Sunday, January 8, 2012

Assalamualaikum semua.... CABARAN BERMULA! Seperti yang dijanjikan, dengan ini AH postkan cerpen untuk disambung oleh rakan2 pembaca yang ingin menyertai Pertandingan Menyambung Cerpen anjuran AH. Jangan lupa dengan syarat-syarat yang telah AH tetapkan. Selamat Mencuba dan Semoga Berjaya.


TAJUK?
“USTAZ!” Sambil kakiku mengayuh laju basikal, aku meneriak, memanggil susuk tubuh yang dari jauh sudah dapat aku lihat. Ustaz Huzaifah menoleh. Langkahnya langsung terhenti. Pantas aku menambah kelajuan yang ada. Tidak mahu Ustaz Huzaifah menunggu terlalu lama.
            “Assalamualaikum”
            Belum sempat aku memulakan kata, Ustaz Huzaifah terlebih dahulu mengawali bicara sebaik sahaja tayar basikalku berhenti bergerak. Wa’alaikumusalam” balasku dengan senyuman. “Laju ustaz berjalan, ustaz nak ke mana?” soalku ingin tahu. Dia nampak begitu tergesa, mengejar masa.
            “Saya nak ke rumah pak imam. Ada perbincangan sikit” jelas Ustaz Huzaifah dengan senyuman.
            “Oh… macam tu rupanya. Ada perbincangan apa ustaz?” tanyaku selamba. Sibuk ikut campur urusan orang lain.
            “Dengar cerita, anak pak imam nak balik dari Mesir. Pak imam nak buat kenduri kesyukuran sikit”
            Siti Fatanah nak balik dari Mesir! Terkejut aku dibuatnya. Diam tak diam, pulang juga sudahnya Fatanah setelah bertahun-tahun meninggalkan kampung halaman. Anak gadis yang menjadi kebanggaan penduduk kampung. Terasa seperti ada beban besar yang menghempap bahuku tika ini. Masalah kian bertambah jadinya. Ini bermakna, aku akan ada saingan yang lebih besar. Harap-harap Ustaz Huzaifah tidak terpaut hati pada Fatanah. Tapi, hal itu sukar juga untuk aku jangka.
Siapa yang tidak kenal Fatanah di kampung ini? Sebelum ke Mesir dulupun sudah banyak keluarga yang cuba menyunting Fatanah sebagai menantu. Mana tidaknya, wanita berakhlak itu bukan saja pandai, malah kecantikannya dan kelembutannya boleh membuatkan sesiapa saja terpikat hati. Cuma Ustaz Huzaifah sahaja yang belum berkesempatan untuk bertemu dengan Fatanah. Mana tidaknya, Ustaz Huzaifah masih baru di sini. Berkhidmat sebagai guru agama di sekolah menengah, di hujung kampung. Andai kata mereka bertemu nanti, apakah mereka akan jatuh cinta? Hatiku bertambah tidak sedap. Kalau diikutkan, mereka memang sepadan. Nak-nak lagi, pak imam kelihatan memang berkenan benar dengan Ustaz Huzaifah. Sikit-sikit nama Ustaz Huzaifah dibangkitkan.
“Dahlia!”
Aku tersentak dari lamunan saat namaku disebut.
“Kenapa tiba-tiba aje termenung ni? Dahlia tak apa-apa ke?”
Daripada riak wajah yang ditunjukkan oleh Ustaz Huzaifah, aku tahu dia dalam keadaan pelik melihat diriku.
            “Tak ada apalah, ustaz” aku kembali tersenyum. Segera menutup ruang janggal yang terasa.
            “Subuh tadi, tak nampak Dahlia ke suraupun, kenapa?”
            Aku tertunduk seketika saat soalan itu diajukan. Tidak sangka ketidakhadiran aku ke surau pagi tadi menimbulkan tanda tanya pada dirinya. “Terlambat bangunlah, ustaz. Sedar-sedar dah pukul 6.30. Jadi solat kat rumah ajelah” bukan aku mencipta alasan, tapi memang itu hakikatnya.
            “Dengan pakai t-shirt lengan pendek ni? Dahlia nak ke mana? Tak berniaga ke, hari ni?” lagi soalan dari Ustaz Huzaifah untuk aku jawab.
            Aku merenung seketika t-shirt hitam yang tersarung pada badanku. Sudah berkali-kali lelaki itu menegur cara aku berpakaian. Tapi masih baju seperti itu yang aku gunakan setiap kali keluar dari rumah. “Nak ke kedai sekejap ustaz, beli panadol. Hari ni tak berniaga, emak saya tak sihat”
            “Ya Allah… Kenapa tak bawa ke klinik?”
            “Emak tak naklah, ustaz” balasku ringkas. Memang emak tidak mahu langsung dirinya dibawa ke klinik.
            “Dahlia jaga emak sendirilah ni?”
            “Mestilah ustaz. Walaupun saya ni taklah sebaik mana, tapi saya tahu tanggungjawab saya sebagai anak, ustaz” dapat aku lihat mekarnya kuntuman di bibir Ustaz Huzaifah saat aku melafazkan bicara itu.
            “Baguslah kalau Dahlia faham tanggungjawab Dahlia. Bukan apa, saya tengok zaman sekarang ni, bukan main ramai lagi anak-anak yang lupa tanggungjawab pada ibu bapa. Tak tahu kat mana silapnya” Ustaz Huzaifah mengeluarkan pandangan. “Kalau macam tu, tak apalah, saya pun dah lambat nak ke rumah pak imam ni. Kalau perlukan apa-apa pertolongan, jangan segan-segan. Mana-mana yang mampu, Insya’Allah saya bantu”
            “Terima kasihlah ustaz” jawabku. Benar-benar kagum dengan kebaikan dirinya. Semua itu membuatkan aku bertambah jatuh hati dengannya.
            “Saya gerak dulu. Assalamualaikum”
            “Wa’alaikumusalam”

