Friday, July 19, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 18



18
            Air mengalir keluar dari getah paip tanpa henti. Tidak mengena pada bunga-bungaan, hanya berlinangan jatuh ke rumput hijau. Mak lang termenung jauh. Langsung dia tidak terlihat pembaziran yang sedang berlaku. Aku mengambil inisiatif. Berjalan ke paip dan menutup ketat. Tidak mahu air terus mengalir tanpa sebarang fungsi.
            “Eh, astagfirullah...” mak lang tersedar ketika getah paip tidak lagi mengalirkan air.
            Langkahku menghampiri mak lang. “Jauh mak lang termenung, teringat pak lang, ke?” Aku sekadar bergurau. Aku tahu fikiran mak lang sedang memberat, dan aku yakin abang Naim adalah puncanya.
            “Ana ni... suka mengusik mak lang.” Mak lang mencubit manja pipiku.
            Aku senyum. “Apa yang mak lang fikirkan tu?” soalku sambil membantu mak lang mangalihkan pasu bunga.
            Mak lang tidak mahu menjawab. Dia hanya diam dan terus tekun menghabiskan kerja-kerja rutinnya setiap hujung minggu. Biasanya mak lang akan dibantu oleh abang Naim. Tapi sekarang tidak lagi. Sejak bertunang, abang Naim tidak pernah lagi bercuti pada hujung minggu.
            “Mak lang risaukan abang Naim?” itu kenyataan yang aku tahu. Aku dapat rasa.
            “Mak rasa macam dah kehilangan Naim.” Luah mak lang.
            Pasu yang baru aku angkat, aku letak kembali. Ya, aku juga rasa begitu. Abang Naim seoalah memencil diri. “Mungkin sebab Ana ada kat sini.” Wajah mak lang aku pandang. Aku rasa abang Naim jadi begitu kerana aku masih di sini. kalau aku keluar dari rumah ini, aku yakin abang Naim akan kembali seperti selalu.
Abang Naim hanya tidak mahu bertemu denganku. Bukan ibu bapanya! “Ana rasa, Ana patut cari rumah lain. Boleh mak lang tolong Ana?” tiada jalan lain lagi selain berpindah dari situ. Memang itu yang aku fikirkan sejak beberapa hari yang lalu.
            “Tak boleh, Ana tak boleh keluar dari rumah ni. Nanti apa kata umi dengan ayah Ana?” mak lang tidak bersetuju.
            “Umi dengan ayah mesti faham. Mak lang tak payah risau. Ana tahu apa yang Ana nak jawab nanti.” Aku cuba menyakinkan.
            “Jangan Ana. Mak lang tak nak keadaan jadi tambah rumit. Pak lang mesti tak setuju.” Bantah mak lang terus menerus.
            “Ana dah tak ada jalan lain, mak lang. Mak lang pun keadaan Ana dengan abang Naim sekarangkan? Kalau Ana terus ada dekat sini, Ana rasa, keadaan akan bertambah buruk.” Aku cuma mahu kembali menjernihkan keadaan.  
            “Semua salah mak lang.” Mak lang menyalahkan diri.
            “Mak lang... apa yang mak lang cakap ni?” aku pegang tangan mak lang. Mahu menenangkan hatinya.
            “Mak lang tak patut paksa Naim.”
            “Dahlah, mak lang... jangan macam ni, Itu dah memang jodoh abang Naim. Allah dah tentukan semuanya.” Walaupun hatiku pedih, aku tetap berusaha memujuk mak lang.
            “Apa yang mak lang patut buat, Ana?”
            Soalan itu tidak dapat aku jawab. Aku sendiri tidak tahu. Memulihkan keadaan sekarang bukanlah perkara yang mudah. Tapi aku yakin, ada jalannya. Abang Naim, tolonglah... aku rayu sendiri.

