Monday, July 1, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 14



14
            Perjalanan sunyi sepi. Aku mendiamkan diri. Begitu juga dengan abang Naim. Kereta yang dipandu oleh abang Naim laju melintasi jalan raya. Trafik tidak sesesak mana. Waktu bekerja belum lagi tamat untuk orang ramai pulang menggunakan jalan raya yang sama.
            Aku tak tahu ke mana aku akan dibawa. Namun bibirku juga berat untuk bertanyakan hal itu. Jantung daripada tadi bedetuk-detak. Rasa seperti ada yang tidak kena. Kenapa dengan abang Naim hari ini? apa yang penting sangat sehingga tidak sempat untuk dia menunggu aku pulang?
            “Abang Naim nak bawa Ana ke mana?” akhinya aku luahkan. Tak sanggup terus tertanya-tanya sendiri.   
             Abang Naim tidak menjawab. Dia tetap tidak mahu bersuara. Nampaknya ada sesuatu yang sedang mengganggu jiwanya. Aku tidak pernah melihat abang Naim berkelakuan begitu. Dia yang aku kenal, sentiasa tenang menghadapi sebarang kemungkinan. Tapi saat ini, apa yang telah terjadi pada abang Naim?
            Signal untuk ke kiri kerata abang Naim bernyala. Aku toleh kearah yang sama. Tidak nampak mana-mana simpang yang boleh diselusuri. Abang Naim memberhentikan kerana di bahu jalan. Lampu kecemasan dinyalakan. Aku hanya mampu memerhati tindak tanduk abang Naim tanpa sebarang kata.
            “Abang ada benda nak tanya dengan Ana. Abang nak Ana jawab dengan jujur.”
            Wajah abang Naim aku pandang sepi. Kemudian aku alihkan pandangan pada bibirnya. Apakah yang bakal dipersoal oleh bibir itu?
            “Ana tahu tak kenapa umi dengan ayah Ana datang KL hari tu?”
             Aku tidak terkejut dengan soalan yang abang Naim berikan. Aku pernah mendengar soalan yang sama keluar dari mulutnya tempoh hari. Cuma pada waktu itu, aku agak samar dengan keadaannya. Kini aku sudah jelas. Ianya dalam pengetahuanku. “Tahu.” Aku balas setelah mendiamkan diri agak lama.
            “Kenapa?” lagi soalan daripada abang Naim.
            “Pasal pertunangan abang Naimkan?” aku maklumkan.
            “Ana tahu abang Nak bertunang dengan siapa?”
            Aku menggeleng. Aku tidak tahu siapakah wanita bertuah yang ditakdirkan untuk bersama Abang Naim. “Siapa?” tanyaku kembali.
            “Adalah... yang pasti, bukan Ana!”
            Pedih hati mendengar jawapan yang diperdengarkan. Lalu aku buang pandangan keluar tingkap. Abang Naim tak patut membabitkan aku, kerana aku tahu, bukan aku orangnya. Sudah lama aku tahu!
            “Ana marah?” abang Naim bertanya lagi.
            “Tak ada sebab Ana nak marah.” Jawabku pantas. Aku tidak mahu abang Naim membaca gelora di hati.
            “Sekarang ni, abang nak Ana terus terang dengan abang. Ana suka abang, tak?”
            Hampir jatuh jantungku. Soalan kali ini betul-betul mencabar hati.
            “Abang Naim cakap apa ni?” aku tidak tahu bagaimana menjawabnya. Hati ingin mengatakan ya. Sedangkan minda berkali-kali mengingatkan pesan umi. Lupakan abang Naim.
            “Kita dah tak ada masa nak berdolak dalih.” Abang Naim menyambung kata. Tali pinggang keledarnya ditanggalkan. Mungkin dia mahu bebas. “Biar abang bagi tahu Ana. Abang setuju untuk bertunang.”
            Pandanganku sekali lagi menangkap wajah abang Naim. “Tahniah.” Hanya itu yang dapat aku ucapkan. Itupun dalam keadaan hati yang tidak merelakan.
            “Tapi bukan dengan orang lain. Abang cuma akan bertunang dengan Ana. Abang sayangkan Ana.”
             Mataku berkerdip. Tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Geletar seluruh tubuhku. Mimpikah aku?
            “Abang ingatkan mak nak tunangkan abang dengan Ana. Jadi abang setuju.” Abang Naim bercerita. “So please, Ana. Cakap kat abang yang Ana pun sukakan abang. Abang tak bertepuk sebelah tangankan?”
            “Ana...” aku hilang kata.
             “Kalau Ana cakap Ana sukakan abang, sekarang juga kita balik. Abang akan minta emak abang batalkan pertunangan abang dengan perempuan tu. Ana takkan kecewakan abangkan?”
            Aku dihimpit. Perasaan kasih pada abang Naim meminta supaya aku segera meluahkan isi hati. Biar kami sama-sama membina bahagia. Tapi bagaimana dengan pesan umi?
            “Ana.” panggil abang Naim.
            “Ana akui Ana sukakan abang Naim. Sejak Ana kecil lagi.” Penjelasan awalku melahirkan bibit senyuman pada bibir abang Naim. Aku tahu hatinya kian lega. “Tapi Ana tak boleh pentingkan diri. Boleh tak abang Naim bagi Ana masa untuk fikir?” aku meminta sedikit ruang waktu untuk mempertimbangkan semua.
            “Masa kita dah suntuk, Ana.” Abang Naim keberatan.
            “Ana minta sampai esok pagi aje...” rayuku. Ini bukan perkara main-main yang boleh aku putuskan dengan sesuka hati. Restu umi dan ayah harus aku dahulukan. Kalau mereka setuju, sudah tentu aku tidak akan menolak. Ia sudah menjadi harapanku sejak dahulu lagi.
            “Okey. Abang akan tunggu.” Mengalah juga sudahnya abang Naim.