“DAH asingkan nasi lemak untuk ustaz kesayangan kau tu?” sempat pula emak mengusik ketika aku sedang sibuk menyusun bekas yang berisi lauk-pauk yang boleh dipadankan dengan hidangan nasi lemak yang bakal dijual.
            “Mestilah dah, mak. Kena sentiasa ingat kat suami, baru boleh jadi isteri solehah” aku tersenyum lebar. Berjaya menutup usikan dari emak.
            “Sudah-sudahlah berangan tu, Dahlia. Buatnya ustaz tu dah ada pilihan, kau juga yang makan hati nanti”
            “Tak adalah, mak. Ustaz tu, solo lagi. Orang tahulah”
            “Mana kau tahu? Hati orang ni, kita bukannya boleh baca”  Emak masih enggan berpihak padaku. “Emak bukan apa, Dahlia. Emak tak sukalah dengar cerita orang kampung yang buruk-buruk pasal kau. Semua orang duk bercerita yang kau terhegeh-hegeh nak pikat ustaz tu. Sakit telinga mak ni” emak membuat pengaduan. Pengaduan yang telah biasa aku dengar dari mulut emak.
            “Salah ke, mak, kalau orang memang betul-betul suka dengan ustaz tu?” aku membuat pertanyaan. Aku harap emak memberikan jawapan yang jujur.
            “Tak salah. Dahlia nak suka kat siapapun, tak salah. Tapi, kita ni kenalah cerminkan diri kita dulu, nak. Kan ke, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik”
Kata-kata emak membuatkan aku terdiam.
“Mak bukan nak buruk-burukkan Dahlia, Dahlia anak emak, tapi cuba Dahlia tengok diri Dahlia tu, tutup aurat pun sekerat-sekerat. Takkan ustaz tu nakkan Dahlia? Paling tidakpun, macam Fatanah, anak pak imam yang nak balik minggu depan tu, barulah sesuai dengan Ustaz Huzaifah tu. Mak dengar-dengar pula, pak imam pun memang nak jodohkan Fatanah dengan ustaz tu”
Entah kenapa semua pendapat yang emak berikan terkesan di hatiku. Memang benarkah aku tidak layak berimpian untuk hidup dengan lelaki sebaik Ustaz Huzaifah? Jika tidak, masakan ibu berkata begitu!
SEJAK pagi tadi, orang-orang kampung begitu sibuk bergotong royong, menyediakan juadah dan bersiap untuk Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang akan dijalankan pada sebelah pagi esok. Manakala, pada sebelah malam pula, satu kenduri kesyukuran menyambut kepulangan Fatanah pula akan diadakan di surau.
Rasanya, hanya aku saja yang duduk membuang masa di pondok yang memaparkan pandangan indah sawah bendang pada petang hari ini. Entah mengapa aku begitu setia di situ? akupun tidak pasti. Sejak Fatanah pulang, semua orang kampung, sibuk membicarakan tentang Fatanah. Baru beberapa hari pulang ke kampung, dia sudahpun mengatur pelbagai agenda buat masyarakat kampung. Dan agenda yang telah dirancang itu dengarnya bakal dilaksanakan oleh dirinya sendiri dengan bantuan ayahnya dan Ustaz Huzaifah. Sungguh bertuah Fatanah!
“Dahlia”
Sayup-sayup kedengaran ada orang yang memanggil namaku. Pantas aku larikan wajah, mencari gerangan yang menyebut namaku. Kelihatan Fatanah melambai-lambaikan tangannya ke arahku. Ustaz Huzaifah dan Wazir, adik lelaki Fatanah turut berada di sisinya. Aku membalas lambaian tangan Fatanah. Kaki terasa berat untuk menghampiri mereka bertiga lebih-lebih lagi melihat Ustaz Huzaifah turut ada sama. Jadi aku hanya mematikan dudukku di situ. Tidak mahu berganjak walaupun sedikit.
