Thursday, September 15, 2011

Ada Di Hati - Bab 17


TUJUH BELAS
            Telefon bimbitku yang berada di dalam bilik bernyanyi lantang. Segera  aku meletakkan sudu ke dalam pinggan, dan masuk ke dalam bilik mencari telefon bimbitku. Sampai sahaja di dalam bilik, nyanyian telefon bimbit itu sudah berhenti. Aku mengeluh kecil, buat penat berlari aje!
            Namun  aku teruskan juga langkah ke meja solek untuk mengambil telefon itu, sengaja mahu melihat siapa yang mencariku pagi sabtu begini. Berkerut dahiku apabila telefon bimbitku tiada di situ. Seingatku, sebelum aku masuk tidur semalam, aku meletakkan telefon bimbit di atas meja ini. Aduh, mana pula ni? Aku pantas mencari di sekitar bilik.
            Tiba-tiba telefon bimbit itu berlagu sekali lagi, aku mengerling ke arah katil apabila mendengar lagu itu datang dari arah sana. Aku mengangkat bantal pelukku.
            “Ish, kat sini rupanya,” bebelku sendirian.
            “Zafril?” Bisikku perlahan apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitku. Tidak dapat aku teka apa lagi yang diinginkan oleh dia pagi-pagi begini. Dia baru sahaja menghubungiku pada pukul 1 malam tadi, dan perbualan itu berlanjutan hampir dua jam. Perbualan yang lebih dikuasai Zafril. Bersemangat sungguh dia bercerita itu dan ini padaku tanpa rasa jemu. Kalau diikutkan rasa hatiku, malas aku mahu melayan karenahnya malam tadi, rasa mengantuk waktu itu begitu mencengkam diri namun aku tetap meneruskan perbualan, bukan apa, aku cuma takut bosku itu terasa hati jika aku berbuat begitu padanya.
            Kini telefon itu berlagu buat kali yang ketiga, hendak tak hendak, terpaksalah juga aku menjawab panggilannya. Entah mengapa semenjak kebelakangan ini acapkali dia menelefonku tak kira siang atau malam. Main redah sahaja.
            “Assalamualaikum.” Perlahan sahaja aku memulakan perbualan.
            “Kenapa lambat sangat nak jawab?” Soal Zafril sebaik sahaja selepas dia menyambut salamku.
            “Kat dapur tadi. Itu yang lambat sikit. Kenapa Encik Zafril?” dengan malas aku bertanya, kaki pula sudah mula melangkah menuju ke meja makan semula. Duduk di tempat asal dan kembali menyambung sesi mengisi perut.
            “Cepat bersiap!”
            “Bersiap?” Soalku sepatah. Nasi goreng yang ingin kusuapkan ke dalam  mulut kuletakkan semula ke dalam pinggan.
            “Ha’ah awak temankan saya keluar hari ni.” Ujar Zafril begitu ceria.
            “Keluar? Ke mana?” pelik rasanya dengan permintaan Zafril. Tidak pernah kami keluar bersama selama ini. Kalau ada pun hanya pada waktu pejabat dan atas urusan syarikat. Bukan pada hari-hari cuti begini.
            “Adalah, nanti saya bagi tahu. Cepat sikit, saya dah tunggu kat bawah ni.” Kemudian dia terus mematikan talian.
            Aku termangu serta merta. Benarkah dia telah bersedia menungguku di bawah pangsapuriku ini. Aku terus melangkah menuju ke balkoni untuk memastikan kebenaran kata-katanya. Aku mengeluh berat apabila melihat Zafril telah pun sedia menantiku di bawah sambil bersandar pada kereta Nissan Sylphynya itu.
            Dengan keadaan terpaksa aku menuju ke bilik untuk menukar pakaian. Setelah melihat Zafril berada di bawah, aku yakin tiada ruang untuk diriku menolak permintaannya. Sakit pula hatiku apabila dia mengarahkanku sesuka hati sahaja walaupun pada hari-hari cuti begini.
            Selang 30 minit kemudian aku melangkah menuju ke arahnya yang sedang menanti di sebelah kereta. Senyumannya makin melebar melihat aku makin dekat dengannya.
            “Lamanya bersiap, mengalahkan artis.” Omel Zafril sambil tersenyum apabila aku sudah betul-betul berada di hadapannya.
            “Biasalah perempuan,” aku memberikan alasan, sedangkan aku memang sengaja bersiap perlahan-lahan sebentar tadi. Sebenarnya, sekadar menyarungkan baju blaus paras lutut berwarna merah jambu, berseluar jeans putih, tudung bawal yang juga berwarna merah jambu, serta muka yang dilapik dengan bedak dan secalit pelembab bibir tidak perlu memakan masa selama itu. Tapi aku sengaja melengah-lengahkan waktu membiarkan dia menungguku. Mendera sedikit lelaki di hadapanku ini.
            Zafril pantas membuka pintu penumpang hadapan untukku.
