Friday, October 28, 2011

Ada Di Hati - Bab 27


BAB DUA PULUH TUJUH
            Sepinggan spageti dan jus oren telah tersedia di hadapanku sejak setengah jam tadi namun sedikit pun hidangan itu tidak aku usik. Hari ini aku berehat bersendirian tanpa Amy dan Kak Ros. Pelawaan mereka tadi aku tolak lembut. Aku mahu bersendirian hari ini. Hari ini juga merupakan hari pertama aku ke pejabat selepas Zafril meluahkan rasa hatinya padaku. Semalam sengaja aku tidak datang ke pejabat. Aku tidak sanggup bertembung dengannya, aku belum bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu kerana aku masih belum membuat sebarang keputusan waktu ini.
            Telefon bimbitku berdering, tengah hari ini sahaja sudah tujuh kali ia berdering meminta perhatian daripadaku, namun tidak aku endahkan kerana aku tahu panggilan itu pastinya daripada Zafril. Sejak dari malam itu aku tidak langsung menyambut sebarang panggilan Zafril. Semalam tidak terbilang panggilan Zafril untukku, mungkin dia kalut melihat aku tidak hadir ke pejabat selepas dia meluahkan rasa hatinya.
            Hari ini pula aku turut mengelakkan diri daripada berjumpa dengannya. Pagi-pagi lagi aku sudah menyediakan kopi dan surat khabar untuknya. Agendanya untuk hari ini aku tulis pada satu nota dan aku letakkan sahaja di atas meja, tidak seperti selalu. Biasanya aku akan menerangkan secara terperinci agendanya setiap pagi. Sepanjang pagi tadi aku tiada di mejaku. Merata aku melilau di pejabat itu semata-mata aku tidak mahu bersua mata dengannya.
            Telefonku bernyanyi lagi namun kali ini bukan panggilan masuk, cuma sebuah mesej yang kuterima. Jariku segera menekan butang untuk membaca mesej itu apabila melihat nama Zafril yang tertera.           
Assalam. Safi, awk kat mana ni?
            Mesej pertama daripadanya sejak malam itu. Dalam dua hari ini aku hanya menerima panggilannya sahaja. Mungkin dia sudah bosan kerana aku tidak menjawab kesemua panggilannya, oleh sebab itu dia menghantar mesej padaku pula. Aku hanya memakukan diri, tidak terniat untuk membalas mesej darinya.
             Kenapa sejak mlm tu awk mcm nak mengelak dari sy?
            Lagi mesej yang aku terima. Nampaknya dia sudah tahu niatku. Aku mengeluh berat. Aku sememangnya tidak tahu sama ada aku sanggup untuk berdepan dengannya atau tidak? Aku memang sudah jatuh cinta padanya tapi...
            Salah ke sy luahkan perasaan saya pada awk?
            Tidak sampai seminit mesej itu pula yang menghiasi skrin kecil telefon bimbitku. Tidak, dia langsung tidak bersalah. Cuma hatiku ini yang entah mengapa timbul rasa serba salah untuk menerima lamarannya. Aku perlukan keyakinan untuk menerima cinta dan dirinya. Keyakinan yang sememangnya dialah lelaki untukku, lelaki yang kunantikan selama ini.
            Bleh x awk jgn wat sy risau mcm ni?
            Apakah yang merisaukan dirinya? Adakah dia risau jika aku tidak menerima cintanya atau dia risau kerana aku tidak langsung mengendahkannya dua hari ini?
            Dah dua hari sy x jumpa awk. Awk tahu x yg sy rindukan awk? Rindu sngt2! L
            Aku menarik nafas panjang membaca mesej yang baruku terima.
            Kalu awk x nak jumpa sy sekali pun, please pick up the phone. I just want 2 hear your voice.  
