat dan Hafiz pula masih dengan senyumannya. Kali ini senyumannya itu lebih lebar dari tadi. Aku sudah malas mahu berbual tentang isu yang sering Pak Kasim ungkitkan jika dia menemui Hafiz di lobi ini. Dan Hafiz ini pun satu entah kenapa suka sangat melayan Pak Kasim tak tentu pasal.
            Aku memandang sekeliling lobi cuba mencari sesuatu agar Pak Kasim menghentikan tawanya. Dan aku tersenyum selepas idea masuk ke dalam mindaku. “Pak Kasim tu Mak Embung panggil.” Aku tersenyum nakal.
            “Mana?” Terus sahaja mata Pak Kasim meliar di setiap rungan lobi.
            “Ada tu hah kat lif ketiga tu.” Aku berlagak serius.
            “Okaylah Pak Kasim pergi dulu ye.” Terus sahaja lelaki lewat 50an itu pergi mendapatkan Mak Embung.
            Ingin meletus tawaku, namun aku simpan sahaja tawaku itu agar tidak pecah.
            “Amboi, nakal dia ek.”
            Aku terus memandang Hafiz dan mengangkatkan kening padanya. Aku benar-benar tidak faham dengan maksud kata-katanya itu.
            “Safi saja je kan tipu kata Mak Embung panggil Pak Kasim.”
            “Heh memang betullah Mak Embung panggil Pak Kasim.” Alamak aku sudah hampir kehilangan kata-kata. Dia sudah tahukah niatku yang sebenarnya?
            “Eleh, jangan nak tipu saya tak nampak pun Mak Embung kat situ. Pandai nak mengelak ek.”
            Akhirnya aku ketawa besar. Nampaknya helahku untuk mengelak soalan seterusnya dari Pak Kasim dapat dihidu oleh Hafiz. Sememangnya Mak Embung itu tiada di situ, aku sengaja mereka-reka cerita untuk melarikan diri daripada Pak Kasim dan soalan-soalan yang boleh membuatkanku sesak nafas.
            “Dahlah jom, saya dah lapar dah ni.” Aku cuba untuk mengelak sekali lagi. Aku mengosok perut dan Hafiz tersenyum sahaja melihat tingkahku.
            Kami berjalan seringan mendapatkan kereta Hafiz yang diparkir di bahu jalan utama bangunan ini. Aku tersenyum memadang kereta ini sebelum aku menaikinya. Kereta inilah yang menyebabkan pertemuanku dengan Hafiz. Kereta ini banyak menyimpan kenanganku dengannya.
            “Kenapa tesenyum-senyum ni?” Soal Hafiz ketika dia mengenakan tali pinggang keledarnya.
            Aku cuba untuk mematikan senyumanku apabila ditegur sebegitu oleh Hafiz namun aku tetap tercuit hati bila mengenangkan aku pernah menunggunya berjam-jam di basement yang panas semata-mata ingin menebus kesalahan melanggar keretanya.
            “Aik takkan senyum pun tak boleh? Senyum tu kan sedekah yang paling murah. Tak payah nak guna modal yang besar-besar pun. Just lirikkan bibir je.” Balasku, sewaktu aku sedang memakai tali pinggang keledar.
            “Ada je jawapannya ye.”
            Aku ketawa keci. “Kenapa tak suka tengok Safi senyum ke?” Soalan ku ini menyebabkan Hafiz yang baru sahaja ingin memulakan pemanduan sewaktu enjin sudah terpasang mematikan perbuatannya. Dia merenungku terlebih dahulu.
            “Honestly, saya suka tengok Safi senyum. Boleh gila bayang tahu saya bila tengok Safi senyum.” Katanya dengan senyuman dan terus meneruskan pemanduan.
            Dua baris ayat yang keluar dari bibirnya itu terus dapat mematikan senyuman yang bergayut di bibirku sedari tadi. Setelah hampir setahun lalu aku menolak cinta lelaki ini, masih berharapkah dirinya padaku selama ini? Bukankah dia sudah berjanji untuk menjadi sahabatku sahaja dan mengetepikan soal hati dan perasaan dalam perhubungan kami ini.
            Aku masih meningati saat dia melamarku untuk menjadi kekasihnya. Pada waktu itu aku baru sahaja pulang dari KLIA menghantar Zafril dan Shania ke Amerika. Saat hati aku hancur luruh kerana sebuah cinta, mustahil untuk aku menerima sesiapa. Lebih-lebih lagi aku sudah penutup rapat pintu hatiku. Tidak mahu ada cinta yang singgah! Lalu aku memberikan kata putus padanya yang aku tidak dapat menerimanya. Walaupun hakikatnya aku sudahpun berpisah dengan Zafril buat selama-lamanya. Tapi entah kenapa namanya masih lagi kukuh di hatiku hingga saat ini. Sukar untuk aku buang semua kenangan kami berdua. Namun aku tidak berharap dia akan kembali padaku satu hari nanti. Mungkin kini dia sedang bahagia bersama nia.            Mengenangkan itu semua, pantas sahaja ingatanku mengimbas memori dahulu…
