Friday, September 23, 2011

Ada Di Hati - Bab 19


SEMBILAN BELAS
            Gedebum!!!
            Aku tersentak, pantas aku menegakkan badan dan memandang ke cermin hadapan kereta yang kupandu. Tanpa melengahkan masa aku turun dari kereta dan meninjau keadaan kereta myvi milik Fitri yang kupinjam. Aduh, habislah agak teruk kemek bumper hadapan kereta myvi Fitri ini. Aku segera menoleh pada kereta yang kulanggar. Aduh, kemek juga di bahagian belakang kereta tu walaupun tidak seteruk kerosakan kereta Fitri.
Aku mengaru kepala yang yang tidak gatal. Bagaimana aku boleh tersalah mengagak jarak sewaktu ingin memasuki lot tempat letak kereta itu sehinggakan aku merempuh kereta buatan luar negara yang sedang elok terparkir di situ. Rasanya habis dua bulan gajiku untuk membayar kerosakan kereta Fitri dan kereta peugeot itu. Menyesal pula rasanya meminjam kereta Fitri hari ini. Kalau aku menaiki bas atau teksi seperti selalu pasti saat ini aku tidak perlu pening kepala begini.
Akal jahatku mula mengarahkanku meninggalkan sahaja kereta itu di situ sebelum tuannya sampai dan menuntut ganti rugi. Namun hatiku pantas menepis, tidak sepatutnya orang lain dibebankan atas kesalahan diriku. Mahu atau pun tidak aku terpaksa berhadapan dengan kesalahan diri yang terlalu cuai.
Aku masuk semula ke dalam kereta dan kali ini aku lebih berhati-hati memasuki parking lot di sebelah kereta peugeot itu. Aku membuat keputusan untuk menunggu pemilik kereta itu di dalam kereta. Setelah terasa lama menunggu di dalam kereta aku keluar dan menunggu di luar kereta. Aku terus masuk semula ke dalam kereta apabila telefon bimbitku menyanyi lantang.
“Akak kat mana ni?” Soal Shania di hujung talian.
Aku berfikir sebentar sebelum menjawab soalan Shania. Jika aku menjelaskan keadaanku pada Shania pasti Shania yang sudah berada di restoran turun ke ruangan basement ini untuk bersama-sama denganku. Tapi aku tidak mahu menyusahkannya.
“Akak tak dapat nak joint Nialah lunch hari ni. Sorry ek, tiba-tiba ada hal. Kita lunch sama-sama lain kali okay.” Aku mula mencipta alasan. Aku berharap dia dapat menerima alasanku dan tidak bertanya lebih lanjut. Kesal juga rasa hatiku kerana tidak dapat makan tengahari bersama-samanya hari ini. Sudah lama aku dan dia tidak duduk makan bersama.
“Alah…” Shania mengeluh kecil.
“Alah, sorrylah dik.” Aku cuba lagi memujuk, aku tahu Shania pasti terkilan. Apatah lagi diriku ini.
“Tak apalah. Tapi janji nanti Kak Safi tetap kena belanja Nia lunch juga.” Tegas Shania yang mash lagi dengan nada rajuknya.
Okay, no problem.”
Setelah menamatkan perbualan dengan Shania, aku masih lagi menunggu di dalam kereta. Bosan pula rasanya menunggu sahaja begini. Kalau aku perlu menunggu sehingga malam bagaimana? Tak sanggup untuk aku memikirkannya. Tapi jika sudah terpaksa aku kena gagahi jua. Mataku mula memberat, aku cuba menahan mata daripada terlena namun aku terbuai juga akhirnya di dalam kereta itu.