Akhirnya Fatanah yang membuka langkah, mendapatkan aku di pondok itu. Wazir dan Ustaz Huzaifah turut sama ikut serta perjalanan Fatanah.
“Assalamualaikum, Dahlia. Apa khabar?” Fatanah terus memelukku.
“Wa’alaikumusalam. Alhamdulillah, aku baik. Tahniah Fatanah, dah berjaya pun kau” pelukan itu aku balas. Kali pertama bertemu sejak Fatanah pulang. Bukan aku sengaja mengelakkan diri daripada bertemu dengannya sebelum ini, tapi sememangnya aku tidak mempunyai kesempatan itu.
“Alhamdulillah. Rezeki Allah SWT. Berkat doa orang-orang kampung juga” pelukan akhirnya dileraikan.
“Dari mana ni?” soalku, menambah perbualan.
“Kita orang dari pekan. Beli barang sikit untuk kenduri esok” Balas Fatanah penuh kelembutan.
Aku hanya mampu tersenyum saat jawapan itu Fatanah berikan. Ternyata sudah ada bibit-bibit mesra antara mereka. Jika tidak, masakan mereka keluar ke pekan bersama. Walaupun ternyata Wazir ada bersama, tapi tetap ada bahang cemburu dalam jiwa. Entah kenapa itu yang aku rasa?
“Dahlia tak bantu kat balai raya, ke?” soal Ustaz Huzaifah tiba-tiba.
“Taklah, ustaz. Saya ni, bukanya pandai masak. Buat rosak majlis aje nanti. Setakat jual nasi lemak tepi jalan bolehlah” aku mencipta alasan sambil ketawa. Sebetulnya aku tidak mahu terserempak dengan dirinya di sana. Aku cuba belajar mengikut nasihat emak. Walaupun sukar, tapi aku akan cuba menerima hakikat itu perlahan-lahan. Alih-alih, terserempak pula dengan dirinya di sini, di samping Fatanah.
“Kenapa Dahlia cakap macam tu” Fatanah seakan tidak suka dengan kata-kata yang baru saja aku lemparkan. “Tak baik tau. Semua orang ada kelebihan diri. Mungkin Dahlia aje yang belum jumpa apa kelebihan Dahlia”
Entah kenapa setiap tutur kata Fatanah kelihatan begitu sempurna, lalu membuatkan aku terus merasakan betapa aku mempunyai kekurangan yang hanya memalukan diri.
“Betul cakap Fatanah tu, Dahlia. Kalau belajar, mesti boleh pandai kan?” Ustaz Huzaifah menyokong kata-kata Fatanah. Memperlihatkan betapa besarnya jurang perbezaan antara aku dan dia.
“Alah, Kak Dahlia ni bukannya tak pandai masak, Cuma Kak Dahlia ni malas aje” Wazir bersuara. Lidahnya dijelirkan keluar, mengejek diriku. Aku tertawa dengan telatah Wazir, dia memang suka mencari jalan gaduh denganku. Pantang kami berjumpa, ada saja perkelahiannya. Mungkin dia rindukan Fatanah, lalu menjadikan aku sebagai galang ganti ketika ketiadaan kakaknya. Lalu semua itu terbawa-bawa hingga ke saat ini.
“Amboi budak ni, suka-suka hati aje nak kutuk akak ya”
“Memang akak malas pun. Kak Fatanah dah nak kahwin dengan ustaz, Kak Dahlia ajelah yang tak kahwin kalau macam ni” tambah Wazir lagi.
Mendengar itu, hatiku rasa diamuk kecewa. Pantas aku angkat kaki, pura-pura berlari mengejar Wazir yang sudahpun mula membuka langkah seribu. Padahal yang sebenarnya, aku ingin lari dari terus berada di situ. Berita perkahwinan Fatanah mengoyak hatiku. Semuanya sudah jelas lagi terang. Tiada siapa yang perlu aku persalahkan. Tiada siapa yang perlu aku marahkan. Memang pantas Ustaz Huzaifah dengan Fatanah. Mereka bagaikan pinang dibelah dua. Sedangkan aku? Kekecewaan itu membawa langkahku bertambah laju.