SAMA seperti mak lang, pak lang juga tidak bersetuju dengan cadanganku untuk keluar dari rumah mereka. Kata pak lang itu bukan jalan terbaik. Pak lang tak mahu menghancurkan amanah yang umi dan ayah berikan padanya untuk menjagaku.
            “Ana boleh jaga diri, pak lang. Ana dah besar.” Aku masih mencuba.
            “Ana tetap anak kecil pada mata kami. Pak lang tak nak Ana cakap pasal hal ni lagi. Ana tak boleh keluar dari rumah pak lang.” Mata pak lang menatap rancangan televisyen. Hanya mulutnya tertuju padaku.
            Aku hampa. Tidak dapat berbuat apa-apa. Usahaku untuk membuat abang Naim senang dalam rumahnya sendiri tidak berhasil. Mungkin aku boleh pujuk pak lang lagi. Aku berani kerana tidak mungkin pak lang akan marah padaku.
            Tiada lagi bual bicara sehinggalah abang Naim pulang dari kerja. Sudah hampir pukul 11 malam. Baru kini abang Naim pulang. Nampak sangat abang Naim mahu mengelakkan diri. Aku yang baru mendaki anak tangga untuk naik ke bilik tetap meneruskan langkah. Tidak menunggu di situ.
Aku tahu, abang Naim tidak akan duduk lama di bawah. Dia akan terus naik ke bilik seusia bersalaman dengan emak dan ayahnya. Maka aku mahu tunggu abang Naim di hadapan pintu bilikku. Ada yang ingin aku bicarakan. Tingkah abang Naim membuat semua orang susah hati. Termasuk aku.
Aku bersandar pada pintu bilikku. “Abang Naim, Ana nak cakap dengan abang Naim sikit.” Kataku sebaik abang Naim kelihatan.
Abang Naim menghentikan langkah seketika, sebelum dia menyambung perjalanan menuju ke biliknya. Mak aku terpaksa mengejar abang Naim dari belakang. “Abang Naim, tunggu.” Pantas aku pegang tombol pintu abang Naim. Tidak membenarkan abang Naim masuk ke bilik.
“Betul abang Naim tak nak bercakap dengan Ana lagi?” aku pandang mata abang Naim walaupun abang Naim menghindarinya. “Abang Naim tak nak jumpa Ana lagi?” hanya aku yang bersuara. Abang Naim cuma diam.
Aku tetap menunggu abang Naim mengatakan sesuatu. Satu patah sudah cukup bagi aku untuk terus kekal di dalam rumah itu. Namun abang Naim hanya membisu. Kerana kebisuannya itu jugalah aku dah dapat jawapan pada setiap pertanyaanku tadi.
“Jangan ingat Ana gembira tengok keadaan abang Naim macam ni. Anapun terseksa sama.” Air mata mula gugur. Tombol aku lepaskan, dan berjalan kembali ke bilikku. Aku hanya ingin abang Naim faham. Itu saja!
Abang Naim tidak mengejar. Aku tahu itu takkan berlaku. Dentuman kuat pintu bilik abang Naim kedengaran. Aku menoleh. Memandang pintu yang rapat tertutup. Sungguh abang Naim keras hati.