Aku terjaga sebaik sahaja telefon bimbitku bernyanyi lantang sekali lagi. Terpesat-pesat aku membuka mata dan mengapai tas tangan yang aku letakkan di sebelah kerusi penumpang hadapan. Belum sempat aku menjawab panggilan dari Zafril itu bunyi nyanyian mati tiba-tiba. Aku melihat jam di pergelangan tangan, sudah menghampiri pukul empat petang. Agak lama juga aku terlena di dalam kereta ini. Pantas aku memandang kereta peugeot di sebelahku. Fuh… nasib baik kereta itu masih di situ. Di manalah agaknya pemilik kereta itu berada sekarang?
“Takkan dah jadi kereta wakaf kot?” aku bermonolog sendiri.
Aku menepuk dahi, baru teingat yang aku belum menunaikan solat Zuhur. Dengan segera aku keluar dari kereta dan menuju ke surau yang terdapat di dalam kompleks membeli belah itu. Aku berdoa dalam hati moga-moga kereta itu masih ada di situ sesudah aku bersolat nanti
Seusai menunaikan solat aku bergegas semula menuju ke tempat meletak kenderaan bawah tanah itu. Aku mempercepatkan langkah, takut-takut jika pemilik kereta itu telah datang dan berlalu bersama keretanya. Jika itu berlaku maka sia-sialah penantianku sejak tengah hari tadi.
Sebaik sahaja sampai di tempat meletakkan kenderaan itu aku melihat seorang lelaki sedang duduk bertinggung membelek bumper kereta itu. Aku meneliti wajah lelaki itu, muka lelaki itu kelihatan berkerut seribu, mungkin menahan marah melihat keretanya menjadi begitu.
Perasaanku mula tidak senang. Melihat wajah lelaki itu membuatkan aku mula berbelah bagi sama ada mahu menegur lelaki itu atau pun tidak. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya, mencekalkan hati untuk menegur lelaki itu walaupun aku perlu menerima kemarahannya.
“Assalamualaikum.” Aku memberikan salam setelah berada di sebelah lelaki itu.
“Waalaikumusalam.” Jawab lelaki itu sambil mendongakkan kepalanya memandangku. Sebaik sahaja melihatku lelaki itu pantas berdiri dan memandang tepat ke wajahku.
Alamak, nak cakap apa ni? Macam mana nak bagitahu ni? Kecut perutku apabila berhadapan dengannya. Hilang segala keberanian yang telah kukumpul tadi.
“Ini… kereta… encik ke?” Soalku gugup. Lelaki itu menganggukkan kepala. Wajah lelaki tu kelihatan tenang sahaja, namun ketenangan lelaki itu tidak dapat membuatkanku turut berasa tenang sepertinya.
“Yang sebenarnya…” aku menelan liur, cuba mencari kekuatan untuk menerangkan kebenaran. “Sebenarnya, saya yang langgar kereta encik ni.” Aku menarik nafas lega akhirnya terluah juga kata-kata yang sukar untuk diungkapkan tadi.
“Jadi, awak…”
“Iye encik, saya tahu saya salah. Saya minta maaf.” Pantas aku memotong percakapan lelaki itu.
“Bila awak langgar kereta saya ni?” Soalan pertama dari lelaki itu dan matanya masih meneliti wajahku, tidak berganjak walaupun seinci.
“Tengah hari tadi, saya betul-betul minta maaf.” Aku masih lagi cuba memohon maaf. Berduaan dengan lelaki ini di tempat letak kereta ini mengundang perasaan takutku. Sebab itu aku memohon maaf berulang kali, aku tidak mahu lelaki itu memarahiku, takut-takut perkara buruk pula yang terjadi.
“Awak tunggu saya dari tengah hari tadi ke?”
Aku mengangguk laju, mengiakan pertanyaan lelaki itu.
“Setakat nak minta maaf?”
