Monday, January 2, 2012

Ada Di Hati - Bab 43


BAB EMPAT PULUH TIGA
            Zafril membelok keretanya memasuki kawasan stesyen minyak Petronas. Aku yang hanya memerhati keluar tingkap sejak tadi, kini mengerling memandang meter minyak yang terdapat di dalam kereta itu. Pagi tadi dalam perjalanan kami ke Hotel Hilton, dia telah pun mengisi penuh minyak keretanya. Jadi tidak mungkin minyak keretanya telah habis dengan perjalanan yang tidak sejauh mana ini. Malas pula aku ingin bertanya tujuan dia memasuki kawasan pam minyak, jadi aku hanya mendiamkan diri.
            Zafril memberhentikan keretanya di hadapan kedai serbaneka di stesyen minyak itu. Kali ini juga aku masih mendiamkan diri lebih-lebih lagi apabila dia terus keluar dari kereta sesudah memberhentikan keretanya tanpa memaklumkan apa-apa pun padaku.
            Enjin kereta yang tidak dimatikan itu membolehkanku menekan butang kawalan bagi menurunkan cermin kereta di bahagian penumpang hadapan. Bahang di dalam kereta itu mula terasa mencengkam deria rasaku walaupun penghawa dingin kuat terpasang. Sambil menunggu Zafril tiba, aku membuka fail-fail yang berada di pangkuanku dan meneliti risalah-risalah yang kuterima sewaktu menghadiri persidangan perniagaan teknologi anjuran Kementerian Teknologi dan Komunikasi.
            Tiada satu pun risalah-risalah itu yang dapat menarik minatku untuk membaca isi kandungan di dalamnya. Sama seperti ketika berlansungnya persidangan itu dari awal pagi tadi hingga ke petang ini, tiada satu pun topik yang dibincangkan yang dapat menarik minatku untuk menghayati info-info yang diberikan. Setiap kata yang diluahkan oleh panel penceramah dan ahli perniagaan yang diundang umpama masuk telinga kanan lalu keluar telinga kiriku pula. Sepanjang persidangan berlangsung aku hanya duduk umpama patung cendana di sebelah Zafril yang begitu asyik dengan topik-topik yang dibangkitkan. Terfikir  juga, apa kaitannya aku dengan persidangan itu?
            Sewaktu Zafril mengarahku mengikutnya menghadiri persidangan itu, aku sendiri tertanya-tanya apa perlunya dan apa pentingnya untuk aku menghadiri persidangan itu? Tiada apa-apa manfaat pun yang akan aku perolehi daripada persidangan itu buat diriku mahu pun bidang tugasku. Tapi Zafril tetap bermati-matian agar aku harus turut serta. Untuk tidak memanjangkan cerita aku menurut juga arahan bosku itu walaupun aku dapat rasakan yang aku akan berasa bosan sepanjang persidangan itu berlangsung. Dan ternyata itulah yang aku rasakan sepanjang hari ini. Hari yang berlalu sia-sia sahaja bagiku.
            Melihat kelibat Zafril melintas di hadapan kereta ini membuatkan aku segera memasukkan semula semua risalah itu ke dalam fail. Waktu pejabat telah lama habis tapi aku meminta Zafril menghantarku ke pejabat semula. Aku harus mengambil beg kerjaku dan aku ingin pulang ke rumah dengan memandu keretaku sendiri. Aku tidak mahu dia menghantarku pulang ke rumah seperti dahulu, dan aku juga tidak rasa yang dia akan menghantarku pulang.
            “Kenapa buka tingkap? Kan dah pasang aircond ini?” Zafril melahirkan rasa tidak puas hatinya sebaik sahaja menaiki kereta.
            Aku segera menekan butang kawalan untuk menaikkan semula cermin tingkap itu. Malas aku mahu memberikan alasan atas tindakanku itu.
            “Nah,” Zafril menghulurkan beg plastik kepadaku.
            Aku hanya memandang plastik itu dan Zafril silih berganti. “Nak buat apa?” Satu-satunya plastik bungkusan yang dibawa keluar oleh Zafril dari kedai serbaneka itu tidak kusambut. Aku biarkan sahaja beg plastik itu terus berada di tangannya.
            “Makanlah.”
            Berkerut dahiku mendengar kata Zafril yang lebih berbentuk arahan itu. Kenapa harus aku yang memakan makanan itu sedangkan bukan aku yang memintanya untuk membelikan makanan itu untukku. Jadi aku hanya mengelengkan kepala, tidak mahu menurut arahannya yang entah apa-apa itu.
            Zafril merengus kasar. “Dari pagi tadi tak ada setitik air dan satu makanan pun masuk dalam perut awak tukan. Masa kat hotel tadi sarapan pagi awak tak usik, minum petang tak jamah, makan tengahari tak payah ceritalah, pandang pun tak nak. Saya ajak makan sebelum balik ni pun awak tak nak. Kenapa liat sangat nak makan hari ni?” Bebel Zafril apabila aku masih lagi enggan menyambut beg plastik itu.
