Wednesday, June 19, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 11



11
            Kedua-dua ibu bapaku sudah mengambil keputusan untuk pulang. Berat pula hati melihat beg pakaian mereka yang sudahpun diangkat keluar oleh abang Naim dari bonet kereta. Hanya seminggu dapat aku duduk bermanja dengan mereka. Dan kini mereka harus pulang.
            Terminal LCCT masih lengang. Mungkin masih terlalu awal. Umi dan ayah memang cukup suka penerbangan awal pagi. Kami berpisah untuk menunaikan solat subuh. Aku mengikut umi manakala abang Naim mengikut ayah. Wajah umi yang kurang ceria membuatkan hatiku rasa tidak sedap. Sejak semalam umi berkelakuan janggal. Selalu lari daripada berbicara lama denganku. Kenapa?
            Selesai menunaikan solat subuh, aku terus memeluk dan mencium umi. Tangannya aku pegang penuh kasih. Umi membalas pelukan. Lama pelukan umi. Dapat aku rasakan ada sesuatu yang umi rahsiakan.
            Aku regangkan pelukan. Aku mahu tahu. Kenapa umi begitu? “Umi ada rahsiakan apa-apa daripada Ana?” soalku pada umi. Dapat aku lihat ada takungan air pada tubir mata umi.
            “Tak adalah.” Ringkas umi membalas.
“Umi tipu. Habis tu kenapa umi menangis?” aku soal lagi. Selagi tak berpuas hati, selagi itulah aku akan bertanya.
 “Mestilah umi sedih, sebab umi kan dah nak balik.” Umi melukis senyuman palsu.
“Ana tak percaya. Umi bukan tak pernah berpisah dengan Ana sebelum ni.” Aku tahu umi berbohong. Umi sudah biasa dengan ketiadaanku. Sejak dari tingkatan tiga lagi aku sudah duduk di asrama. Sekalipun umi tidak pernah menitiskan air mata.
Umi hanya membisu. Tetap tidak mahu menceritakan apa yang disimpan di hatinya. Maka dengan itu, aku terpaksa mencari helah. Beg tangan umi aku selongkar. Tiket penerbang umi dan ayah aku keluarkan. “Ana takkan bagi umi balik selagi umi tak ceritakan perkara sebenar pada Ana.” Aku sorokkan tiket mereka di belakang badan.
“Ana...” umi menyebut namaku penuh kelembutan.
No! Baik umi cerita kat Ana juga.” Aku tidak mahu mengalah. Mujur surau tidak ada orang lain. Maka kami bebas untuk berdiskusi.
“Umi tak sampai hati.” Akhirnya umi memberikan sedikit bayangan.
“Kenapa?”
“Umi tak nak Ana sedih.”
Aku senyum nipis. Kata-kata umi sedikit mengoyah hati. Apa maksud umi? “Kenapa pula Ana nak sedih?”
“Ana janji dulu dengan umi yang Ana takkan sedih.” Umi memegang bahuku.
“Ana janji. Anak perempuan umi ni kuat tau. Bukan minah air mata.” Aku mengikat janji. Sengaja aku selitkan jenaka, mahu umi yakin bahawa aku tidak akan apa-apa. Ternyata umi percaya kerana ada tawa kecil yang mampu aku dengar, keluar dari mulut umi.
“Umi minta maaf. Umi tak dapat nak tolong Ana.”
“Tolong apa pula ni, Umi?”
“Mak lang...” umi membuka kisah.
Aku mendengar dengan teliti. “Kenapa dengan Mak Lang?” senyuman yang ada di bibir masih aku kekalkan duduknya. Menampakkan riak bersedia menerima sebarang kemungkinan.
“Mak Lang dah ada calon isteri untuk Naim. Mak lang dah siap merisik.”
Langit terasa seperti mahu runtuh, menghempap bumi. Nafas rasa tersekat, sukar untuk dilepaskan. Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan. Senyuman yang tadinya terpamer, kini perlahan-lahan makin menghilang.
“Naim dah nak bertunang hujung bulan ni. Nak tak nak, Ana kena lupakan Naim.”
Kenyataan yang cukup menyakitkan itu sudah membunuh semangat. Melupakan abang Naim? Aku tidak pernah terfikir langsung untuk membiarkan dia pergi dari hati. Aku tidak punya kemampuan untuk melakukannya.
“Sebab tu umi tak nak bagi tahu Ana. Tengok, kalau Ana macam ni, umi berat hati nak tinggalkan Ana kat sini.”
Cepat-cepat aku gores senyuman yang sudah hampir mati. Tidak mahu merisaukan umi. “Umi jangan risau. Ana faham, bukan jodoh Ana dengan abang Naim.” Aku buat-buat faham untuk perkara yang aku tak ingin faham. Bertahun aku letak abang Naim dalam hati. Membiarkan dia duduk di situ dengan rasa bahagia. Tiba-tiba saja diminta untuk mengosongkan ruangan yang memang hanya aku khaskan buat dirinya. Bisakah aku?
“Umi yakin ada lelaki yang lebih baik tengah tunggu Ana.” Umi cuba memujuk.
Aku sekadar senyum dengan anggukkan. Bersetuju semata-mata menjaga perasaan umi. Walhal, hati menyangkal keras. Takkan ada tempat untuk lelaki lain selain abang Naim!
“Dah, jom. Nanti umi terlepas flight pula.” Umi bergegas bangun.
“Nah, umi.” Aku kembali menyerahkan tiket penerbangan pulang umi dan ayah. Aku turut bangun sama. Mahu menghantar kepulangan umi dengan hati tercalar.

