Monday, September 19, 2011

Ada Di Hati - Bab 18


LAPAN BELAS
Kelibat Zafril yang berada di dalam pantry itu menyebabkan ku membatalkan niat untuk menuju ke mejaku. Aku memerhatikannya dari muka pintu. Selesai membasuh mugnya Zafril mencapai bekas berisi kopi dan gula yang berada di dalam rak.
Sudah hampir seminggu dia membuat minumannya sendiri. Selalunya sebelum ini tidak kira pagi atau petang pasti Zafril akan mengarahkan aku untuk menyediakan minuman kopi kegemarannya itu. Tapi semenjak aku menolak untuk menerima barangan dapur daripadanya minggu lalu, dia tidak lagi memintaku menyediakan minuman untuknya. Masih marahkah dia pada diriku ini? Dalam minggu ini juga, aku tidak lagi menerima sebarang panggilan telefon daripadanya selepas waktu pejabat seperti sebelumnya. Paling menghairankan, dia juga tidak cuba mengusikku dan mengenakanku seperti selalu. Sejak semalam, selepas dia bermesyuarat dengan Ahmad, dapat aku lihat dia lebih banyak termenung dan kadangkala dia hilang tumpuan pada kerjanya. Kenapa dengan dirinya? Hatiku jadi tertanya.
“Encik Zafril nak buat air ke?” Soalku apabila telah berdiri di sebelahnya. Dia kelihatan sedikit terkejut melihat aku berada di sebelahnya. Dia mengangguk kecil dan tangannya terus memasukkan serbuk kopi ke dalam mug.
“Biar saya buatkan.” Aku terus mengambil mug dari tangannya dan dia membiarkan sahaja aku aku menyambung tugasnya itu. Zafril kemudiannya bergerak menuju ke meja bulat yang terdapat di dalam pantry itu.
Selesai menyediakan kopi, aku terus membawa mug pada Zafril. Aku letakkan mug itu di atas meja, betul-betul di hadapan Zafril dan kemudian aku terus sahaja duduk menghadapnya.
“Encik Zafril ada masalah ke?” aku cuba menyelongkar segala isi hati Zafril pada tika ini. Aku tidak tahu mengapa aku ingin sekali dia berkongsi masalahnya itu denganku.
Zafril masih lagi menyepi, soalanku tadi langsung tidak dijawabnya. Mug yang sudah berada di dalam genggamannya juga langsung tidak dicicip.
“Dengan berkongsi masalah sekurang-kurangnya ringan sikit beban tu.” Aku masih lagi cuba memujuk.
“Kenapa saya kena cerita masalah saya pada awak?” akhirnya keluar juga bicara dari bibir lelaki itu, setelah sekian lama menyepi. Matanya merenungku yang berada di hadapannya.
Aku terdiam seketika, cuba mencari jawapan yang sesuai.
“Encik anggaplah yang encik sedang berkongsi masalah dengan kawan encik.” Berjaya juga aku memikirkan jawapan yang wajar diberikan.
“Saya tak pernah anggap awak kawan saya pun!” kata Zafril sejurus bangun dan membawa mugnya keluar dari pantry, meninggalkan ku sendirian.
Terkedu aku mendengar kata-katanya. Dia langsung tidak pernah menganggapku sebagai kawannya? Tapi mengapa sewaktu dia membawaku berjumpa dengan mamanya dia memperkenalkanku sebagai kawannya dan bukan sebagai pekerjanya? Kini barulah aku tahu, antara diriku dengannya yang ada hanyalah hubungan antara majikan dan pekerja. Tidak lebih daripada itu. Menyesal pula aku menganggap dia sebagai kawanku semenjak dia membawaku berjumpa dengan makcik Hasnah beberapa minggu lalu.
Lamunanku terhenti apabila telefon bimbitku berlagu lantang.
“Assalamualaikum, ibu.” terus sahaja aku memberikan salam sebaik sahaja talian bersambung.
“Safi balik rumah ye hari ini,” ujar ibu sebaik sahaja selesai menjawab salam dariku.
“Kenapa bu? Ada apa-apa masalah ke?” Aku mula cemas, tidak pernah ibu mengarahkanku puang ke rumah pada awal minggu sebegini.
“Ada surprise sikit untuk Safi. Balik tau petang ni.”
Aku ingin bersuara lagi tapi ibu telah mematikan talian terlebih dahulu. Aku memadang jam di pergelangan tangan. Sudah menghampiri pukul lima petang. Aku harus berkemas untuk pulang ke rumah ibu. Terus sahaja aku bangun dan menuju ke ruang kerjaku.