            Tidak henti-henti aku menerima mesej darinya. Aku bukannya tidak mahu menjawab panggilannya atau membalas kesemua mesejnya, cuma aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan padanya saat ini.
            Aku mengeluarkan kotak cincin yang dia berikan padaku dua hari lalu. Aku merenung cincin yang masih lagi tidak keluar dari sangkarnya itu. Aku tidak tahu mengapa aku harus membawa cincin ini bersama-sama ke pejabat hari ini. Namun aku tidak sanggup membiarkan cincin itu bersendirian di rumah. Lagipun sejak malam itu, kotak cincin ini sentiasa berada disisiku, dalam gengamanku. Aku tersenyum kelat, pelik sungguh perangaiku sejak dia meluahkan perasaannya padaku.
            Sewaktu aku masih merenung cinicin itu, telefon bimbitku berbunyi lagi.
            Awk tahu x yg awk tgh dera ati dan perasaan sy wkt ni???
            Tahukah dia hati aku juga turut terdera waktu ini. Membiarkan dirinya tanpa sebarang berita dariku membuat jiwaku turut terseksa. Namun aku belum bersedia berbicara dengannya walaupun hanya dengan bermesej begini.
            “Safi!”
            Aku mendongak memandang ke hadapan. Mona yang sedang membimbit beberapa beg plastik tersenyum memandangku. Aku turut tersenyum, tidak sangka akan berjumpa dengan Mona di sini.
            “Seorang je ke?”
            Aku mengangguk. “Kau?”
            “Aku pun. Boleh aku duduk?”
            Aku tersenyum membiarkan Mona duduk bertentangan denganku. Sudah lama aku tidak berjumpa dengannya. Seingatku kali terakhir aku bertemu dengannya adalah sewaktu dia melahirkan anaknya tiga bulan lalu di Hospital Ampang Puteri. Selepas itu kami hanya bertanya khabar melalui telefon sahaja.
            “Aik, memborong nampak.” usikku apabila Mona sibuk membetulkan plastik-plastik yang diletakkan di atas kerusi di sebelahnya.
            “Alah sikit-sikit untuk baby. Kenapa kau makan sesorang je ni? Zafril mana?” soal Mona setelah memesan menu yang sama sepertiku dari seorang pelayan wanita.
            “Ada kat office.” Ringkas sahaja jawapan dariku. Aku agak kekok untuk berbicara dengan Mona tentang Zafril. Mona pernah menjadi kekasih Zafril dan kini aku pula sedang berbelah bahagi sama ada mahu menerima cinta daripada lelaki itu atau tidak. Lelaki yang sama yang pernah memberikan cintanya pada Mona.
            Aku mengerling memadang telefon bimbitku yang masih berdering tanda ada mesej masuk. Pastinya mesej daripada Zafril lagi. Kali ini aku biarkan sahaja mesej itu.
            “Kenapa tak keluar makan dengan dia? Kau orang gaduh eh...”
            “Gaduh? Mana ada. Alah kau ni, diakan bos aku je. Takkan hari-hari nak makan tengah hari sama-sama dengan majikan. Nanti tak pasal-pasal budak pejabat yang lain fikir apa pula.”
            “Eh, bukan korang tengah bercinta sekarang ni?” Berkerut dahi Mona ketika menanyakan soalan itu.
            “Bercinta? Bila masa? Mana ada?” tergagap-gagap aku menerangkan, namun dalam hati aku benar-benar berharap dia tidak bercerita lagi tentang Zafril. Aku takut diriku akan terbuka cerita yang Zafril telah melamarku. Walaupun aku tahu Mona telah berkahwin dan berbahagia kini namun bagaimana aku harus menyatakan hal itu pada Mona.  
            “La, belum declare lagi ke? Lembablah Zafril tu. Dulu masa kat Australia bukan main lagi beria-ia, bersungguh-sungguh nak cari kau.” Mona tergelak kecil.