AKU sudah siap-siap mengemas barang. Mujur tak banyak barang yang aku bawa sewaktu datang dulu. Muat-muat satu bagasi. Agenda sudahpun aku susun. Sampai sahaja di Arena Pinting nanti, aku mahu memohon cuti setengah hari. Aku mahu mencari bilik sewa. Semoga aku mendapatkannya sebelum malam menjelma.
            Terkial-kial aku menuruni anak tangga bersama bagasi yang cukup berat. Aku gagahkan juga mengangkatnya sendiri. Bagasi itu aku letakkan di tepi pintu keluar. Mudah untuk aku bawa nanti.
            Mak lang dan pak lang terlongo. Hanya abang Naim yang kelihatan tenang, menjamu sarapan pagi. Tak aku sangka pagi ini abang Naim ada sama. Selalunya dia akan keluar lebih lewat. Tidak mahu bertemu denganku. Ini menambahkan rasa berat untuk aku meninggalkan rumah itu. Tapi apakan daya, aku harus keluar. Tiada tempat lagi untukku.
            Senyuman aku pamerkan buat mak lang dan pak lang yang telah banyak berjasa. Menjaga makan minumku selama aku menumpang di sini. Tidak dapat aku balas jasa baik mereka. Hanya doa yang dapat aku sandarkan sebagai pengantinya.
            “Ana nak pergi mana?” pak lang bangun. Cawan yang tadinya dipegang, diletakkan ke atas piring alas.
            Aku berjalan lemah mendapatkan mereka di meja makan. Kalau abang Naim tidak ada di situ, pasti aku tidak selemah ini. Mak lang juga bangun dari duduknya. Berdiri disebelah pak lang. Segera aku dapatkan tangan mak lang. Mencium tangan itu dengan hati yang gundah.
            “Ana nak ucapkan terima kasih pada pak lang dengan mak lang, sebab sudi tumpangkan Ana dekat sini. Ana dah dapat bilik sewa.” Tangan mak lang masih aku genggam kemas.
            “Kan pak lang dah cakap, pak lang tak izinkan Ana keluar dari rumah pak lang.”
            “Umi dengan ayah dah izinkan. Pak lang jangan risau. Lagipun Ana nak belajar hidup berdikari.” Aku masih lemparkan senyuman. Menutup rasa hati yang sudah dilitupi awan hitam. Ya, aku sudah dapatkan keizinan daripada umi dan ayah. Ayah memang keberatan pada awalnya. Mujur saja umi memahami, lalu memujuk ayah. Lalu ayah akur dengan pesanan, aku harus menjaga diri dan lebih kerap menghubungi mereka.
            “Ana, mak lang...”
            “Mak lang, Insya’ALLAH ada masa nanti Ana datang jenguk mak lang dengan pak lang.” Tidak aku izinkan mak lang menyudahkan katanya.
            Abang Naim masih ditempatnya. Sedikitpun tidak memandang padaku. Seolah tidak ada apa-apa yang sedang berlaku. Patutkah aku berkecil hati? Tidak ada lagi yang mahu bersuara antara kami semua. Mak lang diam, pak lang pun begitu juga. Sudah tiba masanya kami berpisah.
            “Ana pergi dulu mak lang, pak lang.” Aku bersiap untuk pergi. Sempat lagi mataku memandang sekeliling rumah. Aku akan kembali merindui rumah ini.
            “Abang Naim, Ana pergi dulu ya. Terima kasih atas jagaan abang Naim selama ni.” Masih aku mahu menyampaikan kata perpisahan pada abang Naim, walhal rajuk hati tidak membenarkan.
            Kata-kataku tidak dihiraukan oleh abang Naim. Berselera dia menjamah mee goreng. Sesudu demi sesudu masuk ke dalam mulut. Ah, abang Naim sudah tidak lagi peduli padaku lagi. Kenapa aku masih berharap?
            “Ana, jom pak lang hantarkan.”
            “Eh, tak apa pak lang. Ana dah banyak susahkan pak lang sekeluarga. Ana boleh jalan kaki.” Aku menolak pelawaan pak lang. “Ana pergi dulu, assalamualaikum.” Laju aku mendapatkan bagasi yang sudah menunggu di muka pintu. Hanya suara pak lang dan mak lang saja yang kedengaran, menjawab salam akhirku. Bagasi beroda aku tarik, membawanya mengikut langkahku.
            “Jaga diri, Ana.” Jeritan suara mak lang kedengaran dari luar pagar.
            Aku mengangguk lalu mengangkat tangan. Memberikan lambaian terima kasih pada mereka. Mungkin setelah masa memulihkan segalanya, aku akan kembali lagi ke situ. Kembali tanpa sebarang rasa untuk abang Naim. Mampukah aku melakukan begitu? 
            Langkahku tidak selaju selalu. Mungkin kerana kaki sendiri keberatan untuk pergi. Semalam matahari menampakah wajah. Hari ini tidak pasti lagi. masih terlalu awal untuk bertanya. Namun langit tampak cerah. Semoga hatiku juga begitu.
            Aku terdorong ke tepi apabila terdengar pecutan laju sebuah kereta yang bergerak keluar dari taman perumahan. Hampir saja luruh jantungku. Anak mata terus menangkap kereta yang sudahpun melepasiku. Kereta abang Naim! Aku mengeluh hampa. Kecewa.