HILAI tawa kedengaran dari pintu pagar rumah orang tuaku. Aku mempercepatkan langkah memasuki rumah. Aku ingin mengetahui siapa yang bertandang ke rumah pada waktu ini. Aku memberikan salam dan mula masuk ke dalam rumah. Terperanjat aku melihat mak ngah turut berada di ruang tamu itu.
            “Eh, mak ngah bila sampai?” aku terus sahaja bersalaman dengan mak ngah selepas aku bersalaman dengan kedua-dua orang tuaku.
            Sudah lama aku tidak berjumpa dengan mak ngah. Semenjak Shania melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, mak ngah juga turut ikut sama ke Amerika bersama Shania. Mereka berdua memang tidak pernah mahu berenggang walau sesaat pun.
            “Petang tadi. Safi baru balik kerja ke ni?” mak ngah mengusap pipiku, menumpahkan kasih sayangnya padaku. Sudah lama rasanya dia tidak berbuat begitu padaku. Terus terasa rindu untuk bermanja dengannya.
            Aku mengangguk kepada bagi menjawab soalan mak ngah. “Nia mana?” soalku yang baru perasan Shania tidak berada di ruang tamu ini bersama dengan kami semua.
            “Ada dalam bilik Safi.” Jawab ibu pula.
            Aku terus tersenyum sebaik sahaja mendengar kata-kata ibu. “Safi pergi jumpa Nia sekejab ye.” Aku terus bangun dan menaiki tangga menuju ke tingkat atas mendapatkan Shania. Rindu benar aku untuk berjumpa dengan adikku itu.
            “Nia…” laungku sebaik sahaja membuka pintu bilik.
            “Kak Safi!” Shania terus bangun dari katil dan berlari mendapatkanku di muka pintu. Dia memelukku erat.
            “Sampai hati tak bagi tahu pun nak balik Malaysia hari ini.” Terus sahaja aku menyuarakan ketidakpuasan hatiku apabila pelukan kami terlerai.
            “Alah, akak tu lagi sampai hati, tak datang pun konvo Nia.” Shania menarik muncung dan menarik tanganku membawaku duduk di atas katil.
            “Nia ingat murah ke tambang ke Amerika tu? Habis duit gaji akak sebulan tau.” Aku membela diri. Bukannya aku tidak mahu menghadiri majlis konvokesyen Shania tapi memang poketku tidak mengizinkan. Sudah sampai di sana tidak mungkin aku mahu duduk di dalam hotel sahaja. Sekurang-kurangnya ingin juga aku melawat di sekitar bandaraya itu. Bila mengenangkan semua itu makin bergetar poketku.
            “Alah akak ni dengan Nia pun nak berkira. Tangkai jering.”
            Membulat mataku mendengar kata-kata Nia itu. Pantas aku menarik hidung Shania yang mancung itu. Kemudian kami sama-sama tertawa.
            “Nia balik terus ke balik bercuti je ni?”         
            “Balik teruslah kak.”
            “Tak nak kerja kat sana dulu ke? Selalunya student overseas ni sebelum balik sini, kerja kat sana dulu. Silap-silap terus kerja kat sana.”
            “Nia ni nak cari ilmu je kat negara orang. Bakti dan budi, baik curahkan kat Negara sendiri. Lebih afdal.” Bersungguh-sungguh Shania mengutarakan pendapatnya.
            Tersenyum aku mendengar pendapat Shania itu.
            “Habis tu mak ngah macam mana?” aku mula membuka tudung yang membaluti kepala.
            Mak ngah memang seorang usahawan yang berjaya. Sebelum mengikut Shania ke Amerika mak ngah mempunyai spa di sini dan apabila dia mengikut Shania ke Amerika dia menyerahkan spanya itu kepada rakan kongsinya untuk diuruskan. Dan rupa-rupanya di sana mak nagn membuka sebuah spa yang sekarang ini sedang berkembang maju.
            “Mummy pun terus balik sini.”
            “Habis tu Spa kat sana?” tidak mungkin spa di sana ingin ditinggalkan begitu sahaja.
            “Mama dah jual. Mama nak uruskan spa kat sini je. Lepas tu mama kata nak buka cawangan.”
            Kagum aku dengan mak ngah yang begitu rajin dan komited dengan kerjanya. “Oh… habis Nia bila nak cari kerja? Graduat lepasan oversea macam Nia ni sekelip mata je boleh dapat kerja.” aku yakin Shania pasti mudah untuk mendapatkan kerja, memandangkan dia graduan luar Negara tambahan pula dengan ijazah kelas pertamanya mana-mana syarikat pasti sudi melamarnya.
            “Nantilah kak, nak rest dulu.” Shani sudah mula berbaring di atas katilku.
            “Suka hati Nialah. Tapi jangan sampai jadi penganggur tak bertauliah sudah.” Aku sekadar mahu bergurau dengan Shania. Dan sepanjang malam itu kami berbual panjang setelah sekian lama tidak bersua muka.