            Cari aku? Hatiku berbolak balik. Sudah dua kali aku mendengar kata-kata itu. Ikin pun pernah mengatakan benda yang sama padaku. Kini Mona pula menyatakan hal yang sama. Mengapa Zafril tercari-cari akan diriku? Bukankah enam tahun lalu kami tidak sefahaman dan tidak pernah sekali pun aku berkata-kata dengan baik padanya. Bila berjumpa saja umpama musuh tradisi yang tak boleh langsung saling berpandangan. Jadi mengapa Zafril masih mencariku?
            “Kau cintakan dia, Safi?”
            Leherku umpama tercekek apabila Mona mengajukan soalan itu. Bagaimana aku mahu menjawab soalan itu? Berterus terangkah? Tapi mana mungkin aku menyatakan hal itu pada Mona, apa pula kata Mona nanti? Aku jatuh cinta pada bekas teman lelakinya? Yang suatu masa dahulu akulah yang menjadi penasihat agar Mona meninggalkan lelaki itu. Tapi kini aku pula yang terikat hati pada lelaki yang sama.
            “Kau tahu tak yang dia sukakan kau?” perlahan sahaja suara Mona saat ini bersama lirikan senyuman manisnya.
            Pula dah? Hatiku makin sempit kurasakan. Darah pula mula naik ke muka. Kalau kulit wajahku secerah Shania mungkin saat ini mukaku akan tampak merah menyala. Mona sudah tahukah rasa hati Zafril padaku? Jika ya, bagaimana dia boleh mengetahuinya?
            “Apa yang kau cakap ni Mona?” Aku sengaja menarik tali, tidak mahu Mona tahu apa yang ada di hatiku kini.
            “Dah lama aku tahu dia suka kau. Sejak kita reunion kat genting dulu. Kau ingat tak malam yang aku tergesa-gesa nak balik KL tu?”
            Aku mengangguk laju apabila Mona memberhentikan ceritanya mungkin memberi peluang untukku mengimbau kenangan lepas.
            “Sebenarnya malam tu aku jumpa dia, masa tulah dia bagitahu kat aku yang dia suka kat kau.” Mona mengimbau kembali memori lama yang tidak pernah terpadam dalam fikirannya.
            “Apa kau cakap ni Mona? Masa tu kan ke dia...” aku tidak meneruskan kata apabila mengenangkan status isteri yang dipegang Mona kini.
            “Boyfriend aku?” Mona menyambung kataku yang terhenti tadi kemudian dia tertawa kecil.
            Aku makin pelik dengan tawa Mona. Apa yang lucunya?
            “Yang sebenarnya masa tu kita orang tak declare pun lagi. Aku je yang angau lebih-lebih kat dia waktu tu.” Mona tergelak lagi waktu tu. “Maklumlah kita orang selalu keluar sama-sam,a so, aku ingat dia pun syok kat akulah. Tak sangka pula dia anggap aku kawan je.”
            Aku terkedu, benarkah begitu?
            “Malam tu walaupun Zafril tak marah tapi aku tahu dia betul-betul tegas bila dia suruh aku berterus terang pada kau yang dia bukan boyfriend aku. Puas aku pujuk dia malam tu tapi dia tetap dengan keputusan dia. Malam tu aku betul-betul marah dengan kau, tapi bukan salah kau kalau Zafril dan jatuh hati kat kau kan.” Luah Mona panjang lebar.
            Aku terdiam, tiada apa yang terkeluar dari mulutku kal ini. aku hanya mahu mendengar semua cerita dari Mona.
            “Tapi satu aku pelik, dulu bukan main beria-ia dia nak jumpa kau. Takkan sepanjang kau kerja dengan dia sekali pun dia tak luahkan perasaan dia pada kau?”  Mona memandang tepat ke wajahku apabila aku masih mendiamkan diri.
            “Woit, pernah tak?”
            “Pernah... er, tak... eh, maksud aku...” aku yang terkejut mendengar jerkahan Mona tergagap-gagap meluahkan kata.