            “Saya tak lapar.” Jawabku. Memang aku tidak lapar dan lebih daripada itu, aku tiada selera untuk menjamu selera kebelakang ini. Begitu juga dengan hari ini, lebih-lebih lagi apabila di hadapannya.
            “Nak tunggu masuk hospital dulu baru lapar agaknyakan!” marahnya apabila aku masih berdegil.
            Kini aku pula yang merengus kasar. Desakannya itu menyakitkan hatiku. Bukan aku sengaja tidak mahu menjamu selera tapi memang aku tiada selera. Bukan aku sengaja mencipta alasan-alasan itu.
            “Dah jangan nak mengada-ngada. Makan.” Zafril mengapai lenganku dan meletakkan beg plastik itu di tanganku. Apabila bungkusan itu bertukar tangan barulah Zafril memandu keretanya semula memasuki jalan raya menuju ke pejabat.
            Dengan rasa berat hati aku membuka juga plastik itu. Botol berisi ice lemon tea itu aku capai dan cuba untuk membuka penutupnya. Puas aku mencuba membuka penutup botol itu tapi tidak berjaya. Aku cuba sekali lagi tapi botol itu terlalu ketat untuk dibuka. aku mengeluh malas, geram pula apabila setiap kali cubaanku itu tidak berjaya. Apabila aku ingin mencuba buat kali yang entah ke berapa, tiba-tiba tangan Zafril mencapai botol yang berada di tanganku dan dengan mudah sahaja dia membuka penutup botol itu sambil tangannya turut mengawal stereng kereta.
            “Tak makan dari pagi, mana nak ada tenaga.” Perli Zafril sambil menyerahkan botol yang sudah dibuka penutup itu semula padaku.
            Aku sengaja tidak mahu mengambil peduli dengan perlian Zafril itu. Aku mula meneguk air yang sudah pun berada di tanganku. Pau yang masih panas di dalam plastik itu kuambil dan kujamah sedikit. Susah benar untukku menelan pau itu. aku benar-benar tiada selera hari ini.
            “Habiskan semua pau tu.”
            Arahan baru yang dikeluarkan Zafril itu menimbulkan rasa marahku. Ada empat biji pau di dalam plastik ini. Bagaimana aku mahu menghabiskan kesemua pau-pau ini seorang diri. Tidak logik langsung. Jangan harap aku akan menurut arahannya. Pau yang berada di dalam tanganku ini pun belum tentu aku dapat habiskan inikan pula keempat-empat pau ini. Jangan mimpi.
            “Tak payah nak muncung-muncung. Panjang mana sekalipun muncung tu, awak tetap kena habiskan juga semua pau-pau tu.”
            Hampir sahaja pau berada di tanganku ini kuramas kerana geram dengannya. Entah kenapa dengan lelaki itu, membebel tidak sudah-sudah sejak keluar dari kedai serbaneka tadi. Sejak aku bekerja semula dengan lelaki itu tidak pernah-pernah dia membebel sebegini, kenapa petang ini panjang pula bebelannya. Selalunya sukar benar diriku untuk mendengar suaranya, seperti tersimpan emas pula mulutnya.
            Dengan tiada rasa minat untuk membalas setiap kata-kata lelaki itu, aku mengunyah perlahan setiap suapan pau itu dan berusaha sehabis daya untuk menelan pau itu. Dan akhirnya berjaya juga aku menghabiskan pau yang berada ditanganku. Pau yang selebihnya yang berada di dalam plastik itu aku biarkan sahaja. Dia yang membeli pau itu jadi dialah yang perlu menghabiskannya, bukan aku.
            Sebaik sahaja Zafril memasuki basement wisma ini dan meletakkan kenderaannya di parking lot, aku segera membuka tali pinggang keledar dan meletakkan plastik yang masih dipenuhi dengan pau-pau itu di atas dashboard.
            “Kenapa tak habiskan?”
            Aku yang baru sahaja ingin membuka pintu kereta, mematikan niatku dan memandangnya sekilas. “Tak nak.” Aku berpaling semula untuk membuka pintu.
            “Apa masalah awak ni?” Bentak Zafril tiba-tiba.
            Niatku untuk membuka pintu kereta itu terbantut sekali lagi. Aku berpaling memandang Zafril yang sudah pun merenungku tajam dengan rasa marah yang terpancar di wajahnya.
            “Masalah apa pula?” aku cuba untuk memahami soalan yang diajukan padaku itu.
            “Apa yang awak tak puas hati dengan saya? Cuba cakap terus terang.”
