Monday, July 22, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 19



19
            Perjalanan setengah jam terasa seperti setengah minit. Bila-bila masa saja van akan hilang daya pergerakkan. Sejak tadi jugalah jantungku tidak berhenti berdengup laju. Kelajuannya setara dengan meter kelajuan Toyota Hiace, milik Arena Printing yang sedang dipandu oleh encik Afdhal. Lebih-lebih lagi encik Afdhal hanya mendiamkan diri. Abang Joe juga satu hal. Berkali-kali aku cuba menghubunginya. Berkali-kali jugalah aku gagal mendapatkannya. Apa lagi yang boleh aku buat?
            Keluar saja dari lebuhraya utama, perutku jadi semakin kecut. Dudukku tidak lagi setenang tadi. Mahu saja aku lompat keluar dari van. Tapi, aku bukanlah seorang stuntman, yang mampu melakukan aksi lagak ngeri begitu. Mahu menjerit? Rasanya ini bukan masa yang sesuai. Lagipun tidak ada siapa yang akan mendengar lolonganku.
            “Kau ni kenapa?”
            Soalan encik Afdhal tidak aku hiraukan. Fikiranku sudah terbang bersama berita-berita sadis dan ngeri yang selalu tersebar di dada akhbar. Apalah nasibku agaknya? “Kita kat mana ni encik Afdhal?” melihatkan suasana sekeliling yang tidak ubah seperti kawasan hutan, aku terus membuat pertanyaan.
            “Kat atas jalanlah. Kau tak nampak ke?”
            Aku tak pasti encik Afdhal hanya berseloroh atau sebaliknya. Tapi yang aku tahu, hati aku memang rasa tak senang. Bulu roma pula meremang tak tentu pasal. Kawasannya saja sudah menakutkan. Bagaimana aku mahu tinggal di sini?
            “Aku tahu kau takut.” Encik Afdhal sambung bicara. “Sebenarnya akupun takut.”
            Sepasang anak mataku terus mendapatkan wajah encik Afdhal. Apa maksud encik Afdhal? Apa yang ditakutkannya? Tahukah encik Afdhal jika dia dalam ketakutan, aku apatah lagi?
            “Bos jangan buat lawak. Takkan nak balik rumah sendiripun bos takut?” aku berlaagak tenang. Sedikit tawa kecil aku selitkan. Tak patut ada dua orang penakut dalam satu masa, serentak. Jadi aku bertindak untuk menjadi pihak yang berani. Walaupun hakikatnya aku tak mampu mengagahkan diri.
            “Dah lima belas tahun aku tak balik...” encik Afdhal memperlahankan pemanduan.
            Lima belas tahun?  Tanganku sudah mahu menepuk dahi, cuma daya tidak ada untuk tapak singgah di dahi. Lemah longlai dibuatnya.
            “Tapi kau jangan risau. Rumah aku tu okey. Ada orang jaga. Kau boleh duduk situ berapa lama yang kau suka. Aku tak kisah.”
            Ayat akhir itu boleh menenangkan hati sedikit. Mujur ada orang jaga. Tapi masih ada baki gusar dalam jiwa. Kenapa? Ah, mungkin perasaan aku aje agaknya. Aku lebih banyak berbual dengan diri sendiri berbanding dengan encik Afdhal di sebelah.
            “Jauh lagi ke, encik Afdhal? Kata setengah jam aje?” aku melihat masa. Sudah mencecah empat puluh minit perjalanan.
            “Itu kalau aku bawa laju. Alah, nak sampai dah. Lorong depan tu.”
            Aku jengah kepala. Sudah kelihatan lorong yang dimaksudkan oleh encik Afdhal.  Nampak seperti lorong berbukit. Aku pejam mata dengan hati yang berat. Nak kena daki bukit pula. Bila nak sampainya? Apabila mata kubuka, encik Afdhal sudahpun membelok ke kiri. Tulisan Villa Dahlia terpamer pada sebuah batu yang sudahpun berlumut. Aku masih dapat membacanya walaupun tulisannya kurang jelas kerana dilitupi dengan tumbuhan tumpang.
            Van terus bergerak.  Hampir satu minit berselang, aku sudah mampu melihat sebuah rumah agam. Encik Afdhal memberhentikan kenderaan betul-betul di hadapan pagar. Pagar yang hampir runtuh. Aku pandang encik Afdhal. Mengharap dia menjelaskan sesuatu. Kelajuan degupan jantung bertambah lagi.
            “Inilah rumah aku.” Mata encik Afdhal tidak lepasa dari memandang rumahnya sendiri. Tangannya memeluk stering.  “Aku tak sangka, aku akan balik lagi kat rumah ni.” Encik Afdhal tidak menghabiskan kata. Enjin dimatikan.
