Thursday, June 27, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 13

13
            Wajah kak Dahlia yang tadi tersenyum lebar, kini terus hilang seri apabila melihat kemunculan aku di situ. Mungkin dia sudah dapat mengagak bahawa tugasnya bakal bermula. Aku juga bersimpati pada kak Dahlia. Tak pasal-pasal dia kena ikut serta dalam misi menyelamatkan encik Afdhal. Tapi apa boleh buat, dia saja satu-satunya manusia yang punya kuasa ajaib untuk membuat encik Afdhal senyum dan bahagia.
            “Assalamualaikum, kak Dahlia. Boleh Ana masuk?” aku minta izin sebelum masuk ke dalam bilik pejabat.
            “Wa’alaikumusalam. Masuklah.” Suara kak Dahlia agak kemah kedengaran.
            “Akak sihat?” aku mula mengambil tempat duduk.
            “Tadi sihat, bila nampak Ana aje terus ada rasa nak demam.”
            Kak Dahlia cuba berjenaka. Namun entah kenapa aku dapat rasakan ada kebenaran dalam jenakanya. Mungkin itu yang dia rasa sekarang. “Don’t worry kak. Saya bagi tugas yang senang-senang aje untuk akak. Sambil baring pun akak boleh selesaikan.” Sedaya  upaya aku cuba meredakan beban yang kak Dahlia sudah mula rasa.
            are you sure?” baru kembali senyuman yang cantik persis puteri tadi.
            Of course lah kak. Akak jangan risau.” Aku menyakinkan.
            “So, apa yang akak kena buat?” akhirnya, nada rela keluar dari bibir kak Dahlia.
            “Macam saya cakap tadi. Sangat senang!” aku letakkan sehelai kertas putih di atas meja.
            Kak Dahlia mengambilnya, lalu memulakan bacaan. “Isnin – Terima kasih kerana terus hidup.” Daripada memandang kertas, kini pandangan kak Dahlia terus bertukar, melihat ke arahku.
Aku tetap senyum walaupun aku tahu dia tidak suka dengan itu. Kak Dahlia kemudiannya menyambung kembali pembacaan yang terhenti tadi.
“Selasa – Saya suka senyuman awak. Senyum selalu, please...
Rabu – Teringin nak tengok awak pakai pakaian berlainan warna setiap hari. Boleh tak?
Khamis – Alangkah bagusnya kalau kedai kita bersebelahan. So sweet.
Jumaat – Sudi tak nak jumpa dengan saya?”
Selesai membaca, kak Dahlia meletakkan kembali kertas di tempat asalnya. “Sebenarnya akak nak kena buat apa?” kak Dahlia menyoal.
Aku tahu kak Dahlia rasa tidak senang dengan apa yang tercatit pada kertas yang telah dilepaskan dari tangannya. Aku sendiri tidak senang tatkala menulis catatan ringkas itu. Nak termuntah rasanya. Mujur aku tulis bagi pihak kak Dahlia. Kalau tidak, dah confirm aku sekarang ditahan di wad gara-gara muntah tak henti-henti.
“Akak kena tolong tulis balik semua tu atas kertas ni.” Aku serahkan buku nota kecil berwarna merah jambu yang aku ambil dari pejabat Arena Priting. “Akak tulis semua siap-siap ikut yang saya bagi tu. Nanti setiap hari saya akan bagi satu nota pada encik Afdhal. Senang kan?” selesai penerangan.
“Supaya nanti dia ingat, kak Dahlialah yang bagi note tu?” kak Dahlia mengagak.
“Kak Dahlia memang bijak!” aku memuji.
“Kalau macam tu, kak Dahlia tak setuju dengan note untuk hari khamis dengan jumaat.” Bantahan daripada kak Dahlia.
Aku berfikir sejenak. “Okey, kita tukar.” Bantahan itu aku terima dengan hati terbuka. Sungguh kak Dahlia bertimbang rasa. Kalaulah aku tak tempat kak Dahlia, aku reject semua nota yang tertulis. Menjengkelkan! 
“Pinjam pen, kak.” Aku hulur tangan. Lupa pula nak bawa pen sendiri. “Kak Dahlia ada idea?” pendapat kak Dahlia aku minta sebaik sahaja pen berdakwat biru aku terima. Kak Dahlia menggeleng kepala. Nampaknya terpaksalah aku fikirkan sendiri.
“Khamis, kita tukar... Happy Thursday. Boleh?”
Kak Dahlia mengangguk tanda setuju.
“Hari jumaat pula... erm...” otakku bekerja keras. Mencari ilham yang sedang bersembunyi. “Ha! Untuk hari jumaat, kita tulis... Jangan lupa bersenam.”
“Macam pelik aje.” Kak Dahlia nampak kurang setuju.
“Alah, bolehlah tu kak. Encik Afdhal tu bukan kisah. Akak tulis huruf A ajepun dia dah gembira satu alam!” aku enggan memikirkan lagi. Cukup. Otakku dah penat. “Kak Dahlia tulis dulu, nanti petang Ana datang ambil. Thank you, kak Dahlia.” Aku bingkas bangun, dan meninggalkan kak Dahlia.
“Kak Dahlia.” Laungku di muka pintu. Aku perhatikan kak Dahlia gopoh meletakkan kertas yang tadinya aku tinggalkan di atas meja. Barangkali dia terkejut kerana aku berpatah balik. “Jangan tulis cantik-cantik sangat tau.” Pesanku.
“Kenapa pula?”
“Sebab tulisan saya tak cantik. Tata...” aku melambaikan tangan dan pergi. Aku yakin, masih ada persoalan yang bermain di minda kak Dahlia. Tentu dia tertanya-tanya apa pula kaitannya dengan tulisanku. Aku tersenyum sendiri. Kak Dahlia tak perlu tahu bahawa nota pertama yang dikirimkan kepada encik Afdhal adalah hasil tulisanku.

