Saturday, July 6, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 16



16
            “Joe, pinjam kereta.”
            Aku yang berdiri sedikit belakang daripada encik Afdhal, memberikan isyarat supaya abang Joe tidak mengikut kehendak encik Afdhal. Abang Joe nyata tercengang. Tidak mengerti barangkali apa yang sedang berlaku antara aku dan encik Afdhal.
            “Aku... aku nak pakailah, Afdhal. Nak hantar barang customer kat Rawang.” Abang Joe tidak mengizinkan.
            Alhamdulillah. Senang hatiku mendengar jawapan abang Joe.
            “Van company mana?” tetap sahaja encik Afdhal mahu mencuba.
            “Servis.”
            “Hantar esok tak boleh?”
            “Mana boleh. Inipun dah terlambat dua hari. Customer dah bising.” Katalog yang siap dicetak, sedang giat abang Joe masukkan ke dalam kotak.
            “Kita pergi lain kali ajelah encik Afdhal.” Aku mencadangkan. Harapnya cadangan aku itu diterima. Inilah akibatnya kalau terlebih pandai.
            “Tak boleh. Kena jumpa hari ni juga. Aku dah cakap dekat mak dengan ayah aku, kau nak jumpa dia.”
            Aik? Aku pandang encik Afdhal dengan persoalan yang tidak dapat aku luahkan. Biar betul encik Afdhal ni. Dari tadi aku ada bersama dia. Bila masa pula dia bercakap dengan mak dan ayahnya? Ini juga perkara yang tak sedap didengar telinga.
            “Joe, kunci kereta aku mana?” laung encik Afdhal sedikit kuat. Bunyi mesin pencetak yang dihidupkan kembali cuba dilawannya.
            Kerana kurang dengar, abang Joe berjalan menghampiri kami. Berkerut dahi abang Joe. Mungkin tidak suka masa kerjanya diganggu. “Apa dia?”
            “Kunci kereta aku mana? Kau tahu tak?”
            “Kunci kereta kau...?” sesuatu sedang difikirkan oleh abang Joe. “Kereta dekat bawah pokok tu?” abang Joe minta kepastian.
            “Ha’ahlah, kereta apa lagi yang aku ada?”
            “Kau nak buat apa dengan kereta tu?”
            “Aku ada hal sikit. Penting ni!” encik Afdhal mencekak pinggang.
            “Boleh bawa lagi ke, kereta tu. Kau bukan pernah pakaipun.”
            Hah! Aku terkejut. Beli kereta tapi tak pernah pakai? Gila tahap apakah ini? berapa ramai orang di luar sana yang memerlukan kereta tapi tidak mampu memilikinya. Tapi encik Afdhal? Beli sekadar untuk disimpan?
            “Cubalah dulu. Kau ada nampak tak?” suara encik Afdhal sudah tinggi.
            “Kau nak pergi mana? Kau jangan main-main, Afdhal. Kau bukannya ada lesen. Kalau kena tahan nanti macam mana?”
            Gulp! Tak ada lesen? Seriau darahku mendengarnya. Masalahku jadi bertambah besar. Entah apa lagi selepas ini.
            “Alah, kau ni banyak soallah. Aku tanya kau ada nampak ke tak?”
            “Lantak kaulah Afdhal. Pergilah cari dalam box hitam, atas almari kau.” Mengalah juga abang Joe akhirnya.
            “Jom!”
            Tudungku ditarik encik Afdhal. Dia mahu aku mengikut jejaknya. Aku sudah panik. Ke mana agaknya encik Afdhal mahu membawa aku pergi? Tak terjangkau fikiranku memikirkannya. Sebelum aku pergi, aku perlu maklumkannya pada seseorang. Kalau apa-apa yang berlaku, setidak-tidaknya ada orang yang tahu kisahku. Dalam masa kecemasan begini, nampaknya, abang Joe saja yang sempat aku bagi tahu. Aku perlukan cara untuk memaklumkan pada abang Joe.
            “Argh...” jeritku kuat. Kaki kiri aku pegang. Encik Afdhal yang laju langkahnya turut berhenti mendengar suaraku.
            “Kenapa ni, Ana?” abang Joe bertanya. Cemas wajahnya.
            Cramp!” aku duduk. 
            “Kau rehat dulu. Tunggu sini sampai aku datang.” Encik Afdhal menyambung perjalannnya sesudah memberikan arahan.
            Usahaku berhasil. Hilang saja kelibat encik Afdhal, aku kembali bangun. Membuatkan abang Joe menjadi buntu.
            “Abang joe, abang Joe kena tolong Ana.” Laju aku meminta bantuan.
            “Kenapa ni, Ana? Duduklah, kata cramp.”
            “Tak. Ana bohong aje. Abang Joe, encik Afdhal nak bawa ana jumpa dengan mak, ayah dia.”
            “Hah? Ana biar betul. Kan abang Joe dah bagi tahu kat Ana yang mak dengan ayah Afdhal meninggal.”
