Saturday, October 8, 2011

Ada Di Hati - Bab 21


DUA PULUH SATU
Berulang alik aku di dalam bilik itu, mengemas apa-apa yang patut. Fail-fail yang bertaburan malam tadi di atas meja Zafril, aku ambil dan susun satu persatu ke tempat asalnya semula. Zafril yang sedang duduk di kerusinya sejak datang tadi hanya memerhatikanku melakukan tugas tanpa sekalipun matanya berpaling dariku. Kalau aku ke kiri matanya akan ke kiri, begitu juga sebaliknya. Nak rimas aku dibuatnya.
Entah apa mimpinya tiba awal di pejabat hari ini. Waktu aku sampai tadi, dia sudah terpacak di ruang menyambut tetamu, berbual-bual bersama Amy. Aku yang selalunya akan berbual terlebih dahulu dengan Amy sebelum ke mejaku membatalkan niatku, malas aku mahu berbual dengan Amy apabila dia turut berada di situ. Rasa sakit hati dengan apa yang dikatakan padaku malam tadi. Semuanya masih terasa.
Aku menuju pula ke meja kopi mengambil mug dan akhbar yang aku letakkan di situ sebentar tadi sebelum mengemas meja kerja Zafril. Sudah agak lama aku menyediakan kopi itu dan rasanya kopi itu pun sudah hampir sejuk. Aku amat tahu dia tidak menyukai kopi yang sudah sejuk. Arghh… malas aku mahu memikirkan 1001 perintahnya, lantas aku terus meletakkan mug dan surat khabar itu di atas meja dan terus berpaling untuk berlalu.
“Safiah Aisyah!” panggil Zafril cuba menghalang aku keluar dari biliknya.
Aku berpaling memandangnya semula, namun kaki tidak aku panjangkan untuk mendekatinya.
“Em… saya…” Zafril cuba mencari ayat untuk meneruskan kata yang terhenti sekian lama. Dan aku yang sudah sedia sakit hati dengannya, tidak mahu menatap wajah itu dengan lebih lama lagi.
“Bilik dah kemas, kopi saya dah buat, surat khabar pun ada tersedia atas meja. Ada apa-apa lagi yang encik tak puas hati?” Soalku geram. Aku tahu bahasaku agak kurang sopan, tapi aku benar-benar sakit hati dengan dirinya kali ini. Kata-katanya malam tadi memang sukar untuk aku lupakan begitu sahaja.
Zafril tersenyum panjang mendengar soalanku. Aku makin pelik, minggu ini amat sukar untuk aku menatap senyumannya tapi hari ini senyuman itu terukir kembali. Namun aku tetap memasamkan wajahku, malas mahu membalas senyumannya yang panjang lebar itu. Entah apa masalah lelaki ini, baru sahaja semalam menyakitkan hatiku, hari ini boleh pula tersenyum lebar begini. Bertambah geram aku jadinya.
“Hari ni saya tak nak kopi. Awak buatkan saya teh, boleh?” lembut sahaja bahasa yang digunakan pagi ini, tidak membetak-bentak seperti malam semalam. Senyuman masih lagi tersungging di bibirnya buatku.
Aku mencebikkan bibir, tidak pernah-pernah meminta teh daripadaku, tiba-tiba pula hari ini dia bertukar selera. Dan tanpa banyak soal aku terus mengapai mugnya dan terus berlalu ke pantry. Tidak mahu banyak berfikir tentang arahannya itu. Ada baik aku ikutkan saja semua perintahnya. Aku menyediakan air teh dengan bebelan yang tak sudah-sudah. Geramku makin bertambah-tambah apabila melihat senyumannya tadi. Entah kenapa tiba-tiba sahaja boleh berubah sikap hingga begitu sekali dalam masa tidak sampai 24 jam?
Sekembalinya aku ke bilik Zafril, aku dengan segera meletakkan mug berisi teh di hadapannya. Sedikit pun aku tidak memandang wajahnya yang tetap memerhatikan aku sejak aku masuk tadi. Aku terus berpaling setelah mug itu kuletak elok di atas mejanya.
“Laju aje tu, nak ke mana? Tak nak temankan saya minum dulu ke?”
Aku yang sudah berada di hadapan pintu kembali memandang dirinya dengan lirikkan mata yang tajam. Walaupun soalannya itu lembut sahaja kedengaran di telingaku, namun setiap butir bicaranya itu tetap menikam hatiku ini.
“Tak nak!” Balasku ringkas berserta jelingan tajam. Aku terus menutup semula pintu biliknya setelah aku keluar. Kedengaran sayup-sayup ketawa Zafril dari dalam biliknya. Aku hanya mampu mengetap bibir dan mengempalkan penumbuk, apa yang melucukan hati lelaki itu sebenarnya?  Geramnya…

