Monday, July 11, 2011

Ada Di Hati - Bab 6


ENAM
            Aku memandang ke langit. Cuaca sejuk sudah mula mengigit tulang-belulangku. Mona masih lagi dalam kereta, entah dengan siapa Mona bercakap melalui telefonnya aku pun tidak pasti. Aku pantas menoleh ke belakang apabila terdengar ada yang sedang menjerit-jerit memanggil namaku berulang kali.
            Aku tersenyum girang dan membalas lambaian bekas rakan-rakan sekelasku di politeknik dahulu. Gembira rasanya, sudah lama aku tidak berjumpa dengan mereka semua. Lepas majlis konvokesyen, masing-masing menyepikan diri, tiada langsung khabar berita, ibarat hilang tanpa dapat dikesan. Nasib baik Mona yang merancang trip ini, kalau tidak entah berapa lama lagi baru dapat berjumpa dengan mereka semua.
            “Woi, Safi lama tak jumpa, apa kes sekarang?” Sapa Lina yang terkenal dengan sikap peramahnya itu.
            “Kes apa pulak? Aku macam biasalah,” balasku sambil bersalaman dan berpelukkan dengan mereka semua. Terubat sikit rasa rindu pada mereka semua.
            “Mona mana?”
            “Tu dalam kereta, entah dengan siapa dia bergayut, dari tadi tak sudah-sudah?” Aku memuncungkan mulutku ke arah Mona yang masih lagi di dalam kereta.
            Lina terus ke pintu kereta sebelah pemandu dan mengetuk cermin tingkap itu bertalu-talu. Tidak lama selepas itu Mona keluar sambil menjinjit tas tangannya.
            “Wah! Awalnya korang sampai?” Sapa Mona seusai keluar dari kereta.
            “Awal apanya, kau tu yang lambat. Tu lah, yang nak naik kereta buat apa. Kalau naik bas and fly over tu, kan ke senang. Sambil-sambil tu, boleh tengok pemandangan dari atas, baru syok.” Bebel Lina.
            “Alah aku dah banyak kalilah naik fly over tu. Apa salahnya naik kereta pulak, baru adventure. Tak gitu Safi?” Soal Mona padaku.
            Aku cuma tersenyum melihat telatah mereka berdua, kalau sudah berjumpa pasti kedua-duanya akan berlawan cakap, seorang pun tidak mahu mengalah. “Sudahlah korang ni dari poli lagi perangai tak ubah-ubah. Jomlah check in cepat, dah naik kematu kaki aku ni berdiri.” Aku pantas bersuara dahulu sebelum Lina membalas setiap kata-kata Mona, kalau itu berlaku pasti sampai malam baru habis. Tak sanggup aku menunggu sehingga malam di sini.
            “Alah kesian kawan aku ni, penat ye. Okay jom check in, aku nak satu bilik dengan Safi. Korang yang lain-lain ni carilah pasangan masing-masing ye.” Mona mula merangkul tanganku dan mengheret aku berjalan seiringan dengannya.
            “Yelah kitaorang tahulah… kau dengan Safi tu mana boleh berpisah, kalau dah berjumpa tu, macam belangkas, berkepit aje 24 jam,” balas Lina.
            “ Ha… tahu takpe…” Mona menarik muka sebelum memandangku.