SEMUA cash bill yang ditempah oleh pelanggan sudah siap sedia di atas troli. Menunggu arahan lanjut daripada abang Joe. Oleh kerana tak mungkin aku terlibat, maka aku berjalan untuk kembali ke tempat duduk.
            “Ana, tunggu kejap.” Suara abang Joe, menghentikan langkah kaki. “Ana ikut abang Joe pergi hantar semua ni.”
            “Ana, ke?” aku macam tak percaya arahan itu ditujukan pada aku. Lalu mataku memandang abang Ijad dan abang Zack yang sedang merai kegembiraan kerana terlepas.
            “Ha’ah, Ana.” Abang Joe mengesahkan.
            Aku kembali berpatah balik. Troli yang sarat dengan kotak aku pegang dengan hampa. Tak habis-habis aku jadi mangsa buli.
            “Eh, Ana tak payah tolak troli tu. Biar abang Joe yang buat. Ana ambil delivery order ni, bawa sama. Kali ni kita check betul-betul. Hari tu bolehkan dia cakap kita hantar tak cukup.” Abang Joe menyerahkan salinan inbois kepadaku.
            “Ye ke, abang Joe?” aku macam tak percaya.
            “Iyalah. Geram betul. Kali ni, sebelum kita dia sign delivery order tu, kita suruh dia kira dulu depan kita.” Cadang abang Joe. 
            “Okay.” Aku sudah rela. Kalau ada kes macam ni, baru seronok nak buat kerja. Mana tahu ada peluang nak tengok orang bergaduh.
            “Nak bawa mana kotak-kotak ni?”
            Aku dan abang Joe sama-sama berpaling. Memandang gerangan yang bertanya. Abang Ijad dan abang Zack, mula berdiri tegak. Seperti menyambut kedatangan tetamu kehormat.
            “Ha, kau, Afdhal. Nak  bawa mana lagi, nak hantar kat customer lah.” Jawab abang Joe.
            “Dekat mana?”
            “Tak jauhpun. Dekat TF Trading aje.”
            “Sebelah 3B, tu?” soal encik Afdhal.
            “Ha’ah, kenapa?”  
            “Siapa yang nak pergi hantar semua ni?” encik Afdhal masih bertanya.
            Aku sorokkan badanku di belakang abang Joe. Kemudian aku geleng kepala. Sesiapapun yang jumpa encik Afdhal, pasti akan merasa lelah. Letih menjawab pertanyaan darinya. Mungkin dalam otaknya sudah tersedia bank soalan. Jadi dengan mudah saja ayat yang penuh tanda tanya keluar dari mulutnya.
            “Akulah.” Abang Joe mula menghitung bilangan kotak yang ada atas troli. Membuatkan aku yang tadi berlindung di belakangnnya, sudah kelihatan kembali.
            “Kau pergi seorang aje?”
            “Taklah. Aku pergi dengan dia.” Jari telunjuk abang Joe tepat mengarah padaku.
            “Kau buat kerja lainlah. Biar aku yang pergi.”
            Terus saja abang Joe menghentikan kerja-kerja mengira apabila mendengar kata-kata encik Afdhal. Jangan katakan abang Joe. Aku sendiri tersentak. Hati berdoa semoga abang Joe tidak mengizinkan.
            “Kau biar betul?” abang Joe senyum.
