Thursday, July 7, 2011

Ada Di Hati - Bab 5


LIMA
Terik matahari yang memancar di ubun-ubun kepala memeritkan kepalaku. Aku menguak rambut ke belakang, dalam masa yang sama cuba mengurut seketika kepala bagi menghilangkan kesakitan. Aku tetap meneruskan langkah menuju ke rumah kak Diah, aku ingin berjumpa dengan Ikin. Sudah dua hari Ikin tidak membalas mesej, apatah lagi menerima panggilan dariku. Aku tahu Ikin begitu marah denganku, tapi aku bukan sengaja tidak mahu menceritakan tentang kecurangan Haris. Aku sendiri tidak tahu dari mana untuk aku memulakannya dan aku sendiri tidak pasti adakah Ikin akan mempercayai ceritaku ataupun tidak. Tambahan pula sebelum ini aku sendiri tidak mempunyai bukti untuk menyakinkan Ikan bahawa Haris sememangnya berlaku curang pada dirinya.
Bunyi hon motor yang sedang bergerak dari arah bertentangan denganku memeranjatkanku. Aku mengamati motor itu, sepertinya aku pernah melihat motor itu, tapi di mana? Belum sempat aku memikirkan jawapannya, motor itu telah pun berhenti di hadapanku. Aku agak terperanjat dan mula mengundur beberapa tapak ke belakang. Apa lelaki dan wanita yang menaiki motor ini mahu dariku? Aku menelan liur, segala perkara yang bukan-bukan mula bersarang di kepala. Aku makin mengundurkan langkah ketika penunggang motor itu turun dari motor dan menuju ke arahku.
“Eh, Safi nantilah…” Kata penunggang motor itu sambil membuka topi keledar yang tersarung dikepalanya. “Ingat saya lagi?”
Langkahku terhenti, aku sedikit terkejut melihat Zafril kini berada di hadapanku, senyuman tidak lekang dari bibir Zafril saat ini. Senyuman Zafril itu mengingatkanku pada senyuman Zafril ketika berbual mesra dengan temannya di majlis perkahwinan kakak Fuad dahulu… senyuman buaya tembaga. Mengenangkan itu semua terbantut diriku untuk membalas senyuman Zafril itu.
“Awak nak pergi rumah Ikin ke?” Tanya Zafril dengan senyuman yang masih lagi bergayut di hujung bibirnya.
“Sayang, cepatlah… panas ni,” suara manja dari wanita yang membonceng motor Zafril itu kedengaran dari belakang Zafril.
Aku dan Zafril menoleh ke arah perempuan itu yang telah pun menanggalkan topi keledarnya dan mula mengipas-ngipas wajahnya dengan tangan, panas sungguh lagaknya.
Aku mengamati wajah wanita itu. Rasanya, itu bukan wanita yang berkepit 24 jam dengan Zafril di rumah Fuad dahulu. Amboi, berapa ramai teman wanita lelaki ini? Lepas seorang, muncul seorang lagi berkepit dengannya. Sah lagi sahih, lelaki ini bukan sahaja poyo tapi juga buaya tembaga yang wajib aku jauhi dan hindari.
“Siapa tu?” Soalku ketika Zafril sedang melambaikan tangan mengisyaratkan supaya wanita itu menunggu sebentar.
Mendengar soalan dariku, Zafril pantas memandangku semula “ Kawan…” Balas Zafril lembut.
“Aik, kawan siap bersayang-sayang. Kawan apanya tu?” Perliku. Huh, alasan klise dari mulut setiap buaya tembaga sepertinya.
Zafril tergelak besar mendengar kata-kataku. Ingin sahaja aku menutup mulut Zafril itu supaya berhenti ketawa. Aku tengah serius, apa dia ingat aku melawak ke?
“Awak Jelouse ke?” Aju Zafril yang masih lagi ketawa memanjang.
Aku pantas mengeleng laju, entah kenapa aku jadi tidak tentu hala apabila dianggap sebegitu oleh Zafril. Sememangnya aku tidak cemburu, tapi aku sendiri tidak tahu mengapa aku harus bertanya sebegitu pada Zafril.
“Tak payahlah awak nak Jelouse, kan saya dah kata hari tu kalau awak nak panggil saya sayang pun boleh, saya tak kisah. Lagi saya suka adalah.” Luah Zafril.
“Tak payah nak merepek.” Bentakku pantas.
“Awak ni makin marah, makin cantiklah.”
Meremang bulu romaku apabila mendengar kata-kata Zafril itu. Aku tahu kata-kata Zafril itu pasti tidak ikhlas, hanya untuk mengambil hatiku.  Buaya tembaga seperti Zafril memang pandai mengayat perempuan. Memang gelaran buaya tembaga ini lebih sesuai dan padan untuknya.
“Em… awak nak saya hantarkan awak ke rumah Ikin?” Soal Zafril apabila aku masih mendiamkan diri.
“Tak payah dah nak sampai pun,” balasku acuh tak acuh. Hanya selang tiga buah rumah sahaja lagi aku akan sampai ke rumah Ikin. Lagi pun, Zafril ingin menghantarku dengan apa? Dengan motornya itu? Terima kasih ajelah, tak ingin aku membonceng motor bersamanya. Mana nak dicampakkan perempuan yang sedang membonceng motornya itu?
“Em... takpelah saya pergi dulu, ada hal sikit. Petang nanti kita jumpa kat rumah Ikin. Awak tunggu saya okay. Mesti tunggu,” kata Zafril yang lebih berupa arahan.
Aku hanya mendiamkan diri, bersetuju pun tidak menolak pun tidak. Aku hanya memerhati Zafril yang berlalu menuju ke motornya dan menaiki motornya itu.
“Awak hati-hati, jangan lupa kat sini banyak anjing,” laung Zafril padaku sambil ketawa sebelum dia memecut laju motornya itu berlalu dari situ.
Sakit hatiku apabila Zafril mengingatkanku kejadian yang memalukan itu. Aku mengempal penumbuk, menahan geram yang bersarang di hati. Kenapa setiap kali aku menemui Zafril pasti Zafril berjaya menyakitkan hatiku? Arghh… Zafril Adli kau memang sengaja mengundang amarahku.

