DUA PULUH ENAM
Dari satu kedai ke satu kedai di dalam mall itu Fitri jejaki. Aku yang makin lenguh kaki tetap menurut setiap langkahnya. Dari tengah hari tadi, Fitri sibuk membeli belah untuk majlis pertunangannya bulan hadapan. Dan sebagai kawan serumah, aku turut terlibat dalam proses persiapannya itu. Lebih-lebih lagi, aku telah dilantik sebagai penasihat tidak rasmi bagi setiap barangan yang dibeli.
Kini Fitri masuk ke dalam kedai yang menjual pelbagai jenis tudung untuk dipadankan bersama kain yang telah dibelinya sebentar tadi. Nasib baik hari ini dia membeli belah untuk majlis pertunangannya. Jika dia hanya sekadar ingin window shopping, tidak ingin aku mengikutnya. Fitri jika sudah masuk ke dalam pasaraya, habis semua kedai dijelajahnya. Sehinggakan kedai yang tidak termasuk dalam senarai perancangan turut disinggah walaupun sebentar.
Ketika Fitri sedang mencuba beberapa jenis tudung, aku melangkah keluar dari kedai dan duduk di bangku yang disediakan di luar kedai itu. Mataku melilau di setiap kawasan mall. Tiba-tiba ingatanku teralih pada Zafril. Sepanjang minggu ini Zafril hanya tahu masam mencuka. Tiada senyuman yang diberikan padaku. Bercakap pun hanya apabila perlu. Itu pun boleh dihitung dengan jari kekerapannya. Ketika aku bertanya, dia hanya menjawab dengan anggukan atau gelengan kepalanya sahaja. Semua itu berlaku sejak dia nampak aku keluar bersama-sama Hafiz, awal minggu lalu. Tapi apa kena mengena pertemuan itu dengan dirinya? Cemburu? Mustahil!
Sebenarnya, kalau diikutkan, aku mahu duduk berbincang dengannya. Menyelesaikan semua yang sememangnya sudah semakin kusut. Namun jika semua soalan aku berikan dibiarkan begitu sahaja, tanpa jawapan lidah, jadi bagaimana mahu berbincang? Kadang kala malas aku mahu terus memikirkan tentang lelaki itu, tapi kadang kala persoalan tentang lelaki itu selalu sahaja menjentik hati dan akalku tanpa mengira masa.
Telefon bimbitku menyanyi lantang, aku yakin Fitri yang cuba menghubungiku untuk mengetahui kedudukanku ketika ini. Aku jadi malas mahu menjawab panggilan itu, biarlah, apabila Fitri keluar dari kedai itu nanti pasti dia akan tahu aku sedang menantinya di luar kedai itu, bukan ke mana-mana pun. Apabila telefon itu masih berdering tidak berhenti, aku mula menyeluk saku seluar jeans dan mengeluarkan telefon bimbitku.
Zafril!
Aku terkejut apabila terlihat namanya tertera di skrin kecil telefon bimbitku. Sudah lama dia tidak menghubungiku sepertimana selalu, tapi mengapa hari ini tergerak pula hatinya untuk menghubungiku? Tanpa menunggu lebih lama, aku dengan pantas menekan butang menjawab panggilannya.
“Kat mana?” bersahaja Zafril menyoal setelah aku menjawab salam yang diberikannya tadi.
“Midvalley. Ada apa encik?” Tidak sabar aku ingin mengetahui mengapa dia menghubungiku. Sudah padamkah rasa marah yang begitu membara di dalam hatinya atau dia sudah menamatkan mogok untuk bercakap denganku?
“Malam ni awak free tak?”
Aku terdiam sejenak. Kenapa dengan malam ini? Adakah dia ingin keluar bersamaku? Dan belum sempat aku memberi jawapan dia terus mencelah.
“Tak kiralah awak free ke tak, saya tunggu awak pukul 8.00 malam ni kat bawah rumah awak. Kita keluar.” Habis sahaja mengeluarkan arahan itu, dia terus mematikan talian.
Aku termanggu sudahnya. Aku fikirkan kemarahannya sudah reda, tapi apabila mendengar nada suaranya tadi, aku tahu hati lelaki itu masih membara. Jadi mengapa aku dan dia perlu untuk keluar bersama-sama? Silap hari bulan boleh mencetuskan perang dingin pula apabila bersua muka nanti.