ABANG IJAD tersenyum melihat aku dari jauh. Apabila kami bertemu di hadapan pintu masuk Arena Printing, aku lihat abang Ijad seakan sudah bersedia mengatakan sesuatu. Aku dapat lihat melalui senyumannya.
            “Wah, besarnya beg. Tersingkir daripada Akademi Fantasia ke ni?”
            Seperti abang Ijad. Aku juga senyum. Terfikir, punyalah banyak akedemi yang ada, Akedemi Fantasi juga yang dipilih oleh abang Ijad. Besar sungguh pengaruh rancangan hiburan itu dalam jiwa anak muda sekarang.
            “Taklah, tersingkir daripada Akademi Al-Quran.” Aku berseloroh.
            “Tak apalah, cuba lagi musim depan. Jangan putus asa.” Sambut abang Ijad.
            “Abang Ijad ni...”
            Abang Ijad ketawa. “Ana nak pergi mana bawa beg besar ni?” baru kali ini timbul soalan serius daripada abang Ijad.
            “Ana nak cari bilik kosonglah, abang Ijad. Abang Ijad tau tak kat mana Ana boleh sewa bilik? Kecil pun tak apa.” Bagasi aku dirikan di sebelahku. Tidak larat memegangnya terlalu lama.
            “Bilik kosong? Susah nak cari tu. Tak apa, nantilah, abang Ijad tengok-tengokkan. Kalau ada abang Ijad bagi tahu Ana, okey.”
            “Okey. Terima kasih abang Ijad.”
            “No. Problem.”
            “Abang Ijad, bawah ni tak habis renovate lagi ke?” soalku. Pandanganku cuba menembusi pintu kaca. Rasanya pintu itu boleh ditolak. Tidak ditutup rapat seperti minggu lalu. Kertas merah yang ditampal pada pintu kaca yang memakluman kerja-kerja pengubahsuaian sedang dijalankan juga sudah ditanggalkan.
            “Entahlah, Ana. Dah settle kut.” Abang Ijad berandaian.
            “Takkan tak ada orang yang dah sampai? Boleh masuk ke, tak ni?” aku soal lagi.
            “Alamak, encik Afdhal. Abang Ijad naik dululah Ana. Ana tanya pada encik Afdhal tu.”
Laju langkah abang Ijad meninggalkan aku, mendaki anak tangga. Entah apa yang ditakutkan pada encik Afdhal? Pelik! Melihat encik Afdhal semakin hampir, aku sorokkan bagasiku di belakang badan. Aku tidak mahu encik Afdhal bertanya tentangnya. Sejak akhir-akhir ini encik Afdhal banyak senyum. Dan sekarangpun dia sedang tersenyum, menampakkan giginya.  
“Assalamualaikum encik Afdhal. Selamat pagi.” Aku maniskan wajah. Sekadar amhu encik Afdhal cepat berlalu dari situ sebelum bagasiku terlihat oleh matanya.
“Erm. Pagi!”
Tiada jawapan pada salam yang aku berikan. Yang ada cuma kosa kata pagi. Encik Afdhal memang tidak akan menjawab salam. Tapi dalam hati? Rasanya tidak!
“Bos, bos memang tak tahu nak jawab salam, ke? Kan jawab salam tu wajib.” Aku tegur, kerana aku rasa perlu untuk aku membetulkannya.
“Kau nak berceramahlah ni?.” Encik Afdhal angkat kening.
“Alah bos. Janganlah marah. Saya bukan apa. Teringin sangat nak dengar bos jawab salam saya. Saya pun bukannya lama sangat dekat sini, takut kempunan pula nanti.” Aku mempertahankan diri. Tidak berniat menjadi penceramah bebas. Dan akupun tidak punya tiket yang boleh melayakkan aku untuk memberikan syarahan agama. Sekadar mengingatkan. Itu saja niatku.
“Beg siapa tu?” muncung encik Afdhal menghala pada bagasi hitam.
“Mana?” pura-pura aku buat tak nampak. Melilau mata mencari. Padahal sudah encik Afdhal tunjukkan dengan muncung mulutnya tadi.
“Belakang kau tulah.”
“Oh, ni...” aku senyum. “Beg sayalah encik Afdhal.” Terpaksalah mengaku.
“Kau nak pergi mana? Lari rumahlah ni kan?”
Aku tarik nafas, menahan sabar. Tak bolehkah dirinya berfikir yang baik-baik tentang aku? Semuanya yang buruk-buruk! “Mana ada lari rumah. Suka-suka hati aje encik Afdhal nak tuduh saya. Ingat saya teruk sangat ke?” aku memang marah. Tapi nada masih berjaya aku kawal. Tidak terlalu tinggi. Cukup sekadar menyedarkan lelaki itu bahawa aku tidak senang dengan kata-kata yang dilemparkan.
