Friday, October 21, 2011

Ada Di Hati - Bab 25


DUA PULUH LIMA
            “Akak!”
            Shania melompat ke arahku lantas terus memelukku yang sedang berbaring di atas katil. Terkejut aku dengan kehadirannya dibiliku secara tiba-tiba itu. Entah bila dia masuk, aku tidak perasan. Jauh benar aku membuang lamunan sebentar tadi.  
            “Ish, cuba bagi salam dulu.” aku mengiring mengadapnya.
            “Opsss… sorry ye Ustazah. Assalamualaikum.” Girang sekali Shania tika ini.
            “Waalaikumusalam.” Aku tersenyum apabila dia mengelarku begitu.
            “Akak menungkan apa tadi? Sampai Nia masuk pun akak tak perasan. Terkenangkan Hafiz ke?”
            Aku mengetap bibir. Sejak pertemuan kami berempat beberapa hari lalu di restoran, Shania seolah-olah sedang cuba merapatkan aku dan Hafiz. Setiap kali kami bertemu, pasti dia akan bercerita tentang Hafiz. Habis semua benda tentang Hafiz diceritakan padaku, rasanya tiada satu pun perkara tentang Hafiz yang dia tahu tidak dia ceritakan padaku. Aku pula hanya memampu mendengar setiap kisahnya.
            “Jangan nak merepek ye.” Sangkalku terus. Memang bukan dia yang aku fikirkan sebentar tadi.
            Shania ketawa besar. “Tapikan kan kak, Hafiz tu nampak macam…”
            “Dah…dah, jangan nak melalut lebih-lebih.” Segera aku sekat segala apa yang ingin Shania sampaikan padaku. Sejak dahulu aku memang tidak suka jika ada yang mahu menjadi matchmakerku. Entah-entah Hafiz sendiri tiada apa-apa perasaan padaku, cuma Shania saja yang berlebih-lebih.
            “Dari mana ni?” Soalku cuba menukar topik perbualan. Dan yang sebenarnya, aku memang mahu tahu dari mana dia malam-malam begini baru sampai ke rumah orang tuaku ini sedangkan mak lang sudah pun sampai sejak petang tadi.
            “Nia keluar dengan Abang Add tadi. Dari pagi keluar jalan-jalan, shoping, makan-makan… Seronok betul.” Beria-ia Shania bercerita padaku.
            Aku tersenyum kelat, patutlah dari pagi tadi sehingga kini Zafril tidak langsung menghubungiku. Sedangkan selalunya pada hari minggu begini dia pastinya akan menghubungiku. Paling tidak pun waktu malam begini, sudah tentu aku akan menerima panggilannya yang samata-mata untuk berbual-bual denganku. Nampaknya malam ini tidak mungkin dia  menghubungiku seperti selalu. Dia pastinya akan terus tidur sebaik sahaja sampai di rumahnya nanti. Eh… kenapa pula aku sibuk memikirkan dirinya? Kini soalan itu bermain difikiran.
            “Akak nak tahu tak, esok Nia mula kerja kat Adni Maju tau.”
            Aku terkejut. Benar-benar terkejut. Betulkah begitu? “Ye ke?” ada rasa teruja  mendengar berita itu. Bekerja di bawah satu bumbung dengan Shania sudah tentu hal yang mampu mengembirakan hatiku.
            “Yup, Nia cakap suka-suka je tadi, tapi tak sangka pula, Abang Add setuju dengan cadangan Nia tu.”
            “Baguslah tu, akak pun suka kalau Nia kerja kat situ. Boleh akak buli Nia.” Selorohku.
            “Ish, jahatlah akak ni. Tak baik tau buli budak baik macam Nia ni.”
            Aku tersenyum mendengar Shania yang mula memuji dirinya sendiri. “Shania dah jumpa parent Abang Add?” Soalku, entah kenapa bila berbual dengan Shania aku lebih senang mengelarkan zafril sebagai Abang Add. Mungkin kerana nama itulah yang memperkenalkan aku dengan Zafril tanpa aku sedar.
            Wajah Shania yang ceria tadi sudah berubah masam. “Buat apa nak jumpa dia orang?” balas Shania lemah.
            “Parent Abang Add tu kan saudara kandung Nia. Sampai bila Nia nak mengelak jumpa dengan dia orang?” Aku terus menerus memujuk Shania. Aku tahu dia masih marah dengan ibu Zafril, tapi aku tidak mahu dia jadi begitu pendendam dengan saudara sendiri.
            “Nanti-nantilah.” Balasnya dengan nada malas.
            “Nanti… bila Nia… Kalau…”
            “Okaylah kak, Nia nak mandi ni. Macam biasalah Nia pinjam baju akak ye.” Shania terus memotong kataku dan berlalu ke almari pakaian di sudut bilik.
            Aku mengeluh perlahan, sejak beberapa hari lalu aku asyik menasihatinya supaya berjumpa dengan orang tua Zafril, namun hatinya seolah-olah sudah keras dan tidak dapat dilentur lagi. Aku hanya mampu berdoa agar ALLAH membuka pintu hatinya menziarahi saudaranya yang sudah lama terpisah itu.

