Friday, January 13, 2012

Ada Di Hati - Bab 46


BAB EMPAT PULUH ENAM
            Loceng rumah yang berbunyi lantang membuatkan aku bergegas ke muka pintu. Melihatkan Zafril berdiri tegak di hadapan pagar rumahku pada petang hujung minggu begini membuatkan aku terperanjat. Aku masih lagi berdiri tegak di hadapan pintu ini sambil memandangnya yang juga memandangku dengan senyuman. Aduh, apa yang dia buat di sini?
            “Siapa tu?”
            Ayah yang berada betul-betul di sebelahku, kukerling seketika. Kemudian mataku tertacap semula pada Zafril yang masih lagi setia menanti di luar pagar yang berkunci rapat.
            “Eh, tu Zafrilkan. Bos, Safi. Apa dia buat kat sini?” tanya ayah sambil menyarungkan selipar ke kakinya.
            Aku sudah kalut apabila melihat ayah beria-ia benar keluar dari rumah untuk berjumpa Zafril. Dengan tergesa-gesa aku juga turut menyarung selipar dan membuntuti ayah keluar dari rumah. Aku mempercepatkan langkah, mahu menyaingi langkah ayah yang sudah sampai di hadapan Zafril.
            “Buat apa kat sini?” Soalku terus pada Zafril apabila sampai di hadapan dua lelaki yang aku sayangi ini.
            “Eh, budak ni ada pula kata macam tu. Tetamu dah datang, jemputlah masuk. Ni lain macam pula bunyinya. Macam tak suka je.” Balas ayah sebaik sahaja tawanya bersama Zafril terlerai akibat kehadiranku di sini.
            Aku mengetap bibir, malu apabila ditegur sebegitu oleh ayah di hadapan Zafril. Lebih-lebih lagi Zafril terus-terusan tersenyum-senyum memandangku. Aku bukan bermaksud untuk tidak mengalu-ngalukan kedatangannya. Cuma kenapa dia tidak memberitahu aku terlebih dahulu sebelum ke rumah orang tuaku ini? apa perlunya dia ke sini? Apa yang dia mahukan?
            “Zaf nak bincang sendiri dengan ayah Safi.”
            Kata-katanya malam semalam sewaktu menelifonku tiba-tiba terngiang di telingaku semula. Maksudnya dia ke sini untuk berbincang dengan ayah dan ibu tentang hubungan kami, tentang dia mahu mendapat restu daripada orang tuaku atas hubungan kami ini seperti mana katanya semalam. Tapi kenapa dia tidak mengatakan yang dia mahu ke sini hari ini.
            Aduh, aku menjadi makin kalut bila memikirkan semua itu. Bukan aku tidak suka dengan tujuan kedatangannya ke sini bahkan akulah yang mengalakkannya ke sini. Cuma aku perlukan masa untuk membuat persedian bagi diriku sendiri. Lagipun aku belum memberitahu ayah apa-apa lagi tentang Zafril dan aku juga belum memberitahu ibu yang aku sudah berbaik semula dengannya.
            Dia masih tersenyum.
            “Dah jemput Zafril masuk. Jemput masuk Zafril.” Pelawa ayah sebelum dia berlalu masuk meninggalkan kami di belakannya.
            Aku membuka pagar apabila ayah sudah berlalu. Sebaik sahaja dia melepasi pagar, aku merapatinya. “Buat apa datang sini?” aku masih bertanyakan soalan yang sama, sedangkan aku sudah dapat mengagak tujuannya kesini.
            “Buat apa lagi. Nak masuk meminang Safilah.” Balasnya turut perlahan sepertimana nada suaraku tadi.
            “Mengada-ngada, memain pula Zaf ni. Safi serius ni.”
            “Zaf pun serius juga ni.”
            “Zaf!” Tekanku perlahan. Aku tidak gemar bergurau tentang hal-hal yang serius di saat cemas ini, lebih-lebih lagi di hadapan rumah orang tuaku ini.
