Friday, July 15, 2011

Ada Di Hati - Bab 7

TUJUH
            Ingin sahaja aku campakkan telefon bimbit Zafril itu ke dinding, biar hancur berkecai, dari tadi tidak putus-putus panggilan masuk. Semua panggilan itu datangnya daripada pemanggil wanita yang jelas tertera namanya pada skrin telefon. Itu belum lagi puluhan mesej yang diterima. Nasib baik awal-awal lagi aku telah mematikan nada deringannya dan hanya memasang getaran pada telefon bimbit itu, jika tidak mahu pedih anak telinga mendengar deringan telefon yang bertalu-talu itu. Entah ilmu apa yang dia ada sampai ramai perempuan terkejar-kejar dirinya. Pelik pun ada, menyampah pun ada!
Telefon itu bergetar lagi, bertambah terkejut aku dibuatnya. Geram sungguh aku dengan telefon bimbit itu. Sudahnya, aku menyimpan telefon bimbit Zafril itu ke dalam beg pakaian, kemudian aku memasukkan pula beg pakaian itu ke dalam almari. Huh, lega… duduklah diam-diam dalam tu, tak kuasa aku nak mengadap telefon itu lagi.
“Kau ni kenapa Mona macam ayam berak kapur je aku tengok?” Soalku apabila melihat Mona yang tak senang duduk, sekejap berdiri, sekejap duduk dan kadang-kadang berjalan ke hulu ke hilir dengan telefon bimbitnya.
Boyfriend aku ni, dah banyak kali aku telefon tapi satu pun dia tak jawab, ish risaulah aku,” Mona masih lagi cuba menghubungi teman lelakinya itu.
“Apa yang kau nak risau sangat dia kan dah besar, lelaki pulak tu, tahulah dia nak jaga diri.” Aku cuba menenangkan hati Mona. Apalah yang nak dirisaukan dengan teman lelakinya itu.
“Aku bukan apa, masa kita sampai tadi dia kata dia on the way, tapi sampai sekarang tak sampai-sampai, tu yang aku risau tu.”
On the way? “Eh, kau ajak boyfriend kau join kita sekali ke kat sini?”
“Yelah, tapi sampai sekarang tak sampai-sampai.”
Aku merengus marah. “Apalah kau ni Mona kata trip ni untuk geng-geng kita je apasal kau ajak dia sekali?” Aku mula menarik muncung.
“Alah rileks lah Safi,” ujar Mona yang mulai duduk di sebelahku dan terus memelukku. “Aku ajak dia datang sekali sebab nak kenalkan dia kat kau. Kan aku dah janji nak kenalkan dia kat kau dulukan?”
Aku merenggangkan pelukkan Mona padaku. Bukan aku tidak suka Mona mengajak teman lelakinya sekali ke sini tetapi entahlah tiba-tiba dia rasa tidak selesa. “Dahlah jom pergi makan, perut aku dah lapar sangat ni. Dari tadi sampai dah malam ni, asyik terperap kat bilik je. Kalau tahu macam ni baik duduk rumah,” aku sudah tisak sanggup menunggu lagi, terus saja aku berlalu ke muka pintu.
“Alah kita kat sini dua harilah Safi, janganlah gopoh sangat. Aku janji esok dengan lusa kita jalan-jalan dan main semua permainan kat sini puas-puas okay.”
Aku tidak menghiraukan kata-kata Mona itu, aku terus saja keluar dari bilik dan menuju ke bilik kawan-kawanku yang lain untuk mengajak mereka makan malam bersama-sama.