MALAM makin larut, aku mengerling jam di pergelangan tangan, hampir pukul 11.00 malam namun aku, Zafril dan beberapa lagi pekerja Adni Maju masih lagi berada di pejabat, menyiapkan kertas kerja permohonan untuk sebuah tender kerajaan. Tender itu akan ditutup lima hari lagi dan Zafril baru mengetahui tentangnya pagi tadi, sebab itu malam ini dia bertungkus lumus menyiapkannya.
            Sudah beberapa kali aku menguap, mata pula sudah pedih. Masakan tidak, sudah berapa jam aku mengadap laptop di hadapanku ini. Beberapa pekerja yang lain pun sudah kelihatan lesu sepertiku. Aku menongkat dagu dan memejamkan mata seketika, cuba menghilangkan letih pada mataku.
            “Okay, kita berhenti kat sini dulu. Isnin depan kita sambung semula.”
            Mendengar arahan dari Zafril itu, aku dengan pantas membuka semula mataku yang sudah terpejam rapat sebentar tadi. Ayat itulah yang aku tunggu keluar dari bibirnya sedari tadi. Sebaik sahaja mataku terbuka luas, pandanganku dan pandangan matanya bertembung. Dan seperti biasa dia mengukirkan senyuman buatku.
            “Penat ke?”
            Aku hanya mengeleng, malas mahu membalas setiap kata-katanya.
            “Jom, saya hantar awak balik.” Pelawa Zafril sambil mengemas fail dan kertas yang berterabur di hadapannya.
            “Tak apa. Saya boleh balik sendiri.” Segera aku memberikan menolak pelawaannya itu.
            “Dah tengah malam ni, awak nak balik naik apa? Bas? Dah sah-sah tak ada. LRT? Gerenti dah tutup.” Zafril terus berhenti dari mengemas semua barangnya.
            Aku tidak mengendahkan kata-katanya. Aku berpura-pura tidak mendengar setiap butir bicaranya, aku terus mengemas semua barangku. Aku sudah bertekad walau apa pun terjadi hari ini, tidak sesekali aku akan naik keretanya itu. Biarpun aku harus menapak pulang ke rumah sekalipun.
            “Tak apalah biar saya aje yang hantar awak balik. Tapi sebelum tu kita pergi ma…”
            Aku terus sahaja bangun dari kerusi sebelum sempat Zafril menghabiskan kata-katanya. Laju sahaja aku mengatur langkah menuju ke ruang kerjaku. Semua rakan sekerjaku yang lain telah menuju ke pintu utama, aku terus mempercepatkan langkah, malas aku mahu duduk berdua dengan bosku itu di dalam pejabat ini.
            Sampai sahaja di ruang kerjaku itu, aku terus meletakkan semua fail ke tempat asalnya dan mengapai beg tanganku.
            “Nak pergi mana ni?”
            Baru sahaja aku ingin membuka langkah, namun itu semua terus terhenti apabila Zafril tiba-tiba saja sudah berada di hadapanku. “Baliklah.” Jawabku sepatah, langkah kakiku terbejat apabila Zafril masih lagi berdiri di hadapanku, menghalang laluanku.
            “Nak balik naik apa? Mana ada bas malam-malam macam ni.” Tergambar wajar gusar di wajahnya tika ini.
            “Teksi berlambak.” Balasku sambil cuba bergerak namun setiap pergerakkanku dihalangnya. Langsung tiada ruang untukku bolos darinya.
            “Sejak bila pula malam-malam buta macam ni, teksi berlambak kat sini?” Zafril mengangkat keningnya menanti jawapan dariku tapi aku hanya mendiamkan diri, tidak tahu apa yang harus katakan agar dia tahu yang aku benar-benar tidak mahu menumpang keretanya.
            “Janganlah macam ni. Saya tahu awak marahkan saya. Saya cuma risau awak balik seorang malam-malam buta macam ni. Saya tak nak dan takut kalau ada apa-apa jadi pada awak.” Zafril terus memujuk dan pujukkannya itu sedikit pun tidak dapat menyejukkan hatiku.
            “Awak tunggu saya sekejap, saya hantar awak.” Zafril terus berlalu masuk ke dalam biliknya.