            Zafril ketawa perlahan. “Okay. Kan Zaf dah kata semalam Zaf nak jumpa parent Safi, nak bincang face to face dengan dorang. Safi tak ingat ke?”
            “Ingat, tapi Zaf tak kata pun nak datang hari ni. Safi tak ready apa-apa pun lagi ni. Kalau ayah soal macam-macam, macam mana?” aku masih gusar. Sebenarnya aku mahu berterus terang dengan ayah terlebih dahulu sebelum aku bawa dia berjumpa dengan mereka. Aku mahu lihat reaksi ayah dahulu, adakah dia boleh menerima abang sepupu Shania ini sebagai menantunya.
            “Yang tu semua Safi jangan risau. Biar Zaf handle, Safi just duduk sebelah Zaf and senyum. Senyuman Safi tu pun cukup untuk bagi kekuatan untuk Zaf.” Zaf sempat lagi mengusik hatiku dengan pujiannya.
            “Eleh, yelah tu.” Sengaja aku berkata begitu. Untuk menutup malu yang dia ciptakan buatku.
            Aku dan dia melangkah seiringan ke muka pintu rumah. Sebaik sahaja membuka kasut, Zafril memberhentikan langkah kakinya seketika, membuatkan aku turut memberhentikan langkah. “Kenapa?” Soalku.
            “Ayah Safi okaykan orangnya?”
            Aku pula yang tertawa dengan soalannya. “Aik takkan takut kut.” Sengaja aku mengusiknya. Bukan main berani menjejakkan kaki ke sini tanpa aku memulakan apa-apa cerita terlebih dahulu pada orang tuaku. Dan baru sebentar tadi, bukan main dia bersemangat kental untuk berhadapan dengan orang tuaku. Mana pulang hilang semangat juangnya tadi?
            “Erm... bukan takut, seram je. Bukan senang nak dapatkan kelulusan dari pihak berkuasa ni. Selalunya banyak prosedur.” Katanya sambil mempamerkan senyum simpulnya padaku. Dalam rasa kalutnya itu, sempat juga dia berjenaka denganku.
            “Merepek je.” Aku terus berlalu  masuk ke dalam rumah dan dia mengikut langkahku.
            Masuk sahaja ke ruang tamu rumah orang tuaku ini, ibu dan ayah sudah sedia menanti di ruang tamu. Pandangan ayah tepat pada Zafril, dan pandangan ibu pula menjurus tepat padaku dengan pandangan tajam. Aku jadi tidak sedap hati dengan pandangan ibu itu.
            “Jemput duduk Zafril,” pelawa ayah pada Zafril.
            Zafril tersenyum dan terus duduk di bangku tunggal yang berada di ruang tamu ini. Ibu pula hanya mendiamkan diri sedari tadi, seperti tidak suka dengan kehadiran Zafril petang ini. Aku sudah serba salah jadinya, mengapa ibu berkelakuan begitu hari ini?
            “Eh, budak ni. Boleh pula dia duduk sini. Pergilah buatkan air untuk Zafril ni. Bawa sekali kek yang kamu buat tadi.” Arah ayah apabila aku turut sama duduk di ruang tamu ini.
            Dengan langkah yang memberat aku menuju jua ke dapur menurut kata ayah. Yang sebenarnya aku ingin berada di sisi Zafril sewaktu dia menerangkan pada ayah dan ibu tentang hubungan kami ini. Nampaknya Zafril terpaksa bersendirian menerangkan semuanya pada ibu bapaku. Aku memanjatkan doa di dalam hati agar Zafril diberikan kekuatan untuk menerangkan semuanya dan sekaligus mendapat keizinan mereka.
            Usai menyiapkan juadah seperti yang ayah arahkan tadi, aku segera masuk ke dalam ruang tamu. Ayah tersenyum-senyum memandangku manakala ibu masih seperti tadi, memandangku dengan pandangan tajamnya. Aku mengerling ke arah Zafril yang sudah tersenyum lebar ke arahku. Melihat keadaan sebegini aku tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Reaksi yang mereka tunjukkan amat berbeza sama sekali.
