Wednesday, July 3, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 15



15
            Aku membatukan diri. Tanda protes. Baru berangan dapat tidur di atas katil empuk. Ingatkan abang Naim yang menyapa. Rupa-rupanya makhluk yang tak punya hati perut tu. Tadi beria benar menghalau aku. Sekarang, tiba-tiba pula muncul di sini, duduk di sebelah.
            “Eleh, merajuk la tu.”
Berusaha keras encik Afdhal mahu memancing aku bersuara. Tapi semangat aku lebih kental. Cakaplah apapun, aku tidak punya minat untuk berbual-bual dengannya.
“Kau ni kan... Dahlah tak padan dengan nama orang putih. Perangai entah apa-apa. Sombong, pemarah, bongkak. Buruk perangai betul!.”
            Telingaku mula panas apabila diserang bertubi-tubi. Mentang-mentanglah aku mendiamkan diri. Dia ambil kesempatan pula. Ini tak boleh jadi. Tak boleh dibiarkan.
            “Kepala keras macam batu!” tambahnya lagi.
            “Memanglah semua orang kepala keras macam batu. Encik Afdhal pernah jumpa orang yang kepala lembik macam jeli ke?” kali ini aku balas tanpa sedikitpun memandang encik Afdhal.
            “Ha, bolehpun bercakap.” 
            “Mestilah boleh. Saya bukan bisu.” Pantas aku jawab. Tidak mahu lagi mendiamkan diri.
            Encik Afdhal ketawa senang hati. Seronok benar dia dengan jawapan-jawapan balas yang aku berikan.
            “Marah?” tanya encik Afdhal.
            Kali ini aku diam. Dia boleh lihat sendiri dengan matanya reaksi aku saat ini. Tidak perlu aku menjawabnya.
            “Encik Afdhal buat apa kat sini? Pergilah balik, tidur.” Giliran aku menghalau.
            “Stesyen ni bukan kau yang punya kan? Bus stop ni pun bukan kau yang bina kan? So tak payahlah kau nak halau aku. Ikut suka akulah nak tidur dekat mana.”
            Aku terdiam lagi. Betul juga kata encik Afdhal. Aku tidak punya hak ke atas stesyen ini. Nampaknya untuk tidak terus bersama bos senget itu, akulah yang perlu angkat kaki, meninggalkan stesyen. Kaki mula berdiri tegak. Bersedia untuk melangkah.
            “Hah, nak pergi mana pula tu?” encik Afdhal turut bangun sama.
            “Tak payahlah pedulikan saya. Encik Afdhal tidur aje kat situ. Saya nak pergi buat stesyen saya sendiri.”
            “Kau jangan nak mengada-ngada. Duduk!”
            “Tak nak.” Kemudian aku terus berjalan pergi.
            “Suka hati kaulah. Tapi jaga-jaga, kau tu perempuan. Jangan sampai jadi mangsa. Sini kawasan hitam.”
            Kata-kata encik Afdhal yang begitu kuat kedengaran membuatkan kakiku enggan terus mara. Kawasan hitam? Terus hatiku berdebar. Kalau aku terus melangkah, ini bermakna aku sedang membahayakan diri. Jadi sepantas kilat aku berpatah balik.
            Tapi kali ini aku tidak duduk di tempatku tadi. Encik Afdhal sudahpun menguasai tempat dudukku dengan aksi baringannya. Aku duduk selang dua kerusi dari tempat duduk asal. Rasa macam dah lama duduk di situ. Tapi apabila aku tengok jam, baru pukul satu setengah. Masih lama lagi sebelum matahari tunjukkan wajah. Takkan aku nak duduk di situ sampai pagi? Sering kali aku menyesal dengan keputusan yang aku buat. Kalau aku balik tadi mesti semua ni takkan terjadi!
            Encik Afdhal sudah bangun daripada pembaringan. Dia berjalan menghampiriku dan memilih untuk duduk pada kerusi yang terletak bersebelahan dengan kerusiku.
            “Kenapa kau lari rumah?”
