Monday, July 4, 2011

Cinta Dari Istana Versi Ra'if Arjuna

ASSALAMUALAIKUM! Nama aku Ra’if Arjuna Bin Muhd. Rasyid. Berusia 30 tahun, bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sudah enam tahun kehilangan isteri yang amat aku cintai dan kini  aku sendirian membesarkan anak comelku, Puteri Darwisyah. Mujur ada neneknya yang turut meringankan tugas harianku. CINTA! Terlalu sukar untuk diperkatakan, apatah lagi untuk ditafsirkan. Sejak kehilangan Warda, aku sudah tidak mahu melibatkan hatiku dengan huruf-huruf yang menzahirkan perkataan CINTA! Cukup hanya Warda di hatiku. Dengan tekad itu, aku dengan egonya, membekukan hatiku di dalam dinginya cinta Warda. Aku telalu yakin dengan kesetiaanku pada Warda. Namun, benarkah aku mampu mempertahankan tugu cintaku pada Warda buat selama-lamanya? Dan buat pertama kalinya sejak kehilangan Warda, sesuatu telah terjadi pada diriku. Tanpa aku sedar, rupa-rupanya, inilah permulaan baru dalam epilog hidupku…

AKU  merenung Puteri Darwisyah yang duduk di pangkuan neneknya. Ada kalanya anak kecilku itu tersenyum memandangku. Aku balas senyuman itu dengan penuh rasa kasih sayang. Tiada apa yang dapat aku berikan kepadanya melainkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Puteri Darwisyahlah satu-satunya anak yang aku ada. Arwah isteriku, Warda pergi meninggalkan aku sebaik sahaja Puteri Dariwsyah dilahirkan dan pemergiannya itu meletakkan badai sengsara dan derita dalam jiwa lelakiku. Bagaimana untuk aku sendirian membesarkan puteri comel kami? Walaupun aku redha dengan kehilangan Warda, namun hati kecilku ini sentiasa merasakan Warda masih ada bersama aku dan Puteri Darwisyah. Cinta dan kasih sayangku buat Warda juga sentiasa hidup subur di batas hatiku dan aku selalu pastikan ianya hanya untuk Warda seorang walaupun kini Warda kian jauh.
            “Tak payahlah kamu susah-susah cari pengasuh baru lagi, Ra’if. Mak tak ada apa-apa, mak boleh jaga cucu mak ni ha!”
            Aku memandang lemah wajah emakku. Sudah berkali-kali emak memperkatakan hal yang sama. Cuma aku yang enggan mendengarnya. Bukan tidak bersetuju dengan pandangan itu, aku tahu niat emak benar-benar ikhlas mahu membantuku menjaga Puteri Darwisyah dan itulah yang emak lakukan selama enam tahun ini. Tapi kesihatan emak menghalang aku untuk terus membiarkan emak sendirian menjaga Puteri Darwisyah. Setidak-tidaknya, emak perlukan seorang pembantu untuk membantunya menjaga Puteri Darwisyah dan menguruskan hal-hal rumah seharian.
            “Dah tiga kali kamu tukar pembantu. Orang yang macam mana kamu nak sebenarnya? Yang macam ini, salah! Yang macam itu pun salah! Pening mak melihatnya.” emak menggelengkan kepala.
            “Ra’if nak yang betul-betul boleh jaga Puteri, yang boleh diharap. Ra’if cuma nak Puteri dapat perhatian penuh! Itu saja mak,” Aku menjelaskan apa yang ada dalam hati dan dan fikiranku. Semua yang aku lakukan, tidak lain dan tidak bukan adalah demi kebaikan Puteri Darwisyah, itu sahaja.
            “Mak faham, tapi Ra’if kenalah ingat, Puteri ni bukanya nak kat orang lain. Dia biasa dengan mak aje. Sebab itulah dia tak nak dengan pengasuh-pengasuh yang dulu tu.” emak memperkukuhkan hujahnya.
            Aku akui kata-kata emak itu. Sememangnya Puteri Darwisyah seorang anak kecil yang tidak mudah mesra dengan orang-orang baru yang hadir dalam hidupnya. Pada Puteri Darwisyah, hanya ada dua orang wanita dalam hidupnya. Yang pertama, neneknya dan yang kedua pula ibunya. Ya! Ibu yang langsung tidak pernah dilihatnya. Setap kali Puteri Darwisyah bertanyakan tentang ibunya, aku tetap memberikan jawapan yang sama iaitu ibunya akan pulang suatu ketika nanti. Tiada apa lagi yang boleh aku perkatakan, melainkan janji-janji palsu itu. Tapi aku sedar besarnya pembohongan yang aku lakukan terhadap Puteri Darwisyah. Aku tidak mempunyai pilihan. Aku tidak sanggup untuk menyatakan padanya bahawa ibunya sudah tiada, dan dia tidak akan pernah dapat melihat dan merasai kasih sayang seorang ibu buat selama-lamanya.
            “Kita cuba dululah, mak. Kalau kali ini pun, Puteri tetap tak nak, lepas ni Ra’if takkan cari pembantu lain dah. Mak ajelah yang jaga Puteri,” Aku tetap mahu mencuba. Setidak-tidaknya, kurang sedikit bebanan ibu dengan adanya pembantu baru itu nanti.
            “Suka hati kamulah, Ra’if. Itulah, mak suruh kahwin sekali lagi kamu tak nak. Kalau kamu kahwin, kan ke selesai semua masalah kamu ni. Anak Mak Cik Lijah kamu tak nak, anak Pak Uteh kamu tolak. Sampai bila kamu nak hidup macam ni ? “ Bicara emak bersama nada yang tidak berpuas hati.
            “Janganlah nak harapkan apa-apa daripada Ra’if. Apapun terjadi, Ra’if tak akan kahwin lagi! Warda pergi bersama hati Ra’if, mak. Tak mungkin Ra’if boleh jatuh cinta lagi. Lagipun, takkan ada sesiapa pun yang dapat gantikan tempat Warda dalam hati Ra’if dan Puteri.” aku mengambil Puteri Darwisyah dari pangkuan emak dan terus berlalu meninggalkan emak bersendirian di ruang tamu.
Setiap kali emak mempersoalkan tentang perihal itu, aku segera angkat kaki. Tidak mahu berbual, apatah lagi mengulas panjang tentang hal itu kerana sudah jelas nyata bahawa aku tidak ingin mencintai wanita lain melainkan arwah isteriku. Aku langsung tidak dapat melakukan itu biarpun jelitawan dunia dipersembahkan kepadaku sebagi penganti Warda. Tidak mungkin ada wanita lain, selain Warda!

PILI AIR aku pulas, cahaya terik mentari petang sedikit pun tidak mampu membuatkan aku membatalkan niatku untuk mencuci kereta. Earphone di telinga yang menyalurkan lagu-lagu yang pelbagai, aku jadikan sekadar teman sambilan. Tidak sedikit pun keinginan untuk menghayati bait-bait lagu yang kedengaran. Proton Exora putih milikku itu, aku cuci dengan penuh cermat, setiap inci kotoran cuba aku hilangkan. Selesai mencuci badan kenderaanku itu, aku beralih pula pada tayarnya. Itu juga harus aku cuci bersih.
            Tiba-tiba telingaku seolah-olah menangkap satu suara yang samar-samar kedengaran. Yang pastinya, bunyi suara itu sepertinya memanggil dan menyebut namaku. Aku memberhentikan tugas mencuci tayar. Wajah aku palingkan melihat ke luar pagar. Seorang gadis bersama sebuah beg besar di sisinya dapat aku lihat dengan jelas. Lantas aku segera berjalan menuju ke pintu pagar, earphone di telinga aku tanggalkan. Hati mula tertanya-tanya, siapakah gerangan gadis itu? Wajah mulusnya aku amati sambil cuba mencari jawapan yang aku perlukan.
            “Awak panggil saya apa tadi?” soalku, kerana yakin namaku telah disebut oleh gadis itu sebenar tadi.
            “Abang Arjuna, sebenarnya cuma nak tahu…”
            “Macam mana awak tahu nama saya?” Aku mula mempersoalkan pertanyaan yang tadinya bermain di benakku. Tidak mahu lagi membiarkan fikiran sendirian mendapatkan jawapan. Gadis itu pula terkejut apabila aku dengan tiba-tiba sahaja memotong percakapannya.
            “Oh, awak datang pasal kerja tu kan? Masuklah!” aku segara membuka pintu pagar apabila menyedari akan hal itu. Terlupa pula tentang iklan yang aku siarkan, mencari pembantu dan pengasuh kepada anakku, Puteri Darwisyah. Lega rasanya apabila ada yang menginginkan kerja itu.
            “Sebenarnya, nama saya Ra’if Arjuna. Nama awak apa?” sambil mendapatkan maklumat awal gadis itu, aku mencuci kaki pada kepala paip yang mengalirkan air jernih lalu meneruskan langkah untuk membawa gadis itu masuk ke dalam rumah.
            “Nama beta…Pu..”
            “Pu?” aku menolehkan wajah pada gadis itu. Pelik, mengapa dengan tiba-tiba sahaja dia memberhentikan katanya. Wajahnya agak cemas. Jelas, cukup jelas kelihatan.
            “Bukan Pu…tapi, Piya!” akhirnya gadis itu memperkenalkan namanya.
            Piya! unik juga namanya, bisik hatiku perlahan.
            “Okey, Piya! Tapi awak tak rasa ke yang awak ni terlalu muda untuk jadi pengasuh kepada seorang budak perempuan?” sengaja aku bertanyakan itu,  apabila melihat reaksinya yang cemas sedari tadi.
            “Sudah biasa sangat. Setakat menjaga budak perempuan, pasti tiada apa-apa masalah.” yakin saja gadis itu membalas pertanyaanku.
            Namun jawapannya telah membuahkan garisan-garisan kedut di dahiku.  Gaya bahasanya begitu asing kedengaran, dan riak wajahnya membuatkan hatiku mengukir senyuman dengan tiba-tiba.
            “Ada apa ya, Ra’if Arjuna? Kenapa dahinya berkerut?”
            Soalan yang keluar daripada mulut gadis itu telah membuatkan gelak kecilku meletus. Gadis itu benar-benar lucu pada padangan mataku. Setiap tingkah dan katanya mula terasa menghiburkan.
            “Awak panggil saya apa?” sengaja aku berlagak serius kemudiannya.
            “Ra’if Arjuna. Kenapa ya, ada sebarang kesilapan.”
            Kali ini ketawaku meletus lebih kuat apabila mendengar soalan gadis tu. Gadis itu umpama orang lurus, yang tidak tahu apa-apa. Senyuman dan gelak tawa yang aku pamerkan itu telah menjadikan gadis itu kian hilang kata.
            “Awak tahu tak yang saya ni majikan awak? Boleh pula awak panggil saya dengan nama penuh ya?” aku terus-terusan mengukir senyuman.
            “Jadi, apa yang perlu saya gelarkan?” gadis itu bertanya lagi.
            “Entah kenapa saya rasa awak ni peliklah, Piya!” aku masih ketawa. Sudah lama tidak ketawa begitu.
            “Asal mana?” Kini barulah ketawaku baru reda sedikit.
            “Tidak jauh dari sini juga.” Balas gadis itu pantas.
            “Tak jauh? Kat mana tu?” soalku, tidak berpuas hati. Aku harus tahu semua perkara tentang gadis ini. Tiba-tiba sahaja hati menyuarakan keinginan itu. Aku sendiri terkejut dengannya.
            “Ayah!”
            Aku memandang ke arah Puteri Darwisyah yang bergegas turun dari anak tangga.
            “Meh sini anak ayah!” aku segara bangun dari sofa lalu mendapatkan anak kesayanganku itu.
            “Piya, ini anak saya, Puteri Darwisyah. Umur enam tahun!” aku memperkenalkan anakku yang bakal menjadi tanggungjawabnya itu.
            “Puteri?” Ada riak terkejut pada wajah gadis itu dan aku tahu mengapa. Mungkin dia beranggapan bahawa puteri yang aku maksudkan ialah puteri raja yang hidupnya serba mewah di istana.
            “Bukan puteri dekat istana. Puteri nilah satu-satunya anak yang saya ada, jadi saya namakan dia Puteri Darwisyah,” segera aku menerangkan kedudukan yang sebenar, kemudian gadis itu mula tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya tanda mengerti.
            “Puteri ada kakak baru tau. Ini Kak Piya!” Puteri Darwisyah aku perkenalkan dengan pengasuh barunya itu. Dalam diam hatiku berdoa, semoga saja Puteri Darwisyah serasi dengan gadis muda itu.
            “Nenek mana?” soalku pada Puteri Darwisyah, ingin segera memperkenalkan gadis itu kepada emak.
            “Nenek kat atas, sembahyang. Nenek suruh ayah, naik sembahyang!” pesanan yang dibawa oleh Puteri Darwisyah untukku itu, aku terima dengan senyuman. Gembira melihat telatahnya.
            “Puteri naik dulu. Ayah nak tunjukkan bilik Kak Piya” aku segera menurunkan Puteri Darwisyah dari dukungan kemudian menghantar Puteri Darwisyah naik ke atas dengan ekor mata.
            “Jom!” aku mula mempelawa gadis itu. Bilik kecil bersebelahan dengan dapur sudah tersedia buat dirinya.
            “Tugas Piya dekat sini senang aje. Jaga anak saya, kemas rumah dan bantu emak saya memasak. Setiap bulan, saya akan bayar awak 600 ringgit, boleh?” penerangan ringkas berkenaan tugas yang bakal dipikul olehnya aku berikan sambil membawa gadis tu ke biliknya.
            “Ini bilik Piya, rehatlah dulu. Nanti lepas maghrib, saya tunjukkan apa-apa yang perlu,” bicaraku sebaik sahaja tiba di muka pintu biliknya.
            Gadis itu aku perhatikan menolak pintu biliknya dengan perlahan. Tidak dapat pula aku melihat reaksi wajahnya kerana dia membelakangiku. Tapi aku yakin gadis itu cukup berpuas hati dengan kelengkapan yang telah aku sediakan di dalam bilik kecil itu.
            “Sebelum tu, Piya kenal dengan semua peralatan elektrikkan?” soalku sebelum melangkah pergi meninggalkan gadis itu. Dan kali ini barulah aku dapat melihat air mukanya berubah. Comel! Bisikku sendirian.
Buat pertama kalinya dalam tempoh enam tahun ini, hati tiba-tiba saja kembali tersenyum girang. Aku sendiri pelik dengan hatiku ini. Mungkinkah gadis itu yang telah berjaya membawa senyuman riang dalam hatiku? Tidak! Tidak mungkin! Hanya Warda yang mampu mengukir senyuman bahagia di hatiku ini. Segera hatiku menafikan.