            Sebaik sahaja aku menuangkan air ke dalam semua cawan yang berada di situ aku terus duduk di tempat dudukku tadi, aku tidak ingin ketinggalan dalam membincangkan isu yang turut melibatkan diriku ini.
            “Macam yang pak cik kata tadi. Mana yang Safi suka pak cik terima je. Cuma bila Zafril nak bawa rombongan? Yelah, kita ni hidup beradat, kalau boleh pakcik nak kita ikut adatlah. Macam biasa.”
            Rombongan? Aku sudah menelan liurku sendiri, pantas aku memandang Zafril yang menumpukan perhatiannya pada ayah. Maksudnya Zafril ke sini bukan sahaja ingin memohon restu dari ayah dan ibu tetapi sekaligus ingin melamarkan sendiri seperti mana katanya suatu masa dahulu.
            “Saya faham pakcik. Pasal rombongan tu saya kena bincang dengan Safi dulu. Tarikh yang dia berkenan. Dan InsyaALLAH saya rasa dalam masa terdekat ini saya akan hantar rombongan.” Zafril menabur janji pada ayah.
            Aku bersyukur kerana Zafril masih lagi memikirkan akan diriku ini, ingin membuat keputusan bersama-sama denganku, bukan ikut hatinya sendiri sahaja. Aku tersenyum padanya. Namun dalam masa yang sama ada rasa gusar. Bagaimana penerimaan makcik Hasnah padaku kini. Memanglah Shania katakan makcik Hasnah sudah redha yang Zafril tiada jodoh dengannya, tapi aku masih lagi takut jika dia tidak dapat menerimaku dan masih menganggap akulah yang merosakkan rancangannya untuk menyatukan Zafril dengan Shania.
            Aku memandang Ibu yang bangun menuju ke telefon apabila telefon rumahku berbunyi nyaring. Pandangan ibu padaku yang tajam sebelum menjawab panggilan itu benar-benar merimaskanku. Apa yang tidak kena pada ibu hari ini. Rasanya tadi dia biasa-biasa sahaja denganku. Aku benar-benar hairan.
            “Baguslah kalau macam tu. Benda yang baik ni tak elok dilambat-lambatkan. Lagi cepat lagi bagus. Pakcik pun tak sabar nak tengok Safi ni naik pelamin.”
            Tawa ayah dan Zafril bersatu. Aku memuncungkan wajah memandang afril yang kelihatan bersungguh-sungguh mentertawakanku.
            “Abang, Haji Tapah telefon.” Ibu maklumkan pada ayah sewaktu ibu duduk di sebelah ayah. Kemudian ayah terus bangun menuju ke telefon yang sedia menanti.
            “Betul kamu cintakan Safi, Zafril?”  
            Soalan ibu itu membantutkan tindakanku yang menyerahkan air pada Zafril. Zafril yang sedang cuba menyambut air itu turut memberhentikan tindakannya. Aku dan dia saling berpandangan antara satu sama lain. Tidak sangka persoalan itu yang akan ibu bangkitkan sebaik sahaja ayah berlalu.
            Zafril tetap menyambut air dari tanganku, kemudian dia meletakkan air itu semula ke atas meja. “Safi wanita pertama dan terakhir yang saya cinta makcik. Saya tak pernah main-main bila saya kata saya cintakan anak makcik.” Tegas Zafril dalam lembut, menjawab soalan ibu.
            “Tapi dia bukan pilihan ibu kamu.”
            “Ibu...” Seruku apabila ibu membangkitkan isu itu. Ibu mengangkat tangannya padaku menghalangku menghabiskan kata yang masih bersisa. Dia hanya menginginkan Zafril yang menjawab soalannya, bukanku.
            Zafril melemparkan senyuman pada ibuku. “Tapi dia pilihan saya dunia akhirat makcik.” Dengan sepenuh keyakinan Zafril menyatakan akan hal itu.
            “Tanpa restu ibu dan ayah, perkahwinan itu tak ada makna Zafril. Makcik tak nak Safi dipulaukan ibu mertua sendiri di kemudian hari. Kamu lelaki, kamu takkan faham perasaan itu.” ibu masih menegakkan pendiriaan.