            Melihat kekalutanku tadi Mona seolah-olah dapat mengagak sesuatu. “Maknanya pernahlah ni kan. So, macam mana kau terima tak?”
            “Er, belum lagi... aku...” aku tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan apa aku rasakan kini pada Mona. Andai aku jelaskan sekali pun dapatkah Mona memahaminya?
            “Belum. Kenapa?”
            Aku tidak mahu menjawab soalan Mona itu, biarlah Mona tidak mengetahuinya. Jadi suasana antara aku dan dirinya menjadi sepi seketika.
            “Kau ingat lagi tak yang kau bagi tahu kat aku yang Zafril tu playboy. Dan aku pernah cakap dengan kau yang dia jadi macam tu sebab dia belum jumpa dengan cinta sejati dia. Dia akan berubah bila cinta itu datang dan wujud dalam hati dia.”
            Aku hanya tersenyum kecil. Aku masih mengingat kata-kata Mona itu, tidak pernah aku lupa. Bahkan aku juga pernah berdoa suatu waktu dahulu supaya Zafril berubah dan Monalah cinta yang Zafril cari-cari selama ini.
            “Untuk pengetahuan kau Zafril memang ramai kawan perempuan, nak-nak masa kat universiti dulu. Sebut saja perempuan mana satu, semua kenal dia. Tapi bila aku masuk je universiti tu semua orang bercerita pasal dia. Kau nak tahu apa yang dia orang cerita pasal Zafril?” Mona mengambil nafas seketika sebelum menyambung kata.
            “Kecoh satu universiti Zafril dah berubah. Dia dah tak keluar dengan mana-mana perempuan pun. Perangai lama dia dah hilang. Macam-macam spekulasi yang timbul. Macam-macam yang orang kata pasal perubahan dia. Satu pun tak betul. Dan hanya aku yang tahu kenapa Zafril jadi macam tu.”
            “Kenapa?” Pantas aku menyoal setelah lama menyepi.
            “Sebab dia dah jumpa cinta sejati dia. Cinta tu dah datang dan wujud dalam hati dia. Kau safi, kau perempuan yang berjaya tambat hati dia, tawan cinta dia. Sampaikan dia dah tak pandang perempuan lain lagi dah.” Mona bercerita bersungguh-sungguh.
            Cerita Mona meruntun jiwaku. Aku benar-benar terharu. Aku merenung pelayan yang sedang menghantarkan makanan yang dipesan mona sebentar tadi. Mulutku makin terkunci rapat. Begitu sekali Zafril mencintaiku. Dan selama enam tahun dia memendamkan perasaannya dan menanti saat aku bertemu kembali dengannya. Patutlah selama aku bekerja dengannya aku tidak pernah melihat dia keluar bersama-sama wanita lain. Rupa-rupanya lelaki itu menyintaiku dalam diam.
            Telefon bimbitku berdering lagi. Entah kali keberapa ianya berdering sepanjang perbualanku dengan Mona. Tertera 8 mesej diterima pada skrin dan aku tersenyum kecil apabila melihat kesemua mesej itu datangnya daripada Zafril seorang sahaja. Segera aku membuka mesej yang paling baru kuterima darinya, mesej-mesej yang lain ku biarkan dahulu.
            Awk x nk jumpa sy, awk x jwb pggln sy, awk x bls msj sy... awk bole wat sy gila tau x... @ awk nak sy msk tanjung rambutan dulu baru awk nak balas msj2 sy ni???
            Aku tertawa kuat membaca mesej itu. Mona memandangku dan mengangkat keningnya. Aku hanya sekadar tersenyum dan mengelengkan kepala pada Mona.
            Mesej itu kubaca sekali lagi. Senyuman masih melebar di bibirku. Tidak mungkin aku akan membiarkan dia masuk ke hospital sakit jiwa itu semata-mata kerana merinduiku.
            Aku merenung kotak cincin yang masih berada di tanganku, kugengam kotak itu lebih erat dari tadi. Saat ini aku menjadi semakin rindu dengannya.