            Apabila bayang Zafril telah hilang di sebalik pintu biliknya aku cepat-cepat membuka langkah meninggalkan pejabat. Walau apapun kata-katanya, aku tetap tidak akan menumpang keretanya lagi.
            Perhentian teksi lenggang tidak berpenghuni sewaktu aku sampai. Jalan raya juga sudah lenggang tanpa bingitan suara kereta seperti di siang hari. Aku masih terjenguk-jenguk di situ menanti teksi yang tidak kunjung tiba. Aku ingin cepat-cepat menaiki teksi, aku tidak mahu terserempak dengan Zafril, aku pasti jika dia melihat aku sedang menanti di perhentian teksi ini pasti dia akan terus berkeras untuk menghantarku pulang.
            “Hai cik adik!” Satu suara tiba-tiba menjengah betul-betul di telingaku.
            Aku segera menoleh melihat dua orang lelaki yang sudah menghampirku. Entah bila mereka sudah berdiri begitu dekat denganku, aku langsung tidak perasan. Terkebil-kebil mataku melihat mereka yang merenungku tajam. Aku sudah tidak sedap hati apabila mereka terus menghampiriku, aku melangkah ke belakang apabila mereka makin melangkah ke depan.
            “Rilekslah, kitaorang cuma nak berkenalan je.” Kata lelaki bertubuh sasa yang berada di hadapanku. Lelaki tinggi yang berada di belakangnya ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata lelaki itu.
            Berkenalan konon, aku amat pasti mereka mempunyai niat yang tidak baik denganku. Aku mula berdoa dalam hati meminta  bantuan dari Yang Maha Esa agar aku terlindung daripada segala kejahatan. Saat ini terngiang-ngiang semula kata-kata Zafril padaku di pejabat tadi. Menyesal aku tidak menerima pelawaan Zafril untuk pulang bersamanya sebentar tadi, jika tidak pasti perkara sebegini tidak terjadi.
            Lelaki berubuh sasa itu cuba memegang bahuku, namun segera aku menepis tangannya. Lelaki itu merengus kasar dan dia mula berkasar denganku sehingga aku yang sudah tidak dapat menyeimbangkan badan lalu terjatuh terjelupuk di perhentian teksi itu. 
            “Safi!”
            Aku menoleh memandang Zafril yang sudah pun berada di sebelahku. Aku memandang wajahnya, meminta bantuan dalam diam.
“Kenapa ni?” Soalnya padaku, tapi aku hanya mampu mendiamkan diri. “Apa yang kau orang dah buat kat dia hah?”  Soal Zafril yang sudah bangun semula dan mendekati lelaki-lelaki itu.
“Suka hati kamilah nak buat apa pun kat dia.” Kasar sungguh tutur kata lelaki bertubuh sasa itu.
“Kurang ajar!” Zafril sudah mula hilang sabar, dihayun penumbuknya pada lelaki itu.
            Lelaki itu terdorong ke belakang kemudian dia mula menghampiri Zafril semula dan menghayunkan kakinya tetap ke muka Zafril. Zafril dengan pantas menahan kaki lelaki itu dengan kedua-dua lengannya kemudian Zafril menghayunkan penumbuk bertubi-tubi ke muka lelaki itu. Kemudian dia menendang tepat ke perut lelaki itu. Akibatnya lelaki itu terdorong ke belakang dan terjatuh.
            Lelaki tinggi lampai tiba-tiba pantas berlari mendapatkan Zafril sambil menghunus pisau Rambo yang tersisip kemas di tangan kanannya. Dia terus menyerang Zafril, dihayun pisau itu sesuka hatinya ke kiri dan ke kanan tidak menentu asalkan pisau itu tepat mengenai Zafril. Namun Zafril cuba mengelak sebaik mungkin dan terus mengasak lelaki tinggi itu dengan tumbukan pada bahagian susuk lelaki itu, menyebabkan lelaki itu terjatuh.
            “Hoi…”
            Kehadiran dua pengawal keselamatan wisma itu, menyebabkan kedua-dua lelaki itu melarikan diri. Zafril ingin mengejar kedua-dua lelaki itu namun segera kutegah, aku takut untuk tinggal bersendirian di situ. Kini hanya pengawal itu yang mengejar kedua-dua lelaki itu.