            Aku makin serabut mendengar setiap bait kata lelaki itu. “Bila masa pula Safi tak puas hati dengan Zaf?” Kini soalan itu pula aku ajukan padanya. Dia merenung tajam diriku dan aku turut membalas renungannya. Aku benar-benar tidak tahu mengapa tiba-tiba sahaja dia boleh semarah itu denganku.
            “Habis tu kenapa sepanjang minggu ni awak diam je. Sepatah saya tanya sepatah awak jawab. Kalau tak puas hati cakap terus terang, tak payah nak buat perangai budak-budak.” Marahnya lagi.
            Aku mengetapkan bibir, memang aku sengaja mendiamkan diri sepanjang minggu ini. Tidak seperti sewaktu aku mula-mula bekerja semula di sini, setiap saat yang ada pasti aku cuba untuk menarik minatnya  berbicara dan mendekatiku. Namun semenjak Shania membawa berita tentang niat Kak Anni, aku jadi tidak menentu. Setiap kali aku ingin merapati lelaki itu, bayangan Ezlin menjelma di mataku. Setiap kali aku cuba berbicara dengannya, gelak ketawa antara dirinya dan Ezlin pasti mencuit hatiku. Jadi aku berpendapat lebih baik aku mendiamkan diri seketika, meredakan hatiku yang gundah.
            “Tengok tu bila tanya diam, diam, diam. Cuba jujur dengan diri sendiri, luahkan aje apa yang awak rasa dalam hati tu. Tak payah nak jadi manusia hipokrit!”
            Hipokrit? Aku cuba menenangkan hatiku sendiri. Geram apabila dituduh sebegitu oleh Zafril. Baik, kali ini aku tidak akan menyembunyikan perasaanku lagi. Aku akan berterus terang jika itu yang dia mahukan.
            “Siapa Ezlin?”
            “What?” Soal Zafril yang seolah-olah tidak percaya dengan soalan yang aku ajukan.
            Dan aku tahu dia sengaja pura-pura tidak faham. “Apa sebenarnya hubungan Zaf dengan Ezlin?”
            Terlepas ketawa Zafril sebaik sahaja selesai aku mengajukan soalan padanya. Sakit hatiku mendengar tawanya. Tadi dia juga yang memintaku berterus terang jadi mengapa pula sekarang dia boleh tertawa sebegitu? Salahkah pertanyaanku itu? Memang itu apa yang aku fikirkan selama ini. Salahkah andai aku ingin mengetahui kebenarannya?
            “Apa pun hubungan kita orang, apa kena menggena dengan awak pula?” Balas Zafril setelah berhenti dari tawanya. Kini wajahnya kembali serius seperti awal tadi. “Cemburu ke?” sambung lelaki itu lagi.
            Sudah pasti aku cemburu. Masakan aku tidak cemburu melihat lelaki yang aku cintai berdampingan dengan wanita lain.
            “You’re not my girl anymore. Awak yang putuskan hubungan kita dulu, tak ingat? Jadi awak tak ada hak nak cemburu!” tegas Zafril bersungguh-sungguh.
            Aku tahu dan aku masih ingat dengan jelas bahawa aku yang memusnahkan hubungan kami dan oleh kerana itu memang benar kata-kata Zafril aku tidak ada hak untuk cemburu. Tapi tahukah dia mengapa aku mengambil keputusan sedrastik itu pada waktu itu? Aku juga tersepit dan dihimpit ketika itu. Air mata seakan-akan mahu mengalir tapi aku cuba bertahan sehabis daya. Kata-katanya itu langsung tiada balasan dariku.
            “Semua tu urusan peribadi saya. Awak tak layak nak masuk campur.”
            Tersentak aku mendengar kata-kata itu. Air mata sudah tidak dapat kubendung lagi. Lantas aku segera berpaling dan membuka pintu kereta dan terus keluar dari kereta itu. Air mata yang tiada henti menitis kuseka dengan jemariku. Dengan langkah laju aku menjauhi keretanya. Terdengar sayup-sayup suara Zafril memanggil-manggil namaku bertalu-talu, namun langsung tidak aku endahkan. Aku terus memasuki lif yang akan membawaku ke tingkat atas bangunan. Aku bersandar di dinding lif cuba menenangkan hati sendiri. Menyesal pula aku membangkitkan hal Ezlin sebentar tadi, jika tidak pasti aku tidak terluka begini.
            “Hoi, apa langgar-langgar ni? Buta ke?”
            Suara Fazura yang memarahikku sewaktu aku keluar dari perut lif lalu berlaga bahu dengannya itu tidak aku endahkan. Aku ingin segera ke mejaku untuk mengambil beg milikku. Aku ingin segera pulang ke rumah. Aku ingin menenangkan diri.
            Sapaan beberapa rakan sepejabat yang masih lagi meneruskan kerja walaupun senja sudah pun menjelang hanya kubalas dengan senyuman sahaja. Setelah mengambil semua barangku aku bergegas ke ruang lobi lif dan menaiki lif semula. Aku tidak mahu terserempak dengan Zafril yang pastinya sedang naik ke pejabat waktu ini. Cukuplah kata-kata yang terluah dari lelaki itu dalam kereta tadi. Aku tidak mahu mendengar apa-apa lagi yang boleh menguris hatiku.