            Aku tidak berbicara lanjut. Tidak juga ada niat untuk bertanya. Keselamatan diriku harus diutamakan.
“Dah, jom turun.”
Aku masih di dalam walaupun encik Afdhal sudah menutup pintu kenderaan. Encik Afdhal menarik nafas panjang sebelum berjalan terus ke pintu pagar. Aku hanya memerhati. Menunggu dengan hati berdebar.
            Loceng yang entah berfungsi ataupun tidak, ditekannya berkali-kali. Menjadikan aku bertambah tidak tentu hala. Tangan encik Afdhal mula membuka pintu pagar. Setelah pintu pagar tebuka luas, dia menghulurkan tangan seolah bersalaman dengan seseorang. Sedangkan tidak ada sesiapa di situ melainkan aku.  
            Melihatkan keadaan itu, kelam kabut aku mencari telefon bimbit. Mana pula aku letakkannya? Abang Joe harus aku hubungi segera. Atau mungkin juga aku harus bersedia dengan nombor telefon polis. Habis aku selongkar beg tangan. Bertabur semua barang yang ada. Itu sudah tidak aku hiraukan. Yang penting sekarang, telefon bimbitku. Kemana menghilang?
            “Hoi.”
            “Arghhhh...” aku menjerit menerima sergahan. Terkejut.
            “Lemah semangat betul kau ni? Akulah!”
            Berombak dadaku. Jeritan sudah berhenti. Bukan salah aku. Orang yang dalam ketakutan memang mudah menjerit.
            “Jom turun.” Encik Afdhal masih memegang pintu yang dibukanya tadi.
            “Turun?”
            “Iyalah. Takkan kau nak duduk dalam van ni?”
            “Encik Afdhal, saya ingat... saya cari bilik lain ajelah. Jauh sangat ni. Susah saya nak pergi kerja. Saya bukannya ada transport.” Aku harap, encik Afdhal menerima alasanku. Aku memang tak mampu nak turun dari kenderaan. Tak sanggup.
            “Kau tak payah risau. Aku boleh ambil kau hari-hari.” Balas Encik Afdhal.
            “Mana boleh, encik Afdhal. Encik Afdhal kan nak tengok cik Dahlia pagi-pagi. Mana sempat.” Semoga nama kak Dahlia dapat menyelesaikan semua.
            “Kalau tak sempat. Aku suruhlah Joe tolong ambil kau. Apa susah? Dah cepat turun. Mak Pah dah tunggu lama kat situ.”
            Mak Pah? Mak Pah mana pula? Pelepah-pelepah kering banyaklah aku tengok. Aku telan liur. Aku sedar, aku perlu turun mengikut rentak encik Afdhal. Itu saja jalan untuk selamat. Terpaksalah juga aku bergerak keluar dari van.
            Liar mataku menjalar, memerhati sekeliling. Memang sebuah rumah agam. Sangat besar. Dan pastinya sangat cantik. Tapi aku yakin semua itu hanya cerita dahulu. Kini, rumah agam itu sudah tidak berbumbung. Yang tinggal hanya kerangka-kerangka yang menjadi tonggak rumah. Kelihatan seperti bekas rumah yang yang sudahpun dijilat api. Hitamnya warna pada tembok-tembok, mengesahkan. Kawasannya sudah tidak dijaga. Terbiar. Penuh dengan semak samun.
            “Mak Pah, kenalkan ini budak praktikal kat tempat Af.”
            Aku diperkenalkan kepada mak Pah. Seseorang yang tidak dapat aku lihat dengan mata kasar. Aku tak tahu apa yang patut aku buat. Patutkah aku senyum?
            “Salamlah, mak Pah dah hulur tangan tu kan?” encik Afdhal menyiku.
            Terketar tangan yang aku hulurkan mengikut arahan. Aku senyum juga, sambil mengangguk kepala. Sebuah lakonan demi menyelamatkan diri. Terasa sepertia ku turut gila sama.
            “Amboi, menggetar tangan. Macam jumpa dengan bakal mak mertua pula.” Encik Afdhal menampakkan senyuman.
            Aku kerling memandangnya. Seronok sungguh dirinya bila berada dalam dunia yang dia sendiri cipta. Tak pasal-pasal aku jadi pelakon tambahan hari ini.
            “Tak apa. Mak Pah masuk dulu. Nanti Af masuk. Af nak ambil beg Cik Selena Gomez kita ni.”