            “Awak tak apa-apa?”
            Aku baru sahaja ingin bertanya pada Zafril tentang keadaannya namun dia yang lebih pantas bertanya padaku terlebih dahulu. Aku mengeleng kepala berulang kali. Aku membongkokkan badan mengambl telefon bimbit Zafril yang terjatuh semasa dia bertarung dengan kedua-dua lelaki itu tadi. Aku menyerahkan telefon bimbit itu padanya semula.
            Aku mengeluh perlahan apabila telefon bimbit itu bertukar tangan. Zafril  pantas melihat tapak tanganku yang sudah ada kesan luka dan darah. “Awak cedera ni.”
            “Tak apa , sikit aje.”
            “Mari saya sapu ubat.” Zafril membawaku menuju ke keretanya yang sedia terparkir di tepi jalan. Dia membuka boot keretanya dan mengambil kotak first aid, kemudian dia membuka pintu penumpang hadapan dan aku diarahkan duduk di situ. Dia pula duduk bertinggung di luar kereta, di hadapanku sambil menyapu ubat dan membalut kemas tanganku.
            Aku mengamati kesan lebam di pipi kanan Zafril. Tiba-tiba kakiku terasa panas dan seperti ada titisan yang menitis di atas kakiku. Aku segera memandang kakiku, terdapat kesan darah yang menitis pada kasut tumitku dan telah pun mengenai jemari kakiku. Aku mula mencari punca datangnya titisan darah itu.
            “Zaf… lengan awak…” Aku tidak dapat meneruskan kata apabila melihat lengan tangan kanan Zafril yang sudah berdarah dengan banyak. Bajunya terkoyak, kesan luka kelihatan dalam. Entah mengapa melihat keadaannya begitu air mataku mulai menitis. Kerana kedegilanku sebentar tadi, dia pula yang menjadi mangsanya.
            Zafril tersenyum kecil sebelum memandang lengan dan menakup luka itu dengan tangan kirinya. Wajahnya terperanjat melihat kesan luka itu, mungkin dia juga tidak perasaan akan kecederaan yang dihadapinya. “Tak apa sikit aje ni.” Katanya sambil mula ingin berdiri. Segera aku halangnya, dia bertinggung semula di hadapanku.
            “Sikit apanya tu?” Aku menyeka air mata yang baru menitis, dan segera membuka semula kotak first aid yang telah Zafril tutup sebentar tadi. Aku mengambl gunting dan mengunting keseluruhan lengan baju kemeja Zafril dan dengan lengan baju itu aku membalut lukanya.
            “Saya hantar awak ke hospital.” Aku terus keluar dari kereta, ingin menuju ke bahagian pemandu.
            “Er… tak apa sikit aje ni. Lepas sapu ubat okaylah.” Zafril menghalang laluanku.
            “Sikit awak cakap, kalau jumpa doktor mahu kena jahit tahu. Dalam luka awak ni.
            “Tak apa, biar saya yang drive.”
            Aku menahan Zafril daripada bergerak. Melihat wajahnya yang mula pucat itu menambah kalutku, aku harus segera membawanya ke hospital. Jika tidak dia akan kehilangan lebih banyak darah, yang mungkin akan membahayakannya. Aku tidak mahu apa-apa terjadi padanya.
            “Tangan awakkan cedera, macam mana nak drive? Biar saya je yang drive.” Aku terus menuju ke bahagian pemandu. Apabila aku sudah masuk ke dalam kereta barulah dia turut masuk dan duduk di bahagian penumpang hadapan. Aku terus menuju ke hospital yang berdekatan tanpa menunggu lebih lama lagi.
            Benar telahanku, sampai sahaja di hospital Zafril menerima empat jahitan di lengannya. Doktor ingin menahan Zafril di hospital tetap dia berkeras tidak mahu ditahan. Akhirnya doktor itu mengizinkannya Zafril pulang dengan syarat sebarang kemungkinan yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab dirinya sendiri dan Zafril menyetujuinya.
            Pulang dari hospital aku sekali lagi memandu kereta Zafril. Walaupun pada mulanya dia ingin memandu tetapi aku tetap berkeras.