            “Boleh saya tahu kenapa?” Perlahan sahaja Hafiz mengajukan soalan itu sebaik sahaja aku menolak cinta yang ingin dia hulurkan padaku.
            Bicaraku tersekat lagi. Aku tidak tahu alasan apa yang patut aku berikan. Jika aku berterus terang pada Hafiz yang hatiku sudah dimiliki, takut pula nanti dia akan bertanya siapa orangnya. Dan pada ketika itu nama siapa yang harus keluar dari bibirku? Tidak mungkin aku akan menyebut nama Zafril memandangkan lelaki itu tidak mempunyai apa-apa lagi hubungan denganku. Jadi untuk mengelak masalah lain yang mungkin akan timbul, aku lantas mendiamkan diri mengharapkan Hafiz melupakan sahaja soalannya itu.
            “Atau Safi dah serahkan hati Safi pada orang lain?” Hafiz masih lagi cuba terus meneka.
            Aku hanya menganggukkan kepala. Aku tahu dia akan tetap bertanya sehingga aku mengakuinya.
            Hafiz menarik nafas seketika. “Boleh saya tahu siapa?”
            Aku hanya mampu untuk terus mendiamkan diri. Mindaku cuba mencari jawapan untuk menjawab soalan Hafiz itu.
“Tapi kita masih lagi boleh berkawankan?” Hafiz cuba menghidupkan suasana ceria apabila dia melihat aku agak teragak-agak mengucapkan kata yang seterusnya.
            Aku mengangguk dan tersenyum senang. Aku benar-benar gembira kerana dia begitu memahami. Justeru itu aku mahu dia terus menjadi sahabatku.
            “Er… tapi…” Kata-kata Hafiz pula terhenti seketika dan aku setia menanti dia meneruskan bicara.
            “Kalau Safi dah tak ada jodoh dengan dia boleh tak Safi terima saya?”
            “Hah?” Aku terkejut mendengar kata-katanya. Soalannya itu seolah-olah dia mengetahui keadaan sebenar diriku kini yang sudah berpisah dengan Zafril.
            Tiba-tiba dia tergelak kecil. “Tak adalah, saya bergurau je. Saya doakan Safi dengan dia bahagia selamanya.”
            Aku turut tergelak kecil mendengar kata-kata Hafiz itu. Namun dalam hati aku tertanya-tanya sendiri adakah doa Hafiz itu akan dimakbulkan sedangka aku dan Zafril kini sudah berpisah dan tidak mungkin akan bersama seperti dahulu…
            “Safi!”
            Aku tersentak apabila mendengar suara memanggilku. Berderai semua kenanganku pada memori yang lalu.
            “Jauh menung, teringat orang jauh ke?” Dia menoleh seimbas padaku. Keadaan jaan raya pada waktu ini sudah tidak sesak mana.
            “Taklah. Erm… nak makan kat mana ni?” Aku terus bertanya destinasi yang harus kami tujui.
            “Kat Restoran Sri Melayu boleh?”
            Jantungku berdegup kencang sewaktu nama restoran itu disebut. “Restoran Sri Melayu yang kat Bangi tu ke?” Soalku lambat-lambat. Aku inginkan kepastian.
            “Ha’ah kenapa?” berkerut dahi Hafiz menanti jawapanku.
            Tidak, aku tidak mahu ke situ. Restoran itu adalah restoran kegemaran Zafril. Dahulu apabila aku bersamanya kami sering makan di restoran kawan Zafril itu. Kalau boleh aku tidak mahu mengenang dan ke tempat-tempat yang akan menyebabkan aku terbayang semula kisah aku dengannya. Aku sedang cuba melupakannya, walaupun payah bagaimana sekalipun aku harus cuba melupakannya.
            “Kita pergi restoran lain boleh tak?” Pintaku dan dalam hatiku berdoa agar dia setuju.
            “Kenapa?”
            “Tak ada apa. Saja je. Boringlah asyik makan kat situ je.” Aku memberikan alasan yang terlintas di fikiran. Aku terpaksa berbohong, yang sebenarnya sejak aku berpisah dengan Zafril aku sudah tidak pernah menjejakkan kaki ke restoran itu lagi.
            “Okay, suka hati Safi. Saya menurut perintah sahaja.”         
            Aku menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia mahu mengikut kataku.