Aku menganggukkan kepalaku sekali lagi dan kali ini aku mengangguk bersungguh-sungguh. Dan dapat aku lihat lelaki itu sedang menyembunyikan senyumannya dariku.
“Eh, tapi bukan sebab tu je. Saya nak bayar ganti rugi sebab dah kerosakan kereta encik ini…” aku ingin menyambung kata namun terhenti apabila telefon bimbitku bernyanyi. Aku meminta diri sebentar dari lelaki itu untuk menjawab panggilan telefon terlebih dahulu.
“Iye, Encik Zafril.” Ujarku selepas menjawab salam dari Zafril. Aku bergerak menjauhi sedikit pemilik kereta peugeot itu.
“Awak kat mana ni?” terus Zafril bertanya.
“Kat rumah!” aku terpaksa berbohong. Kalau aku menceritakan hal yang sebenar aku yakin pelbagai soalan akan muncul darinya. Aku tidak mahu melibatkannya dalam hal ini.
“Oh… Jangan lupa saya ambil awak pukul 8 malam kat rumah awak.”
Beria-ia benar Zafril mengajakku ke majlis makan malam Tanjak Holding malam ni. Walaupun aku tidak pernah menyatakan persetujuanku untuk pergi bersama-samanya namun dia masih lagi mahu aku pergi bersamanya.
Setelah aku menyatakan persetujuan untuk pergi ke majlis itu sekaligus pergi bersamanya, aku segera mematikan talian. Aku ingin menyelesaikan masalah yang baru kucipta tadi sebelum memikirkan apa-apa tentang majlis makan malam itu nanti. Aku segera mendapatkan pemilk kereta peugeot itu semula.
“Macam nilah encik. Saya bagi encik nombor telefon saya, bila encik dah hantar kereta encik ni ke bengkel, encik hubungi saya. Saya akan selesaikan bayarannya.”
Aku mengambil pen yang berada di dalam tas tanganku dan mencatitkan nama dan nombor telefonku di belakang sehelai resit. Aku menyerahkan resit itu padanya.
“Safiah Aisyah?” lelaki itu membaca nama yang aku catitkan.
“Panggil saya Safi je.”
“Saya Faiz Hafizi. Tak payah berencik-encik, panggil saya Hafiz je.” Buat pertama kalinya lelaki itu mengukirkan senyuman buatku.
Aku turut tersenyum melihat senyuman manisnya. “Baik en…”
“Hafiz!” lelaki itu lekas membetulkan panggilanku. Nampaknya bersungguh-sungguh dia tidak mahu aku memanggilnya dengan panggilan encik.
Aku tertawa kecil melihat matanya yang galak memandangku, kononnya tidak puas hati dengan panggilan yang aku gunakan. “Okaylah, Hafiz saya minta diri dulu.”
“Okay, and make sure jangan terlanggar kereta orang lain pula. Nanti habis duit awak nak bayar semua kerosakan tu.” Guraunya dan aku ketawa besar mendengarkan sendanya itu.
“Okay.” Balasku ringkas apabila tawaku mula reda.
Take care. Bawa kereta hati-hati.”
Aku tersenyum menerima kata nasihat darinya. Boleh tahan prihatin juga lelaki ini.
Setelah menjawab salam yang dihulurkan padaku, aku terus memasuki kereta dan sewaktu keretaku mula bergerak Hafiz melambaikan tangan buatku dan aku turut membalas lambaiannya. Satu masalah hampir selesa, kini aku perlu berhadapan dengan Fitri pula. Aku benar-benar berharap Fitri dapat memaafkan kecuaianku, seperti mana Hafiz yang kulihat tidak langsung menunjukkan tanda dia memarahiku. Sungguh baik lelaki itu. Wajah tenang lelaki itu terbayang semula di mataku sekaligus mengundang senyuman di bibirku.

