Monday, December 5, 2011

Cerpen : Saat Kau Utus Dirinya (Bah. 1)


BAHAGIAN 1
AKU duduk termenung sambil mendengar bacaan ayat-ayat suci yang keluar dari mulut anak-anakku. Hanya itu harta yang aku ada di dunia dan di akhirat kelak. Haji Ibrahim pula begitu tekun membetulkan kesalahan demi kesalahan anak-anak didiknya hampir lima tahun itu. Namun malam ini, ketekunan Haji Ibrahim lebih daripada biasa. Mungkin kerana hari ini merupakan hari terakhir dia mencurahkan khidmat baktinya di sini. Sememangnya hatiku risau dengan segala kemungkinan yang terpaksa aku hadapi tanpa Haji Ibrahim. Lelaki itu sudah banyak menabur jasa di sini, membanting tulang, membantu menguruskan Ar-Raudah. Satu sen pun dia tidak meminta balas walaupun ada aku hulurkannya sebagai tanda membalas budi. Malah, lebih daripada itu, dialah yang banyak memberikan sumbangan dalam membangunkan Ar-Raudah. Semoga setiap jasanya itu mendapat balasan dari yang Maha Esa.
            Hampir lima tahun aku mendirikan Ar-Raudah dengan hasil titik peluhku sebagai pengusaha butik muslimah. Ramai yang bertanya mengapa aku begitu beria-ia ingin mendirikan rumah untuk anak-anak yatim walaupun pendapatanku tidak sebesar mana. Namun aku hanya mampu tersenyum saat soalan itu diajukan. Biarlah soalan itu tidak berjawab. Aku lebih senang begitu. Andai saja aku menjawab pertanyaan itu dengan alasan yang sentiasa membengkak di dada, sudah pasti aku sendiri yang menderita. Berasa sengsara atas salah dan dosa yang tidak tergambar besarnya. Hanya Haji Ibrahim yang tahu kisahnya.
            Pantas aku bangun meninggalkan ruang surau dan terus aku berjalan keluar. Sebak memikirkan masa depan Ar-Raudah tanpa Haji Ibrahim. Siapa yang akan mengajar dan mendidik anak-anakku itu dalam urusan agama? Nampaknya aku harus mendapatkan pengganti Haji Ibrahim dengan segara. Tidak mahu anak-anakku diabaikan dalam perihal agama. Aku mahu anak-anakku itu kelak membesar setidak-tidaknya setanding iman para sahabat Rasulullah saw yang mencintai agama lebih daripada segalanya. Namun daripada mana acuan itu dapat aku peroleh andai Haji Ibrahim sudah bertekad untuk menghabiskan sisa-sisa hidup di kampungnya. Siapa aku untuk menghalang rancang yang diaturkan oleh maha suci ini? Maafkan Umi, Umi akan buat yang terbaik untuk anak-anak Umi. Hati mengikrarkan janji buat anak-anak yang pastinya menjadikan aku sebagai ayah dan ibu mereka.
            “Kenapa termenung ni, Ziha?
            Aku tersentak, suara Haji Ibrahim memecahkan persoalan yang masih belum aku ketemui jawapannya.
            “Tak ada apalah, Haji. Budak-budak dah habis mengaji?” segera aku tukar topik, tidak mahu Haji Ibrahim meletakkan anggapan bahawa keputusan yang telah dibuat olehnya untuk meninggalkan Ar-Raudah itulah yang menjadi punca kepada semua keresahanku kini.
            “Alhamdulillah, dah selesai” Haji Ibrahim membalas.
            “Terima kasih, Haji. Dah terlalu banyak sumbangan Haji pada Ar-Raudah ni. Hanya Allah yang dapat membalas semua jasa baik pada kami semua” aku mengucapkan kata syukur itu. Takut tidak terluah perkataan itu ketikan majlis rasmi perpisahan esok.
            “Tak ada apalah, Ziha. Kamu yang banyak berkorban masa, wang ringgit dan tenaga untuk bangunkan rumah ini. Saya cuma bantu sikit-sikit aje” Haji Ibrahim merendah diri. “Saya tahu, kamu risaukan budak-budak bila Haji dah tak ada kat sini kan?” Cepat saja Haji Ibrahim menangkap semua yang bersarang di fikiranku kini.