            “Siapa yang lari rumah?” aku peluk beg tangan.
            “Kaulah, takkan aku pula.”
            “Mana ada lari. Cuma malam ni tak ada rasa nak balik.” persepsi encik Afdhal yang salah, cuba aku betulkan. Aku tidak lari rumah, dan langsung tidak berniat berbuat begitu.
            “Habis tu? Kau gaduh dengan emak bapa kau ke?” lagi andaian daripada encik Afdhal.
            “Taklah. Saya tak boleh nak balik.”
            “Kenapa tak boleh balik pula?”
            “Sebab saya tak nak balik.”
            “Sekejap tak nak balik, sekejap tak boleh nak balik. Mana satu ni? Kau nak aku tinggalkan kau seorang kat sini?”
            “Tak nak!” kuat suaraku. Sudah dia menakut-nakutkan aku tadi, sekarang nak tinggalkan aku pula. Aku takkan benarkan.
            “Baik kau cerita cepat. Kalau tak aku balik...” encik Afdhal bangun dengan gerak perlahan. Berniat mahu mengugut.
            “Esok abang Naim nak bertunang. Tak sangguplah tengok dia bertunang dengan perempuan lain.” Aku berterus terang. Biarlah. Lagipun ada juga tempat untuk luah perasaan.
            Encik Afdhal duduk kembali. “Abang Naim? Bakal tunang kau tu ke?”
            Aku mengangguk. Tepat tekaan encik Afdhal.
            “Kata suka kat aku. Yang sedih sangat lelaki tu nak bertunang apasal?” perlahan suara encik Afdhal.
            “Apa dia encik Afdhal?” sengaja aku soal kembali. Padahal aku dengar apa yang diperkatakan tadi.
            “Tak ada apalah. Kau sedihlah ni?”
            “Sedihlah.” Aku tunduk. Tak sanggup pandang encik Afdhal. Hati yang sedang menangis sibuk mengajak mata mengalirkan titisan jernih.
            “Tak payahlah nak berdrama. Kau bukan suka kat dia pun.”
            Aku angkat muka. Memandang encik Afdhal yang sedang asyik mengoyangkan kakinya.
            “Siapa cakap saya tak suka kat dia?” aku bantah keras penyataan encik Afdhal.  Pandai- pandai aje dia buat kenyataan begitu. Penuh yakin pula tu.
            “Buat-buat lupa pula. Hari tu kau cakap kau suka kat akukan? bukan dia. Kau ni apasal cakap suka putar belit?”
            Alamak. Lupa pula kisah hari itu. Kuat pula ingatan encik Afdhal. Ingatkan dia dah lupa. Ingat lagi dia, cis! “Iyalah... dah encik Afdhal tak suka kat saya. Saya sukalah kat dia pula.” Aku cuba menyelamatkan keadaan.
            “Aik, cepat betul kau berubah hati. Mana boleh macam tu?” encik Afdhal nampak tak bersetuju.
            “Kenapa tak boleh pula? Lagipun abang Naimlah satu-satunya lelaki yang sukakan saya kat dunia ni.”
            “Mana kau tahu dia satu-satunya lelaki yang suka kat kau?”
“Saya tahulah...” aku balas penuh bangga.
“Kalau dah suka sama suka, apasal  tak bertunang dua aje?” encik Afdhal menjeling.
            Aku diam. Itu impianku. Tapi aku tidak mampu melawan takdir yang tertulis untuk aku dan abang Naim. “Itulah masalahnya. Suka aje tak cukup untuk hidup bersama.” Perlahan aku suarakan pandangan. Ya, masih banyak yang perlu dipertimbangkan.
            “Ah, peninglah aku layan kisah kau. Tidur lagi bagus.” Encik Afdhal terus baring atas kerusi. Tidurnya mengiring di sebelah kanan, berbantalkan tapak tangan kanannya juga.
            Aku geleng kepala. Mahu sakit badan tidur atas kerusi tak rata macam tu. “Bos, nak tidur pergilah balik.” sengaja aku menguji.
            “Diamlah kau Gomez.”
            Aku senyum. Bunyinya kedengaran macam merajuk. Gomez pun, Gomezlah! Asalkan aku rasa selamat.