“HAH! Apa ni first day kerja dah lambat?” Aku pura-pura meninggikan suara dan mengjengkilkan mata pada Shania.
            Shania tersenyum memandangku yang berdiri tegak di hadapannya sambil mencekak pingang. “Alah, Kak Safi, kan ada lima mnit lagi sebelum masuk waktu pejabat. Kira tak lambatlah kan.” Kata Shania sambil mencubit pipiku perlahan.
            Aku tertawa kecil, aku memang tidak boleh pura-pura marah pada Shania apatah lagi pasti ada sahaja yang Shania akan lakukan untuk mencuit hatiku jika aku mula marah.
            “Dah jom masuk jumpa big boss.” Aku menarik tangan Shania dan membawanya masuk ke dalam bilik Zafril yang pintunya terbuka luas sedari tadi.
            “Dah sampai pun, jemput duduk.” Zafril memberhentikan bacaannya pada akhbar yang tadinya ditatap, kemudian dia melipat semula akhbar itu dan diletakkan ke tepi.
            Shania mula mengambil tempat duduk di hadapan Zafril dan aku lebih senang berdiri sahaja di sebelah Shania.
            “Kak Safi tak duduk ke?” Shania menarik satu lagi kerusi di sebelahnya, memberi ruang untukku duduk.
            “Tak apa, akak ada kerja kat luar. Kerja elok-elok ye. Akak Cuma nak nasihatkan Nia supaya hati-hati sikit dengan kaki buli yang ada kat depan Nia ni.”
            Membulat mata Zafril mendengar aku berkata begitu pada Shania. Walaupun aku hanya berbisik dengan Shania namun nampaknya Zafril dapat mendengar dengan jelas setiap patah perkataan yang keluar dari bibirku.
            What? Kaki buli?” Zafril merenungku tajam.
            Yes, you’re.” balasku dan Shania serentak. Kemudian kami sama-sama ketawa dan Zafril turut tersenyum memandang kami.
            “Kalau Nia nak tahu, Encik Zafril ada buat undang-undang pelik kat syarikat ni. Semua pekerja baru diwajibkan cuci tandas selama seminggu.” Sengaja aku mereka cerita, menyakat Shania. Sudah lama aku tidak mengusik gadis cantik ini.
            Really? Oh, no!” Shania kelihatan benar-benar terkejut.
            Aku mengetap bibir menahan tawa yang ingin keluar. Apabila aku melihat Zafril cuba membuka mulut bagi menyangkal dakwaanku itu, pantas aku mengenyitkan mata kananku padanya, memberi isyarat agar dia turut masuk dalam rancanganku untuk mengusik Shania. Aku tahu, jika memang ada undang-undang sebegitu di syarikat ini, pasti Zafril tidak akan sampai hati mengarahkan adik sepupu kesayangannya melakukan tugasan itu.
            “Abang Add, betul ke ni?” Soal Shania sekali lagi apabila Zafril hanya mendiamkan diri dan merenung diriku. Matanya masih lagi terarah padaku, panggilan daripada Shania seumpama angin yang tidak langsung terdengar pada pendengarannya. Aku pula semakin malu pada Shania apabila Zafril merenungku sehingga sebegitu sekali.
“Abang Add?” Panggil Shania sekali lagi.
Suara Shania yang sudah sedikit meninggi itu menghentikan renungannya padaku. Pantas dia menoleh pada Shania, namun masih tdak mengeluarkan sebarang kata.
“Akak tak tahu. Pandai-pandailah Nia handle ye.” Aku terus melangkah keluar dari bilik itu membiarkan Zafril berdua dengan Shania.
Gugup pula kurasa apabila menerima pandangan sebegitu dari Zafril di hadapan Shania. Entah apa yang membuatkan dia merenungku sehingga sebegitu sekali sebentar tadi.