TERLALU payah  untuk aku jelaskan. Tidak sampai sehari pun lagi Piya di rumahku, ada satu rasa mula meresap masuk ke dalam hatiku. Saat Piya cedera, terkena air panas, entah kenapa aku risau bukan kepalang. Jantungku berdegup kencang, sekencang halilintar apabila melihat Piya rebah di lantai dapur. Saat itu juga aku sudah mula merasa tidak sedap hati. Mengapa perasaan itu wujud dalam diriku. Mungkinkah… oh, tidak! Aku tahu aku harus melakukan sesuatu, maka untuk mengelakkan daripada sesuatu terjadi kepada hatiku, aku terpaksa bertindak segera. Piya harus aku halau keluar daripada kehidupanku secepat yang mungkin.
            “Kamu ni kenapa, Ra’if? Tak habis-habis tak puas hati. Kalau pembantu-pembantu yang dulu tu, mak fahamlah juga kenapa kamu tak berkenan. Rehat lagi banyak daripada bekerja. Tapi budak Piya ni, mak tengok elok aje. Itupun kamu nak berhentikan juga? Kamu ni memang suka pecat orang ke?” nada suara ibu mula meninggi apabila aku suarakan niat untuk memecat Piya.
            “Ra’if bukan nak pecat suka-suka, mak. Tapi mak sendiri pun tahukan, budak Piya ni, bukannya tahu buat kerja. Baru suruh buat air milo dah cedera. Kalau diri sendiri pun tak boleh nak jaga, macam mana nak jaga Puteri?” segera aku ajukan alasan yang munasabah. Apa pun yang terjadi, aku mahu Piya keluar dari rumahku. Itu harus berlaku dengan segera, sebelum hatiku memandai-mandai menghidupkan kembali suis cinta yang sudah lama aku padamkan.
            “Mak tak setuju! Kali ini, biar mak yang buat keputusan. Mak nakkan budak Piya tu jadi pembantu mak, faham!” emak segera berlalu pergi meninggalkanku. aku mengeluh sendirian. Entah kenapa, emak beria-ia mahu menjadikan Piya sebagai pembantunya, sedangkan dulu emak yang menolak untuk mempunyai pembantu.
            “Maafkan Ra’if, mak. Terlalu bahaya kalau Ra’if terus membiarkan Piya tinggal dengan kita!” luahku sendirian. Mahu ataupun tidak, aku harus meneruskan juga misi menghalau Piya pergi dari rumahku demi arwah Warda.

RISAU! Memang aku risau yang teramat sangat sekarang ini. Kenapa dengan hatiku ini sejak kehadiran Piya? Kenapa jantungku sentiasa berdegup kencang apabila terpandang wajah mulus itu? Kenapa mataku sering mahu mengikat pandangan padanya apabila terpandang akan dirinya? Kenapa aku kerap memerhatikannya dari jauh? Memerhatikan setiap tingkahnya, setiap kerja-kerja yang dilakukannya. Sehinggakan apabila dia menyidai pakaian di halaman rumah pada setiap pagi pun aku akan mengintai dari tingkap bilikku. Angau ke aku ini sebenarnya?
            Arghhh.... tidak mungkin itu berlaku. Tidak mungkin sama sekali. Oleh itu aku sering berusaha untuk tidak menghiraukan dirinya dengan jarang memandang wajah yang berjaya mengegarkan hatiku itu mahupun tersenyum padanya. Aku cuba membina jurang yang luas antara aku dan dirinya dengan pelbagai usaha.
Namun usaha demi usaha yang aku lakukan untuk menghalau Piya jauh daripada hidupku langsung tidak pernah berhasil. Piya sentiasa mendapat sokongan padu emak dalam setiap tindak-tanduknya. Sudahnya, hatiku makin luas terbuka untuk dekat dengan dirinya. Dan tiap kali itu aku rasakan, aku segera membuka album gambar kenanganku bersama arwah Warda. Tidak mahu wanita lain menggantikan tempat Warda dalam hidupku.
            Kini timbul pula masalah baru dalam hidupku. Dalam diam-diam, emak rupanya sedang mengatur strategi untuk menyatukan aku dan Piya. Saat berita itu aku dengar dengan telingaku sendiri, aku akui, ada rasa bahagia yang bertandang. Tapi saat itu jugalah bayangan Warda muncul di mindaku seolah-olah memberi amaran supaya aku tetap setia dengan kasih dan cintaku padanya. Apabila teringatkan pengorbanan cinta Warda kepadaku, segera hatiku membantah cadangan emak itu.
Biar apapun terjadi, tidak mungkin bagiku menduakan Warda. Piya harus aku ingatkan tentang kedudukannya di rumah itu. Aku tidak mahu dia menaruh sebarang perasaan padaku kerana adalah mustahil bagiku untuk hidup di dalam cintanya. Entah kenapa, hati kecilku dapat merasakan bahawa Piya ada menyimpan rasa kasih buatku. Jadi aku harus segera memainkan perananku, memberi amaran keras pada Piya agar dirinya tidak terluka.
“Jauh termenung!” Sapaku pada Piya yang kulihat begitu leka memandang ruang angkasa.
“Kata orang, kalau rindukan seseorang, renung saja ke dasar awan. Pasti wajah yang dirindui itu akan muncul di balik kerdipan indah bintang-bintang angkasa.” balas Piya panjang lebar.
Hatiku tersenyum mendengar kata-katanya itu. Kerap kali hatiku ini tersenyum mendengar butir bicara yang keluar daripada mulut Piya, seolah-olah, hatiku ini turut bersetuju dengannya.
“Iya ke? Orang mana yang cakap tu? Awak ni kan, Piya, mudah-mudah aje nak percaya cakap orang. Lain kali, fikir logiknya dulu sebelum percaya!” aku menyangkal apa yang diiyakan hati. Semoga saja Piya tidak perasan bahawa hatiku kini lebih suka mendengar dan mempercayai setiap kata-katanya.
“Abang Arjuna tidak tidur lagi?”
“Ada perkara yang saya nak bincangkan dengan awak.” aku memandang tepat wajahnya. Apabila degup jantung laju terasa, aku segera memalingkan pandangan ke langit malam.
“Apakah perkaranya, Abang Arjuna?” soal Piya bersama riak cemas di wajahnya.
“Sejak kebelakangan ini, mak saya macam nak satukan kita berdua. Jadi kalau boleh, saya tak nak itu berlaku.” sedikitpun aku tidak memandang wajah Piya ketika aku mengatakan tentang itu. Risau bila terpandang wajahnya, lain pula kata yang disulam bibirku nanti.
“Tapi mengapa?” soal Piya lagi.
“Jangan katakan Piya, kalau tuan puteri datang depan saya sekalipun, saya tetap tak akan berganjak daripada keputusan ini sampai bila-bila. Saya tak nak mengkhianati cinta arwah isteri saya. Terlalu banyak telah dia korbankan semata-mata ingin memberikan saya kebahagian.” aku sendri tidak pasti apa sebabnya aku ingin menjelaskan semua itu pada Piya. Walhal, Piya tidak perlu tahu semuanya.
“Piya bukanlah orang pertama yang cuba disatukan dengan saya. Sebelum ini pun dah ramai dah, tapi tak ada satupun yang berjaya. Jadi saya sekadar nak ingatkan Piya, apa saja yang mak saya katakan pada Piya, jangan Piya bersetuju kerana takkan mendatangkan hasil. Piya buat kerja Piya macam biasa dan saya akan kekal sebagai majikan Piya sampai bila-bila.” aku luahkan juga semuanya walaupun pada hakikatnya aku rasa terbeban dengan apa yang aku perkatakan. Piya pula hanya menundukkan wajah sepanjang aku berbicara.
“Dahlah, saya nak masuk tidur. Nanti jangan lupa kunci pintu!” aku terus bangun dari tempat duduk dan berlalu pergi meninggalkan Piya sendirian di situ. Pintu utama aku tolak, namun langkah dan perbuatanku terhenti setakat itu sahaja apabila aku teringatkan tentang Aduka.
Sejak mengetahui bahawa kedatangan Piya ke Malaysia bukan sekadar hanya untuk mendapatkan kerja, sebaliknya tujuan utama Piya adalah kerana mencari Aduka, hatiku tiba-tiba menjadi bimbang dengannya. tertanya-tanya, siapakah Aduka yang sebenarnya? Apa hubungannya dengan Aduka sehinggakan Piya sanggup merantau keluar dari negara asalnya semata-mata untu menjejaki Aduka di sini.
“Piya!” laungku di muka pintu. Piya segera menoleh ke arahku, kemudia terus saja dia berdiri dari duduknya.
“Siapa Aduka?” tanyaku terus terang.
“Aduka?” Piya kembali menyoalku.
Kelihatan dia seperti berat untuk berkongsi kisah Aduka denganku. Mungkinkah kerana Aduka ialah insan istimewa di hatinya? Aku jadi tidak sedap hati dengan tekaanku itu. Kalau benar Aduka adalah seorang insan yang bermakna buat dirinya, siapa pula aku di hatinya? Ish… hati… apa yang kau merepek ni? Baru sebentar tadi kau menolak Piya bulat-bulat. Sekarang dengan berani pula kau menginginkan dia. Bisikku sendirian.
“Kan ke awak datang sini sebab nak cari Aduka?” aku tahu pasti sengaja Piya pura-pura tidak mengingati tentang Aduka. Dia memang tidak ingin aku tahu perihal Aduka. Namun aku takkan berdiam diri. Selagi Piya tidak menyatakan siapa Aduka yang sebenarnya, selagi itulah aku tidak akan berganjak dari situ.
“Oh, Aduka! Itu abang Piya yang sudah lama terpisah!” Piya memperkenalkan siapa Aduka yang sebenarnya.
Hatiku menjerit gembira, terlepas satu beban yang selama ini menghantui fikiranku siang dan malam. Aku terus melangkah meninggalkan Piya dengan senyuman yang memanjang. Malam ini aku pasti dapat tidur lena.
Aku terbaring lega di atas katil. Namun, belum sempat mata aku lelapkan, bunyi kuat motorsikal yang pastinya milik Ad dan rakan-rakannya, jiran hadapan rumahku itu membuatkan mataku kembali segar-bugar. Ad ini pun telah aku letakkan dalam senarai yang mampu membuatkan urat jantungku terbelit apabila melihat dirinya bersama-sama Piya. Lantas aku segera menuju ke tingkap, menolak perlahan daun tingkap dan menjengah ke luar. Ternyata Ad sedang berbual mesra dengan Piya di pintu pagar. Hatiku jadi panas dengan tiba-tiba. Patutlah Piya sanggup duduk bersendirian di luar rumah, malam-malam begitu, rupa-rupanya dia menunggu kepulangan Ad. Sungguh menyakitkan hatiku!
Aku mundar-mandir di dalam bilikku, mencari cara dan kaedah yang sesuai bagi membendung permasalahan itu. Mereka berdua harus aku pisahkan segera. Ini tidak boleh jadi! Bicaraku sendirian. turun naik nafasku, memikirkannya. Sekali-sekala aku menggaru kepala yang tidak gatal. Jari akhirnya aku petik, jalan penyelesaian sudah aku temui.
“Piya, tolong tengokkan Puteri… saya dengar dia menangis tu!” jeritku lantang dari tingkap bilikku. Piya mendonggakkan kepalanya, melihat ke arahku. Aku memasamkan wajah, sengaja membuatkan Piya gerun denganku. Piya aku perhatikan segera meninggalkan Ad sendirian di muka pagar. Dalam diam hatiku mengukir senyuman apabila melihat Piya meninggalkan Ad begitu saja. Tingkap bilik kembali aku tutup rapat sebelum aku segera berjalan menuju ke pintu bilikku.
Kedengaran bunyi daun pintu bilik Puteri Darwisyah dibuka. Aku berdiri seketika sebelum membuka pula pintu bilikku. Hatiku puas berdoa, semoga Piya tidak menyedari bahawa arahan yang aku keluarkan itu adalah semata-mata kerana sel-sel cemburu mula terasa tegang di hatiku.
“Tak perasan kot!” Perlahan aku berbicara sebelum menghembus nafas panjang dan memulas tombol pintu bilikku. Seperti biasa, aku buat wajah serius. Pintu aku buka lapang sambil memerhati Piya yang pada ketika itu baru saja mahu keluar daripada bilik ankku dan menutup pintunya.
“Macam mana, Puteri? Dah tidur balik?” Soalku pada Piya yang tersentak dengan pertanyaanku itu.
“Langsung tidak ada tangisan, lena saja tidurnya!” Jawab Piya. Ada riak tidak puas hati pada wajahnya. Namun aku tahu dia tidak berani menyatakannya.
“Oh, iya ke? Salah dengarlah ni. Kalau macam tu… dahlah, awak pergi tidur!” segera aku berjalan kembali masuk ke dalam bilikku. Tidak mahu berbalas kata tentang hal itu memandangkan aku tahu aku berada pada pihak yang salah.
Tutup saja pintu bilikku, bibirku tersenyum bahagia. Piya... Piya! sejak akhir-akhir ini, nama itu telah mula mengoyahkan prinsip hatiku. Berat juga, belum pernah ada yang berjaya kembali membuka hatiku. Sudah ramai calon yang cuba emak padankan denganku, namun entah kenapa gadis pelik itu juga yang menarik kuat pintu hatiku. Jujurnya, tidak ada sebarang keistimewaan pada dirinya melainkan sikap bodoh-bodohnya. Namun itu tidak bermakna aku akan tunduk pada rasa itu. Walau apapun terjadi, kasihku pada Warda harus aku pertahankan sampai bila-bila.