“HAH! Nak apa kau datang sini?” Soal Ikin sinis sambil memandangku yang kini berada di luar pagar rumahnya.
            Aku menelan liur mendengar nada suara Ikin itu, sepertinya Ikin tidak menyenangi kehadiranku di sini. Pintu pagar masih tertutup rapatku pegang kemas, tidak inginkah Ikin memperlawaku masuk ke rumahnya seperti selalu?
            “Ikin janganlah macam ni. Okay aku minta maaf aku tahu aku salah sebab tak bagi tahu kau pasal Haris tapi aku buat macam tu sebab…”
            Belum sempat aku menghabiskan kata Ikin pantas memotong percakapanku. “Sebab apa? Sebab kau memang suka tengok Haris permainkan aku sampai bila-bilakan,” Marah Ikin.
            Aku mula beristigfar di dalam hati, begitu sekali tanggapan Ikin padaku, sedikit pun aku tidak terniat begitu. “Aku tak ada niat macam tu, kau kan kawan aku takkan aku nak buat kau macam tu.”
            “Eleh kawan konon, kawan apa macam tu. Kalau kau betul-betul kawan aku kau mesti bagitahu aku apa yang Haris dah buat kat belakang aku, ni kau diam je. Kenapa? Sebab kau sukakan tengok Haris berjaya main-mainkan aku.”
            “Aku tak…”
            “Argh… Sudahlah Safi, kau memang kawan tak guna. Kalau kau betul-betul kawan aku kau takkan tergamak buat aku macam ni.” Ikin nampaknya benar-benar tidak dapat memaafkanku
            “Tapi aku…”
            “Kau tau tak sebenarnya aku dah malas nak layan kau. Eh… kau balik jelah, menyampah pulak aku tengok muka kau lama-lama kat sini.”
            Aku terkejut, Ikin menghalauku? Aku makin bercelaru, tidak tahu bagaimana lagi untuk aku menjelaskan keadaan agar Ikin percaya yang aku semenangnya tiada niat sebegitu. Segala penjelasanku tidak diterima. Bahkan, belum sempat aku menjelaskan segala-galanya Ikin dengan mudah memotong kataku seumpama memang tiada maaf di hati Ikin untukku lagi.
            “Eh… dahlah kau balik ajelah,” ujar Ikin sebelum berpusing ingin masuk semula ke dalam rumahnya itu.
            “Ikin nanti…” aku cuba menghentikan langkah Ikin dan aku bersyukur kerana Ikin masih lagi mahu mengadap muka sahabat yang mula dibencinya ini. “Aku nak bagitahu kau yang aku dapat tawaran masuk Universiti…”
            Sekali lagi Ikin memotong percakapanku “Habis tu kenapa? Nak berlagak dengan akulah tu? Apa ingat bagus sangat dapat masuk Universiti?” Bentak Ikin sambil mencekak pinggang di hadapanku.
            Aku pantas mengeleng sememangnya aku tidak terniat begitu, aku hanya ingin berkongsi berita dengan Ikin, itu sahaja. “Tak… Bukan… Bukan macam tu.” Aku mula gagap, entah kenapa aku mula tidak keruan bila berbual dengan Ikin hari ini. Semua kata-kataku akan disalahertikan oleh Ikin. Ayat apa lagi yang harus aku gunakan agar Ikin tidak menyalahtafsirkan setiap butir kata-kataku.
            “Aku cuma nak bagitahu je… Lagipun hujung bulan depan aku nak pindah kat Bukit Beruntung. Ayah dengan ibu aku dah dapat tukar sekolah kat sana,” bicara Safi perlahan. “Nanti aku smskan alamat rumah baru aku tu kat kau.”
            “Tak payah nak susah-susahkan diri. Kau nak pindah mana pun suka hati kaulah, aku dah tak nak ambil peduli. Sebab aku memang dah tak anggap kau kawan aku lagi.” Seusai bercakap Ikin masuk semula ke dalam rumahnya dan meninggalkanku dalam keadaan terpingga-pingga.
            Aku mengeluh berat, adakah ini bermakna aku telah kehilangan kawan yang paling rapat denganku gara-gara Haris? Kalau bukan kerana Haris pasti Ikin tidak akan membenci aku sehingga begini sekali.
            Besar sangatkah dosaku pada Ikin, sampai begini sekali Ikin menghukumku. Kalau aku tahu begini pasti dari mula dia akan menceritakan pada Ikin tentang kecurangan Haris. Kalau dapat aku putarkan semula masa pasti aku akan membongkar rahsia Haris pada Ikin. Tapi itu tidak mungkin berlaku kerana apa yang telah berlaku adalah takdir-Nya dan aku pasti tidak boleh melawan takdir-Nya. Dan aku juga yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersembunyi yang mana belum lagi dapat dilihat oleh Ikin dan diriku.