KERETA Nissa Almera milik abang Naim meluncur laju meninggalkan Terminal LCCT. Kalau ikutkan perancangan yang dibuat, abang Naim akan menghantar aku terus ke tempat kerja. Kalaulah aku punya kuasa untuk menghentikan rancangan itu, sudah pasti aku lakukan.
Aku tidak betah berada bersama abang Naim saat ini. Lelaki yang harus aku lupakan seumur hidup.
            “Ana diam aje dari tadi. Sedih ke, umi dengan ayah dah balik?” abang Naim memulakan perbualan.
            Aku yang sememangnya hanya membisu dari tadi enggan menoleh memberikan perhatian pada abang Naim. Hatiku dibalut kabus tebal, setebal kabus pagi.
            “Ana, abang tanya ni, sedih ke?” abang Naim menguatkan sedikit suaranya.
            “Mestilah sedih.” Terpaksa juga aku menjawabnya.
            “Kesedihan tu tak elok untuk emosi. Dah, jangan sedih.  Nak sarapan kat mana?”
“Tak naklah, Ana tak lapar.” Hanya sekilas aku memandang abang Naim.
“Tapi abang lapar. Ana tak kesian kat abang, ke?”
“Abang Naim pun tak kesian kat Ana.” Laju saya ayat itu keluar dari mulut.
“Ana macam marah kat abang aje. Abang ada buat salah apa-apa ke?”
“Siapalah ana nak marahkan abang Naim...” perlahan aku lagukan rasa bertapak dalam diri.
“Sekejap.” Naim membuka dashbox keretanya. Sesuatu dikeluarkan dari dashbox itu. “Nah, ambil ni. Jangan merajuk lagi.”
            Lolipop tertayang di hadapan mata. Teringat langsung lambakan lolipop pemberian abang Naim yang tersimpan dalam balang kaca. Saat ini barulah aku tersedar yang abang Naim hanya menganggap aku seorang anak kecil yang dapat dibeli rajuknya dengan lolipop. Sungguh menyakitkan hati.
            “Ana dah tak makan lolipop.” Aku menolak pemberiannya.
            “Hah?” abang Naim terus memandang. “Kenapa tiba-tiba?”
            “Umi dah tak kasi Ana makan lolipop.” Alasan berjaya dicipta.
Why?” lagi soalan dari abang Naim.
“ Takut gigi rosak.”
            Abang Naim sudah ketawa besar. Sungguh gembira dia mendengarnya. Mungkin padanya itu satu jenaka. Namun padaku ia umpama gerhana. Selamat bergembira! Bisik hatiku.
            “Serius abang cakap, yang abang rasa happy sangat setiap kali dapat berbual dengan Ana.” Abang Naim memberhentikan kenderaan apabila lampu isyarat berwarna merah.
            Aku diam lagi. Kata-kata itu sudah tidak punya makna. Aku tetap perlu melupakan impian untuk menjadi suri hidupnya. Aku bukan pilihan hati!
            “Abang Naim suka kat Ana tak?” soalku umpama kanak-kanal kecil yang tidak tahu apa-apa.
            “Mestilah suka. Abang ada banyak kenangan dengan Ana. Ecspecially masa kita kecil dulu.” Mudah abang Naim menjawab pertanyaan yang diajukan.
Cukup! Aku hanya mahu tahu itu. Sekurang-kurangnya aku masih menjadi kesukaan abang Naim sehingga hari ini. Aku mahu simpan kenangan itu sampai bila-bila.
So, macam mana dengan kawan Ana yang ada masalah tekanan hari tu?”
Topik bertukar tiba-tiba. Entah disengajakan atau betul-betul abang Naim ingin tahu. Dan tika ini, ingatanku terus mencerap wajah encik Afdhal. Lega apabila mengingatkan encik Afdhal. Sebabnya, kak Dahlia sudah bersetuju untuk turut serta memberikan bantuan kemanusian. Jadi aku tak perlu berbohong apa-apa lagi.
Aku hanya mahu kak Dahlia menggunakan auranya untuk mengumpan encik Afdhal membuat rawatan. Menurut abang Joe. Encik Afdhal biasanya hanya hadir sekali sahaja ke sesi rawatan semasa abang Joe membawa encik Afdhal berubat dulu. Pendek cerita, encik Afdhal memang tak mahu berjumpa dengan orang asing. Dia tak suka sebab kononnya mengganggu dunianya.
“Entahlah. Ana harap dia boleh pulih.”
“Bawalah datang tempat abang. Insya’ALLAH nanti abang bantu.”
“Betul ke, ni?” aku rasa teruja. Terus terbang rasa hati yang tadinya galau sahaja.
Yup!”
“Kos rawatan mahal tak, abang Naim?”
“Tak juga. Tapi ubat dia memang agak mahal.” Abang Naim membetulkan duduknya. Mungkin sudah letih memandu. “Tapi tak apa, Ana bawa dia datang dulu, nanti kita tengok macam mana.” Saran abang Naim.
“Insya’ALLAH, Ana cuba.”
“Hah, bolehpun senyum..”
Teguran abang Naim membuatkan aku tersentak. Aku tersenyum? Eh, Iya ke? Tapi senyuman itu untuk apa?