Sy tggu Safi kat bawah, pukul 12.30. Sy nk mnt tolong sikit.
APABILA selesai membaca mesej kiriman Hafiz itu aku tahu tidak ada ruang lagi untukku mengelak darinya kali ini. Sejak minggu lalu, sudah banyak kali aku mengelakkan diri apabila dia mengajakku untuk bertemu dengannya. Jadi kali ini aku tidak mampu mengelak lagi. Lantas aku menelefon Hafiz untuk menyatakan persetujuanku. Lagipun dia memerlukan pertolonganku jadi tidak salah aku menghulurkan pertolongan pada lelaki yang baik hati itu.
            Tepat pukul 12.30 tengahari aku terus turun dari bangunan pejabatku, aku pasti hari ini Zafril akan keluar makan tengahari bersama dengan Shania jadi aku tidak mahu menganggu mereka berdua. Sampai sahaja aku di bawah, Hafiz telah sedia menungguku bersama-sama dengan kereta yang pernah aku langgar dahulu.
            Sorry lambat sikit.” Aku melemparkan senyuman pada Hafiz yang bersandar di sisi keretanya.
            “Tak lambatlah, oklah ni.” Hafiz bergerak dan membuka pintu penumpang hadapan untukku.
            Aku tersenyum kelat dengan tindakan Hafiz. Aku sememangnya dari dahulu tidak suka jika ada orang lain membuka pintu kereta untukku. Mungkin kebanyakkan wanita menganggap tindakan itu bersifat gentleman, tapi bagiku itu semua tidak perlu. Kalau sekadar membuka pintu kereta, bukanlah masalah yang terlalu besar sehingga memerlukan bantuan orang lain.
            Hafiz meneruskan pemanduannya apabila dia pun sudah berada di dalam kereta. Aku membiarkan sahaja dia menentukan destinasi kami. Setelah keretanya sampai di Taman Melawati, dia membelok keretanya memasuki sebuah kawasan rumah banglo yang telah diubah suai menjadi sebuah ruang pejabat. Aku menoleh memandang papan tanda perniagaan yang tertera. ‘Trend Decoration’. Aku lantas memandang Hafiz dan mengangkat kening apabila dia sudah mematikan enjinnya.
            “This company buat decoration untuk rumah yang saya baru beli. Saya nak Safi bagi cadangan untuk decoration bilik bacaan dan bilik utama saya. Bahagian yang lain semua dah hampir siap cuma tinggal dua bahagian tu aje yang saya cerewet sikit.”
            “Kenapa tak guna tema yang sama je?” Soalku setelah kami keluar dari kereta dan menuju ke dalam pejabat utama syarikat decoration itu.
            “Maksud Safi?”
            “Yelah, contohnya kalau bahagian lain dah guna tema English stail ataupun Arabic stail, so guna jelah tema yang sama bagi bilik bacaan dan bilik utama, kan senang.” Aku memberikan cadangan. Terlalu banyak tema dekorasi di dalam sesebuah rumah hanya akan membuatkan rumah itu nampak terlalu semak pula nanti. Itu pandangan peribadiku
            “Betul juga tu, tapi kalu semua bahagian guna tema yang sama takut boring pula.”
            Belum sempat aku terus memberikan pandangan, kami terlebih dahulu telah disambut sebaik sahaja melangkah masuk. Wanita yang tudung litup, yang Hafiz kenalkan sebagai pemilik syarikat tu itu menerangkan beberapa cadangan tema untuk bilik bacaan dan bilik utama. Dan Hafiz nampaknya lebih senang aku yang membuat keputusan untuk dirinya.
            Aku pula yang beria-ia memberi pendapat dan komen tentang cadangan yang dibentangkan oleh pereka dalaman itu. Hafiz hanya mendiamkan diri sahaja. Dia hanya memerhati sambl tersenyum. Sebenarnya aku bukannya tahu sangat tentang hal-hal penguabhsuaian rumah, jadi aku sekadar menyuarakan pendapatku tentang warna yang dipilih dan material yang akan digunakan. Rasanya pendapat sebegitu sesiapa sahaja boleh memberikannya.
            Hampir sejam kemudian barulah perbincangan itu tamat. Aku mengerling jam tangan, hampir 1.30 petang. Pukul 2.00 petang nanti waktu pejabat akan bersambung semula, jadi aku mahu segera pulang ke pejabat.
            “Terus hantar saya ke pejabat ye.” Kataku apabila sudah berada dalam kereta dan mengenakan tali pinggang keledar.
            “Eh, tak nak pergi makan dulu ke?”