            “Kamu tak payah risaulah, Ziha. Saya tak akan tinggalkan kamu terkontang-kanting kat sini sendiri. Saya dah carikan pengganti saya nanti. Masa majlis perpisahan esok, saya akan kenalkan pada kamu dan anak-anak semua” Haji Ibrahim tersenyum, menampakkan barisan giginya yang masih penuh walaupun sudah hampir berusia 58 tahun.
            “Haji dah carikan pengganti?” aku benar-benar terkejut. “Terima kasih Haji. Dah banyak saya susahkan Haji” aku menundukkan wajah, malu memandang paras Haji Ibrahim yang telah banyak menyumbang.
            “Tak payah nak berterima kasih, Ziha. Ini tanggungjawab kita sesama muslim. Apa yang saya nak jawab pada Allah nanti kalau saya hanya hulurkan bantuan sekerat jalan aje?” Haji Ibrahim begitu yakin dengan katanya, membuatkan hatiku tersenyum. Andai saja semua manusia mampu berfikir sepeti Haji Ibrahim, pasti tidak ada manusia yang hidupnya susah di dunia ini.
            “Alang-alang saya dah bercakap dengan kamu ni, saya nak tanya kamu satu soalan” Haji Ibrahim masih meneruskan bicara.
            “Apa dia, Haji?” hatiku menjadi tidak sedap dengan tiba-tiba.
            “Sampai bila kamu nak macam ni, Ziha? Kamu berhak ada hidup kamu sendiri, ada suami, ada keluarga”
Sekali lagi aku tertunduk mendengar soalan itu. Soalan yang sama yang selalu diperdengarkan kepadaku.
“Ar-Raudah ni, hidup saya, Haji. Di sini juga keluarga saya. Saya tak layak menjadi seorang isteri. Haji pun tahu kan, kisah hidup saya” Entah kenapa, buat pertama kalinya aku menjawab persoalan itu. Kalau sebelum ini, aku hanya mampu menampakkan senyuman tatkala ditanyakan akan hal itu, tapi hari ini aku menjawabnya dengan seikhlas hati. Sememangnya itulah yang sering aku ingatkan pada diri. Aku tidak layak menjadi seorang isteri.
“Astagfirullahalazim… apa yang kamu cakapkan ni, Ziha? Salah pemikiran kamu tu” keras suara Haji Ibrahim. “Manusia ni, diberikan nafsu, Ziha. Jadi tak mungkin kita boleh menjadi maksum. Tak ada manusia yang tak ada dosa. Kenapa sampai ke situ pemikiran kamu?” ternyata Haji Ibrahim tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan. Aku dapat rasakan, Haji Ibrahim mengetahui semua yang selama ini aku simpan di dalam hati. Mungkin juga dia tahu lebih daripada itu.
“Tak payahlah kamu nak menghukum diri kamu sendiri, Ziha. Ini semua kerja Dia. Biar Dia yang tentukan semuanya. Kamu jangan pandai-pandai letakkan hukuman di atas bahu kamu sendiri. Allah itu kan maha pengampun dan maha penyayang. Dia sentiasa menerima taubat hamba-hambanya. Kamu tahu kan semua tu” Panjang Haji Ibrahim menasihati.
Sudahnya aku hanya mampu mendiamkan diri. Sememangnya Allah itu maha penyanyang. Dengan segala dosa yang telah aku lakukan, Allah masih mengirimkan pelbagai bantuan dan nikmat untuk aku kecapi. Aku malu pada-NYA.
“Saya masuk dulu, tengok budak-budak ya, Haji. Assalamualaikum!” pantas aku membawa langkahku meninggalkan Haji Ibrahim. Tidak mahu kisah itu dipanjangkan lagi. Aku sudah menetapkan begitu, maka biarlah ia kekal begitu. Kisah hitamku tidak mungkin dapat dipadamkan dengan apa jua cara sekali pun. Aku yang mencorakkan lakaran gelap itu, jadi biarkan aku sendiri yang menjalani semuanya. Ini hukuman buat diriku sendiri. Aku patut membayar semua kesalahanku. Aku tidak akan merasa aman dengan hanya berdoa, memohon keampunan dari-NYA sedangkan aku tidak tahu apakah taubat daripada insan hina seperti diriku ini diterima-NYA. Mahukan Dia memalingkan wajah-NYA memandang seorang hamba yang sudah jauh meninggalkan-NYA?