            Senyumku sudah tiada ada lagi, walaupun encik Afdhal sudah ketawa gembira. Sedikitpun aku tidak berganjak. Terus mendengar perbualan encik Afdhal dengan wanita yang tidak wujud. Kalau mereka mahu berbual sepuluh jam kat situpun aku tidak punya masalah. Asalkan aku tidak diajak masuk ke dalam rumah yang mungkin sudah punya penghuni yang tersendiri.
            “Kau tunggu sini, aku ambil beg kau dulu.”
            “Eh, encik Afdhal. Sekejap.” Aku menahan encik Afdhal daripada terus bergerak. “Saya nak ucapkan terima kasih sebab encik Afdhal sudi nak tumpangkan saya kat rumah yang serba indah ni.” Mahu atau tidak, aku tetap perlu nyatakan. Tak mungkin untuk aku tinggal di situ. Silap hari bulan, aku pula yang diletakkan di bawah pengawasan hospital sakit jiwa.
            “Tak payah nak terima kasihlah. Kau tolong aku, aku tolong kau. Adilkan?”
            “Betul adil. Tapi...” aduh, macam mana nak cakap ni?
            “Tapi apa?”
            “Tapi rumah encik Afdhal ni besar sangat. Takutlah saya nak tinggal seorang.” Aku masih menapis kata. Tak mahu berlaku apa-apa yang boleh membuatkan encik Afdhal naik radang, lalu meninggalkan aku seperti selalu. Saat-saat begini, bermanis kata itu sangat perlu!
            “Kau nak takut buat apa, Mak Pah kan ada? Kadang-kadang emak dengan ayah aku pun balik sini. Kau tak payah takutlah.”
            “Hah?” Tadi mak Pah, kini emak dengan ayahnya pun ada juga? faktor ketakutanku bertambah. “Eh, tak apalah encik Afdhal. Seganlah saya dengan emak dengan ayah encik Afdhal. Lainlah kalau encik Afdhal ada sekali.” Fikiran bertindak bijak. Lantas bibir menyusun alasan yang bakal membuatkan aku selamat. Encik Afdhal tak mungkin mahu tinggal di situ. Jika tidak, masakan dia hanya mahu pulang setelah lima belas tahun berlalu?
            Terdiam terus encik Afdhal. Membuatkan aku yakin aku bahawa aku akan berjaya meloloskan diri. Hari yang sukar!
            “Kalau macam tu, aku pindah balik sinilah.” Yakin sahaja tutur kata encik Afdhal.
            “Tak boleh!” laju aku melarang keras.
            “Apasal pula tak boleh?”
            “Er... Hah, sebab Arena Printing tak ada orang nak jaga. Sebab tu tak boleh.” Aku juga tunjuk riak yakin dengan kataku. Ah, apa-apa ajelah. Asalkan ada jawapan. “Kalau ada orang nak ceroboh masuk lagi macam mana? Siapa yang nak tengok?” api aku marakkan.
            “Betul juga.” Encik Afdhal mengeluh. “Eh, aku dah suruh Joe rahsiakan pasal hal tu. Macam mana kau boleh tahu?”
Aku senyum kelat sambil ralat memikirkan jawapan. “Alah, sekarang semua maklumat kat hujung jarilah, encik Afdhal. Tak boleh nak rahsia-rahsia dah.” Panjang lebar jawapan yang aku beri. Menutup kesalahan abang Joe. Jika bukan dia yang membocorkannya, pastilah itu angkara abang Joe. Bukankah hanya mereka berdua yang tahu? Itupun dia tidak dapat fikir?
 “Habis tu macam mana sekarang?”
            “Kita balik dululah, encik Afdhal. Lagipun senang aje nak cari bilik sewa. Kawan saya ramai kat KL ni. Mesti boleh dapatlah.” Bersungguh aku.
            Encik Afdhal merenungku. Dia nampak kurang yakin dengan apa yang aku nyatakan. Bunyi telefon bimbitku kedengaran. Menyelamatkan keadaan. Dalam poket seluar rupanya telefon bimbitku. Macam mana boleh tak perasan? Nama abang Joe tertera, membuatkan aku sangat-sangat senang hati.
            “Abang Joe.” Aku tunjukkan skrin telefon pada encik Afdhal. Mahu dia melihatnya sendiri. Panggilan aku jawab. “Assalamualaikum abang Joe.”
            “Wa’alaikumusalam. Ana call abang Joe, kenapa?” soal abang Joe. Kedengaran dia tergesa-gesa. Mahu cepat agaknya.
            “Oh, tak ada apa.” aku ukir senyuman. Berbual dengan abang Joe, sedangkan mataku hanya tertumpu pada encik Afdhal yang tak henti-henti memerhati.
            “Kalau tak ada apa-apa, okeylah. Abang Joe pun nak cepat ni.”
