BAB DUA PULUH ( ii )
DARI jauh aku sudah dapat melihat renungan Datuk Razali yang tidak putus-putus merenung padaku yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Pemandu Datuk Razali yang menjemputku sebentar tadi telah hilang entah ke mana. Sebaik sahaja menunjukkan arah meja Datuk Razali di restoran hotel bertaraf lima bintang itu, bayangan pemandu muda itu hilang entah ke mana.
Mataku melilau mencari Zafril di sekeliling restoran yang tidak ramai pengunjungnya. Hatiku makin berdebar apabila kelibat Zafril langsung tidak kelihatan dalam restoran itu. Langkahku makin perlahan menghampiri meja yang dihuni Datuk Razali. Hatiku pula menjadi makin berbelah bahagi untuk menghampiri Datuk yang seorang itu. Aku tidak betah langsung untuk berhadapan dengannya. Matanya yang sentiasa tajam merenungku membuatkan aku tidak selesa.
“Hai, dear…”
Hampir pitam aku mendengar perkataan yang keluar dari bibir lelaki tu sebaik sahaja aku mendekatinya. Dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya itu, membuatkan aku makin seram sejuk berhadapan dengannya.
“Assalamualaikum.” Terus aku lafazkan kalimah suci itu padanya. Dan Datuk tersenyum sumbing menjawab salam yang aku berikan. Aku pula yang tidak mahu menunggu lama, terus duduk berhadapan dengannya. Takut pula kalau dia meminta aku duduk bersebelahan dengannya. Niat itu dapat aku lihat jelas dari renungan matanya biarpun tidak dizahirkannya.
“Untuk awak.”
Sejambak mawar merah terpampang di ruangan mataku. Aku terkedu seketika. Mawar merah dan wajah Datuk Razali aku pandang silih berganti. Hati sudah membentak-bentak untuk menolak jambangan bunga itu, akal juga menyatakan hal yang sama. Namun apabila jambangan bunga itu masih tetap dihulurkan padaku, ditambah pula dengan mata-mata yang ada di sekeliling, yang tidak putus-putus memandangku seolah-olah mengharapkan aku menerima jambangan itu membuatkan aku lemas. Akhirnya jambangan itu bertukar tangan. Aku menarik nafas seketika. Sesungguhnya aku tidak mahu akan jambangan ini!
“Tak nak cakap apa-apa pada saya ke?” Datuk Razali mula melirikkan matanya padaku.
Ketika ini suaraku rasa tersekat untuk mengeluarkan kata. Aku sudah tidak mahu melakukan atau menyatakan apa-apa. Otak seolah-olah enggan berfungsi dengan baik. Buat pertama kalinya aku menerima sejambak bunga daripada seorang lelaki, tetapi mengapa ianya daripada datuk yang aku benar-benar tidak berkenan ini pula. Ini akan menjadi satu-satunya sejarah hidupku yang aku tidak mahu kenang sampai bila-bila. Mataku masih melekat pada jambangan bunga itu, bukan kerana aku tertarik dengan jambangan yang cantik itu. Tetapi aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan pada Datuk pada ketika ini. Entah mengapa berat benar mulut menuturkan ucapan terima kasih atas pemberian itu!
“Safiah Aisyah!”
Aku segera menoleh apabila namaku diseru dengan begitu kuat. Hatiku melonjak riang apabila melihat Zafril sudah pun tiba di situ. Kian berada hampir di sebelahku. Ingin sahaja aku menjerit kegembiraan. Terasa seakan-akan aku telah diselamatkan daripada keadaan yang menyesakkan. Tidak perlulah lagi aku berhadapan dengan Datuk Razali seorang diri seperti tadi.
“Zafril…”
Panggilan Datuk Razali itu tidak Zafril endahkan. Matanya masih tertumpu padaku.
“Buat apa kat sini? Sekarang masih lagi waktu pejabatkan? Bukan ke sepatutnya awak ada di pejabat sekarang ni?” marah Zafril padaku. Muka dan matanya sudah merah padam merenungku. Aku masih lagi mendongak memandangnya yang tegak berdiri di sebelahku.
Aku benar-benar tidak faham dengannya. Bukankah dia yang memanggil aku ke sini atas bantuan pemandu Datuk Razali kerana dia mahu aku ada sekali dalam perbincangannya dengan Datuk Razali hari ini? Tapi kenapa dia marah-marah pula?
“Tapi Encik Zafril…”
“Oh, dah pandai curi tulang. Bila saya tak ada di pejabat, mengular aje kerja awak ye.” Bentak Zafril lagi.