“Tanyapun salah?”
“Tak, tak salah.” Malas mahu bertikam lidah. Jadi aku mengalah. Baru kini aku berani menayangkan begku. Alang-alang sudah kelihatan. Lebih baik dibiarkan saja.
“Kau nak bawa beg kau ni pergi mana sebenarnya?”
“Saya tengah cari bilik kosong. Nak sewa. Encik Afdhal tak kat mana-mana yang ada bili sewa? Lagi dekat lagi bagus?” sudah encik Afdhal nak tahu, maka aku ceritakan saja semuanya. Mana tahu dia boleh membantu. Ada kalanya, otak senget encik Afdhal boleh dipakai juga. Tak salah mencuba.
“Oh, kes kena halau dari rumahlah ni? Kau ni... cuba perangai tu baik-baik sikit. Kan tak pasal-pasal dah kena halau. Apa yang kau dah buat?” encik Afdhal mencekakkan pinggang. Gaya seorang ayah yang sedang memarahi anak.
Aku tunduk lemah. Letihnya nak melayan bos tiga suku pagi-pagi buta macam ni. Entah bila masa pula aku kena halau? Kan aku dah kata, kalau berkenaan dengan aku, hanya benda-benda negatif sahaja yang ada dalam kepala otaknya.
“Malam ni kau nak tidur mana? Takkan nak tidur bus stop lagi? Kau ingat aku tak ada kerja lain ke, asyik nak tunggu kau kat bus stop tu?”
“Encik Afdhal, saya...”
“Kau ingat KL ni apa? boleh ikut suka hati aje nak tidur kat mana-mana. Makan, minum kau lagi. Siapa yang nak tengokkan?” satu demi satu soalan dipersoal.
“Bos...”
“Kau ni, memang sengaja nak buat kepala aku pening. Nak fikir pasal kau lagi, pasal benda-benda lain lagi. Cubalah kau...”
“Bos, tak payah susah-susah fikir pasal saya. Saya ada otak, saya boleh fikir sendiri. Saya nak minta cuti hari ni. Boleh tak?” berjaya juga aku memotong encik Afdhal yang tak henti-henti membebel. Asalnya nak ambil cuti setengah hari. Tapi mendengarkan bebelan encik Afdhal, lebih baik aku ambil cuti terus dari awal pagi. Aman sikit telingaku.
Encik Afdhal memandang aku lama. Mulutnya sudah tidak lagi mengeluarkan patah kata. Hanya anak matanya, tajam merenung. “Kau nak pergi mana?”
“Nak cari bilik sewalah bos. Sayapun tak suka nak tidur kat bus stop. Bolehkan?”
Encik Afdhal diam lagi. Dia sedang memikirkan sesuatu. Aku pula menunggu penuh kesabaran. Mengharap permohonan cutiku diluluskan. Kalau tidak, aku bakal hadapi masalah menjelang petang nanti. Kat mana kau mahu menumpang diri?
“Tak payah cuti. Aku ada bilik untuk kau.”
“Betul ke, bos?” mataku terbeliak. Seakan tak percaya? Sejak bila otak dia penuh dengan informasi-informasi berguna? Ish, boleh percaya ke ni?  Tapi saat-saat genting begini, aku harus mempercayainya. Hati sudah melompat girang. Riang ria rasanya. Selesai semua masalah.
“Betullah. Nanti aku bawa kau.”
“Kat mana bos?”
“Adalah...” encik Afdhal tidak mahu beri tahu. Mungkin mahu buat kejutan.
“Okey bos. Terima kasih. Tapi berapa sewa dia? Janganlah mahal sangat. Elaun yangencik Afdhal bagipun pun bukannya banyak mana.” Aku senyum lagi.
“Disebabkan kau banyak tolong aku. Aku bagi kau duduk free...”
“Duduk free bos? Biar betul ni? Terima kasih bos. Encik Afdhallah bos terbaik yang pernah saya ada.” Aku memuji. Macamlah aku pernah ada majikan lain sebelum ini. Ah, tak kisahlah. Sekurang-kurangnya aku sudah ada tempat untuk berlindung sekarang ini. Syukur.
“Dah, pergilah masuk. Jangan kacau kerja aku.”
“Nak tengok cik Dahlialah tu?” aku senyum sinis. “Pergi ajelah tegur cik Dahlia tu, bos. Apa nak takut?”
“Kau budak-budak. Mana kau tahu apa-apa. Dah, pergi...pergi...” encik Afdhal menghalau.
Senyuman tidak lekang dari bibirku. Tika ini, apapun yang diperkatakan oleh encik Afdhal tidak menjadi masalah padaku. Aku terima seadanya kerana dia sudah berjasa memberikan bantuan.
“Dah boleh guna ke, ruang bawah ni.”
“Dahlah. Pergilah duduk tempat kau. Pergi!”
“Okey bos, saya masuk dulu.” Aku sudah menarik pemegang bagasi. Mahu membawa masuk bersama.