Aku hanya mampu mendiamkan diri, kerisauan ibu itu juga adalah kerisauanku. Namun aku hanya pendamkan sahaja, ternyata ibu amat memahamiku, sebab itu dia mahu mendapatkan penjelasan yang sebenarnya dari Zafril.
“Saya tahu makcik. Sebab itu saya berusaha buat mama saya faham yang saya hanya inginkan Safi sebagai bidadari saya di dunia ini dan di akhirat kelak. Dan saya yakin mama dah faham dan boleh terima sekarang ni.”
Penerangan Zafril itu, membuatkan aku menoleh memandangnya. Benarkah begitu? Makcik Hasnah sudah boleh menerimaku? Atau Zafril sengaja berkata begitu untuk menyakinkan ibu dan diriku.
Ibu mengeluh seketika. “Baiklah, kali ni makcik percaya pada kamu. Tapi makcik harap sangat-sangat kamu jangan sia-siakan Safi. Dia dah banyak menangis kerana kamu.”
            Sebaik sahaja mendengar kata ibu itu pantas Zafril memandangku dan aku terus membalas pandangannya. Mungkin dia tidak menyangka perkara itu berlaku padaku. Perpisahan itu bukan sahaja sukar baginya, tapi bagiku jua.
            “InsyaALLAH makcik, saya takkan sia-siakan Safi. Saya akan berusaha menjaga dia sebaik mungkin.” Kata Zafril sambil memandang ibu, kemudian dia memandangku semula. “Saya takkan biarkan dia menangis lagi.” Katanya terus menuju ke hatiku.
            Aku benar-benar terharu kini. Janjinya itu walaupun secara tidak langsung begitu bermakna padaku.
            “Makan sini jelah zafril. Nanti makcik kamu masakkan makan malam.” Ayah terus sahaja mencelah perbualan sebaik sahaja menyertai kami semula di ruang tamu ini.
            “Ha’ah Zafril makan sini jelah malam ni. Nanti makcik masakkan.” Ibu sudah mula kelihatan ramah semula dengan Zafril. Mungkin beban di hatinya tadi sudah diluahkan sepenuhnya.
            “Eh, tak apalah makcik, pakcik. Sebenarnya saya dah tempah meja kat restoran kawan saya. Restoran Sri Melayu. Kalau makcik dan pakcik tak keberatan saya nak bawa makcik dan pakcik makan kat situ.” Rancang Zafril.
            Aku tersenyum, rasanya Zafril telah merancang perkara ini awal-awal lagi. Pandai dia mencari helah ingin mengambil hati kedua-dua ibu bapaku.
            “Eh, tak apalah makcik boleh masak.” Ibu masih menghalang.
            “Saya memang dah lama niat nak makan-makan dengan pakcik dan makcik kat situ. Jadi saya harap pakcik dan makcik sudi.” Zafril masih lagi cuba memujuk.
            “Kalau dah macam tu kata kamu, tak apalah. Pakcik dengan makcik ikutkan saja.” akhirnya ayah menerima pelawaan Zafril.
            Zafril tersenyum senang mendengar penerimaan ayah.
            “Nak makan dengan ayah dengan ibu je ke? Habis Safi ni?” Soalku pada Zafril, apabila teringat yang dia langsung tidak menyebut namaku sebentar tadi.
            “Erm... Safi tinggal kat rumah jelah. Masak sendiri. Boleh berlatih masak dari sekarang. Zaf tak suka isteri yang tak pandai masak.”
            “Zaf.” Jeritku perlahan. Geram aku apabila dia cuba bergurau sebegitu denganku di hadapan ibu dan ayah.
            Semua yang berada di situ ketawa dengan lawaknya. Aku mengetap bibir geram, namun akhirnya tawaku turut meletus apabila Zafril mengenyitkan mata padaku secara bersembunyi. Jauh dari pandangan ibu dan ayah. Aku benar-benar bersyukur ibu dan ayah dapat menerima Zafril dalam hidupku.