            Keluar sahaja dari perut lif aku melangkah laju menuju ke keretaku. Aku mencari kunci kereta yang berada di dalam tas tanganku, namun aku tidak menjumpainya. Puas aku selongkar setiap sudut  beg itu namun tidak ketemu. Aku menghentikan langkah. Ruang basement di waktu-waktu senja begini meremangkanku. Rasa seram yang mula memincing seluruh bulu romaku menyebabkan aku kalut seketika.
            Aku menarik nafas lega apabila menjumpai kunci kereta yang terselit di bawah dompetku. Dengan nafas lega aku mengeluarkan kunci itu dan mula mengatur langkah. Namun belum sempat aku menapak bunyi deruman kereta membingitkan telingaku, pantas aku berpaling memandang sebuah kereta yang sedang laju menuju ke arahku. Jantungku mula berdegup kencang. Tidak semena-mena namaku dijerit kuat dari belakang dan tanganku disentap kasar dan menyebabkan aku tersungkur ke belakang dan terduduk lemah. Aku menghela nafas laju, kepalaku yang terhantuk di lantai berpinar seketika.
            “Safi! Safi okay kan?” Zafril mengoyang-goyang bahuku berkali-kali.
            Aku memandang Zafril di hadapanku namun pandanganku masih berpinar-pinar. Kini Fazura pula yang menghampiriku.
            “Safi kau tak apa-apa kan?” Soal Fazura cemas.
            Zafril pantas menepis tangan Fazura yang cuba menyentuhku. “You ni kenapa, bawa kereta macam orang gila kat parking lot macam ni. You tak ada otak ke?”
            “I... I... tak sengaja...”
            “Tak sengaja? Hei, nasib baik I sempat tarik safi tadi tahu tak. Kalu tidak tak tahulah apa yang jadi. You ni memang sengaja nak cari pasal dengan I. Baik you blah sekarang.” Marah Zafril kian meluap-luap.
            Zafril memandangku semula apabila Fazura sudah berlalu pergi.
            “Safi jangan takutkan Zaf. Safi okay tak ni?” Sekali lagi Zafril mengoncang kuat bahuku.
            Dan kali ini barulah wajah Zafril jelas terlayar di mataku. Sebaik sahaja melihat Zafril air mataku mula menitis, terbayang semula saat-saat cemas aku hampir-hampir dilanggar tadi. Rasa takut mula menghantuiku, tubuhku mula menggigil.
            “Safi ada rasa sakit kat mana-mana ke? Atau luka kat mana-mana?”
            Aku mengeleng kepala. Memang aku tidak mengalami apa-apa kecederaan. Tapi semangatku seolah-olah hilang entah ke mana. Bunyi pecutan kereta masih lagi bermain di telingaku, bayangan kereta yang laju itu juga masih bermain di mindaku. Air mataku menitis lebih deras dari tadi.
            “Syhh... Jangan nangis, Zaf ada kat sini.” Zafril cuba meredakan rasa takutku. “Jom Zaf hantar Safi balik, okay.”
            Aku hanya menurut kata-kata Zafril saat ini. aku tahu aku sudah tidak dapat memandu kereta di dalam keadaanku sebegini. Jadi adalah lebih baik aku mengikut katanya. Saat ini mendengar bunyi deruman enjin sahaja sudah boleh mengegarkan tangkai jantungku dan mengimbau saat-saat cemas sebentar tadi.
            Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri begitu juga dengan zafril. Aku hanya memandang ke luar tingkap sepanjang perjalanan. Aku tahu Zafril acapkali memandang ke arahku mungkin risau dengan keadaanku saat ini. Namun aku tidak menghiraukan pandangannya itu. Bunyi hon yang tiba-tiba berbunyi dari arah belakang kereta Zafril mengejutkanku. Aku pantas memeluk erat tubuhku sendiri dan memejamkan mata. Bayangan kereta Fazura yang laju dan silauan lampu yang memancar ke mataku menjelma semula di ingatanku dan menyebabkan tubuhku bergetar sekali lagi. Rasa seram sejuk terbit semula di jiwa.
            “Safi, okay ke?” Sapa Zafril.
            Dengan mata yang masih terpejam aku menganggukkan kepala. Perlahan-lahan aku melepaskan semula pelukan pada tubuhku. Aku tidak mahu merisaukan lelaki itu kerana aku tahu pasti di saat ini dia amat merisaukan keadaanku. Aku menarik dan menghembuskan nafas berkali-kali. Cuba untuk melegakan perasaanku. Mujur Zafril sempat menarikku sebentar tadi, jika tidak aku sendiri tidak aku sendiri tidak tahu apalah agaknya nasibku di saat ini. Aku benar-benar bersyukur ke hadrat Illahi kerana aku terselamat dari sebarang kecelakaan sebentar tadi.