KEPULANGAN aku dan abang Naim disambut penuh gembira oleh mak lang. Terus saja mak lang menarik tangan aku dan abang Naim dan membawa kami ke satu ruang yang sudahpun dipenuhi dengan hantaran.
            “Macam mana, Ana? Lawa tak semua hantaran ni?” mak lang meminta pendapat.
            Aku toleh abang Naim seketika sebelum kembali memandang hantaran yang bertemakan warna merah dan hitam. “Cantik.” Memang cantik. Tidak dapat aku nafikan.
            “Tinggal sirih junjung aje tak siap lagi. Tapi memang tak boleh buat awal-awalpun. Takut layu pula sirihnya nanti.” Mak lang masih tekun memandang hantaran yang tersusun cantik.
            “Naim naik dululah.” Abang Naim melepaskan tangannya yang tadi dipegang erat oleh ibunya. Air mukanya menggambarkan perasaan tidak suka dengan apa yang diperlihatkan.
            “Naim... Naim..” panggilan daripada ibunya sudah tidak lagi Naim endahkan.
            Kini tinggal aku seorang diri di situ. Berjuang melawan perasaan sendiri yang turut mahu menghilangkan diri. Tapi aku sedar, aku tidak patut bertindak begitu.
            Tanganku sudah mak lang lepaskan. Wajahnya nampak sedih. Mak lang melangkah lemah ke ruang tamu. Aku serba salah. Terus mengikut mak lang, atau berlalu dari situ? Sudahnya kakiku sendiri memutuskan untuk mendapatkan mak lang. Aku duduk di sebelah mak lang dengan perasaan yang bercampur baur. Sukar untuk dijelaskan.
            “Mak lang minta maaf kat Ana.” Sayu suara mak lang kedengaran.
            “Kenapa pula mak lang nak minta maaf kat Ana? Mak lang tak ada buat salah apapun.” Aku cuba menenangkan. Kenapa tiba-tiba saja ucapan maaf itu terluah? Sedangkan tiada salah yang dibuat.
            “Mak lang tahu, Naim sukakan Ana,  sama macam Ana sukakan Naim.”
            Aku tersentak! Bagaimana mak lang boleh tahu isi hatiku?
            “Mak lang dapat baca hati Ana dengan Naim. Sebab tu mak lang cepat-cepat carikan calon untuk Naim.”
Cerita baru dibuka. Aku tekun mendengar.
“Tapi Ana jangan salah faham. Bukan mak lang tak sukakan Ana. Mak lang sendiri sayangkan Ana. Niat mak lang cuma nak kembangkan keturunan keluarga mak lang. Ana pun tahukan keadaan keluarga kita. Asyik kahwin dengan saudara aje. Kalau boleh, kali ni mak lang nak elakkan.”
Aku tarik nafas. Penerangan panjang lebar mak lang membuatkan aku faham. Ya, umi, ayah, mak lang, dan pak lang, masing-masing adalah sepupu dan berkahwin atas aturan keluarga. Mungkin mak lang tidak mahu sejarah berulang lagi.  Rasanya aku sudah punya jawapan untuk pertanyaan abang Naim tadi.
            “Kalau Ana bukan anak sepupu mak lang sendiri. Dah tentu Ana pilihan mak lang.” Tambah mak lang lagi.
            Bibirku diam. Tiada perkataan yang terluah. Apa lagi yang boleh aku katakan? Semuanya sudah terang. Cukup jelas tanpa perlu bersuluh lagi.
            “Boleh Ana tolong mak lang?”
Mak lang mula memegang tanganku. Membuatkan mataku menatap wajah mak lang. “Tolong?” aku minta kepastian. Pertolongan bagaimana yang mak lang perlukan?
“Tolong nasihatkan Naim, jangan tolak pilhan mak lang. Mak lang tahu, Naim akan dengar cakap Ana.”
Mak lang memohon sesuatu yang sukar. Bagaimana aku dapat menasihatkan abang Naim? Sedangkan aku sendiri tidak tahu cara untuk menyatakan bahawa kami tidak punya jodoh. Mahukah abang Naim mendengar kataku?
“Bolehkan Ana?”
“Insya’ALLAH, Ana cuba.” Aku terpaksa bersetuju walaupun aku sendiri keberatan.
“Terima kasih, Ana.” Mak lang memelukku erat.

