Tuesday, July 5, 2011

Ada Di Hati - Bab 4


EMPAT
“Kak Safi bangun, Kak Mona nak jumpa tu.”
Aku mengeliat malas apabila mendengar suara Nia mengejutkanku berulang kali.  “Apa dia Nia? Pagi-pagi buta kacau akak ni, akak mengantuklah,” aku mula menepis tangan Nia yang acapkali mengerak-gerakkan tubuhku. Aku betul-betul mengantuk dan tidak mahu diganggu.
“Pagi-pagi buta apanya, dah pukul 11 pagilah kak. Anak dara apa yang bangun lambat macam ni,” gerutu Nia.
Aku membuka mata lambat-lambat, memandang Nia yang sedang menyinga memandangku. Aku yang masih lagi mamai, mula mengosok mata berulang kali dan duduk di atas katil. “Nia ni... membebel macam mak nenek pulak, semalam akak tidur lambatlah, bagilah chance akak tidur lama-lama sikit,”
“Ah, mengada-ngada. Padan muka siapa suruh tengok CD korea sampai tengah malam, pastu pagi lambat bangun. Entah-entah subuh pun terbabas.” Telah Shania yang sudah muncung sedepa.
“Eh, tolong sikit ye, subuh akak sembahyang tau,” Aku cuba membela diri. Walau mengantuk macam mana sekali pun sembahyang Subuh tidak akan ditinggalkan.
“Sudahlah malas nak bertengkar dengan Kak Safi ni. Tu ha Kak Mona ada kat bawah nak jumpa Kak Safi,”
“Suruh Kak Mona naiklah, kata kat dia akak tunggu dalam bilik okay,” pintaku pada Nia yang kini sudah menghampiri pintu bilik.
“Mengada-ngada betul,” balas Nia sambil berlalu dan menutup kembali pintu bilik itu.
Aku tersenyum memandang Nia yang telah berlalu. Nia memang baik denganku sejak Nia diambil oleh mak ngah menjadi anak angkat mak ngahku. Waktu itu Nia berusia 11 tahun. Walaupun Nia bukan saudara kandungku tapi aku tetap menyayangi Nia, bukan sahaja sebagai sepupu tetapi aku telah menganggap Nia macam adik kandungku sendiri. Memandangkan aku anak tunggal, kehadiran Nia betul-betul menceriakan hidupku. Kerana keakraban kami, Nia sering bertandang ke rumahku pada hujung minggu dan jika tidak aku yang akan mengunjungi Nia di rumah mak ngah. 
Aku merebahkan badan semula, mengantukku belum hilang. Menyesal pula rasanya menonton CD drama korea yang baru kubeli itu sehingga jam 4 pagi, akibatnya mataku kini seakan tidak larat untuk dibuka. Belum sempat aku melelapkan mata Mona telah meloncat ke atas katil dan memeluk badanku.
“Woi bangunlah… Dah pukul berapa ni tidur lagi, tak senonohlah kau ni,” kata Mona sambil menarik selimut yang sedang menyelubungi badanku.
Aku mengeluh, hendak atau tidak aku terpaksa juga bangun dan mula mengadap muka Mona dengan mata yang masih terpejam. “Apa hal?” Soalku malas, rasa mengantuk melebihi segalanya ketika ini.
“Amboi kasarnya bahasa, tak suka ke aku datang jumpa kau? Marah?” Soal Mona yang tidak puas hati dengan layananku padanya.
“Tak adalah, tak marah. Takkan aku nak marah, kau kan kawan aku,” Aku cuba memujuk Mona dengan mata yang masih terpejam. Takut juga aku kalau Mona berkecil hati dengan sikapku hari ini sedangkan Monalah kawan yang paling rapat denganku sewaktu kami sama-sama menuntut di Politeknik Sabak Bernam.
“Ha’ah tahu pun. Aku bukannya apa aku tak sabar nak kongsi berita dengan kau ni,” Mona mula bersila di depanku dengan senyuman yang tidak lekang di bibir, terpancar sinar kegembiraan di wajahnya tika ini.
“Ye… berita apa? Berita baik ke berita buruk?” Soalku pula yang tidak sabar, tapi mataku masih lagi terkebil-kebil menahan ngantuk.
“Aku dah dapat tawaran sambung ijazah,” jerit Mona nyaring. Dia benar-benar gembira saat ini.
Terbeliak mataku mendengar jeritan Mona itu. “Eh… yeke? Seronoknya, kau dapat masuk U mana?” Aku semakin teruja mendengar berita dari Mona, hilang terus mengantukku.
“University of Melbourne Austalia, seronok betul aku. kau tahu.”