            “Okey abang Joe.” Talian dimatikan oleh abang Joe. Mendatangkan idea di fikiran. “Betul ke abang Joe?” aku sudah mula berdrama. Dah terasa macam encik Afdhal pula. Bercakap dengan orang yang tak ada. Terpaksa! “Okey. 250, okey sangat dah tu. Setuju!” aku senyum lebar. Buat-buat gembira.
             “Saya tak kisah abang Joe. Petang ni saya masuk.” Aku sambung perbualan yang sudahpun lama mati. “Okey. Terima kasih abang Joe.” Kali ini, barulah aku selesai berbual.
            “Fuh, lega. Settle dah. Saya dah dapat bilik. Abang Joe carikan.” Berita palsu itu aku khabarkan pada encik Afdhal.
            “Senang pula Joe dapat bilik.” Ragu encik Afdhal.
            “Itulah kan? sayapun macam tak percaya. Dah rezeki saya agaknya.” Aku tampal kembali lubang-lubang kepercayaan yang mula bocor.
            “So, betul kau tak nak duduk sini?” soal encik Afdhal sambil memandang rumahnya seketika.
            “Tak! Tak apa.” cepat aku jawab.
            “Okey. Kalau macam tu, kita masuk minum ajelah. Mak Pah dah siapkan air tu agaknya.” Encik Afdhal sudah berjalan untuk masuk ke rumahnya.
            “Bos!” panggilku.
            “Apa lagi?”
Keras suara encik Afdhal. Membuatkan terbantut terus rancanganku mahu berbohong dengan menyatakan yang aku sedang berpuasa. “Saya masuk sama ya.” Alih-alih ayat itu pula yang keluar. Dengan terketar kaki melangkah. Namun hati mengingatkan supaya berlagak tenang.
Masuk saja ke dalam bangunan usang itu, aku dijemput duduk di atas serpihan batu tembok yang pastinya kelihatan seperti sebuah sofa empuk pada pandangan encik Afdhal. Tetapi aku menolak dengan alasan aku mahu meninjau di sekitar rumah. Ada baik aku mengelak daripada duduk dekat dengan encik Afdhal. Bahaya!
Encik Afdhal meminta diri. Katanya mahu emnjenguk mak Pah di dapur. Jadi aku biarkan. Aku melangkah setapak demi setapak, melewati kawasan rumah yang sudahpun tiada punya apa-apa. Mata mengamati tiang-tiang yang banyaknya bertompokkan hitam pekat. Cuba mengkaji sendiri, bagaimana rumah itu boleh terbakar?
“Tengok apa tu?”
Teguran encik Afdhal, sedikit memeranjatkan. Encik Afdhal datang menghampiri. Kini dia juga turut memandang tembok yang aku pandang.
“Ini gambar keluarga aku. Inilah emak dengan ayah aku yang kau nak jumpa sangat tu.”
Mendengarkan kata encik Afdhal, aku yang kembali memerhatikan tembok yang baru tadi aku buang dari pandangan. Terdiam aku tanpa kata.
“Yang kat situ pula, semuanya hasil tangan sejak aku sekolah tadika lagi. Apa aje yang aku buat, mak aku akan frame dan gantungkan.” Encik Afdhal menghalakan tangannya ke sebelah sana.
Aku masih diam. Bagaimana aku mahu bersuara sedangkan aku tak nampak apa-apa?  Kemudian encik Afdhal beralih tempat.
“Sini, aku nak tunjuk kat kau sesuatu.”
Aku terpaksa menuju ke arah encik Afdhal.
“Nampak gambar-gambar atas meja ni?”
Aku renung ke dalam mata encik Afdhal. Bolehkah aku menyatakan bahawa aku tidak dapat melihatnya? Apa akan jadi kalau aku berkata begitu? Tidak, aku tidak patut! Mungkin dia sedang cuba menceritakan sesuatu. Aku patut terus mendengar,
“Nampak!” aku berbohong.
“Semua ni gambar aku.” Tersenyum encik Afdhal. “Yang ni masa aku umur setahun. Masa ni, aku dah besar sikitlah, dah lima tahun. Ini tujuh tahun.”
“Banyaknya.” Kataku sepatah. Sekadar menghidupkan lagi penceritaan.
“Mestilah. Setiap kali birthday aku, aku kena bergambar. Mak dengan ayah aku cakap, dia tak nak hilang satu kenanganpun pasal aku. Aku satu-satunya kesayangan dia orang. Aku seorang aje tau!.” Encik Afdhal nampak bangga.
Aku pula mengangguk tanda mengerti. Ada sesuatu yang dapat aku baca kini. Encik Afdhal punya sebuah keluarga yang bahagia. Sangat bahagia! Tapi apa yang membuatkan dia mengatakan bahawa dirinya tidak dimaafkan emak dan ayah yang kelihatan begitu menyayangi dia? Apa yang berlaku. Makin galak rasa ingin tahu.