Sampai bila awak nak larikan diri dari saya? Awak tak rindu saya ke? `Zaf `
NOTA yang tertampal di skrin komputerku kucabut. Sejak aku pulang dari makan tengah hari tadi sehingga petang begini sudah lima nota yang aku terima tertampal di skrin komputer ini.
            Memang sengaja aku mengelakkan diri dari bertemu dengannya sejak aku pulang dari makan tengahari bersama Mona tadi. Aku sengaja tidak duduk di mejaku hari ini, aku lebih banyak membuat kerja-kerjaku dengan menumpang di tempat pekerja lain atau di bilik mesyuarat. Sekali sekala baru aku ke mejaku ini mengambil fail-fail yang aku perlukan. Setiap kali aku tiba di meja ini pasti sudah tersedia nota untukku darinya. Aku tertawa kecil membaca notanya. Nota-notanya itu meruntun hati hawaku. Sengaja aku mahu menduga hatinya, sekuat mana dia mahu meraih cintaku.
            Berani sungguh dia menampal nota-nota di skrin komputerku ini apabila aku tidak membalas satu pun mesejnya. Tidak takutkah dia jika ada pekerja lain yang datang ke tempatku ini dan membaca kesemua nota-nota cintanya itu?  Begitu dalam cintanya padaku sehingga hal-hal lain tidak dipedulikannya.
            Aku tersentak apabila mendengar bunyi pintu yang dihempas kuat. Segera aku menoleh memandang Zafril yang sedang menuju ke arahku dengan wajah masam mencuka. Pasti dia terus keluar dari bilik sebaik sahaja melihat aku berada di sini. Nampaknya kali ini aku sudah tidak dapat melarikan diri lagi seperti mana aku melarikan diri darinya sepanjang hari ini. Kerana asyik mengulit notanya yang terbaru ini aku terlupa yang aku mahu mengelak daripada bertembung dengannya hari ini.
            “Kenapa awak buat macam ni?” Soalan itu terus menderu ke deria pendengaranku sebaik sahaja Zafril tiba di hadapanku.
            Aku mengerling memandang ke setiap ruang pejabat, Zafril juga turut melakukan perkara yang sama. Dentuman pintu sebentar tadi langsung tidak menarik perhatian pekerja-pekerja yang sudah pun laju menuju ke pintu utama untuk meninggalkan pejabat.
            “Saya buat apa?” Soalku tenang.
            “Buat apa?” Zafril mula kelihatan geram melihat aku yang tenang sahaja.
            Zafril menayangkan kotak cincin yang berada di gengamannya padaku. Aku hanya merenung kotak cincin yang aku letakkan di atas mejanya setengah jam lalu, sewaktu dia hilang dari biliknya.
            “Kenapa awak pulangkan balik benda ni pada saya? Awak rasa keputusan yang awak buat ni betul ke?” Laju Zafril menyoalku dengan rasa kecewa yang jelas tergambar di wajahnya.
            Aku tersenyum dalam hati, melihat kekecewaannya itu aku yakin dia tidak membuka pun kotak cincin itu. Pasti dia terus menerjahku di sini selepas menyambar kotak itu dari atas mejanya tadi.
            “Kenapa? Keputusan yang saya buat ni salah ke?” aku mengangkat kening menanti jawapan darinya.
            Nafas Zafril mula turun naik tidak menentu. Mungkin geram apabila setiap soalannya dibalas dengan soalan juga dariku.
“Kenapa awak tak nak bagi peluang pada saya? Sekurang-kurang kita boleh cuba dulukan. Lagipun cincin ni...” Zafril tidak dapat menghabiskan kata apabila melihat tangan kiriku yang sedang menyangkutkan beg tangan dibahu. Matanya mencerun pada jari manisku yang masih lagi memegang beg yang sedia tersangkut di bahuku.
“Kenapa dengan cincin tu?”
Zafril terkebil-kebil mendengar soalan daripadaku. Matanya masih pada cincin yang tersarung di jari manisku. Kelam kabut dia membuka kotak cincin yang berada di tangannya. Kosong! Tiada apa di dalamnya. Zafril kembali memandangku yang sudah tersenyum panjang.
“Kalau Encik Zafril rasa keputusan yang saya buat ni salah, saya tanggalkanlah ye cincin ni?” aku sengaja mengacah, tangan kananku sudah pun memegang cincin di jari manis kiriku. Sebenarnya aku tidak mahu menanggalkan cincin itu, walau apapun yang terjadi cincin itu tetap akan tersarung di jariku. Aku tidak akan menanggalkannya sampai bila-bila.
“Eh, jangan. Nak buat apa tanggalkan? Jangan tanggalkan. Sesuai sangat dengan jari awak!” tegah Zafril tegas.
“Acah je.” Aku ketawa kecil memandang Zafril yang sudah kalut semacam. Zafril turut tertawa melihat tingkahku.
            “Habis tu kenapa kotak cincin ni ada atas meja saya?”
            Aku makin galak ketawa. “Saja je, nak seksa sikit jiwa encik.”
            Zafril merenungku seketika. “Dah enam tahun saya terseksa. Tak payahlah awak nak seksa saya lagi.”
            Aku dan dia sama-sama ketawa umpama meraihkan cinta yang baru sahaja mula bersatu itu. Aku berjanji dalam hati, tidak akan ada lagi rasa sangsi pada lelaki yang amat kucintai ini.
            “Apa yang kelakar sangat ni? Apa tu Abang Add?”
            Aku berpaling memandang Shania yang sudah pun berdiri di sebelah Zafril. Tangannya mula mengapai kotak cincin dari genggaman Zafril. Namun belum sempat Shania bertindak aku dengan pantas menarik tangannya.
            “Jom balik, kata nak naik kereta baru akak.” Aku sengaja mengalihkan perhatian Shania. Aku tidak mahu Shania tahu aku sedang bercinta dengan Abang Addnya. Bukan aku bermaksud untuk merahsiakannya daripada Shania cuma aku mahu menyatakan berita gembira ini kepada Shania apabila kami berdua sahaja nanti, bukannya di hadapan Zafril. Terasa malu pula untuk membuka kisah ini di hadapan Zafril sendiri. Lagipun aku ingin memberikan kejutan pada Shania.
            “Eh, Safi dah beli kereta?”
            Soalan Zafril itu mematikan langkahku. “Dah minggu lepas.”
            “Tak bagi tahu pun.” Rajuk Zafril tiba-tiba. Aku tersenyum lebar, rasanya ini kali pertama dia mengeluarkan nada rajuk sebegitu padaku dan dalam diam aku menyukainya.
            “Alah minggu lepaskan encik lancarkan mogok dengan saya, macam mana saya nak bagi tahu.” Balasku sambil menarik tangan Shania agar segera berlalu dari situ.
            Aku tahu Zafril mahu membalas kata-kataku itu tapi aku tidak mahu berlama-lama di situ nanti terbocor pula rahsia yang cuba aku sembunyikan pada Shania. Sewaktu Shania menanyakan tentang mogok yang aku katakan pada Zafril sebentar tadi, aku hanya menjawabnya dengan senyuman panjang.

