Monday, June 24, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 12



12
            Hari ini nasib aku memang malang. Dahlah putus cinta, kini tertangkap pula. Wajah sengaja aku tundukkan. Jari-jari kaki berlaga sesama sendiri. Tidak senang duduk. Seolah menyalahkan antara satu sama lain. Sejak dari tadi encik Afdhal hanya mendiamkan diri. Dia hanya memandang ke arahku, tanpa suara. Itu lebih baik kerana kalau dia sudah membuka bicara, belum tentu aku dapat menjawabnya.
            Angin petang semakin bertiup kencang. Badanku mula sejuk. Berdiri lama di tempat tinggi begitu boleh membuatkan kakiku cramp. Sampai bilalah agaknya kami nak berdiri berhadapan begitu? Dah macam adegan dalam filem-filem pula. Takkan nak berdiri sampai ke subuh? Masalah besar ni!
            “Apa yang kau buat dalam rumah aku?”
            Soalan pertama dah sampai. Aku yakin, akan ada soalan-soalan yang lain bakal menyusul kalau soalan itu aku jawab. Jadi aku bertindak mendiamkan diri. Membisukan mulut.
“Aku baru nak berbaik-baik dengan kau, kau dah buat perangai. Apa yang kau nak pada aku sebenarnya?”
             Pertanyaan yang baru singgah ke telinga membuatkan aku mengangkat wajah. Mata encik Afdhal yang merah itu aku pandang. Hanya itu yang mampu aku buat. Tiada jawapan yang mampu aku beri.
            “Kau memang takkan jawabkan? Okey. Kalau macam tu kita terus berdiri kat sini sampai kau buka mulut.” Encik Afdhal membuat keputusan.
            “Alah, saya tak sengaja. ” Aku terpaksa juga. Tak mahu aku berdiri di situ sampai subuh.
            “Bohong.”
            “Saya tak tahupun tu rumah encik Afdhal. Saya ingatkan stor juga. Saya masuk ajelah. Sampai aje kat dalam saya tengok, eh ada katil dengan almari. Rumah orang rupanya.” Dengan bersahaja aku tukar penjelasan. Harapnya kali ini menepati skema jawapan.
“Bohong.”
Aku lemah. Itu juga tidak diterima. Jadi apa lagi yang perlu aku katakan?
“Kau nak mencurikan?”
Aku buat muka tak puas hati dengan pertuduhan itu. Asyik-asyik nak kata aku mencuri. Dah tak ada modal lain agaknya! “Banyak ke, harta yang encik Afdhal simpan dalam rumah? Ada yang hilang?” aku pulangkan kembali soalan padanya. Biar dia fikir sendiri. Dahlah rumah macam tongkang pecah. Pencuri nak masukpun tak ada selera. Marah betul hatiku.
“Habis tu kau buat apa kat dalam tu?” encik Afdhal memeluk tubuh.
“Saya saja masuk, nak tengok.” Aku tak pandang lagi wajah encik Afdhal. Rasa marah masih membuak-buak.
“Tengok apa?”
“Apa-apa ajelah yang boleh membantu siasatan.” Pantas aku balas tanpa berfikir panjang.
“Siasatan apa?”
Opss... alamak terlepas cakaplah pula. Tangan sudah memukul mulut. Laju saja tindakannya. Marah punya pasal. Kalaulah aku boleh bersabar sikit tadi.
“Siasat apa?” suara encik Afdhal makin meninggi.
Aku melangkah setapak ke belakang apabila encik Afdhal maju selangkah menghampiriku. “Kau siasat apa ni?” tengking encik Afdhal. Kakinya makin laju mara menghampiri, dan aku terpaksa mengundur menyelamatkan diri.
Langkahku tersekat. Tidak dapat berganjak. Aku pandang belakang. Tidak ada lagi jalan melainkan aku berani untuk terjun ke bawah.
“Sekarang mana kau nak lari? Terjunlah kalau kau berani?”