CAHAYA lampu kereta sudah jelas kelihatan walaupun dari jarak yang jauh. Lantas aku bangun, berjalan ke arah kereta yang datang untuk memastikan. Ya, betul kereta abang Naim. Sempat aku toleh pada Encik Afdhal yang sedang tidur lena. Dari tadi, posisinya tidak ubah langsung.
Tidak sanggup pula menunggu sehingga matahari terbit. Maka aku membuat keputusan untuk menghubungi abang Naim bagi menjemputku pulang. Lagipun rasa janggal duduk di situ berdua dengan encik Afdhal. Walaupun ditempat terbuka, tapi masih tetap berdua. Tak elok pula rasanya. Mungkin otakku sudah mampu  kembali berfikir dengan waras.
Sempat juga aku tulis nota terima kasih di atas lengan kiri encik Afdhal sebelum kereta abang Naim sampai. Memang jenis tidur mati agaknya. Langsung dia tidak sedar saat aku mencatit nota itu.
Dapat aku dapat lihat kesan luka pada tangan encik Afdhal ketika aku tekun menulis ucapan penghargaan. Sepertinya luka itu masih baru. Kalau diukur dengan pembaris, rasanya ada dalam tujuh ke lapan sentimeter panjang lukanya. Mungkin dah boleh dikategorikan sebagai kesan kelar. Encik Afdhal ada buat cubaan mencederakan diri ke? Ish, bahaya betul. Kena cepat bawa berubat ni.
Kereta abang Naim sudah berhenti. Abang Naim kelihatan tidak ceria. Wajahnya masam. Tiada langsung senyum untukku seperti selalu. Mungkin dia sedang marah kerana aku tidak menunaikan janji, dan menghilangkan diri. Aku masuk ke dalam kereta, kemudian menutup pintu.
Terus saja kereta abang Naim bergerak setelah pintu ditutup. Mataku memandang encik Afdhal yang nyenyak tidur sewaktu melintasinya. Semoga dia terjaga sebelum pagi menjelma. Abang Naim tidak bersuara. Jadi akupun mendiamkan diri. Membuang pandangan jauh pada ruang gelap di luar. Sunyi sahaja keadaan. Sama sepi macam hatiku. 
“Kenapa Ana buat abang macam ni?” abang Naim sudah mahu bersuara.
“Ana buat apa?” soalku kembali. Akukah yang bersalah? Ini urusan takdir, bukan aku yang mengaturkan segalanya.
“Kenapa Ana larikan diri?”
“Ana tak larikan diri. Ana cuma tak nak kecewakan mak lang.”
“Tapi Ana dah kecewakan abang!”
“Ana sendiri kecewa, abang Naim. Kalau kita memang tak ada jodoh, Ana tak boleh buat apa.” aku harap abang Naim faham. Dia lebih matang untuk memahami segala.  
“Jadi Ana tak kisahlah kalau abang bertunang esok?”
Aku diam. Tidak menjawab. Kalau aku jawab sekalipun, jawapanku tidak akan didengar sesiapa. Akhinya aku juga yang patah hati.
“Jawablah, kenapa Ana diam?” abang Naim memaksa.
“Jawapan Ana dah tak penting. Sekarang ni, abang Naim kena belajar terima kenyataan. Abang Naim kena cuba cintakan tunang abang Naim. Itu harapan mak lang.” Aku tunduk. Hati rasa dipukul-pukul ketika meluahkan kata. Sakitnya hanya tuhan yang tahu. Bertahun-tahun aku menantikan abang Naim. Tetapi khatimahnya, tidak punya apa-apa. Menjadi sebuah penantian yang sia-sia.
“Abang tak boleh cintakan perempuan lain, selain Ana. Bukan baru semalam Ana ada dalam hati abang.” Abang Naim makin memecut laju keretanya.
“Abang Naim akan bahagia.” Aku sekadar memujuk hati abang Naim.
“Tak mungkin. Mati hidup balikpun, abang takkan dapat cintakan orang lain. Ana ingat tu!”
Sudah tidak ada ayat yang dapat aku tuturkan. Setiap apa yang aku bicarakan, abang Naim dapat membalasnya dengan mudah. Mungkin adalah lebih baik untuk aku mendiamkan diri sehingga sampai ke destinasi.