SEMUA anak-anakku sudah mengambil tempat duduk masing-masing di meja makan yang panjangnya itu boleh memuatkan kira-kira 15 orang. Kerusi utama dikosongkan, khas buat Haji Ibrahim, insan yang diraikan pada hari ini. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 12.15 minit tengah hari. Semua makanan yang dimasak olehku juga beberapa pembantuku di sini, sudah siap terhidang di atas meja. Tidak pernah Haji Ibrahim lewat setelah berjanji, namun hari ini lain pula. Entah apa yang terjadi pada dirinya kini? Hatiku menjadi risau.
            “Umi keluar sekejap. Anak-anak Umi, duduk diam-diam ya” aku menyampaikan pesanan itu kepada anak-anakku yang sudah lama menunggu di situ.
            “Fatin, tolong tengok-tengokkan budak-budak ni, ya!” amanat itu aku pertanggungjawabkan kepada Fatin, seperti selalu. Dia juga merupakan tulang belakang Ar-Raudah. Seorang wanita muda yang baik akhlaknya. Cantik, berbudi bahasa dan pekertinya. Dia sanggup menghabiskan masanya di Ar-Raudah ini bagi sama-sama membantu membesarkan anak-anak di sini. Mungkin kerana dia juga merupakan seorang anak yatim piatu, maka dia dapat merasakan apa yang anak-anakku lalui pada ketika ini.
            Aku menunggu di hadapan pagar. Masih menantikan kehadiran Haji Ibrahim.Tidak mahu terus menunggu tanpa sebarang perkhabaran, segera aku seluk poket jubah hitamku. Telefon bimbit aku keluarkan untuk menghubungi Haji Ibrahim. Namun belum sempat aku meletakkan telefon di telinga, kereta Proton Waja milik Haji Ibrahim sudah dapat dilihat dengan jelas oleh mataku. Pantas aku matikan talian yang sedang cuba disambungkan. Hati sudah mula berasa lega dengan kemunculan Haji Ibrahim.
            Pintu pagar aku buka dengan luas. Mengalu-alukan kedatangan Haji Ibrahim. Haji Ibrahim turun dari keretanya sebelum seorang lagi lelaki muda yang berkopiah putih juga turun dari kereta yang sama. Haji Ibrahim memberikan salam sambil tersenyum kepadaku. Salam itu aku sambut penuh hemah juga dengan senyuman.
            “Maaflah Ziha, lewat sikit. Penerbangan anak bujang saya ni, ha, lambat tiba. Tu yang lewat, tu” Haji Ibrahim terus menerangkan sebelum sempat aku bertanya apa-apa.
            Mataku terus memandang lelaki muda yang sudah berdiri di sebelah Haji Ibrahim. Tidak pernah aku tahu Haji Ibrahim mempunyai seorang anak lelaki. Haji Ibrahim langsung tidak pernah bercerita tentang anak lelakinya itu. Hanya perihal anak perempuannya Fatimah dan Aisyah saja yang selalu diceritakan kepadaku. Aku segera mematikan pandanganku pada anak Haji Ibrahim apabila renunganku itu dibalas. Segera aku alihkan wajah.
            “Kenalkan, Ziha, ini Muhammad Muaz. Anak saya. Baru balik dari Jeddah” Haji Ibrahim memperkenalkan.
            “Assalamualaikum, Cik Nazihah” Muaz memulakan salam perkenalan.
            “Wa’alaikumusalam” aku menjawab. Cik Nazihah? Mana dia tahu nama dan statusku? Adakah Haji Ibrahim sudah menceritakan semuanya tentangku pada anak lelakinya itu? Tiba-tiba saja soalan itu bermain difikiran.