“AKU nak masuk bilik air dulu,”
            Aku mengeling kepala melihat telatah Mona itu, bilik air pun nak direbutkan. Macam budak-budak lagaknya. Aku mengambil baju tidur dari dalam beg pakaian dan tiba-tiba telefon bimbit Zafril bergetar lagi. Aku terperanjat, aku benar-benar terlupa aku meletakkan telefon bimbit Zafril di situ. Hari ini sudah banyak kali aku terperanjat gara-gara telefon bimbit itu, telefon bimbit itu betul-betul menyusahkan diriku.
            Tiada nombor yang tertera pada skrin telefon, yang tertera cuba perkataan nombor peribadi. Tiba-tiba aku teringat pesanan Zafril supaya menjawab panggilan daripada nombor peribadi. Nak jawab ke tak? Aku mula berkira-kira dalam hati sehinggalah telefon itu berhenti bergegar. Aku menyemak senarai panggilan yang tidak dijawab, 34 panggilan yang tidak di jawab dan separuh darinya adalah panggilan daripada nombor peribadi. Selebihnya pula panggilan daripada beberapa orang wanita.
            “Siapa pulak yang menelefon dengan nombor peribadi? Kenapa Zafril suruh aku jawab bila nombor peribadi yang call? Entah-entah dia yang call tak.” Aku berbicara sendiri. Kalau benar itu panggilan daripada Zafril ini bermakna aku harus menjawab panggilan itu kerana aku ingin memulangkan telefon bimbit itu pada Zafril semula.
            Telefon itu bergegar lagi dan dari pemanggil yang sama. Aku mula berdoa dalam hati semoga panggilan itu daripada Zafril, jika orang lain apalah agaknya alasan yang harus aku berikan jika ditanya di mana Zafril. Aku menoleh ke arah bilik air melihat sama ada Mona telah keluar atau belum. Dan setelah aku yakin Mona belum keluar dari bilik air, aku menarik nafas dalam-dalam dan mula menjawab panggilan itu.
            “Assalamualaikum…” ujarku perlahan.
            “Waalaikumusalam, kenapa banyak kali saya call tak berjawab?” Soal Zafril meluru setelah mendengar suaraku di hujung talian.
            Terkejut aku mendengar suara Zafril yang mula meninggi itu. Apa hal tiba-tiba nak marah pulak? Aku menarik nafas, cuba menenangkan rasa marah yang bertandang dalam diri apabila mendengar nada suara Zafril itu tadi. “Saya keluar makan tadi, telefon ni ada dalam bilik. Macam mana saya nak jawab panggilan awak,” terangku separuh hati.
            “Kenapa tak bawa telefon tu sekali?” Soal Zafril tidak puas hati.
            Nak mampus bawa telefon ni sekali, kalau Mona dan kawan-kawan aku yang lain nampak telefon ni macam mana? Mesti dorang semua tak percaya aku pakai dua telefon bimbit dan salah satu daripadanya semahal ini. Bukan sahaja Mona, tetapi semua yang lain pasti bersoal jawab daripada mana aku dapat telefon ni.
            “Safi awak dengar tak saya tanya ni, kenapa tak bawa telefon tu sekali? Lagipunkan saya dah pesan tadi jawab telefon tu kalau nombor peribadi yang telefon, awak tak ingat ke?” Bersungguh-sungguh marah nampaknya Zafril kali ini.
            “Ewah-ewah… suka-suka hati awak je nak arah-arahkan saya. Apa awak ingat saya ni orang gaji awak ke yang awak boleh arahkan itu ini.” Marahku pula. Sepatutnya aku yang marah kerana Zafril telah menyusahkan diriku, ini tidak aku pula yang dimarahinya. Gila betullah buaya tembaga seekor ni.
            Suasana sepi seketika. Aku mendiamkan diri begitu juga dengan Zafril.
            “Okay I’m Sorry,” suara Zafril mula mengendur, hilang terus nada marahnya yang menggila sebentar tadi. “Keluar makan kat mana tadi?”
            Sibuk je nak tahu, busybody betullah dia ni, jawabku tapi hanya dalam hati  “Adalah…” Jawabku ringkas dan mataku  terus melekat ke arah bilik air melihat sama ada Mona telah keluar atau belum. Aku benar-benar tidak mahu Mona tahu tentang kewujudan telefon bimbit ini.
            “Saya nak jumpa awak sekarang boleh?” Pinta Zafril.
            “Nak buat apa?” aku jadi tidak keruan dengan permintaan Zafril itu. Baru sahaja aku berkira-kira mahu mematikan perbualan dengan Zafril tapi Zafril ingin berjumpa denganku pula. Kes berat ni.
            “Saja nak jumpa, kenapa tak boleh ke?”
            Aku membiarkan suasana sepi seketika. Takkan nak pergi jumpa dia, kalau jumpa pun buat menyakitkan hati aku je. Entah-entah dia nak kenakan aku kut. Buaya tembaga macam ni bukannya boleh percaya. Otakku berbolak-balik sama ada untuk menerima pelawaan Zafril itu atau tidak.