            “Ana tahu. Tapi Ana tersalah teknik. Ana ingat Ana nak gertak aje, nak tengok reaksi encik Afdhal. Tak sangka pula dia serius. Abang Joe agak, encik Afdhal nak bawa saya pergi mana?” gelisah aku dibuatnya.
            Hembusan Nafas abang Joe sedikit sebanyak menambah kerisauan. Abang joe tidak menjawab. Bagaimana dia mahu menjawab sedangkan tidak mungkin dia tahu kemana aku akan di bawa.
            “Kebelakangan ni, abang tengok Afdhal tu dah semakin okey. Kenapa pula tiba-tiba boleh jadi macam ni?”
            Giliran aku menghembus nafas kuat. Salah aku. Aku akui. Aku tak patut bertindak melulu tadi. Nasi sudah jadi bubur. Apa lagi yang boleh aku kata? Sudah terlajak kata. Tak mungkin dapat diundur masa.
            “Apa kata Ana buat-buat pengsan?” giat otakku mencari solusi. Cuba untuk selesaikan semuanya.
            “Tak boleh. Afdhal takkan tertipu. Kalau tertangkap nanti, lagi teruk Ana kena.” Abang Joe tidak setuju.
            “Habis tu?” aku toleh ke belakang. Melihat sama ada encik Afdhal sudah sampai atau sebaliknya. Masa kian suntuk, sedangkan jalan penyelesaian masih belum ada.
            “Apa kata Ana ikut aje Afdhal.” Saran abang Joe.
            “Abang Joe biar betul? Buatnya encik Afdhal hantar Ana masuk kubur macam mana?” aku berfikiran waras. Menggunakan logik akal sebaiknya.
            “Ana nak takut apa? Nanti abang Joe follow dari belakang. Kita tengok apa yang Afdhal cuba nak buat sebenarnya.”
            Baru kini terasa menarik cadangan abang Joe. Tapi ianya tetap berbahaya. Patutkah aku mengambil risiko? Lagi pula aku sudah tidak punya cara lain. Ini sudah kira beruntung kerana abang Joe mahu ikut serta. Memerhati dari belakang.
            “Okey tak?” tanya abang Joe.
            Aku masih diam. Terus memikir. “Okeylah. Tapi abang Joe janji jangan tinggalkan Ana.” Akhirnya kata persetujuan dicapai. Tiada pilihan lain lagi.
            “Okey.” Janji abang Joe.
            “Encih Afdhal tu, boleh ke bawa kereta. Kata tak ada lesen?”  aku ingin tahu. Jadi aku bertanya.
            “Tahu... cuma tak ada lesen aje. Jangan risaulah. Ramai lagi orang kat Malaysia yang bawa kereta tapi tak ada lesen.” Abang Joe cuba menyejukkan hati.
            Aku angguk lemah. Sungguhpun begitu tapi ia tetap merbahaya. Padaku, setiap undang-undang perlu dipatuhi selagi tidak melanggar hukum agama. “Eh, satu lagi abang Joe. Nak tanya, encik Afdhal tu pakai kereta apa?” teringin pula aku ingin mengetahuinya.
            “Kalau abang Joe bagi tahu, Ana jangan terkejut.”
            “Kenapa pula, abang Joe?”
            “Afdhal tu, nampak aje macam tu. Tapi pakai Mini Cooper tau.”
            “Wow! Biar betul.” Aku rasa macam tak nak percaya. Iyalah kereta mahal macam tu, tapi simpan aje. Gila tahap gaban rasanya encik Afdhal ni.
            “Betul. Abang Joe tak tipu. Ana tengoklah nanti.”
            Aku mula terbayangkan wajah Mini Cooper. Entah warna apa pilihan encik Afdhal? Huh! Dah tentu-tentulah hitam. Aku mengandaikan, dan aku yakin tekaanku tepat. “Abang Joe, satu soalan lagi.” aku tunjukkan jari telunjuk.
“Apa dia?”
“Tapi betul ke encik Afdhal tak pernah bawa kereta tu sejak dia beli?” aku tidak berpuash hati, jadi aku bertanya. Macam tak percaya.
            “Betul.”
            “Kenapa pula macam tu. Dah tahu tak nak pakai, kenapa beli?”
            “Dia sayang nak pakai.”
            “Sayang?” aku lagi musykil.
            “Macam ni ana. Realitinya, memang dia yang beli kereta tu. Abang Joe yang tolong uruskan semua. Tapi kalau Ana tanya pada Afdhal, dia tak kata dia beli...”
            “Habis tu?”
            “Afdhal akan cakap itu hadiah daripada ayah dia. So dia sayanglah nak pakai kereta tu.”
            Sekali lagi aku mengangguk faham. Sampai macam tu sekali? Kronik sungguh bos aku seorang ni.
            “Okey dah kaki kau?” Encik Afdhal sudah tiba.
            “Alhamdulillah. Okey dah.” Aku senyum.
            “Jom.. nanti lambat pula.”
            “Jom.” Kali ini aku mampu balas yakin pelawaan itu. Sempat aku pandang abang Joe. Dia sedang tersenyum. Aku harap abang Joe tak mungkir janji.