Kata-kata itu menghantar pandanganku sekali lagi ke bawah. Memang aku tak berani. Kalau aku Kluang Man ke, Superman ke, Ultraman ke, Spiderman ke, itu tidak menjadi masalah bagiku. Memang dah lama aku terjun.  
“Baik kau cakap. Apa yang kau siasat? Cakap!”
“Saya...” aku terketar-ketar. Tak boleh. Aku tak boleh beri tahu hal sebenar. Tapi aku perlu menjawabnya sebelum encik Afdhal hilang waras. Nanti tak pasal-pasal aku dicampak ke bawah. Mesti umi ingat aku bunuh diri sebab putus cinta. Ya Allah, minta dijauhkan... aku masih ada secebis iman.
“Saya...” masih tidak ada jawapan yang mampu aku berikan.
“Saya apa!” Kuat tengkingan encik Afdhal. Lebih kuat dari tadi.
“Saya nak siasat macam mana nak dapatkan  hati encik Afdhal.”
“Hah?” Nyata encik Afdhal terkejut.
“Saya suka encik Afdhal. Saya nak tahu encik Afdhal suka apa, jadi saya masuk tengok.”  Aku sendiri terkejut dengan apa yang keluar dari mulutku. Sungguh aku tak rancang. Kata-kata itu keluar sendiri umpama air mengalir. Ah, tak kisahlah. Janji selamat!
Encik Afdhal terdiam. Hanya memandang wajahku. Air mukanya sudah berubah. Jantungku masih laju berlari, nafas tetap turun naik dengan pantas. Tapi sekurang-kurangnya hati aku lega apabila encik Afdhal sudah beberapa langkah ke belakang. Tidak lagi hampir denganku. Lega...
“Kenapa kau suka aku?” lemah suara encik Afdhal. Namun tetap boleh didengar.
Ini yang aku malas. Banyak sangat soalan yang perlu dijawab.
“Kita tak perlukan alasan untuk sukakan seseorang.” Aku ucapkan dialog yang biasa aku dengar daripada cerita-cerita cinta di kaca televisyen. Itu aja jawapan yang ada.
“Tak boleh. Kau tak boleh suka kat aku!”
“Sebab?” aku sengaja melayan. Nak tahu juga jawapan daripada orang bermasalah.
“Aku suka kat orang lain.”
“Siapa?” masih aku menyoal walaupun aku sudah tahu gerangan yang bakal disebut oleh encik Afdhal.
“Dahlia.” Pantas encik Afdhal menjawab. Penuh rasa yakin. Nampak sangat nama itu sudah lama bertapak di hati.
Aku buat-buat kecewa. Kononnya bersedih. Padahal, aku tak pedulipun. Yang penting hal sebenar tak bocor. Kadang-kadang ada rasa simpati buat encik Afdhal. Mustahil kak Dahlia membalas cintanya. Sabarlah encik Afdhal. Beginilah namanya hidup.
“Eh, kejap...” nada suara encik Afdhal bertukar.
Aku sudah rasa tak sedap hati.
“Lelaki pagi tadi tu bakal tunang kau kan? Macam mana kau boleh suka kat aku pula?
“Er...” terkulat-kulat aku mencari jawapan. “Encik Afdhal tak faham pasal cinta. Kalaulah saya boleh jelaskan...” aku tunduk lagi bersama wajah sayu.
“Ah... apa-apa ajelah. Yang penting kau jangan pandai-pandai suka aku. Aku tak izinkan.” Amaran keras keluar dari mulut encik Afdhal.
   Aku mengangguk lemah, berlagak tidak berdaya dan menerima segalanya dengan pasrah. Encik Afdhal berlalu begitu saja. Tidak lagi mempersoalkan apa-apa. Aku masih terus berdiri di situ. Bukan menangisi takdir, tapi menunggu sehingga encik Afdhal tidak kelihatan. Setelah encik Afdhal menghilang, aku mengundang senyuman datang. Tak sangka boleh selamat.
“Ceh, siap warning lagi. Ingat aku betul-betul suka dialah tu. Huh, jauh panggang dari api!” aku membebel sendiri. Apapun aku semuanya sudah kembali seperti sedia kala.