SELESAI sahaja solat, aku terus bersiap ke Arena Printing. Aku harus bergerak lebih awal. Semata-mata mahu mengalak daripada bertemu dengan abang Naim. Aku berharap, dengan cara ini abang Naim faham yang sesungguhnya kami tidak mungkin dapat membina masa depan bersama.
            Aku tidak kuat. Lantas semalaman aku menangis. Sesekali terfikir juga untuk menidakkan takdir. Pedulikan kata-kata mak lang dan meneruskan niat untuk bersama abang Naim. Tapi akhirnya fikiran mengalah. Takdir yang ditetapkan tak mungkin mampu aku lawan. Aku hanya perlu melaluinya. Itu saja! Mudah pula fikiran membuat keputusan kerana bukan dia yang terluka. Hati yang perlu menanggung semuanya. 
            Panggilan daripada abang Naim tidak aku jawab. Sudahnya aku matikan terus telefon bimbit. Hari yang kian terang membawa langkahku terus. Arena Printing masih belum dibuka. Pasti abang Joe belum sampai. Jadi aku hanya berdiri seumpama tunggul di situ.
            “Hah, kau. Awal sampai?”
            Aku toleh pada suara yang kedengaran. Siapa lagi kalau bukan penghuni tetap Arena Printing.
            “Awallah juga, bos.” Aku malas mahu bercakap lebih. Jadi aku jawab sekadar perlu.
            “Apasal muka kau pucat macam mayat? Kau sakit ke?”
            Kali ini aku pandang lama wajah encik Afdhal, dengan renungan yang tajam. Aku tahu mukaku pucat. Tapi tak adalah sampai kelihatan macam mayat. Melampau sungguh imaginasi encik Afdhal.  “Taklah. Mana ada sakit. Bos, tolonglah buka roller shutter ni. Bolehlah saya masuk.” Aku tahu encik Afdhal punya kunci. Selain abang Joe. Hanya encik Afdhal yang ada kunci pintu utama Arena Printing.
            “Ah, malas aku. Tunggu Joelah.” Encik Afdhal enggan memberikan bantuan.
            Oleh kerana encik Afdhal enggan, aku juga tidak mahu paksa. Kini aku tidak lagi memberikan perhatian padanya. Melilau pandanganku. Berharap dapat menangkap kelibat abang Joe secepat mungkin. Mana tahu abang Joe sudah sampai.
            “Nah, ambil ni.”
            Pantas tangganku menyambut lambungan daripada encik Afdhal. Berjaya menangkapnya. “Fuh, nasib baik saya bekas pemain bola jaring. Kalau tidak...” aku sudah tersenyum. “Bos bagi kunci ni nak buat apa?” aku memandang sejambak anak kunci yang sudahpun berada dalam genggaman.
            “Tadi kau yang beriya sangat nak buka pintu. Sekarang kau tanya nak buat apa pula!” encik Afdhal mencekak pinggang. “Dah cepat buka. Banyak benda aku nak kena buat lagi. Bukan nak melayan kau seorang aje.”