            “Amboi lamanya fikir. Macam ni lah, saya tunggu awak kat lobi sekarang. Dalam masa sepuluh minit kalau awak tak muncul saya cari awak kat bilik awak,” saran Zafril.
            Aku terkejut dengan saranan Zafril itu tapi aku cuba berlagak selamba. “Alah macamlah awak tahu bilik saya yang mana satu.”
            “Memang saya tak tahu tapi saya boleh tanya kat receptionist, kan?”
            “Dia orang takkan bagi nombor bilik tetamu kat orang lain. Itu polisi hotel,” aku tidak mahu kalah dengan gertakkan Zafril itu.
            “Saya ramai kawan yang kerja kat sini, rasanya dia orang mesti tolong saya dapatkan nombor bilik awakkan,” Zafril cuba mengertakku.
            Aku menelan liur, biar betul Zafril ni. Kalau aku tidak turun Zafril akan datang ke sini tapi kalau aku turun aku juga yang akan sakit hati. Aku tidak tahu apa yang hendak dilakukan sekarang? Menurut atau tidak?
            “Okay jumpa kat lobi ya, Assalamualaikum.”
            Zafril meletakkan telefon tanpa mendengar balasan salam daripadaku. Apa yang perlu aku lakukan sekarang, turun atau tidak? Aku mula berkira-kira. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk turun, lagipun aku harus memulangkan telefon bimbit itu semula kepada Zafril.
            Aku pantas keluar dari bilik sebelum Mona keluar dari tandas, kalau aku katakan pada Mona yang aku ingin turun ke bawah pasti Mona ingin turut serta, tapi aku tidak mahu memperkenalkan Zafril pada Mona, aku tidak mahu orang lain tahu kewujudan Zafril dalam hidupku kerana aku tidak mahu Zafril berada terlalu lama dalam hidupku. Biarlah Zafril hanya singgah sebentar sahaja dalam hidupku dan aku amat berharap Zafril tiada lagi dalam hidupnya selepas ini.
            Aku duduk di sofa yang disediakan di lobi hotel itu. Meluat benar aku apabila melihat Zafril berbual mesra dengan seorang wanita di tepi pintu masuk hotel. Tadi kata nak jumpa aku, boleh pulak dia berborak dengan orang lain. Terasa menyesal pula kerana turun dan termakan dengan gertakkan Zafril itu. Aku hanya memerhati Zafril dan wanita itu dari sofa yang tidak jauh dari pintu masuk hotel itu.
            Aku pantas mengalihkan pandangannya ke tempat lain apabila padangan Zafril singgah padaku. Aduh, dia perasan ke dari tadi aku pandang dia, malunya… Segera aku mengambil majalah dari atas meja dan terus pura-pura membacanya.
            “Dah lama sampai?”
            Aku memanggung wajah, melihat Zafril yang kini mengambil tempat duduk di kerusi di hadapannya. “Bolehlah. Siapa tadi tu kawan ke?” Soalku, saja berbasi-basi. Yang sebenarnya aku tidak tahu apa yang ingin dibicarakan dengan Zafril.
            “Nak kata kawan tak juga,” Zafril mematikan kata-katanya di situ.
Aku mengerutkan dahi, tidak faham dengan kata-kata Zafril itu.
“Baru je jumpa tadi. Sementara tunggu awak, saya berbual-buallah dengan dia dulu.”
            “Dasar buaya tembaga.” omelku perlahan. Pantang nampak perempuan semua dilayannya.
            “Apa awak panggil saya tadi?”
            Alamak… dia dengar ke? Aduh, masak kalau macam ni, hatiku mula tidak senang.  “Panggil apa pulak,” aku cuba berdalih.
            “Tadi tu awak panggil saya apa?” Soal Zafril sekali lagi. Bersungguh-sungguh nampaknya dia ingin mengetahui apa yang baru aku katakan sebentar tadi.
            “Buaya tembaga!” luahku. Nak tahu sangatkan, nah ambik. Kalau dia marah macam mana? Ah, biarkan dia nak marah, ingat aku takut dengan dia ke? Kirim salam.
            Zafril ketawa besar selepas mendengar luahanku itu. Aku terkejut, tidak marahkah dia apabila mengetahui aku memanggilnya sebegitu?
            “Amboi eksotiknya gelaran yang awak bagi untuk saya,” kata Zafril dengan tawa yang masih bersisa.
Aku mengetap bibir, entah kenapa setiap kali Zafril ketawa pasti tawanya itu mencabar kesabaranku. “Nah ambil balik handphone awak ni,” aku cuba mengalihkan perbualan kami. Telefon bimbit itu aku halakan kepadanya, pantas Zafril berhenti ketawa. Dia hanya melihat sahaja telefon itu dan seperti tiada niat untuk mengambilnya dari tanganku.