            “Apa, kau ingat aku main-main?” serius wajah encik Afdhal. “Tapi sebelum tu aku nak pergi toilet kejap. Nanti aku datang balik. Jangan kau hantar pula!”
            “Okey, bos!” abang Joe menabik. Dia kelihatan gembira.
            “Abang joe, Ana cakap sikit boleh?” terus aku meminta keizinan untuk bertanya setelah encik Afdhal pergi.
            “Apa dia?”
            “Abang Joe ni, biar betul. Takkan abang Joe nak bagi encik Afdhal hantar semua ni? Abang Joe tahu dia macam manakan?” aku cuba meracun fikiran. Bukan kerana aku tidak percayakan pada kredibiliti encik Afdhal sebagai pemilik Arena Printing. Tapi sebenarnya aku malas nak berjalan berdua dengan encik Afdhal.
            “Ana... meh sini abang Joe bagi tahu Ana satu perkara.”
            Aku memasang telinga untuk mendengar.
            “Hari ni, buat pertama kalinya Afdhal nak bekerja untuk syarikat dia sendiri.”
            “Maksudnya?” aku minta penjelasan. 
“Ana tahu tak, selama ni, Afdhal tu, jangan kata nak tolong. Tanya abang Joe buat apapun pun di tak pernah.”
 “Jadi?”
“Jadi, abang Joe rasa, abang Joe kena bagi dia peluang untuk rasa macam mana nikmatnya bekerja untuk diri sendiri. Ana faham!”
Aku mengangguk. Nampaknya racun yang aku beri tak cukup kuat. Boleh pula abang Joe telan macam itu saja. Sedikit kesan pun tak ada. Tapi aku tetap tak ada hati untuk bekerjasama dengan encik Afdhal.
“Kalau macam tu, abang Joe pergi berdua dengan encik Afdhal ajelah kan? Ana tak payahlah ikut. Pergi ramai-ramaipun nak buat apakan? ” Akhirnya. Ada juga alasan yang baik.
“Kan Afdhal suruh abang Joe buat kerja lain tadi.”
“Kalau macam tu apa kata suruh abang Ijad pergi. Bolehkan abang Ijad?” aku cuba dapatkan persetujuaan abang Ijad yang hanya mendiamkan diri dari tadi.
“Eh, Zack, kata nak start print katalog. Jomlah. Tunggu apa lagi.” Abang Ijad tidak melayan.
“Jom-jom. Banyak kerja lagi nak kena buat ni.”
Abang Ijad dan abang Zack sudah pergi. Aku langsung tak dihiraukan. Nampak sangat mahu mengelak. Semua orang tak nak bergandingan dengan encik Afdhal.  Inikan pula aku!
“Ana... abang Joe nak Ana pergi sebab abang Joe nak Ana belajar macam mana nak berurusan dengan customer. Ana boleh dapat pengalaman.”
“Tapi ni bukan bidang Ana. Ana just kena belajar hal-hal yang ada kaitan dengan pengurusan pejabat aje.” Aku tetap cari alasan. Selagi encik Afdhal tidak muncul. Selagi itu aku berpeluang untuk mengelak.
“Betul. Tapi apa salahnya belajar kemahiran lain juga. Ada kredit tambahan untuk ana kat situ. Siapa yang untung? Ana jugakan?”
“Okey, abang Joe.” Aku mengalah. Tak mungkin aku menang dalam sesi kali ini. aku tidak punya banyak fakta untuk mengalahkan idea bernas abang Joe. Terpaksalah juga!