            “Masuklah, semua orang dah tungguh Haji Ibrahim” aku segera menjemput Haji Ibrahim masuk. Sememangnya, sudah lama kami semua menunggu.
            “Baiklah” Haji Ibrahim mula melangkah masuk ke dalam. Aku terus berdiri di situ, hanya mahu mengekori langkah setelah anaknya, Muaz berjalan sama mengekori ayahnya. Namun Muaz hanya tersenyum dan memberikan isyarat tangan supaya aku bergerak terlebih dahulu. Maka aku terpaksa juga bergerak menyaingi Haji Ibrahim, manakala Muaz mengekori kami dari belakang.
            “Atuk!”Kedengaran riang suara anak-anakku menyambut kedatangan Haji Ibrahim. Di Ar-Raudah ini, memang sengaja kau tetapkan panggilan begitu. Aku mahu anak-anakku merasa hidaup berkeluarga biarpun sekadar menumpang kasih.
            “Assalamualaikum cucu-cucu atuk. Maaf ya, atuk lambat sikit!” Haji Ibrahim mula memberi salam. Kemudian Haji Ibrahim mendapatkan tempat duduknya dengan bantuanku. Tempat yang sepatutnya menjadi tempat dudukku, aku serahkan kepada Muaz. Sebagai tetamu, dia layak mendapat kelebihan untuk duduk di situ. Sudahnya aku berjalan untuk kerusi plastik berwarna putih yang terletak di sudut ruang makan. Perlahan-lahan aku tarik kerusi yang tinggi, bertimpa-timpa itu.
            “Tak apa, biar saya tolong” Muaz tiba-tiba saja ada di situ, menghulurkan bantuan.
            Aku yang terkejut melihat Muaz, Segera aku lepaskan tanganku yang masih memegang kerusi plastik itu.
            “Nak letak kat mana, ya, Cik Nazihah?” Muaz bertanya setelah berjaya menarik kerusi itu.
            “Mana-mana pun tak apa” aku jawab ringkas. Sudahnya kerusi itu, Muaz letakkan bersetentang dengan dirinya. Mahu ataupun tidak, terpaksalah aku duduk di situ. Namun tidak sekalipun aku pandang wajahnya sejak mula duduk di kerusi itu. Aku menumpukan perhatian penuh pada Fatin yang sudah aku tugaskan menjadi pengerusi majlis bagi menyempurnakan detik perpisahan itu.   
            “Jadi, dipersilakan, Haji Ibrahim untuk menyampai sepatah dua, kata buat semua” Fatin kembali duduk di kerusinya setelah menjemput Haji Ibrahim memberikan ucapan terakhir.
            Haji Ibrahim mula bangun dari duduknya.Hanya senyuman nipis yang dipamerkan pada wajahnya. Seolah dia juga tidak senang dengan detik yang bakal memisahkan dirinya dengan Ar-Raudah.
            “Bismillahirahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengahsihani. Alhamdulilah, Atuk amat terharu kerana diraikan dalam majlis ini” Haji Ibrahim memulakan ucapannya.
            “Tidak ada detik yang lebih indah dalam hidup Atuk, melainkan detik bersama dengan cucu-cucu kesayangan atuk di sini. Perpisahan sementara ini terpaksa kita lalui sebelum kita berpisah secara kekal setelah kita kembali kepada-Nya satu hari nanti. Namun atuk berharap agar semua cucu-cucu atuk, menjadi anak terbaik buat Umi Nazihah, adik yang baik buat kak Fatin, Kak Diana dan Abang Ramlan” Suasana bertukar menjadi sayu dengan ucapan yang Haji Ibrahim sampaikan.