            “Aik! Apasal tak ambil, dah tak nak handphone sendiri ke?” Perliku bila Zafril masih lagi membatukan dirinya.
            “Kalau saya bagi handphone tu kat awak, awak nak tak?”
Aku sedikit terkejut dengan pertanyaan Zafril itu. Aku cuba merenung dirinya untuk membaca isi hatinya itu. Tiada apa-apa emosi yang dapat aku gambarkan pada wajah itu ketika ini. Apa yang sebenarnya yang ingin Zafril lakukan kali ini? Ah… itu mesti nak mengenakan aku sekali lagilah tu.
            “Tak apalah, terima kasih aje. Saya pun dah ada handphone sendiri,” aku meletakkan telefon bimbit itu di atas meja dan menolaknya ke arah Zafril. Namun Zafril masih lagi tidak menyambut telefon bimbit itu. “Okaylah, saya balik bilik dulu.” 
            “Eh, nantilah kejap.” Zafril cuba menghalangku dari bangun.
Entah kenapa aku menurut sahaja kehendak Zafril kali ini.
“Boleh saya tanya awak satu perkara?”
            Aku sekadar mengangguk malas.
            “Kenapa awak tak tunggu saya minggu lepas?”
            “Tunggu awak?” Soalku pula, aku tidak faham apa maksud Zafril.
            “Masa awak pergi rumah Ikin minggu lepas, kan saya suruh awak tunggu saya petang tu?”
            Oh, aku baru teringat tentang itu. “Ada ke saya janji nak tunggu awak? Rasanya takkan?” aku cuba mengingatkan Zafril yang aku tidak pernah membuat apa-apa temu janji dengan dirinya.
            “Ya, memanglah awak tak janji. Tapi saya ingat awak akan tunggu saya. Saya betul-betul berharap awak tunggu. Tapi petang tu bila saya pergi rumah Ikin, awak dah balik. Saya tanya dia nombor telefon dan alamat awak tapi Ikin kata awak dah pindah rumah dan tukar nombor telefon. Betul ke?”
            Aku terdiam apabila soal Ikin dibicarakan. Kenapa Ikin berkata begitu? Adakah kerana Ikin sekadar memenuhi permintaanku yang tidak mahu memberikan nombor telefon kepada lelaki yang tidak aku kenali. Tapi tentang pindah rumah itu pula? Terdiam aku seketika memikirkannya. Memang aku akan pindah rumah, tapi lambat lagi dan kenapa Ikin perlu berkata begitu? Atau sebenarnya Ikin sememangnya sudah tidak mahu menjadi kawanku? Mungkinkah sebenarnya Ikin ingin melupakan kesemua tentang diriku? Adakah Ikin sememangnya telah membuang aku jauh dari hidupnya?
            “Atau awak dan Ikin ada masalah sekarang?” Zafril cuba meneka apabila aku mendiamkan diri dan tidak menjawab soalan darinya.
            “Kenapa awak kata macam tu?” Pantas aku menyoal Zafril semula. Ketara sangatkah perubahan perhubungan antara aku dan Ikin hinggakan Zafril yang masih baru mengenaliku dan Ikin pun, boleh terhidu perkara itu.
            “Taklah, sebab sebelum ni kalau saya tanya pasal awak kat dia macam-macam yang dia cerita tapi hari tu bila saya tanya pasal awak dia macam nak tak nak je jawab. Kenapa agaknya ye?”
            “Tak ada apalah. Okaylah saya masuk bilik dulu dah malam ni,” aku bingkas bangun, tidak larat rasanya untuk terus berbicara dengan Zafril. Baru sahaja aku ingin melupakan masalahku dan Ikin, Zafril telah membangkitkannya semula.
            “Safi nanti kejap,” Zafril cuba menghalangku sekali lagi, aku menoleh dan kemudian Zafril mengambil kertas dan pen yang tersedia di atas meja itu.
            Setelah mencatitkan sesuatu pada kertas itu Zafril kemudian bangun dan menyerahkan kertas itu padaku dan aku menyambutnya.
            “Itu nombor peribadi saya, kalau rasa nak berbual ke bolehlah call saya.”
            Aku melihat kertas itu dan kemudian aku kembali memandang wajah Zafril semula.
            “Kira awak bertuah tau sebab tak ramai yang boleh dapat nombor peribadi saya.”
            Aku masih membatukan diri. Iyalah tu!
            “Esok pukul 9 saya tunggu awak kat First World Café. Kita sarapan sama-sama.” Zafril penuh mengharap kali ini.
            Sorry saya tak senang.” Sejurus itu aku terus berlalu meninggalkan Zafril di situ.
            “Saya tunggu sampai awak datang,” laung Zafril apabila aku mula menjauh darinya. Suka benar dia melaung sebegitu padaku.
            Aku terus berlalu dan tidak langsung menoleh pada Zafril kerana dalam kepalaku kini hanya memikirkan tentang masalahku dengan Ikin.