MAKAN malam itu ringkas sahaja menunya tapi tetap menambat selera ibu dan ayah. Ayam masak merah dan sayur campur menjadi hidangan kami sekeluarga malam ini. Hidangan yang aku sediakan tanpa bantuan ibu. Pada hujung-hujung minggu sebegini memang aku yang akan memasak, aku mahu ibu berehat sahaja pada hujung minggu.
            “Bulan depan mak lang kamu dengan Shania balik KL.”
            Selepas keberangkatan Shania ke Amerika aku langsung tidak menghubunginya dan begitu juga dengannya, langsung dia tidak menghubungiku. Kebanyakan berita tentang Shania hanya aku ketahui melalui ibu dan ayah. Menurut ibu, beberapa minggu selepas Shania sampai ke Amerika Shania sudah pun selamat menjalani pemindahan buah pinggang. Dan doktor Andrew Chia yang merawat Shania di situ mencadangkan agar Shania menetap lebih lama di situ sehingga dia benar-benar pulih sepenuhnya, dan kini sudah hamper setahun Shania di sana.
            “Rindu betul dengan dia orangkan, bang.” Kata ibu pada ayah.
            Ayah menganggukkan kepala. “Safi pun dah lama tak jumpa Nia, kan?”
Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata ayah. Bukan sahaja sudah tidak lama berjumpa, malah sudah lama aku dan dia tidak berbual mesra dengannya seperti dahulu. Bolehkah aku berhadapan dengannya lagi selepas ini?
“Zu ingat masa Nia balik nanti nak buat kenduri doa selamat sikitlah untuk dia.” Ibu mengeluarkan cadangan.
“Bagus juga cadangan tu.” Ayah bersetuju sahaja dengan cadangan ibu.
Aku yang sudah tidak sanggup untuk mendenagr kisah Shania terus membawa pinggan ke dapur. Aku berdiri di hadapan sinki dan memandang ke luar tingkap yang gelap, hanya cahaya suram lampu jalan sahaja yang menyinari sedikit jalan di belakang rumah ini.
Aku bukan sengaja mahu melarikan diri dari perbincangan ibu dan ayah sebentar tadi. Cumanya aku takut, takut jika kisah Zafril dan Shania diungkit. Mungkin ibu akan memaklumkan tentang majlis pertunangan mereka atau pun majlis pernikahan mereka padaku. Dan aku tahu walaupun sudah setahun berlalu, aku masih tidak dapat melupakan Zafril. Aku masih menyintainya sama seperti dahulu. Sedikit pun tidak berubah, malahan rasa cinta itu semakin mekar setiap kali aku merinduinya yang jauh di samping Shania.
“Safi, okay ke ni?”
Aku terus sahaja mengapai pencuci pinggan apabila mendengar suara ibu yang betul-betul berada di sebelahku. Wajah ibu ku kerling seketika dan tersenyum padanya sebelum aku menyambng semula cucianku.
“Esok teman ibu pergi jumpa Makcik Rogayah ye.”
Makcik Rogayah? Oh, tidak aku tidak mahu ke rumah Makcik Rogayah. Aku sudah mengelangkan kepala berkali-kali. Bersungguh-sungguh aku menunjukkan padanya yang aku tidak mahu ke sana.
“Alah Safi temankanlah ibu. Ibu nak tempah lauk pauk untuk kenduri doa selamat Shania minggu depan ni.” Ibu terus memujuk
Alah, bukan aku tidak tahu niat sebenar ibu. Dia sebenarnya mahu menyatukan aku dengan anak Makcik Rogayah yang bekerja sebagai peguam itu. Aku tahu sangat taktik ibu. Sudah banyak lelaki yang diperkenalkan padaku sejak aku putus hubungan dengan Zafril. Aku tahu niat ibu itu baik mahu melihat aku berumah tangga dan bahagia. Namun bagaimana aku ingin bahagian dengan lelaki lain jika hanya nama Zafril sahaja yang ada dalam hatiku ini.
“Sekejap pun jadilah Safi.”
“Ibu.” Aku menutup paip air. Kemudian aku berhadapan dengannya. Bersemuka dengannya. “Safi tahu, ibu risaukan Safi. Tapi buat masa sekarang ni memang Safi tak boleh nak terima mana-mana lelaki sekali pun. Ibu bagi Safi masa ya.” Aku terus berterus terang. Aku tidak mahu perkara ini diungkit lagi selepas ini.
Ibu Cuma nak bantu Safi lupakan Zafril. Zafril tak mungkin akan kembali pada Safi” Mata ibu mula berkaca.
Dan aku juga terasa ingin menitiskan air mata melihat kesungguh ibu cuba membantuku. “Ibu tak payah risau, Safi pun tak pernah harapkan Zafril kembali pada Safi. Safi Cuma perlukan masa untuk pulihkan semuan. Asalkan ibu dan ayah ada di sisi Safi pun dah cukup untuk Safi bahagia dan melupakan kisah sedih Safi dengan dia.”
“Ibu sentiasa doakan Safi dapat yang terbaik dalam hidup.” Ibu mengusap pipiku.
Dan air mataku tanpa segan silu lagi menitis apabila menerima usapan daripada ibu. Terus aku memeluk dirinya. Selagi ada ibu dan ayah di sisiku, akan aku cuba menguatkan diri dan melupakan dia yang masih lagi bertakhta di hatiku.
“Kalau Safi dah sedia nak jumpa dengan anak mak cik Rogayah, Safi bagi tahu ibu ya”
Aku menganggukkan kepala dalam senyuman yang aku ukir lemah. Entah bila masanya baru aku bersedia untuk semua itu?