SHANIA yang tersenyum-senyum sedari tadi di atas katil membuatkanku mula merapati dirinya dan duduk bertentangan dengannya. Tudung yang sudah kemas di kepala aku betulkan sekali lagi.
            “Dah berapa lama akak tak keluar dating dengan Abang Add?” Soal Shania yang masih lagi dengan senyuman memanjang. Aku tahu dia mahu mengusikku.
            “Kalau akak tak pergi, boleh tak?” Soalan Shania tadi tidak aku hiraukan. Kini soalan itu pula yang aku ajukan padanya. Membulat mata Shania mendengar soalanku.
            “Ish, akak ni biar betul. Dah sejam Abang Add tunggu akak kat luar tu tau. Tiba-tiba akak cakap tak nak pergi pula. Nanti frust menongeng pula kawan tu.”
            Aku tahu sudah sejam Zafril menungguku bersiap. Tidak patut jika pada ketika ini barulah aku tidak mahu mengikutnya keluar, sedangkan sedari tadi dia menantiku bersiap. Sebenarnya sengaja aku bersiap lambat-lambat kerana mahu mencari alasan yang baik supaya tidak keluar berdua dengan Zafril hari ini.
            Bukan Zafril masalahnya, cuma aku tidak mahu berada di luar rumah. Rasa gementar dan fobia masih lagi mengusai hati dan diriku. Bayangan aku hampir dilanggar dua hari lalu masih bermain di mindaku. Aku takut untuk melangkah keluar.
            “Dah, jangan nak banyak alasan. Jom.” Shania menarik tanganku dan membawaku keluar dari bilik dan sekaligus berjumpa dengan Zafril yang masih lagi setia menanti di luar rumah sewaku ini.
            “Dah siap?” Zafril yang tadinya bersandar pada dinding hadapan rumahku pantas mendapatkanku yang sudah keluar dari rumah. Aku hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.
            “Nia jaga rumah ye.” Pesan Zafril.
            “Yelah tahulah Nia jadi guard hari ni.” Jeling Shania sambil mencebikkan bibir.
            Aku hanya tersenyum dan Zafril tertawa besar mendengar kata-kata Shania itu. Kesian Shania tidak pasal-pasal kena tinggal sendirian hari ini. Sebaik sahaja Zafril menghantarku pulang dari pejabat dua hari lalu sewaktu aku hampir-hampir dilanggar, pada malam yang sama juga Zafril menghubungi Shania agar dapat menemani aku di rumah. Zafril tahu aku masih lagi dalam keadaan terkejut dan mahu Shania menemaniku. Masuk hari ini sudah dua hari dia bermalam di rumah sewaku ini. Nasib baik dia sudi menemaniku, jika tidak pasti dua hari ini aku berada di dalam kegelisahan bersendirian di dalam rumah ini. Fitri pula sudah setengah tahun mendirikan rumah tangga dan kini hanya aku sahaja yang menyewa rumah ini.
            Sebaik sahaja kakiku menginjak ke tempat letak kereta  lututku terasa bergetar tiba-tiba. Aku merapatkan diri pada Zafril, berjalan beriringan dengannya menuju ke keretanya yang diletakkan di hujung kawasan parking ini. Aku merengus kasar, terdapat banyak tempat meletak kenderaan berhampiran lobi lif pangsapuri itu tetapi mengapa dia meletakkan kereta sejauh ini? Aku cuba melajukan langkah namun langkah Zafril yang perlahan menyebabkan aku memerlahankan langkah kakiku juga. Aku tidak berani untuk berjalan berjauhan dari lelaki itu.
            Sebaik sahaja dia menekan alat kawalan jauh keretanya aku serta merta masuk ke dalam kereta lelaki itu. Aku menarik nafas lega apabila sudah berada di dalam kereta. Sewaktu Zafril menghidupkan enjin keretanya, aku mengenggam kuat kedua-dua belah tanganku, cuba mengawal rasa terkejut mendengar deruman enjin kereta itu.
            “Kenapa?” Tanya Zafril sejurus mendengar aku menghembuskan nafas lega sebaik sahaja keretanya sudah menyelusuri jalan raya.
            Aku tersenyum kelat dan mengeleng. Tidak mahu berkongsi rasa dengan zafril tika ini. “Nak ke mana ni?”
            “Safi nak ke mana?” Zafril mengajukan soalan itu semula padaku.
            “Entah” Tiada satu pun buah fikiran yang ada saat ini. Dan aku sememangnya tidak mahu memikirkan hal-hal lain. Apa yang aku tahu kini aku mahu mengawal rasa takut yang semakin menghimpit perasaan.
            “Kalau macam tu kita pergi Tasik Perdana, okay?”
            “Nak buat apa kat sana?” aku seakan tidak percaya dengan cadangan yang Zafril keluarkan.