“EH, KAU jangan lupa tau, esok aku ambil kau pukul 9 pagi.” Mona cuba mengingatkanku sekali lagi. Kali ini rasanya sudah empat kali dia mengingatkanku tentang trip kami dan rakan-rakan sekelas semasa di politeknik dahulu ke Genting Highland pada keesokkan hari.
            “Ya, aku ingatlah. Berapa kali kau nak telefon ingatkan aku ni Mona?” Soalku bosan pada Mona yang berada di hujung talian. Sebenarnya aku malas ingin mengikuti trip kali ini, aku benar-benar tiada mood sejak kesku dan Ikin beberapa hari lalu.  Perselisihan faham antara aku dan Ikin membuat perasaanku macam tidak menentu. Selagi aku tidak berbaik semula dengan Ikin aku terasa seperti ada batu besar yang digalas dibahuku ini. Perasaan bersalah itu tidak pernah padam dan terus aku bawa ke mana saja aku pergi.
            “Iyalah, iyalah… okay jangan lupa tau esok pukul 9 pagi. Bye.” Aju Mona sebelum mematikan talian telefon.
            Aku hanya mampu mengelengkan kepala mengenangkan gelagat Mona itu. Beria-ia benar Mona dengan trip kali ini. Mungkin perasaan teruja untuk berangkat ke Australia minggu hadapan terbawa-bawa hingga ke trip kali ini.
            “Kak Safi dah habis mengemas?” Soal Nia yang tiba-tiba terpacul di muka pintu yang terbuka luas itu.
            Aku tersenyum memandang Nia. “Lagi sikit, kenapa Nia dah nak balik ke?”
            “Ha’ah… lagipun esokkan sekolah kalau tak mesti boleh ikut Kak Safi ke Genting kan.”
            Aku hanya tersenyum kecil menyambut rungutan manja Nia itu. Walaupun sudah berusia 18 tahun tapi sikap manjanya itu tidak pernah berubah.
            “Kak Safi, Nia tanya sikit boleh?”
            Aku mengangguk kecil, membenarkan Nia meneruskan pertanyaannya itu.
            “Kak Safi sehari dua ni macam tak ceria je, kenapa?” Soal Nia yang mungkin risau melihat telatahku sehari dua ini. Tidak ceria langsung.
            “Tak ada apalah akak macam biasa je.” balasku yang cuba mengaburi benda yang telah nyata.
            “Tak, Kak Safi tak macam biasa. Selalunya Kak Safi kan... happy go lucky orangnya. Dua tiga hari ni Kak Safi banyak diam aje. Ni mesti pasal kes Kak Ikin tu kan.” Teka Nia.
            Aku masih mendiamkan diri. Nia memang mudah memahamiku. Oleh kerana itu aku selalu berkongsi banyak cerita dengan Nia dan kadang-kala aku juga akan berkongsi masalah dengan Nia, begitu juga sebaliknya.
            “Alah Kak Safi tak payahlah nak rasa bersalah sangat. Bukannya salah Kak Safi seratus peratus pun. Benda-benda macam ni kan tak dapat dijangka, mana Kak Safi nak tahu nak jadi macam tu. Lagipun kalau Nia kat tempat kak Safi pun, Nia tak tahu macam mana nak explain kat kak Ikin tentang perangai pakwe dia tu,” Nia cuba menyedapkan hatiku.
            Bagiku itu hanya pandangan Nia, bukannya Ikin, kalaulah Ikin mempunyai pandangan yang sama seperti Nia, pasti aku tidak perlu rasa bersalah sehingga sebegini. Teruk benar perasaanku ketika ini. Terasa bersalah yang teramat sangat. “Betul ke Nia rasa akak tak salah?” Soalku, aku benar-benar ingin mengetahuinya.
            “Ya, akak tak salah. Kalau Kak Ikin masih nak salahkan akak juga, nak buat macam mana kan, biarkan ajelah dia tu. Esok lusa bila marah dia dah reda okaylah tu. Kak Safi jangan risau okay.”