Terus mati senyuman yang aku ukirkan sewaktu melihat kehadirannya tadi. Baru sahaja aku ingin membuka kata menjelaskan mengapa aku berada di sini, terus sahaja dia merentap kasar pergelangan tanganku membawaku bangun dari duduk. Sebaik sahaja aku berdiri jambangan bunga yang berada di tanganku dirampasnya dan kemudian dia memandang Datuk Razali yang hanya mampu mendiamkan diri dari tadi, mungkin dia sendiri tidak menyangka Zafril akan menyinga sebegini di tempat ini.
“I don’t think she want this flower, Datuk!” Bunga itu Zafril campakkan ke atas meja.
Aku menanggung kesakitan atas cengkaman tangannya yang begitu kuat pada pergelangan tanganku. Namun tanpa menghiraukan kata-kataku yang minta untuk dilepaskan, Zafril terus membawaku menuju ke tempat letak kereta.
“Masuk!” Arah Zafril sambil membukakan pintu kereta dan melepaskan genggaman tangannya padaku.
Aku mengurut-ngurut tangan yang sakit dan kelihatan berbekas merah. Walaupun aku masih tidak faham dengan tindakannya yang mengheretku hingga ke sini, aku masih lagi menurut arahannya supaya memasuki perut kereta itu. Itu pastinya lebih selamat daripada duduk dengan Datuk Razali.
Lima minit berada di dalam kereta itu cukup membuatkan aku takut. Bukan hanya kerana wajah Zafril yang umpama singa lapar, malah kereta yang dipandu laju olehnya pada tika ini membuatkan aku terhuyung hayang di dalam kereta walaupun aku sudah mengenakan tali pinggag keledar. Untuk menegur cara pemanduan Zafril yang mengalahkan pemandu kereta lumba itu, sungguh aku tiada keberanian itu pada saat ini.
Telefon bimbit Zafril bernyanyi lantang, dia terus sahaja menjawab panggilan itu tanpa menggenakan earphone seperti selalu. Aku yang melihatnya sudah tidak senang duduk apabila Zafril mengawal kereta yang laju dengan hanya sebelah tangan.
“Hah, Ahmad apa dia?”
Aku terkedu dengan gaya bahasa yang Zafril gunakan. Belum pernah aku mendengar dia berkata sebegitu dengan pekerjanya sebelum ini. Mengapa lain benar lelaki ini hari ini?
“Saya ada hal. Saya tak dapat jumpa sesiapapun. Awak wakilkan saya ajelah.”
Zafril ada meetingkah hari ini? Mengapa aku setiausahanya tidak tahu menahu tentang hal itu?
“Kalau mereka tak nak berbincang dengan awak, kata pada mereka kita jumpa aje di mahkamah. Habis cerita. Faham!” Tegas Zafril sebelum mematkan talian dan mencampakkan telefon bimbitnya ke kerusi penumpang di belakangnya.
Kedengaran telefon bimbit Zafril berbunyi sekali lagi. Zafril merengus kasar, tidak senang mendengar telefon bimbitnya berdering. Aku merenung Zafril di sebelahku, kemudian aku memandang telefon bimbit Zafril yang masih berdering tanpa henti. Aku menarik nafas, cuba memberanikan diri menegurnya. “Encik…”
“Shut up!” tengking Zafril sebelum sempat aku menyebut namanya pun. “Damn it!” Zafril menghentak stereng kereta, menghamburkan kemarahannya di situ.
“Yang encik nak marah-marah ni kenapa?” Aku mula tidak puas hati. Apa kesalahanku sehingga dia menengkingku sebegitu sekali? Persoalan yang bermain di mindaku memerlukan jawapan. Aku bukannya kanak-kanak yang akan diam apabila dimarahi sesuka hati dan tanpa sebarang tujuan.
“Habis tu kalau awak buat salah, saya tak boleh marahlah, macam tu?”
“Apa salah saya?”
“Sekarang ni masih lagi dalam waktu pejabatkan? Apa yang awak buat dekat hotel tu? Jadi selama ni bila saya tak ada di pejabat awak memontenglah ye. Makan gaji buta?” marah Zafril kian beruap-ruap padaku.
“Tapi encik, saya pergi hotel tu pun sebab…”
“Sebab? Sebab apa? Sebab orang tua tu ajak? Sebab orang tua tu nak bagi bunga? Atau sebab awak memang saja nak rapat dengan orang tua tu?”
Tersentak aku mendengar kata-kata Zafril itu. Sampai hati dia menuduhku sebegitu. Kini hatiku pula yang membara. Aku menjelingnya dan terus memandang ke laur tingkap. Satu perkataan pun tidak keluar dari mulutku. Aku pendamkan rasa marahku jauh ke dalam hati. Pada saat ini ada rasa seperti air mataku seakan ingin mengalir keluar, tapi segera kuseka. Aku tidak menyangka yang dia akan menuduhku sebegitu.
“Kenapa diam? Jadi betullah tu kan?”