“BAK sini delivery order tu. Kau tolak troli.”
            Arahan pertama yang aku terima daripada encik Afdhal. Arahan yang cukup kejam. Tergamak dia menyuruh aku menolak troli yang penuh dengan kotak itu?
            “Dah, cepat. Kau jalan depan.”
            Dalam terpaksa, aku ikutkan juga arahan encik Afdhal. Mustahil untuk aku melawan. Aku tahu padah kemudian hari. Dengan penuh daya, aku tolak troli yang sudahpun aku pegang dengan rapi. Aku mahu cepat sampai. Saat ini, jauh pula rasanya destinasi.
            “Berat ke?” suara dari belakang kedengaran.
            “Beratlah. Saya bukan bawa kotak kosong.” Aku jawab. Mulutku berkumit-kumit marah dalam diam.
            “Nak aku tolong?”
            “Kalau encik Afdhal rajin, apa salahnya.” Aku benar-benar mengharapkan bantuan itu. Baru beberapa tapak melangkah, pinggangku sudah rasa sakit.
            “Tak payahlah. Bukan jauh sangatpun.”
             Aku berhenti dan menoleh encik Afdhal. Sakit hati betul. Kalau tak nak tolong, tak payahlah tanya tadi. Buat mengharap hati orang saja.
            “Eh, jalanlah... yang kau berhenti tu kenapa?”
            “Tak... saya saja nak tengok keadaan encik Afdhal kat belakang. Encik Afdhal okay?” aku pura-pura bertanya. Kalaulah aku boleh luahkan segala isi hati.
            “Wah, baik pula hati kau hari ni yer.”
            Malas melayan. Buat kau sakit hati aje. Aku teruskan perjalanan yang terasa jauh kerana pergerakanku yang perlahan. Dan aku mula gembira apabila sudah tiba di Belleza Beauty Boutiqoe. Maksudnya dah nak sampai ke TF Trading. Syukur.   
“Gomez... Gomez...” encik Afdhal memanggil.
Aku pekakkan telinga. Buat-buat tak dengar. Lagipun Gomez tu bukan nama aku.
Pang! Ada pukulan pada kepalaku. “Eh, Gomez, tunggulah...”
“Aduh!” aku meraung sakit padahal tak sakitpun. Kena pukul dengan kertas nipis. Mana ada rasa. Saja aku berdrama. “Apa main pukul-pukul kepala ni, encik Afdhal?” aku tarik muka.
“Aku panggil kau. Yang kau buat tak tahu tu kenapa?”
“Bila masa pula encik Afdhal panggil saya?”
“Kau tak dengar ke? Penat aku panggil Gomez... Gomez...” bersungguh-sungguh encik Afdhal bercerita. Siap dengan gaya.
“Itu bukan nama sayalah.” Sungguh aku bencii dipanggil begitu. Entah apa makna Gomez? Buatnya yang bukan-bukan. Menjadi doa pula nanti. Menyesal pula tak bagi tahu nama sebenar aku.
“Habis tu, nama siapa? Oh nama ayah kau, eh?” encik Afdhla buat muka blur. “Maknanya nama kau Selena Binti Gomez lah?”
Bertambah sakit hati aku dibuatnya. Pada aku layan orang tak betul, lebih baik aku teruskan perjalanan. “Suka hati encik Afdhallah.” Aku kembali mahu menyusun langkah.
“Tunggulah...”
“Apanya bos?” aku toleh lagi. Entah apa yang encik Afdhal mahukan dariku.
“Masa dekat 3B tu, kau janganlah jalan laju-laju, okey!”
“Apasal pula?” aku tak puas hati. Dengan troli yang aku pegang, rasanya kelajuan kakiku hanya setara dengaan kelajuan kura-kura. Ini nak suruh perlahankan langkah lagi?
“Alah, kau tak payahlah tanya kenapa. Kau dengar ajelah cakap aku.”
“Eleh, nak mengintai kak Dahlialah tu. Macamlah saya tak tahu.” Aku dapat mengagak. Mungkin sebab itu jugalah encik Afdhal mahu menggantikan tempat abang Joe, menghantar tempahan ini.
“Kau cemburu ke?”
“Tak kuasa...” aku balas laju. Nak cemburu? Dia bukan sesiapa padaku. Mengapa aku perlu cemburu?
“Alah, mestilah kau cemburu. Kaukan suka kat aku. Kan... kan...?” senyuman nakal encik Afdhal tertayang.
“Tolonglah bos. Nak termuntah saya dengar.” Aku sudah tidak dapat menahan loya di tekak.
“Nak termuntah konon. Dah, jalan...” arah encik Afdhal.
Aku teruskan perjalanan seperti arahan. Sejuk sikit hati yang tadinya panas. Semuanya gara-gara mulut. Nampaknya aku perlu belajar berhati-hati sebelum mengeluarkan bicara. Kalau tidak, macam inilah padahnya.
“Lain kali, kalau dah tahu cemburu, tak payahlah ikut. Duduk aje kat opis tu!” terdengar tawa kecil encik Afdhal.
Aku sudah tidak mahu menoleh. Cakaplah apapun, aku tak akan menoleh lagi. Meluat! Ya Allah, kau jadikanlah aku antara orang-orang yang sabar. Sendiri aku berbicara. Memujuk hati.  