BERDENTUM kuat pintu rumah apabila aku menutupnya dengan kuat. Aku meneruskan langkah ke bilik, teguran Fitri yang berada di ruang tamu tidak aku hiraukan. Sudah lama aku tidak menaruh perasaan marah sebegini pada Zafril, namun malam ini lelaki itu berjaya mengundang amarahku semula.
            Aku mula membelek diriku di hadapan cermin. Mencari apa yang tidak kena dengan baju kebaya yang tersarung di badanku tika ini.
            “Baju yang simple sikit tak ada ke? Yang nak vogue sangat malam ni kenapa?”
            Kata-kata Zafril itu bermain lagi di benakku. Aku meneliti baju itu sekali lagi. Overdresskah aku malam ini? Rasanya baju kebaya ini tidaklah terlalu ketat untukku, kerawang dan manik yang berada pada baju ini pun tidaklah terlalu sarat sehingga boleh dilabelkan sebagai terlalu menyerlah. Tetapi mengapa kata-katanya seolah-olah aku overdress malam ini sehingga dia mengarahkanku menukar baju lain sebelum bertolak ke majlis makan malam Tanjak Holding.
            “Kau ni kenapa?” Soal Fitri yang telah berada di hadapan pintu bilikku.
            “Eh, overdress ke aku malam ni?” aku mendepakan tangan dan mengadap Fitri. Aku ingin mendapatkan jawapan darinya pula.
            “Overdress? Taklah.” Jawab Fitri sambil berjalan dan terus duduk bersila di atas katilku. “Kenapa tak bertolak lagi ni?”
            “Si Zafril tu ada ke patut dia suruh aku tukar baju yang simple sikit. Ish, menyakitkan hati betullah.” Bebelku sambil menanggalkan satu persatu keronsang yang tersemat elok di tudungku.
            “Tak adalah overdress sangat kau malam ni. Tapi kau nampak cantik bila pakai baju tu. Mungkin dia tak nak orang lain pikat kau masa kat hotel tu kut. Nanti dia juga yang makan hati menahan cemburu, bila banyak mata pandang kau. Tu yang dia suruh kau tukar baju tu.” Ulas Fitri panjang lebar tanpaku pinta.
            “Tak logik langsung.” Aku segera menyangkal andaian karut Fitri itu. “Alah, dia tu memang suka sakitkan hati aku.” Aku mula membuka almari pakaian dan mencari baju yang kurasakan sesuai untuk ke majlis makan malam begini.
            “Habis tu kau nak tukar bajulah ni?”
            “Yelah.” Jawabku sepatah dan tanganku masih lagi lincah menyelak setiap baju yang tergantung kemas di dalam almari itu.
             “Lah tadi kata sakit hati, yang kau nak ikut juga cakap dia tu kenapa?” protes Fitri.
            Tanganku mula menghentikan pencarian. Betul kata Fitri itu mengapa aku harus menurut segala katanya? “Entahlah aku pun tak tahu kenapa aku nak ikut cakap dia.” Aku mula keliru dengan diriku. Selalunya aku tidak begini, aku bukanlah jenis orang yang mudah menurut kemahuan apatah lagi arahan orang lain. Jika aku merasakan apa yang aku lakukan itu betul aku akan terus melakukannya tanpa mengambil peduli pandangan orang lain.
            “Ke kau dah jatuh hati kat dia?”
            Pantas aku memandang Fitri yang sedang tersenyum nakal padaku. Jatuh hati? Kat Zafril? Aku mengeleng kepala, tidak mungkin aku sudah jatuh hati pada lelaki yang aku gelarkan buaya tembaga suatu masa dahulu. Tidak mungkin aku akan jatuh hati pada teman lelaki kawan baikku sendiri. Aku mengelengkan kepalaku sekali lagi. Tidak! Aku yakin aku hanya menyenanginya kerana dia bosku, majikanku tidak lebih daripada itu. Aku benar-benar yakin. Tidak mungkin aku telah jatuh hati padanya!
            “Eh, yang kau tergeleng-geleng kepala ni kenapa?” Fitri mencuit bahuku membuatkan aku tersedar dari lamunan.
            Aku pula tergagap-gagap mencari kata. “Tak… apa ni… hah, ni aku tengah fikir nak pakai baju apa?” dalihku, aku tidak mahu Fitri mengetahui apa yang bersarang di benakku sebentar tadi.
            “Alah, susah-susah sangat kau pakai je baju kurung, habis cerita.” Fitri cuba memberikan buah fikiran.
            Aku mula menimbangkan cadangan Fitri itu. Aku yakin jika aku memakai baju kurung pasti hanya aku satu-satunya manusia yang memakai pakaian itu malam ini. Kerana selalunya pada majlis makan malam begini gaun yang selalu menjadi pilihan.