Aku masih lagi mendiamkan diri dan aku juga tidak mahu membela diri. Aku tahu apa sahaja yang aku luahkan nanti tidak akan membawa apa-apa makna pada Zafril.
“Mulai hari ini, kalau awak nak ke mana-mana pada waktu pejabat inform pada saya dulu. Dan awak tak dibenarkan pulang sebelum saya pulang walaupun waktu pejabat dah habis. Faham?”
Aku masih lagi membisu. Malas mahu melayan kata-katanya lagi. Bukan aku tidak cuba menghubunginya sebelum aku mengikut pemandu Datuk Razali ke hotel itu, tapi dia yang tidak menjawab setiap panggilan yang aku buat. Jadi masihkah aku juga yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Ternyata Datuk Razali telah mempermainkanku. Menyesal pula aku termakan dengan kata-kata pemandu Datuk Razali, jika tidak pasti keadaan tidak sebegini.
AKU mengeling jam di pergelangan tangan. Sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Aku mengerling pula memandang Zafril melalui dinding kaca yang memisahkan aku dengan biliknya. Zafril masih lagi sibuk menyemak fail-fail yang bersepah di atas mejanya itu.
“Ish, buat kerja tak reti nak bersusun, habis bertabur. Nanti aku juga yang kena kemas. Menyampah betul.” Bebelku sendiri.
Aku memandang pula segenap ruang pejabat yang sudah tidak berpenghuni kecuali aku dan Zafril. Aku mengeluh, tiada apa yang boleh aku lakukan kini, semua kerjaku telah aku selesaikan. Sudah tiga hari aku begini, semenjak Zafril menemuiku dengan Datuk Razali di hotel, setiap hari aku perlu pulang lewat malam menunggu Zafril menghabiskan kerjanya dahulu sebelum aku dibenarkan pulang. Itupun aku tidak dibenarkan pulang sendiri, dia yang akan menghantarku pulang ke rumah. Hari ini juga pastinya tidak berkecuali.
Aku sebenarnya rimas apabila setiap hari dia menghantarku pulang ke rumah. Mana tidaknya sudahlah aku perlu mengadap muka masamnya setiap hari di pejabat, kini aku perlu mengadap muka yang sama sewaktu perjalanan pulang ke rumah. Sudahlah sewaktu menghantarku pulang dia tidak bersuara sepatah perkataan pun. Malah aku terpaksa pula membahayakan diri menumpang keretannya yang dipandu laju itu. Lagi rasa sengsara!
Suara azan isyak mula berkumandang menerusi radio online yang sentiasaku pasang menemaniku sejak petang tadi. Aku segera menutup komputerku dan bergerak menuju ke surau untuk mengerjakan solat isyak. Aku tahu Zafril pasti lama lagi menyiapkan kerja-kerjanya itu. Selalunya paling awal pun dia akan pulang pada pukul 9.30 malam. Daripada aku duduk termenung di meja itu seperti hari-hari yang lalu, lebih baik aku mengerjakan solat pada awal waktu. Sekurang-kurangnya aku hanya perlu menguruskan beberapa urusan lain apabila tiba di rumah nanti.
Selesai menunaikan solat dan memohon doa pada Yang Maha Esa, aku melipat semula telekungku dan kuletakkan di dalam almari yang tersedia di dalam surau itu. Keluar sahaja dari surau yang turut berada di dalam ruang pejabatku aku terus menuju ke mejaku. Ruang pejabat hampir keseluruhannya gelap, dengan menggunakan cahaya dari telefon bimbitku, akhirnya aku sampai juga ke mejaku.
Bilik Zafril telah gelap dan tidak berpenghuni. Hatiku sudah dipaut dengan rasa marah yang teramat sangat, Pasti dia sudah pulang dan meninggalkanku sendirian di pejabat ini. Ingin sahaja aku menjerit sekuat hati meluahkan rasa tidak puas hatiku padanya.
“Nak balik pun, bagi tahulah dulu. Geram betullah.” Bebelku sendirian sambil mendail nombor telefon bimbit Fitri. “Fitri ambil aku kat pejabat boleh tak? Tolong!” Rayuku pada Fitri dan setelah Fitri menyatakan persetujuannya barulah aku meletakkan telefon dan menyambar beg tangan yang berada di atas meja dan melangkah laju keluar dari ruang pejabat itu.
Kegelapan itu sedikit pun tidak mengerunkan hatiku ini. Rasa marahku pada Zafril telah mengatasi segala-galanya. Keluar sahaja dari lif aku menghampiri Pak Mahmud, pengawal keselamatan bangunan itu yang bertugas pada malam ini.
“Assalamualaikum Pak Mud.” Ujarku pada Pak Mud yang sedang menyemak buku pelawat keluar masuk.
“Waalaikumusalam, eh Safi tak balik lagi?”