            “Tak apalah, dah lambat ni. Takut bos mengamuk pula kalau lambat.”
            “Mana boleh macam tu. Takkan tak nak makan tengah hari ni. Nanti perut Safi masuk angin pula. Tak apa, kita pergi makan dulu. Bukannya lama pun, sekejap je.” Hafiz mula melepaskan brek tangan dan memandu keluar dari kawasan letak kereta.
            Aku mula mencongak-congak, memikirkan cara agar aku dapat memenuhi kehendaknya sekaligus aku akan sampai tepat pada masanya di pejabat.
            “Kita pergi drive-thru Mcd ajelah. Lepas tu makan dalam kereta. Taklah saya dan Hafiz lambat masuk pejabat. Macam mana?” Cadangku.
            “Tak apa ke? Sempoi sangat tu.” Hafiz seakan-akan berat mahu menerima cadanganku.
            “Tak apa. Saya tak kisah.” Aku cuba menyakinkan Hafiz.
            “Okaylah, saya ikut Safi aje.” Hafiz membelok keretanya mencari restoran Mcd yang berhampiran.
            Setelah membuat bayaran untuk dua set burger, Hafiz meneruskan pemanduannya menuju ke pejabatku.
            “Hafiz tak makan ke?” segan pula aku untuk makan seorang di dalam kereta itu dan Hafiz pula terpaksa memandu.
            “Tak apa, Safi makan dulu.” Balasnya sambil mengerling sekilas padaku di sebelahnya.
            Aku mengangguk kepala dan mula menjamah burger yang berada di tangan.
            “Safi, saya tanya satu soalan boleh?” Soal Hafiz secara tiba-tiba.
            Aku mengelap mulut dengan tisu yang turut disediakan di dalam beg kertas itu, kemudian aku menganggukkan kepala membenarkan dia meneruskan soalannya.
            “Safi, dah ada teman lelaki?”
            Aku yang baru sahaja ingin menyedut air dari straw menghentikan perbuatanku apabila mendengar soalan Hafiz. Aku tersentak, tidak menyangka dia akan menanyakan soalan sebegitu padaku. Nasib baik aku belum menyedut air itu, jika tidak pasti tersembur keluar semula air itu dari mulutku.
            Apakah jawapan yang harus aku berikan padanya? Memang aku belum mempunyai teman lelaki tetapi di hatiku kini kian tertanam suatu nama. Zafril! Iya aku mengaku yang aku sudah mula jatuh cinta pada lelaki itu. Tapi aku tidak tahu sama ada dia turut mencintaiku atau tidak kerana tiada kata-kata cinta untukku yang terluah dari bibir lelaki itu. Memang aku ada menerima kad yang mengandungi kata-kata cinta darinya tapi aku tidak tahu sama ada dia memang bermaksud sebegitu atau dia sekadar mahu mengusikku seperti selalu. Jadi aku sebenarnya tidak tahu siapa sebenarnya aku di hati Zafri;? Jadi jawapan apa yang perlu aku berikan pada Hafiz dan mengapa pula Hafiz mahu mengetahui tentang hal itu?
            “Dah ada ke?” Soal Hafiz sekali lagi apabila aku masih membatukan diri seolah-olah tidak mahu menjawab soalan itu.
            “Belum” sepatah perkataan yang keluar dari mulutku dan aku bertambah pelik apabila terlihat senyumannya apabila itu yang aku sampaikan.
            “Burger Hafiz ni saya letak kat belakang ye.” Sengaja aku menyimpangkan topik perbualan. Aku tidak mahu meneruskan perbualan sebentar tadi. Senyuman yang Hafiz lemparkan terasa semacam.
            Sebaik sahaja Hafiz memberhentikan keretanya di hadapan bangunan pejabat itu, aku dengan pantas membuka tali pinggang keledar, aku sudah tidak sabar-sabar mahu keluar dari kereta itu.
            “Terima kasih.” Ujarku pada Hafiz dan tanganku sudahpun memegang pembuka pintu.
            “Saya yang sepatutnya berterima kasih pada Safi.”
            “Tak apa hal kecil je tu. Okaylah saya naik dulu.”
            “Eh, Safi nanti dulu.” Halang Hafiz apabila aku telah pun menoleh dan ingin membuka pintu keretanya. Aku berpaling memandang Hafiz semula.
            “Lepas ni kalau saya nak keluar dengan Safi lagi boleh?”