HELAIAN akhbar yang berada di hadapan mataku, kuselak satu persatu. Semuanya tidak menarik minatku untuk mengetahui kisah lebih lanjut. Aku hanya membaca tajuk besar yang terpampang di dada akhbar. Namun semua itu hanya dibaca sepintas lalu, sedikit pun tidak menjengah di mindaku.
            “Kak, apasal dua hari ini Amy tengok akak macam tak ada mood je, kenapa? Amy mula meninggalkan kerjanya dan memandangku yang berada di hadapannya.
            “Mana ada, akak biasa je.” Dalihku. Aku sememangnya tiada mood. Semenjak daripada perbualanku dengan Zafril di pantry dua hari lalu, moodku hilang entah ke mana, untuk datang bekerja juga aku sudah malas, namun ku tetap gagahi juga. Adakah kata-kata Zafril di pantry hari itu menguris hatiku? Aku sendiri tidak pasti. Namun aku sedikit terkilan kerana kata-kata Zafril itu menunjukkan seolah-olah pekerja biasa sepertiku ini tidak layak menjadi kawannya. Tapi mengapa aku harus mengambil berat tentang isu itu? aku sendiri keliru.
            “Takkan sebab Encik Zafril jarang ada kat pejabat dua hari ni, mood akak pun melayang ikut Encik Zafril kot.” Amy cuba mengusik.
            “Tolong sikit, tak ada maknanya.” Pantas aku sangkal andaian mengarut Amy. Aku menjeling tajam pada Amy yang sudah mula ketawa terbahak-bahak.
            “Aik, marah?”
            “Tak marahlah, Suka sangat.” Aku pura-pura tersenyum gembira, dalam hati menahan geram menerima usikan Amy.
            “Assalamualaikum.”
            “Walaikumusalam.” Aku dan Amy menjawab serentak dan berpaling memandang arah suara yang datang.
            “Eh, Datuk Razali.” Aku agak terkejut melihat kedatang lelaki berpangkat datuk ini, rasanya hari ini Zafril tidak mempunyai apa-apa temujanji dengannya. Aku menutup surat khabar di atas meja reception. Hatiku mula rasa tidak enak. Entah mengapa setiap kali berhadapan dengan Datuk Razali aku rasa seram sejuk.
            “Datuk nak jumpa Encik Zafril ke? Encik Zafril belum masuk ke pejabat lagi, Datuk.” Pantas aku menjelaskan sebelum sempat Datuk Razali membuka mulut bertanya tentang Zafril. Pastinya kedatangannya itu adalah untuk berjumpa dengan Zafril.
            Aku mula tidak senang berdiri apabila Datuk Razali hanya memandangku tanpa sebarang kata. Hatiku mula gusar, kenapalah Datuk yang seorang ini datang tidak mahu membuat temu janji terlebih dahulu. Dalam dua hari ini memang Zafril agak sibuk dengan mesyuarat di luar dari pagi sampai petang. Apabila jam berganjak ke pukul tiga atau empat petang, barulah Zafril akan muncul di pejabat. Ternyata kedatangan Datuk Razali itu hanya sia-sia.
            “Macam ni, Datuk. Kalau Encik Zafril balik nanti saya akan hubungi Datuk.” Aku cuba mencari jalan penyelesaian apabila Datuk Razali masih lagi membisu.
            “Oh, tak apa. Lagipun saya datang ni bukan nak jumpa Zafril pun.” Akhirnya Datuk Razali membuka bicara dengan senyuman yang melirik panjang.
            “Habis tu, Datuk nak jumpa siapa?” aku makin tidak sedap hati. Amy yang menjadi pemerhati dari tadi aku kerling seketika.
            “Saya nak jumpa awak.” Datu Razali mula melangkah setapak ke hadapan.
            Melihat Datuk Razali yang mula melangkah, aku juga turut melangkah setapak ke belakang. “Jum… jumpa saya…” gugupku bertanya. Pandangan Datuk Razali padaku terasa semacam sahaja.
            Datuk Razali menyerahkan sepucuk sampul padaku. Aku mula berkira-kira sama ada ingin menyambut pemberiannya atau tidak. Akhirnya sampul itu bertukar tangan juga apabila Amy memberikan isyarat mata padaku agar menerima sahaja huluran Datuk Razali.