            “Eh, tak apa encik Zafril. Saya boleh buka sendiri,” aku cuba menghalang tindakannya. Aku tidak selesa apabila diperlakukan sebegitu.
            Dia langsung tidak mempedulikan kata-kataku, dia memberikan isyarat mata agar aku masuk ke dalam kereta. Aku mengeluh sekali lagi, aku benar-benar tidak selesa dengan keadaan itu. Tolonglah aku terasa lain macam sahaja.
            “Nak ke mana ni?” soalku apabila kereta Zafril telah berada di atas jalan raya.
            “Awak dah sarapan?” Zafril pula yang menyoal apabila lama membisu dari menjawab soalanku.
            Aku mengerling jam pada dashboard kereta itu. Hampir pukul 11.00 pagi, logikkah soalan itu ditanyakan pada waktu ini?
            “Dah. Nak ke mana sebenarnya ni Encik Zafril?” aku bertanya lagi. Selagi aku tidak tahu ke mana hala tuju hari ini, selagi itu aku tidak berpuas hati.
            “Awak ni Safi, degil betulkan. Sekarang ni bukan waktu pejabat tak payahlah nak berencik-encik dengan saya.”
            “Nak ke mana sebenarnya ni?” Aku tidak mempedulikan kata-katanya, dia memang tidak mahu aku memanggilnya dengan pangkal nama encik, kalau boleh di waktu pejabat pun dia tidak mahu aku berencik-encik dengannya, telah acapkali aku mendengar ayat itu keluar dari bibirnya. Aku sudah lali. Bukan itu yang aku mahu dengar kini. Apa yang aku mahu dengar darinya kini adalah hala tuju kami sekarang, itu sahaja!
            Zafril merengus seketika. “Saya nak awak temankan saya pergi beli barang sikit. Tapi sebelum tu kita tengok wayang dulu, okay.”
            Amboi, pergi beli barang pun nak ajak aku ke? Ingat aku ni orang gaji dia ke? Siap bersyarat sebelum beli barang kena tengok wayang dulu pula tu. Ni dah lebih ni.
            “Terus aje pergi beli barang tu tak boleh ke encik? Tak payahlah nak tengok-tengok wayang ni. Jimat sikit masa” Cadangku pula. Aku tidak mahu terlalu mengikut semua kemahuannya. Nanti entah apa-apa lagi yang dirancangnya.
            “Eh, mana boleh. Baru pukul berapa ni, banyak kedai tak buka lagi. Kita tengok wayang dulu lepas tu kita makan tengahari sama-sama. Petang sikit baru pergi beli barang, okay.”
            Nah, ditambah pula satu lagi agenda, makan tengah hari bersama. Aku ingin membuka mulut membantah, tapi aku batalkan sahaja niatku itu apabila mengenangkan berkemungkinan besar Zafril akan membuat rancangan tambahan jika aku bersuara. Ish, tak logik betul dah pukul 11 lebih takkan banyak kedai tak buka lagi. Ishh… geramnya…
            Sebaik sahaja sampai di pusat membeli belah midvalley itu aku terus menuju ke kaunter tiket. Tanpa meminta apa-apa cadangan atau buah fikiran dariku filem mana yang hendak ditonton dia lantas membeli dua tiket.
            “Jom,” ujar Zafril sambil menyerahkan air pepsi padaku.
            Aku hanya mengekori langkahnya memasuki panggung wayang. Malas aku ingin mengambil tahu filem apa yang bakal tersaji di depan mataku sebentar lagi.
            Ish, kedekut betul, satu popcorn je dia beli. Sempat aku membebel dalam hati apabila melihat sekotak popcorn yang berada di gengamannya.
            Sebaik sahaja aku dan Zafril duduk di bangku panggung itu, terlayar tajuk filem yang akan kami tonton sebentar lagi. Melihat sahaja tajuk itu aku pantas memandang Zafril yang berada di sebelah kananku.
            “Awak memang suka tengok cerita Johnny Depp kan?” Soal Zafril dengan senyuman.
            “Memandai je.” Ujarku sambil menutup resah di hati. Aku memandang semula skrin besar yang terlayar di hadapanku. Bagaimana Zafril tahu tentang perkara itu?
            “Alah, tak payah nak tipulah, saya dah dengar semalam awak cakap pada Amy yang awak teringin sangat nak tengok filem ni kan?” Zafril terus cuba menyelongkar rasa hatiku.
            Aku memandang Zafril kembali. Adakah Zafril mengajakku keluar hari ini adalah semata-mata untuk memenuhi keinginan yang aku katakan pada Amy semalam? Wajah Zafril terus kutatap, cuba mencari keikhlasan di wajahnya.
            Zafril menghulurkan popcorn yang sedari tadi dipegangnya padaku. “Kita kongsi, em…” ujar Zafril perlahan.
            Aku tersenyum nipis dan mengangguk. Aku mengambil beberapa butir popcorn kemudian memandang semula layar dihadapan. Mengapa harus sebegini sekali layanannya padaku? Aku menjadi resah seketika.