“JOM semua naik atas… Satu je bilik yang tak ready lagi, dorang tengah kemas lagi. So, buat sementara waktu ni aku dengan Safi tumpang bilik kau dululah Lina?”
            “Haik, apasal lambat pulak siapnya?” Soal Lina tidak puas hati.
            “Alah biasalah tu Lina, customer check out lambat so lambatlah nak kemas. Boleh tak kita orang jadi pelarian kat bilik kau sekejap?” Soalku pula apabila Lina tidak menjawab soalan Mona tadi.
            “Tumpang ajelah, aku dengan Siti tak kisahlah. Kan Siti?” Lina menanya Siti yang merupakan bakal teman sebiliknya itu.
            Siti mengangguk dan mula mengangkat begnya begitu juga dengan aku dan kesemua yang lain. Aku tersenyum, em… Terasa seperti ada rombongan sekolah pula apabila melihat kesemua 10 orang rakanku yang sudi hadir pada perjumpaan itu berjalan secara berkumpulan begini.
            Aku menghenyakkan badan ke atas tilam apabila sampai ke dalam bilik hotel itu. Mona di sebelah sudah mula melelapkan mata. Di katil sebelah pula, Lina dan Siti juga sudah mula melelapkan mata.
Amboi cepatnya tidur… “Woi! Korang ni datang sini nak tidur ke nak jalan-jalan. Kalau nak tidur kat rumah pun boleh.” Jeritku pada mereka bertiga, namun tiada seorang pun yang berganjak dan memberikan sebarang reaksi pada kata-kataku.
            “Ish, asyik buat tahi mata jelah korang ni,” aku masih lagi membebel, geram bila melihat mereka semua masih lagi enak melelapkan mata.
            Rileks lah Safi… Kita rest dulu sejam dua, lepas ni baru kita round satu genting.” Balas Siti tapi dengan mata yang masih lagi tertutup rapat.
            Hem… Tak ada maknanya sejam dua, silap-silap sampai malam membuta, macamlah aku tidak kenal dengan mereka semua yang merupakan ‘Juara Tidur’ itu.
Aku pantas bangun apabila telefon bimbit Mona berlagu lantang dan Mona masih lagi memejamkan mata tanpa menghiraukan deringan lagu Rihanna yang membinggitkan telinga itu. Seusai mendapatkan telefon bimbit dari tas tangan Mona aku mengerakkan Mona dan menyerahkan telefon bimbit itu padanya. Mona bangun dan menjawab panggilan tersebut tetapi matanya masih terpejam rapat.
“Okay,” jawab Mona ringkas sebelum mematikan talian telefonnya. “Safi pekerja hotel kata bilik kita dah siap, dia suruh ambil kunci kat bawah.”
“Habis tu, akulah yang kena pergi ambil ni?”
“Tolonglah Safi, aku penatlah. Kau kan baik.” Mona cuba memujukku dengan mata yang masih lagi terpejam rapat.
“Ish, pemalaslah kau ni,” Aku mengambil bantal dan mencampakkannya pada Mona. Namun Mona masih melelapkan mata malah bantal yang  aku campakkan tadi diambil dan dipeluknya erat. Aku mengeluh, nampak gayanya memang aku yang kena turun bersendirian mengambil kunci itu di lobi hotel.
 Aku melangkah malas menuju ke lobi hotel, sampai sahaja di lobi tersebut, ruangan penyambut tetamu kosong tiada pekerja hotel yang berada di situ. Puas aku menjenguk ke ruangan dalam dan sekeliling, aku masih lagi tidak nampak pekerja hotel tersebut di kawasan berdekatan, yang ada hanya seorang lelaki yang sedang tekun menulis sesuatu di meja penyambut tetamu.
“Aik kosong? Mana pergi semua orang ni?” Aku mengaru kepala yang tidak gatal. Takkan nak jadi penunggu kat sini, malaslah pulak… Ah, tanya Mamat tu jelah mana tau dia tahu mana perginya semua pekerja hotel ni. Aku mengambil keputusan menghampiri lelaki bertopi itu.
Ketika hanya beberapa langkah sahaja lagi aku akan menghampiri lelaki tersebut, tiba-tiba lelaki itu berpaling memandangku. Aku sedikit terkejut melihat lelaki itu.
Zafril? Alamak apa dia buat kat sini? Aduh, macam mana boleh terjumpa dia lagi ni.
“Safi…”
            Terdengar saja Zafril menyebut namaku, aku pantas berpusing ke belakang, dan mula melangkah pergi dari situ. Namun baru sahaja aku memulakan beberapa langkah Zafril telah berjaya memintasku.
            “Safi… Awak buat apa kat sini? Awak pun bercuti kat sini ke?” Soal Zafril sebaik sahaja berada di hadapanku.
            “Ha’ah…” jawabku ringkas, malas mahu melayan lelaki itu.
            So awak menginap kat hotel ni jugalah ya?”