“Baru nak balik Pak Mud. Enck Zafril dah balik ke Pak Mud?” tanyaku pada pengawal yang terkenal dengan sikap ramahnya itu. Kerana sikapnya itulah hampir kesemua pekerja di bangunan ini tidak kira dari syarikat mana mengenalinya.
“Baru sekejap ni Pak Mud nampak dia keluar, dalam lima minit macam tu. Pak Mud ingat Safi dah balik. Kenapa tak balik dengan Encik Zafril?” Soal Pak Mud semula.
“Ada kerja sikit tadi, Pak Mud. Tak apalah saya balik dulu ye. Terima kasih.” Aku meleparkan senyuman pada Pak Mud sebelum meneruskan langkah menunggu Fitri di hadapan bangunan pejabatku. Seperti yang ku agak memang Zafril telah pulang terlebih dahulu dan meninggalkanku.
Baru lima minit aku melabuhkan punggung di anak tangga di hadapan bangunan itu sebuah kereta Nissan berhenti dihadapanku. Aku terus bangun dari duduk apabila Zafril mula mendekatiku.
“Naik!” arah Zafril sebaik sahaja dia berada di hadapanku dan kemudian dia terus berpatah semula menuju ke keretanya.
“Tak apa, saya boleh balik sendiri.”
Mendengar sahaja jawapan dariku, Zafril berpatah semula mendapatkanku yang masih lagi tidak mahu berganjak dari tempat aku berdiri sebentar tadi.
“Kalau saya suruh naik tu, naik ajelah”
“Kan saya dah kata saya boleh balik sendiri!” aku tetap berkeras tidak mahu mengikutnya.
“Kan saya dah janji nak hanar awak balik.” Zafril terus-terusan memaksaku.
“Tapi encikkan dah tinggalkan saya tadi. Jadi tak payahlah encik nak risau-risau, saya boleh balik sendiri.”
“Saya bukan sengaja nak tinggalkan awak, saya terlupa. Lagipun awak tak ada kat tempat awak, masa saya nak balik tadi. Tu yang saya terlupa yang saya dah janji dengan awak, faham!”
Aku mencebikan bibir, malas mahu melayannya. Setiap kata-kataku pasti ada sahaja jawapan yang akan keluar dari mulutnya.
“Apa lagi naiklah. Awak jangan nak timbulkan masalah boleh tak? Saya dah penat ni.” Zafril makin meninggikan suaranya. Kedua-dua belah tangannya sudah mencekak pinggang.
Membara hatiku mendengar suara Zafril yang sudah semakin meninggi. Tiba-tiba kereta myvi Ftri berhenti di belakang kereta Nissan Zafril. Melihat ketibaan Fitri tu melegakan hatiku kerana aku tidak perlu menumpang Zafril pada malam ini dan sememangnya aku tidak mahu menumpangnya lagi selepas ini.
“Kalau encik dah penat sangat, balik sajalah rehat. Tak payah nak susah-susahkan diri hantar saya balik. Buat penat badan je.” Aku terus melangkah ke kereta Fitri, sekalipun aku tidak menoleh padanya yang masih setia berdiri di situ.
Selepas menaiki kereta aku terus mengarahkan Fitri mengerakkan keretanya. Tidak mahu aku berlama-lama di situ. Sakit hatiku apabila Zafril mengungkit tentang kepenatannya. Bukan aku yang meminta dia menghantarku pulang pada setiap malam. Dia yang menawarkan diri, jadi mengapa perkara itu menjadi ungkitannya hari ini? Semua itu menjadikan aku bertambah menyampah dengan lelaki yang bernama Zafril itu!
Bersambung...
11 comments:
nape lak zafril ngan safi ni...
sat best...zafril suka kat safi..cemburu la tu hehehe
nape la si zafril x propose safi officially....
Terus terang ajelah dgn safi...tak pun terus gi pinang...ni cemburu mcm nak rak...zafril2.
bahaya bab cemburu ni...
zafril tlglah confess dgn SAFI
alahai zafril dgn safi ni..klu suke katakan suka..
marah benar zafril tu...
cemburu la katakan...
patutnya dgr la ap safi nk kata...
alahai... ap la zafril ni...
kesian kt safi...
biar safi x lyan dia..
padan muka... hik3
aaah betul tu dgrlah dulu penjelasan dari Safi
ni terus je marah-marah. itu lagi buat Safi benci
dgn kelakuan si Zafril ni.. cemburu tak menentu.
zafril jgn suka sgt nk mrah2 ngan si safi...nnti b`tambah benci si safi tu naya jadinya...jgn lupa safi dah ada p`minat baru si hafiz...eloklah sizafril b`trus trang seblm benci safi b`tmbah2..cpt smbung ya adah...makin panas cita ni
x suke la zafril tu........baran x sudah2, dgr la dl Safi ckp ape
Sakit dada lah bab ni.... (bluescarf)
Post a Comment