Bersambung…
             

37 comments:

nadiah said...

wahh.. makin teruja nak tahu selanjutnya. bila next entry kak adah?

Izan said...

WAaaaaaaaa aku sedih, betul2 aku mengharapkan agar Zafril kekal ngan Safi. Kalau betul la Zafril tinggalkan Safi sebab Nia, sia2 la dia tunggu Safi bertahun2...

Anonymous said...

pendek plak n3 kali ni... mcm x puas aje baca...

umi kalsom said...

saya tak kisah kalau ada hero lain utk Safi, as long as she'll be happy :)

mila said...

pendek nye. x puas la Adah...anyway thank Adah, bila nak start forward PDF ADH nie.. x sabar nak baca balik dri mula.. heheheh..

Anonymous said...

kan elok kalau safi tu ngan hafiz je?

wat pe masih kenangkan si zafril tu...dia bole duk senyapkan diri hampir setahun..sibuk sangat agaknya menjaga si nia kekasih hatinya tu...

kalau safi ngan zafril jumpa semula..jgn kasi si safi nie duk leleh2 bila jumpa zafril..buatkan safi nie keras hati tak lemah dpn zafril..

adah..safi dah keje kat tempat lain ke?

Anonymous said...

btol2..tak payahlaaa menharapkan si Zafril tu..banyak lagi org lain..kalau laaa saya di tmpat Safi..jangankan ingat Zafril..bayanggg pon kalu bole..tak nak..(marah ni marah hahahha)

asen said...

nape nak wat kenduri kat nia pulak?x yah buat la...hati safi yg terluka x de pun nia kisah...

fatim fatimah said...

tak sbr tggu e3 seterusnya,,apa kabarnya sania ngan zaf yer

Anonymous said...

itulah cam ibu safi tu..bukannya x tau penderitaan yang safi tanggung di sebabkan nia..maklangnya..lagi sibuk nak wat kenduri..lebihkan orang lain dari anak sendiri..x faham langsung...

Kak Sue said...

Kalau bukan si Zafril yang Safi pilih pun x apakan...
janji hati Safi x sakit dan Safi rasa happy dengan orang yang lebih baik dan memahami Safi...
Kalau si Zafri balik masih nak Safi dan ingin tunaikan janji x apa lah... kalau balik saja-saja nak sakiti hati Safi baik x payah ....
bagi peluang pada orang yang betul-betul sayangi Safi kkk...

Anonymous said...

sokong if safi dgn hafiz, at least hafiz still ad dgn safi come hell or high water, bkn mcm zaf, ckp je lbh, bukti x pon..

Kak Zu said...

Dah setahun dah si Zafril tu tinggalkan Safi tanpa apa2 perkhabaran.....agaknya dah kawin ke dia org atau sebaliknya.....apa2 pun diharapkan dia orang mendapat pembalasan setelah menyakiti safi.....masih berharap Zafril dengan Safi akhirnya walaupun geram dengan sikap Zafril.....

Hajar said...

saya setuju dengan sue. kalau balik setakat nak sakitkan hati safi baikla safi cepat-cepat angkat kaki.

yaya said...

Sy x suka hafiz.. Sbb hafiz ada kena mengena dgn nia.. Carikn safi hero lain.. Haha..

blinkalltheday said...

safi bawa diri p sambung studi pun ok...