LANGKAHKU atur menuju ke gazebo kayu yang berada di hadapan rumahku. Sengaja aku mahu mengambil angin di luar terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah sebaik sahaja pulang dari kerja. 
            Lelah kulepaskan di kerusi kayu itu. Aku mengangkat tangan kiri yang berbalut. Tersenyum aku melihat balutan itu. Teringat semula kejadian yang berlaku malam semalam. Entah macam mana aku boleh terluka semasa memotong buah epal dan Piya pula cemas semacam. Melihat keadaanku, cepat-cepat dia mendapatkan kotak first aid dan membalut lukaku. Aku yang sudah tersenyum melihat Piya yang terlebih cemas itu pura-pura kononnya aku mengalami sakit yang terlampau walaupun lukanya tidak sampai 2 inci pun. Sengaja aku berpura-pura, semata-mata ingin melihat reaksinya yang pasti membaja rasa ceria dalam diriku.
            “Yang kamu ni tersenyum-senyum sambil tengok tangan kamu yang berbalut tu, kenapa, Ra’if?” Soal emak yang tiba-tiba saja muncul dari belakang.
            Aku tersentak dengan soalan itu, mati terus senyuman yang tersungging di bibirku tadi. “Mana ada apa-apa, mak!” Balasku bersahaja, mataku pula memerhati ke dalam rumah. “Puteri mana, mak?” Soalku cuba lari dari topik asal.
            “Kamu ni, nak tanyakan Puteri ke, nak tanyakan Piya? Sudahlah Ra’if, macamlah mak baru kenal kamu sehari dua!”
            Terpukul aku dengan kata-kata itu. Bagaimana emak boleh membaca setiap patah kata yang ada dalam hatiku ini? Memang benar, hatiku mahu bertanyakan tentang Piya, langsung tidak nampak kelibat dirinya dari tadi. Emak kemudiannya menggambil tempat duduk bersebelahan denganku.
            “Mak ni, berapa kali dah Ra’if nak cakap pada mak, janganlah kaitkan Ra’if dengan budak Piya tu. Ra’if tak sukalah!” Berusaha aku membuang rasa-rasa yang mula dapat dihidu.
            “Suka hati kamulah, Ra’if. Tapi kamu jangan menyesal pula. Mak tengok, budak depan yang nama Ad tu pun bukan main berkenan lagi dengan Piya. Jangan kamu putih mata sudah!” emak sedikit pun tidak memandang ke arahku ketika menyampai kata-kata yang berjaya menikam kalbuku itu. Ingin saja aku menjerit saat ini dan menyatakan bahawa aku tidak suka dengan apa yang emak katakan itu. Namun, hati langsung tidak mahu mengaku apa yang mula kuat dirasakan oleh jiwa dan perasaanku.
            “Baguslah tu, mak! Dua-dua bujang lagi, apa salahnya.” Seperti biasa, hati egoku, menyangkal rasa.
            “Kamu ni kan, Ra’if, daripada dulu sampai sekarang tak berubah-ubah juga perangainya. Kalau kamu sukakan Piya tu, cakap ajelah, senang sikit kerja mak. Ini tidak! Kamu tak habis-habis nak menipu hati kamu tu.” emak mula serius dengan katanya.
            “Mak ni, kan Ra’if...”
            “Ah... suka hati kamulah Ra’if. Mak dah tak larat nak cakap lagi. Kamu dah besar panjang, kamu fikir sendirilah.” Kata emak sebelum masuk semula ke dalam rumah, mungkin sudah jelak dengan perangaiku yang selalu bermain tarik tali begitu dengannya.
            Aku tahu emak marah. Teringin benar dia bermenantukan Piya, warga asing itu. Entah apa yang dilihatnya pada Piya, aku sendiri tidak tahu. Yang hatiku juga satu hal, tidak mahu juga mengaku bahawa Piya mula ada di dalamnya. Tidak habis-habis menepis semua rasa. Sudahnya, aku sendiri yang sakit hati dengan semuanya.
            “Ayah!” jerit Puteri Darwisyah jelas kedengaran. Dia berlari-lari anak menuju ke arahku sambil memegang sekuntum bunga raya.
            “Anak ayah dari mana ni?” Aku mengangkat Puteri Darwisyah dan meletaknya di atas ribaku. Satu ciuman aku layangkan di dahinya.
            “Puteri pergi taman permainan dengan kakak! Ayah, cantik tak bunga ni?” Anak kecilku itu menunjukkan bunga raya berwarna merah yang ada ditangannya.
            “Cantik, mana Puteri dapat ni?” Soalku kembali sambil mataku melirik ke arah Piya yang baru saja tiba dengan senyuman manisnya.
            “Kakak bagilah, ayah.” dengan bangga Puteri Darwisyah menjawab soalan itu.
            “Piya, awak ajar anak saya petik bunga kat taman, ke?” Terus saja aku mengeluarkan soalan itu pada Piya. Piya yang baru saja hendak melabuhkan punggungnya, duduk di sebelahku, kembali berdiri tegak.
            “Tidak!” Jawab Piya sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. Riak cuaknya muncul lagi.
            “Habis tu, mana awak dapat bunga ni?” Soalku lagi, masih tidak berpuas hati.
            “Ayah ni, janganlah marah kakak! Kakak tak petik pun bunga ni. Abang yang naik motor tu yang bagi pada kakak! Kakakkan cantik, sebab tu ramai orang suka,” Puteri Darwisyah menjawab soalanku itu bagi pihak Piya.
            Aku merenung Piya tajam. Patutlah senyum melebar dari tadi! Gembiralah tu, dapat bunga! Gumamku dalam hati. Piya hanya membatukan dirinya.
            “Lain kali, bila orang yang tak kenal bagi barang, jangan ambil, faham!” Kataku tegas sambil mata masih mencerun memandang wajah itu.
            “Faham tak ni?” soalku lagi apabila Piya hanya menundukkan wajahnya.
            “Baiklah, Abang Arjuna. Piya faham semuanya.” perlahan ayat itu keluar daripada mulutnya.
            “Dan satu lagi, kalau nak bawa Puteri ke mana-mana, minta izin saya dulu. Jangan pandai-pandai bawa dia keluar ikut suka hati. Saya tak suka!” Aku segera bangun, membawa Piya masuk ke dalam rumah sebaik sahaja menyampaikan pesanan itu. Entah kenapa pula tiba-tiba saja aku marah pada Piya!