SELESAI kuliah subuh. Semua jemaah yang hadir ke surau bergerak meninggalkan surau untuk pulang. Jemaah itu pastinya akan kembali lagi pada jam lapan pagi memandangkan agenda bagi Majlis Sambutan Maulidur Rasul akan bermula. Aku dan emak adalah orang terakhir meninggalkan bahagian surau kaum muslimat. Ketika aku dan emak melepasi pagar surau, dapat aku perhatikan kelibat pak imam, Fatanah dan Ustaz Huzaifah berjalan bersama jauh di hadapan. Segera aku alihkan wajah.
            “Dulu, Dahlia mula nak ikut mak ke surau, sebab Ustaz Huzaifah. Jangan pula nanti Dahlia dah tak nak ke surau sebab Ustaz Huzaifah juga” Emak yang dari tadi hanya memerhati, kini mula bersuara. “Dalam hidup kita ni, Dahlia… bila kita buat sesuatu tu, biar niat kerana Allah SWT. Itu baru betul, baru kekal apa yang kita usahakan. Jangan buat sesuatu disebabkan oleh benda lain” emak meneruskan tarbiah.
            Aku tertunduk lesu. Memang benar kata emak. Memang dahulu, niat aku ke surau kerana Ustaz Huzaifah, kalau boleh aku mahu ketemu dengannya pada setiap waktu solat.  Aku tahu aku silap, dan kini perlahan-lahan, aku kembali memperbetul niat. Dan selepas ini akan aku pastikan semua yang aku lakukan hanyalah berpaksi kerana Allah SWT.
            “Tapi mak bersyukur, sebab dia berjaya buka pintu hati kau untuk berubah sedikit demi sedikit. Walaupun kau bukan Fatanah, tapi mak tetap bangga sebab ada anak macam kau” emak seakan kembali cuba menenangkan jiwaku. Mungkin dengan tindakanku yang berdiam diri, emak jadi tidak kena. Aku akui kebenaran kata-kata emak. Sememangnya, sejak mengenali Ustaz Huzaifah, banyak kelemahan dan kesalahan diri berjaya aku baiki dengan tunjuk ajarnya. Bukan hanya diriku, malah orang-orang kampung juga begitu. Lelaki itu banyak berjasa dalam hidupku. Sayangnya, aku tidak cukup baik untuk dijodohkan dengannya.
            “Assalamualaikum”
            Salam yang kedengaran, kembali membuatkan aku mengangkat wajah yang dari tadi hanya merenung tar-tar jalan yang kelam warnanya. Ustaz Huzaifah kini betul-betul berada di hadapan aku dan emak. Emak menjawab salam yang dihulurkan manakala aku hanya menjawabnya dalam hati.
            “Ada apa ustaz?” emak mengambil langkah bertanya. Aku sendiri agak terkejut melihat dirinya di situ. Rasanya, tadi dia sudahpun jauh di hadapan berjalan bersama pak imam dan Fatanah. Kenapa tiba-tiba pula dia ada di hadapan kami?   
            “Tak ada apa, makcik. Saya cuma nak serahkan kertas ni pada Dahlia” pantas tangan Ustaz Huzaifah menghulurkan lembaran kertas putih yang dimaksudkannya. Tetap aku capai kertas yang seakan pernah aku lihat. Kemudian aku baca teliti kandungan yang tertulis pada lembaran kertas bersaiz separuh daripada A4 itu.
            KELAS TAJWID UNTUK ORANG DEWASA.
            “Dulu Dahlia pernah bagi tahu saya yang Dahlia tak berapa mahir pasal tajwid ni. Jadi apa kata Dahlia ikut serta kelas ni. Insya’Allah, banyak yang boleh Dahlia belajar nanti. Kalau mak cik berminat, mak cik pun boleh ikut sama”  saranan yang diberikan oleh Ustaz Huzaifah itu begitu menarik kedengaran.
            “Bagus ni, ustaz. Siapa yang akan mengajar nanti?” hanya ibu yang banyak bertanya.
            “Insya’Allah, saya dengan Fatanah akan jadi tenaga pengajar. Fatanah akan mengajar di sebelah pagi dan saya akan mengajar di sebelah malam” Jelas lelaki bersongkok hitam itu. “Kalau Dahlia dan mak cik tak boleh datang sebelah pagi sebab berniaga, Dahlia dengan mak cik boleh datang sebelah malam”
            Aku masih memandang kertas di tangan. Kertas yang sama, yang diserahkan oleh Fatanah padaku malam semalam. Dan aku masih tidak ada jawapan untuk tawaran yang sememangnya menarik itu.
            “Macam mana, Dahlia? Mak rasa bagus ni” emak cuba mendapatkan pandanganku, atau mungkin juga emak sekadar mahu aku bersuara agar suasana tidak kelihatan berbeza seperti selalunya. Kebiasaannya, aku lebih banyak membuka mulut, berbicara dengan Ustaz Huzaifah. Tapi hari ini, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya. Aku seperti dapat membaca hati emak.