            Entah bila agaknya marah Ikin itu akan reda. Aku bukannya baru mengenali Ikin, sudah lama. Aku kenal sangat dengan Ikin, apabila Ikin sudah marah bukan senang untuk reda, mahunya memakan masa yang lama. Entah lama mana aku pun tak tahu.
            “Dahlah Kak Safi, esokkan Kak Safi nak pergi genting. Enjoy puas-puas okay, tak payah fikir pasal Kak Ikin tu lagi. Jangan asyik nak fikir pasal orang lain aje, pasal diri sendiri pun kena fikir juga.” Nia masih lagi cuba menasihatiku seperti seorang kaunselor yang sedang memberi nasihat lagaknya sekarang ini.
            “Iyelah Puan Qistina Shania, saya menurut perintah,” kataku, malas pula aku hendak mendengar bebelan pengerusi persatuan pembimbing rakan sebaya sekolah ini.
            “Eh… tolong sikit ya, Cik Qistina Shania bukan Puan Qistina Shania! Bila pula saya kahwin. Cakap baik-baik sikit ya.” Marah Nia sambil menjengkilkan matanya padaku yang berada disebelahnya.
            Aku ketawa melihat telatah Nia itu, marah benar Nia kalau digelar Puan pada pangkal namanya. “Alah apa salahnya kalau akak gelar Nia... Puan dari sekarang, lagipun mak ngah kan dah cakap kalau Nia tak lulus STPM tahun depan, mak ngah nak kahwinkan je Nia dengan Danial sebelah rumah akak ni,” aku masih lagi menyakat Nia, suka benar aku apabila melihat Nia marah. Muka Nia yang putih melepak itu akan kemerah-merahan apabila marah. Comel benar rasanya.
            “Ah, jangan mimpilah nak kahwinkan Nia cepat-cepat, lagipun Nia yakin, Nia takkan gagal STPM tahun depan, jangan lupa... Nia ni kan best student kat sekolah. Takkan best student kantoi STPM kot… tak logik. tak logik.”
            “Jangan belagak sangat Nia… Tuhan marah…” Aku cuba mengingatkan Nia. Iyalah, kadang-kala kita berada di atas dan kadang-kala pula, kita akan berada di bawah. Untung nasib tak siapa yang tahu. Oleh itu kita tidak boleh terlalu berbangga diri. Walaupun aku tahu Nia pelajar terbaik di sekolahnya, bahkan setiap tahun Nia akan menerima anugerah pelajar harapan pada majlis anugerah cemerlang sekolahnya, namun aku tidak mahu perkara itu akan menyebabkan Nia bongkak dan takbur.
            “Nia bukan nak berlagaklah kak, Nia cuma tak suka kalau Mama dengan akak asyik kata nak kahwinkan Nia je. Nia tak nak kahwin dulu, Nia nak belajar dulu, Nia ni muda lagi, lagipun…”
            “Lagipun Nia nak kahwin dengan Abang Add.” Pantasku menambah kata-kata Nia.
            “Ish, Kak Safi ni mengarut jelah… Abang Add tukan sepupu Nia. Takkan nak kahwin dengan sepupu sendiri pulak.” 
            “Eleh, siapa kata tak boleh kawin dengan sepupu sendiri, boleh apa?”
            “Ish… Sudahlah Kak Safi. Nia anggap Abang Add tu macam abang kandung Nia sendirilah. Mengarut je kak Safi ni,” muka Nia mula merah menahan malu.
            Aku tahu Nia amat menyayangi abang sepupunya itu, walaupun sudah tujuh tahun Nia tidak berjumpa dengan abang sepupunya itu tetapi nama abang sepupunya itu sentiasa meniti di bibirnya saban waktu apabila Nia berbicara denganku. Pelbagai cerita yang aku dengar tentang Abang Add dari Nia.
            Menurut Nia Abang Add seorang yang baik, bertimbang rasa dan menyayanginya. Nia senang apabila berada bersama Abang Add, rasa selamat. Em… tertarik juga aku untuk mengenali Abang Add setiap kali Nia menceritakan tentang lelaki itu. Dan yang pastinya, semua cerita Nia tentang Abang Add yang baik-baik belaka seperti tidak ada cacat-celanya pada lelaki itu.