AKU sudah tidak betah duduk lagi di dalam rumah teres lot tepi ini. Lalu aku melangkah keluar dari rumah yang dilengkapi penghawa dinggin. Selesai sahaja solat Zuhur tadi aku terus turun semula ke bawah. Namun tiada sesiapa di ruang tamu. Zafril sudah pasti masih lagi di biliknya menunaikan solat. Kak Anni, suaminya dan anaknya rasanya turut berada di bilik mereka. Jadi aku mengambil keputusan untuk mengambil angin di luar rumah.
            Sudah dua jam aku berada di rumah ini. Zafril membawaku ke sini untuk bertemu dengan orang tuanya terlebih dahulu sebelum dia menghantar rombongan ke rumahku. Aku agak takut pada awalnya apabila Zafril memintaku ke sini, namun atas desakannya dan juga keyakinan yang dia tanamkan padaku yang makcik Hasnah sudah dapat menerimaku, aku gagahkan juga kakiku melangkah ke rumah ini.
            Aku tidak merasakan yang makcik Hasnah sudah menerimaku. Jika dia sudah menerimaku, tidak mungkin dia akan membiarkan aku menantinya sebegini lama di rumahnya sedangkan kata Zafril, semalam Zafril telah memaklumkan terlebih dahulu tentang kehadiranku di sini hari ini. Tapi sebaik sahaja aku melangkahkan kaki ke dalam rumah ini tiada wajah makcik Hasnah dan Pakcik Zul. Zafril dan Kak Anni sendiri tidak tahu ke mana mereka pergi sejak awal pagi tadi. Adakah makcik Hasnah ingin melarikan diri dari menyambut kehadiranku?
            Kepalaku semakin berat memikirkan hal ini. Bagaimana aku dapat meneruskan alam perkahwinan dengan aman jika tidak mendapat restu dari mama Zafril? Pasti ibu akan turut risau jika mengetahui kisah dariku ini.
            “Jauh menung?”
            Aku menoleh memandang Zafril yang sudah berdiri di sebelahku di taman kecil rumah ini. aku hanya melemparkan senyuman hambar padanya. Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan padanya di saat hatiku sudah tidak keruan sebegini.
            “Jom, Zaf nak tunjuk sesuatu pada Safi.”
            “Nak tunjuk apa?”
            “Jomlah.”
            Malas mahu berbahas lebih-lebih dengannya, aku terus mengikut langkahnya ke bahagian tepi rumah ini.
            “Safi ingat lagi tak benda ni?” Soal Zafril sambil membuka kain yang menutupi sebuah motor.
            Aku mengamati motor tersebut. Mengapa soalan itu yang Zafril ajukan padaku? Apa kaitan motor ini denganku? Aku mengeleng kepala. Langsung tidak dapat menangkap maksud di sebalik soalan Zafril itu. Aku benar-benar tidak mengethui atau mengingati apa-apa tentang motor ini.
            “Kalau Zaf tak basuh motor ni kat rumah Fuad dulu mesti Zaf tak dapat jumpa dan kenal dengan Safikan?” Zafril cuba menyingkap kenangan lamaku.
            Lama aku memerhati motor itu. Beberapa kali aku membelek motor itu cuba mengimbas memori lalu. Akhirnya aku tersenyum. Ya, aku ingat lagi motor ini. Motor inilah yang Zafril basuh sewaktu kali pertama berjumpa denganku.
            “Dah lama dah. Zaf simpan lagi motor ni?” Soalku tapi mataku masih lagi memerhati motor yang masih lagi cantik catnya dan keadaannya.
            “Zaf nak simpan semua kenangan yang ada antara kita. Satu pun Zaf tak nak lupakan dan lepaskan.”
            Senyumanku sudah semakin panjang. Kalau aku tahu sebegini dalam rasa cintanya padaku, sejak dahulu lagi aku tidak akan menolak kehadirannya dalam hidupku.
            “Lagipun Zaf ada satu impian pasal motor ni.”
            “Apa dia?” Soalku tidak sabar. Entah apalah impiannya itu.
            “Lepas saja kita bersanding, Zaf nak bawa Safi round satu bandar naik motor ni.”
            “Hah?” Terkejut aku dengan cadangannya itu. “Naik motor ni dengan Zaf sambil pakai baju pengantin ke?” Soalku masih tidak percaya dengan cadangannya.
            Zafril menganggukkan kepalanya berkali-kali. Senyuman nakal sedia terukir di bibirnya.
            “Merepeklah cadangan Zaf ni.” Aku terus menolak. Belum lagi melakukannya aku sudah terasa malu sebegini.
            Wajah ceria Zafril tadi sudah berubah sepenuhnya. Dari ceria ke cemerut. “Ini bukan cadanganlah, ini impian Zaf.”
            Aku sudah berbelah bagi, belum pernah aku melihat Zafril berkeadaan begini sebelum ini. Seumur hidupku aku belum pernah lagi menaiki motor sama ada menunggang atau membonceng, tidak mungkin buat kali pertama aku memboncengnya aku akan memboncengnya sambil mengenakan pakaian pengantin? Hatiku makin berbolak balik.
            “Boleh tak ni?” Zafril masih menyoal dan kedengaran sedikit mendesak.
            “Er, nantilah Safi fikirkan.” Aku tidak sampai hati menolak hajatnya itu dan dalam masa yang sama aku juga tidak mahu mengikut katanya itu.
            “No, I want the answer now.”
            “Yelah, yelah. Tapi kat kawasan perumahan ni je boleh?” aku memberikan syarat, tidak mahu hanya aku sahaja yang perlu mengikut katanya.