KANVAS kelabu yang menjadi pelindung kereta encik Afdhal sudah dipenuhi daun-daun kering. Kotornya kanvas itu sudah cukup untuk membuktikan kata-kata abang Joe bahawa kereta itu memang tak pernah digunakan sejak ia dibeli.
            Dengan muka bangga, encik Afdhal menarik kanvas yang menyelimuti keretanya. Mestilah bangga, kereta mahal. Berapa ramai yang mampu pakai Mini Cooper? Dahlah kecil, harga bukan main pula tu. Boleh pula disimpan aje. Aku geleng kepala. Dan yang membuatkan aku bertambah pelik, tak ada adalah pula orang nak curi? Mesti dilengkapi dengan alat kawasalan keselamatan.
            “Ni lah kereta aku.”
            Mataku terus menangkap lambang kereta itu sebaik sahaja kanvas dibuka. Mengejutkan! Ya, memang benar itu kereta Mini Cooper. Lambangnya mengesahkan. Tapi... tidak seperti yang aku bayangkan.
            Keretanya berwarna hitam. Tekaanku tepat. Cuma bonet hadapannya ada sedikit gabungan warna putih dengan corak geometri. Lebih senang kalau aku katakan ianya saling tidak tumpah seperti papan dam. Corak berpetak, berseling seli antara warna hitam dan putih. Sekali imbas, macam kain pelekat pun ada.
            Tapi itu tidak menjadi masalah. Yang aku musykilkan di sini ialah, kenapa kereta itu umpama baru saja terlibat dalam kemalangan jalan raya? Kemek sana, sini.  Melihat keadaan kereta itu, aku tak rasa ia mampu bergerak. Entah ada enjin ataupun tidak.
            “Masuklah, tunggu apa lagi?” tegur encik Afdhal.
            Masih aku tidak berganjak. Berkira-kira untuk naik. Selamatkah? “Tak ada kereta lain ke, encik Afdhal? Macam tak boleh jalan aje kereta ni.” Aku suarakan pandangan ikhlas. Rasanya lebih baik naik kenderaan lain.
            “Kau jangan hina kereta aku.”
            “Saya bukan hina. Saya...”
            “Diamlah. Aku cakap masuk, masuk ajelah.”
            Belum sempat aku habiskan kata, encik Afdhal sudah memekik. Aku yakin kereta itu tidak mampu bergerak. “Bos, cuba tengok tayar kereta bos tu.” Aku nyatakan juga apa yang ingin aku cakapkan tadi. Tayar keretanya kempis. Kehilangan angin. Atau mungin juga sudahpun pancit.
            Encik Afdhal tepuk dahi. Termenung seketika dia. “Ah, kita naik teksi ajelah, Jom.”
            Ada saja jalan penyesaian daripada encik Afdhal. Laju langkahnya, menyebabkan kakiku turut bergerak laju. Aku sekadar mengekori dari belakang.
Aku seluk poket seluar. Mengeluarkan telefon bimbit. Mahu menghantar mesej pada abang Joe untuk memaklumkan keadaan terkini. Aku mahu abang Joe bersedia di simpang berhampiran dengan stesyen Lrt. Setahuku, itu sahaja perhentian teksi yang ada berhampiran sini.
 Teksi sudah sedia ada, membuatkan aku jadi gubra. Sempatkah abang Joe sampai sebelum teksi bergerak? Encik Afdhal melulu masuk ke dalam teksi. Dia duduk di bahagian penumpang. Di belakang pemandu. Aku pula sengaja melambatkan langkah. Mahu memberi masa secukupnya pada abang Joe.
“Melenggang king kong pula kau. Cepatlah!” jerit encik Afdhal. Kepalanya dikeluarkan melalui tingkap yang luas terbuka, menggantikan pintu yang tertutup rapat.
Jeritan itu membuatkan kakiku patuh. Laju aku melangkah. Sudah encik Afdhal duduk di belakang, ini bermakna aku perlu di tempat duduk hadapan. Sebelah pemandu. Pintu aku buka.
“Eh, duduk belakang.” Arah encik Afdhal.