PUTERI DARWISYAH yang berada di sebelah tempat duduk penumpang hadapan begitu gembira sekali hari ini. Badannya sudah mengadap ke bahagian penumpang belakang untuk berbual-bual dengan Piya yang turut berada dalam kereta itu. Sesekali kedengaran tawa Puteri Darwisyah apabila diusik oleh Piya. Aku menguntumkan senyuman bahagia, gembira kerana Puteri Darwisyah menerima baik Piya dalam hidupnya, tidak seperti pembantu-pembantuku yang dulu. Semuanya amat susah untuk rapat dengan Puteri Darwisyah, namun entah kenapa Puteri Darwisyah boleh menjadi begitu rapat dengan Piya dalam jangkan masa yang singkat begini. Apalah agaknya rahsia gadis itu sehingga berjaya menambat hati anakku, dan pastinya aku akan tahu juga rahsia itu nanti.
            Kereta aku parkir di bahu  jalan. Sudah lama rasanya aku tidak menjejakkan kaki ke pasar malam berhampiran kawasan perumahanku ini. Atas desakan Puteri Darwisyah yang ingin ke sini aku turuti juga permintaan anakku itu tambahan pula entah kenapa aku ingin membawa Piya berjalan-jalan pada petang itu.
            Aku tahu Piya seorang yang suka bersiar-siar. Tambahan pula dia bukan orang Malaysia dan datangnya dari Sri Alamar, pastinya dia mahu jalan-jalan menikmati panorama Malaysia yang pastinya amat berbeza dengan negara kelahirannya itu. Tiba-tiba ingatanku dibawa pada kenangan akhir bulan lalu, aku dapat lihat betapa  bersungguh-sungguhnya Piya menurut setiap arahanku tanpa bantahan hanya kerana ingin aku membawanya bersama-sama ke KLCC. Bersungguh-sungguh dia meminta padaku agar dia dibawa bersama dan aku sengaja mahu mengusiknya dengan tidak memberikan jawapan yang tepat seperti yang dia inginkan.
            Aku tersenyum sendiri. Berhari-hari aku lihat  mukanya yang penuh dengan harapan itu. Jika dia tahu niatku yang sebenarnya untuk ke KLCC itu adalah untuk membawanya bersiar-siar pasti dia akan melonjat kesukaan. 
            ”Ayah cepatlah!” Suara Puteri Darwisyah memecahkan lamunanku.
            Aku menoleh memandang Puteri Darwisyah seketika, kemudian aku memandang Piya yang termanggu-manggu di belakang. Entah berapa lama agaknya aku termenung di dalam kereta ni sejak kereta aku parkir sedari tadi.
            ”Cepatlah turun, tunggu apa lagi tu?” Untuk menutup maluku sendiri aku mengeluarkan arahan itu pada Piya dan Piya dengan segera keluar dari kereta dan membuka pula pintu kereta untuk Puteri Darwisyah.
            Sebaik sahaja aku keluar dari kereta aku mendapatkan Puteri Darwisyah dari dukungan Piya. Aku pasti Piya tidak akan larat untuk mendukung Puteri Darwisyah sepanjang berada di pasar malam itu. 
            Aku dan Piya berjalan menyelusuri pasar malam. Puteri Darwisyah masih lagi dalam dukunganku dan Piya dengan dahi yang berkerut-kerut memandang ke kiri dan kanan gerai-gerai yang terdapat disitu. Mungkin pelik dengan hidangan-hidangan yang belum pernah dilihatnya.
            Sepanjang berada di pasar malam itu banyak mata yang memandang Piya. Ada juga yang bersiul nakal padanya apabila kami tidak berjalan seiringan kerana keadaan pasar malam yang agak sesak waktu ini. Piya tidak menghiraukan siualan nakal itu tapi hati aku pula makin membara rasanya apabila masih banyak lagi mata yang memandang dirinya dan siulan-siulan nakal yang berjaya menyakitkan hatiku.
            ”Nak beli baju, dik?” Soal seorang penjual lelaki apabila piya berhenti di hadapan kedainya. Piya memandang lelaki itu, kemudian tersenyum dan mengelingkan kepala.
            ”Tengok-tengoklah dulu, mana tahu ada yang berkenan di hati. Untuk adik yang cantik manis ni abang bagi special discount.” Tambah lelaki itu lagi.
            Berasap telingaku mendengar kata-kata lelaki itu. Keadaan yang agak sesak itu tidak lagi aku pedulikan, aku segera melangkah ke hadapan untuk mendapatkan Piya. Hampir-hampir sahaja aku terlanggar beberapa orang yang sedang bersesak itu semata-mata ingin segera mendapatkan Piya.
            ”Awak nak beli ke?” Soalku lembut apabila sudah berada di sisi Piya. Sengaja aku berdiri rapat dengan Piya dan memandang tajam penjual itu, berlagak seolah-olah aku ini suaminya.
            ”Tidak.”
            Sepatah jawapan yang keluar dari bibir itu membuahkan senyuman di hatiku. Bagus. Lebih cepat beredar dari situ lebih baik. ”Kalau macam tu jom.” Arahku dan Piya segera berlalu dari situ dan aku turut berjalan beriringan dengannya.
            Aku membeli beberapa juadah dan ulam-ulaman untuk makan malam dan Puteri Darwisyah sempat memintaku membelikannya kapal terbang mainan. Piya pula lebih banyak menyepikan diri sepanjang berada di pasar malam ini. Mungkin tidak selesa apabila perlu bersesak-sesak begini. Kadang-kala melihat tingkah Piya dapat aku rasanya yang dia bukan dari orang kebanyakan, aku merasakan seperti dia merupakan anak orang kaya dan berada. Tapi jika benar tekaanku itu apa perlunya dia mencari kerja di sini? Tidak mungkin semata-mata kerana mahu mencari Aduka. Persoalan itu yang sering bermain di fikiranku dan persoalan itu jugalah yang sering tiada jawapan walaupun setelah lama aku fikirkan.
            Keadaan kembali agak legang apabila menghampiri penghujung pasar malam ini. Aku lihat Piya menarik nafas lega. Namun sempat juga kaki itu berhenti di hadapan sebuah gerai dan kakiku yang sudah terlajak beberapa langkah berpatah semula mendapatkannya.
            ”Ini makanan apa, ya?” Soal Piya sebaik sahaja aku berada di sebelahnya. Soalan yang sama yang diajukan padaku setiap kali dia terjumpa dengan makanan yang pelik ada pandangan matanya.
            Aku menoleh kepada makcik yang sedang melayan permintaan beberapa pelanggan, kemudian aku memandang Piya semula. ”Ni satar.”
            ”Oh... dan yang itu?” Soal Piya lagi sambil menghalakan jarinya pada makanan yang berada di sebelah satar itu.
            ”Otak-otak.” Jawabku lagi.
            ”Otak-otak?” berkerut-kerut dahi Piya sewaktu menyebut semula nama makanan itu. ”Boleh Abang Arjuna belikan satar dan otak-otak ini untuk Piya?”
            Terbeliak mataku mendengar permintaanya itu. Sebentar tadi dia sudah memintaku membelikannya nasi kerabu dan laksam dan kini dia memintaku membelikannya satar dan otak-otak pula. ”Tak payahlah. Dah banyak makanan yang kita beli ni. Nanti kalau tak habis macam mana? Membazir je. Dah, jom balik.” kataku sebelum segera berpaling.
            ”Tapi Piya teringin merasanya,” kedengaran perlahan sahaja suara itu.
            Aku mengeluh mendengar kata-kata itu. Rasa kesian mula bercambah di hati. Bukan aku sengaja untuk tidak memenuhi permintaanya atau kedekut, berapa sangatlah harga satar dan otak-otak itu untuk aku berkira dengannya. Tapi sudah terlalu banyak makanan yang telah dibeli dan aku takut tidak terhabis.
            Sebaik sahaja aku berpaling, terlihat Piya sedang memerhati makanan yang tersaji di hadapan matanya tanpa berkalih. Melihatkan dia yang begitu bersungguh-sungguh merenung makanan itu berjaya mengusik hati lelakiku. Nanti aku juga yang terkilan kerana tidak memenuhi permintaannya itu.
            ”Yelah-yelah...” Aku mengalah juga akhirnya. Aku kembali merapati dirinya dan sebaik sahaja aku tiba di sisinya dia mengambil Puteri dari dukunganku dan aku terus memesan satar dan otak-otak sepertimana pintanya.
            Setelah membayar harga makanan itu aku berpaling mencari kelibat Piya dan Puteri Darwisyah. Aku mula merapati mereka yang sudah jauh beberapa langkah dariku dan sedang sama-sama menikmati gula-gula kapas berwarna merah jambu.
            ”Nah!” Aku menghulurkan plastik yang berisi satar dan otak-otak itu pada Piya.
            Piya memandang plastik yang aku hulurkan padanya. ”Piya tahu Abang Arjuna tidak akan menghampakan Piya.” Kata Piya sebelum menyambut plastik di tanganku.
            Aku hanya mendiamkan diri mendengar kata-katanya itu. Pandai dia menebak hatiku, memang aku tidak sanggup menghampakan setiap permintaannya.        
            ”Rasa kasih buat Abang Arjuna.” Piya tersenyum manis padaku sebelum berpaling meninggalkanku.
            Aku terkedu seketika melihat senyuman manisnya itu. Kaki terasa terpasak ke bumi, masa terasa seakan-akan terhenti, jantung makin berdegup kencang. Belum pernah ada wanita yang mampu membuat aku kerap menjadi keras sebegini, lebih-lebih lagi hanya kerana sebuah senyuman.
           
PANTAS komputer yang berada di hadapanku itu ku tutup apabila waktu pejabat telah berakhir. Meja yang agak berselerakan dengan risalah-risalah dan fail-fail aku kemaskan serba sedikit sebelum melangkah keluar dari ruang pejabatku.
            ”Ra’if!”
            Langkah yang kuatur ke pintu utama jabatanku terhenti seketika apabila mendengar namaku dilaung. Aku menoleh memandang ke kiri. Kak Syeila, Mizi dan Liza tersenyum-senyum memandang ke arahku. Berkerut dahiku cuba mentafsir makna disebalik senyuman rakan-rakan sekerjaku itu.
            ”Nak kemana tu, laju je langkahnya?” Soal Kak Syeila yang masih terus dengan senyumannya.
            Makin berkerut dahiku mendengar pertanyaan Kak Syeila itu. ”Dah habis waktu pejabat kak, baliklah, nak kemana lagi.” Jawabku yang masih terpaku beberapa langkah dari mereka.
            ”Hai awal pula Encik Ra’if Arjuna kita nak balik hari ni. Selalu tu, kalau tak malam, tak ada maknanya nak balik. Macam nak tidur pejabat terus.” Sampuk Mizi pula.
            ”Entah-entah nak keluar dating dengan makwe kut. Dah ada penganti ke Encik Ra’if? Patutlah berseri-seri je muka tu kebelakangan ni.” Tambah Liza pula.
            Aku tertawa besar mendengar kata-kata Mizi dan Liza itu. Terbayang wajah Piya di ruang mataku kini. Kalaulah mereka semua tahu apa yang sedang aku bayangkan waktu ini pasti kecoh satu jabatan ini esok pagi. Mereka ini bukan boleh pakai sangat, pantang ada cerita panas pasti tersebar dengan cepat.
            ”Mana ada, memandai aje kau ni, Liza.” Aku cuba menyangkal dakwaan Liza itu walaupun pada ketika ini hati memang sudah berbunga-bunga. ”Dahlah aku nak balik. Anak aku dah lama tunggu kat rumah tu.” Aku melemparkan senyuman sebelum terus beralu meninggalkan mereka.
            ”Kirim salam kat buah hati Encik Ra’if tu ye!” Jerit Mizi waktu aku sudah semakin jauh dari mereka.
            Aku mengeleng kepala mendengar jeritan Mizi itu. Buah hati? Aku tersenyum lagi, senyuman yang makin panjang apabila terbayangkan wajah Piya.
            Sampai sahaja di parking kereta aku terus memandu kenderaanku untuk pulang ke rumah. Keadaan jalan raya yang begitu sesak merimaskanku. Entah kenapa ada rasa tidak sabar untuk pulang ke rumah hari ini. Mungkin kerana krisisku dengan Piya yang telah berakhir semalam. Aku tahu Piya marah kerana aku membohongi Puteri Darwisyah dengan mengatakan ibunya masih lagi hidup tapi aku tiada cara lain, aku terpaksa melakukan pembohongan itu pada anakku sendiri. Aku cuma menunggu masa yang sesuai untuk menjelaskan segalanya pada Puteri Darwisyah, menunggu anak itu bersedia sebelum aku menceritakan segalanya.
            Hampir sahaja Piya meninggalkan rumahku malam semalam, salahku juga kerana terlalu mendesak, namun nasib baik aku sempat menghalangnya, jika tidak pasti Puteri Darwisyah merengek mahu berjumpa dengan Piya dan aku pula akan menjadi perindu yang akan sentiasa merindui wajah itu.
            Sampai saja di rumah aku terus meletakkan keretaku di dalam porch dan aku terus keluar daripada kereta dan melangkah mendapatkan Piya dan Puteri Darwisyah yang berada di dalam gazebo. Puteri Darwisyah terus memelukku sebaik sahaja aku mendepakan tangan padanya. Aku mengerling memandang Piya yang sedang memandang tajam ke wajahku. Aku tersenyum memandang wajah itu. Aku tahu kenapa Piya memandangku sebegitu. Pasti kerana dia sudah mengetahui aku tidak menghantar nasi goreng yang dimasaknya pagi tadi ke rumah Ad seperti mana mahunya. Sebaliknya aku menghantar nasi gorang itu ke rumah Puan Khalidah yang letaknya bersebelahan dengan rumah Ad.
            Aku tidak tahu kenapa aku sanggup berbuat begitu, tapi rasa cemburuku pada Ad memang tidak dapat dibendung lebih-lebih lagi apabila aku lihat Ad seperti ingin menarik perhatian Piya. Aku tidak tahu sejauh mana benarnya telahanku ini, namun aku sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.
            Piya terus-terusan memadangku tajam dan aku juga terus-terusan melemparkan senyuman pada wajah itu.