BERIYA-IYA mak lang mengajak. Tapi aku tetap menolak untuk turut sama dalam rombongan pihak lelaki. Aku tidak boleh ada di majlis itu. Aku takkan menyertai mereka. Itu keputusanku.
            Abang Naim turun bersama baju melayu berwarna jingga. Walaupun tidak bersampin, namun abang Naim tetap kelihatan segak. Cuba kalau dia letakkan sedikit senyuman pada bibirnya, pasti kacak dirinya lebih terserlah. Kalaulah hari ini merupakan hari aku dan abang Naim, pasti kami akan bahagia. Jangan bermimpi! Ada suara yang menyedarkan.
            Aku cepat-cepat bergerak ke dapur. Tidak sanggup untuk menghantar pemergian mereka. Tiada apa-apa yang dapat aku buat di dapur. Semuanya sudah siap berkemas. Untuk tidak disyaki, terpaksalah aku menyediakan secawan air milo untuk diriku sendiri. Perlahan gerakkanku dalam misi menyiapkan secawan air. Aku mahu duduk lama di situ. Sekurang-kurangnya sehingga mereka semua pergi.
            Terasa seperti ada kaki yang melangkah masuk ke dapur. Mungkin mak lang. Aku toleh, untuk memandang. Sangkaanku silap. Abang Naim rupanya. Dia membuka pintu peti sejuk dan mengeluarkan jus oren. Gelas yang ada berhampiran denganku pula dicapai.
            “Abang tanya Ana buat kali yang terakhir. Betul Ana nak abang bertunang?”
            Aku sudah sebak. Melihat dia hari ini, bakal menjadi milik wanita lain, membuatkan jantungku sesak. Tapi aku tidak boleh mengatakan bahawa aku tidak mahu dia meneruskan pertunangannya.  “Ini jalan hidup abang Naim. Teruskanlah. Ana doakan yang terbaik untuk abang Naim.” Sebenarnya ada air mata yang mengalir. Segera aku hapuskan. Aku berharap abang Naim tidak melihatnya.
            “Ana bertanggungjawab, atas apa yang jadi hari ni.” Abang Naim beredar sebelum sempat meneguk jus oren yang dituangnya.
            Aku membatu. Tidak mampu bergerak lagi.
“Ana, mak lang pergi dulu.” Laungan mak lang kedengaran jelas.
Ada bunyi pintu ditutup. Suasana yang tadinya riuh, sudah bertukar sunyi. Aku terduduk di atas lantai. Menangis sendirian. Tersedu-sedan umpama anak kecil yang tidak dipenuhi permintaannya. Tiada sesiapa yang dapat mententeramkan diri. Memujuk hati. Abang Naim, tolong jangan jatuh cinta dengan perempuan lain! Hati masih berharap. Menyampaikan pesanan yang tidak mungkin mampu abang Naim dengar.