            “Of course boleh. That my girl.” Zafril tersenyum riang mendengar persetujuan dariku.
Aku sendiri tidak faham dengan kehendaknya itu, terasa kelakar pula bila memikirkan yang dia mempunyai impian sebegitu di hari persandingannya sendiri. Zafril menutup semula motor kesayangannya itu dengan kain yang sedari tadi dipegangnya. Aku berpaling ingin masuk semula ke dalam rumah. Dan sebaik sahaja aku berpaling wajah makcik Hasnah sudah berada di hadapanku memerhatikanku. Langkah yang baru ingin ku buka terus mati. Aku berdiri kaku memandan makcik Hasnah.
“Assalamualaikum mama.” Zafril terus mendapatkan ibunya lalu bersalam dengan ibunya. Kemudian dia memberi isyarat padaku untuk melakukan hal yang sama. Aku yang seperti baru sahaja tersedar dari tidur terus berlalu ke hadapan dan turut mengikut perintah Zafril.
“Mama ke mana tadi? Kan Add dah kata nak bawa Safi jumpa papa dan mama hari ni.”
“Sorry mama pergi rumah Dato’ Husni, isteri dia sakit tenat. Mama tak sempat nak beritahu Add tadi.” Makcik Hasnah memandang anaknya, tanpa memandangku lagi.
“Oh, sakit apa ma?”
“Biasalah sakit orang tua. Nanti Add pergi melawat dia ye.” Arah makcik Hasnah pada Zafril.
“InsyaALLAH nanti Add dengan Safi pergi melawat dia sekeluarga.” Sebaik sahaja Zafril menyatakan rancangannya itu, makcik Hasnah terus memandangku.
“Add tinggalkan mama dengan Safi sekejap. Mama ada benda nak bincang dengan dia. Add masuklah dalam, papa ada kat dalam.”
“Okay.”
Aku terkedu apabila zafril terus sahaja menurut kata mamanya itu. Dia meninggalkan aku dan mamanya berdua sahaja di sini dengan hanya segaris senyuman buatku. Laju sahaja langkahnya menuju ke dalam rumah.
Makcik Hasnah mula merapatiku. Aku sudah semakin tidak keruan, mataku hanya memandang Zafril yang sudah melangkah masuk ke dalam rumah melalui pintu utama. Sedang aku asyik memerhati Zafril, aku terasa pipiku disentuh lembut. Jantungku berdetak hebat apabila menyedari tangan Makcik Hasnah yang sedang mengusap pipiku ini.
“Makcik nak minta maaf dengan Safi.”
Jujurnya aku terkejut dengan ungkapan maaf yang makcik Hasnah ungkapkan. “Kenapa makcik nak minta maaf dengan Safi?” Soalku kehairanan.
“Makcik tahu makcik salah, makcik tak sepatutnya halang hubungan Safi dengan Add. Dan makcik tak sepatutnya cakap yang bukan-bukan pada Safi dulu. Maafkan makcik ye.” Lembut sahaja makcik Hasnah menutur kata memohon agar aku memaafkan dirinya.
Aku tersenyum. Sungguh aku tidak menyangka dia sanggup merendahkan dirinya meminta maaf padaku mengenai hal-hal yang lalu. Benarlah kata Zafril yang makcik Hasnah sudah menerimaku seadanya. Patutlah dengan senang hati sahaja dia meninggalkan aku dan mamanya di sini berdua. Rupa-rupanya inilah sebabnya.
“Tak ada apa yang hendak dimaafkan makcik. Makcik tak buat apa-apa salah pun pada saya. Saya tahu yang makcik buat tu semua untuk kepentingan Shania.” Jawapan yang aku berikan benar-benar ikhlas dari hatiku. Sememangnya tiada apa yang perlu aku maafkan. Aku sudah pun melupakan perkara yang lalu itu. Tiada satu pun yang tersimpan di hatiku kini.
Aku tahu dia mahu menyatukan Zafril dengan Shania kerana ingin menebus semua kesalahnnya pada Shania dan ibu kandung Shania dahulu. Jika tidak pasti dia tidak akan menghalang hubungan aku dengan Zafril dahulu.
“Makcik dah sedar yang makcik tak sepatutnya halang hubungan kamu berdua. Sebab makcik kamu berdua berpisah dulu dan Add jadi tak menentu. Masa tu lagi makcik dah menyesal dengan perbuatan makcik. Makcik tak nak jadi pemusnah kepada kebahagian anak makcik sendiri. Dan bila Safi adalah kebahagian Add, makcik terima seadanya.” Terang makcik Hasnah.
Lapang sungguh dadaku mendengar kata-katanya. Aku benar-benar yakin yang dia sudah berubah seperti dahulu. Seperti kali pertama Zafril memperkenalkan aku padanya.
“Tak ada apalah makcik. Kita lupakan aje perkara tu semua. Anggap perkara tu semua tak pernah berlaku.”
“Safi memang baik orangnya. Beruntung Add kalau dapat peristerikan Safi.”
Aku tertunduk malu mendengar kata-katanya. Seketika kemudian makcik hasnah menarikku ke dalam pelukkannya. Walapun aku terperanjat dengan tindakannya itu namun aku turut membalas pelukannya.
Mataku terus tertacap pada Zafril yang sedang berdiri berpeluk tubuh di muka pintu sambil tersenyum memandangku yang sedang berpelukkan dengan mamanya. Entah sudah berapa lama dia berada di situ memerhati perbualan kami dari jauh. Dan apabila dia mengangkat ibu jarinya tangannya padaku, aku amat yakin yang dia hanya berpura-pura sahaja masuk ke dalam rumah sebentar tadi. Aku tahu yang sebenarnya dia mengintai perbualan aku dan mamanya sejak mula tadi.
Aku membalas isyarat jarinya itu. Zafril ketawa sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Aku turut tertawa sepertinya. Hilang rasanya segala beban yang menghenyak kepalaku selama ini. Aku benar-benar bersyukur...