Tapi aku tahu arahan Zafril itu bukannya boleh diabaikan atau tidak diendahkan, kalau itu yang aku lakukan habis terbalik pejabat itu hari isnin nanti.
“Lah…. kat sini rupanya, ingatkan ke mana tadi.” Fitri terus duduk di sebelahku, semua beg plastik di tangannya diletakkan di atas lantai seketika.
“Jom balik.” Ajaku walhal Fitri baru sahaja menyandarkan tubuhnya di bangku.
“Sekejaplah, banyak lagi aku nak beli ni.” Bantah Fitri.
“Alah, kau bertunang bulan depankan, lambat lagilah. Esok atau minggu depan kita shopping lagilah.” Aku cuba memujuk Fitri menerima cadanganku.
“Yang kau nak cepat sangat balik ni kenapa?”
“Zafril ajak aku keluar malam ni.”
“Oh, patutlah. Alah rileks ar, sekarang baru pukul lima.” Fitri masih lagi membantah. Enggan menerima cadanganku.
“Alah, nanti lambatlah. Esok kita shoppinglah lagi. Aku janji. Dah jom.” Aku pantas bangun dan mengambil beg-beg plastik yang pelbagai warna itu. Lantas aku tarik tangan Fitri apabila dia masih lagi duduk tidak mahu bangun. Aku tidak kira, aku mahu pulang sekarang juga. Sudahlah Zafril memang sedang marah padaku, aku tidak mahu jika aku terlewat malam nanti makin membara pula hati Zafril nanti. Alih-alih aku juga yang akan menjeruk hati menahan rasa atas sikap yang ditunjukkan Zafril padaku.
MALAM ini merupakan malam yang terlalu aneh bagiku. Semenjak Zafril menjemputku tadi, dia langsung tidak bercakap walaupun sepatah. Kalau sudah situasinya begitu, aku juga tidak tahu bagaimana mahu bersuara. Dugaku, Zafril masih lagi memarahiku, namun riak wajah yang tergambar di wajah lelaki itu kini tenang sahaja kelihatan. Tiada gusar dan tiada lagi tajam mata yang memandang diriku dengan wajah yang kelat tak sudah.
Sudah hampir setengah jam perjalanan, namun Zafril masih lagi menyepi seribu bahasa, teringin juga aku bertanya ke mana arah tuju kami pada waktu ini, tetapi aku menjadi gusar jika dia akan menghamburkan kemarahannya jika aku membuka mulut. Namun dengan tidak membuka mulut begini pun aku tetap juga berasa takut kerana aku tidak tahu ke mana destinasi kami berdua malam-malam begini. Dengan sedikit keberanian yang masih bersisa, aku cuba memberanikan diri untuk bertanya. Tidak mungkin aku akan menuruti sahaja langkahnya tanpa mengetahui niatnya.
Baru sahaja aku ingin membuka bicara, bertanya, Zafril terlebih dahulu membelok keretanya memasuki sebuah taman perumahan. Terkebil-kebil mataku cuba membaca papan tanda yang tertulis nama taman perumahan itu. Namun belum sempat aku mengamati setiap huruf di papan itu keretanya meluncur laju meninggalkan papan tanda yang tertera pada ukiran batu. Aku makin berasa tidak puas hati, ke mana sahaja Zafril ingin membawaku? Ke rumah siapa pula Zafril cuba mengheret diriku? Akhirnya, Zafril memberhentikan keretanya di bahu jalan berhadapan sebuah rumah yang terang benderang disuluhi lampu.
“Rumah siapa ni?” terus aku bertanya apabila Zafril sudah mematikan enjin keretanya. Tidak mahu berdiam diri lagi.
Mendengar soalan dariku, Zafril memandangku sekilas kemudian dia menjuruskan pandangan pada rumah bersebelahan keretanya. Tanpa menjawab soalan yang aku hulurkan, Zafril terus melangkah keluar dari keretanya.
Aku turut terkecoh-kecoh keluar dari kereta apabila melihat Zafril mula menutup pintu keretanya tanpa mengendahkan diriku. Zafril berjalan laju di hadapan meninggalkanku. Aku memberhentikan langkah walaupun tinggal setapak sahaja lagi aku akan melepasi pintu pagar rumah teres lot tepi itu. Memoriku sudah dapat menangkap sesuatu, suatu kenangan lama yang sudah lama aku lupakan.