AKU membaringkan diri atas katil sambil membaca risalah yang terdapat di dalam bilik hotel itu, namun tidak sedikit pun aku menumpukan perhatian pada risalah itu, fikiranku melayang mengenangkan Ikin. Aku datang ke sini untuk melupakan masalahku dengan Ikin tetapi  kehadiran Zafril telah mengingatkan kembali semuanya tentang Ikin.
            Betulkah Ikin sudah tak mahu lagi berkawan denganku? Tidak ke Ikin sayang dengan persahabatan yang telah berbelas tahun terjalin ini? Sanggupkah Ikin memutuskan tali persahatan ini semata-mata kerana seorang lelaki? Aku betul-betul pening dengan sikap Ikin. Susah sangatkah Ikin untuk memaafkanku?
            “Hah… kau ke mana tadi? Oh keluar tak ajak aku. Jumpa boyfriend ye?” Soal Mona yang sudah berbaring di sebelahku, entah sejak bila dia berbaring di situ.
            Aku meletakkan semula risalah itu di meja sisi katil. “Ish, merepek ajelah kau ni. Aku turun kejap je, jalan-jalan, ambil angin. Kau tu bergayut dengan siapa tadi?” Aku cuba menutup cerita tentangku dengan membuka cerita dirinya pula. Dari aku masuk tadi, Mona bergayut di talian. Rasanya sudah setengah jam berlalu.
            Boyfriend aku telefonlah,” ujar Mona riang.
            “Hah, mana dia sekarang? Dah sampai ke?”
            “Dah… em, tak sabar nak jumpa dia esok.”
            “Apasal tak jumpa malam ni je?” Soalku lagi, melihat pada wajah Mona itu aku tahu Mona benar-benar telah dilanda rindu yang boleh dikatakan kronik. Mana tidaknya angau semacam saja sekejap termenung sekejap tersenyum sendiri. Parah kawan aku yang seorang ni.
            “Dia kata penat, dia nak tidur awal malam ni. Tapi tak apelah, esok boleh jumpa juga. Hah, sebelum kau jumpa dia esok, kau nak tak tengok gambar dia dulu?”
            Aku menganggukkan kepalaku berulang kali, teruja pula ingin melihat gambar lelaki yang menyebabkan kawanku yang terkenal dengan sifat memilih itu boleh cair sehingga sebegini rupa. Hilang sementara beban di kepala tentang Ikin.
            Mona mula menekan punat-punat di telefon bimbitnya itu sebelum menyerahkan telefon bimbit itu padaku.
             “Nah, ni gambar dia. Masa tu kita orang kat Bukit Frazer.”
            “Amboi, siap pergi Bukit Frazer, berdua je ke? Kau biar betul?” Soalku tidak percaya, namun aku masih menyambut telefon bimbit itu dari tangan Mona. Mataku masih lagi tertancap pada Mona, pengakuan berani mati Mona itu membuatku sedikit terperanjat.
            “Ish, kau ni takkan aku nak pergi berdua je dengan dia, gila apa. Kita orang pergi ramai-ramailah,” sangkal Mona.
            Mendengar nada suara Mona yang mula meninggi itu membuat aku tersenyum. Lantas aku terus melihat telefon bimbit Mona yang berada di tangan. Aku terlonggo seketika. Lelaki di sebelah Mona itu amat aku kenali. Aku menekan lagi punat di telefon bimbit itu untuk melihat gambar-gambar seterusnya. Memang sah aku benar-benar mengenali lelaki itu!
            “Siapa nama pakwe kau ni?” Soalku ingin mendapatkan kepastian dari mulut Mona sendiri.
            “Zafril Adli. Sedapkan nama dia,” puji Mona yang turut sama melihat gambar di dalam telefon bimbitnya itu. 