BAGASI  yang aku bawa membataskan pergerakkan. Aku mahu segera jauh dari Arena Printing sebelum dilihat oleh encik Afdhal. Waktu kerja sudah lama tamat. Sepatutnya aku sudahpun sampai dan beristirehat di dala bilik sewaku. Ataupun setidak-tidaknya aku kini dalam perjalanan ke sana. Tapi sehingga waktu ini aku masih berada di Arena Printing.
            “Ana.”
            Panggilan yang kuat itu  membuatkan langkaah kaaki tidak dapat diteruskan. Abang Joe sedang berlari anak, mengejarku.
            “Ana pergi mana dengan Afdhal pagi tadi?” soal abang Joe sebaik saja kami bertentangan.
            Adakah aku perlu membuka cerita? Itu yang menjadi persoalan. “Pergi rumah encik Afdhal.” Aku berkeputusan bercakap jujur.
            “Rumah Afdhal?” kening abang Joe berkerut seribu.
            Aku mengangguk.
            “Rumah mana?”
“Rumah encik Afdhallah, abang Joe.”
“Rumah atas bukit tu?”
            “Ha’ah.” Aku balas sepatah.
            Abang Joe awnyum sikit. “Tipulah.” Enggan dia percaya.
            “Betullah, abang Joe. Ana tak tipu.”
            Mulut abang Joe terkunci rapat. Hanya matanya yang berbicara. Berbicara tentang sesuatu yang tidak dapat aku faham.
            “Rumah yang dah hangus terbakar tu?”
            Kali ini aku hanya menganggukkan kepala. Tidak larat untuk mengiyakan benda yang sama berulang kali.
            “Mustahil.”
            “Kenapa pula mustahil?” tanyaku, tidak puas hati. Mengapa abang Joe masih tidak mahu mempercayainya?
            “Lepas rumah tu terbakar, tak ada orang yang berjaya bawa Afdhal balik ke rumah tu lagi.”
            Aku terkedu. Benarkah begitu?
            “Abang Joe rasa tak sedap hatilah Ana.” Luah abang Joe. “Abang Joe takut keadaan Afdhal bertambah teruk.”
            Kegusaran abang Joe telah menambahkan kerisauan aku. “Janganlah abang Joe cakap macam tu, mungkin...”
            “Hah, borak apa ni?” encik Afdhal sampai pada masa yang tidak sesuai.
Langsung tidak sempat aku menghabiskan kata. Aku dan abang Joe terus mengubah riak wajah. tidak mahu encik Afdhal mengesyaki apa-apa.
“Mana kau dapat bilik Joe?” Afdhal memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.
“Bilik, bilik apa?” abang Joe tidak mengerti.
Aku pula jadi tidak senang duduk. Takut rahsia bocor. Tangan aku lambaikan pada Abang Joe, sebagai isyarat. Tapi abang Joe hanya fokus memandang kawan baiknya.
“Bilik sewa yang kau carikan tu lah. Tempatnya kat mana?”
“Bilik sewa apa pula ni?”
“Abang Joe ni, buat-buat lupa pula. Pagi tadikan kita ada cakap dalam telefon. Abang Joe cakap dah dapat bilik sewa.” Berkali-kali aku kenyitkan. Kalau abang Joe tak faham juga, habislah aku.
Lama abang Joe memikir. Sekilas matanya memandang bagasi hitamku. “Oh, ye la. Bilik sewa tu kan? Ada... Ada...”
Jantungku tidak jadi jatuh. Abang Joe telah menyelamatkannya. Selamat juga akhirnya.
“Kat mana?” encik Afdhal bertanyakan soalan yang sama seperti tadi.
“Dekat ni ha...” gagap abang Joe menjawab.
“Dekat mana?” tekan encik Afdhal.
“Apa tu namanya... Ha, Kampung Baru. Betul, Kampung Baru.” Teranguk-angguk abang Joe. Membenarkan kata-katanya sendiri.
“Kau nak pergi sana macam mana? Joe hantarkan ke?”
Pandangan encik Afdhal sudah beralih kepadaku pula. Bermakna, akulah orangnya yang perlu menjawab pertanyaan itu. “Tak. Kawan abang Joe ambil. Dia tunggu dekat stesyen lrt kan abang Joe?” aku pura-pura mendapatkan kepastian daripada abang Joe.
“Ha’ah. Betullah tu.”
“Kau nak naik kereta orang yang kau tak kenal?”
Pertanyaan itu tidak dapat aku jawab. Betul juga cakap encik Afdhal.
“Kawan aku tu baiklah. Tak ada apa yang nak dirisaukan.” Sekali lagi abang Joe membantu.
“Saya pergi dululah. Assalamualaikum.” Terus saja aku tarik bagasi. Tak boleh terus ada di situ. Cepat-cepat aku minta diri.
Tanpa menghiraukan apa-apa, aku berjalan terus. Kalau boleh aku mahu cepat hilang daripada pandangan mereka. Barulah aku akan rasa selamat. Apabila rasa aku sudah jauh, langkah aku perlahankan kembali. Pergi ke stesyen lrt. Tapi untuk apa? kemana destinasi aku seterusnya? Di mana aku akan tumpang tidur malam nanti?