            Aku terdiam seketika, tidak bersuara. Aku masih berfikir jawapan apa yang harus aku berikan padanya kali ini. Dan sewaktu aku masih berfikir tingkap kereta di sisku diketuk seseorang. Aku menoleh memandang Shania yang sedang membongkokkan badannya memandang kearahku dan Hafiz silih berganti. Sambil tersenyum, Shania memberi isyarat tangan agar kami segera keluar dari kereta.
            Tanpa menjawab soalan dari Hafiz aku terus sahaja kelaur dari kereta, begitu juga dengan Hafiz. Aku merasa lega dengan kedatangan Shania itu secara tidak langsung aku tidak perlu menjawab soalan yang Hafiz ajukan sebentar tadi.
            Namun rasa legaku tidak lama, sebaik sahaja aku keluar dari kereta, Zafril turut berada di situ. Betul-betul di sebelah Shania. Semua itu membuatkan jantungku mula berdegup laju. Entah kenapa aku seboleh-boleh tidak mahu Zafril tahu yang aku keluar bersama Hafiz. Wajah Zafril yang kelat sedari tadi menyebabkan jiwaku turut gundah.
            “Patutlah awal lagi dah pergi lunch. Rupa-rupanya keluar dating ye.”
            Kata-kata Shania sebaik sahaja aku keluar dari kereta lagi menambahkan rasa tidak senang yang mula menjalar dalam diri. Dan kerana kata-kata Shania itu jugalah Zafril terus memandangku tajam. Aku dan dia saling berpandangan, pandangannya itu menikam anak mataku. Aku pantas mengalihkan pandangan apabila menerima merenungan itu.
            “Mana you bawa kakak I dating?” Shania terus menyoal Hafiz.
            “You nikan Shania, ada-ada je kan.” Ceria sahaja suara Hafiz ketika ini. Hanya aku yang makin tidak menentu.
            “yelah, dah keluar berdua-dua, datinglah tu namanyakan. You dengan kakak I ni ada apa-apa rahsia hati yang I tak tahu ke?” makin ligat pula Shania mengusikku dan Hafiz.
            “Nia…” tekanku perlahan tapi tegas. Aku tidak mahu Shania berkata yang bukan-bukan, lebih-lebih lagi di hadapan Zafril.
            “Rilekslah Kak Safi, kalau dah ada bunga-bunga kemesraan tu apa salahnyakan.” Shania masih lagi tetap dengan sikapnya.
            No comment.” Tambah Hafiz dengan tawa dan Shania turut tertawa.
Tapi hanya aku dan Zafril yang membisu. Aku menahan rasa hati yang makin berdebar hebat. Zafril pula diam seribu bahasa. Langsung tidak berkata apa, hanya rahangnya sahaja yang kelihatan bergerak, seolah-olah menahan marah.
“Zafril Adli!” Zafril mengunjurkan tangan pada Hafiz dan Hafiz turut menyambut unjukan salam itu.
Apabila melihat Zafril dan Hafiz berjabat tangan aku makin tidak sedap hati. Aku cuba menenagkan diri kerana tiada apa yang perlu aku takutkan sebenarnya. Zafril hanya majikanku jadi mengapa aku harus terus berdebar begitu.
“Lupa pula nak kenalkan.” Shania menepuk dahinya. “Abang Add kenalkan ini kawan Shania masa kat U dulu, Faiz Hafizi. Hafiz ni abang sepupu I. Hari tu kita ada jumpa, ingatkan!” Shania memperkenalkan mereka berdua. Walaupun mereka pernah berjumpa minggu lalu tapi Shania tidak sempat memperkenalkan mereka waktu itu.
“Ingat! Erm.. Okaylah, saya minta diri dulu. Shania see you later. Safi, I’ll call you later.” Hafiz meminta diri setelah bersalaman sekali lagi dengan Zafril, Hafiz terus masuk ke dalam keretanya. Sempat juga Hafiz melambaikan tangan padaku sebelum memasuki kereta.
Tanpa menungu kereta Hafiz bergerak, Zafril pantas berpaling dan berjalan masuk ke dalam bangunan 18 tingkat itu. Melihat zafril mula beredar, aku dengan Shania segera mengekori langkah lajunya. Sepanjang perjalanan ke lif Shania sibuk bertanya itu dan ini padaku. Semuanya pertanyaannya itu berkisar tentang rancangan makan tengah hari aku dan Hafiz tadi. Aku sebenarnya tidak mahu Shania terus bercerita tentang perkara itu tapi aku tidak tahu bagaimana untuk membuatkan Shania menutup mulutnya.
“Akak keluar dengan Hafiz tadi sebab dia minta tolong akak bagi pendapat pasal decoration rumah baru dia. Tu aje. Mana ada keluar makan berdua pun.” Terangku pada Shania yang berada disebelahku. Dan yang sebenarnya aku berharap agar zafril turut mendengar penjelasanku itu. Walaupun dia tidak meminta sebarang penjelasan daripadaku tapi entah kenapa hatiku tetap mahu menjelaskan padanya.