“Beg kau tinggal situ. Nanti aku bawakan.”
Aku terkedu sekejap. Wah, baik hati pula majikan aku hari ni! “Tak apalah bos. Tangan saya kuat lagi.” aku menolak. Tidak mahu mengambil kesempatan atas kebaikannya.
Encik Afdhal menggelengkan kepalanya. Dia mendengus. Sedangkan aku dengan hati aku menolak pintu kaca. Suiz lampu aku hidupkan bagi membantu penglihatan. Bagasi masih aku pegang dengan kemas sambil berjalan menuju ke ruang kerjaku. Tapi akhirnya bagasi itu terlepas juga dari tangan. Terpanah mataku seketika dengan apa yang aku lihat. Langkah sudah mati. Terhenti sendiri.
Hati yang tadinya gembira, mula mencebik sedih. Ruang solat yang aku bina sudah tidak kelihatan lagi. Yang tinggal hanya ruang kerjaku yang makin cantik kelihatan dengan dekorasi dinding yang menawan. Tapi itu tidak dapat menggembirakan hati. Aku mahu ruang solatku. Tergamak encik Afdhal meruntuhkannya? Patutlah dia bukan main baik lagi hari ini. mahu menutup kesalahan sendiri rupanya. Rasuk sudah menyerang jiwa. Encik Afdhal memang segaja! Sia-sia usahaku.
“Macam mana, Ana. Suka tak office baru kita?”
Aku menoleh pada suara yang menyapa. “Abang Joe...” perlahan aku sebut nama abang Joe. Tanpa minat.
“Semua idea Afdhal. Abang Joe pun tak sangka otak Afdhal tu boleh berfungsi dengan baik.” Abang Joe ketawa.
Aku tidak rasa kelakar pernyataan yang abang Joe keluarkan. Apa yang ada dalam fikirankan aku kini ialah, kat mana aku nak solat?
“Lawakan kan?” abang Joe masih meminta pandangan.
 “Apalah guna office yang lawa kalau tak ada ruang solat...” aku betulkan tudung yang sudahpun elok letakkan di kepala.
 “Siapa kata tak ada?” jawab abang Joe pantas.
Laju kepalaku mencari wajah abang Joe. Kata-kata abang Joe memberikan harapan.
“Afdhal tukar tempat aje. Dah ubah suai. Sekarang ni, surau kakitangan ada dekat belakang. Barulah nampak macam surau betul. Tak macam yang Ana buat hari tu. Apapun tak ada. Sekarang ni, jangan kata pintu, siap aircond tau!”
“Surau kakitangan? Biar betul abang Joe?”
“Betul. Surau yang didirikan khas untuk Ana.”
Tajam mataku merenung abang Joe. “Abang Joe ni, merepek aje. Apa pula khas ntuk Ana? Kan abang Joe cakap tadi surau kakitangan. Maknanya untuk semua staff lah tu.”
“Kalau ikut signage kat pintu, memanglah namanya surau kakitangan. Tapi Ana pergilah tengok sendiri kat belakang tu.” Abang Joe seakan sudah malas mahu meneruskan cerita.
 Apa maksud abang Joe? Giat fikiran bekerja. Cuma memahami maksud sebenar. Tak mengapa, aku pasti akan pergi membuat tinjaun nanti.
“Beg Ana ke ni?” bagasi yang terbaring, suda diangkat oleh abang Joe. Kini bagasi itu kembali tegak berdiri.
“Ha’ah.” Ringkas aku susun jawapan.
“Nak pergi mana dengan beg segala ni?”
“Nak cari bilik sewa.”
“Oh, bilik sewa... oklah. Abang Joe naik dulu. Abang Joe nak cepat ni. Pagi ni nak kena jumpa client.”
Aku menarik nafas lega. Mujur aabang Joe tidak bertanya panjang. kalau tidak, jenuh mahu menjawab. Aku menghantar pemergian abang Joe dengan padangan. Abang Joe menaiki tangga yang juga baru ada. Kalau dulu, untuk ke tingkat atas, abang Joe perlu menggunakan tangga di luar, tapi sekarang tidak lagi. Sudah ada tangga dari dalam yang boleh menghubungkan terus kedua-dua tingkat. Sudah banyak perubahan.
Bagasi sudah aku letakkan di ruang kerjaku yang serba baru. Kemudian aku bergegas ke surau kakitangan yang abang joe maklumkan tadi. Laju kaki melangkah. Ya, abang Joe tidak berbohong. Terlihat sudah sebuah bilik yang pintunya bertutup rapat. Papan tanda berwarna hijau yang bertulis surau kakitangan aku pandangan dengan senyuman simpul. Rasa berbangga dengan encik Afdhal. Aku yakin, encik Afdhal mampu pulih! Semoga Allah mengizinkan.