            “Memang bagus ni, mak” aku menyokong kata-kata emak yang sememangnya benar. “Insya’Allah ustaz, saya dengan emak saya akan ikut serta. Terima kasihlah ustaz” Kalau diikutkan, memang berat rasanya untuk ikut serta dalam program yang dianjurkan itu. Tapi untuk kali ini, biarlah aku mulai semuanya. Segalanya aku niatkan kerana Allah SWT. Andai aku benar-benar akan turut serta, itu semuanya hanyalah kerana Allah SWT, bukan lagi kerana Ustaz Huzaifah.
            “Alhamdulillah” Ustaz Huzaifah mengucapkan syukur.
            “Astagfirullahalazim” emak tiba-tiba beristigfar panjang, membuatkan aku cemas.
            “Kenapa mak?” soalku
            “Beg mak tertinggal kat surau” emak mengemukakan alasan. Tersenyum aku mendengarnya. Emak memang selalu begitu. Memanjang lupa akan barang-barangnya.
            “Tak apalah, biar Dahlia ambilkan. Mak tunggu sini” aku mula membuka langkah sebaik sahaja selesai berbicara. Namun emak lebih pantas menahan aku daripada terus berlalu dari situ.
            “Biar mak yang ambil sendiri. Kamu tunggu sini” Emak tidak mengizinkan aku mendapatkan begnya itu.
            “Emak…” panggilan daripadaku tidak lagi emak hiraukan. Emak melangkah pantas menuju ke pintu pagar surau yang tadi sudah ditinggalkannya.
            Aku jadi tidak selesa dengan tiba-tiba. Berdua dengan ustaz di situ membuatkan hatiku mula tidak senang. Padahal selalunya tidak pernahpun begitu. Tapi sejak emak memberikan kesedaran tentang siapa aku, dan sejak kembalinya Fatanah di kampung ini, semuanya terasa berubah dengan pantas. Aku tiba-tiba menjadi sudah tidak betah untuk berhadapan dengan Ustaz Huzaifah. Diri ini terasa begitu kerdil di hadapan lelaki itu.
            “Dahlia… maaf kalau pertanyaan saya ni menyinggung perasaan Dahlia. Tapi saya nak tahu, kenapa sejak akhir-akhir ni Dahlia nampak macam tak selesa bila berjumpa dengan saya? Dah dekat seminggu Dahlia tak hantar nasi lemak untuk saya, kenapa?”
            Soalan yang diajukan oleh Ustaz Huzaifah terasa seperti mengikat lidahku untuk bersuara. Aku tidak tahu apa jawapan yang harus aku berikan untuk membalas pertanyaan itu. Yang pastinya, kini aku sudah terjerat dengan semua yang aku lakukan sendiri.
“Mana ada, ustaz. Tak selesa kenapa pula? Perasaan ustaz aje tu” cepat-cepat aku sangkal semua dakwaan itu. “Pasal nasi lemak pula, saya minta maaflah ustaz, minggu lepas banyak sangat kerja, sampai lupa nasi lemak ustaz” aku ketawa kecil, menutup galau di hati.
            “Ye ke?…. tapi kenapa…” Ustaz Huzaifah mahu meneruskan kata.
            “Err... ustaz, boleh saya tanya satu soalan?” segera aku ubah topik. Tidak mahu isu itu terus dibangkitkan.
“Boleh, tanyalah” terus mati pertanyaan balas yang ingin diajukannya sebentar tadi.
            Aku pula terdiam sudahnya. Sebenarnya, tidak ada soalan yang hendak aku ajukan. Sengaja aku berkata begitu. Walau bagaimanapun, aku tahu, aku harus bertanya.
            “Apa dia?” kembali Ustaz Huzaifah bertanya, mungkin terlalu lama menunggu soalan daripadaku.
            “Betul ke, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik?” tiba-tiba pula soalan itu yang terkeluar dari bibirku. Tersenyum lelaki itu mendengar soalan yang mungkin kelihatan mudah padanya namun masih aku gagal menjawabnya.
            “Surah Annur, ayat 26. Dahlia cari terjemahannya, Dahlia pasti jumpa jawapannya”  Yakin Ustaz Huzaifah dengan jawapan yang diberikannya. Membuatkan aku merasakan kebenaran semuanya walau belum sempat aku melihat terjemahan seperti yang disarankannya. Jika memang benar begitu, sudah nyata-nyata Ustaz Huzaifah yang baik itu hanya untuk Fatanah, dan Fatanah yang cantik akhlaknya itu, tercipta istimewa buat Ustaz Huzaifah…