Semuanya masih sama. Warna biru rumah ini, pagarnya yang berwarna hitam, dan lampu taman yang sama. Walaupun bunga-bunga di taman itu telah dipelbagaikan dengan hiasan taman yang lebih cantik, namun aku masih dapat mengingati rumah ini.
Rumah inilah yang telah mempertemukanku buat pertama kalinya dengan Zafril. Rumah yang telah menjadi mangsaku meloloskan diri daripada anjing gila lebih enam tahun lalu.
Zafril yang sudah terlajak beberapa langkah di hadapan terus memberhentikan langkah apabila tidak mendengar derap kakiku mengekorinya. Dia menoleh ke belakang memadangku yang masih terpaku di muka pagar rumah.
“Jom,” perkataan pertama yang keluar dari bibir zafril malam ini menyentak lamunanku.
Lantas aku bergerak mengiringi zafril menuju ke pintu utama rumah. Sebaik sahaja kami sampai di hadapan pintu yang sedia terbuka luas, kelihatan seorang lelaki dan seorang wanita sudah sedia menanti di situ seolah-olah mereka memang menanti kedatang kami berdua.
Apabila melihat wanita yang sedang menantiku di hadapan pintu itu aku seolah-olah tidak percaya dengan apa yang aku lihat kini. Ikin! Aku sudah tidak dapat memulakan kata, apabila Ikin telah terlebih dahulu menerpa ke arahku dan memelukku erat. Aku turut membalas pelukan erat Ikin, kawanku sejak kecil yang telah membuang diriku seuatu masa dahulu hanya kerana seorang lelaki.
“Kau sihat?” ayat klise yang keluar dari bibirku tika ini. Hanya itu yang termampu aku fikirkan untuk berbicara tika ini. Fikiranku masih keliru apa yang Ikin buat di sini dan mengapa Zafril membawaku ke sini? Adakah zafril yang merancang pertemuan ini atau Ikin turut sama menghitung rancangan ini.
Ikin menganguk dan menarik tanganku dan membawaku ke muka pintu bertemu dengan lelaki yang masih lagi berdiri tegak di situ. Setelah Zafril bersalaman dan berpelukan seketika dengan lelaki itu kemudian lelaki itu mencerunkan pandangannya dan satu senyuman dihulurkan padaku.
“Safi ingat kat abang lagi?” Soal lelaki itu terus apabila aku masih memandangnya dengan kerutan di dahi.
Abang? Aku pantas berfikir, dalam masa yang sama pandanganku pada Zafril dan Ikin silih berganti. Mengharap mereka dapat membantuku mengingati lelaki itu. Ikin hanya tersenyum memandangku manakala zafril pula, aku tidak dapat membaca sebarang reaksi yang Zafril tunjukkan tika ini.
“Dah lupa kat Abang Fuad ke?”
“Abang Fuad!” Aku tersentak. Terdiam seketika. “Abang Fuad, ke?” teruja aku apabila mengetahui lelaki itu adalah Fuad, lelaki yang pernah aku kenali dahulu. Ikin mula berdiri di sebelah Fuad dan Fuad memeluk erat pinggangnya, membuatkan aku tertanya-tanya status perhubungan mereka.
“Aku dah dua tahun kahwin dengan Abang Fuad.” Jelas Ikin yang mengetahui apa yang sedang bermain di fikiran aku kini.
Aku bertambah teruja mendengar berita yang disampaikan Ikin. Aku mengucapkan syukur ke hadrat Illahi, akhirnya Ikin menemui jodohnya. “Really?” seakan sukar mempercayainya. Ikin menganggukkan kepala bersama senyuman manisnya. Semua itu sudah cukup untuk menyakinkan hatiku tentang hakikat sebenarnya.
“Eh, jomlah masuk.” Pelawa Fuad setelah aku memeluk Ikin buat kali kedua. Pelukan ucapan tahniah untuk kedua-dua pasangan suami isteri itu.