Anonymous said...

nak lg cpt sambung ar

Anonymous said...

Tak kiralah siapa yg Safi pilih....sokong je asalkan dia bahagia.
Safi kena kuat dan tabah kerana berjumpa semula dgn Zafril dan Nia memang tidak akan dapat dielakkan. Adah, buat Safi dingin...tak berperasaan dgn hubungan deorang. Biar Zafril makan hati...hahaha
Benarkah Zafril akan memilih Nia??? Rasa-rasanya tidak.....
Apa pun sambung cepat ye Adah....sabar menunggu

syiela said...

Agak2 dorang tu dah kawin ke kat sna.... tak sabar nak tunggu .. next... :)

deesyirah said...

suspen2!zaf dah nak balik ke M"sia.gak2 zaf kawin tak dgan nia? kalau tak ; agak2kan safi nak tak terima zaf kembali andai cinta zaf masih utuh untuk safi? adah, n3 40 masih adakan?

kisahhati said...

erm...xsabar nak tahu selanjuttnya...apalah jadi kat si zafril tue kan...

Kak Zu said...

saya rasa Zafril tak kawin dengan Shania, sebab dia cintakan Safi memang dah lama.....mcmana agaknya ya bila merek berdua tu bila jumpa nnt.....Oh Adah, cptlah n3 bab 40, tak sabar nak tahu kisah selanjutnya.......please....

Anonymous said...

memang tak sabar tunggu next entry but hope safi terus kuat sebab saya rasa nia akan buat safi jealous sebab zaf sanggup ikut dia pergi luar negara..tapi hafiz is not that bad jugak kak..but hope happy ending..biarlah safi bahagia and yang buat jahat kat safi terima balasannya :)

~A~

Anonymous said...

ADAH....kesedihan Safi membuatku menangis lagi...@bluescarf

Cik Jah... said...

suka jugak kalau safi bina hubungan baru dengan anak makcik rogayah tu...lelaki yang boleh membuat perasaan cinta safi kembang semula...

Anonymous said...

Kesian safi . Tapi pape pon cite ni best .

AniLufias said...

sesak nafas baca bab kali nie...adakah Zaf masih setia kat Safi..aduiiiii
cpt2 arr klr kan next n3 yea dik...

Anonymous said...

dik : ni tinggal beberapa bab jea lagi kan...
x nak arr Safi kawin dgn org lain selain Zafri..tp knpa selama sethn x de berhubungan lansung..ish musykil akak nie
apa2pun ...nak Safi & Zaf bahgia

hani said...

bahagiakan safi dgn hafiz..biar zafril merana..safi bkn pilihan makcik hasnah..wpn mrk kahwin tak mungkin mrk bahagia krn zafril anak yg patuh pd ibu..camputangan keluarga akan merosakkan sebuah perhubungan...andai kata safi bahagia dgn hafiz..crita ini sama dgn apa yg saya lalui.. Alhamdulillah bahagia wpun bkn kahwin dgn cinta prtama..

ijah said...

salam,
saya ni silent reader tp kali ni terpanggil nak memberi komen.
sy geram dan tak puas hati ngan mak safi, kenapa sebok2 nak buat doa selamat for shania. Dia kan tau camner dia orang cakap pada safi.

Anonymous said...

tetiba rasa nk safi ngan ank mk cik rogayah..hahaha

angkut said...

kak adah tak nak hafiz cari hero lain... tapi kan best kalo zafril tetap jodoh safi... mmm..kalo dah jodoh tak ke mana kan kan kan walau sebelum nya diuji dengan pelbagai dugaan....

Anonymous said...

cpatla smbung kak adah...xsbar nie..

kak ida said...

akak lagi tak faham ngan mak dan ayah safi..melebihkan anak org lain..dari nak sendiri..boleh pulaak safi menerima macam itu saja..adakah betui yg mereka buka ibu bapa angkatnya...peliks..

kail said...

saya setuju ngan angkut dan ida... susahnya nak mengapai bahagia...

Anonymous said...

mungkin anak Makcik Rogayah tu boleh rawat hati Safi, bukan Hafiz..betu3..stuju Safi bukan dgn Hafiz sbb Hafiz ada history wit Nia..

Adah, janji Safi happy....


Misha

Miss Nurul said...

Safi mmg cool..n sgt tabah lpas crush dgn zafril... tabik spring kt org mcm safi tu... alahai,cptnya hafiz msok jarum. nsb baik safi tolak..xnak la hafiz yg a bit young than safi tu... ap cer ek nty bila nia blk.??

Post a Comment