            Telingaku bingit mendengar bebelan encik Afdhal. Kalau dah tahu tak ikhlas, tak payahlah tolong. Aku hanya mampu membalas dalam hati. Terpaksa aku melutut, membuka mangga yang berkunci rapat pada roller shutter. Satu persatu kunci yang ada, aku cuba padankan dengan mangga. Malas mahu bertanya dengan encik Afdhal, yang mana satu kuncinya.
            Setelah mangga dikeluarkan, aku tolak roller shutter supaya naik ke atas. Berat! Sedaya upaya aku mencuba, tapi tidak berdaya. Tidak pernah aku sangka ianya seberat itu. “ 
             “Beratlah encik Afdhal. Tak larat.” Kataku jujur. Memang aku tidak punya daya. Namun aku masih tetap mencuba. Tidak mahu encik Afdhal menganggap aku sengaja buat-buat tidak larat.
            “Aik, tadi  kata bekas pemain bola jaring. Takkan tu pun kau tak larat?”
            Anak mataku terus memandang roller shutter. Cuba memerhati apakah roller shutter itu punya persamaan dengan bola jaring? Tidak! Mungkin sama dengan tiang golnya? Pun tidak! Jadi  Apa kaitan bola jaring dengan roller shutter?
            “Bos, saya bekas pemain bola jaring, bukan bekas ahli angkat berat negara.” Aku membuat perbandingan. Semoga encik Afdhal faham maksudku yang sebenar.
            “Tak ada stamina langsung. Tepi!” langkah encik Afdhal menghampiri.
            Aku bangun. Membiarkan orang yang kononnya banyak stamina menyelesaikan tugas menolak roller shutter. Sekelip mata sahaja roller shutter berjaya ditolak oleh encik Afdhal.
            “Terima kasih encik Afdhal. Nah kuncinya.” Kunci yang dari tadi aku pegang, kini aku hulurkan kembali pada encik Afdhal.
            Pandangan encik Afdhal bersilih ganti antara aku dan kunci yang aku hulurkan. Dia sedang memikirkan sesuatu. Sesuatu yang aku tidak tahu.
            “Kau peganglah.”
            “Eh, kenapa pula saya nak kena pegang kunci ni? Tak nak saya...” aku tidak mahu. Risau kalau-kalau berlaku pencerobohan pada premis Arena Printing nanti, pasti aku orang pertama yang akan diseret ke balai polis. Ish, tak nak aku!
            “Aku kata kau pegang, kau pegang ajelah. Banyak tanya pula.” Garang encik Afdhal.
            “Tapi bos...” aku memang berat hati.
            “Dah, masuk... masuk. Tadi sibuk suruh buka pintu. Dah buka tak nak masuk pula. Pergi masuk!”
            “Iyalah...” lemah aku berbicara sambil melangkah kaki masuk.
            “Dah sampai awal tu, buatlah apa-apa yang patut. Jangan nak curi tidur pula.”
            Laungan encik Afdhal dapat aku dengar. Rasanya baru sekali aku cuba tidur tempoh hari. Dan cubaan itu telahpun digagalkan olehnya. Kenapa mahu diungkit pula? Benar kata orang. Jutaan kebaikan yang kita buat akan ditutup dengan satu kesilapan kecil yang kita lakukan. Itu yang aku rasa kini. Biarlah... bukan baru sehari dua aku kenal encik Afdhal. Perangainya memang macam tu.