Bagaimanalah dengan abang Naim sekarang? Tiba-tiba sahaja hati rindukan lelaki yang bernama Naim Zulkarnain. Adakah dia betul-betul senang dengan ketiadaanku? Masih ada harapan di hati, semoga dia juga sedang merindui aku seperti mana aku rindu padanya.
Stesyen lrt sudahpun kelihatan. Ramai orang di situ. Masing-masing berebut masa, mahu pulang segera. Aku mengambil tempat duduk. Termenung aku memikirkan takdir. Sekali sekali aku menoleh ke kiri dan kanan. Sekadar memenuhi masa. Sampai bila aku mahu duduk di situ? Aku perlu fikirkannya dengan serius sekarang. Tidak lama lagi cahaya terang bakal hilang, digantikan dengan gelap. Maka, aku perlu beredar, mencari tempat berlindung segera.
Belumpun sempat terfikirkan apa-apa. Kelibat encik Afdhal kelihatan menghampiri. Dapat pula dia menghidu kedudukanku. Apa lagi yang encik Afdhal mahu? Rasa bosan diekori begitu. Letih melayan kerenahnya. Aku tetap berdiri sewaktu encik Afdhal semakin dekat. Tanda menghormati dia sebagai seorang ketua.
            “Tak sampai lagi ke kawan Joe?”
            “Tak lama lagi sampailah tu. Encik Afdhal buat apa kat sini?” sebenarnya aku tidak ingin bertanya. Tapi aku tidak punya ayat lain untuk dikongsi bersama. Hanya itu yang ada.
            “Suka hati akulah aku nak buat apa kat sini.”
            Jawapan yang diberikan begitu menyakitkan hati. Jawapan yang sangat lali didengar telinga. Pasti dia sendiri tidak punya alasan. Aku malas mahu layan lagi. Rasa terganggu dengan kehadirannya.
            “Hah, dah sampai dah. Saya pergi dululah encik Afdhal.” Kereta yang baru sahaja berhenti tidak jauh dariku menjadi sasaran untuk melepaskan diri. Bagasi aku tarik dan membawanya ke kereta merah yang mungkin sedang menunggu seseorang yang lain. Aku sudah tidak peduli. Aku akan tebalkan muka. 
            Sampai sahaja, aku terus membuka pintu belakang kereta, dan memasukkan bagasi. Kemudian aku dapatkan pula pintu tempat duduk penumpang hadapan. Setelah berjaya di buka, aku terus masuk ke dalam. “Kak, minta maaf ya. Saya nak tumpang sekejap aje dalam kereta akak ni. Boleh ya kak?” Segera aku menjelaskan. Wanita yang berumur dalam lingkungan akhir empat puluhan itu memang terkejut. Riak wajahnya begitu jelas kelihatan. Terkelip-kelip matanya.
            “Lima minitpun jadilah kak.” Aku mohon lagi. kemudian, wanita itu mengangguk bersetuju.
            “Terima kasih kak.” Aku ucapkan kata penghargaan.
            Encik Afdhal sudahpun berpatah balik. Sempat aku lambai, sewaktu dia melintasi kereta yang sedang aku naiki. Bukan segaja aku mahu mengelak diri. Sungguh aku letih hari ini. Lelah dengan apa yang sudah menimpa diri.
            Telefon yang berbunyi segera aku angkat. Abang Joe di talian. “Ya, abang Joe.”
            “Ana dekat mana sekarang? Dah dapat bilik sewa?”
            “Dekat  stesyen lrt lagi. Belumlah abang Joe. Anapun tengah pening ni.”
            “Ana tunggu situ. Bos kak Lin dah kata nak tumpangkan Ana kat rumah dia.”
            Bos kak Lin? Otakku mula mentafsir maklumat yang baru saja aku terima. “Maksud abang Joe, cik Dahlia?”
            “Hah. Oh, Ana kenal dengan dia? Patutlah dia nak tolong.” Abang Joe berceloteh. “Ana tunggu situ, nanti sekejap lagi dia sampai.” Abang Joe mengarahkan.
“Terima kasih abang Joe.” Aku sudah senyum. Aku yakin abang Joe bercerita pada kak Lin. Lalu kak Lin mendapatkan bantuan kak Dahlia. Rasa senang di hati. Bersyukur, kerana tidak ada apa-apa lagi yang perlu aku risaukan. Setidak-tidaknya aku boleh meminta keizinan kak Dahlia untuk tinggal di rumahnya sehingga aku berjaya mendapatkan bilik sewa.
Kak Dahlia memang baik hati. Patutlah encik Afdhal bukan main suka! Kalaulah encik Afdhal tahu kisah ini. Pasti dia akan melompat gembira. Dengan adanya aku duduk menumpang di rumah kak Dahlia, itu bermakna, makin dekatkah dirinya dengan kak Dahlia. Dahlia! Saat ini terimbas pula pada Villa Dahlia. Apakah villa itu ada kaitan dengan kak Dahlia? Bertambah persoalan dalam kotak fikiran.
           