            “Iyalah, kalau tak, takkan saya ada kat sini.” Malas benar aku untuk menjawab semua soalan-soalan Zafril yang seperti pegawai polis lagaknya.
            “Jadi kita menginap satu hotellah ni,” ujar Zafril sedikit girang, matanya bercahaya seolah-olah baru lepas menjumpai emas permata.
            “Awak pun menginap kat sini ke?” Soalku malas, sekadar berbasi-basi dengannya.
            Zafril menganggukkan kepalanya dan matanya masih lagi melekap pada wajahku. Berdiri kesemua bulu romaku apabila dilihat sebegitu oleh buaya tembaga itu. Rimas sungguh rasanya.
            Can I help you young lady?”
            Aku pantas menoleh ke kanannya apabila mendengar pertanyaan daripada pekerja hotel.
            “Oh, cik nak ambil kunci bilik ya?” Soal pekerja lelaki itu padaku.
Aku pantas tersenyum dan menganggukkan kepala. Pastinya pekerja itu mengenaliku kerana aku dan Mona yang menguruskan check in kesemua rakan-rakanku yang lain itu tadi.
            “Ini kuncinya, maaf atas kelewatan kami. Have a nice day.” Pekerja hotel itu menghulurkan kunci padaku dengan senyuman yang masih lagi bergayut di bibir.
            “Terima kasih,” aku menyambut kunci dari tangan pekerja tersebut juga dengan senyuman.
            “Ya encik, boleh saya bantu?” Soal pekerja itu kepada Zafril pula.
            Sebaik sahaja Zafril memandang pekerja hotel itu aku bergegas berlalu dari situ, aku tidak mahu berlama-lama di situ, nanti ada sahaja kata-kata Zafril yang akan menyakitkan hatiku.
            Belum sempat aku menekan butang lif untuk ke tingkat atas, ada tangan lain yang telah mendahuluiku menekankan butang itu, hampir terlaga tanganku dan tangan itu. Aku pantas menoleh, Zafril tersenyum ke arahku. Aduh, apa lagi yang buaya tembaga ini nak.
            “Malam ni awak free tak? Kita dinner sama-sama?”
            Aik, tiba-tiba ajak makan sama-sama, gila apa buaya tembaga ni? “Takpelah, terima kasih je, lagipun malam ni saya dah janji nak makan sama-sama dengan kawan saya.”
            “Kawan?” Soal Zafril pantas.
            Aku menganggukkan kepalanya, malas untuk meneruskan bicara dengan Zafril. Mataku halakan pada angka-angka yang bergerak perlahan di dinding lif itu. Aduh kenapalah lama sangat lif ni?
            “Kawan lelaki ke perempuan?”
            Aku hanya tersenyum memandang Zafril malas mahu menjawab soalan itu, aku biarkan soalan itu tergantung begitu sahaja. Aku dan beberapa orang yang lain masuk ke dalam lif sebaik sahaja pintu lif terbuka dan sewaktu pintu lif hampir tertutup Zafril menahan pintu lif tersebut. Aku sedikit terkejut begitu juga dengan beberapa orang lain yang turut berada dalam lif tersebut.
            “Tolong jagakan handset ni, kalau ada nombor peribadi yang call jawab ye,” aju Zafril padaku tanpa menghiraukan banyak mata yang sedang memandangnya dan aku silih berganti. Apabila aku hanya mendiamkan diri Zafril mengangkat tanganku dan meletakkan telefon bimbit yang berada di tangannya itu pada tanganku pula.
            “Eh… tapi saya dah…” belum sempat aku menghabiskan kata-kata Zafril telah berlalu dan pintu lif terus tertutup rapat.
            Aku mengenggam erat telefon bimbit Zafril itu. Geram benar dengan sikap Zafril, sesuka hati saja mengarahkanku itu dan ini, seperti aku ini orang gaji pula. Ish, macam mana dia boleh ada kat sini juga.
             Aku lihat dua orang wanita di dalam lif itu saling berbisik dan memandang ke arahku. Pastinya mereka bercerita tentang tindakan Zafril tadi. Ish, Zafril Adli ni memang suka buat aku malu! Aku terus cuba menahan geram dalam hati.

Bersambung...

5 comments:

Anonymous said...

aisehhh..camne ni...kalo mona tahu...

yun said...

ade2 je si zafril ni...

Anonymous said...

sweet la zafril tu...hehe
tp xbest ble die dgn mona..unlike..

Nurul QisDhira said...

kat mana safi tu pergi, mst ada si zafril tu.. hehehe... tp, ap kena-mengena dgn mona tu?? dia suka zafril ke ??

Zaifah Azwani said...

Alahai buaya tembaga....

Post a Comment