ABANG NAIM tidak mahu mendengar kata. Arahanku supaya aku diberhentikan di simpang jalan sebelum sampai ke Arena Printing tidak dihiraukan. Dia tetap mahu menghantar aku sampai ke depan bangunan Arena Printing. Puas aku merayu, namun tidak diendahkan langsung.
            Kalau ikutkan kebiasaannya, pada waktu-waktu beginilah encik Afdhal akan tercongok depan pintu kaca, mencari wajah kak Dahlia. Alamak, habislah. Aku tak tahu kenapa aku tidak suka encik Afdhal melihat kehadiranku bersama abang Naim.
            “Bangunan yang mana satu?” abang Naim melilau memerhati bangunan pejabat yang berhanpiran dengannya.
            “Depan bangunan biru tu, belok kanan.” Dengan berat hati aku memberi makluman. Aku berdoa, moga-moga encik Afdhal tidak ada.
            “Hah, bangunan warna merah tu kan?” abang Naim tersenyum.
            Aduh, ada pula lot parking yang kosong hari ni. Betul-betul depan Arena Printing pula tu! Hatiku sudah tidak senang. Belum pun kereta abang Naim berhenti, aku sudah dapat melihat kelibat encik Afdhal. Nampaknya, aku tidak mampu mengelak. Kereta abang Naim sudah sedia diletakkan di lot kenderaan yang kosong tadi.
            Tali pinggang keledar aku buka. Mahu cepat-cepat turun.
            “Ana kat sini ada kedai makan kan? Jomlah sarapan, abang betul-betul lapar ni.” Ajak abang Naim. Dia juga mula membuka tali pinggang keledarnya.
            “Hah?” aku yang baru sahaja mahu membuka pintu kereta, menoleh dengan memandang abang Naim. Terkejut dengan permintaannya. “Ana...” aku tidak tahu bagaimana mahu melolak. Sempat juga mataku mencari susuk tubuh encik Afdhal yang memang sedang memerhatikan kami.
            “Ana minta maaflah abang Naim, sebenarnya Ana dah lambat. Pagi ni Ana kena handle morning routine.” Aku berharap abang Naim percaya dengan kata-kataku.
            “Ye ke? Erm... okeylah, next time abang belanja Ana makan. Dah, jom abang hantarkan sampai depan pintu.” Abang Naim sudah bersiap sedia untuk turun.
            “Eh, tak payahlah abang Naim. Depan tu ajepun, tak sampai sepuluh langkah, dah sampai.” Laju aku menolak. Bukan jauhpun. Parking pun depan bangunan.
            “Memang depan tu, aje. Tapi abang tak berkenan tengok lelaki baju hitam tu. Dari tadi asyik pandang Ana, aje.”
            “Itu bos Analah. Abang Naim tak payah risau.” Aku menjelaskan. Nampaknya abang Naim sudah salah faham.
            “Bos? Tak nampak macam bos pun. Macam...”
            “Ana masuk dululah, abang Naim. Terima kasih tumpangkan Ana. Assalamualaikum.” Aku cantas terus kata-kata abang Naim kerana aku rasa, aku tahu bagaimana mahu menyudahkan ayatnya itu.
            Aku turun tanpa berlengah. Selepas pintu kereta ditutup, aku memberikan lambaian tanda berterima kasih atas jasa. Rasa macam lambaian perpisahan pun ada juga. Impian sudah musnah. Tak ada lagi yang tinggal.
            “Ana...”