Bersambung...

Kata AH:
Assalamualikum semua. Selamat mmbaca entry 19. Just want to say... Sampai satu tahap, AH sendiri jadi keliru. Naim Zulkarnain & Muhammad Afdhal? Mungkin AH semua buat vote utk tentukannya kut... hi boleh gitu? Jumpa next entry. :)              

33 comments:

Kak Sue said...

kasihan ana yg jadi mangsa... hehehe
semangkin menarikkk

jayda said...

En. Afdhal nie makin lama makin scary la... huhu seram...
i nak vote for Abang Naim.. then Abang Naim and Ana bleh sama2 tolong En. Afdhal.. bleh tak cam tu??

nana said...

Saya mau Ana dan Naim sebab mereka suka satu sama lain. Rasa macam bodoh je mak Naim larang hubungan mereka kerana mereka sepupu. Tapi saya suka part afdhal dgn selena gomez kelakar tapi menakutkan hehehe. Harap Ana dapat bantu Afdhal dan mana tau mmg jodoh afdhal dgn dahlia :)

Anonymous said...

Makin menarik. Best sangatlah karya Adah! Awesome! Nak vote utk Afdhal.

Afifah Yusof said...

wah... memang lain dari lainlah. risau pula dengan keadaan Ana. hehe. saya sokong Encik Afdhal! haha. terima kasih kak Adah :)

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

ya rabbi...sabar je lah dgn afdhal..
bole naik gila sekali dgn dia... hehehe...
tp ana sweet sgt sbb pandai amik hati afdhal..
sebab tu afdhal sayang sungguh kat ana...
:)

Anonymous said...

nak vote untuk afdhal.. :)

Anonymous said...