Terpaksa aku tutup kembali pintu penumpang hadapan. Arahan encik Afdhal perlu dipatuhi. Aku masuk dan duduk di sebelah encik Afdhal.
“Nak pergi mana encik?” soal pemandu teksi yang berkemeja putih.
“Jalan dulu, nanti saya tunjuk.” Encik Afdhal menjawab.
Teksi bergerak, dan terus bergerak. Membelah jalan raya. Aku genggam telefon bimbitku erat. Menunggu panggilan mahupun mesej daripada abang Joe. Sesekali aku paling ke belakang, mencari abang Joe.
“Kau tengok apa?”
Encik Afdhal nampak tidak senang dengan tindakanku.
“Tak ada apa. Saja tengok-tengok. Sejak saya sampai sini, tak pernah lagi jalan-jalan pusing KL.” Aku senyum. Cuba menyelamatkan diri.
“Gila!” balas encik Afdhal.
Menyirap darahku mendengar kosa kat itu. Boleh pula aku dikatakan gila? Tak sedar diri langsung!
“Terus ke, encik?” soal pemandu teksi.
“Ha, jalan terus aje. Jangan belok mana-mana.” Encik Afdhal mengiyakan.
Hampir setengah jam perjalanan. Namun destinasinya masih belum kelihatan. Aku sudah tidak sedang duduk dalam teksi itu. Sudahlah aku tidak tahu dimana aku berada. Apalah nasib aku agaknya.
“Kring... Kring...”
Aku yang dari tadi hanya memandang keluar. Terus mengalih renungan ke arah suara encik Afdhal. Berkali-kali dia mulutnya meniru bunyi deringan telefon sebelum dia menyeluk poket seluarnya.  
“Hello. Ha, ayah. Kenapa yah?”
Tangan encik Afdhal sudah melekat di telinga. Serupa orang yang memegang telefon. Padahal, aku tidak nampak ada telefon di tangannya. Mataku bulat memandang kelakuan encik Afdhal. Bukan hanya aku. Pemandu teksi itu juga aku lihat sibuk memerhati encik Afdhal melalui cermin pandang belakang. Dia kelihatan tersenyum.
“Ayah nak pergi mana pula?” suara encik Afdhal masih berkumandang di dalam teksi. “Tadi ayah dah janji dengan Af. Takkan mak pun ikut sama? Kesianlah kawan Af kalau macam ni. Kita orang dah nak sampai dah ni.”
Aku tidak sanggup untuk terus memandang. Lantas aku alihkan pandangan ke luar semula. Biarlah hanya telinga yang mendengar semuanya. Aku juga tidak mampu melihat orang lain tersenyum dengan derita encik Afdhal.
“Okeylah... lain kali ayah bagi tahu awal-awal tau. Kirim salam pada mak.”
Talian palsu sudahpun dimatikan. Walaupun begitu, aku tidak mahu bertanya apa-apa. Aku tidak sanggup. Aku tidak tahu apa yang aku rasa sekarang ini. Rasa itu tidak jelas. Tapi aku tahu, hatiku tidak suka melihat encik Afdhal dalam keadaan begini.
“Tolong patah balik.” encik Afdhal berbicara pada pemandu teksi.
“Baik encik!” laju saja pemandu teksi itu menjawab. Masih lagi dia tersenyum.
            Sepatutnya aku berasa lega dengan situasi kini. Tapi rasa lega tidak datang, menunjukkan diri. Sungguh aku simpati. Simpati dengan sepenuh hati!
            Sorrylah. aku tak dapat bawa kau jumpa emak dengan ayah aku. Dia orang dah ke airport. Ada hal penting nak kena terbang ke sydney.” Encik Afdhal memohon maaf.
            “Tak apalah. Nak buat macam manakan?” aku pura-pura senyum.
            “Mak dengan ayah aku tu memang sibuk sikit. Aku sendiripun jarang dapat jumpa dia orang sekarang ni. Lain kalilah aku bawa kau jumpa.” Beriya, encik Afdhal menerangkan.
“Tak apalah...” aku tidak mampu berkata lebih. Hatiku dibantai sayu. Ada satu harapan dalam hati aku kini. Melihat encik Afdhal sembuh sebelum aku meninggalkan Arena Printing. Aku akan usahakan sehabis daya. Itu janjiku!
“Kau tak marahkan?”
“Taklah.” Senyuman aku perlihatkan lagi.