SIA-SIA usaha abang Joe membenarkan encik Afdhal menguruskan pesanan TF Trading. Encik Afdhal hanya menunggu di luar TF Trading, manakala aku diarahkan untuk menyelesaikan urusan penghantaran. Aku menyumpah dalam hati. Ini kali pertama aku menjadi wakil syarikat. Satu apapun aku tak tahu. Mujur teringat kata-kata abang Joe tadi. Jadi aku minta pekerja TF Trading membuat kiraan sebelum menandatangan delivery order.
            “Dah siap?” encik Afdhal yang asyik memeluk tubuh, bertanya.
            Aku yang baru melangkah keluar dari TF Trading menganggukkan kepala. Tanganku masih memegang troli. Cuma kali ini aku tidak perlu tenaga yang besar untuk menolaknya.
            “Jom.” aku mengajak pulang ke pejabat.
            “Jom.” Kata setuju daripada encik Afdhal. “Troli dah kosong. Bolehlah aku duduk.” Encik Afdhal menangkat keningnya berkali-kali.
            “Encik Afdhal jangan buat gila. Ramai orang kat sini.” Aku tidak membenarkan. Nanti tak pasal-pasal orang lain anggap aku pun gila sama. Cukuplah dia seorang saja begitu.
            “Kalau macam tu, kau duduk. Biar aku yang tolak.” Tambah encik Afdhal. Masih mahu meneruskan ideanya yang sudah diubah suai.
            “Encik Afdhal ingat kita tengah main tarik-tarik upih ke? Terima kasih ajelah, bos. Kaki saya boleh jalan lagi.” Satu jelingan aku berikan.
            “Amboi, menjeling.” Encik Afdhal ketawa.
Kami berjalan beriringan. Sengaja aku perhati encik Afdhal sebaik kami melalui Belleza Beauty Boutique. Mata encik Afdhal tidak lepas daripada memerhati ke dalam butik kecantikan itu. Kesian. Tidak berpeluang bertemu muka dengan kak Dahlia walaupun sudah dua kali melintasi kedai yang sama.
Encik Afdhal sudah mendiamkan diri. Murung. Kata abang Naim, jangan biarkan orang-orang begini murung. Jadi aku perlu lakukan sesuatu. Mungkin aku patut mengumpan encik Afdhal berbual.
“Famili saya ada empat orang. Emak, ayah, kakak dengan saya. Saya anak bongsu.” Aku tak tahu sesuai atau tidak topik yang aku utarakan. Tapi hanya itu idea yang ada saat ini.
“Oh.” Pendek balasan encik Afdhal,
“Kakak saya tu, belajar bidang kejuruteraan kat Jerman. JPA taja.” Aku sambung cerita.
“Apasal kau tak belajar kat sana?”
“Saya taklah sepandai kakak saya.” Aku merendah diri.
“Dah agak dah. Tengok muka kau pun tahu. Tak ada muka budak pandai langsung.” Teratur saja ayat itu dituturkan oleh encik Afdhal. Tak nampak cacat celanya.
   Aku menahan marah. Kesabaran mula tercabar. Kurang asam punya encik Afdhal. Kalau ya pun, tak payahlah jujur sangat. “Encik Afdhal pula?” aku tak mahu lagi bercerita tentang diriku. Cukup.
“Kurang satu aje.” Balas encik Afdhal.
“Apa yang kurang satu?”
Family lah.”
“Oh, kiranya sekarang ni, encik Afdhal tinggal seorang ajelah?”
“Apasal seorang pula?”
“Iyalah. Mak dengan ayah encik Afdhal kan dah tak ada.”
“Siapa cakap dah tak ada?” kaki encik Afdhal sudah tidak lagi bergerak.
Langkahku turut mati. Memikirkan kembali. Bukankah emak dan ayah encik Afdhal sudah meninggal, mengikut cerita abang Joe? Ini sah, sakitnya datang balik.
“Aku tanya siapa yang cakap?” keras suara encik Afdhal.
“Er... saya agak-agak aje.” Kali ini aku berhati-hati dalam berbicara.
“Lain kali jangan pandai-pandai. Suka-suka hati aje cakap mak, ayah orang dah mati. Apa ingat mak dengan ayah kau seorang aje yang hidup lagi!” encik Afdhal betul-betul marah.
Aku terdiam. Mulut tertutup rapat, menguncikan diri. Tidak sangka akan berakhir begini perbualan kami.