BUNYI kuat roller shutter ditarik memaranjatkan aku yang terlena di bawah meja. Suasana gelap gelita. Ini bermakna Arena Printing sudahpun dikunci dari luar. Aku terkurung sendirian kini. Ya, memang itu mahuku. Sengaja aku menyorokkan diri. Hari ini aku tidak ingin pulang. Aku takut kepulanganku bakal membawa huru hara dalam keluarga mak lang.
            Esok abang Naim akan melangsungkan pertunangan. Aku mahu pertunangan itu diteruskan seperti kehendak mak lang. Aku tidak mahu menjadi penghalang. Maka aku perlu menghilangkan diri untuk malam ini. Selesai majlis esok, aku akan pulang.
            Nampaknya aku harus menginap di sini untuk semalaman. Tiada tempat lain yang boleh aku tuju. Jadi aku memilih untuk menumpang tidur di sini. Dengan penuh berhati-hati aku merangkak keluar dari bawah meja. Kemudian aku berdiri. Perlahan-lahan aku melangkah, menuju ke suis utama. Aku hanya memetik suis lampu dan penghawa dingin yang berhampiran dengan tempatku. Yang lain aku biarkan saja.
            Aku kembali ke tempat. Duduk di atas kerusi beroda. Sengaja aku berpusing-pusing di atas kerusi. Mahu memujuk diri yang dari awal pagi tadi tidak sudah meratapi nasib. Kekecewaan masih bersarang. Bagaimana untuk menghapuskannya? Apabila terasa pening, aku menghentikan kerusi yang terus berpusing seperti arahan. Alangkah bagusnya kalau hatiku juga begitu. Mahu mendengar kata.
            Telefon bimbit masih mati. Kalau dihidupkan, pasti aku akan dijejaki. Jadi untuk hari ini aku harus melupakan kewujudan telefon bimbitku. Jam ditangan menunjukkan pukul 8.05 minit malam. Aku beristigfar. Solat maghrib masih belum aku kerjakan. Lalu aku segera melangkah ke tandas di belakang. Mahu membersihkan diri dan mengambil wuduk.    
            Hampir jam 9.00 malam, aku selesai menunaikan solat. Masih terlalu awal untuk tidur.  Perut pula menyanyi kelaparan. Mana taknya, satu makananpun belum masuk ke dalam perutku hari ini. Kononnya tadi hilang selera. Sekarang, kelaparan pula. Dahlah dikunci dari dalam. Bagaimana aku mahu keluar? Kalau bolehpun, beranikah aku untuk keluar bersendirian?
            Akhirnya aku teguk saja air mineral yang masih ada dalam botol, di atas mejaku. Cukuplah buat mengalas perut. Esok saja fikirkan pasal makan. Lebih baik aku tidur. Lagi awal aku tidur, lagi cepat aku sampai kepada siang hari. Pada awalnya, aku merancang untuk tidur di dalam ruang solat. Tapi aku ubah fikiran. Lebih baik aku tidur di tepi mejaku saja. Lebih disinari cahaya.
            Kerusi aku tolak masuk ke bawah meja. Sehelai sejadah aku bentang sebagai alas tidurku. Manakala sehelai lagi aku lipat cantik, untuk dijadikan bantal kepala. Aku mula baring. Hilang sedikit lelah seharian. Mata aku pejam rapat. Memaksa untuk tidur.
            Rasa sudah letih memusing ke kiri dan kanan. Namun tidak juga berjaya untuk lena. Jam aku tengok lagi. Untuk kali yang keberapa, aku sendiri tidak pasti. Apa yang pasti, setengah jam lagi, hari baru bakal menjelma. Hari yang dinantikan oleh mak lang sekeluarga.
            Aku bangun. Sejadah yang tadinya terbentang, aku alihkan. Aku mahu melakukan senaman ringan. Bermula dengan regangan otot. Beralih dengan acara lompat bintang, dan akhirnya aku membuat larian setempat. Aku harap selepas ini aku dapat tidur lena. Tidak lagi memikirkan tentang abang Naim. Setelah keletihan, aku duduk seketika di atas meja.
            Sedang aku meneguk air mineral yang masih berbaki tadi, aku dikejutkan dengan bunyi roller shutter. Kelam kabut aku terjun dari meja. Dan meniarap di atas lantai. Jantung sudah menghidupkan larian. Semakin lama semakin laju. Bunyi mesin touch card pula kedengaran. Petanda pintu kaca bakal dibuka. Siapa gerangan yang datang ke pejabat tengah malam begini? Abang Joe atau encik Afdhal?
            Aku tarik sejadah yang tadinya menjadi bantal kepala. Sejadah aku hamparkan bagi menutup muka dan kepala. Menyorokkan diri. Berharap aku tidak dijumpai. Nafasku turun naik, penuh debaran.
            “Bangun!”