Pada waktu makan malam itulah terbongar rahsia tentang rancangan pertemuan ini. Rupa-rupanya Zafril yang merancang untuk membawa Ikin bertemu denganku semula di sini. Dialah yang mengaturkan segalanya. Sepertinya, Zafril tahu sahaja yang aku memang sudah lama benar ingin menemui Ikin. Bagaimana dia boleh mengetahui apa yang aku simpan rapi di hati selama ini? Zafril sengaja memilih sewaktu waktu ini untuk mempertemukan aku dan Ikin kerana pada ketika ini kedua orang tua Fuad sudahpun berangkat menunaikan umrah. Sengaja dia mahu menjadikan pertemuan ini sebagai pertemuan peribadi antara aku dan Ikin. Rupa-rupanya, sudah dua minggu Zafril merancangnya dengan Fuad. Dan dia jugalah yang mencadangkan agar kami berdua dipertemukan di rumah ini. Aku benar-benar terharu!
Puas Fuad dan Ikin mengusik Zafril yang begitu bijak mengatur rancangan sehingga aku boleh tergamam di muka pintu melihat Ikin. Tapi Zafril lebih banyak tersenyum dari bersuara. Bercakap pun sepatah dua sahaja, itu pun bagi menjawab soalan Fuad dan Ikin. Soalanku pula hanya dijawab dengan jungkitan bahu atau gelengan kepala. Semua itu membuatkan aku rasa tidak sedap hati.
Selesai sahaja makan, Ikin terus ke dapur membasuh pinggan mangkuk, dan aku pula mengemas meja makan. Fuad pula keluar rumah berbual dengan ibunya di talian. Hanya Zafril menonton TV di ruang tamu.
Aku menyajikan epal yang telah dipotong oleh Ikin ke atas meja kopi di hadapan Zafril. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arahku sewaktu aku menyajikan epal itu di hadapannya. Dia kelihatan tegang seolah-olah ada suatu masalah yang begitu membebankan. Aku ingin bersuara, cuba berkongsi masalah dengannya tapi apabila mengenangkan yang dia seperti keberatan saja melayanku malam ini, jadi aku mengambil keputusan untuk membantu Ikin di dapur sahaja.
Aku mencapai tuala di birai dinding dan mengelap pinggan yang telah dibasuh oleh Ikin. Ikin tersenyum apabila aku membantunya.
“Kak Dhiya apa cerita sekarang?” aku memulakan perbualan.
“Kak Dhiya ikut husband dia kat Johor. So, dia buka satu lagi butik pengantin kat sana.”
“Habis tu yang kat sini?”
“Akulah yang jaga. Jadi business partner dia.”
“Oh, business womenlah kau sekarang ye.” Pujiku. Tidak sangka Ikin akan mengambil alih perniagaan kakaknya di sini.
Ikin tidak terkutik sedikit pun dengan pujianku. Tiba-tiba wajahnya muram. Air di singki dibiarkan mengalir, tangannya sudah berhenti mencuci pinggan. Setelah beberapa ketika Ikin menutup air yang terus mengalir kemudian dia mengadapku.
“Safi, aku nak minta maaf dengan kau.” Kata Ikin bersungguh-sungguh sekali. Dia mengambil tanganku dan memegangnya kejab.
“Kenapa pula ni?” aku makin tidak mengerti apabila melihat ada takungan air jernih di tubir mata bundarnya.
“Dulu aku tuduh kau bukan-bukankan. Aku cakap lepas, tak fikir perasaan kau langsung waktu tu. Aku terus tak contact kau. Aku marah betul pada kau waktu tu. Padahal bukan salah kau, tapi kau yang terima amarah aku. Aku lupa jodoh, hidup, mati tukan di tanggan Tuhan. Tak pasal-pasal kau jadi mangsa aku sebab Haris tak guna tu.” Panjang lebar Ikin menjelaskan padaku.
“Dahlah aku dah lupa pun pasal tu. Yang penting aku dengan kau dapat berkawan balik macam dulu kan.” Aku cuba menenangkan hati Ikin, aku tidak mahu ikin terus dihimpit rasa bersalah yang tak sudah, sedangkan awal-awal lagi aku sudah memaafkannya.
“Haris macam mana? Ada cerita pasal dia?”
“Dulu adalah juga dia contact aku tapi aku malas nak layan. Lelaki macam tu, ish, tak boleh pakai langsung.” Ikin mencebik.
“Eleh tu pun sebab kau dah jumpa Fuad kan?” usikku, sengaja ingin menduga perasaan Ikin pada suaminya itu.