            Aku mengeluh, memang benar tekaanku selama ini tentang Zafril. Memang spesis buaya tembaga. Kalau Mona ini teman wanitanya, siapa perempuan yang sentiasa berkepit di sisinya 24 jam di majlis perkahwinan kakak Fuad? Siapa pula perempuan yang membonceng motor bersamanya minggu lalu. Fikiranku yang tadinya amat kusut tentang Ikin, kini timbul pula masalah pasal Mona. Kenapalah, aku selalu ditakdirkan untuk mengetahui tentang kecurangan kekasih rakan-rakan baikku? Mengapa aku?
            “Hoi… kau menung apa tu ha! Itulah, aku dah kata dia hensem, tengok sampai kau pula yang angau sekarang ni,” sakat Mona apabila melihat aku merenung dalam gambar-gambarnya bersama Zafril itu.
            Aku menjuihkan bibir, tidak mungkin aku akan angau dengan Zafril. Minta-minta dijauhkan.  Buaya tembaga macam Zafril hanya pandai memainkan cinta dan tidak akan pernah tahu menghargai dan memahami erti sebuah percintaan.
            Kalau inilah lelaki yang ingin Mona kenalkan padaku, baik tidak payah. Buat apalah Mona nak kenalkan Zafril padaku, tak ingin aku berkenalan dengan orang macam Zafril itu. Tapi apa boleh buat, sudah takdir aku mengenali Zafril terlebih  dahulu sebelum Mona memperkenalkannya. Sudah jodoh agaknya. Jodoh? Aku dengan Zafril? Tolonglah, tak ingin aku mendapat jodoh seperti Zafril.
Patutlah Zafril boleh berada di sini. Kalau aku tahu, sumpah aku tidak akan mengikut trip kali ini, walau dipujuk rayu oleh Mona sekali pun, aku akan katakan tidak! Kini baru aku baru teringat sesuatu, maknanya nama Mona yang tertera di telefon bimbit Zafril sejak dari petang tadi adalah Mona Suzana, kawanku sendiri… Aduh, kenapalah aku boleh tidak terfikir tentang hal ini sejak tadi.
“Aku rasa bertuah sangat dapat pakwe macam dia.” Mona meluahkan rasa, matanya dihalakan ke syiling.
Aku terkejut dengan pernyataan Mona itu. Bertuah ke kalau dapat pakwe buaya tembaga macam itu? Entah-entah Mona tidak mengetahui perangai sebenar Zafril. Aku pasti kalau Mona mengetahui hal ini pasti Mona tidak akan menerima Zafril. Perlukah aku berterus-terang dengan Mona tentang perangai Zafril itu? Kalau aku berterus-terang pada Mona, adakah Mona akan mempercayai setiap kata-kataku? Kalau aku tidak berterus-terang pada Mona, pasti Mona akan dapat nasib yang sama seperti Ikin. Tidak, aku tidak mahu Mona mendapat nasib yang sama seperti Ikin. Aku tidak mahu Mona pula membenci diriku seperti Ikin membenciku.
“Esok kau bangun awal sikit tau, kita pergi sarapan sama-sama dengan Zafril, masa tu bolehlah kau berkenalan dengan dia.” Rancak Mona mengatur rancangan.
Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba mencari kekuatan untuk menjelaskan pada Mona tentang siapa Zafril sebenarnya. “Mona kalau nilah pakwe kau tu, tak payahlah kau nak kenalkan pada aku… Aku dah kenal.” Luahku sambil menyerahkan semula telefon bimbit itu pada diri Mona. 
Mona kelihatan terkejut dengan kenyataanku. “Kau kenal dia, biar betul? Macam mana kau boleh kenal dia? Dah berapa lama kau kenal dia?” Soal Mona bertubi-tubi.