“Kau jalanlah seorang. Padan muka!” encik Afdhal laju membuka langkah meninggalkan aku.
Aku pula masih terkesima di situ. Salah akukah? “Ish, Ana, kau dah buat apa ni?” marahku pada diri sendiri. Tak pasal-pasal encik Afdhal naik hantu. Buatnya satu pejabat kena tempiasnya macam mana? Minta-minta tidaklah...
“Encik Afdhal, tunggu...” laju aku tolak troli. Mahu kembali menyaingi encik Afdhal yang sudahpun hampir sampai di Arena Printing.
Dengan semangat aku mengejar. Namun kakiku enggan mara lagi apabila kelihatan seseorang yang aku kenal berada hadapan Arena Printing. Apa abang Naim buat di situ? Niatku untuk tidak meneruskan jalan terpaksa aku batalkan apabila abang Naim aku perhatikan berjaya menghentikan langkah encik Afdhal. Lalu aku segera bergerak ke sana.
“Abang Naim buat apa kat sini?” tercunggap-cunggap aku dibuatnya. Sempat aku perhatikan encik Afdhal yang mukanya masih masam mencuka.
“Abang ada hal nak cakap dengan Ana. Boleh tak Ana balik awal sikit hari ni?”
Permintaan abang Naim itu mustahil untuk aku tunaikan. Arena Printing bukan aku yang punya. Sebelum selesai waktu bekerja, mana mungkin aku dibenarkan pulang. Lagi pula aku pelajar praktikal. Sama sekali mustahil!
“Encik, boleh saya minta izin bawa Ana balik awal hari ni?” abang Naim bertanya sendiri pada encik Afdhal.
Aku mula risau. Dalam keadaan begitu. Entah apa yang bakal encik Afdhal katakan. Diakan sedang marah. Dan aku adalah puncanya. Tak mungkin dia membenarkan.
Encik Afdhal memandang wajahku tepat. Merah matanya masih kelihatan. Aku tunduk. Tidak berani menatap terus wajah lelaki itu.
“Kau nak bawa dia pergi mana?” padangan encik Afdhal sudah beralih. Memberi tumpuan padan abang Naim.
“Saya ada urusan sikit dengan Ana.” Ringkas jawapan abang Naim.
“Urusan apa?”
“Urusan keluarga.” Tenang abang Naim membalas setiap pertanyaan encik Afdhal.
“Urusan keluarga ke, urusan cinta?” encik Afdhal cuba memerangkap. Dan ternyata abang Naim tertangkap. Dia terdiam.
“Okey. Aku benarkan.”
“Terima kasih.” Baru kini abang Naim senyum. “Ana kemas barang. Abang tunggu Ana dekat kereta. Kereta abang ada dekat situ.” Naim menunjukkan kedudukan keretanya padaku.
Aku sekadar memberi isyarat kepala. Tanda mengerti semuanya. Troli kembali aku tolak untuk dibawa masuk. Encik Afdhal juga sudah mahu bergerak.
“Oh, satu hal lagi.” Encik Afdhal tidak jadi melangkah.
Aku juga begitu. Terhenti langsung kakiku. Ternanti-nanti apa lagi yang ingin encik Afdhal katakan pada abang Naim. Kedua-dua lelaki itu bertentangan mata.
“Aku tahu siapa yang Selena Gomez suka. So, kalau dia tak nak, kau jangan paksa!”
Jantungku rasa ditumbuk mendengar pesanan dari encik Afdhal. Padangan abang Naim pula terus menerpa padaku setelah encik Afdhal meninggalkan kami. Persoalan demi persoalan terlukis pada wajah abang Naim. Aku terkedu. Tidak sangka encik Afdhal akan berkata begitu! Encik Afdhal! Kenapa lidahnya sungguh petah berkata-kata?  
“Dia kenal dengan Selena Gomez?” dengan wajah buntu, abang Naim bertanya sebaik encik Afdhal masuk ke dalam. 
“Iyalah kut.” Sikit saja jawapan yang dapat aku beri.
“Selena Gomez penyanyi hollywood tu?” tawa abang Naim mula pecah. Sudah tentu dia tidak percaya.
Aku hanya senyum nipis. Tidak dapat menjawab lagi. Kalaulah abang Naim tahu Selena Gomez yang dimaksudkan oleh encik Afdhal itu ialah aku. Mungkin lagi besar abang Naim ketawa. Encik Afdhal... encik Afdhal. Sungguh dia sudah memalukan dirinya sendiri!


Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum. Alhamdulillah. Entry 13 muncul sudah. Selamat membaca kepada semua. Semoga terhibur dengan watak2 JJC. Terima kasih atas sokongan yg tidak berbelah bagi dari semua.. Jumpa next entry beberapa hari lagi ya :)

7 comments:

lili marina said...

thanks sis....sengal gak En Afdhal nie...hehehehe
x sabar nak tunggu n3 baru.....

Kak Sue said...

... hahaha .. rasa nak terguling-guling baca kali ni...
kelakarlah en afdhal dengan ana... sesuai sangatttt... rasanya en afdhal pun suka dgn Ana ni...
nasib baik abg naim x tahu siapa selena gomez dalam cerita ni... kalau tak mahu abg naim ingat cari en efdhal bila ana x nak dgn dia.... rasanya abg naim pun ada hati kat ana kot.... sambungggg

Anonymous said...

makin menarik jalan cerita dan watak2 yang dibawa, thanks AH :)

-chah husain-

Anonymous said...

Cerita ni makin best. Tak sabar nak tunggu n3 akan datang.

waa said...

hahah kelakar siap nk duk dalam troli

K Fiza said...

Part yg ada selena gomez ni buat sy x tahan nk tergelak.. Haha

Valena Michelle said...

Banteng88 MASTER AGEN BOLA
Banteng88 MASTER AGEN JUDI
Agen Bola
Agen Judi
Agen Judi Online
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Bandar Judi
Bandar Bola
Judi Online
Bola Online

Post a Comment