“Sebelum aku dengan Fuad lagi dia nak berbaik-baik semula dengan aku. Aku malas nak layan. Player macam dia tu kau ingat nak berubah ke? Takkan punya, sampai bila-bila dia akan jadi macam tu. Bak kata kau, dasar buaya tembaga.”
Aku terdiam apabila Ikin membangitkan tentang buaya tembaga. Ingatanku dibawa kepada Zafril yang pernah menerima gelaran itu dariku dahulu. Benarkah, mereka tidak akan berubah? Adakah Zafril juga begitu? Tiba-tiba kesangsian itu bertandang di hatiku.
“Kau nak tahu, sebenarnya aku tak sangka Fuad rupa-rupanya dah lama suka kat aku. Lepas dia balik dari Australia kitaorang terus rapat dan kemudian kahwin. Aku gembira sebab dia jodoh aku, dan bukannya Haris tu.”
“Kau bahagia?” aku masih lagi cuba merisik hati wanita ini.
“Sangat bahagia.” Ikin tersenyum senang dan meneruskan cuciannya yang terhenti sebentar tadi.
Melihat senyumannya itu aku tahu dia benar-benar telah menemui kebahagian yang diidamkannya selama ini. Walaupun kebahagian itu bukan dengan Haris, tapi aku yakin jika dia bersama Haris waktu ini dia tidak mungkin akan sebahagia ini.
“Kau dengan Zafril bila lagi?” soal Ikin tiba-tiba.
Aku tidak menyangka Ikin akan menyoalku begitu. Aku juga tidak faham makna di sebalik pertanyaannya. “Bila apa?” kini aku pula yang memberhentikan kerja-kerja yang aku lakukan tadi.
“Bila nak kahwin?”
Aku hanya tersenyum kecil. Mana mungkin aku berkahwin dengan Zafril. Dia tidak pernah meluahkan rasa cinta padaku apatah lagi merisik-risik untuk mengahwiniku, mana mungkin perkara itu boleh berlaku. Lantas soalan itu aku biarkan sepi tanpa jawapan.
“Korang berdua secocok tau aku tengok.”
Secocok? Dari sudut mana Ikin menyatakanku dan Zafril secocok? Aku makin tidak mengerti.
“Kau nak tahu dulu masa aku bergaduh dengan kau dulu tu. Dia tak habis-habis tanya aku pasal kau, macam mana nak contact kau. Masa dia balik dari Australia dulu pun dia tanya soalan yang sama banyak kali. Bila aku kata aku dah lama tak contact kau, dia mati-mati tak percaya. Susah betul aku nak yakinkan dia masa tu. Aku rasa dia dah angau dengan kaulah. Kan aku pernah kata kat kau dulu, dia tu memang syok habis kat kau.” Terang Ikin sambil diselangi tawa kecil yang mengigit hatiku.
Aku tercenggang. Benarkah begitu? Benarkah Zafril pernah cuba mencariku sehingga sebegitu sekali? Tapi bukankah waktu itu dia teman lelaki Mona? Apa yang dimahukannya sebenarnya sebelum ini padaku? Aku membiarkan persoalan yang timbul dalam diriku itu begitu sahaja. Aku tidak tahu bagaimana mahu menjawab setiap soalan itu dan aku pasti Ikin juga tiada jawapan untuk soalan-soalanku itu kecuali Zafril seorang.
Sesudah membasuh pinggan Ikin menyediakan teh buat suaminya dan aku menyediakan kopi buat Zafril. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku menyediakan kopi itu untuknya sedangkan dia tidak mengarahkanku berbuat demikian. Tapi apabila sahaja aku terpandang dapur ini sewaktu membantu Ikin menyediakan hidangan di awal kedatangan tadi, permintaan zafril supaya aku menyediakan kopi untuknya suatu masa dahulu seolah-olah terimbau kembali di ruangan mataku. Dan saat ini hatiku benar-benar terdetik untuk memenuhi permintaannya enam tahun lalu.
“Cari buah hati ke? Tu, kat luar tu hah.”
Usikkan Fuad sewaktu aku berada di ruang tamu mencari Zafril. Aku sambut kata=kata Fuad itu dengan mata membulat, pura-pura tidak senang hati dengan tujahan katanya. Dengan segelas mug yang masih berada di dalam gengamanku, aku bergerak keluar dari rumah dan menuju ke bangku yang terdapat di taman mini itu. Aku berjalan perlahan mendapatkan Zafril yang sedang duduk membelakangkanku.