Kaki bergerak lagi. Terus melangkah ke pintu surau. Ada sekeping nota di pintu itu. Tertarik juga untuk membacanya. Lalu aku dekatkan pandangan pada tulsian yang kelihatan.
Aku dah siapkan pintu! Kalau nak tidur, jgn lupa kunci pintu!
Ketawaku pecah sendiri. Cepat-cepat aku tutup mulut. Mata melilau memandang kiri dan kanan. Kalau ada orang, pasti malu  dengan tawaku yang kuat. Nota yang dilekatkan dengan pita pelekat aku tarik. Aku yakin nota itu untukku. Tombol pintu pula aku pulas. Mahu melangkah masuk ke dalam surau baru. Kaki terasa sedap saat memijak permaidani tebal berwarna hijau. Mujur bukan warna hitam! Aku senyum lagi. Suis lampu aku hidupkan.
Surau itu tidak sebesar mana. Tapi aku cukup berpuas hati dengannya. Semoga semua kakitangan Arena Printing dapat memanfaatkan surau itu dengan sebaik mungkin. Setidak-tidaknya, ada juga pahala yang mengalir ke dalam akaun akhirat encik Afdhal. Aku buka almari kayu yang terletak di sudut surau. Ada tiga pasang telekung di dalamnya. Berlipat cantik. Telekung yang paling atas disertakan dengan nota yang kelihatan hampir sama dengan yang ada ditanganku.
Pakailah mana yang kau rasa selesa. Tapi tolong lipat balik. Jangan malas!
            Nota itu membuatkan aku tersenyum lagi. Pantas tangan mengambil nota yang ada. Rasa seperti mahu menyimpannya. Selesai membuat tinjauan aku bergerak keluar. Namun nota yang ditampalkan di belakang pintu membuatkan aku berhenti daripada terus melangkah. Kalau nota-nota yang tadi membuahkan gembira di hati. Tapi tidak untuk nota yang satu ini. Aku tidak mampu untuk senyum walaupun sedikit saat membacanya.
Wahai bakal ahli syurga. Tolong doa supaya aku diampunkan oleh emak & ayah. HELP! Drpd –Ahli Neraka              
Kakiku terpasung terus. Tidak dapat bergerak. Berkali-kali aku ulang, membaca ayat yang sama tanpa rasa jemu. Aku tidak sukakan nota itu. Tangan merentap nota yang ditampal. Aku renyukkannya dengan rasa yang marah. Mengapa encik Afdhal menulis nota sebegitu? Puas merenyuk, kini aku koyakkan pula. Menjadi cebisan kertas yang tidak mungkin dapat dicantumkan lagi. Dadaku berombak. Barulah rasa puas!
“Aduh...” kuat suaraku. Pintu yang dibuka dari luar menhentam kepalaku. Sakit. Wajah encik Afdhal yang kelihatan. “Sakitlah encik Afdhal.” Aku buat aduan.
“Itulah, curi tulang lagi. Siapa suruh kau menyorok belakang pintu? Encik Afdhal hanya berdiri di luar biarpun pintu sudah terbuka lapang. Dia tidak masuk ke dalam. mungkin malas membuka kasut.
“Mana ada curi tulang. Saya nak tengok-tengok aje.” Aku usap kepalaku sendiri. Sakitnya masih terasa.
“Dah, jom!”
“Pergi mana?”
“Kau kata nak bilik?”
“Oh... bilik. Lupa pula.” Kini aku faham. Ingatkan encik Afdhal nak ajak aku pergi jumpa emak dengan ayah dia tadi. Boleh sakit jantung kalau hari-hari macam ni. “Okey, jom.” Tanganku menggapai suis lampu. Mematikan aliran arus elektrik yang menghidupkan cahaya.
“Kira saya cutilah hari ni ya, encik Afdhal?” aku yang berjalan di belakang menyoal.
“Tak ada cuti-cuti. Lepas hantar beg kau, balik office.”
Aku buat mimik muka perlbagai di belakang. Nak cuti satu haripun kedekut. Memang aku tak puas hati. “Jauh tak rumah tu?”
“Tak. Lebih kurang setengah jam dari sini.”
Aku mengangguk. Boleh tahan. Tak adalah jauh. Senang sikit nak ulang alik ke Arena Printing. “Owner rumah tu mesti kawan baik encik Afdhal kan?” aku sekadar meneka. Iyalah, kalau encik Afdhal boleh bagi aku duduk percuma, mesti pemilik rumah itu punya hubungan yang rapat dengan encik Afdhal. Aku rasa aku betul!
 Encik Afdhal menghentikan langkahnya secara mengejut. Membuatkan kami hampir berlaga. Dia berpaling memandangku.
“Rumah tu aku punya!”
“Hah?” darah menyerbu ke kepala dengan serta merta. Aku rasa seperti mahu pengsan. Tolong!!!