            “Nia tak nak jumpa Abang Add?” Soalku cuba menguji Nia, tidak rindukah dia pada Abang Add, ayahnya dan ahli keluarganya yang lain.
            “Nak…” Pantas Nia membalas soalaku
            “Em… apa kata kita sama-sama cari Abang Add nak?” Saranku. Aku benar-benar memahami keadaan Nia, sudah pasti Nia merindui saudara kandungnya. Walaupun  aku sekeluarga begitu menyayangi Nia dan tidak pernah menganggap Nia seperti orang luar tetapi aku tahu Nia pasti ingin bersama-sama ayahnya dan saudara kandungnya yang lain memandangkan ibunya telah lama meninggal dunia.
            Nia pantas mengeleng, matanya mula berkaca.
            “Nia kenapa ni?” Soalku sambil mengulas lembut bahu kanan Nia, cuba menenangkan hati Nia.
            “Kalau Nia cari Abang Add maknanya nanti Nia akan jumpa daddy dan Mak Long, Nia tak nak jumpa daddy dengan Mak Long. Nia benci dia orang. Dia orang yang halau mama dari rumah. Sebab dia orang jugalah Mama meninggal,” kata Nia dalam esakan yang panjang.
            Aku pantas memeluk Nia berharap tangisan dan duka di hati Nia akan reda.
            “Mak Long fitnah mama ada lelaki lain, sebab tu daddy halau mama keluar rumah. Mak Long jahat, daddy pun sama.”
            Aku membiarkan Nia meluahkan perasaannya, biar Nia luahkan semuanya agar hati Nia kembali tenang. Aku sudah tahu semua cerita itu, sudah banyak kali Nia meluahkannya. Namun setiap kali itu juga aku akan tetap menjadi pendengar yang setia kerana aku tahu hanya padaku tempat Nia luahkan duka di hatinya itu.
            “Nasib baik ada mummy, kalau tak... agaknya Nia ada kat rumah anak yatim sekarang.” Luah Nia lagi dengan sendu yang makin memanjang.
            Iya mujur Mak Ngahku mengambil Nia sebagai anak angkat, jika tidak, aku pun tidak tahu apalah nasib Nia sekarang. Menurut Mak Ngah, mama Nia dan Mak Ngah berkawan baik. Apabila mama Nia menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana kemalangan jalan raya, mama Nia mengamanahkan Nia pada mak ngah untuk menjaganya.
            “Sudahlah tu Nia jangan menangis ya… Nia kena ingat setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, Nia kena banyak bersabar. Ini semua ujian dari ALLAH untuk Nia.” Aku pula yang cuba memberikan kata-kata semangat pada Nia dan berharap Nia tabah menempuhi hidup yang penuh cabaran ini.
            “Qistina Shania… cepat sikit mummy dah nak balik ni…” Laung Mak Ngah dari tingkat bawah.
            Aku pantas merenggangkan pelukan dan menyeka air mata Nia. “Sudah jangan menangis lagi, buruk benar rupanya.” Aku cuba menyakat Nia untuk menceriakan adik kesayanganku itu.
            “Ish… Teruklah Kak Safi ni, tak baik tau kata Nia macam tu.”
            Aku turut tersenyum apabila melihat Nia sudah mula mengukirkan senyuman manisnya semula.

Bersambung...

4 comments:

Anonymous said...

abang add tu mesti zafril adli...

Anonymous said...

mmg sah zafril buaya tembaga...hahahah..

yun said...

safi abg add tu mmg dh berada dpn mata kamoo lah...kamu saje x perasaan..~~~~

Shamsul Ajizi said...

Ulang baca utk yg keberapa kali ntah...best bangat!!!
Hehe...

Post a Comment