Aku meletakkan mug itu di hadapan Zafril kemudian aku mengabil tempat duduk di salah sebuah kerusi di meja empat segi. “Encik Zafril, kopi.” Pelawaku apabila dia langsung tidak menoleh padaku atau pada mug yang aku letakkan betul-betul dihadapannya. Matanya hanya tertupu pada pagar yang terbuka luas.
Apabila dia masih lagi mendiakan diri dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti mahu berbual denganku, aku terus bangun, cuba berlalu dari situ. Mungkin dia mahu bersendirian, aku cuba memujuk hati kecilku sendiri.
“Ingat lagi pagar tu?” Soal Zafril apabila aku sudah mula berdiri, namun matanya masih lagi merenung pagar itu.
Aku tergelak kecil mendengar soalannya. Bukan sahaja pagar itu, tapi serba-serbi di dalam dan di luar rumah ini masih lagi terakam kemas di dalam ingatanku. Satu pun tidak terlepas. “Kenapa pula dengan pagar tu?” Sengaja aku ingin menduga dengan berpura-pura tidak mengingati masa lalu.
“Pagar tulah jadi saksi baju awak basah dengan peuh sebab dikear anjing.” Zafril cuba mengingatkanku.
Geram aku dengannya, seingatku ini kali kedua dia mengungkit tentang baju yang basah kuyup yang sebenarnya berpunca darinya.
“Helo, baju saya basah dulu sebab encik yang sengaja sibah air kat saya tau. Bukan sebab peluh.” Balasku keras, supaya Zafril mengakui kesalahannya.
Zafril ketawa kuat sebaik sahaja aku menyudahkan kata. Aku membeliakkan mata, geram dengan tawanya. Namun jauh di hati kecilku aku berasa senang mendengar tawanya kerana sejak dia melancarkan mogok denganku, jangan kata ketawa, senyumannya pun jarang aku dapat lihat.
“Awak ingat saya sengaja ke simbah awak hari tu?”
“Yelah, takkan Encik Zafril tak nampak saya berdiri terpacak kat sebelah encik waktu itu!”
Zafril ketawa lagi, namun dia masih mengelak untuk memandang wajahku. “Memang saya tak sengaja. Saya ingatkan awak masih kat hujung tu ambil batang mop. Tak sangka pula awak dah ada kat sebelah saya masa. Tu yang boleh terkena.” Zafril cuba menerangkan. Dan entah mengapa aku percaya dengan setiap penjelasannya itu.
Zafril ketawa lagi, namun dia masih mengelak untuk memandang wajahku. “Memang saya tak sengaja. Saya ingatkan awak masih kat hujung tu ambil batang mop. Tak sangka pula awak dah ada kat sebelah saya masa. Tu yang boleh terkena.” Zafril cuba menerangkan. Dan entah mengapa aku percaya dengan setiap penjelasannya itu.
“Eleh, iyalah tu, bukannya boleh pakai sangat encik ni.” Sengaja aku berkata-kata seolah-olah aku meragui setiap kata-katanya.
Zafril terdiam seketika. Tawanya tiba-tiba mati. Lantas dia menghela nafas panajng. “Safi.” Zafril mengalun lembut, memanggil namaku.
“Em…” balasku pula.
“Awak… awak ada apa-apa ke dengan… dengan Hafiz?”
Mencerun mataku memandang Zafril yang sedang merenung mug yang berisi kopi di tangannya. Aku tidak menyangka yang Zafril akan bertanya begitu padaku di saat kami sedang mengimbau masa lalu.
“Ada apa? Mana ada apa-apa.” Pantas aku menjelaskan. Perkara itukah yang menyesakkan fikirannya selama ini, sehingga wajahnya kelihatan begitu tegang sedari tadi.
“Betul tak ada apa-apa hubungan?”
“Betullah, mana ada.”
“Langsung tak ada?”
“Tak ada. Patah demi patah kata aku mengeluarkan dua perkataan itu. “Atau Encik Zafril memang nak saya ada hubungan dengan Hafiz?” Soalku geram, apabila dia langsung tidak mahu mempercayai setiap kata-kataku.