TELEFON bimbit berdering berkali-kali. Panggilan daripada abang Naim. Sengaja aku tidak mahu menjawabnya. Aku perlukan masa untuk pulihkan hati. Mungkin memakan masa sejam lagi, atau mungkin juga seratus tahun lagi. Jadi telefon aku biarkan terus berdering dari dalam poket seluar.
            Sudah lama aku tiba di terminal Putra Lrt. Cuma aku yang enggan meneruskan perjalanan pulang. Berhadapan dengan keluarga abang Naim pada tika ini bukanlah sesuatu yang mudah. Aku perlukan kekuatan. Kalau ada umi, mungkin aku mampu bertahan.
Aku duduk di perhentian bas di hadapan Terminal. Menyaksikan kenderaan lalu lalang.     Perut sudah menyanyikan lagu kelaparan. Memang Lapar. Tapi hati tidak ada rasa mahu pulang. Waktu Isyak akan masuk beberapa saat lagi. Biasanya saat-saat begini aku sudah berada di hamparan sejadah. Menunggu masuknya waktu sambil mengisi masa dengan mambaca tafsir Al-Quran. Tapi hari ini?
Kalaulah aku ada sesiapa yang aku kenal di sini, alangkah bagusnya. Fina! Bagaimana aku boleh lupa akan Fina. Lama sungguh tidak mendengar khabar Fina. Dia langsung tidak menghubungi aku? Aku pun sama.
“Lebih baik aku call dia.” Tanganku menyeluk poket. Telefon dikeluarkan. Panggilan mual dibuat.
“Assalamualaikum.” Aku gembira apabila talian bersambut.
“Wa’alaikumusalam.” Hambar suara Fina.
“Kau apa khabar? Macam mana praktikal okey ke?” soalku, beriya ingin tahu.
“Okey tu, memanglah okey. Tapi letihlah. Dah macam office girl kat tahu tak? Kalau aku tahu macam tu, lebih baik aku praktikal kat tempat abang aku.” Fina meluahkan rasa.
“Tempat abang kau?”
“Aik, Ana... melampau nampak. Takkan tak ingat? Kau praktikal kat syarikat abang aku kut!”
Aku gigit bibir. Aduh, terlupa! Mungkin sebab aku dah tahu hal sebenar. Tapi kenapa Fina beriya-iya mengatakan bahawa encik Adhal tu, abang dia? Aku sendiri pelik. “Alah, gurua aje. Janganlah marah.” Cepat-cepat aku tukar nada. Mahu Fina menganggap yang aku  benar-benar sedang bergurau.
“Abang aku tu okey, tak?” soal Fina. Kini suaranya kembali ceria.
“Encik Afdhal tu? Mengenangkan dia abang kau, maka aku terpaksalah cakap okey.” Aku ketawa.
“Kau ni...” Fina marah. “Dia kat sana macam mana? Kau selalu bercakap dengan dia tak?” Fina ingin tahu.
Aku menarik nafas sebelum menjawab pertanyaan Fina. “Aku ni manalah sempat nak berborak dengan bos. Kerja akupun banyak.” Aku jawab ala kadar. Sekadar menyedapkan hati Fina.
“Dia ada makwe tak?”
“Eh, kau ni. Kau kan adik dia, takkan kau tak tahu?” aku membetulkan tudung yang diterbangkan angin malam.
“Dia mana nak bagi tahu aku. Sibuk nak berahsia. Kau kat sana, takkan kau tak tahu?” Fina tetap mahu mengorek cerita.
Aku tak sampai hati nak menceritakan hal sebenar, kerana saat ini aku dapat rasakan bahawa Fina mempunyai perasaan pada encik Afdhal. Patutlah awal-awal lagi dia dah bagi amaran pada aku supaya jangan jatuh cinta kat encik Afdhal. “Manalah aku tahu. Kau ingat aku ni spy ke?”
“Kau macam mana?”
“Macam mana apa pula?”
“Iyalah, dah kerja satu bumbung. Manalah tahu kut-kut kau dah tersangkut kat abang aku tu...” panjang nada Fina. Ada bunyi gusar dibelakangnya.
“Tolonglah, Fina. Kau macam baru kenal aku semalam. Kau tahu siapa yang ada kat hati akukan?”
“Alah, sedangkan pantai lagi berubah...” Fina mula berkias bagai.
“Tak ada maknanya. Yang kau risau semacam ni kenapa? Takkan kau suka kat abang kau sendiri, kut?” aku sudah tidak punya cara lain. Sebelum Fina terus fikir yang bukan-bukan, lebih baik aku buat dia terdiam.
“Apa...apa pula. Mana ada.” Gagap Fina bersuara.
“Ha, tahupun...” aku ketawa.
Hon kenderaan yang bertalu-talu bunyinya begitu mengganggu perbualan.
“Bisingnya, siapa  main hon tu?”  Fina dalam talian turut mendengar.
“Entahlah.” Aku tidak ambil endah. “Okaylah, bisinglah. Nanti kita borak lagi.” Aku sudah berniat mematikan talian. Sudah tidak tahan dengan gangguan yang kedengaran.
“Okay. Assalamualaikum” balas Fina, bersetuju perbualan ditamatkan.
“Wa’alaikumusalam.” Talian diputuskan. Selesai perbualan kami. Telefon aku masukkan dalam beg tangan. Dah ada kekuatan nak balik ke ni? Aku tanya diri sendiri. Kemudian aku duduk termenung sendiri.