SELESAI sahaja makan malam aku dan ibu mengadap TV yang sedang menayangkan program Imam Muda. Piya pula sedang menemani Puteri Darwisyah yang sedang menyiapkan kerja tadikanya. Yang sebenarnya aku ingin turut serta dengan Piya menemani Puteri Darwisyah menyiapkan kerjanya namun aku tahan keinginan itu, takut emak dapat menebak dengan lebih tepat tentang rasa hatiku pada Piya.
            Gelak tawaku terhenti apabila mendengar telefonku berbunyi. Aku bergegas mendapatkan telefon bimbitku yang terdapat di atas meja perhiasaan. Terkebil-kebil mataku memandang nama Ad yang tertera di telefon bimbitku. Antara mahu dan tidak aku jawab juga panggilan itu.
            ”Assalamualaikum.” Aku memulakan bicara.
            ”Waalaikumusalam. Abang Ra’if Piya ada kat rumah tak? Telefon dia tak berangkatlah.”Ad yang berada di hujung talian terus bertanya.
            ”Ada.” Hanya sepatah itu kata yang keluar dari bibirku.
            ”Boleh saya cakap dengan Piya sekejap?”
            Aku berfikir seketika. ”Erm... tunggu sekejap.” Aku berjalan menghampiri Piya yang sedang duduk di meja Jepun. Pandangan mataku dan mata Piya bertaut sewaktu aku melangkah menghampirinya. Terlihat di mataku kegusaran Piya menanti kedatanganku itu. Mungkin bias wajahku yang tidak secalit senyuman seperti tadi yang mendatangkan kegusaran di hatinya itu.
            ”Puteri pergi duduk dekat nenek, sayang.” Arahku pada Puteri Darwisyah dan Puteri Darwisyah terus menurut semua kataku tanpa banyak soal.
            Aku mengambil duduk di sebelah Piya. Aku menyepikan diri seketika dan memandang telefon yang masih lagi berada di tanganku. Seketika kemudian barulah aku menyerahkan telefon bimbitku pada Piya.
            ”Ad nak cakap.” ujarku apabila Piya masih lagi tidak menyambut huluranku.
            Mendengar kataku itu barulah Piya menyambut telefon dari tanganku. ”Ya, Ad, ada apa?” soal Piya pada Ad di hujung talian.
            Aku pula masih lagi duduk disitu memerhati Piya sedari tadi. Entah kenapa aku memang tidak betah apabila Piya berbual-bual dengan Ad. Jadi aku mengambil keputusan untuk terus duduk di situ mendengar perbualan mereka. Walaupun aku tidak mendengar butir bicara Ad tapi sekurang-kurang aku akan tahu apa yang Ad mahukan melalui bicara Piya. Hatiku benar-benar risau. Apalah agakya yang Ad mahukan dari Piya malam-malam begini. Sehingga sanggup menghubungiku apabila tidak dapat menghubungi Piya.
            ”Di mana dan bilakah masanya?”
            Terkejut aku mendengar pertanyaan Piya itu. Apakah maksud pertanyaan Piya itu? Apa sebenarnya yang Ad katakan pada Piya? Ke mana pula Ad ingin membawa Piya?
            ”Awak nak ke mana? Minta saya telefon tu!” Aku terus merampas telefon yang berada dalam genggaman Piya. Tidak sanggup lagi rasanya tertanya-tanya sebegitu.
            ”Ad, Piya ada kerja. Nanti Piya telefon Ad balik.” Talian terus saja aku matikan sebelum sempat Ad membalas kata-kataku.
            Aku terus berpaling memandang Piya di sebelahku. Geram pula aku dengan dirinya. Kenapalah dia suka sangat melayan semua kehendak Ad? Tidak bolehkah ditolak kemahuan Ad itu? Tidakkah dia tahu hatiku benar-benar sakit setiap kali dia berbual dan bersama-sama dengan Ad? Susah sangatkah untuknya memahami perasaaanku ini? Wajah Piya masih lagiku renung.
            Piya yang tidak sanggup lagi menerima renunganku itu terus bangun ingin meninggalkanku sendirian di meja itu. Aku benar-benar marah apabila Piya seperti mahu lari dariku sedangkan aku belum meminta apa-apa penjelasan darinya.
            ”Piya, tunggu!” Jeritku sambil bangun dari dudukku apabila Piya sudah membuka langkahnya. Mendengar jeritanku itu pantas Piya memberhentikan langkahnya dan tertunduk memandang lantai.
            ”Kenapa ni, Ra’if?” Emak yang tiba-tiba sahaja menyertai aku dan Piya di meja ini terus bertanya. Tangan Puteri Darwisyah digenggam, masih lagi tidak dilepaskan.
            Mataku masih lagi tidak lepas memandang Piya. Aku tahu aku sudah tidak boleh menyimpan lagi perasaanku ini. Makin lama disimpan makin sakit hatiku. “Ra’if tak tahu apa yang Ra’if nak buat ni betul ataupun tak. Tapi Ra’if dah tak mampu nak bertahan lebih lama. Hati Ra’if sakit, mak.” aku menyatakannya pada emak namun mataku masih lagi mengikat pandangan pada Piya.
            ”Apa yang kamu cakap ni, Ra’if? Mak tak fahamlah. Yang kamu sakit hati tu pasal apa?” Soal emak sambil melepaskan tangan Puteri Darwisyah. Piya pula pantas memandang wajahku apabila mendengar soalan emak.
            Apabila mataku dan matanya bertaut seketika aku terasa amat yakin, aku tidak sanggup kehilangan wanita ini dalam hidupku. Aku benar-benar cinta dan sayang padanya. Tidak mungkin aku sanggup melihat wanita ini bersama dengan lelaki lain.
            ”Mak... Ra’if nak kahwin dengan Piya.” Luahku menyatakan hasrat tanpa berselindung lagi.
            Berubah terus muka Piya apabila mendengar kata-kataku itu. Aku menjadi gusar melihat perubahan mendadak mimik wajah wanita itu. Mengapa sehingga sebegitu sekali perubahan pada wajah ayu yang sentiasa mengetarkan hatiku itu.
            “Ra’if tak pasti Piya akan setuju ataupun tidak sebab Piya ada Ad untuk dijadikan alasan. Tapi... Ra’if ada Puteri dan itulah alasan terbesar kenapa Ra’if nak mak satukan Ra’if dengan Piya. Mak duduklah berbincang dengan Piya. Apa pun keputusannya, Ra’if terima dengan hati terbuka.” Akhirnya aku terpaksa menyatakan itu. Mengharapkan agar emak yang berbincang dengan lebih lanjut dengan Piya. Puteri Darwisyah yang sudah mengantuk itu ku bawa ke dalam dakapan dan kemudian aku berlalu meninggalkan emak dan Piya di ruang tamu.
            Langkah pantasku atur menaiki anak tangga menuju ke bilikku. Perubahan wajah Piya sebentar tadi mengusik hatiku semula. Mengapa sebegitu sekali perubahan wajahnya? Hati mula tertanya-tanya dapatkah dia menerima lamaran secara tidak langsungku itu? Benak juga mula berfikir bagaimana jika sebenarnya Piya sudah mempunyai pilihan hati dan menolak mentah-mentah permintaanku itu?
            Tidak! Tidak mungkin itu berlaku. Walaupun aku tidak mengetahui apa sebenarnya yang tersirat di hati wanita itu namun aku yakin Piya juga ada menaruh perasaan kepadaku sepertimana aku menaruh hati padanya. Setiap gerak gerinya menunjukkan yang dia juga mencintaiku. Aku amat pasti tentang itu. Tidak mungkin Piya akan menolak! Namun mengapa masih ada lagi juga gusar di hatiku, saat ini?