“Eh, tak. Saya tak nak.” Zafril kelihatan tergesa-gesa mengeluarkan ayat itu dengan sebuah senyuman hambar.
“Safi! Saya…” Kali ini barulah dia memandangku dengan kata-kata yang tersekat-sekat. Senyuman hambarnya tadi mati tiba-tiba.
Aku menunggu Zafril meneruskan kata apabila ayat yang sama itu diulangnya berkali-kali. Wajahnya yang sedang memadangku kelihatan lebih tegang dari tadi. Mengapa begitu payah dia cuba untuk meluahkan kata malam ini? Apakah sebenarnya yang membebankan fikiran lelaki itu?
Zafril menarik nafas dalam dan dengan sekali helaan nafas yang memberat dia meluahkan kata. “Saya nak beritahu awak satu perkara. Dah lama saya simpan perkara ni, sampai sekarang ni saya rasa tak tertanggung lagi dah.”
“Apa halnya Encik Zafril, sampai…”
“Saya cinta awak!” pantas Zafril mencelah sebelum sempat aku meneruskan kata untuk bertanya.
Aku terkedu seketika dan membalas renungannya. Betulkah apa yang aku dengari kini. Benarkah tiga perkataan itu Zafril lafazkan untukku?
“Saya betul-betul cintakan awak!”
Apabila Zafril mengulang sekali lagi ayat itu barulah aku tersedar, memang ayat keramat itu yang terpacul keluar dari mulutnya untukku. Aku terdiam seketika.
“Kenapa tiba-tiba…”
“Bukan tiba-tiba. Bukan juga baru sekarang. Saya dah lama jatuh hati pada awak sejak enam tahun lepas lagi. Awak aje yang tak tahu, Safi” Zafril mencelah dan cuba menyakinkanku. Mug yang dipegangnya ditolak ke tepi. Kini tumpuannya hanya padaku.
Aku hanya mampu mendiaman diri. Dadaku berombak kencang. Zafril mencintaiku sejak enam tahun lalu. Benarkah begitu? Aku seolah-olah tidak percaya dengan kata-katanya.
“Sejak awak melepasi pagar tu enam tahun lepas, hati saya dah terpaut. Ada satu rasa yang tak pernah saya rasa sebelum ini menyelinap masuk dalam hati saya. Sampai saya tercari-cari awak.” Zafril tergelak kecil di hujung katanya, cuba untuk menyembunyikan gelojak rasa yang jelas ketara terpancar di wajahnya tika ini.
Aku masih mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang perlu aku katakana saat ini.
“Saya tak sangka pertemuan kita di Genting dulu pertemuan terakhir kita waktu tu. Tapi saya tetap yakin, walaupun awak tak ada depan mata saya, walaupun awak jauh dari saya, saya tahu awak tetap akan datang pada saya dan saya tetap akan bersama dengan awak satu hari nanti sebab sejak kali pertama kita berjumpa saya yakin awak jodoh saya.”
Hampir menitis air mataku tika ini. Hingga sebegitu sekali keyakinan Zafril dengan cintanya.
Zafril mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya, kemudian dalam kesamaran malam dia membuka kotak cincin berbaldu biru. Tertera sebentuk cincin emas putih di hadapan mataku. Aku makin terkedu. Untukkukah cincin yang begitu cantik dan menyilaukan mata itu?
“Saya tak nak paksa awak. Awak buatlah keputusan menurut kata hati awak. Kalau kata hati awak sama dengan suara hati saya, saya harap saya dapat lihat cincin ini tersarung di jari awak. Kalau awak tak dapat terima saya, saya harap awak tetap sudi simpan cincin ini sebagai tanda ada seorang lelaki yang mencintai awak sepenuh hati.”
“Saya tak nak paksa awak. Awak buatlah keputusan menurut kata hati awak. Kalau kata hati awak sama dengan suara hati saya, saya harap saya dapat lihat cincin ini tersarung di jari awak. Kalau awak tak dapat terima saya, saya harap awak tetap sudi simpan cincin ini sebagai tanda ada seorang lelaki yang mencintai awak sepenuh hati.”
Zafril menutup semula kotak cincin itu kemudian dia meletakkan kotak cincin itu di atas telapak tanganku. Selepas memberikan sebuah senyuman yang mekar untukku dia berlalu masuk ke dalam rumah semula bersama mug di tangannya.