            Panggilan abang Naim yang jelas kedengaran, menghentikan langkah. Abang Naim turun dari keretanya.
            “Makan lolipop ni. Kalau takut umi marah, jangan bagi tahu umi.” Abang Naim menyerahkan lolipop tadi kepadaku.
            Aku tidak sempat berkata apa-apa kerana sebaik sahaja lolipop itu aku ambil tanpa rela, abang Naim kembali masuk ke dalam keretanya.
            Selepas kereta abang Naim menghilang daripada pandangan, aku kembali menyusun langkah untuk masuk. Mata encik Afdhal masih tidak lepas memandang aku. Rasa macam tak tahu bagaimana untuk bergerak apabila diperhatikan begitu.
            “Assalamualaikum, encik Afdhal. Selamat pagi.” Terpaksa juga aku keluarkan kata. Menutup rasa yang kekok.
            Salam yang diberikan tidak dijawab. Encik Afdhal sekadar mengangguk. Mungkin dia menjawabnya dalam hati. Aku berbaik sangka. Ada senyum pada bibirnya. “Itu ke bakal tunang kau?”
            Soalan yang singgah pada telingaku langsung tak kena masa. Bagaimana encik Afdhla boleh tahu tentang hal itu? Pasti abang Joe yang ceritakan. Bakal tunang? Itu cuma mimpi yang sudahpun selamat pulang dijemput pagi hari. Istilah itu sudah tidak boleh lagi diguna pakai. Air mata sudah mula bertakung. Sebelum ia menitis, aku harus segera angkat kaki.
            “Tumpang lalu.” Aku minta ruang. Lantas aku buka pintu dan terus masuk. Soalan encik Afdhal tadi, tidak aku jawab. Kalau aku mengatakan tidak, dia bukan orangnya, niscaya air mata akan gugur.
            “Siap dapat lolipop lagi. Macam budak-budak.” Encik Afdhal ketawa. Penuh keriangan.
            Aku tahan air mata yang hampir menitis. Gara-gara gula-gula lolipop, hari ini aku ditertawakan oleh dua orang lelaki. Sungguh aku benci! Aku sambung langkah. Teruskan ketawa. Dipersilakan!
            “Pada semalam lagi aku perhati, asal aku tanya aje, kau mesti tak jawab. Apahal?”
            Encik Afdhal mengikut langkahku masuk ke dalam. Aku yang sememangnya tidak ada mood untuk berbual dengan sesiapa terus membiarkan gam melekat pada mulut. Hari ini, hariku mendung menghitam. Takkan ada seorangpun yang boleh pinjamkan matahari untuk hariku bersinar kembali.
            “Kau  pekak ke?”
            Kalau ikutkan hati, memang aku mahu terus memekakkan telinga. Tapi sebelum sabarku mencapai had maksimum, lebih baik aku lakukan sesuatu. Nasib baik kau bos!  
            “Ya, encik Afdhal. Apa yang saya boleh tolong?” aku palingkah wajah. Nak sangat diberikan perhatiankan!
            Kini encik Afdhal tersenyum. “Tak ada apa. Pergilah duduk. Nanti kita sambung cerita. Aku ada kerja penting nak buat.” Encik Afdhal mengenyitkan matanya sebelum pergi.
            Gila! Kerja penting konon. Nak perhatikan kak Dahlialah tu, macam aku tak tahu. Pentinglah sangat! Tak sedar, kak Dahlia pandang dia sebelah mata aje. Hatiku marah. Geram! Astagfirullahalazim... lebih baik aku beristigfar!