“Masa aku kerja dengan Kak Diah dulu, kakak sepupu dia kahwin, kita orang yang handle. Masa tu lah aku kenal dia.” Luahku, sengaja tidak mahu menyatakan dengan lebih terperinci bagaimana aku boleh berkenalan dengan Zafril. Bila memikirkan semula pertemuan pertamaku dengan Zafril, hatiku makin membengkak.
“Oh, jadi baru-baru ni jugalah ye.”
Aku mengangguk kepala dan dalam masa yang sama hati masih berbelah bagi, adakah aku perlu menceritakan apa yang aku ketahui tentang Zafril pada Mona pada waktu ini juga?
So, since kau dah kenal, apa pandangan kau tentang dia?”
Aku mengeluh, berat sekali lagi dan kali ini aku benar-benar nekad untuk menerangkan pada Mona tentang perangai sebenar Zafril. Aku memalingkan badan mengadap Mona serta mula duduk bersila di hadapannya. Mona juga menurut rentakku, dia pun kini duduk bersila.
So... my dear friend…” ujar Mona apabila melihat aku masih mendiamkan diri. Tidak sabar nampaknya mahu mendengar pandanganku tentang buah hatinya itu.
“Okay sebab kau kawan aku, aku nak berterus terang dengan kau. Tapi kau kena janji kau jangan marah aku pula lepas apa yang aku cakapkan ni…” Aku menghalakan jari telunjuknya pada Mona memberi peringatan.
“Okay aku janji…” Mona mula mengangkat tangan kanannya seperti sedang menangkat sumpah di dalam kandang saksi di mahkamah.
Aku mula memegang tangan Mona dan meletakkan semula tangan Mona ke bawah. Aku merenung tepat ke dalam anak mata Mona. “Untuk kebaikan kau, aku rasa baik kau lupakan aje Zafril tu.”
Kening Mona berkerut, mukanya kelihatan bingung apabila mendengar cadanganku itu. “Eh, apa yang kau cakap ni? Dah macam salah topik je? Aku tanya pandangan kau tentang Zafril, apa yang kau merepek sampai suruh aku lupakan dia pula. Ish, tak masuk akal betullah kau ni.” Mona tersenyum kecil setelah menghabiskan kata-katanya, mungkin Mona ingat aku sengaja ingin melawak dengannya.
“Aku tak merepeklah Mona, aku suruh kau lupakan dia tu pun bersebab,”
“Okay, kalau macam tu apa sebabnya?”
“Sebab Zafril tu…” aku diam seketika dan merenung wajah Mona yang masih lagi tidak lepas-lepas memandangku. “Sebab Zafril tu playboy.” Luahku perlahan tapi aku tahu Mona masih lagi boleh dapat mendengarnya.
“Hah! Playboy?  Kenapa kau cakap dia macam tu, kau kan baru aje kenal dengan dia?”
“Ya, memang aku baru je kenal dia tapi…” Aku diam sebentar, menyusun kata agar kata-kataku nanti tidak disalahertikan oleh Mona.
Mona masih menanti aku meneruskan kata-katanya.
“Tapi masa sepupu dia kahwin hari tu dia bukan main lagi dia berkepit dengan seorang perempuan ni, aku tak taulah siapa perempuan tu, tapi dia orang berdua bukan main mesra lagi. Hah, lagi satu, hari tu aku jumpa dia naik motor sama-sama dengan perempuan yang lain pula, perempuan tu siap panggil dia sayang lagi kau tau.” Terangku panjang lebar dan mengharap Mona mengerti. Dadaku terasa lapang setelah meluahkannya.
Mona tergelak besar. Terkebil-kebil mataku melihat Mona boleh tergelak sehingga segitu sekali.
“Safi, Safi… Jadi sebab tu kau nak aku lupakan dialah?” Soal Mona.