“Dah habis bergayut?”
Ada suara menyapa tiba-tiba. Begitu hampir dengan telinga. Aku palingkan wajah pada arah suara yang baru saja kedengaran.
“Abang Naim!” mulutku terngaga.
“Terkejut?” abang Naim mengeluarkan kedua-dua tangan yang tadinya elok duduk di dalam poket seluar. “Tadi abang bunyikan hon, tak dengar ke?”
Mulut yang terbuka luas, aku tutup kembali. Kemunculan abang Naim sepatutnya menyenangkan hati. Tapi apa yang berlaku adalah sabaliknya. Aku diamkan diri.
“Kenapa tak jawab abang call tadi?” abang Naim tidak henti bertanya.
“Tak dengar.” Baru kali ini aku menjawab.
“Patutlah.”
“Abang Naim buat apa kat sini?” giliran aku bertanya. Beria-ia aku ingin mengelak dari bertemu muka dengannya. Alih-alih, berjumpa pula di sini.
“Kebetulan abang nampak Ana, tu yang abang berhenti. Jom balik.” Ceria saja wajah abang Naim.
“Abang Naim baliklah dulu, sekejap lagi Ana balik.”  
“Kenapa pula? Ana ada tunggu sesiapa ke?”
“Taklah, Ana nak ambil angin sekejap.” Aku beralasan.
“Tak payahlah, dah malam ni. Nanti selsema macam mana?”
Aku lemah. Kata-kata penuh kasih seumpama itulah yang akan membuatkan aku tewas dalam perjuangan untuk merelakan pemergian abang Naim. Aku sudah tidak punya kata-kata. Aku bangun, dan bersedia untuk beredar.
“Jom.” Abang Naim tersenyum.
“Abang Naim baliklah, Ana jalan kaki aje. Nak exercise.” Terus saja aku berjalan, meninggalkan abang Naim. Aku tidak mahu hati terus menaruh rasa pada dirinya. Aku harus ikut cakap umi. Abang Naim harus dilupakan. Apapun caranya, itu harus aku lakukan.
“Ana...”
Panggilan abang Naim sudah tidak aku endahkan. Kaki terus melangkah laju bersama angin malam yang mengigit tubuh. Alangkah bagusnya kalau esok adalah hari terakhir aku menumpang di rumah pak lang! Tetapi itu mustahil. Aku harus belajar menghadapi kenyataan. Semoga Allah permudahkan segalanya. Doaku sambil kaki terus melangkah.
Dari jauh kelihatan seorang wanita sedang bersalaman dengan mak lang. Membuatkan hatiku jadi tidak enak. Adakah dia bakal tunang abang Naim? Langkah kakiku kini aku kecilkan. Mahu lambat sampai. Aku tidak mahu bertembung dengan mereka.
Hajatku dimakbulkan. Wanita itu terus masuk ke dalam keretanya dan meninggalkan rumah mak lang. Lambaian tangan mak lang menunjukkan betapa wanita iu sangat dialu-alukan kehadirannya. Penyakit hati datang lagi. Cemburu!
Kini mak lang melambaikan tangan pada aku. Selepas wanita itu, barulah aku terlihat di mata mak lang. Sungguh menyedihkan. Namun aku tetap membalas lambaian mak lang. Pilihan seorang ibu, pastinya yang terbaik buat seorang anak.
“Assalamualaikum mak lang.” Aku hulurkan tangan sebaik sampai.
“Wa’alaikumusalam. Yang jalan kaki ni kenapa?
Aku terdiam mendengar pertanyaan mak lang. Soalan itu seakan tidak punya jawapan. Bukankah memang selalu aku berjalan kaki untuk pulang? Jadi aku hanya mampu memerhati wajah mak lang.
“Kereta kamu mana Naim?” mak lang mempersoal.
“Ada orang tu tak nak naik kereta, mak. Nak exercise katanya.”
Aku terus menoleh apabila mendengar suara abang Naim. Abang Naim masih menapak, menghabiskan langkahnya untuk sampai ke arah kami.
“Habis tu, kereta kamu?”
“Ada kat tepi jalan.”
“Kalau kena saman nanti macam mana?”
“Kalau kena saman, Analah yang kena bayar. Siapa suruh tak nak naik kereta tadi?” abang Naim menjeling manja.
Tidak terkeluar suaraku. Adakah ini bermakna abang Naim mengekori aku dari belakang sepanjang perjalanan tadi?
“Suka hati kamulah.” Mak lang mengalah dari terus bertanya. “Tapi kalau kamu cepat tadi, dapatlah jumpa dengan Emy.”
“Iya ke, mak. Rugilah... kalau tak boleh tanya pendapat Ana.” Abang Naim menunjukkan wajah kecewa.
Senyuman yang ada pada bibirku kini aku coretkan dengan penuh paksa. Kenapa abang Naim membawa namaku dalam hal ini? terus hilang rasa terharu atas keprihatinan abang Naim tadi.
“Ana masuk dululah, mak lang.”
“Masuklah, Ana.” Mak lang mengizinkan.
Tanpa berlengah, aku terus bergerak masuk. Tak mahu ikut campur urusan keluarga mak lang. Aku mengharapkan lega. Cepatlah musim luruh pergi dari hati.