            “Apa ni Datuk?” Tanyaku tanpa terniat untuk melihat isi di dalamnya.
            “Kad undangan. Saya nak jemput awak ke majlis makan malam Tanjak Holding minggu hadapan.” Pelawa Datuk Razali sambil tidak lepas merenungku.
            “Em… saya…” aku serba salah. Hendak menerima atau menolak jemputan itu.
            “Saya Datuk tak jemput ke?”
            Aku dan Datuk Razali berpaling memandang Zafril yang kini sedang berjalan mendekatiku. Zafril mula berdiri bersebelahan denganku sambil memeluk tubuh dan merenung tajam Datuk Razali.
            “Saya jemput awak sekalilah ni.” Kata Datuk Razali sinis. Wajahnya yang tersenyum sedari tadi berubah masam.
            “Oh, really.” Zafril merampas kad yang berada ditanganku dan aku hanya mampu membiarkan sahaja tindakannya. Zafril terus membuka sampul itu dan menarik keluar kad yang berwarna keemasan seterusnya membaca isi di dalamnya.
            “Tak ada nama saya pun dalam kad ni. Yang ada nama Safi je.” Zafril memasukkan kembali kad itu ke dalam sampulnya dan menyerahkan kembali kad itu padaku. Dia kembali merenung tajam Daruk Razali.
            “Jemput setiausaha, samalah macam jemput boskan.” Datuk Razali mencipta helah yang aku rasakan agak pincang kedengaran.
            Seperti mengetahui niat yang terlindung di sebalik kata-kata Datuk Razali itu, Zafril mula tersenyum sinis.
            “Okay, saya balik dulu. Safi jangan lupa datang ye.” Datuk Razali terus melangkah laju.
            Aku tidak memberikan sebarang keputusan pada Datuk Razali, aku hanya mampu memandang dia yang keluar dari pintu masuk Adni Maju bersama anggukkan kepala yang terpaksa.
            “Awak dah makan tengah hari?” 
            Soalan daripada Zafril itu mencantas pandanganku pada kelibat Datuk Razali yang sudah menghilang di sebalik pintu. Aku hanya membiarkan soalan Zafril tergantung tanpa jawapan. Tanganku mula ligat mengemas akhbar dan menyusun di tempatnya semula. Begitulah keadaanku dua hari kebelakang ini. Jika soalan yang Zafril ajukan tidak melibatkan urusan pejabat, soalan-soalan itu akan kubiarkan sepi, paling tidak pun hanya sepatah dua kata saja yang keluar dari bibirku.
            “Dah pukul tiga petang encik, mestilah dah makan. Apa punya soalanlah Encik Zafril ni.” Amy pula yang menjawab bagi pihakku apabila Zafril masih lagi di situ menanti jawapan yang tidak kunjung tiba dariku.
            “Tak adalah, manalah tahu ada orang tu mogok lapar ke sebab jarang-jarang dapat jumpa saya dua hari ni.” Zafril terus menerus cuba menarik perhatianku.
            Aku sekadar mencebik bibir, malas mahu melayan perangainya namun Amy sudah ketawa besar. Malas mahu terus berlama-lama di situ aku terus membuka langkah untuk kembali ke ruang kerjaku.
            “Safi…” Zafril menahan langkahku. “Awak beritahu Ahmad saya nak jumpa dia sekarang. Kemudian awak inform kat semua maintenance department ada urgent meeting pukul 4 dengan saya di bilik mesyuarat. Jangan lupa orderkan pizza macam biasa untuk meeting tu nanti.” Zafril mengeluarkan arahan sebelum mula melangkah meninggalkanku. Namun baru beberapa langkah dibukanya, dia berpatah balik mendapatkanku dan menarik kad jemputan yang berada di tanganku. “Kad ni biar saya je yang simpan.” Kemudian barulah dia berlalu pergi dengan senyuman.
            Dan apa yang mampu aku lakukan kini, hanyalah mengetap bibir menahan geram dengan sikapnya.