            Gaun? Aku mula terfikir sesuatu, bibirku mula mengukir senyuman nakal. Lantas aku menuju semula ke almari pakaianku dan mengeluarkan sehelai gaun berwarna biru yang kupakai sewaktu prom night di universiti dahulu. Aku pasti gaun itu masih lagi muat tersarung di badanku.
            “Macam ni barulah overdresskan?” aku mengayakan gaun yang masih lagi tersangkut pada penyakut itu di hadapan fitri.
            Fitri yang memandang gaun itu terlopong seketika. “Kau nak pakai baju ni? Biar betul?”
            Aku mengangkat-angkatkan kening sambil tersenyum. Aku terus menuju ke bilik air dan menukar pakain. Seperti yang aku jangkakan gaun ini masih lagi muat di badanku, malah agak longgar sedikit berbanding 3 tahun lalu. Keluar sahaja dari bilik air aku mengosok pula tudung yang senada warnanya dengan gaun ini. Apa yang aku sukakan dengan gaun ini ialah gaun ini agak polos cuma terdapat manik yang membentuk bunga dari paras pinggang hingga ke kaki, itu pun tidaklah terlalu sarat.
            “Hai, makin makan hatilah si Zafril tu malam ni menahan cemburu. Mesti dia menyesal suruh kau tukar baju. Silap-silap hari bulan dengan dia sekali tak lena tidur malam asyik teringat kat kau.”
            Aku tidak mempedulikan kata-kata Fitri itu, aku lantas memakai tudung yang baru kugosok tadi. Bukan itu niatku memakai gaun biru ini.
            “Nak sangat aku overdresskan. Nah, ambik!” bicaraku perlahan sambil terus mengayakan tudung bermanik putih itu.
            “Ish, kau ni suka sangat buat perangai.”
            “Okaylah, aku pergi dulu. Assalamualaikum.” Aku mengapai beg tangan yang kuhumbankan ke atas katil sebentar tadi. Setelah itu aku segera turun mendapatkan Zafril yang pasti setia menantiku di bawah.
            Aku berjalan menghampiri Zafril dan melemparkan senyuman manis yang sengaja kuukirkan untuk menyakitkan hatinya yang sedang memandangku tanpa berkelip sedari tadi.
            “Dah siap, jom.” Ujarku apabila berada di hadapannya. Aku segera masuk ke dalam keretanya sebelum sempat Zafril membuka kata, aku tidak mahu dia menyuruhku menukar pakaian sekali lagi.
            Aku mengerling ke arah Zafril yang masih lagi berada di luar kereta. Dia mengaru kening kanannya, seolah-olah memikirkan sesuatu, kemudian barulah dia bergerak perlahan memasuki keretanya.
            “Kenapa pakai baju ni?” Soal Zafril apabila sudah memasuki kereta. Enjin keretanya masih dibiarkan mati dan matanya terus melekat padaku.
            “Ni aje baju simple yang saya ada.” Selamba aku menjawab.
            “Simple?” membulat matanya mendengar jawapan dariku tadi.
            Aku mengangguk dan membalas renungan matanya yang membulat itu. Aku tahu dia terkejut dengan jawapanku. Dan memang aku mahu itu yang terjadi. Sengaja aku mahu melawan arahannya tadi. Bagiku tiada apa yang salah dengan baju kebaya tadi, baju itu tidaklah terlalu menonjol berbanding baju ini. Baju yang aku fikirkan tidak akan tersarung lagi di badanku selepas prom night di universiti dahulu. Puas hatiku kerana dapat mengenakannya semula. Aku yang memakai pakaian itu tetapi mengapa dia pula yang terlalu cerewet?
            “Cepatlah, nak pergi tak ni? Dah lambat kita ni.” Arahku apabila melihat Zafril masih lagi tidak menghidupkan enjin keretanya.
            Zafril kelihatan berbelah bagi sama ada mahu meneruskan perjalanan atau tidak.
            “Nak pergi tak ni? Kalau tak saya nak turun, saya boleh pergi sendiri, naik teksi.” Desakku.
            Mendengar desakanku yang berbaur ugutan, Zafril segera menghidupakan enjin keretanya. Dia merenungku sekilas sebelum memulakan pemanduan. Sepanjang perjalanan aku dan dia mendiamkan diri. Sekali pun dia tidak menoleh padaku lagi. Hatiku tersenyum senang, pasti dia sedang sakit hati kerana aku melawan katanya. Gembira rasanya dapat mengenakan dirinya.