ZAFRIL menolak perlahan troli yang agak sarat dengan barangan, matanya melilau mencari pelbagai jenis barangan yang tersusun rapi di atas rak-rak yang tersedia. Aku sedikit terkejut melihat Zafril membeli terlalu banyak barangan dapur. Seingatku dia duduk bujang di sebuah kondominium di Cheras dan sesekali sahaja pada hujung minggu dia akan pulang ke rumah orang tuanya di Sri Kembangan. Jadi apa perlu barangan dapur sebanyak itu?
            “Awak selalu minum yang mana satu?
            Tercantas lamunanku apabila mendengar soalan dari Zafril. Aku merenung tin milo dan vico yang dipegangnya. Tanpa banyak fikir aku menunjukkan tin milo. Kemudian dia menyimpan semula tin vico di rak semula. Dua tin milo di ambil dan diletakkan ke dalam troli.
            “Encik selalu minum yang mana satu?” Sengaja  aku ingin mengetahui selera pilihan minuman berperisa coklatnya.
            “Yang tu.” Zafril menunjukkan tin vico yang telah disimpan semula ke rak. Dia menolak troli itu ke rak barangan di sebelah pula.
            “Habis tu kenapa encik beli jenama ni?” Aku semakin pelik, jika jenama itu yang menjadi pilihannya selalu, mengapa jenama ini pula yang ingin dibelinya. Sampai dua pula tu.
            Zafril hanya tersenyum mendengar soalan dariku. Dibiarkan sahaja soalanku tergantung tanpa jawapan.
            “Kalau biskut pula awak selalu beli yang mana?” Zafril sudahpun berhenti di hadapan rak yang mempamerkan pelbagai jenis dan jenama biskut.
            Aku mengaru kepala yang tidak gatal. Pelik benar aku dengan perangai Zafril. Semua barang yang ingin dibelinya hari ini memerlukan aku yang membuat pilihan. Selepas makan tengah hari tadi, dia sempat membeli beberapa helai kemeja dan kesemua kemeja itu dibeli atas pilihanku. Daripada segi tekstil kain dan warna, semuanya Zafril meminta aku yang membuat pilihan dan dia hanya membayar kemeja yang telah aku pilih tanpa sebarang bantahan.
            “Pandai awak pilih.”
            Hanya itu ayat yang terkeluar dari bibir Zafril setiap kali aku selesai membuat pilihan kemeja yang aku rasakan sesuai dengannya. Benarkah aku pandai memilih atau dia sengaja mahu menjaga hatiku ini? Aku mula terfikir, tidak mungkin semua pilihanku menepati citarasanya.
            “Yang mana ni?”
            Aku pantas memandang Zafril yang sedang meneliti sebungkus biskut di tangannya. Tanpa berlengah lagi aku menunjukkan biskut yang selalu aku beli ketika membeli-belah dengan Fitri setiap hujung bulan. Dan seperti biasa Zafril mengapai dua tin biskut yang aku tunjukkan lalu dimasukkan ke dalam troli.
            Hampir sejam setengah kami berada di dalam pasaraya itu. Setelah membuat bayaran Zafril menolak troli menuju ketempat letak kereta. Apabila sampai sahaja di basement aku membantu Zafril memasukkan barang-barang yang dibeli tadi ke dalam boot.
            “Kita baliklah ye Encik Zafril. Penatlah.” Aku terlebih dahulu membuat permintaan sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Aku tidak mahu Zafril membuat rancangan tambahan lagi selepas ini. Cukuplah, aku benar-benar telah keletihan.
            “Okay,” Zafril terus sahaja bersetuju tanpa sebarang bantahan. Dia memandu laju menghantarku pulang ke rumah.
            Sampai sahaja di pangsapuriku, Zafril segera mematikan enjin keretanya.
            “Awak tunggu sekejap.” Zafril terus turun dari keretanya dan menuju ke boot keretanya.