DULANG berisi air teh aku letakkan di sebelah kotak pizza hut. Aku mula menuangkan air teh ke dalam cawan-cawan kosong dan menyerahkan cawan yang telah berisi air kepada kakitangan maintance department yang terlibat dalam mesyuarat yang baru selesai. Kemudian aku membawa piring yang berisi tiga keping pizza dan secawan air teh kepada Zafril yang berada di kepala meja.
            “Jemput makan, encik.” Aku meletakkan piring dan cawan tu ke atas meja di hadapan Zafril. Dia yang sedari tadi mengemas fail dan kertas yang bertaburan di hadapannya tidak aku toleh walaupun seketika.
            “Awak tak makan sekali?” Zafril menghentikan kerjanya dan memberikan tumpuan padaku.
            “Tak apalah encik.” Aku pantas berlalu meninggalkannya dan kembali ke partitionku.
            Sampai sahaja di meja aku mula mengemas apa yang patut. Waktu pejabat telah lama habis dan aku ingin segera pulang. Belum pun sempat aku menutup komputerku, aku tersentak apabila mejaku diketuk perlahan. Terus aku menoleh memandang Zafril yang sudah pun meletakkan pizza dan teh ke atas mejaku. Rasanya itulah makanan yang aku berikan padanya di dalam bilik mesyuarat tadi, mengapa dia mengembalikannya kepadaku? Aku memandang wajahnya meminta jawapan walaupun sebenarnya tiada sebarang soalan yang keluar dari bibirku.
            “Makanlah sikit, takkan awak betul-betul mogok lapar kot?” Zafril mula menyandar pada dinding kaca yang memisahkan paitionku dengan biliknya. Matanya masih lagi memandangku.
            Aku seperti biasa mendiamkan diri dari menjawab sebarang soalannya. Aku pura-pura menyusun fail-fail yang sedia tersusun di atas meja itu. Malas aku mahu berbicara dengannya. Biarlah keadaan begini. Lagi senang hatiku ini.
            “Awak nak pergi ke majlis Tanjak Holding tu?” Zafril membuka bicara lagi apabila aku masih menyepi. Entah dia benar-benar ingin tahu tentang itu atau sekadar mencari topik untuk dibualkan denganku, aku sendiri tidak pasti.
            “Pergi.” Balasku sepatah. Yang sebenarnya aku tidak tahu lagi sama ada aku ingin menghadiri majlis itu ataupun tidak. Iyalah tidak sampai beberapa jam tadi aku menerima undangan itu dari Datuk Razali, aku belum membuat sebarang pertimbangan, adakah aku harus memenuhi jemputan itu ataupun sebaliknya. Tapi entah kenapa jawapan itu pula yang aku berikan padanya.
            “Kalau macam tu kita pergi sama-samalah. Saya temankan awak.” Laju Zafril menawarkan diri untuk menjadi temanku malam itu nanti. Aku mengerling memandang wajahnya yang kelihatan bersungguh-sungguh itu.
            “Kenapa pula encik nak temankan saya? Saya boleh pergi sendiri.” Aku terus menerjah. Tiba-tiba sahaja ingin menjadi temanku malam itu. Entah apalah yang berada dalam fikiran lelaki ini.
            “Pergi majlis-majlis macam tu kena berkawan, baru seronok. Nak-nak awak tak kenal sesiapa pun kat Tanjak Holding tu, silap-silap macam kera sumbang awak kat majlis tu nanti.” Zafril masih lagi cuba menyakinkanku akan cadangannya itu.
            “Encikkan tak pernah anggap saya ni kawan encik. Jadi tak payahlah encik nak risau saya jadi kera ke, beruk ke, kat majlis tu nanti.” Aku meluahkan rasa hati yang terpendam beberapa hari ini. Lega rasanya dapat membalas rasa sakit hati yang dia cambahkan padaku beberapa hari lalu. Lantaklah dia mahu marah denganku, aku sudah tidak peduli.
Aku menjelingnya tajam, dan jelinganku itu dibalas dengan ketawa besar dari lelaki itu. Mataku membulat memandang dirinya yang masih lagi ketawa, bibir kuketapkan tanda geram dengan reaksi yang ditunjukkannya. Aku tengah marah, boleh pula dia ketawa terbahak-bahak begitu di hadapanku ini.