Bersambung...

Kata AH :
Alhamdulillah, release juga entry 18 JJC. Semuanya atas permintaan pembaca2 setia JJC. Ingatkan nak tunggu syawal nanti. Hi2 Tak apalah, asalkan semua pembaca suka dan berpuas hati. Terima kasih krn selalu merindui JJC. Harap mdpt tempat di hati. Oh ya.. terima kasih kpd semua pembaca yang mendoakan kesembuhan AH. AMIN. Semoga ALLAH SWT merahmati semua rakan2 pembaca yang setia menjengah blog AH walau apapun kisahnya. Selamat Bersahur, Berpuasa, Berbuka, Bertarawih & Bertadarus :)

10 comments:

Eijan said...

Sedih rasa bila Naim betul2 ignore Ana....kesian dia tp Ana tetap x tunjuk perasaan dia yg tertekan bila d ofis.... Tabah dan pandainya dia sorokkan kekecewaan tu. Langkah yg bijak bila Ana keluar dr rumah tu dan tinggalkan keluarga Mak Lang....mungkin lepas ni baru mereka rasa kehilangan Ana esp Naim...
Tapi...sgt musykil ni...Afdal ni dah mula terlebih prihatin kat Ana...jangan2 dlm hati dia dah ada taman....alahai jgn la...nak Ana & Naim juga....

Citer ni mmg mengundang emosi....

Take care AH

Anonymous said...

x paysh tunggu syawal...sambung lagi....en afdhalllll

Anonymous said...

smbung lagii kak AH..!!hehe

eifa said...

wah!!!!! tak sangka afdhal tlg Ana eh... byk jugak perubahan yg berlaku pd Afdhal. teruskan usaha Ana. cayalah.....

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

Wahai ahli syurga.. Huh tacing kot..

Benci kat naim.. Ego sangat..padan muka kau lps nie.. Hahaha..
Suka sgt kat afdhal.. Sweet! Tak padan dgn tiga suku.. ^^,

Nak lagi ye adah.
hehehe..

Anonymous said...

AH..thank you so much!!!
dapat jugak lepas rindu kat diorang :)

-chah husain-

Anonymous said...

thanks AH...mmg menunggu kisah ana n afdhal nama pun dah dekat...sweet baca kisah diorang berdua..ana mcm dh lupakan naim bila bersama dgn afdhal...x sabar tunggu kisah bab seterusnya..-nur

lili marina said...

wah..bestnye AH. terima kasih banyak2 dgn n3 baru... terubat sikit rindu kat En Afdhal & Ana

Anonymous said...

Akak tetap nak ana ngan afdhal


....DG SITI....

Valena Michelle said...

Banteng88 MASTER AGEN BOLA
Banteng88 MASTER AGEN JUDI
Agen Bola
Agen Judi
Agen Judi Online
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Bandar Judi
Bandar Bola
Judi Online
Bola Online

Post a Comment