            “Saya hantar Encik Zafril ke Sri Kembangan ya.” Ujarku sambil membelok memasuki jalan besar yang lenggang.
            “Eh, buat apa, tak payahlah. Hantar saya kat kondo saya je.” Halangnya.
            “Encik Zafril tu tengah sakit. Kat kondo tu mana ada orang yang jaga encik. Kalau kat Sri Kembangan ada juga ibu encik tolong tengok-tengokkan.” Bebelku, geram diriku apabila dia membantah cadanganku. Bukan aku mahu menghantarnya ke rumah orang lain, tapi ke rumah orang tuannya sendiri, itu pun mahu membantah,
            Zafril sudah menarik senyuman. “Awak risaukan saya ye?” usik Zafril.
            Aku merasakan seolah-olah kesemua darahku naik ke muka. Malu mendengar usik Zafril tika ini.
            “Kalau awak risaukan saya, tak payah hantar saya kat Sri Kembangan, bawa aje saya balik kondo saya. Awak tidurlah situ malam ni, bolehlah awak tolong tengok-tengokkan saya.”
            Aku terdiam mendengar permintaannya. Badanku terasa seram sejuk. Peluh mula bertamu di dahi. Nekad di hati jika dia melakukan perkara yang bukan-bukan padaku akanku toreh tangan sebelah kirinya pula. Tapi mampukah aku melakukannya memandangkan dua lelaki tadi pun dengan mudah ditewaskan Zafril dengan ilmu persilatan yang dimilikinya, inikan pula diriku. Aku menelan liurku sendri. Kala ini perasaan takutku bukan kepalang.
            Meletus ketawa besar di bibir Zafril. “Awak ni cepat gabralah Safi.” Ketawa Zafril masih lagi memenuhi ruang kereta.
            Aku menggengam erat stereng kereta. Geram dengan perangai Zafril. Dalam sakit-sakit begitu sempat juga dia mengenakan diriku. “Encik Zafril ni, jangan main-main boleh tak? Saya…”
            “Chup!” Zafril memotong kataku. “Kenapa dengan awak ni Safi, tadi masa kat perhentian teksi dengan hospital elok je awak tak berencik-encik dengan saya. Kenapa sekarang berencik-encik pula dengan saya?”
            Aku terdiam. Benarkah aku tidak menggunakan panggilan nama encik sewaktu berbicara dengannya tadi? Aku tidak perasaan. Hambatan perasaan risau dengan keselamatannya di hentian teksi tadi membuatkan tumpuanku hanya padanya, hal-hal yang lain tidak aku pedulikan.
            Melihat Zafril dipukul membuatkan airmataku hampir menitis. Dan sewaktu aku melihat lengan Zafril yang luka dan berlumuran darah, air mataku mula menitis dengan sendirinya ke pipi, seolah-olah lukanya itu turut aku rasakan. Perasaanku pada waktu itu tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata kerana aku sendiri tidak pasti apa sebenarnya perasaanku waktu itu. Atau aku sudah jatuh hati padanya? Aku terus terdiam, apabila perkara itu terlintas di fikiranku.
            “Kenapa diam?”
            “Er…” aku tersentak mendengar soalan Zafril itu, aku gugup untuk meluahkan kata. “Lepas rumah kedai ni belok kanankan?” sengaja aku mengajukan soalan itu, berpura-pura tidak ingat jalan ke rumah orang tuanya. Sedangkan yang sebenarnya jalan ke rumah itu masih terakam kemas di mindaku.
            Zafril mengangukkan kepala, mengiakan kataku.
            Suasana dalam kereta kembali sepi. Zafril tidak lagi menanyakan apa-apa lagi soalan padaku dan dia terlena juga akhirnya. Aku menarik nafas lega, kerana setiap kata-kata yang diluahkan Zafril malam ini seumpama menjerut tangkai jantungku.
            Setelah setengah jam perjalanan akhirnya aku berhenti di hadapan rumah orang tua Zafril. Aku mula mengerakkannya perlahan, cuba membuatkannya terjaga dari tidur. “Encik Zafril…” aku memanggil namanya berulangkali.