“Tahniah Mona… bestlah kau dapat masuk U, luar negara lagi. Bila kau dapat tawaran?”
“Semalam, kau dapat tak?” Soal Mona pula pada Safi.
Aku mengeling, sudah lama rasanya aku menunggu tawaran untuk menyambung pelajaran di universiti tempatan tetapi hingga kini masih belum ada apa-apa jawapan. Semangat yang berkobar-kobar sebelum ini untuk menyambung ijazah seperti sudah hilang sedikit demi sedikit.
“Alah rilekslah, aku yakin kau mesti dapat masuk U, yelah CGPA kau dengan aku kan lebih kurang je, kalau aku dapat mesti kau pun dapat punyalah,” pujuk Mona apabila melihat wajahku yang muram.
Aku tersenyum kembali, aku tahu aku perlu bersabar, mungkin belum sampai rezekiku lagi.
            “Kau nak tahu sebab apa aku seronok sangat nak  belajar kat situ?” Soal Mona dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya sedari tadi, gembira benar dia dapat belajar di luar negara.
            “Entah? Kenapa?” Aku mula turun dari katil dan mencapai tuala di balik pintu.
            “Sebab boyfriend aku pun belajar kat U tu juga.”
            “Iye…” Aku pantas ke katilku dan duduk mengadap Mona semula. Rasa tidak percaya menyerbu diri, tidak sangka Mona sudah berteman. “Sejak bilanya kau ada pakwe ni? Tak cerita kat aku pun,” Aku pura-pura merajuk, selalunya Mona akan bercerita segala-gala tentang dirinya padaku, tapi kali ini lain pula.   
            “Alah baru je bulan lepas. Saja je aku nak buat surprise. Nanti aku bawa kau jumpa dia okay,” Mona cuba memujukku.
            “Em… yelah tu.” aku mula menjeling Mona.
            “Melbourne Austalia, here I come…” Jerit Mona sekali lagi.
            Aku pantas menutup telinga, binggit rasanya mendengar jeritan Mona itu. Tapi aku mula teringat sesuatu apabila mendengar jeritan Mona itu. “Kau kata kau dapat U mana tadi?” Soalku sekali lagi untuk mendapatkan kepastian.
            “University of Melbourne Austalia, kenapa?”
            “University of Melbourne Austalia?” Soalku tidak percaya. Mona mula mengangguk-anggukkan kepalanya. Aku tersenyum. “Maknanya kau satu U dengan Fuad dan Za…” aku mematikan kata-kataku di situ, tidak terkeluar rasanya nama Zafril dari bibirku.
            “Fuad dan Za, siapa tu?”
            “Tak ada siapa-siapalah, nanti-nantilah aku cerita ye. Sekarang ni kau cerita dulu pasal pakwe kau tu. Tak sabar aku nak tahu lelaki mana yang bertuah tu.” aku cuba menutup cerita tentang Fuad dan Zafril. Bila mengenangkan Zafril terus mati perasaanku untuk menerangkan pada Mona tentang  Fuad yang akan menjadi rakan sekampusnya itu. Pasti seronok menjadi rakan sekampus Fuad yang peramah dan baik hati itu.
            “Betul kau nak tahu pasal dia ni?”
            “Yelah, cepatlah cerita. Kau ni kan high taste, mesti pakwe kau gempak orangnya kan.” aku betul-betul tak sabar, sesiapa yang mengatakan tidak kenal dengan Mona di Politeknik Sabak Bernam, memang penipu! Mona begitu terkenal di Politeknik itu kerana Kecantikan Mona persis model. Ramai yang cuba memikat Mona, tapi semuanya Mona tidak layan. Entah lelaki macam mana yang Mona cari aku sendiri tidak tahu, tapi yang pastinya seseorang yang amat sepadan dengan Mona.
            “Okay, dia tu sebenarnya kawan aku yang kenalkan. Dia handsome gila kau tahu, sekali aku pandang je, dah cair dibuatnya. Lepas tu aku dengan dia tukar nombor telefon, then kitaorang selalulah sms, telefon dan sekarang terus melekat macam tak boleh nak dipisahkan pulak,” terang Mona panjang lebar dengan senyuman memanjang.
            Handsome sangat ke sampai kau angau sampai macam ni sekali?” Soalku apabila melihat Mona senyum memanjang tanpa henti dan kadangkala berangan entah ke mana.
            “Eh, mestilah handsome, kalau tak, takkan Mona Suzana nak layankan,”
            “Amboi… bukan main kau ye,” Aku tersenyum melihat telatah Mona. Aku benar-benar pasti dan yakin lelaki itu kacak orangnya, bukannya aku tidak kenal dengan Mona, kalau lelaki itu tidak kacak, takkan dilayannya.