            Aku yang pelik dengan perangai Zafril segera turun dari kereta dan melihat Zafril yang sedang mengasingkan barang-barang dapur yang dibelinya tadi.
            “Dah, jom.” Zafril menutup boot keretanya dan mengunci keretanya. Dia membimbit ampat beg plastik yang sarat dengan barangan dapur di kiri dan kanan tangannya.
            “Rumah awak kat tingkat dua kan?” Soal Zafril apabila aku dan dia sudah berada di dalam lif.
            “Encik Zafril nak buat apa sebenarnya ni?” tanyaku yang makin keliru apabila Zafril turut menaiki lif bersamaku. Punat yang bernombor dua itu Zafril tekan. Takkan Zafril ingin mengikutku pulang ke rumah?
            “Saya nak hantar barang-barang ni kat rumah awaklah.”
            Aku terkedu seketika. “Barang-barang ni encik…” kata-kataku terhenti di situ. aku menelan liur. Cuba mencerna semula setiap patah kata yang keluar dari bibirnya.
            “Ye, saya beli untuk awak.” Zafril terus keluar dari lif apabila pintu lif telah terbuka luas sebaik sahaja sampai di tingkat dua dan aku jua turut keluar dari lif itu dan mematikan langkah di hadapan pintu lif yang telah tertutup rapat.
            “Er… tapi encik saya…”
            “Dah jangan nak banyak cakap. Saya beli ni ikhlas untuk awak. Terima jelah.” Pantas Zafril memotong sebelum aku sempat menghabiskan kata.
            “Tapi encik saya tak boleh terima banyak sangat ni.” Aku terus meluahkan apa yang aku rasakan. Barangan yang berada di tangannya aku renung satu persatu. Keempat-empat plastik itu penuh dengan barangan dapur.
            “Habis tu betullah tak nak ni?” Zafril mula merenungku yang berada di sebelahnya.
            Mendengar soalannya itu aku pantas mengangguk laju. Aku benar-benar-benar tidak mahu.
            Tiba-tiba dengan kasar Zafril meletakkan keempat-empat plastik itu dihadapanku. Aku terkejut mendengar bunyi yang terhasil dari hentakkan barangan itu ke lantai. Wajahku direnung tajam, rahangnya bergerak-gerak seolah-olah menahan marah.
“Saya beli semua tu memang untuk awak. Tapi kalau awak dah tak nak, buang aje semua tu kat tong sampah.” marah Zafril padaku. Kemudian dia berpaling dan menekan butang untuk turun ke bawah. Sebaik sahaja lif terbuka dia memboloskan diri ke dalam lif tanpa sedikit pun menoleh kepadaku lagi.
Aku terdiam melihat Zafril yang berlalu begitu sahaja. Kecil hatikah dia padaku? Aku bukan sengaja berbuat begitu, aku cuma tidak mahu dilihat mengambil kesempatan ke atas kebaikannya pada diriku ini.
Aku kian serba salah. Takkan mahu  dibuang ke semua barangan itu. Setelah lama berfikir, akhirnya aku menjinjit kesemua barangan itu dan kubawa masuk ke dalam rumah.

Bersambung...

9 comments:

Anonymous said...

nak lagi nak lagi.... cepat samb ye.... nk g pujuk zafril ni, merajuk tak habis2.... - hani

Anonymous said...

zafril merajuk nak suruh safi pujuk la tu..

nadiah_abdllah said...

aaaa.. best3..
kak adah, berapa episod cerita ni?

Nurul QisDhira said...

aisey, zafril merajuk...
safi kena pujuk...

blinkalltheday said...

mak aihh zafril...sensitip btl!!!safi cepat pujuk zafril..

evy said...

cpt smbg...nak tau mcm mn safi nak pujuk zafril...

Aida Sherry said...

susah kalau lelaki merajuk...payah nak pujuk...

ieda ismail said...

aiyokk.....zafril da merajuk, payahnya nk pujuk laki merajuk

norien arshad said...

akak ...cpt update ... ta sbr nk bc lg huhu ...

Post a Comment