 TERSENGGUK-SENGGUK aku di meja. Mata tak mahu membuka dengan luas seperti biasa. Semuanya gara-gara abang Naim. Aku menguap. Tangan kanan pantas menutup mulut. Tidak mahu syaitan berlumba-lumba masuk. Mengantuk sungguh! Aku lihat jam tangan, masih ada lima belas minit lagi sebelum waktu pejabat bermula.
            “Ah, tidur sekejaplah.” Keputusan dibuat. Aku bingkas bangun, masuk ke dalam ruang solat. Lebih baik tidur di situ. Takkan ada yang kelihatan. Bantal kecil yang menjadi teman pelukan kerusi dibawa bersama.
            “Leganya...” kepala diletakkan atas bantal. Sungguh nikmat.
            “Hoi, tidur!”
            Terus segar mataku yang baru saja mahu pejam. Kelam kabut aku bangun. Encik Afdhal berdiri mencekakan pinggang. Ketawa dia melihat aku yang tak tentu arah.
            “Nak tidur ke, nak kerja ni?” encik Afdhal masih berdiri di situ.
            “Nak kerja. Tapi apa salahnya, belum masuk waktu kerja lagi.” Terbantut terus niat untuk tidur. Aku terus mencapai bantal kecil. Bangun, dan mahu kembali ke tempat duduk.
            “Kau dah okey, ke?”
            Soalan yang diajukan oleh encik Afdhal membuatkan aku tertanya. Apakah encik Afdhal tahu rasa hatiku yang dikecewakan oleh abang Naim? Seumur hidup aku, semalamlah, malam terpanjang, yang pernah aku rasa.
            “Kau tak kecil hatikan?” encik Afdhal bertanya lagi, walaupun pertanyaan tadi belum berjawab.
            “Nak kecil hati kenapa pula?” soalan balas dariku. Kenapa aku perlu berkecil hati?
            “Pasal hal semalam tulah. Aku bukan apa, belum pernah ada perempuan yang cakap dia suka kat aku. Kaulah orang pertama. Itu yang aku terkejut. Sorry lah, aku bukan sengaja nak cakap macam tu, tapi pendek kata memang kau tak boleh suka kat akulah.” Berbaris panjang kosa kata yang keluar dari mulut encik Afdhal.
            Aku terdiam sendiri. Bukan sebab tekun mendengar penjelasan encik Afdhal, tapi terkejut kerana perkara semalam diungkit lagi. Tak tahan! Macamlah aku betul-betul suka kat dia! Jangan kata berniat, aku langsung tak pernah terfikirpun untuk jatuh cinta dengan dia. Minta dijauhkan. Andai aku tak mampu miliki cinta abang Naim sekalipun, namun dia bukan teman pengganti yang sesuai untuk aku. Dan pendek kata aku pula, memng takkanlah!
            “Kalau macam tu, boleh tak encik Afdhal jangan ungkit lagi hal ini. Saya dah cukup malu dah ni.” Oleh kerana aku yang memandai reka cerita, maka terpaksalah juga aku menamatkan sendiri kisah dongeng yang tercipta. Cinta tak kesampaian. Pengakhiran yang menyedihkan untuk aku dan encik Afdhal!
            “Oh, okay!” encik Afdhal bersetuju.
            “Saya balik tempat dulu. Tumpang lalu.” Aku minta diri. Selesai sudah kisah cinta kami.
            “Sekejap. Nama kau apa?”
            Aku memalingkan wajah. Kembali memandang encik Afdhal. Sakit hati mendengar soalan itu. Hampir sebulan aku di sini, takkan nama samaran akupun dia tak tahu? Atau dia sengaja buat-buat tak tahu?
            “Selena Gomez.” Aku balas acuh tak acuh. Tak guna aku bagi tahu nama sebenar. Belum tentu dia ingat. Malas!
            “Selena Gomez... erm... pelik, muka kau tak ada pula nampak macam orang putih.”
            “Hah?” aku letih. Takkan itupun encik Afdhal tak tahu? Haru betul. Ah, lantaklah. Bukan penting pun.
            “Okeylah, sebenarnya aku nak tanya kau ni. Kau ada dapat apa-apa note daripada Dahlia tak?”
            “Tak!”
            “Takkan tak ada langsung?” encik Afdhal tak puas hati.
            “Tak ada. Kenapa?”
            “Tak ada apalah.” Kecewa riak wajah yang ditunjukkan oleh encik Afdhal.
            Aku bersimpati. Pasti encik Afdhal tertalu mengharapkan kak Dahlia. Nampaknya, kami sama-sama sedang dikecewakan cinta. “Bos suka ke, kalau dapat nota hari-hari?” aku menyoal.
            “Akulah orang paling bahagia.” Senyum, encik Afdhal.
            “Nantilah saya usahakan.” Perlahan suaraku.
            “Apa dia?”
            “Tak ada apa.” aku sengih.
            “Pergilah buat kerja kau, Gomez!” encik Afdhal terus pergi.