            “Insya’Allah, atuk tidak akan pernah lupa pada cucu-cucu atuk di sini, dan atuk berjanji, jika ada kelapangan, dan keizinan kesihatan daripada Allah SWT, atuk akan kembali ke sini, menjenguk dan bertanya khabar cucu-cucu atuk sekalian. Cumanya atuk berharap yang cucu-cucu Atuk tidak lupa dengan apa yang pernah atuk ajarkan selama ini. Berpeganglah pada tali Allah SWT, jangan lupa solat, atuk yakin, kamu semua akan berjaya mengharungi kehidupan di dunia”
            “Buat Keluarga Ar-Raudah, Nazihah, Fatin, Diana dan Ramlan, saya berharap agar kalian teruskan perjuangan untuk memberikan jaminan kehidupan buat anak-anak kecil yang sememangnya memerlukan tempat bergantung. Jangan berputus harap dan sentiasalah meminta pertolongan dari-Nya kerana hanya Dia yang mampu memberikan bantuan kepada setiap kesusahan yang kita hadapi. Seperti yang saya janjikan, saya tidak akan meninggalkan kalian semua sendirian. Jadi hari ini, saya bawa bersama, anak lelaki saya, Muhammad Muaz, yang akan saya tugaskan menggantikan tempat saya di sini. Saya berharap, kalian semua memberikan tujuk ajar kepada Muaz. Insya’Allah kita akan bertemu lagi”
            Aku tersentak mendengar pengumuman itu. Muaz akan menggantikan tempat Haji Ibrahim? Aku agak resah, tak tahu kenapa. Semua yang ada kelihatan sugul. Namun Fatin tetap bangun meneruskan majlis. “Terima kasih Haji Ibrahim. Insya’Allah kita akan bertemu lagi. Saya wakil kepada keluarga Ar-Raudah mengucapkan selamat datang kepada Ustaz Muaz. Diharap Ustaz Muaz dapat menyambung legasi Haji Ibrahim dengan menyumbangkan jasa di sini” lancar Fatin mengeluarkan kata tanpa memerlukan sebarang teks panduan. “Sebagai tanda alu-aluan, dijemput Ustaz Muaz untuk memberikan sedikit ucapan”
            Agenda yang tidak termasuk dalam senarai aturcara majlis yang telahpun kami aturan itu bijak disusun oleh Fatin. Namun itu tidak mengapa, tidak ada salahnya menjemput orang yang bakal menabur bakti memperkenalkan diri. Muaz bangun dengan senyuman. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluarnya yang berwarna coklat cair itu.
            “Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum semua” Muaz mula membuka suara. “Alhamdullilah, bersyukur saya kerana mendapat peluang menimba pengalaman bersama-sama keluarga Ar-Raudah. Sebuah keluarga yang kian lengkap dengan adanya, Atuk, Umi, Abang, dan Kakak. Cumanya pada hemat saya, keluarga Ar-Raudah ini memerlukan seorang ‘ayah’ bagi menyempurnakan lagi hubungan kekeluarga yang cuba dijalinkan. Jadi, jika tidak menjadi sebarang masalah, saya, Muhammad Muaz bin Haji Ibrahim ingin menawarkan diri sebagai ayah dalam kelaurga Ar-Raudah ini”
            Tersentak aku mendengar permintaan Muaz. Aku memandang wajahnya. Dan pandanganku itu dibalas dengan senyumannya yang masih lebar. Seolah tersembunyi satu agenda yang tidak dapat aku pastikan apa. 
“Insya’Allah, dengan sebuah keluarga harmoni yang kita ada sekarang ini, kita akan bersama-sama berusaha sedaya upaya, membangunkan anak-anak yang soleh dan solehah untuk menjadi pentadbir dunia dan penghuni syurga, Insya’Allah”
Satu tepukan gemuruh diterima oleh Muaz. Entah mengapa aku menjadi tidak senang dengan apa yang baru saja aku dengar.