            Kakiku disepak perlahan berkali-kali. Aku sudah tertangkap! Dan aku tahu siapa yang berjaya menangkap aku!
            “Tak payah nak menyorok sangatlah. Bangun aku cakap!”
            Taktikku, buat-buat kaku tidak berjaya. Terpaksalah aku mengangkat bendera putih, menyerahkan diri. Aku berjaya di tawan.
            “Kau buat apa kat sini malam-malam buta ni? Apasal kau tak balik?”
            Aku terima dua soalan berturut dalam masa kurang lima belas saat. Entah apa nasib aku. Selalu tertangkap dengan encik Afdhal. Persoalannya bagaimana dia boleh tahu aku ada di sini?
            “Saya nak tumpang tidur sini semalam boleh tak encik Afdhal?” aku masih memegang kuat sejadah yang sudah aku jadikan tudung, menutup kepala.
            “Balik. Sekarang juga aku nak kau balik.”
            Daripada kata-kata itu, aku tahu encik Afdhal sudah tidak mengizinkan. Tapi gila! Aku nak balik naik apa? sempat aku kerling jam tangan. Beberapa minit saja lagi masuk jam 12.00 malam.
            “Dah dekat pukul 12.00 dah ni, encik Afdhal. Tolak ansurlah sikit. Saya nak balik naik apa? mana ada public transport waktu-waktu macam ni. Takkan saya nak jalan kaki?” aku tunjukkan jam tanganku padanya. Biar dia lihat dengan matanya sendiri. Aku tidak berbohong.   
            “Itu hal kau. Aku peduli apa. Kau nak balik ke, kau nak aku panggil Jabatan Agama Islam? Kau pilih?”
            Tersenyum aku mendengar ugutan encik Afdhal. Nak panggil Jabatan Agama Islam? Kalau iyapun nak halau aku, carilah alasan ugutan yang kuat sikit. “Alah, encik Afdhal berani ke panggil Jabatan Agama Islam? Sanggup ke kahwin dengan saya? Kak Dahlia macam mana?” aku tahu encik Afdhal takkan seberani itu. Segila-gila encik Afdhal, dia takkan sanggup buat gila, menduakan kekasih hatinya, Dahlia.
            “Apa susah. Kau jadi nombor satu. Dahlia jadi nombor dua.” Bersahaja balasan daripada encik Afdhal.
            Aku pula yang rasa cuak. Tapi aku buat-buat ketawa. “Saya tahu encik Afdhal takkan berani buat macam tu.”
            “Kau teruskanlah tidur. Aku nak pergi tutup pintu sekejap. Lepas tu nanti aku call Jabatan Agama Islam. Tidur lena-lena, ya sayang.” Encik Afdhal mengenyitkan mata. Seketika kemudian dia berjalan merealisasikan kata-katanya.
            “Nanti!” aku jerit. “Iyalah, nak baliklah ni.” Tanpa banyak cakap, aku terus masuk ke ruang solat. Tudung yang tersidai pada rak kayu aku ambil dan sarungkan ke kepala. Air mata sudah rasa mahu menitis. Mana aku nak pergi? Sungguh aku tidak berani bersendirian pada waktu-waktu begini.
            Selesai meletakkan sejadah yang sudah aku lipat ke tempat asalnya, aku berjalan mendapatkan beg tangan. Encik Afdhal sudah berdiri di muka pintu. Tidak sabar-sabar dia mahu menghalau aku keluar.
            Aku berhenti betul-betul di hadapan encik Afdhal. Bukan mahu merayu lagi. Ada perkara yang mahu aku tanyakan. “Mana encik Afdhal tahu saya ada dekat sini?” soalku dengan hati yang marah.
            “Tu.” Encik Afdhal menghalakan tangannya. Menunjukkan sesuatu.
            Pandanganku mengikut arah yang ditunjukkan. Langsung aku pejam mata. Sejak bila Arena Printing dilengkapi dengan kamera CCTV? Setahu aku tidak ada!
            “Dahlah, pergi balik.”
            “Nak baliklah ni.” Aku buat tangan serupa harimau. Mahu saja aku mencakar wajahnya. Tapi pergerakanku sekadar terhenti di hadapan wajah encik Afdhal. Tidak mampu meneruskan niat. Menapak aku meninggalkan Arena Printing. Langkahku perlahan dengan harapan encik Afdhal akan mengejar. Tapi aku hampa. Saat aku menoleh encik Afdhal sudahpun siap mengunci roller shutter dan berjalan masuk ke ruang lif.
            Langkah semakin laju. Tiada tempat lain yang dapat dituju, melainkan perhentian bas di hadapan stesyen Lrt. Mulutku kumat-kamit. Mengulang bacaan surah yassin daripada ayat satu hingga sembilan. Aku pernah mendengar ceramah Doktor Fatma Elzahra Muhamad Ramadan. Katanya, ayat itu patut dibaca oleh orang-orang yang ketakutan, melalui jalan gelap misalnya. Ia umpama ayat pendiding dengan izin ALLAH. Semoga ALLAH melindungiku.