DI SINI kadang-kadang rasa disayangi. Kadang-kadang pula rasa dibuli. Aku takkan rasa begitu kalau bukan aku yang diarahkan untuk naik, turun ke stor atas bumbung. Itu nak kena ambil. Ini nak kena ambil. Kalau cakap sekalikan senang. Tak payah aku ulang alik. Mentang-mentanglah aku budak praktikal!
 Atas dasar letih, aku ambil sedikit masa untuk merehatkan diri. Kebetulan tugas menyimpan semula barang-barang telah aku selesaikan. Angin yang bertiup sungguh nyaman terasa. Aku duduk  di tepi stor. Kepala didongakkan memandang langit. Dari sini, awan dapat dilihat lebih jelas. Kenapa hatiku tidak secerah awan?
Tangan menyeluk poket seluar. Lolipop pemberian abang Naim dikeluarkan. Terus terdengar kembali berita yang umi sampaikan. Siapalah perempuan bertuah yang dapat memiliki abang Naim?
“Tahniah, abang Naim.” Suaraku mula serak, menahan sebak. Aku hanya mampu mengucapkan ucapan itu tika aku sendiri. Aku tidak punya keberanian untuk berkata di hadapan abang Naim, kerana aku sering kali kalah dengan air mata.
Hujung bulan nanti abang Naim bakal mengikat tali pertunangan. Tidak lama mana, hanya seminggu saja lagi. Menunggu sehingga tempoh itu saja sudah menjadi satu penderitaan buatku. Jadi bagaimana harus aku habiskan masa 3 bulan yang masih ada? Bagaimana cara untuk aku berhadapan dengan abang Naim tanpa sebarang rasa?
Bunyi hentakan pintu yang kuat membuatkan aku tersentak. Aku sorokkan tubuh. Encik Afdhal melepasi stor simpanan barang. Mulutnya kumat-kamit, seperti berkata sesuatu. Cuma tidak jelas kedengaran.
Aku tarik nafas lega. Mujur juga tidak tertangkap. Encik Afdhal sudahpun meninggalkan ruangan atas bumbung. Aku kembali sendiri. Bagus juga kalau... otak mula bekerja. Menghantar idea ke minda untuk direalisasikan.
Aku berdiri tiba-tiba, seakan sudah bersetuju untuk memenuhi kehendak minda. Perlahan kaki berjalan ke kediaman encik Afdhal yang hanya bersebelahan stor. Sambil memerhatikan sekeliling, tanganku sudahpun mencapai tombol pintu. Aku ingin sekali melihat tempat tinggal encik Afdhal. Apa yang ada di dalamnya? Lantas tombol dipulas, dan aku melangkah masuk.
Pintu aku rapatkan sahaja kerana aku perlukan sedikit cahaya dalam ruang yang gelap itu. Berselerak, padahal kalau tidak silap, kak Lin dan abang Joe sudah mengemas semalam. Ya, aku masih ingat. Kak Lin enggan bersama menemani aku bertemu dengan kak Dahlia atas alasan mahu membantu abang Joe menguruskan kediaman encik Afdhal.
Nampak gayanya encik Afdhal perlukan orang gaji. Kalaulah aku boleh mencadangkan padanya, alangkah bagusnya. Dia bos, pasti dia mampu membayar. Mataku kini terus melekat pada dinding yang kelihatan penuh dengan contengan. Sedikit bias cahaya yang menebusi masuk dari pintu masih gagal membantu. Aku tidak dapat membaca coretan yang tertera pada dindingnya.