TEKSI berhenti bertul-betul di hadapan Arena Printing. Sebaik sampai, aku terus buka pintu untuk turun. Namun encik Afdhal menghalang.
            “Kau bayar. Aku tak bawa dompet.”
            “Saya bayar?” aku soal. Kurang percaya dengan apa yang aku dengar.
            “Yer, kau bayar.”
            Mataku terus mencari meter dalam teksi. RM98.70. Aku terkejut! Ya, aku ada duit sebanyak tu. Tapi aku tidak mahu membelanjakannya tanpa sebab munasabah. “Boleh claim balik tak, encik Afdhal?” sebelum membuat keputusan, aku bertanya terlebih dahulu. Kalau jawapannya ya, boleh, aku tidak akan teragak-agak untuk mendahulukan duitku. Tapi kalau jawapannya tidak, itu bakal jadi satu masalah besar untuk aku, encik Afdhal dan pemandu teksi itu sendiri.
            “Mana boleh. Ni bukan hal syarikat.”
            Jawapan yang diterima tidak menyenangkan hati. Kalau aku tetap membayar, aku takkan dapatkan kembali wangku sebanyak itu. “Saya tak ada duitlah, encik Afdhal.” Suara aku perlahankan. Tidak mahu pemandu teksi itu dengar. “Apa kata kita suruh abang Joe bayarkan?” aku bagi cadangan.
            “Tak payah. Aku tak suka susahkan orang lain. Kau bayar.”
            Sakit hati betul mendengar alasan encik Afdhal. Tak suka susahkan orang lain? Habis tu, aku ni siapa? Bukan orang juga ke? Hendak saja aku persoalkan begitu. Tapi tidak terkeluar pula kata. “Saya tak ada duit.” Sekali lagi aku ulang.
            “Kau bawa beg tangankan, takkan tak bawa dompet?”
            “Memanglah bawa, tapi dompet saya tak ada duit. Cukup-cukup untuk tambang balik aje nanti.” Aku tetap mempertahankan kewanganku.
            “Bak sini dompet kau, aku nak tengok?”
            Cepat-cepat aku sorok beg tanganku di belakang badan. “Mana boleh orang lelaki tengok dompet orang perempuan.” Aku cipta alasan.
            Tapi sayang, alasanku tidak sekuat daya encik Afdhal. Dengan sekali rentap, dia sudah berjaya merampas beg tanganku. Dompetku dikeluarkan dengan rakusnya. Aku sudah tidak mampu berbuat apa-apa.
            “Kedekut, kau ya!” encik Afdhal memukul kepalaku dengan dompet di tangannya.
            “Sakitlah, encik Afdhal!” aku tarik muka.
            Encik Afdhal buat tidak peduli dengan kataku. Terus dia mengeluarkan not lima puluh sebanyak dua keping lalu menyerahkannya kepada pemandu teksi. “Baki simpan.” Encik Afdhal meletakkan dompet di atas ribaku, lalu dia turun dari teksi.
            Baki simpan? Melampau sungguh encik Afdhal. Sudahlah duitku digunakan sesuka hati. Boleh pula bakinya pun diberikan sama kepada pemandu teksi itu. “Terima kasih, encik.” Aku turun selepas mengucapkan terima kasih. Turun dengan perasaan marah.
            Encik Afdhal sudah masuk ke dalam bangunan. Hanya aku yang berdiri dengan rasa tak puas hati, geram, marah dan lain-lain rasa yang seerti dengannya. Bibir aku ketap dengan kuat. Berusaha untuk bersabar.
Aku tidak dapat lakukan apa-apa. Semuanya sudahpun berlaku. Ada baiknya aku ikhlaskan saja pemergian duitku itu. Membuat amal, menderma kerana ALLAH SWT.  Pasti aku akan dibalas dengan pulangan berganda. Itu lebih baik. ALLAH tak pernah memungkiri janji. Aku pujuk hati.