Bersambung...

Kata AH :
Alhamdulillah. Selamat sudah entry 12. Terima kasih kepada semua yg sudahpun menamatkan bacaan untuk entry kali ini. Insya'ALLAH, secepat mungkin akan dipostkan entry 13. Apa bakal terjadi seterusnya? Sama-sama kita nantikan ya. :)

7 comments:

Afifah Yusof said...

best best best! thumbs up kak Adah!
Luculah tengok Ana dengan Encik Afdhal ni... hihi. ada aje yang nak digaduhkan.
thank u kak Adah. sambung lagi :)

ctrain7474 said...

ayat yg last tu paling best.. "Pergilah buat kerja kau, Gomez!"..muehehheeee...ada gak org lurus bendul cam afdhal nih..caya je org ckp ape pon..heh..

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

hahaha... dah jadi gomez.. sweet..

go lg adah.. tak sabar...

Kak Sue said...
This comment has been removed by the author.
Kak Sue said...

Ana kalau org yang dah x nak buat x tahu ja....
best pulak tengok perangai En Afdhal dan Ana ni...
sama-sama blur.... hahaha

kak nora said...

alahai comel la plak si 'selena gomez' ngan encik afdhal nih... boleh jadi cute kapel la wei... dua2 sengal mcm lurus bendul n poyo gitu... paling best bila encik afdhal tuh perasan sgt si selena gomez tuh ada hati kat dia...eeeeiiiii sangat tak menahan okay .... ekekekeee... tak sabor nak tunggu sambungan...

Valena Michelle said...

Banteng88 MASTER AGEN BOLA
Banteng88 MASTER AGEN JUDI
Agen Bola
Agen Judi
Agen Judi Online
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Bandar Judi
Bandar Bola
Judi Online
Bola Online

Post a Comment