MINGGU baru menjelma lagi. Setelah melalui cuti hujung minggu yang sukar, hari ini aku kembali lagi ke tempat kerja. Walaupun aku bertekad untuk bermula semula dengan semangat yang baru, semangat itu menjadi runtuh setiap kali menatap wajah abang Naim.
            Sejak bertunang, abang Naim kian rasa jauh dariku. Dia langsung tidak mahu senyum padaku. Sentiasa saja dia mengelak ketika kami bertembung. Mungkin abang Naim sedang cuba melupakan aku. Aku tidak patut muncul di hadapannya lagi. Tapi bagaimana? Aku terpaksa terus menumpang di rumahnya untuk satu tempoh masa lagi.
            Aku letakkan kepala di atas meja. Mata aku pejam rapat. Letih dengan urusan hidup yang aku rasa lebih banyak pahit daripada manis. Rasa tidak bermaya. Mereka yang mengalami pastinya memahami.
            “Ana!”
            Kepala aku angkat apabila abang Joe memanggil. Pura-pura aku bersemangat seolah musim luruh sudah berlalu. “Apa dia, abang Joe?”
            Delivery order untuk TF Trading hari tu, mana?”
            Delivery order?” aku memikir. Ha’ah, delivery order hari tu. Terlupa, mana pula aku letak?
            “Ana letak dekat mana? Ana bagi dia orang sign tak hari tu?” abang Joe tanya lagi.
            “Eh, mestilah bagi, abang Joe. Kenapa?” aku dapat rasa ada yang tidak kena.
            “Dia orang complain. Barang yang kita hantar tak cukup. Itu yang abang Joe nak tengok DO. Mana DO?”
            Risau aku dibuatnya. Mana aku letak DO tu? Sungguh aku lupa. Otak kembali mengimbas hari berlakunya kejadian. Gara-gara nak cepat, ikut abang Naim, aku lupa mana DO yang penting itu aku campak. Alahai...
            “Ana tak ada bagi pada abang Joe ke?” aku bertanya walaupun aku tahu aku langsung tak berjumpa dengan abang Joe petang itu.
            “Tak ada. Ana jangan main-main, penting tu. Marah Afdhal nanti.” Abang Joe mengingatkan.
            “Apa kes ni?”
            Encik Afdhal tiba pada masa yang tidak sesuai. Boleh saja dia menghidu masalah yang ada, lalu sepantas kilat menjelmakan diri.
            “Oh, tak ada apa. Tangan kau dah okey?” seperti selalu abang Joe cuba menyelamtakn aku.
            Encik Afdhal melihat luka pada tangannya. “Okeylah juga. Apasal kecoh-kecoh ni. Ada yang tak kena ke?” masih encik Afdhal menyoal. Dia tetap mahu tahu apa yang berlaku.
            “Tak ada apa. Aku nak minta DO kat Ana aje.” Akhirnya abang Joe terpaksa membuka cerita.
            “DO yang mana?”
            “TF Trading punya DO.”
            “Oh... DO tu ada kat aku. Sekejap lagi aku bagi kat kau. Ingatkan apa tadi.”
            Fuh... aku rasa lega. Kat encik Afdhal rupanya. Bila masa pula aku bagi kat dia? Encik Afdhal sudah pergi. Tinggal aku dengan abang Joe.
            “Kat Afdhal rupanya. Okeylah Ana. Kalau kerja Ana dah settle nanti, naik atas, ya. Tolong printing department.” Abang Joe juga sudah mahu gerak.
            “Abang joe, sekejap.” Aku menghalang abang Joe melangkah. Ada yang ingin aku tanyakan.
            “Kenapa dengan tangan encik Afdhal tu?” aku soal. Boleh juga aku tahu kebenarannya. Adakah sama dengan apa yang aku fikirkan.
            Abang Joe nampak keberatan mahu bercerita. Jadi dapat aku andaikan ianya sesuatu yang serius.
            “Ada cerita yang Ana tak tahu ke?” bunyinya macam menyeronokkan, membuatkan aku makin teruja.
            “Kalau abang Joe cerita, Ana jangan sebarkan pula.” Abang Joe sedikit mendekat. “Last week Arena printing kena pecah masuk. Kalau tak silap... hari rabu rasanya.”
            Terkejut aku mendengar berita itu. “Iya ke abang Joe? Kenapa Ana boleh tak tahu pula? Soalku tidak puas hati.
            “Bukan Ana seorang aje yang tak tahu... semua orang tak tahu. Afdhal tak kasi bagi tahu sesiapa.”
            “Oh...” aku mula faham. Patutlah tak dengar khabar angin langsung.  “Apa yang ada kat sini sampai orang nak pecah masuk?” aku pandang sekeliling. Rasanya tak ada yang berharga melainkan mesin cetak di tingkat atas. Itu pun bukan main berat. Tak teralih rasanya.
            “Bukan masuk nak mencuri, Ana. Kes khianat. Dengki!”
            “Nak dengki kenapa?”
            “Kan kita baru dapat tender besar. Adalah yang tak puas hati tu.” Jelas abang Joe.
            “Habis tu, apa kena mengena dengan luka encik Afdhal?” aku kembali pada pertanyaan asal.
            “Masa tu, encik Afdhal ada dalam opis. Bergelutlah, apa lagi. Dia orang siap boleh ugut nak datang balik. Itu yang encik Afdhal suruh pasang CCTV. Ana tak perasan ke, kita dah ada CCTV?”
            Mataku terus memandang CCTV yang jelas kelihatan dari ruang kerjaku. Patutlah encik Afdhal beriya menghalau aku keluar. Tidak membenarkan aku menumpang tidur di sini. Sayang juga dia kat aku! Aku ketawa sendiri. Ingatkan tak ada hati perut. Salah jangkaan aku.
            “Tak buat report?”
            “Tak. Afdhal tak bagi. Ana kan tahu Afdhal tu macam mana orangnya.”
            Ya aku tahu. Semua perkara mahu ikut kepalanya. Macamlah kepala dia saja yang dianugerahkan otak untuk berfikir.
            “Okeylah. Nanti naik atas. Jangan lupa.” Pesan abang Joe sekali lagi.
            “Okey bos!” aku berjanji mematuhi arahan.