“Decoration kondo dia tu ke?” Soal Shania lagi.
Aku mengangguk kepala, sebaik sahaja pintu lif terbuka, Zafril terlebih dahulu memasuki perut lif. Sewaktu aku memasuki lif sempat juga aku melirik mata memandang zafril yang sudah menarik muka masam. Aku mengeluh berat, mengapa sebegitu sekali reaksi yang dia tunjukkan?
“Kenapa pula dia nak minta pendapat akak pasal decoration rumah dia? Apa kena menggena akak dengan rumah dia tu? Pelik ni” Shania meletakkan jarinya di hujung bibir seolah-olah sedang sibuk memikirkan sesuatu.
Aku memejam mata rapat, tidak sangka Shania masih mahu membincangkan tentang perkara itu. Zafril pula masih seperti tadi hanya mendiamkan diri. Sedikitpun tidak berminat untuk ikut campur dalam perbualan kami. Lebih menyedihkan, dari tadi sedikit pun wajahnya tidak menoleh padaku.
“Hafiz pernah kata dengan Nia, dia beli rumah itu supaya senang. Bila dah kahwin nanti isteri dia dah ada tempat berteduh.” Shania diam seketika. “Akak!” Jerit Shania tiba-tiba menyentak diriku. “Entah-entah Hafiz nak ambil akak jadi isteri dia tak?”
Jantungku seolah-olah disentak kuat apabila mendengar telahan Shania. Aku memadang Shania yang sedang tersenyum-senyum. Aku menoleh pula pada Zafril yang masih membelakangkan kami dan mengadap pintu lif yang tertutup rapat. Jari zafril menekan-nekan butang yang tertera nombor lapan berulang-ulang kali. Berkedip-kedip lampu pada butang itu apabila ditujah sebegitu kuat.
            Kali ini aku benar-benar sudah kehilangan kata. Aduh, kenapalah hari ini mulut Shania asyik bercakap tidak mahu berhenti kemudian menelah yang bukan-bukan pula tu.
            “Ish, lambat betullah!” bebel zafril apabila pintu lif yang baru sahaja mahu terbuka. Sebaik sahaja pintu lif itu terbuka luas dia terus meluru keluar dari lif, meninggalkan aku dan Shania di belakang.
            Melihat Zafril yang meluru laju memasuki ruang pejabat, aku turut mempercepatkan langkah mengekorinya. Shania yang sedari tadi berjalan beriringan denganku masih lagi berbicara itu dan ini tentang Hafiz. Aku sudah tidak mengambil berat setiap apa yang dikatakan oleh Shania. Tumpuanku kini hanya pada Zafril. Apabila Zafril yang sudah ke hadapan menginjakkan kaki ke pantry, aku turut mengekori langkahnya dan Shania turut mengikuti jejakku.
            Sampai sahaja di pantry, aku lihat zafril sedang meneguk sebotol air mineral yang diambil dari peti ais yang masih lagi terbuka luas pintunya. Sudah puas  meneguk air itu Zafril menutup semula botol mineral itu dan mencampakan botol yang sudah kosong ke dalam bakul sampah.
            “Encik Zafril nak saya buatkan air?” Soalku gagap, tidak semena-mena rasa takut menerjah sewaktu menanyakan soalan itu.
            Zafril hanya menoleh sekilas padaku. “Tak payah!” tolak Zafril kasar sambil menghempaskan kuat pintu peti ais. Terkejut aku mendengar bunyi dentuman kuat yang terhasil daripada hentakkan pintu peti ais. Kemudian dia mengorak langkah keluar dari pantry, sedikit pun dia tidak menoleh padaku sewaktu melintas di hadapanku.
            “Abang Add, tak apa-apa ke?” Soal Shania pula apabila Zafril melintas di hadapan Shania.
            “Emm…” jawab Zafril pada Shania tanpa menghentikan langkah kakinya.
            Setelah Zafril keluar dari pantry, Shania pantas menoleh padaku. “Kenapa tu kak?”
            “Entah, Nia yang keluar lunch dengan dia tadikan.” Aku sengaja membalikkan soalan itu pada Shania. Aku sudah dapat mengagak sebab perlakuan zafril itu tapi aku tidak tahu sejauh mana benar tekaanku itu.
            “Tadi masa lunch okay je, kenapa pula tiba-tiba nak mengamuk. Pelik.”
            Aku menghembuskan lagi keluhan berat. Hari ini sudah banyak kali aku mengeluh. Zafril apabila sudah meradang susah untuk dibawa berbincang. Aku buntu cara, apa yang perlu aku lakukan kini?