“ENCIK Zafril, tak nak turun ke?” tanyaku yang sudah berada di luar pintu lif.
            Zafril yang masih berada di dalam lif tersentak mendengar suaraku, pantas dia menahan pintu lif yang hampir tertutup, lalu dia melangkah keluar berjalan beriringan bersamaku menuju ke ballroom hotel itu. Sejak dari dalam kereta tadi aku lihat dia lebih banyak mengelamun entah ke mana.
            “Hai, Safi.”
            Terhenti langkahku dan Zafril dengan kehadiran Datuk Razali yang tiba-tiba muncul di hadapanku sedangkan aku baru sahaja melepasi pintu masuk ballroom ini. Datuk Razali terus merenungku tanpa kelip. Aku yang semakin tidak selesa dengan renungan Datuk itu terus merapatkan diriku pada Zafril yang setia berada di sebelahku.
            “Tulah, siapa suruh overdress malam ni?” bisik Zafril padaku.
            Membulat mataku mendengar bisikan Zafril itu, diluar kawalanku, tiba-tiba tanganku mencubit lengannya. Zafril tertawa besar seketika.
            Datuk Razali pula seperti biasa menghulurkan tangan untuk berjabat denganku dan seperti biasa juga tangan Zafril yang akan menjadi penganti tanganku. Terus mati tawa Zafril sewaktu membalas jabatan tangan Datuk Razali.
            “Nice party.” Sempat Zafril memaniskan semula roma muka yang kelat sewaktu melihat Datuk Razali menghulurkan tangan padaku.
            Datuk Razali tersenyum hambar. “Safi…”
            “Datuk!” sapa seorang wanita sebelum sempat Datuk Razali berbicara denganku.
            Datuk Razali merengus kasar. “Excuse me. Safi, I’ll see you later.” Kata Datuk Razali sebelum berlalu tergesa-gesa bersama wanita muda itu.
            Aku memandang Zafril bertanya tanpa bersuara mengapa Datuk Razali berlalu tergesa-gesa dan Zafril yang memahami pandanganku itu, menjungkitkan bahu tanda dia  pun tidak mengetahui puncanya.
            Zafril mengajakku duduk di meja yang masih lagi kosong di sudut dewan. Baru beberapa langkah ku buka, aku terlanggar seorang wanita yang berada di sebelahku. Wanita mengandung itu hampir terjatuh, aku segera menyambar lengan wanita itu. Berkali-kali aku memohon maaf. Aku tahu aku bersalah kerana melanggarnya.
            “Eh, Safikan?”
            Segera aku mengangkat wajah apabila wanita itu memanggil namaku. “Mona!” aku terjerit kecil dengan pantas aku merangkul Mona ke dalam pelukanku namun tidak sampai. Aku memandang perut Mona yang mula membesar dan kemudian aku dan dia sama-sama ketawa.
            “Berapa bulan ni?” aku mengusik perut Mona.
            “Tujuh.” Mona turut mengusap perutnya. Dia mengerling kea rah Zafril yang masih berada di sisiku.
            “Eh, Zafril! You pun ada sekali?” Mona berhenti bersuara seketika, dia memandang aku dan Zafril satu persatu dan silih berganti. “You datang dengan Safi ke?”
            Mendengar Mona menyebut nama Zafril, baru aku teringat sesuatu. Bukankah Mona berpacaran dengan Zafril? Tapi mengapa Mona kelihatan terkejut apabila berjumpa dengan Zafril, sepertinya mereka telah lama tidak bersua. Adakah benar mereka telah lama tidak berjumpa seperti kata Zafril dahulu. Atau mungkinkag benar tanggapan Fitri yang mereka telah lama putus hubungan? Dan, Mona yang sedang mengandung kini… aduh, pening kepalaku memikirkannya.
            “Ha’ah, apa khabar? Lama tak jumpa.” Jawab Zafril.
            “Sihat. Berjaya juga you jumpa Safi ye.”
            “Macam yang I kata kat you dulu. Kalau dah jodoh tak ke manakan.”
            Mona menganggukkan kepalanya. “Jadi, bila hari langsungnya?” Mona tersenyum nakal padaku dan Zafril pula sudah ketawa senang hati.
            “Langsung apa pulak ni?” aku tidak mengerti. Berkerut dahiku mendengar soalan mona dan ketawa Zafril.
            “Maksud aku bila korang berdua nak bersanding?”