EMAK sudah pun meluru masuk bersama Puteri Darwisyah ke dalam rumah Pak Uteh. Aku hanya mampu mengelengkan kepala, begitulah emak jika sudah dapat berjumpa dengan sepupunya itu seperti lupa tentang segalanya. Aku memandang Piya yang teragak-agak berjalan menghampiri pintu masuk rumah Pak Uteh, seperti ada sesuatu yang merisaukannya. Matanya pula asyik memandang taman dan kolam ikan yang terdapat di kiri rumah banglo itu.
            ”Kenapa ni? Risau semacam je?” Soalku pada Piya yang berjalan beriringan denganku menuju ke pintu masuk rumah banglo itu.
            Mendengar soalanku itu Piya pantas memalingkan wajahnya padaku dengan senyuman. ”Tiada apa-apa.”
            ”Betul ni, tak ada apa-apa? Nampak gelisah je.” Aku terus menyoalnya. Aku tahu dia akan gelisah setiap kali cuba diperkenalankan dengan orang lain, aku dapat menangkap rasa resah gelisahnya itu. Begitu juga yang berlaku ketika emak memperkenalkan Mak Long dan Faiz kepadanya di kampung dahulu.
            ”Benar, tiada apa-apa. Cuma gemuruh sedikit.” tenang saja kata-kata itu keluar dari bibir Piya.
            Aku membuka senyuman mendengarkan jawapan Piya itu. ”Sayakan ada. Lagipun tak payahlah rasa gemuruh atau gelisah sebab malam ni kita nak jumpa Pak Uteh je pun bukannya nak jumpa tok kadi.” Ulasku pantas dan sepantas itu juga Piya mencubit pinggangku, membuatkan aku ketawa besar melihat reaksi spontannya mencubit dan menjelingku.
            ”Amboi bukan main gembira lagi Ra’if sekarang.” Suara Mak Uteh mematikan tawa besarku.
            Aku memandang ke hadapan semula. Terlalu leka berbual dengan Piya sehingga tidak perasan kami telah pun sampai di hadapan pintu rumah itu. Kesemua mata yang berada di situ memandang kami silih berganti. Mata Pak Uteh, Mak Uteh dan anaknya terus menerjah ke wajah Piya, menyebabkan Piya tertunduk malu di situ.
            ”Jom.” ajakku pada Piya dan dia menurutiku masuk dan bersalaman dengan semua yang barada di situ.
            ”Oh, ini ke bakal isteri Ra’if?” Soal Mak Uteh, apabila selesai Piya bersalaman dengannya.
            Aku menganggukkan kepala dengan senyuman lebar. ”InsyaAllah.” Iya, jika diizinkan Allah, Piya akan menjadi isteriku. Piya telah pun menyatakan persetujuannya pada emak pada malam yang sama aku melamarnya secara tidak langsung itu.
            Bila diimbas kembali kejadian malam itu, aku akan tersenyum sendiri. Terasa kelakar pula cara aku melamar Piya waktu itu. Hanya kerana rasa cemburu yang makin memuncak terus sahaja aku utarakan hajat hati yang sudah lama kupendamkan. Dan sepanjang malam itu aku berdebar-debar dan tidak boleh tidur menanti keputusan Piya dari emak dan emak pula seperti mahu mempermainkanku, sebaik sahaja selesai berbincang dengan Piya terus masuk tidur. Nasib baik keesokkan paginya selepas subuh emak terus menyatakan padaku yang Piya telah bersetuju jika tidak mahunya aku ketuk pintu bilik Piya pagi itu juga bertanya tentang keputusannya.
            ”Cantik sungguh. Patutlah Ra’if tak nak lepaskan peluang.” Pak Uteh pula menambah kata.
            Aku hanya tersenyum dan Piya pula sudah merah wajahnya. Memang Piya cantik orangnya tapi bukan itu sebab utama aku memilihnya, keperibadiaannya yang memikat hatiku dan yang penting kasih sayangnya terutamanya kasihnya pada Puteri Darwisyah yang mengikatku.
            ”Biasa je. Bukannya cantik sangat pun.” Tambah Nita dengan wajah mencukanya sebelum berlalu dari situ.
            Aku terkedu mendengar kata-kata Nita itu.
            ”Ish budak ni. Cuba senonoh sikit perangai tu.” Marah Mak Uteh pada Nita yang sudah menjauh.
            ”Sudahlah tu, jom kita makan. Semua dah terhidang tu.” Pelawa Pak Uteh.
            ”Siapa itu?” Soal Piya sambil memandang Nita yang sudah duduk di meja makan di saat emak, Puteri Darwisyah, Pak Uteh dan Mak Uteh telah ke depan berjalan ke meja makan. Aku pula masih lagi berada di sisi Piya berjalan beriringan dengannya ke meja makan.
            ”Nita. Anak bongsu Pak Uteh dengan Mak Uteh.” jawabku antara mahu dan tidak.
            ”Nita?” Soal Piya, jelas ketara dia terkejut mendengar nama itu.
            ”Kenapa?” Soalku pada Piya pula yang masih meneliti Nita yang sedang duduk mengadap makan malam.
            Piya hanya tersenyum kecil memandangku. ”Tiada apa-apa.”
            Aku ingin bertanya lanjut namun memandangkan kami telah sampai ke meja makan aku batalkan saja niat itu.
            Sepanjang makan malam itu Nita bukan main lagi melayan aku di meja makan. Walaupun aku sudah naik malas dengan layanannya itu namun malam ini makin berlebih-lebihan pula layanannya itu. Rimas aku dibuatnya.  Piya yang duduk bertentangan denganku hanya tertunduk merenung makanannya. Aku mengeluh dalam hati, minta-minta Piya tidak terfikir yang bukan-bukan tentangku dengan Nita.
            Habis sahaja makan malam aku dan Pak Uteh berbual-bual di ruang tamu bersama Nita. Piya pula berada di dapur membantu Mak Uteh di dapur. Aku mengeleng kepala dengan sikap Nita, tetamu pula yang dibiarkan bekerja sedangkan dia senang-senang beristirehat di sini. Apabila emak sudah datang ke ruang tamu dan aku pula sudah semakin malas mahu melayan soalan-soalan Nita yang entah ke mana hala tujunya aku meminta diri ke dapur sebentar. Rimas rasanya menerima pandangan Nita yang tidak putus-putus itu.
            ”Hah, Ra’if nak apa?” Mak Uteh berpaling memandangku yang baru sampai di dapur.
            ”Eh, tak ada apalah Mak Uteh. Saja je.” aku tersenyum memandang Mak Uteh yang masih lagi meneruskan kerjanya memotong buah mangga. Mataku melilau memerhatikan kawasan dapur, mencari kelibat Piya dan Puteri Darwisyah tapi masih tidak ketemu.
            ”Er... Puteri mana Mak Uteh?” Segan pula mahu bertanya ke mana Piya.
            ”Piya bawa Puteri ke kolam ikan, merengek-rengek Puteri tadi nak ke situ. Mak Uteh suruhlah Piya tolong bawakan.”
            ”Ra’if pergi cari dia orang dulu ye.” Tanpa membuang masa aku terus melangkah keluar, kelihatan Puteri yang sedang makan coklat duduk di riba Piya yang sedang termenung memandang kolam ikan di hadapannya.
            ”Jauh menung. Rindukan saya ke?” Terus sahaja aku duduk di atas bangku bersebelahan Piya. Pipi Puteri Darwisyah yang berada di ribaan Piya kuusap lembut, kemudian Puteri Darwisyah menghulurkan coklat yang berada di tanggannya itu padaku menjemputku makan bersama. Aku hanya mengelengkan kepala menolak pelawaannya itu.
            Piya pula mencebikkan bibir padaku. ”Buat apalah Piya rindukan Abang Arjuna, Abang Arjunakan sudah ada Nita yang cantik itu.”
            Aku ketawa besar mendengar kata-kata itu. Piya membulatkan matanya memandangku, mungkin tidak puas hati aku mentertawakannya. Jadi aku lekas menghentikan tawa walaupun masih bersisa tawa itu.
            ”Piya cemburu?”
            ”Tidak!” cepat-cepat Piya menyanggahnya dan matanya kembali memandang kolam di hadapan. Aku hanya mampu tersenyum. Tidak menyangka kuat cemburu juga Piya rupanya.
            ”Itukah Nita yang Mak Long Abang Arjuna ingin jodohkan bersama Abang Arjuna dulu?” Mata Piya masih lagi menghala ke tengah kolam.
            ”Mana Piya tahu?” Aku tidak menyangka Piya mengetahui kisah itu. Kisah tahun lalu.
            ”Piya terdengar Mak Long Abang Arjuna yang menyatakannya.” Perlahan sahaja suara yang terkeluar dari bibir itu. ”Mengapa Abang Arjuna menolak untuk disatukan dengan Nita? Piya lihat Nita itu tiada cacat-celanya malah baik melayan Abang Arjuna.”
            ”Sebab saya tak cintakan dia dan saya tak boleh nak cintakan dia.” Jujur aku menjawabnya.
            ”Tapi dia sukakan Abang Arjuna bukan?”
            ”Kalau dia sukakan saya tak semestinya saya kena suka dia juga.” Aku cuba menghalau kesangsian yang bermain di minda Piya kini dan akhirnya Piya terdiam seribu bahasa.
            ”Piya, hanya Piya sahaja yang mampu membuka hati saya untuk menerima cinta semula. Percayalah, saya cintakan Piya dan saya takkan kecewakan Piya.” Kali ini aku cuba membina keyakinan dalam hatinya pula.
            ”Bagaimana jika Piya tidak dapat membahagiakan Abang Arjuna seperti Warda membahagiakan Abang Arjuna dahulu?” wajahku ditatap dengan rasa gusar yang mengunung terpapar di wajahnya.
            ”Piya, kalau Piya risau Piya tidak dapat membahagiakan saya. Saya juga risau kalau-kalau saya tidak dapat membahagiakan Piya. Apa yang penting sekarang kita cuba untuk membina bahagia bersama. Saya yakin Piya boleh membahagiakan saya. Selagi ada cinta di hati kita selagi itu kita akan sentiasa bahagia.” aku masih terus mencuba menyakinkan Piya. Entah kenapa dengan dia malam ini, berfikir yang bukan-bukan.
            Piya kemudiannya tersenyum memandangku. ”Piya juga yakin Abang Arjuna dapat membahagiakan Piya.”
            Aku juga tersenyum lebar mendengar ucapan Piya itu. ”Dahlah, jangan termenung lagi. Asyik termenung je muka tu pun dah macam muka ikan kembung.” selorohku, cuba menghidupkan kembali suasana ceria antara kami.
            ”Abang Arjuna!” Tekan Piya dengan mata yang mula membulat dan muncung sedepa.
            ”Kenapa? Betullah apa yang saya cakap tu. Tengok tu muncung pun dah macam muncung ikan kembung.” Tambahku lagi.
            Melihat sahaja Piya sudah bangun mendukung Puteri Darwisyah aku juga segera bangun dan melarikan diri.
            ”Abang Arjuna, jangan melarikan diri!”
            Aku tidak mempedulikan jeritan Piya itu. Lebih baik aku menyelamatkan diri sebelum menerima cubitan dari jemari runcing itu. Hatiku tertawa gembira, sudah lama rasanya aku tidak segembira ini.

WAJAH emak yang  pucat dan terlantar di katil itu benar-benar mengusarkanku. Sejak dimasukkan ke dalam wad semalam keadaan emak masih juga lagi begitu tanpa ada apa-apa perubahan. Masalah pada buah pinggangnya agak teruk pada ketika ini, sehingga doktor masih lagi menahannya tinggal di wad hari ini dan tidak tahu bila akan dibenarkan keluar. Puteri Darwisyah yang tertidur di atas sofa yang terdapat di dalam bilik itu ku perhatikan dari jauh. Kesian pula melihat anakku itu, pasti penat kerana terpaksa menanti di sini. Baju tadika yang masih lagi tersarung di badannya masih lagi belum bertukar.
            Aku mengerling ke arah jam dinding yang terdapat di dalam wad itu. Sudah pukul hampir pukul enam petang namun Mak Long dan sepupuku Faiz masih belum lagi tiba. Aku perlu menunggu Faiz dan Mak Long sampai terlebih dahulu kerana aku  mahu  meminta bantuan mereka untuk menjaga ibu seketika sementara aku menjemput Piya di  rumah. Pasti Piya sudah lama menungguku di rumah. Aku sudah berjanji untuk menjemputnya di rumah pada pukul lima petang tadi  tapi hingga  saat ini aku masih lagi berada di sini. Sudah pasti Piya keresahan menantiku di rumah.
            Kuseluk saku seluarku untuk menghubungi Piya memaklumkan atas kelewatanku,  namun belum sempat aku membuat panggilan satu panggilan masuk aku terima dari nombor yang tidak aku kenali. Tidak mahu membuang masa lantas aku cepat-cepat menjawab panggilan itu.
            ”Assalamualaikum.” Aku memulakan bicara.
            ”Wa’alaikumusalam. Boleh bercakap dengan Ra’if Arjuna?” Soal satu suara garau di hujung talian.
            ”Ya, saya. Siapa tu?” Soalku pula. Aku benar-benar yakin yang aku tidak mengenali suara itu.
            ”Ini Dato’ Andika. Boleh Dato’ berjumpa dengan Ra’if sekarang juga?”
            Berkerut dahiku mendengar lengok bahasa yang digunakan. Rasanya seperti lengok bahasa yang biasa Piya gunakan. Siapa pula Dato’ Andika ini? Adakah dia juga orang dari Sri Alamar? Pelbagai persoalan bermain di mindaku ketika ini. ”Untuk apa?”
            ”Ada perkara penting yang perlu di bincangkan. Dato’ berharap kita dapat berjumpa hari ini juga.” Penuh pengharapan bicara Dato’ Andika.
            ”Baiklah, lepas maghrib nanti boleh?” Aku mengatur masa pertemuan.
            ”Baiklah, Dato’ akan menunggu di lobi hotel Hilton. Rasa kasih buat Ra’if.”
            Talian terus kumatikan sebaik sahaja menjawab salam yang diberikan Dato’ Andika. Berkerut-kerut dahiku cuba untuk memikirkan apa tujuan sebenarnya kemahuan Dato’ Andika ingin menjumpaiku. Apa masalah yang sebenarnya? Ah... Mungkin tiada apa-apa cuma aku yang terlalu risau. Aku menarik nafas seketika cuma menenangkan diri.
            Telefon yang masih lagi berada  di tanganku tatap semula, teringat niatku untuk menghubungi Piya yang tergendala sebentar tadi. Aku mengeluh berat belum sempat aku membuat panggilan pada Piya telefon itu teleh terpadam sendiri, menandakan bateri telah habis. Aku mengeluh berat, tiba-tiba timbul rasa kurang enak dalam hati, jantung pula semakin berdebar lebih dari biasa. Terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