Ilham bersuara, memberikan pandangan supaya cahaya pada telefon bimbit digunakan. Aku tersenyum. Telefon bimbit dikeluarkan. Langsung aku dekatkan dengan dinding. Mencari perkata-perkataan yang tertulis di situ.
“Selamatkan ayah kau...” aku baca salah satu dari banyak kata yang tertulis. “Maut, mana kau?” aku terus membaca walaupun jantung rasa bergoncang laju. “Mak, jangan tinggalkan Af...”, “Gelap.” “Mak cakaplah... mak” “Tuhan takkan maafkan aku!” “Bila mak dengan ayah nak datang?” aku pejam mata. Tidak sanggup membaca kata-kata lain yang tertulis di dinding. Lidah cepat-cepat beristigfar. Rasanya, itulah cara encik Afdhal meluahkan perasaan.
Ada bunyi derap kaki. Mungkin ada yang menghampiri. Alamak. Aku mencari ruang untuk bersembunyi. Nak terus keluar, rasanya itu kerja gila. Pasti jadi isu besar nanti. Ruang kediaman encik Afdhal pula tak besar mana. Macam sebuah bilik kecil yang hanya mampu menempatkan sebuah katil, almari pakaian dan bilik air.
Menyorok dalam bilik air? Itu bukan keputusan yang baik. Katil! Ya, hanya itu ruang yang tinggal. Tanpa melengahkan masa aku mengambil tempat di bawah katil. Tertiarap, bersembunyi di situ. Tangan sudah menutup mulut. Semoga aku tidak dijumpai.
 Sangkaanku tepat. Ada tubuh yang masuk dan menutup rapat pintu dengan kuat. Membuatkan jantungku makin laju berdegup. Aku hanya nampak susuk kakinya dan aku yakin kaki itu kepunyaan encik Afdhal. Ya ALLAH, selamatkan aku. Doaku sambil mata terpejam.
“Ayah tak faham... sampai bila-bilapun ayah tak faham.”
Suara encik Afdhal kedengaran. Mataku yang tadinya terpejam, kini sudah aku celikkan. Ayah? Encik Afdhal berbicara dengan siapa? Ada orang lainkah bersama dengan encik Afdhal? Abang Joe? Tapi kalau tak salah, hanya sepasang kaki yang melangkah masuk tadi.
“Af yang tak faham. Dunia Af dengan dunia ayah tak sama macam dulu.”
“Mak, tengok ayah ni. Af nak hidup dengan ayah dengan mak.”
“Af janganlah macam ni. Af ada kehidupan Af sendiri. Mak dan ayah ada kehidupan mak dan ayah.”
“Tapi kenapa tiba-tiba mak dengan ayah nak tinggalkan Af?”
“Sebab tu ayah cakap Af kena faham. Ayah dengan mak pergi dulu. Af kena lepaskan ayah dengan mak. Faham!”
Aku sudah menggigil di bawah katil. Dialog yang kedengaran seperti ada tiga orang yang sedang berbicara. Sedangkan hanya suara encik Afdhal menuturkan semua kata. Ya, seolah-olah dia yang melakonkan watak untuk ayah dan ibunya. Dan aku, sudah ada rasa seperti mahu pengsan. Lalu aku tutup telinga, tidak mahu mendengar apa-apa lagi.
“Tak nak! Mak, ayah tunggu Af...”