Bersambung...
P/S : Terima kasih buat semua yang sentiasa menanti ADH. Semoga anda terus bersama2 ADH hingga bab yang terakhir... Terima kasih atas kesudian semua :)

13 comments:

zuraidah said...

sewel punya shania ni.....kacau daun aje dia ni, geramnya....sihafiz tu pun satu.....

nur said...

hahaha zaf jeles

Anonymous said...

padanlah dgn zafril pun...tau nak jeles, perasaan tak reti nak luahkan...ngada..

Anonymous said...

eiii... zafril ni suka sangat salah anggap kat orang lain!!!! grrrrrrrrrrrrrr

blinkalltheday said...

tau plk si zafril ni jeles..nia patut lebih prihatin, jgn nak menyebok je..hafiz pun jgn asyik duk expose je..safi plk klu dah taw hati tu suka kt zafril,,, jgn layan hafiz lagi..haha..aci x adah??

fatim fatimah said...

aduiii,,zafril dah mengamuk,,

amira aihara said...

haishhh..macm nak lempang aja mulut si shania nie..geram!!

Eijan said...

Eiii geram dgn Shania di mulut murai tu...saje nak kenenkan Safi dgn Hafiz...tmbah membakar hati Zaf....Tapi bagus juga Zaf dah rasa ada pesaing....Safi kena cepat2 pujuk Zaf dan Zaf kena cepat terus terang dng Safi...

Minsofea said...

zafril kena la propose safi cepat2.....kesian safi, nk jwb dh berpunya ke belum pun jadi keliru....hint saja x cukup

harap selisih faham x lama.....zaf ajak la safi keluar, buat2 ada meeting ke....shania x leh ikut....luah perasaan.....:)

Miss Nurul said...

habis la zafril..
dia dh ada pesaing.
hafiz tu tak kurang hebatnya...
compete habis-habisan..
zafril ni mmg ada penyakit cemburu yg kronik.
pelik tgk safi n zafril.
x declare ap2 pun, tp safi risau sgt bila zafril jelez cm tu.. ish3
cpt2 sambung Kak AH... hehe

fyda said...

walawey,,,zafril da jeles..
pe lagi safi,,mulekanlah adegan pujuk-memujuk 2..
heee

umi kalsom said...

shania n hafiz... mengacau je.
nyah kamu berdua!

Anonymous said...

Zafril....zafril....@bluescarf

Post a Comment