MATA Dato’ Andika yang masih lagi merenungku tidak aku hiraukan. Pandangan ku bawa jauh menerjah ke arah beberapa orang lelaki yang duduk jauh dariku dan Dato’ Andika atas arahan Dato’ Andika sendiri kerana mahu berbicara bersendirian denganku.
            Apa yang disampaikan oleh Dato’ Andika tadi cuba aku cernakan semula dalam benakku. Tidak mungkin Dato’ Andika ini menipuku. Melihatkan gayanya dan pengiring-pengiringnya yang setia bersamanya sedari tadi, aku bertambah yakin yang dia datangnya dari Istana Sri Alamar, negara kelahiran Piya.
            Piya? Piya atau Puteri Mahkota Nur Shaafiah? Hanya perkara itu yang masih lagi aku fikirkan. Benarkah itu identiti sebenar Piya seperti mana yang diceritakan oleh Dato’ Andika sebentar tadi? Rasa terkejutku apabila mendengar bicara Dato’ Andika itu masih belum lagi hilang. Benarkah Piya adalah Puteri Mahkota negara itu? Puteri yang melarikan diri dari istana kerana masalah istana yang tidak dapat Dato’ Andika buka kisahnya padaku. Benarkah begitu?
            Seperti mengetahui apa yang sedang bermain di benakku kini Dato’ Andika menghulurkan sebuah majalah padaku. Aku memandang wajah Dato’ Andika seketika sebelum menyambut hulurannya itu. Sebaik sahaja aku menatap kulit majalah itu aku terlonggo seketika. Gambar Piya dengan jelas terpampang di situ berserta nama penuhnya yang juga jelas tertulis di ruangan bawah.
            Aku terkedu benar-benar terkedu. Piya yang aku kenal tidak pernah berpakaian sebegitu apatah lagi bersolek sebegitu. Sungguh berbeza perwatakkannya. Namun aku masih lagi dapat mengecam itulah Piya yang sudah berjaya mencuri hatiku selama ini. Aku mula meraup wajah. Mengapa Piya merahsiakan identitinya yang sebenar dariku sekeluarga? Apa yang sebenarnya niat wanita itu menyertai keluargaku? Otakku benar-benar kusut dengan semua hal ini. Benar-benar kusut.
            ”Dan Dato’ amat berharap kiranya Ra’if dapat melupakan dan membatalkan hasrat untuk menikahi Piya.”
            Aku terkejut mendengar kata-kata Dato’ Andika itu. Bagaimana dia boleh mengetahui perancanganku itu? Terasa begitu kerdil diri ini apabila mendengar kata-kata itu. Aku tahu aku hanya rakyat biasa yang tidak layak sama sekali bergandingan dengan Puteri Mahkota dari kerabat diraja Sri Alamar itu.
            ”Maafkan Dato’ jika Ra’if terasa hati. Bukan Dato’ bermaksud begitu cumanya Puteri Mahkota sudah lama bertunang dengan Putra Aduka.” Jelas Dato’ Andika.
            Aku terpempan mendengar berita itu. Berita kedua yang lebih memeranjatkan aku dari berita pertama tadi. Hampir terlepas majalah yang berada di dalam gengamanku. Masa terasa terhenti seketika. Benakku terasa kosong sama sekali ketika ini.

”JEMPUT  masuk Dato’ Andika. Dia ada kat dalam.”  Pelawaku pada Dato’ Andika yang sudah turun dari kereta yang mengekori keretaku.
            Sebaik sahaja aku membuka pintu rumah Piya sudah sedia menantiku dengan senyuman yang selalu dilemparkan padaku. Aku hanya memerhati dirinya yang masih lagi tersenyum padaku. Tidak sedikit pun aku membalas senyumannya itu, jiwa yang merasa kecewa sejak tadi tidak dapat merasa kegembiraan lagi.
            Piya yang berada di meja makan segera berlari anak mendapatkan aku dan Puteri Darwisyah yang masih terpaku di muka pintu. Pantas aku menepis tangannya yang cuba mendapatkan Puteri Darwisyah dari dukunganku. Piya kelihatan terkejut dengan reaksiku itu dan sebenarnya aku juga tidak menyangka yang aku akan melakukan begitu padanya.
            “Mengapa, Abang Arjuna? Apa yang telah Piya lakukan sehingga Abang Arjuna marahkan Piya sebegini rupa?” Terus sahaja Piya bertanya padaku yang masih lagi merenung tajam wajahnya.
            “Awak ada jawapan yang lebih baik untuk menjawab sendiri soalan awak tu. Terima kasih atas apa yang telah awak lakukan pada ahli keluarga saya.” aku terus saja berlalu menaiki anak tangga menuju ke bilik Puteri Darwisyah.
Aku sudah tidak mahu menghiraukan apa akan berlaku selepas ini. Biarlah Dato’ Andika sendiri yang berbicara dengan Piya, meminta Piya mengikutnya seperti mana mahunya. Setelah Puteri Darwisyah ku selimut aku menutup pintu biliknya dan melangkah ke bilikku pula. Aku bersandar di pintu bilikku ketika aku sudah menutupnya rapat.
Hatiku benar-benar hancur ketika ini. Mengapa semua ini terbongkar di saat aku sudah menyerahkan sepenuh hatiku padanya? Di saat aku mula menyulam impian bahagia untuk hidup bersama-samanya? Lebih-lebih lagi di saat yang aku benar-benar memerlukan dirinya berada di sisiku untuk memberikan kekuatan dan semangat padaku dalam menghadapi dugaan hidup ini.
Mengapa tidak dia sendiri yang menceritakan identiti sebenar dirinya kepadaku? Kenapa aku perlu mendengarnya dari mulut orang lain dan bukan dirinya sendiri? Makin difikirkan makin sesak fikiranku ini.
“Abang Arjuna, maafkan Piya. Piya tahu semua ini adalah kesalahan Piya. Tolonglah, Abang Arjuna, Piya mohon kemaafan daripada Abang Arjuna.” Suara Piya kedengaran dibalik pintu bilikku itu bersama dengan ketukan pintu yang bertalu-talu.
“Piya cuma mahukan kemaafan daripada Abang Arjuna dan Piya akan tetap menunggu di sini sehingga Abang Arjuna keluar dan memaafkan Piya.” Piya melaungkan kuat suaranya apabila aku masih lagi mendiamkan diri sedari tadi.
Aku mengeluh panjang sebelum bergerak dan terus duduk di katilku. Aku benar-benar kesal dan marah dengan dirinya bukan sahaja kerana dia merahsiakan identiti sebenar dirinya padaku, yang lebih membuatkan aku kesal dia merahsiakan yang dia sudah berpunya, sudah menjadi tunangan orang. Dia tidak sepatutnya menerima cinta dan lamaranku sekiranya dia sudah menjadi tunangan orang. Dia tidak sepatutnya mempermainkan hati dan perasaanku ini. Tahukah dia kehadirannya itu memberikan sinar baru dalam hatiku, memberikan harapan buatku. Namun ternyata semuanya itu sia-sia belaka kini.
Ketukan dan suara Piya tidak lagi kedengaran dan aku mula merebahkan badanku ke katil. Fikiran masih lagi berputar ligat memikirkan tentang cintaku, tentang Piya dan tentang impian yang telah kami bina bersama selama beberapa bulan ini.
“Ayah, buka pintu! Kenapa ayah marah ibu? Ibu menangis ni. Ayah tak sayang ibu lagi ke?”
Lamunanku tersentak mendengar suara Puteri Darwisyah yang menerjah ke dalam telingaku. Aku mengalihkan pandangan pada jam di tangan. Sudah hampir pukul tiga pagi. Piya masih berada di depan pintu bilikku? Aku benar-benar tidak menyangka yang dia masih lagi berada di sini. Aku fikirkan dia sudah keluar dari rumah ini bersama-sama Dato’ Andika.
”Ayah ni, cepatlah buka pintu. Tangan Puteri dah penat ni. Kasihan ibu.” Puteri Darwisyah terus menyambung katanya bersama ketukan pintu yang tidak berhenti.
Sayu hatiku mendengar butir bicara anakku itu. Bersungguh-sungguh dia merayu bagi pihak Piya, wanita yang sudah dianggap sebagai ibunya sendiri. Kalaulah dia tahu wanita itu juga akan meninggalkan dirinya dan diriku, entah apalah reaksi anak kecil yang tidak akan dapat memahami apa yang berlaku kini. Aku kuatkan hati melangkah menuju ke pintu bilikku. Antara mahu dan tidak aku harus menyelesaikan semua perkara ini hari ini juga.
Saat pintu biliku terkuak mataku silih berganti memandang Piya yang bercucuran air matanya dan Puteri Darwisyah yang berada dalam pelukan erat Piya. Hatiku tersentuh melihat kasih sayang yang tercipta di antara mereka berdua saat ini. Aku tahu Piya ikhlas memberikan kasih seorang ibu pada Puteri Darwisyah, namun semua itu sudah tidak berguna lagi. Sedalam mana pun kasih Piya kepada Puteri Darwisyah dia tetap akan kembali ke istana Sri Alamar, ke pangkuan tunangnya.
Aku menarik Puteri Darwisyah ke dalam dukunganku.
”Ayah, kenapa ayah marah ibu?” Tanya Puteri Darwisyah.
Aku cuma tersenyum kecil. ”Puteri masuk tidur dulu ya, dah jauh malam ni. Nanti esok kita berbual lagi ya.”
Aku terus berlalu membawa Puteri Darwisyah ke dalam biliknya semula. Sesudah memastikan anakku itu kembali ke alam mimpi aku keluar dari bilik itu semula dan berdiri di hadapan Piya yang masih lagi berteleku di depan bilikku. Saat mataku dan matanya bertaut aku melepaskan keluhan berat. Aku tunduk dan membawa Piya yang masih lagi bersimpuh berdiri mengadap diriku.
”Kita turun dulu.” Perlahan suaraku lagukan dan Piya menganggukkan kepalanya menyatakan persetujuannya.
Aku dan Piya berjalan seiringan mendapatkan Dato’ Andika dan pengiringnya yang masih berada di ruang tamu. Melihat sahaja ketibaanku dan Piya di ruang tamu itu, mereka semua segera bangun dari duduk.
“Saya tak mahu panjangkan lagi kisah ni. Saya minta maaf, saya memang tak tahu yang menjaga anak saya selama ini adalah puteri dari Sri Alamar. Saya juga minta maaf kerana hampir-hampir memusnahkan ikatan antara tuan puteri dengan Putra Aduka. Saya serahkan semula tuan puteri kepada Dato’. Jangan risau... saya takkan cerita apa-apa pada orang luar. Saya akan anggap yang saya tak pernah kenal siapa Puteri Sri Alamar. Bukan niat saya untuk menghalau rombongan Dato’, tapi kalau boleh Dato’ pergilah sekarang. Saya tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan Sri Alamar.” Kuluahkan semua keputusan yang telah ku buat dengan separuh hati itu. Rasanya itulah keputusan yang paling tepat yang dapat aku lakukan saat ini.
Piya pula kelihatan begitu terkejut mendengar keputusan yang telah aku luahkan. “Abang Arjuna, tidak bolehkah Abang Arjuna memaafkan Piya? Tidak bolehkah Abang Arjuna padamkan rasa marah itu dengan cinta ikhlas Piya kepada Abang Arjuna? Piya akan menderita tanpa Abang Arjuna di sisi.” Piya menggenggam kuat bajuku yang sempat dia capai. Air matanya yang sudah kering sebentar tadi menitis kembali.
“Jangan berani sebut pasal penderitaan. Siapa yang menderita sebenarnya? Saya atau awak? Kenapa berbohong? Mempermainkan hati dan perasaan saya? Awak sendiri tahu kan apa yang dah jadi pada mak saya? Macam mana kalau orang tua tu tahu semua ini? Apa pula yang saya nak cakapkan pada Puteri bila dia bertanyakan awak? Kononnya Aduka tu abang kandung awak, padahal...” aku ketawa sinis, tertawa dengan kebodohanku sendiri kerana berjaya dipermain-mainkan olehnya.
“Sudahlah, saya tak mahu merampas apa-apa daripada orang lain. Cukuplah, Piya, dengan semua tipu daya awak selama ini. Pergilah... Jangan sekali-kali datang lagi ke sini. Mulai hari ini, saya tak pernah kenal awak. Cinta saya pada awak dah mati!” Aku menggenggam erat tanganku, cuba membina kekuatan buat diriku sendiri untuk meluahkan kata-kata yang menyiksakan hatiku sendiri, kata-kata yang tidak akan sama sekali berlaku kerana cintaku padanya tidak mungkin akan mati walaupun rasa marah sudah mula menguasai diri.
Aku merentap kuat sehinnga terlepas genggaman Piya pada bajuku. Aku membuka langkah, menarik tombol pintu rumah agar pintunya terbuka luas agar mereka semua segera beredar dari sini, beredar sebelum aku mengubah keputusanku itu.
Akhirnya setelah lama aku menunggu di hadapan pintu itu Dato’ Andika, pengiring-pengiringnya dan Piya keluar juga dari rumah itu. Ku tahan sahaja rasa hati yang terlalu ingin memandang wajah itu buat kali yang terakhir kerana aku tahu selepas ini tidak mungkin aku akan dapat menemui dirinya lagi.
 ”Ibu! Ibu!”
            Aku menoleh bila mendengar Puteri Darwisyah yag sedang berlari laju menuruni anak tangga menjerit memanggil Piya.
”Puteri!”
Aku dan Piya menjerit serentak apabila Puteri Darwisyah yang menginjak anak tanga dengan betul dam membuatkan dia terjatuh dan tersembam di lantai. Aku segera berlari mendapatkan Puteri Darwisyah yang sudah berdarah di kepalanya. Aku memangku dirinya sambil menutup darah yang mengalir di kepalanya dengan tangan kananku. Darah pekat yang mengalir itu menyebakkan hatiku. Piya turut berada di sebelahku memerhatikan keadaan Puteri Darwisyah.
”Ibu!” Perlahan Puteri Darwisyah mengeluarkan kata. Kata yang menyentuh hatiku.
            ”Jangan sentuh Puteri. Pergi! Jangan buat Puteri terseksa lagi. Pergi!” Jeritku kuat apabila Piya cuba mengambil Puteri Darwisyah dari rangkulanku.
Mendengar jeritanku itu Piya terus sahaja berlalu dari situ, keluar dari rumahku. Bunyi kenderaan yang sudah makin menjauh dari rumahku, meyakinkanku yang Piya telah pergi dari hidupku dan hidup anakku buat selama-lamanya.
Darah yang masih lagi mengalir di dahi itu membuatkan aku makin bimbang, lantas aku cembung anakku itu, ingin membawanya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.
”Maafkan ayah Puteri, ayah terpaksa buat semua ni.” Luahku perlahan pada anakku apabila bibirnya masih lagi terus-menerus memanggil Piya tanpa henti. Puteri Darwisyah terpaksa membiasakan dirinya semula tanpa seorang ibu di sisi seperti sebelum kehadiran Piya dalam hidup kami.  Dan aku juga terpaksa meneruskan hidup tanpa cinta wanita itu lagi.