            Terpesat-pesat Zafril membuka matanya sambil memandangku tapi cuma seketika kemudian ada segalit senyuman yang bergayut di bibir itu.
            “Er… Dah sampai rumah encik ni.” Gugupku meluahkan kata, apabila melihat senyuman yang Zafril ukirkan. Dengan pantas aku keluar dari kereta, aku tidak mahu berlama-lama di dalam itu berdua-duaan sahaja. Sebaik sahaja aku ingin menekan loceng rumah tu, pantas Zafril menegah.
            “Saya ada kunci.” Zafril yang telahpun berada di sebelahku tersenyum melihatku yang cuba melarikan pandangan padanya saat ini. Sewaktu Zafril menghampiri pagar dan ingin membuka mangganya, aku terus berdiri di sebelahnya.
            “Tak apa biar saya buka.” Aku terus mengambil kunci yang tersisip di tangannya, sedikit pun aku tidak memandangnya. Malam ini aku sudah tidak betah memandang mata dan wajah itu. Berdiri di sebelahnya sahaja malam ini mengundang debaran yang bukan sedikit di hatiku, apatah lagi memandang wajah dan matanya. Daripada aku terus memikirkan dan menelah yang bukan-bukan, lebih baik aku mengelakkan diri.
            Sebaik sahaja pintu masuk rumah tu terbuka, Zafril menekana suiz lampu yang terdapat pada dinding berdekatan pintu. Rumah yang tadinya kelam kini terang.
            “Siapa?” Soal satu suara dari arah tangga.
            Aku dan Zafril berpaling ke arah suara itu. Zafril tersenyum melihat ibu dan ayahnya yang berada di atas tangga.
            “MasyaALLAH, kamu rupanya, ingatkan siapa tadi?”
            Zafril mendekati ibu dan ayahnya yang mula turun dari tangga. Salam dihulurkan lalu kedua tangan orang tuanya dikucup.
            “Kenapa dengan tangan ni?” Makcik Hasnah sempat membelek tangan anaknya yang sudah berbalut. “Muka dengan bibir pun pucat. Kenapa ni?”
            “Ha’ah, kenapa ni?” Kini ayah Zafril pula yang membuka soalan.
            “Tak ada apalah ma, pa. Sikit aje ni, esok ajelah kita cerita.”
            “Kenapa tak boleh cerita sekarang?” makcik Hasnah mencelah.
            “Panjanglah mama ceritanya. Esok kita cerita dari A sampai Z. Non stop, okay.” Zafril masih lagi cuba mengelak, mungkin dia sudah keletihan dan inginkan rehat.
            “Eh, Safi pun ada.” Barulah kali ini makcik Hasnah menoleh padaku yang berada di belakang Zafril.
            “Saya yang hantar Encik Zafril ke hospital tadi makcik. Lepas tu terus saya drive ke sini.” Ujarku yang mula bergerak perlahan menghampiri keluarga itu. Aku tidak mahu orang tua Zafril salah faham akan kehadiranku pada waktu-waktu malam begini.
            “Safi kenalkan ni ayah saya.” Zafril memperkenalkan ayahnya padaku.
            Aku menganggukkan kepala pada ayahnya sambil tersenyum dan ayah Zafril tururtmelakukan hal yang sama.
            “Saya minta diri dululah makcik, pakcik.” Aku memohon diri. Aku tidak mahu berlama-lama di situ, pasti Zafril dan keluarganya memerlukan rehat yang secukupnya terutamanya Zafril.
            “Safi nak balik dengan apa ni?”
            Soalan makcik Hasnah itu menyedarkanku. Bagaimana untuk aku pulang pada jam tiga pagi begini? Sedangkan aku ke sini pun dengan kereta Zafril.
            “Ha’ahlah, awak hantar saya tadi pun dengan kereta saya kan?” Soal Zafril pula.
            Kini ketiga-tiga pasang mata itu merenungku. Aku mula kalut tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Muncul idea saat aku terpandang kunci kereta Zafril yang masih berada di tanganku, tapi entah Zafril mengizinkan atau tidak? Kini tumpuanku terarah padanya.
            “Encik Zafril, saya…” Namun belum sempat aku meminta kebenaran, Zafril terlebih dahlu merampas kunci kereta dari tanganku. Aku sedikit tersentak dengan tindakannya.