SUDAH hampir seminggu Muaz menjalankan tugasanya di rumah Ar-Raudah. Sepanjang itu juga aku lebih banyak menjauhkan diri daripada anak muda itu. Tapi aku sendiri tidak pasti, selama mana aku dapat berkelakuan begitu sedangkan hampir setiap hari Muaz ada di sini, bersama-sama membangunkan Ar-Raudah. Pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh Haji Ibrahim membuatkan hariku yang kian tenang, menjadi kacau kerananya. ‘Jodoh dan pertemuan itu di tangan Allah, jangan cuba elakkan diri daripadanya tak kira siapa pun Ziha sebelum ini. Insya’Allah, Dia maha mengetahui dalam setiap aturan-Nya’. Entah apa maksud Haji Ibrahim dengan berkata sebegitu. Namun apa yang pastinya, hatiku kini tidak setenang dulu.
            Kepalaku yang tadinya aku letakkan di atas meja, berbantalkan lengan terpaksa aku angkat kembali apabil terdengar pintu bilikku diketuk. Segera aku mengizinkan gerangan di luar untuk masuk. Muaz muncul memberikan salam beserta sekuntum senyuman. Salam itu aku jawab perlahan, namun aku yakin, Muaz masih boleh mendengarnya. Nampak gayanya, kini aku tidak mampu lagi mengelakkan diri daripada anak muda itu. Aku tahu aku harus bersemuka dengannya. Berkelakuan seperti biasa. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku walaupun hatiku kuat mengatakan bahawa Muaz sudahpun mengetahui segala-galanya tentang diriku.
            “Boleh saya masuk?” soal Muaz di muka pintu. Tombol pintu masih berada di dalam genggamannya.
            “Silakan, ustaz” aku mempelawa. “Ada sebarang masalah, ke, ustaz?” dengan pantas aku mengeluarkan solan itu. Mahu perbincangan yang belumpun bermula itu segera selesai.
            Muaz mula masuk ke dalam bilik. Pintu dibiarkan terbuka lapang. Dia kemudian menarik kerusi di hapadanku dan mula duduk. “Tak ada masalah besar pun, Cik Nazihah. Cuma… kalau tak keberatan saya nak bertanya pada Cik Nazihah, kenapa saya nampak Cik Nazihah macam nak larikan diri daripada saya, ya? Cik Nazihah tak selesa dengan saya, ke?”
            Terdiam aku seketika mendengar butir kata yang keluar daripada mulut Muaz. Tidak sangka hal itu yang membawa dirinya untuk bertemu denganku. Sungguh dia berterus terang orangnya.
            “Ustaz jangan salah faham. Bukan tak selasa, cuma tak biasa” aku harap jawapan itu dapat memuaskan hati Muaz. Sesungguhnya, sedikitpun aku tidak berniat untuk mengecilkan hatinya. Kehadirannya di Ar-Raudah amat aku alu-alukan. Namun, hatiku ini selalu saja jadi malu untuk berhadapan dengan anak muda itu. Rasa tidak layak untuk berbual bicara dengan insan sepertinya.
            “Kalau macam tu, Cik Nazihah kena juga biasakan diri dengan saya, sebab mustahil saya dapat sama-sama membantu Ar-Raudah tanpa komunikasi daripada Cik Nazihah” Muaz membalas.
            Aku tertunduk, mengakui kebenaran kata-kata Muaz itu. Perhubungan dua hala tidak mungkin dapat terbentuk tanpa komunikasi. Jika itu tidak dapat aku lakukan, pasti itu bakal menjadi titik kesukaran pada masa hadapan. Lantas aku menganggukkan kepala perlahan. Bersetuju dengan kata-katanya.
            “Insya’Allah tak akan ada masalah lagi selepas ini. Tapi, kalau boleh, tak payahlah ustaz nak ber ‘cik’ masa kita berbual. Panggil Kak Ziha pun tak apa. Akak lagi suka” aku mencipta tembok, membataskan segala-galanya. Ada baiknya mengakhiri segala sebelum ia bermula. Bekerjasama dengan lelaki penuh akhlak itu, tidak mustahil hati yang selama ini kuat bertahan akan roboh pagarnya. Aku tidak perlukan cinta manusia! hati mengingatkan kembali hal itu.
            “Alhamdulillah, kalau macam tu, baguslah. Lega hati saya. Cuma… tak menjadi keberatankan, kalau saya nak panggil Ziha, aje. Saya rasa itu lebih baik!” Muaz memohon kebenaran.
            Aku berfikir sejenak. Membenarkan, atau sebaliknya? Agak buntu, namun permintaan itu harus ada keputusannya. “Terpulang pada ustaz lah. Tapi pada akak, akal lagi suka kalau ustaz panggil akak dengan panggilan Kak Ziha. Bukankah yang tua patut dihormati!” Dalam memberikan keizinan, aku tetap cuba mempertahankan pendirianku. Berharap agar cadanganku itu diterima. Risau, apa pula kata Fatin, Diana dan Ramlan nanti.
            “Yang tua memang patut dihormati, tapi bukankah yang tua juga patut disayangi?” Muaz mematikan kata.
            Aku terdiam untuk yang kesekian kali.  Hujahnya sentiasa membuatkan aku terpaksa mengaku kalah. Dengan ilmunya yang sudah pasti penuh di dada itu, terlalu sukar untuk aku membalas apa-apa lagi.
            “Erm… akak nak keluar dah, ni. Ada urusan sikit. Ada apa-apa lagi yang ustaz nak bincang dengan akak?” terpaksa aku membebaskan diriku.
            “Ya, ada satu lagi”
            “Apa dia?”
            “Insya’Allah minggu depan kita nak masuk bulan ramadhan dah. Jadi saya dah aturkan program Ihya Ramadhan untuk anak-anak kita” Muaz membuka satu lagi topik perbincangan baru.
            “Untuk anak-anak akak!” aku cuba membetulkan pernyataan yang dibuat oleh Muaz. Mereka semua adalah anak-anakku. Bukan anak-anaknya.
            “Anak-anak Ziha, anak-anak saya juga. Tak ada bezanya”
            “Banyak bezanya, ustaz” aku terus membantah. “Macam ni la, ustaz, pasal program yang ustaz dah rancang tu, nanti saya minta Fatin aturkan satu mesyuarat. Kita bincang semuanya dalam mesyuarat tu. Boleh, ustaz?” aku tidak mahu berbincang lanjut tentang hal itu. “Maaflah ustaz, saya terpaksa gerak dulu. Jumpa lagi nanti” aku terus bangun, mencapai beg tanganku kemudian aku berlalu keluar. Meninggalkan Muaz sendirian di dalam bilik.