            “Jalan-jalan.” Jawab Zafril dengan senyuman memanjang.
            Sepanjang perjalanan menuju ke Tasik Perdana itu, Zafril asyik tersenyum memanjang. Aku pula makin keliru mengapa tiba-tiba pula ke tasik destinasi Zafril petang ini. Malas mahu bertanya lanjut, aku ikutkan sahaja cadangan Zafril itu. Setelah meletakkan kereta di tempat yang disediakan aku mengekori langkah Zafril yang menghala ke arah trek jogging yang bersebelahan dengan jalan raya dua hala.
            “Zaf kita masuk taman ye?” Aku cuba menyeret Zafril berjalan-jalan di dalam taman itu  tidak mahu berjalan-jalan di trek ini tambahan pula bersebelahan jalan raya yang sentiasa dipenuhi dengan kenderaan yang laju menuju ke destinasi masing-masing. Aku tidak mahu dan tidak boleh berjalan-jalan di trek itu dengan ditemani bunyi enjin kereta yang lalu lalang.
            “Tak mahulah.” Zafril menolak lembut permintaanku. Dia meneruskan langkahnya di atas trek itu.
            Hendak atau tidak aku terpaksa juga menurut katanya. Aku mengeluh berat. Bunyi kereta yang lalu lalang di sebelahku yang tiada henti melemahkan lututku untuk terus melangkah. Jantungku berdegup laju apabila terasa angin yang datang menerpa padaku apabila ada kereta yang dipandu laju melebihi had laju yang di tetapkan di taman-taman sebegini. Tangan yang berada di dalam poket seluar jeansku kugenggam kuat. Desingan angin setiap kali ada kereta yang lalu di sebelahku membuatkan telingaku berdegung kuat. Bunyi hon yang kuat di belakangku disertakan dengan pecutan kereta laju menyebabkan aku menghentikan langkah kaki. Nafasku menderu laju, darah terasa seperti naik ke muka. Air liur kutelan berkali-kali. Aku benar-benar rasa takut kini.
            “Safi...”
            Zafril yang sudah pun berada di depanku ku tarik ke tepi menjauhi trek sekaligus jalan raya yang tidak pernah sunyi dengan kereta. Aku membawa Zafril menghampiri tebing tasik yang luas itu. “ Zaf, jom balik. Safi... Safi...” aku tidak dapat menghabiskan kata. Mataku masih melilau memandang kereta yang lalu lalang tanpa henti.
            “Safi, Zaf tahu Safi takut. Tapi Safi tak boleh terus macam ni. Safi kena lawan rasa takut Safi tu.” Zafril cuba membina relung keyakinan di dalam hatiku.
            “Zaf, Safi tak boleh.” Rintihku, mengharapkan pengertian dariku. Aku tidak mahu terus berada di sini.
            “Safi, dah dua hari Safi duduk terperuk dalam rumah tu. Shania ajak keluar pun Safi tak nak. Macam-macam alasan Safi bagi kat dia. Tapi Zaf tahu yang sebenarnya Safi takut nak keluar rumah. Safi masih terkejut dan terbayang-bayang dengan insiden tukan. Safi kena lawan perasan tu. Pulihkan balik semangat Safi yang dah hilang tu. Sebab tu Zaf bawa Safi ke sini.”
            Aku tertunduk, memang aku sengaja memberi pelbagai alasan pada Shania setiap kali Shania mengajakku keluar. Dalam dua hari ini aku hanya duduk di rumah sambil ditemani Shania dan panggilan telefon dari Zafril setiap malam. Aku benar-benar dihantui dengan kejadian itu. Aku benar-benar takut.
            “Safi kena lawan perasaan tu. Zaf akan tolong Safi lawan perasaan tu. Dah, jom.”
            Zafril melangkah dan aku menurut sahaja.
            “Jangan fikirkan apa-apa. Beristigfar banyak-banyak dan buat macam biasa.” Nasihat Zafril lagi.
            Aku menarik nafas dalam-dalam dan beristigfar berulang kali. Aku cuba berlagak biasa dan melupakan kejadian di basement. Zafril bijak memainkan peranan untuk membantuku. Ada sahaja kisah yang dikongsi bersama-samaku. Kebanyakkan kisah-kisah itu diselitkan dengan jenaka yang membuatkan aku tertawa senang dan melupakan seketika kejadian yang menimpa diriku. Sedar-sedar sahaja kami telah jauh meninggalkan jalan raya dua hala itu.
            “Safi nak air? Buah?”
            Aku menghalakan padanagan pada gerai yang terdapat di dalam taman itu yang menjual air dan makanan ringan untuk pengunjung taman itu. “Boleh juga.”
            “Okay, Safi tunggu zaf kat bangku tu, nanti Zaf datang.”