Salam.. saya sgt2 suka cite ni. Saya vote for naim walaupun mcm suka gak kt afdhal tu. Hehe.. rasa berdebar plk nk tau kesudahan citer.
Ilyana.

Anonymous said...

ana naim

Kiki Wafa said...

Afdhal....

eija said...

Skog afdal..mna taw ana blh bantu afdhal dr pykitnya.. Tp myeramkn btl klo tkne mcm stuasi ana nie...mau ketar lutut...oh tidakkkk...dmam 1 mgu..

Anonymous said...

Afdhal

Anonymous said...

lebih baik afdhal....sifatnya yg misteri buat org tertnye-tnye...wataknya
pun kena dgn crita...ar..x sbr nak tnggu next n3

Anonymous said...

rasanya afdahal x lah gila..cuma trauma kehilangan orang tersayang jer kot..mesti ana dapat bantu afdhal..saya sokong ana dengan afdhal...AH x sabar nak baca next n3 heheh teruskan usaha yer..

-nur-

Anonymous said...

Saya sokong afdal....misteri orangnya..l

Anonymous said...

vote for Ana & Afdhal. kalo ana dgn naim... jln cerita stereotype love story... so nk ana ngan afdhal.. misteri, lovey dovey, thrill and paling penting ana mampu tolong afdhal pulih semula... ana sumber kekuatan afdhal n cinta ana akan beralih arah kepada afdhal... pls AH...

lili marina said...

Vote for afdhal...moga ana dpt menjadi penyembuh utk afdhal.......

ida said...

Watak Afdhal sgt2 menarik walaupun a bit scary, maybe because of terlampau trauma. That's why dia jadi very imaginative. Pls Ana, tolong cure Afdhal ye. Maybe cinta ana mmg milik afdhal. who knows? So vote for afdhal!

Amyra Adelenna said...

Takot siot...Vote for Mohammad Afdhal...

rahsia hatiku said...

nak ana ngan abang naim.. sweet sngat diorng 2 tu..

Anonymous said...

Bestlah cerita ni. Masa bab en Afdhal gelak juga baca tapi masa bab Ana dgn Naim sedih sangat. Cian Ana. Yang Naim nak marah, kenapa pulak. Patut dialah yang bertegas dgn mak dia. Apapun saya nak Ana dengan Afhdal.

Anonymous said...

ana-afdhal
ana bole sama2 tlg rungkaaikn misteri nusantara ni =p

Anonymous said...

thanks for this entry adah
ana Jgn Jatuh Cinta ngan afdhal..ana berhak dpt naim cumanya watak naim tu kena kembangkan lagi..nampak gaya mcm adah mmg nk satukan ana dan afdhal ye

-chah husain-

Adah Hamidah said...

Assalamualaikum

Terima kasih kpd semua yang meninggalkan vote & pendapat. Insya'ALLAH pandangan semua akan AH kaji teliti. Tapi soal hati dan perasaan susah juga nak cakap kan... Kalau AH, AH nak Ana pilih...... hi2 xpela AH rahsiakan buat sementara waktu ya. Terima kasih kpd semua pembaca setia JJC. Semoga terus menyokong JJC. Slmt berpuasa semua.. :)

Anonymous said...

Akak nak ana ngan afdhal

...DG siti...

Anonymous said...

afdhal..

dri_eni said...

salam...

hmm..nampaknya most of the reader nak afdhal la kak AH..even saya pun nak Ana & Afdhal..dorang mcm ada chemistry n ble masuk..wlupun Afdhal cenggitu...hehe..vote for Ana & Afdhal..nama da sama da A&A..ehehhe...

jln cerita yg sgt menarik...tertunggu2 next episod...pasti lebih bermutu..thanks for sharing kak AH..keep it up!

tini said...

nak Naim!!!! Tak nak Afdhal plizz.....Afdhal menakutkan. Belum tentu otak dia betul

Anonymous said...

tak nak afdhal ! nk naim ... vote 4 naim

Anonymous said...

kalau sya , sya sokong naim lagi lah dri afdhal .

Anonymous said...

Naim plssss

Faezah Ilyas said...

vote sy nie dikira lagi x kak...saya nk vote utk Afdhal

Valena Michelle said...

Banteng88 MASTER AGEN BOLA
Banteng88 MASTER AGEN JUDI
Agen Bola
Agen Judi
Agen Judi Online
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Bandar Judi
Bandar Bola
Judi Online
Bola Online

Post a Comment