            Aku merasakan kesemua darahku naik ke muka. Rasa malu mula mengcengkam diri. Nampaknya Mona telah salah faham. Aku menarik lengan Mona agar mendekatiku.
            “Ish, kau ni memandai je. Aku kerja kat syarikat dialah. Aku SU dia. Kau jangan nak fikir bukan-bukan pula.” Bisikku di telinga Mona. Sengaja aku berbuat begitu tidak mahu Zafril mendengar butir bicaraku.
            “Ye ke? Tapi aku tengok macam sepadan. Baju bukan main sedondon lagi. Betul ke pekerja dengan majikan je? Macam ada apa-apa je ni.” Usik Mona.
            Aku terus memandang Zafril. Terbeliak mataku memandang Zafril yang sedang memakai kemeja polos biru. Warna dressku memang sama dengan warna baju yan dikenakan Zafril, warna biru laut. Aku benar-benar tidak perasan akan hal itu. Jika difikirkan secara logic memang seolah-olah kami telah merancang memakai baju yang sama warna tapi hakikatnya itu hanyalah kebetulan. Menyesal pula aku mengambil keputusan menyarungkan dress biru ini.
            “Dah sehati sejiwa nak buat macam mana.”
            Kata-kata Zafril itu seolah-olah mengiakan andaian Mona tadi. Aku jadi kalut dan ingin membetulkan keadaan. Namun belum sempat aku meluahkan kata seorang lelaki datang menyapa Mona.
            “Tadi kata nak ambil plum?”
            Aku melirik memandang lelaki yang memeluk bahu Mona.
            “Memang nak pergi ambil tapi terjumpa pula dengan member lama.” Moan melirikan senyuman pada lelaki disebelahnya. “Safi, Zaf kenalkan ni husband I.”
            Suami Mona melepaskan pelukan pada bahu Mona dan berjabat tangan dengan Zafril dan menundukkan kepalanya padaku.
            “Bila kau kawin Mona?” aku terus menyoal. Tidakku sangka yang Mona telah berumah tangga.
            “Masa aku belajar kat Australia dulu. Masa tu husband aku ni buat master kat sana.”
            Aku lihat Mona memandang tepat ke mata suamiku apabila menceritakan kisah cinta mereka. Suami moan juga turut membalas pandangan Mona dengan senyuman manis. Aku dapat merasakan kedua-dua mereka amat mencintai satu sama lain. Aku tumpang gembira melihat kebahagian Mona itu.
            Setelah aku dan Mona bertukar-tukar nombor telefon, suami Mona meminta diri untuk pulang. Pasti dia risaukan keadaan Mona yang sarat mengandung yang berembun malam-malam begini.
            Sepanjang berada di majlis itu Zafril tidak pernah lekang dari sisiku, sesaat pun dia tidak mahu aku berjauhan darinya. Apabila dia mahu berbual dengan sesiapa pun di dalam majlis ini pasti aku akan diseret bersama. Aku mula tidak selesa, ballroom yang dingin dirasakan hangat semacam. Aku mahu pulang, aku sudah tidak betah berada dalam majlis ini lagi.
            “Kenapa?”
            Aku mengelingkan kepala tidak mahu Zafril mengetahui apa yang aku rasakan saat ini.
            “Jom balik.”
            Aku segera bangun selepas mendengar ajakan Zafril itu. Aku betul-betul tidak mahu berada lagi dalam majlis ini. Aku terasa seperti tidak dapat bernafas apabila berada dalam dewan ini, Dengan orang yang memenuhi setiap ruang dewan, lampu yang agak malap dan bunyi lagu yang binggit merimaskan diriku. Aku berjalan laju dan segera keluar dari ballroom sekaligus hotel itu.
            Aku mula berasa lega apabila berada di dalam kereta Zafril. Nafas kutarik dan kuhembus perlahan-lahan.
            “Kenapa?” Zafril yang sedang memandu memandang sekilas padaku yang berada di sebelahnya.
            Soalan yang sama dari Zafril namun aku masih mengelengkan kepala.
            “Seronok majlis tu?”
            Aku mencebikkan bibir. “Rimas.”
            “Rimas?” berkerut dahi Zafril mendengar jawapan dariku. Dia memandangku sekali lagi. “Em… sebab ramai sangat yang merenung awak malam ni terutamanya Datuk Razali. Itu yang awak rimaskan.”