            Aku mengangguk dan mendapatkan bangku yang berada berhadapan tasik itu sementara Zafril mengunjungi gerai buah-buahan. Aku membuang pandanganku ke tengah sakit. Terdapat beberapa anak muda sedang berkayak di tengah tasik dengan tawa riang.
            “Nah,” Zafril menyerahkan secawan air tebu dan sebungkus jambu untukku.
            Aku bergerak ke tepi memberi ruang untuk Zafril duduk di sisiku. Lega rasa tekaku apabila air tebu yang dingin itu melewati rongga tekakku.
            “Terima kasih.” Ucapku tulus.
            “Untuk?”
            “Sebab selamatkan Safi hari itu dan cuba untuk menceriakan kembali hidup Safi.”
            Zafril tersenyum dan membuang pandangan ke tengah tasik. “Zaf tak suka tengok Safi muram dan tak bersemangat.”
            Aku tersenyum senang bukan sahaja kerana kata-kata yang terluah dari bibir Zafril tapi lebih kerana sekarang Zafril tidak lagi menggunakan kata ganti nama diri saya dan awak denganku. Ini menunjukkan dia tidak lagi memarahiku seperti dahulu.
            “Susahkan Zaf jekan.”
            “Untuk Safi seribu kali susah pun Zaf sanggup.” Luahnya.
            Aku gembira kerana dapat mendengar sekali lagi ayat yang sentiasa diucapkannya padaku dahulu. “Zaf...” Belum sempat aku berkata telefon bimbit Zafril menjerit lantang minta diangkat. Zafril menyelok poket seluarnya dan melihat nama pemanggil. Aku sempat mengerling memandang nama yang tertera. Senyuman gembiraku sebentar tadi terpadam apabila melihat nama Ezlin yang tertera. Zafril pula segera mematikan telefon bimbitnya apabila telefon itu berhenti berdering.
            “Safi nak tanya Zaf apa tadi?” Zafril mula menumpukan perhatiaannya semula padaku.
            “Er...” aku tidak dapat meneruskan kata. Aku sendiri terlupa apa yang hendak aku tanyakan sebaik sahaja ternampak nama Ezlin sebentar tadi.
            “Apa?”
            Aku ketawa kecil. “Sorrylah Zaf, Safi dah lupa apa yang Safi nak tanya tadi.”
            Dia juga turut tertawa. “Boleh pula macam tu.” Balasnya dalam nada yang masih ceria.
            Kemudian kami sama-sama memandang ke tengah tasik.
            “Safi dah okay ke ni?” Soal Zafril tiba-tiba.
            “Alhamdulillah okaylah sikit rasanya.”
            “Alhamdulillah baguslah kalau macam tu. Insiden tu mesti jadi kenangan pahit dalam hidup Safikan.”
            Aku hanya menganggukkan kepala. Aku benar-benar takut jika membayangkan semula kejadian itu.
            “Susah kita nak lupakan kenangan pahit ni.” Gumam Zafril perlahan namun masih jelas di pendengaranku.
            Aku hanya mengiakan dalam diam. Sesiapa sahaja pasti akan payah untuk melupakan kenangan yang pahit dalam hidupnya. Namun ianya tetap harus dilupakan agar tidak membelengu hidup.
            “Apa kenangan terpahit dalam hidup Zaf?” entah kenapa soalan itu pula yang aku ajukan padanya. Namun aku tiada niat lain aku hanya ingin berbual kosong dengannya.
            “Sakit.”
            “Sakit?” Soalku tidak faham apabila dia hanya menggunakan sepatah perkataan sahaja untuk mengambarkan kenangan pahitnya itu.
            Dia melemparkan pandangan ke tasik semula sebelum memulakan kata. “Sakit. Sakit hati, bila orang yang Zaf sayang tak percaya dan meragui cinta Zaf.”
            Bibirku terus terkunci rapat. Lidah terus kelu untuk dialunkan. Panahan kata-katanya itu terus menusuk ke hatiku. Itukah kenangan terpahit dalam hidupnya? Dan aku adalah punca kenangan pahitnya itu? Aku terus terdiam dan melemparkan pandangan pada tasik yang pada pandanganku kini sedang berkocak hebat sehebat kocakan jiwaku. Aku tahu, rasa yang aku bawa itu tidak mungkin mudah dipadam begitu saja. Tapi aku berharap Zafril tidak terlalu menyimpan rasa tentang hal itu. Kalaupun kini aku bukan lagi menjadi pilihan hatinya, setidak-tidaknya, aku tidak mahu dia terus meletakkan rasa marah dalam hatinya.  “You’re not my girl anymore!” kata-kata yang membuatkan aku sengara itu, tiba-tiba kembali kedengaran di telinga. Aku sedar kedudukanku kini...