            “Jangan mimpi awak dapat pinjam kereta saya malam ni.”
            Rasa malu mula menyerbu ke mukaku apabila mendengar kata-kata Zafril itu. Tambahan pula kata-kata itu diucapkan di hadapan orang tuanya. Sepertinya aku ini seorang wanita yang suka meminta-minta pula.
            “Jangan salah faham. Saya bukan tak nak bagi awak pinjam kereta saya Cuma saya risau awak drive sorang diri malam-malam macam ni.” Pantas Zafril menerangkan apabila melihat wajahku yang sudah berubah riak sebentar tadi.
            Lega hatiku mendengar penerangannya. “Tak apalah kalau macam tu saya…”
            “Jangan nak kata awak nak balik naik teksi. Awak ingat senang ke nak dapat teksi waktu-waktu ni? Lagipun awak ingat saya tak risau lepaskan awak naik teksi sorang diri. Mahu tak boleh tidur saya malam ni tau.”
            Aku mencebik di dalam hati. Belum sempat aku memberikan sebarang penyelesaian  Zafril telah memotong setiap apa yang ingin aku katakan. Jika itu tak boleh, ini pun tak boleh, jadi di mana aku harus tidur malam ini?
            “Safi tidur sini ajelah malam ni.” Makcik Hasnah membuka cadangan.
            Tidur sini? Tiba-tiba dadaku berdebar. Otakku mula berfikir, takkan aku mahu tidur di sini? Ish, macam…
            “Okay juga tu, awak tidur sini jelah malam ni.” Zafril terus mencelah sebelum sempat otakku menilai pelawaan itu. Dia kemudiannya terus bergerak ke anak tangga.
            “Eh, dah nak tidur ke?” ekor mata Makcik Hasanah lekas menyoroti langkah kaki anak bujangnya.
            “Ha’ah, penatlah mama, mengantuk pula tu.”
            “Nak mama ambikkan air?”
            “Tak apalah mama. Dah mengantuk sangat ni. Assalamualaikum semua.” Terus sahaja Zafril menaiki anak tangga tanpa menoleh lagi, meninggalkan aku terkontang-kanting berhadapan dengan ibu bapanya di sini.
            Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan saat ini. Senyuman makcik Hasnah kubalas seadanya sahaja, kerana aku sedang mengawal rasa gugupku.
            “Tak apalah, abang masuk bilik dulu. Has nak tunjukkan Safi bilik.” Bicara makcik Hasnah lembut pada suaminya. Apabila suaminya sudah berlalu barulah dia memandangku semula.
            “Mari makcik tunjukkan bilik.”
            Aku hanya menurut sahaja langkah Makcik Hasnah menuju ke sebuah bilik tamu di tingkat atas. Kemudian dia meninggalkanku di bilik tetamu yang agak luas itu.
            “Kalau Safi nak apa-apa ketuk aje bilik makcik kat depan bilik ni ye. Jangan malu-malu buat macam rumah sendiri.”
            Kata-kata Makcik Hasnah sebelum dia berlalu kebiliknya sebentar tadi benar-benar membuatkan aku tersenyum sendiri. Takkan pula aku mahu mengetuk bilik suami isteri itu malam-malam begini.
            Bunyi ketukkan pintu benar-benar memeranjatkanku. Walaupun ketukkan itu tidaklah sekuat mana tapi cukup untuk memeranjatkanku. Tidak mungkin Makcik Hasnah berpatah semula ke sini setelah menghilang sepuluh minit tadi. Sebaik sahaja pintu terbuka, membutang mataku melihat Zafril berdiri di hadapanku dengan baju yang belum bertukar. Bukankah dia sudah tidur di biliknya?
            “Ni ada tuala dan baju Kak Anni. Awak pakailah dulu.” Zafril menyuakan padaku tuala dan baju tidur berwarna coklat.
            Aku masih berkira-kira sama ada mahu menyambut atau tidak baju itu. Sebentar tadi Makcik Hasnah sudahpun menyediakan tuala dan baju tidur untukku. Tapi jika aku memberitahu hal itu pada Zafril pasti pelbagai alasan akan keluar dari mulut itu hingga baju itu tetap bertukar tangan. Sewaktu otakku masih lagi berfkir, tanganku telah terlebih dahulu menyambut baju dan tuala itu.