BINTANG-BINTANG di dada langit sekali lagi menjadi santapan mataku malam ini.
“Kata orang, kalau rindukan seseorang, renung saja ke dasar awan. Pasti wajah yang dirindui itu akan muncul di balik kerdipan indah bintang-bintang angkasa.”
Imbasan kata-kata Piya masih lagi terngiang-ngiang di telingaku seolah-olah baru semalam dia menuturkan ayat itu untuk diriku. Keluhan keluar lagi dari bibirku. Terlalu sukar untuk aku membuang ingatan, bayangan, suara dan kenangan wajah itu dari hidupku. Seolah-olah semua itu mengekoriku ke mana sahaja.
Marah? Memang aku marah pada Piya kerana berbohong tentang segala-galanya tentang dirinya, namun dalam masa yang sama aku juga turut terluka dengan segala rasa yang terpaksa aku telan kini. Rasa benar-benar kehilangan sejak Piya berjauhan dariku. Tapi aku terpaksa akur tidak mungkin aku akan dapat bersama dengan Puteri Mahkota sepertinya lebih-lebih lagi dia sudah menjadi milik orang.
            ”Ayah...”
            Aku berpaling memandang Puteri Darwisyah yang berdiri disebelahku. Aku lemparkan senyuman kosong pada wajah yang kini sudah hilang tawa cerianya sejak ketiadaan Piya. Lantas badan kecil itu ku bawa ke atas ribaanku dan seperti malam-malam sebelumnya, kami sama-sama memandang ke dada langit melihat bintang-bintang yang bertaburan menghiasi kelam malam.
            ”Ayah, bila ibu nak balik?”
Aku terdiam sekali lagi apabila mendengar soalan wajib yang keluar dari bibir itu. Tidak pernah berlalu satu hari pun tanpa Puteri Darwisyah menanyakan soalan itu padaku. Dan aku seperti biasa hanya mampu mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang perlu aku katakan padanya. Jika aku katakan padanya Piya tidak akan pulang lagi ke sini, akan remukkah perasaan anak kecil itu? Atau aku harus terus memberikan harapan palsu padanya?
Parut di kepala Puteri Darwisyah aku renung. Parut yang tercipta sewaktu malam terakhir Piya berada di rumahku. Ku usap lembut dahinya yang berparut itu. Berharap agar dia tidak lagi mengulangi pertanyaan yang tidak dapatku jawab.

Daun pintu bilik yang dulunya dihuni oleh Piya, aku tolak perlahan. Rutin harian yang tak pernah aku lupakan sejak Piya meninggalkanku. Aku duduk di atas katil yang setiap hari aku kemas, umpama ingin menyambut kehadiran Piya. Untuk apa aku lakukan semua itu, aku pun tidak pasti kerana sudah jelas nyata cintaku hanya layak menjadi sejarah yang tidak patut dikenang lagi. 
            Perasaan yang sama terasa lagi. Sama seperti saatnya aku kehilangan Warda. Jiwaku rasa terbang sama, hariku terasa hilang dibalik mendung awan mega. Rindu sentiasa melambai-lambai membawa aku terus hanyut dalam senyuman Piya yang selalu menjelma, mengekori langkahku.
            ”Ayah, Puteri tak boleh tidurlah. Puteri rindu ibu!” Puteri Darwisyah muncul di muka pintu. Dia kemudiannya berjalan mendapatkan aku yang masih lagi tidak bergerak dari atas katil itu.
            ”Anak ayah rindu ibu, ya” soalku walaupun sudah aku tahu semua itu.
Puteri Darwisyah hanya menganggukkan kepalanya ”Ayah tak rindu ibu, ke?” soal anak kecil itu lagi.
            Aku hanya mampu terdiam mendengar soalan itu. Kalau mahu disebut soal rindu, pasti akulah orangnya yang paling merindui Piya. Cuma aku saja yang tak mahu meluahkannya dengan kata. Dengan status dirinya, mustahil bagiku melafaskan kata rindu itu.
            ”Ayah, apa kata ayah bawa Puteri pergi jumpa ibu, boleh?” Puteri Darwisyah tersenyum dengan katanya. ”Bolehlah ayah...” pintanya beria-ia.
            ”Tak bolehlah, sayang. Kita tak boleh nak jumpa ibu lagi,” aku cuba menerangkan hakikat yang tdak dapat anak kecilku itu fahami.
            ”Kenapa pula ayah?”
            ”Puteri akan faham satu hari nanti.” aku tidak mahu bebicara lanjut kerana hatiku bakal terluka setiap kali mengenangkannya. ”Dah, Puteri ambil bantal tu, hari ni, kita tidur dalam bilik ni, ya.” aku mengarahkan.
            Puteri Darwsiyah dengan segera menurut kata. Bantal yang ada di atas katil itu di tariknya. Aku tertunduk sendiri. Berharap, anakku itu, tidak lagi meminta untuk bertemu dengan Piya. Aku tidak akan sekali mampu menunaikan impiannya itu. Aku tidak berupaya. Aku yakin, Piya juga terluka dengan setiap patah kata yang aku tuturkan pada malam itu. Sedang aku sendiri terluka dengan apa yang katakan.
            ”Ibu!”
            Aku tersentak apabila mendengar Puteri Darwisyah bersuara. Pantas aku palingkan wajah, memandang Puteri Darwisyah. Anakku itu menyerahkan majalah yang entah mana dijumpainya itu kepadaku. Majalah itu segara aku capai. Majalah Sri Mahligai. Majalah yang sama yang diperlihatkan kepadaku oleh Dato’ Andika.
            ”Ayah, tak boleh ke, ayah bawa ibu balik?” Darwisyah masih lagi mempersoalkan perihal yang sama.
            Aku pandang wajah anak kecilku itu. Begitu rindu dia pada Piya. ”Kalau ayah mampu, ayah janji, ayah akan bawa ibu balik.” hanya janji itu yang mampu aku berikan. Mujur Puteri Darwisyah mengangguk, menerima bulat semua janjiku itu. Persoalannya, mampukah aku melaksanakan impian Puteri Darwisyah untuk menjadikan Piya sebagai ibunya atau aku hanya mampu menggali kubur cintaku sekali lagi? Tidak terdaya aku mendapatkan jawapan itu...

P/S : Terima kasih kepada semua pembaca cerpen ini. cerpen ini saya tujukan khas buat semua pembaca-pembaca novel Cinta Dari Istana. Sengaja saya pamerkan perasaan Ra’if Arjuna di sini seperti mana yang diminta oleh pembaca-pembaca setia CDI. Semoga dengan adanya cerpen ini, terubat kerinduan semua kepada Ra’if, Piya dan Puteri Darwisyah. Semoga bertemu pada karya yang lain pula. Terima kasih atas sokongan semua.
           
             

5 comments:

Wyna Nubies said...

As Salam,

serius seronok sangat baca cerpen ni..hehe~~

Anonymous said...

terror nyek akak bagu2 :)

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

dah baca abis cinta dari istana..

tapi nie 1st time baca dari side Ra'if Arjuna.. hehe..

Valena Michelle said...

Banteng88 MASTER AGEN BOLA
Banteng88 MASTER AGEN JUDI
Agen Bola
Agen Judi
Agen Judi Online
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Bandar Judi
Bandar Bola
Judi Online
Bola Online

connie sukanda said...

Hai.. I'm coni. I'm Indonesian. I like this story. I think it will be full until the ending.
Good job and keep writing,, I hope one day, I can read the full of this story.

Post a Comment