“NAH!” kertas berwarna merah jambu, berlipat empat aku serahkan pada encik Afdhal. Senyum lebar dia menerima kertas itu. Siapa tak gembira menerima pesanan daripada kekasih hati.
            Encik Afdhal membuka lipatan kertas itu penuh berhati-hati. Takut koyak agaknya. Aku masih berdiri di situ. Di tepi meja encik Afdhal. Bukan nak menyibuk, tapi mahu lihat reaksinya ketika membaca nota kiriman kak Dahlia.
            Ceria air muka yang ditunjukkan encik Afdhal. Senyuman semakin melebar. Pasti nota itu telah berjaya mencairkan hatinya sekali lagi. Parah kelihatan.
            “Kau tak baca kan?”
            “Taklah. Tahu bos tak suka saya curi baca.” Sengaja aku tekankan kata curi pada ayatku tadi.
            Encik Afdhal ketawa. Sejak akhir-akhirnya aku banyak melihat dia ketawa. Tidak seperti awal-awal dahulu. Mukanya ketat. Sangat kelat.
            “Kau nak baca?”
            “Eleh, macamlah bos nak bagi, huh!” Aku jungkit bibir. Padahal tak ingin langsung membaca nota yang sudahpun aku tahu isinya. Akukan penyumbang idea terbesar.
            “Nah, ambillah baca.” Kertas dihulurkan oleh encik Afdhal.
            Aku seakan tak percaya. Betulkah ini encik Afdhal? Kenapa dia begitu baik hati memberikan kebenaran untuk aku membaca nota cintanya? Sengaja aku capai nota itu. Buat-buat ingin tahu isinya.
            “Tak payahlah, nanti kau jealous pula.” Encik Afdhal menarik tangannya sebelum sempai aku pegang kertas itu.      
            “Ini yang malas ni.” Aku tarik  muka apabila terasa sedang dipermainkan.
            “Okey. Kau cakap dulu yang kau tak jealous, baru aku kasi baca.” Encik Afdhal perdengarkan tawaran.
            “Ah, tak nak saya.” Aku enggan. Merepek saja lelaki seorang ni. Macamlah aku teringin sangat nak tahu. Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Tak ingin. Pada aku baca notanya, lebih baik aku baca cara menyelenggarakan mesin cetak kat atas tu. Ada juga faedah.
            So,  kau jealous la ni?”
            “Tak ada pasal saya nak jealous.”
            “Habis tu, kenapa muka kau macam jealouse je?”
            Eh, aku tengah tunjuk muka cemburu ke? Aku soal sendiri? Rasa macam tak? Ah, sebelum dia kenakan aku, lebih baik aku cabut. “Malaslah nak layan encik Afdhal. Bacalah sendiri nota tu. Saya naik atas tolong abang Joe lagi bagus.” Aku sudah menapak, berjalan untuk memberikan bantuan kepada pasukan pencetak yang sedang tekun bekerja di atas.
            “Kejap. Kau duduk sini kejap!”
Encik Afdhal tidak membenarkan pergerakkanku. Terpaksalah aku undur langkah. Duduk di atas kerusi yang ditarik oleh encik Afdhal.
“Merajuk aje kerja kau kan. Nah baca!” nota sudah diletakkan di atas meja.
Mulanya aku teragak-agak untuk mengambil. Tapi aku yakin kali ini encik Afdhal serius. Lalu laju tangan mencapai nota merah jambu. Hmm.. mujur tulisan kak Dahlia lebih kurang sama dengan tulisanku. Selamat!
“Kau ni bagus jugakan. Kenapa kau sanggup tolong Dahlia hantar nota ni untuk aku?”
Pujian encik Afdhal menyenangkan hati. Nota yang sudah di baca aku letakkan kembali di atas meja. “Tolong apanya. Mana ada kerja percuma zaman sekarang ni. Cik Dahlia bayar saya apa.”
“Iya ke?” encik Afdhal nampak tidak percaya.
“Ya lah. Kalau tak saya tak buat kerja-kerja macam ni.” Aku cuba menyakinkan.
“Pandai kau cari duit.”
“Nak hidup, kenalah pandai.” Nampaknya aku sudah berjaya. “Encik Afdhal, agak-agak emak dengan ayah encik Afdhal suka tak kalau cik Dahlia tu jadi menantu?” sengaja aku soal begitu. Sekali sekala, dalam keadaan normal, aku mahu masuk lingkup dunianya. Apakah dia mampu berfikir waras atau tidak.
“Tak pastilah. Tapi takkanlah dia orang tak suka!”
Aku tidak tahu apakah encik Afdhal sengaja menyembunyi fakta bahawa kedua ibu bapanya sudah tidak ada ataupun memang pada ketika ini dia dalam dunianya? Jawapan yang diberikan tidak dapat aku pastikan.  
“Manalah tahu, emak dengan ayah encik Afdhal lebih sukakan saya berbanding dengan cik dahlia tu...”
Encik Afdhal ketawa berdekah-dekah. “Jangan nak perasanlah, Gomez.”
“Alah, encik Afdhal tak bawa saya jumpa dia orang lagi, mana encik Afdhal tahu? Apa kata encik Afdhal bawa saya jumpa mak dengan ayah encik Afdhal. Baru kita boleh buktikan.”
Tawa encik Afdhal terus mati mendengar cadangan yang aku berikan. Tajam dia merenung aku. Aku pula jadi takut.
“Betul kau nak jumpa mak dengan ayah aku?”
Aku telan liur. Takkan encik Afdhal nak bawa aku jumpa orang yang dah tak ada. Macam mana tu?  “Boleh ke?” aku beranikan diri walaupun perutku sudah kecut.
“Kenapa pula tak boleh? Kau nak sangat jumpakan? Jom aku bawa kau!” encik Afdhal sudah bangun dari duduknya.
Berkelip mataku, sama laju dengan dengupan jantung. Bolehkah aku menolak setelah beriya-iya aku mengajak? Kalaulah aku boleh lari...  