Bersambung... 

21 comments:

Anonymous said...

hailoh~~~
main tarik tali plak.....

nadiah said...

aduh... xpe sabar2.. huhuhu~

isma irah said...

nice one!!...:)..da nk abs cita nihhhhh..:)

Anonymous said...

Adusss...bile le citer ni nak abis.....makin dh dekat penghujung...makin membuat hati berdebor debor.....haisshhhhh.....

From: Rozie

mila said...

oksigen pleaseeee... tq Adah arini awal plk... nasib baik sllu buka blog nie... lg 5 bab,, senak dada..

hani said...

kenapelah safi tnya cam tu ye...kan dh kena “You’re not my girl anymore"...buat malu aje..si Zaf plk hati bak lalang ye...

pnut said...

dh terang2 zafril ckp "you're not my girl anymore"
lagi safi nk layan..
safi, x pyhla layan lelaki mcm tuh..
nampak sgt safi yg kejar zaf..
adoiii....

Anonymous said...

sian safi...kalau zaf betul2 tak dapat terima safi lagi..harap sangat yg safi berhenti keje dan bawa diri...

kenapalah safi x accident je...biar zaf menyesal ngan kata2nya kat kereta tu..

harap sangat kemelut antara hubungan dorang dapat diselesaikan cepat2..tak mahu masa ending ciput je kebahagian dorang kalau bersamalah...

penat2 layan emosi..tup2 ending ciput

Anonymous said...

sedih sangt.masi ada ka ruang d hati zaf untuk terimah safi semula?

Hanim69 said...

entry kali ni best ... suspen.... geram... kesian... semua ada...

ieda ismail said...

harap2 dorg trs berbaik n bersama sbg suami isteri =))

kak zu said...

Kata Zafril kat Safi " you are not my girl anymore","awak putuskan hubungan kita dulu......"semua tu urusan peribadi saya, awak tak layak nak masuk campur.."......pedih dan hati Safi terluka lagi....

Tapikan sebenarnya Zafril tu nak melepaskan rasa sakit hati dia pada Safi...yang sebenarnya Zafril tidak pernah berhenti daripada menyintai Safi.

Tgklah betapa marahnya dia pd. Fazura yg nyaris2 melanggar Safi..."you sengaja nak cari pasal dgn. I......" dan betapa gelabahnya Zafril dgn. keadaan Safi pd. masa tu....

Zafril dan Safiah, semoga bahagia bersama....

Adah terima kasih.

Anonymous said...

memang zaf still cintakan safi but bila zaf kata 'you are not my girl anymore' hati siapa yang tak terluka kalau dengar ayat tu..and harap safi sedar and cuba jauhkan diri lepas kejadian tu..and bila zaf kata “Sakit. Sakit hati, bila orang yang Zaf sayang tak percaya dan meragui cinta Zaf" dia tak sedar yang safi lebih sakit hati pada masa dulu sebab semua nak dia berpisah dengan zaf..so kalau boleh biarlah safi cuba berubah menjadi safi yang baru yang lebih tabah and jangan mengharap sangat cinta from zaf sebab ada ezlin kan..and waiting for next entry kak adah :)
'

Salina Azni said...

Harap2 cite ni hepi ending...mmg sian betul kt Safi..Zaf pun masih syg kt Safi..tp.... jodoh mrk kita tk tahu mcmana lg,kn..harap sgt2 mrk bersama... byk sgt dugaan buat mrk... buat kali ni, Safi jgn mengalah... Safi kena berkerja keras... demi cinta mrk...

idA said...

wah..semua teremosi bila layan E3 kali ni..well..kita tgk d other side of zaf.. mmg betui apa yg di utarakan oleh si zaf tu..sakit hati bila org yg kita cintai tidak mempercayai cinta yg dihulurkan setulus hati..selana 6 tahun mencari cinta safi..sepatutnya safi tahu dimana kesetian zaff bukannya memutuskan perhubungan dan bila rasa bersalah senang senang saja minta ma af..sepatutnya dari dulu lagi safi bagitau pada zaff apa yg berlaku bukan pendam dan buat conclusion sendiri..
since dia da bersemuka ngan mamat tu..luahkan isi hatinya mengenai apa yg dia rasa..dan zaf jgnlah merajuk lama sgt..setahun sudah cukup lama untuk dia memikirkan mengenai hal mereka berdua selepas kata putus yg diucapkan oleh safi..zaf patutnya memahami kedudukan safi..seorg wanita yg tinggi sifat cemburunya..Harap zaf akan melamar safi..

Miss Nurul said...

hhmm....dingin betul zaf pada mulanya yer.. smp sanggup marah2 safi mcm tu..kesian kat safi tu.biasa la perempuan..mst la ada rasa cemburu. tp lpas safi hmpir2 accident,perwatakan zafril bertukar..mcm dh syok blk kt safi tu.. aish! keliru.. zaf tu saya rasa still suka kt safi tp saja nk buat safi sengsara sekejap! safi pun jgn mengalah...fighting! zafril pun jgn la dingin lama2 ! nty safi direbut org habis la..

Anonymous said...

sampai bila zaf nak seksa perasaan safi....jgn la bila safi sdh b'putus asa dgn dia br dia nak b'henti sakitkan hati safi...

dila said...

tersentap rsa hati ile zaf ckp 'you're not my girl anymore"...pergh!!!!memg menusuk jantung kata2 2...sbnarnya arap jgk klo safi accident ke mase 2...at least zaf akan rse menyesal sbb dah skitkn ati safi..ape2 pun mmg terbaik la kak adah...next please...

nurfieda said...

ske ar nvel nie....
xsaba dh nk tngg0 nex entry
terbaeklh k.adah

Arisa Aizawa said...

fuh take care jugak zaf dekat safi ni, tp ayat keramat tu menyakitkan hati, berdebar-debar nak tunggu sambungan

Anonymous said...

eei.. ape ni, mula2 ckap ur not my girl anymore,,, alih2 g lyan si safi tu baik2 pula... nmpak sgat ego... yg safi ni... huhuhuhu.. ape la nak jadi

Post a Comment