ANGIN malam makin menggigit tubuh. Kesejukan aku di situ. Hanya ditemani cahaya dari lampu jalan. Sekali sekala, ada juga kenderaan yang lalu. Aku buat tak tahu. Tidak bertujuan untuk berbuat apa-apa. saling tak tumpah seperti seorang musafir.
            Aku peluk tubuh. Menahan kesejukan. Mata mula kuyu. Mengantuk semakin menjadi-jadi. Tadi di Arena Printing tidak pula ada rasa mahu tidur. Tersengguk-sengguk aku, menahan mata yang semakin hampir dengan lena.
            “Itulah, lain kali jangan lari dari rumah.”
            Mata kembali segar. Suaranya yang berkumandang begitu hampir kedengaran di telinga. Siapa yang berbicara? Terus mati lenaku.   

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum semua pembaca tegar JJC. Tamat sudah entry 14. Insya'ALLAH entry 15 bakal menyusul nanti. Sebarang komen untuk pembaikan sgt dialu-alukan. Terima kasih tidak terhingga kerana memberikan sedikit masa utk JJC. Semoga semua diberkati ALLAH SWT. Amin. Jumpa next entry.. :)

9 comments:

Anonymous said...

Cite ni best sgt.cpt sambung ye kak...

Anonymous said...

suka2...mesti abang naim yg tegur tu...hehe =)

madame iu said...

saya suke je...lagi lagi...

umi kalsom said...

sentiasa follow cerita kak Adah. ini pun... suka dan tertanya-tanya. insyaAllah, pasti ini juga yang terbaik daripada Kak Adah :)

Kak Sue said...

Kasihan Ana dan Naim... kalau dulu mak lang, pak lang, umi dan ayah kahwin atas aturan kelurga dan bersaudara ...
tapi ana dan naim nak kahwin atas pilihan sendiri bukan aturan kelurga ... x salah lah tu...
adakah mak lang tahu naim akan bahagia kalau di paksa???... kasihan naim
Rasanya yang tegur ana tu en afdhal .... sebab nak pastikan ana selamat.... bestttt

Anonymous said...

Sedihlah. Kasihan kat Ana dan Naim. Bestlah kalau diorang dapat bersama tapi en. afdhal macam mana nanti? Tak sabar nak tggu n3 akan datang.

lili marina said...

hehehe....En Afdhal jgn jatuh cinta...huhuhuhu :)
Sis, x sabar nak tunggu new n3

Anonymous said...

sgt menarik...heh..

shzakiah said...

Teruja n3 seterusnye......

Post a Comment