Bersambung...

Kata AH:
Alhamdulillah. Sengaja AH poskan entry 15 lebih awal. Istimewa buat semua pembaca setia JJC. Semoga semuanya senang dengan entry kali ini. Jumpa next entry. Terima kasih atas sokongan dan kiriman komentar daripada semua pembaca. Sgt AH hargai setiap komen yang diberi. Ia umpama semangat padu buat AH. Terima kasih dari hati.
           

9 comments:

Anonymous said...

agaknye la.. mne afdhal nk bwa ana?? niyg kne tggu n3 16.. tk sbar ni..

Anonymous said...

suka crita ni lain dari yg lain. Memang slalu ternanti2 n3 ni

Anonymous said...

Part Naim nak bertunang tu sedih. Saya ikut nangis. Pandai Adah mainkan perasaan pembaca. Memang best cerita ni. Harap boleh dibukukan nanti.

Anonymous said...

aiseh sedih bagi pihak abg naim..

Anonymous said...

Cepatlah sambung FI..X sabar ni...

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

Gomez.. Gomez.. Macam2 dia buat.. Mmg mcm dia yg minat afdhal.. :)

umairah nora said...

best..sntiasa tertgu2 next n3..

Kak Sue said...

Rasanya en Afdhal ada hati kt Ana tapi berselindung dgn sikap yg dia buat sendiri.... bestttt

Valena Michelle said...

Banteng88 MASTER AGEN BOLA
Banteng88 MASTER AGEN JUDI
Agen Bola
Agen Judi
Agen Judi Online
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Bandar Judi
Bandar Bola
Judi Online
Bola Online

Post a Comment