Bersambung...

P/S Sementara menunggu ADH Bab 36, sudilah membaca cerpen SKUD ini. Semoga anda juga sukakannya.... 

19 comments:

Anonymous said...

best!! cpt2 smbung

fisha said...

alaaaa....kena cerpen pun bersiri gak....
update cepat2 tau

Anonymous said...

mmg best.... ustz muaz mcm ad aty je dkt ziha....

Anonymous said...

WOW.....MY NAME PUN NAZIHAH PANGGIL PUN ZIHA JUGAK .......

fatim fatimah said...

best cerpen ni,,cpt2 smbung

Anonymous said...

byk beza sgt ka umur ziha dgn ustaz muaz ni..harap2 tak jauh..

Anonymous said...

ustaz muaz tu umur berapa? tua dari nazihah ke?

Anonymous said...

bestttttt...x sabar nk bc next n3..

nadiah_abdllah said...

waahhhh
osem!

Miss Nurul said...

cerita ni ad kelainan... ;)
ziha tua dpd muaz tu..
tp tua sgt ke ziha tu kak AH?

Anonymous said...

kak adah, cpat smbung bhg 2...!!!

me_myself said...

akak x de smbung ke

jurina yusof said...

salam..Adah bila nak sambung..

ain said...

hmm..ade ape ngan ziha ye? Smbung cpt2 ek kak

Ina said...

akak, bila nak sambung? dah lama tunggu

wafaa izzaty said...

Akak, cepatla smbg

C'Jai said...

Mana sambungan dia... boleh bg link...

nonton flim online said...

mantap sangat lah cerpen ni bos..
sambungannya mana ea bos...?

Valena Michelle said...

Banteng88 MASTER AGEN BOLA
Banteng88 MASTER AGEN JUDI
Agen Bola
Agen Judi
Agen Judi Online
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Bandar Judi
Bandar Bola
Judi Online
Bola Online

Post a Comment