            “Terima kasih. Er… selamat malam.” Tangan kiriku sudah sedia memegang tombol pintu untuk menutup pintu, aku tidak mahu ibu bapanya tiba-tiba keluar dan berfikir yang bukan-bukan pula melihat aku dan Zafril begini. Namun belum sempat pintu itu kututup sepenuhnya Zafril memanggil namaku, menghalangku menutup pintu. Aku kembali menguak pintu itu tapi kali ini aku hanya menguaknya separuh sahaja.
            “Saya nak minta maaf.” Perlahan sahaja suara Zafril tika ini.
            Aku pula berkerut mendengar ungkapan maaf itu.
            “Pasal kes Datuk Razali dengan awak kat hotel hari tu.” Zafril berhenti sebentar sebelum meneruskan kata. “Saya dah tahu perkara yang sebenar, Amy dah cerita pada saya. Saya tahu saya tak patut marah awak sampai macam tu sekali hari tu, lepas tu tuduh pula awak yang bukan-bukan. Awak pula terpaksa menadah marah saya berhari-hari. Laju sajau tutur katanya berbicara. “Pasal semalam pula, saya betul-betul tak sengaja, saya terlupa. Jadi saya minta maaf.” Tambah Zafril lagi.
            Aku tersenyum, entah mengapa rasa marahku yang mengunung seolah-olah tidak pernah wujud di hatiku saat ini. “Tak apalah encik, hal kecil je tu.”aku terus tersenyum, hatiku juga turut tersenyum. Entah bila hal yang semalamnya sebesar gunung kinabalu tiba-tiba saja menjadi hal yang kecil pada fikiranku. Namun aku yakinkan bahawa aku benar-benar telah memaafkannya.
            “Yang sebenarnya…”
            Aku mengangkat kening menunggu Zafril meneruskan bicara yang tersekat.
            “Yang sebenarnya, saya cemburu bila nampak awak dengan Datuk Razali kat hotel hari tu. Sebab tulah saya angin semacam je.” Zafril tergelak kecil.
            Benarkah dia cemburu? Bukankah cemburu itu tandanya sayang? Alahai, hati janganlah menelah benda yang bukan-bukan. Benda yang tidak tahu sejauh mana kebenarannya, ngomelku sendirian.
            “Tak apalah, saya masuk bilik dulu. Selamat malam. Assalamualaikum.” Zafril terus berlalu apabila aku tidak memberikan sebarang reaksi.
            Aku pantas menutup pintu bilik apabila selesai menjawab salamnya di dalam hati. Hatiku saat ini mula berbolak-balik dan berfikir yang entah apa-apa, yang semuanya berkisar tentang Zafril. Kuletakkan baju yang Zafril berikan ke atas katil bersebelahan dengan baju yang Makcik Hasnah berikan. Mataku memandang baju-baju itu silih berganti. Akhirnya aku mencapai baju yang dibawa oleh Zafril sebentar tadi dengan hati yang sudah lain rentaknya.           

Bersambung...

P/S : Adah mohon beribu2 maaf atas kelewatan mengPOSTkan entry ini... ada hal yang tak dapat nk dielakkan...  Harap sudi maafkan yer... Terima kasih semua. Jumpa next entry... :)

10 comments:

Anonymous said...

mula2 geram jgk..tp skrg mood happy... coolyer zafril..

amira aihara said...

sweetnya zafril...

Minsofea said...

sangat suka......

~cik sRi Aihaa~ said...

best3...
sweetnye zafril~~
hee~~~~
x sabar nak tunggu entry baru...
cepat2 update ye? (^_^)

evy said...

emm....bila lg SAfi n Zafril nak b'cinta?....
x sbr nak tggu next n3.

ieda ismail said...

da makin best......tggu dorg sah jd couple la plak

Nurul QisDhira said...

best..... ;)
romantiknya safi dgn zafril tu..
hehehe... safi! cptlah sedar.. zafril dh bg hint tu... entry kali ni mmg best !

blinkalltheday said...

sukenyeeeeeeee

Anonymous said...

mizz luvchapud said ...
best kn klau dpt bf @ boss cmni kn ..
hehehe ..

Anonymous said...

Hati ini sedang berbunga......@bluescarf

Post a Comment