Bersambung...


15 comments:

intan abd wahab said...

terlerai ego safi....

zuraidah said...

wow dah berbunga-bunga taman safi......suka

Miss Nurul said...

yeah! akhirnya safi terima lamaran zafril...
cayalah safi..
nasib baik mona ada..
mona blh dkira sbg penyelamat hubungan safi n zafril..hehehe...
safi so sweet!!

Anonymous said...

wah dah msuk ke ke alam prcintaan..x sbr nk tngu keromantikkan zafril..:)

-ila-

amira aihara said...

yeay...bestnya..
xsabar nak bce next bab...heee

fatim fatimah said...

best2,,tk sbr tggu bab2 romantik,,hahaha

Minsofea said...

sangat comel safi-zafril......

agak2nya shania ok ke safi-zafril bercinta...??

Anonymous said...

tp adakah nanti Shania lak ada menaruh hati kat Zafril..aduiiiii
Safi lak nanti rasa bersalah pulak
cepat2 arr bgtau Shania

Anonymous said...

knapa rase mcm shania nie menaruh hati kat zafril!!xnak laaa..huhuhu =(

Aida Sherry said...

yes...zafril n safi......i like...
shania...jgn kacau daun tau....

Eijan said...

Wow, safi betul2 dah menyeksa zaf...nasib ada mona yg jd penyelamat...rase lega sgt..akhirnya safi terima zaf....tp jgn pulak si shania ni kacau daun...dia mcm menaruh hati pd zaf je....eiiii...baru je merpati 2 sejoli tu nak bahagia...x sbr nak tau reaksi shania ni bila tau kisah cinta safi & zaf...

Anonymous said...

fuhhhh.....sukar nak bernafas..@bluescarf

ieda ismail said...

suke3..akhirnya Safi taw gak Zafril betol2 da berubah

cik eya said...

kak adah!!! best sgt..nak lagi..jangan la bg shania potong line nnt ey..biar zafril and safi bahagia tau..cian zafril..lama dia tunggu safi.. PEACE!! ;)

http://azra-aihara-ceriteraku.blogspot.com

Anonymous said...

emmmm....akhirnye mengaku gak la sweet couple nih..perasan yang novel adah nie watak heronye sukar nak meluahkan perasaan...er..bukan dulu sharnia nie suke kat abg add eh..

Post a Comment