Bersambung...

Kata AH :
Alhamdulillah. Selesai JJC Bab 16. Ha! mesti ada yang tertanya2 kenapa AH attach sekali gambar Encik Beto Khusyairi kan? Hi2 bukan apa, sebab rata2 pembaca JJC menyatakan semasa membaca JJC mereka terbayangkan Encik BK sebagai Encik Afdhal. Hi2 AH pun tersenyum. AH tidak mengambarkan sesiapa sewaktu melukis watak Afdhal dalam JJC. AH lebih suka pembaca melakar sendiri wajah2 watak yg AH hidupkan. Tapi kalau ramai sukakan Encik BK sbg Afdhal. AH tumpang suka sama. Terima kasih krn sudi membaca JJC. Insya'ALLAH jumpa next entry. Assalamualaikum :)
P/S : Gambar Encik Afdhal tu, Ana yang Snap! Gambar yang kabur tu mungkin abang Joe kut! hi2

6 comments:

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

Suke giler JJC nie..

Mmg bayang beto pun jadi afdhal..
Layannzz..
Hihihi..
Go adah.. Go!!

lili marina said...

X sabar nie nak tunggu next n3.... BK memang sesuai utk watak En Afdhal....muka selamb.....

Anonymous said...

xsaba nyer nk tnggu n3 psl ayh n mak afdhal yg dimaksudkan afdhal tue n lagi satu kawan ana yang mengaku afdhal nie abg dia....

ctrain7474 said...

terus terbyg cara BK ckp...comel jer..tp mmg sesuai BK jd afdhal..heh..

Kak Sue said...

BK memang sesuai dgn watak en afdhal yg macam tiada perasan tu... hehehe
cepat sambunggg... kasihan Ana...

Valena Michelle said...

Banteng88 MASTER AGEN BOLA
Banteng88 MASTER AGEN JUDI
Agen Bola
Agen Judi
Agen Judi Online
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Bandar Judi
Bandar Bola
Judi Online
Bola Online

Post a Comment