Keputusan di tangan Anda. Anda mempunyai kuasa untuk menentukan kesinambungan dan pengakhiran kisah ini. Apa lagi, AH mulakan, anda sudahkan..... Jom Menulis :)

8 comments:

mila said...

intro yg menarik tp sy x pandai tulis cerpen, pandai baca je.... sy tnggu hasil nye, sebagai sokongan..

yaya said...

Kenapa sy rasa cerita di atas sgt ada kena mengena dgn kisah hidup sy.. Dan pengakhirannya sy pasrah.. Sy rasa sgt kerdil pd waktu tu..sbb sy bukan ustazah..

hani said...

tak pandai nk sambung... tp nk ustaz kahwin nga dahlia...biar dia bimbing dahlia....

hana faizul said...

mm.. AH... hana baca pandai.. nk smbung kureng kepandaian... follow dr jauh yek...

Miss Nurul said...

hhmmm...dah syok bace dari mula.. kena sambung pulak. saya x pandai nak reka cerita2 ni.. just baca je la.. hehheehe
uztaz tu kalau dgn dahlia n bimbing dahlia sedikit demi sedikit mst menaik jln ceritanya.

adriana maisarah said...

Setuju dgn Yaya... Watak Dahlia tu memang sama dgn kisah hidup saya dan penutup nyer Lelaki baik hanya untuk perempuan baik

Salina Azni said...

Setakat bg idea blh, ler... lelaki baik untuk perempuan yg baik... betul tapi kalau perempuan tu berusaha ke arah yg baik, dia memerlukan lelaki yg baik utk memberi tunjuk ajar...

miss independent said...

Assalamulaikum kak AH :)
Berminat jugak nak sertai pertandingan ni. hikhik.
Nak tanya kak, perlu tak salin/type semula permulaan yang akak bagi ni? Atau just simply, sambung dengan ayat baru?
Mungkin saya tak perasan kut, tapi, kat syarat tak stated pulak kena ke tak.
Sorry akak! And thank you! ;)

Post a Comment