Bersambung... 

12 comments:

elora fashion said...

memang best sangat entry kali ni..
tersenyum2 baca ni..cepat cepat naik pelamin ye zaf & safi..:)

kak zu said...

Sukanya.....Betapa lapangnya hati ini....akhirnya Zafril dan Safiah mendapat restu drp org tua meraka dan semoga mereka bahagia.

mila said...

besttttttt...... senyum dalam debar...selamat pengantin baru untuk zaf & safi.. hehehe...

Anonymous said...

Suka entry ni sangat2 .
Dah selesai , tinggal nak kawen je pulak .
Hehe . Ni tak sabar ni .
Thanks ek Kak Adah . :)

[syaza_nadiah]

ruby muksan reds said...

lapang dada bila bace n3 ni...ty adah :)

Miss Nurul said...

Zaf n safi..... cpt la kahwin... dh lama tunggu ni. then have a cute little baby :-)

Anonymous said...

Thanks Adah...n3 kali ni benar2 memuaskan hati semua peminat novel u ni.

~ kak min ~

GS said...

semuanya akan berakhir dgn baik :)

Anonymous said...

best...cpt2 kwinkan diaorg yer...smg bhgia slalu...

EyQa AnnuaR said...

Bestt sgttt

Mr M.S.A.S said...

best sgt2..... sebnrny nak tggu endng... nak bc dri bab satu sampai 48... tpi x sbr... nk sgt da bc... hihi... post endg cpt2 ya kak ADAH.... alwys supprtng you....


-maggieblackpepper-

Kak Sue said...

Entry ni memang best...
Semoga Add dapat membahagiakan Safi...
Kisah cinta yang terlalu banyak pengorbanan dan tidak terlalu cemburu dan mengikut perasaan marah sangat ..... best....

Post a Comment