Aku menganggukkan kepala berulang kali. “Kau kawan aku Mona aku tak nak tengok kau merana esok lusa kalau dapat pakwe macam tu.” Balasku, benar-benar takut jika Mona tersalah pilih, aku tidak mahu kejadian yang menimpa Ikin menimpa Mona pula.
“Safi aku rasa kau ni banyak sangat berimaginasilah, maybe Zafril hanya anggap perempuan-perempuan tu kawan dia je ke? Kita mana tahukan.” Mona cuba membela Zafril.
“Kawan apanya Mona kalau bukan main mesra lagi gayanya.” aku masih lagi cuba menegakkan kebenaran kata-kataku.
“Okaylah macam ni, kalau Zafril tu playboy sekali pun aku tak kisah. Aku masih boleh terima dia jadi pakwe aku.”
Aku terlonggo mendengar kata-kata Mona. “Kau betul-betul tak kisah? Kau tak takut ke kalau esok-esok dia mainkan perasaan kau pula?” Soalku masih ragu-ragu dengan kenyataan Mona itu.
“Safi, Zafril jadi playboy mungkin sebab dia belum jumpa lagi perempuan yang betul-betul dia suka, yang betul-betul dia cinta.  Aku rasa dia belum jumpa cinta sejati dia.  Kalau dia dah jumpa dengan perempuan yang dah berjaya tawan hati dia, yang berjaya buka pintu hati dia, dan yang dia cintai sepenuh hati aku rasa perangai playboy dia tu akan berubah serta-merta. Aku yakin tentang tu. Dan manalah tahu akulah cinta sejati dia. Perempuan yang dia tercari-cari tu?” Ujar Mona dengan senyuman dan penuh keyakinan.
Aku mengeluh berat. “Jadi kau betul-betul yakin dia akan berubah demi kau?” Soalku lagi.
“Aku yakin dia akan berubah demi aku. So, kau tak payahlah nak risau sangat okay.” Mona tersenyum padaku. Mona nampaknya benar-benar yakin dengan setiap kata-kata dan keputusannya itu.
            Aku membalas senyuman kawanku itu. “Kalau kau dah kata macam tu aku tak boleh nak kata apa-apa lagi. Aku harap keputusan yang kau buat ni betul dan sebagai kawan aku akan sentiasa doakan kebahagiaan untuk kau.”
            “Terima kasih Safi.” Mona mula memelukku.
            Aku membalas pelukkan Mona itu. Aku mengeluh dalam hati, iya mungkin benar kata Mona, mungkin Zafril belum lagi berjumpa dengan perempuan yang dicintainya dan aku benar-benar berharap agar Zafril akan berubah jika telah berjumpa dengan cinta sejatinya. Aku juga berharap cinta sejati Zafril itu adalah Mona Suzana. Aku tidak mahu Mona kecewa seperti Ikin. Ikin… aku berharap selepas ini Ikin akan menemui lelaki yang betul-betul menyintainya sepenuh hati dan aku juga amat berharap Ikin dapat melupakan Haris dan sekaligus memaafkanku

7 comments:

Anonymous said...

zafril akan berubah bile dgn safi je kan... :)

blinkalltheday said...

aah,safi la cinta sejati zafril,kihkihkih

fatim fatimah said...

tak sabar tggu zafril jumpa mona ngan safi,,smbung cpt lg yer adah

umi kalsom said...

best2!
tapi kesian dengan safi, nti mona pulak yg salah sangka dgn dia, sama mcm Ikin.

raihana said...

aduhai...jgnlah ada sengketa antara Mona & Safi. Zafril mcm suka jak dgn Safi.harap2nya happy endinglah & ekin berubah juga akhirnya.

dila said...

a'ah la nnti mona 2 plak salah paham dgn safi...

aZnie_cHuu!! said...

nsib la gdis mne yg akn jd gf zafril nnti . cmbru xabes2!

Post a Comment