“Oh… Patutlah merajuk dengan saya dua hari ni. Bercakap dengan saya macam nak tak nak saja, balik kerja pun tak beritahu saya dulu, senyum jauhlah sekali. Rupa-rupanya awak terasa hati dengan apa yang saya cakapkan pada awak hari tu.” Zafril masih lagi tertawa.
Aku mengetap gigi menahan marah dengan andaian yang dibuatnya. Aku bukan merajuk cuma terasa hati sedikit sahaja dengan kata-katanya di pantry dua hari lalu. Tapi kenapa Zafril boleh menganggapku merajuk pula. Ish, tidak mungkin aku akan merajuk dengan lelaki ini, bukan dapat apa pun.
“Ada sebabnya kenapa saya kata saya tak pernah anggap awak kawan saya.” Zafril cuba menerangkan sambil cuba untuk mematikan tawanya yang kelihatan seperti tidak mahu berhenti.
Aku memandang tajam dirinya. Sakit hatiku setiap kali melihat dia mentertawakan aku begitu.
Tawa Zafril sudah mula mengendur tetapi masih ada secalit senyuman yang bergayut di bibirnya. “Saya cakap macam tu sebab saya anggap awak lebih hebat daripada seorang kawan.”
Aku terdiam mendengar kata-katanya itu. Apa maksud Zafril sebenarnya? Adakah Zafril sekadar mahu mengusikku? Zafril masih lagi tersenyum dan senyumannya itu mengundang resah. Kini peluh di dahiku mula terasa walaupun alat penghawa dingin sedia terpasang. Aku menelan liur, kelu lidah untuk menutur kata saat ini.
“Habiskan pizza tu, tak baik membazir. Membazir tukan amalan syaitan.” Zafril menolak piring dan cawan itu betul-betul ke hadapanku.
“Habis tu, Encik Zafril.”
“Tak apa, saya tengok awak makan pun saya dah kenyang.” Zafril  menghadiahkan sebuah senyuman padaku sebelum berpaling menuju ke biliknya.
“Encik Zafril.” Panggilku apabila Zafril sudah pun memulas tombol pintu biliknya. Segera dia berpaling memandangku.
“Er… terima kasih pasal belikan saya barang dapur tu. Banyak betul, rasanya dua bulan pun tak habis.” Akhirnya aku luahkan jua apa yang ingin aku luahkan semenjak minggu lalu. Tapi entah kenapa hari ini barulah aku mempunyai keberanian untuk mengungkitkan tentang hal barang dapur itu.
Zafril tersenyum. “Saya ingatkan barang-barang tu dah selamat dalam tong sampah.”
“Tak baik membazir, membazir tukan amalan syaitan.” Aku mengulangi kata-katanya sebentar tadi. Dan buat pertama kalinya aku membalas usikkannya dengan sebuah usikkan juga.
“Oh… dah pandai mengenakan saya sekarang ye…” Zafril mencerunkan mata padaku. Aku tahu dia hanya pura-pura marah padaku, jadi aku lemparkan senyuman padanya.
“Tapi tak apa, saya suka.” Zafril tersenyum dan sempat mengenyitkan matanya padaku sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya.
Aku terdiam seketika melihatkan tingkahnya itu. Suka? Aduh, kenapa aku sudah seberani ini dengan dirinya? Janganlah dia terfikir yang bukan-bukan pula.

Bersambung...

10 comments:

freya said...

sweetnya cerita ni...

Anonymous said...

sweetnyaaaa.......cepat sambunngg ekkk......

Eijan said...

Bila la Safi nak realize yg Zafril dah lama anggap dia org yg sgt istimewa sgt dan bila Safi nak mula jatuh cinta kat Zafril ni...cepat2 smbg ye!!!

nadiah said...

serunuk serunuk! ^^

umi kalsom said...

i love zafril and safi :)

Anonymous said...

wwannurr ....

kenapalah safi ni buat2 tak faham lagi...
cian zafril,,, datuk tu plak mengenyalll eee

Minsofea said...

comel jer safi n zafril ni.......!!!

Miss Nurul said...

bestnyaaaa.....
safi merajuk dgn zafril.. hik3

ieda ismail said...

x sgka safi merajuk ngan zafril...best3

Anonymous said...

nk zafril..bleh tak???hehehehehe ...
fiena ...

Post a Comment