Aku masih mendiamkan diri di situ. Kurenung kotak cincin yang masih berada di atas tapak tanganku. Hatiku terasa berbelah bagi kini. Benarkah dia mencintaiku sejak enam tahun lalu? Sukar untukku mempercayainya. Aku menoleh memandang rumah berwarna biru itu, rumah itu seolah-olah telah mengingatkanku semula tentang perangai lama Zafril.
“Player macam dia tu kau ingat nak berubah ke? Takkan punya, sampai bila-bila dia akan jadi macam tu. Bak kata kau, dasar buaya tembaga.” Kata Ikin sebentar tadi mengangguku semula. Walaupun kata-kata Ikin itu bukan untuk Zafril, tapi mengapa ayat itu yang terngiang-ngiang di telingaku?
Sikap playboy Zafril yang menyebabkan aku mengelarnya buaya tembaga, dan aku tidak mahu lelaki sebegitu menjadi teman hidupku, tidak sama sekali.
Atau adakah Zafril telah berubah? Aku tidak tahu. Bolehkah lelaki sebegitu berubah menjadi pencinta yang setia. Kepalaku mula memberat, mengapa persoalan itu timbul saat ini? Bukankah hatiku sememangnya sudah ada cinta buatnya? Bukankah dia sudah ada di hatiku?
Tapi mengapa saat dia meluahkan perasaan padaku perkara-perkara lama itu menghantui hati dan fikiranku semula? Aku harus membuat keputusan tapi aku tidak tahu keputusan apa yang perlu aku ambil. Sanggupkah aku mengambil risiko menerima lelaki sebegitu dalam hidupku? Cintaku tetap ada untuknya namun rasa sangsiku juga makin bercambah. Kini aku buntu!
Bersambung....
15 comments:
Zafril dah luah perasaaann, Safi bila lagiii...besstttt!!
terima jer la safi,,
hopefully safi dpt terima zafril.... manusia bisa berubah seiring dgn masa yg berlalu...dan pengalaman akan mematangkan manusia... cubalah terima...at least kita tak rasa rugi sekiranya mencuba....
Alahai Safi ni, kenapa nk menidakkan perasaan plak.....x kan sepanjang keje bersama masih x taw perangai Zafril cmne.....kenape la kenangan dulu jugak yg still bermain di fikiran.....bg la peluang kat Zafril
emm.....perasaan sungguh sukar tuk ditebak....
isyhh...safi ni. janganlah biarkan bisikan2 jahat tu ganggu hati dia. kalau ikutkan pun, selama ni dia banyak salah faham pada zafril. kesianlah kat zafril tu. dah enam tahu tunggu tu...huhuh
adah, keep it up! i love this story...
hai Safi...terimalah Zafril tu, apa yg nak difikirkan lagi....takkan tak boleh baca perwatakan Zafril....
Safi kenapa suka buat keputusan tanpa menyelidiki dulu.
Dari dulu Safi suka buat keputusan tanpa bertanya dan mengesahkan apa yang berlaku.
buat solat istikarah safi.....
harap safi dapat terima zafril...
Best!!!
Safi... terima jela ;)
yahoooo !!!zafril da ckp "sy cinta awk"...
safi ..ble lg ??
Safi...tak selamanya manusia akan kekal dgn perangai lamanya...bukan ke Zaf dah kata dia cintakan Safi sejak 6th dulu...maknanya dia sgt setia bila dia cintakan sesorg. Safi juga kena nilai sejak dah kerja bersama, ada ke Zaf layan perempuan lain...tidak kan? Nilai dgn mata hati...Zaf terus ajelah jumpa parent Safi nyatakan hasrat hati dia...Safi Istikhara...Jangan buat keputusan tanpa siasat sehingga akar umbi...takut nanti menyesal...huhu pjg lak komen akak ni
yeah! zafril dh luahkan perasaan dia..
cool la zafril ni.. bwk tmpat kenangan lama.
safi ni pun satu, xkan masih x percaya dgn zafril tu.. xde sbb dia nk tolak lamaran tu.
x mungkin zafril tu player..
safi ! ! ! terima je la....
he is meant for you...
Hati berbunga ria....@Bluescarf..
Post a Comment