            Aku mengeluh berat. Aku tidak faham apa yang sedang Zafril cuba sampaikan. Aku bukannya artis terkenal sehinggakan ramai yang merenungku malam ni. Tak masuk akal langsung. Malas aku mahu melayan andaian karut lelaki ini.
            “Tulah, siapa suruh awak cantik sangat malam ni.” Zafril tersenyum panjang.
            Aku pantas memandang tepat padanya. Makin dibiarkan makin merapu-rapu pula bosku ini malam ini. Tak boleh dibiarkan, nanti makin panjang jadinya.
            “Alah, Encik Zafril tu pun apa kurangnya. Ramai juga perempuan dalam dewan tu yang curi pandang kat encik. Lepas tu kalau berbual asyik berbual dengan perempuan aje yang lebih, sampai saya yang tak ada kene-mengena ni pun diheret sekali. Encik ni memang ramai kawan perempuan je ke? Sampai dah ketandusan kawan lelaki.” Luahku dengan rasa geram yang teramat sangat.
            Zafril ketawa. “Seingat saya, saya berbual dengan dua kawan perempuan je tadi. Tu pun yang dah kahwin. Kenapa, cemburu ke?”
            “Tak ada maknanya.” Pantas aku menjawab dan disambut oleh ketawanya.
            “Teman saya pergi makan.” Aju Zafril setelah ketawanya reda.
            “Aik, tadi tak makan ke?” sengaja aku bertanya begitu, sedangkan aku tahu dia sedikit pun tidak menjamah apa-apa makanan di sana. Air pun hanya diambil segelas itu pun hanya diteguk sekali dua.
            “Tak ada seleralah nak makan kat sana.” Kata Zafril yang sudah pun membelok keretanya memasuki sebuah restoran yang beroperasi 24 jam.
            “Tak selera atau makan hati sebab tahu Mona dah kahwin?” aku sengaja mahu mengusik Zafril. Aku tahu sebagai sseorang yang pernah menjadi teman lelaki Mona pasti berita perkahwinan Mona itu sedikit sebanyak menyentuh hati lelakinya. Aku tidak pernah menyangka Mona dan Zafril telah terputus hubungan, Aku fikirkan mereka masih bersama selama ini.
            “Memang saya makan hati.” Zafril memandangku, kereta Nissan sylphynya telah elok terparkir di tempat letak kereta berhadapan restoran mewah itu. “Tapi bukan sebab Mona. Saya makan hati sebab Datuk Razali tu dari mula kita datang sampai kita balik mata tu tak habis-habis merenung awak. Bini ada dalam majlis yang sama pun ada hati lagi nak try awak. Miang betul orang tua tu.” Bebel Zafril sambil mematikan enjin keretanya.
            “Satu spesis dengan Encik Zafrillah tu. Buaya tembaga.” Laju sahaja ayat itu meniti di bibirku.
            “Apa awak cakap?” Zafril merenungku tajam.
            Aku mula kaget. “Er… cepatlah encik saya dah lapar ni.” Aku terus turun dari kereta sebelum Zafril menghamburkan kemarahan padaku akibat kata-kataku tadi. Aku pun tidak tahu bagaimana begitu ringan mulutku meluahkan ayat itu. Sudah lama aku tidak memanggilnya sebegitu dan aku berharap dia tidak mendengar dengan jelas kata-kataku tadi. Aduh, cari nahas betullah.

Bersambung...

6 comments:

Minsofea said...

dah ada hero baru nampakynya......zafril belum luah perasaan yg sebenar2nya kat safi......safi pun mcm x ambil kesah perlakuan2 prihatin zafril padanya...........

.....x sabar nk tunggu saat mereka meluah perasaan..

Anonymous said...

hahaha......“Satu spesis dengan Encik Zafrillah tu. Buaya tembaga.”ambik tu Zafril.....apapun...mmg best....Adah...ezz an

umi kalsom said...

hehe... mmg sesuai sungguh zafril dgn safi.
nasib mona dh kawin... tpi nmpak gaya, zafril bakal ada pesaing baru...
best!!! :)

evy said...

wah...nampaknya zafril dah ada pesaing baru.....cpt2 la zafril nyatakan perasaan dia dgn safi tu...klu x nnt melepas..hehehe

ieda ismail said...

hehehe, kan safi da overdress betol2....makin mkn ati la zafril kalo dato' tu asik dtg opis nnt semata2 nk ngurat safi

Anonymous said...

Best....

Post a Comment