Pang! Sekali lagi bunyi pintu di tutup dengan kuat. Boleh gugur jantung dibuatnya. Tidak ada lagi suaran yang kedengaran. Mungkin encik Afdhal sudah pergi. Aku menunggu seketika, mahu memastikannya sebelum segera melangkah keluar. Setelah yakin, barulah aku bergerak.
Aku sudah tidak boleh tunggu lama. Dan aku berjanji, aku takkan menginjakkan kaki ke situ lagi. Inilah kali pertama dan terakhir. Aku serik! Aku bingkas bangun dan mencari pintu dalam kegelapan.
“Telefon aku?” badan makin lemah dibuatnya. Telefon pula entah di mana. Langsung tidak aku ingat. Sudahlah gelap. Mana aku nak cari telefon bimbitku? Mahu ataupun tidak, aku perlu mencarinya segera.
Meraba-raba aku dalam gelap. Mahu membuka pintu? Tak boleh! Takut ada yang ketahuan nanti. Maka aku usaha mencari diteruskan. Sebelum encik Afdhal kembali lagi, aku perlu keluar.
“Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah.” Hampir sepuluh minit, akhirnya telefon bimbitku dijumpai. Aku memanjatkan syukur. Sudah tiba masa untuk keluar dari situ.
Aku nyalakan telefon, mahu mendapatkan bantuan cahaya. Aku akan dapat bergerak dengan lebih pantas. Tanganku sudah berjaya mencapai tombol. Tinggal untuk pulas, kemudian aku boleh keluar dengan senang hati. Namun aku terpaku di situ. Ada satu kata tertulis di pintu. Tulisannya berwarna putih. Dengan bantuan cahaya telefonku, ianya jelas kelihatan.
“HELP!” aku baca dengan hati yang tidak senang. Ia umpama satu mesej yang disampaikan buat sesiapa yang mahu keluar dari situ. Terasa sedang ditujukan padaku.
Ana cepat keluar! Suara hati mengingatkan. Aku tersedar. Tombol dipulas, pintu di tarik. Namun belum sempat aku melangkah keluar, sekali lagi langkahku di paku. Wajah encik Afdhal kelihatan. Tangannya sudah melepaskan tombol yang tadinya di pegang dari luar. Dia terkejut melihat aku sebagaimana aku terkejut melihat dirinya. Matilah aku kali ini!

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum. Terima kasih terus mengikuti JJC. Sengaja AH poskan lebih awal. Mungkin next entrypun akan lebih awal. Jadi rajin2 jengah blog AH ni ya. Terima kasih kepada. Insya'ALLAH jumpa nanti.. :)

6 comments:

Anonymous said...

best... nak sambungannyer.. sbr nak tau apa akan jd kat Ana... thnx AH

Anonymous said...

jgn risau, sememangnya setiap hari saya akan menjengah blok AH untuk sambungan JJC ini.
teruskan berusaha ya :)

-chah husain-

Anonymous said...

Berdebar2 plk. Enchik Afdhal tu mcm psyco. Haishhh.
-nuyrah-

ctrain7474 said...

tahan nafas baca entri nih..huhu...

nur fakhariah said...

sokong..mmg tahan nafas baca entry kali ni...bayangkan beto khusyairi pegang watak afdhal heheh mmg psiko lah

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

huh seram! abis lah ana..

nur fakhariah.. aah best kan kalau beto yg jadi afdhal.. hensem tp sewel sikit.. hehehe..

Post a Comment