“Apa nama Mamat yang buat kau angau tu?”
            “Macam nilah, nanti aku kenalkan dia pada kau okay. Masa tu kau tanyalah apa-apa pun aku tak kisah. Amacam setuju?”
            “Yelah…” Balasku ringkas. Em… berahsia benar Mona kali ini. Selalunya tidak begitu.
            “Eh… sudahlah tu jom teman aku pergi KLCC,” aju Mona sambil mencuit lenganku.
            “Nak buat apa pergi KLCC?”
            “Pergi beli barang yang aku nak bawa ke Autralialah.”
            “Awalnya kau nak beli, pendaftaran bila?”
            “Bulan depan. Alah, beli sikit-sikitlah dulu nanti tak adalah kelam-kabut. Dahlah cepat pergi mandi, aku tunggu,” perintah Mona sambil menolak badanku supaya cepat bangun dari katil dan aku menuruti tanpa banyak soal.

SURAT tawaran dari Universiti Utara Malaysia yang baru kucetak dari komputer itu kutatap dalam senyuman. Akhirnya aku diterima melanjutkan pelajaran di universiti tersebut. Terasa ingin aku melonjak sepuas hati. Tidak sabar rasanya ingin berkongsi berita gembira ini dengan ibu dan ayah yang belum lagi pulang dari sekolah. Setelah hampir enam bulan aku menganggur selepas tamat pengajian diploma, akhirnya kini aku boleh menarik nafas lega kerana diterima menjadi siswi universiti itu.
Aku memang berniat untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah selepas tamat diploma. Oleh kerana itulah aku tidak bersungguh-sungguh mencari pekerjaan dan aku lebih senang menjadi pekerja sambilan Kak Diah untuk beberapa bulan.
Bunyi loceng di luar rumah yang bertalu-talu membingitkan telingaku. Terasa seperti pengunjung tidak dapat bersabar lagi menanti pagar dibuka. Aku pantas melipat surat tawaran tersebut dan menyimpannya di atas meja kopi. Aku melihat gerangan yang datang di balik jendela. Ikin, berada di luar sambil meninjau-ninjau ke dalam rumah. Aku tersenyum gembira, nampaknya Ikinlah orang pertama yang akan mengetahui berita gembira ini.
Aku pantas mengambil kunci dan membuka pintu rumah dan mengangkat tangan memberi isyarat agar Ikin menunggu sebentar. Sesampai sahaja aku di depan pintu pagar, aku lihat wajah Ikin begitu sembab dan matanya merah.
“Kau okay ke tak ni?” pantas tanganku membuka pagar rumah. Dan Ikin hanya mengeleng-gelengkan kepalanya.
Sebaik sahaja aku membuka pagar itu, Ikin terus menerpa dan memelukku. Aku terkejut dengan tindakan Ikin itu tetapi aku tetap juga membalas pelukkan Ikin itu. Terdengar tangisan Ikin di bahu kananku.
“Sudahlah tu, jom masuk dulu.” Aku meleraikan pelukan dan menarik tangan Ikin menuju ke dalam rumah.
“Kau duduk dulu aku pergi buatkan air ye.”
Belum sempat aku meneruskan langkah, Ikin menarik tanganku.
“Safi, aku…” Ikin menundukkan wajahnya dan kemudian menangis semula.
Aku turut sedih apabila melihat air mata Ikin itu. Aku mula duduk di sebelah Ikin dan mengusap bahu Ikin, cuba memberikan kekuatan kepadanya, walaupun aku sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku pada Ikin.
“Kenapa sebenarnya ni, cuba cerita kat aku.” Aku mula menyoal Ikin apabila Ikin masih mendiamkan dirinya, kesunyian Ikin menambahkan kerisauanku.
“Haris… Dia ada makwe lain,” terang Ikin sambil bersandar di Sofa itu.
Aku sedikit pun tidak terperanjat dengan pernyataan Ikin itu, tapi yang menghairankanku bagaimana Ikin tahu tentang hal itu. “Mana kau tahu?”
“Tadi aku nampak dia dengan perempuan lain kat The Mall, bukan main mesra lagi. Lepas tu aku tanyalah dia siapa perempuan tu. Kau tahu dia boleh kenalkan kat aku yang tu makwe dia. Menyirap darah aku. Bila perempuan tu tanya siapa aku dia kata aku kawan dia je. Sampai hati dia buat aku macam ni,” terang Ikin dengan sendu yang memanjang.
Aku pula hanya mengunci kata, tidak tahu apa yang patut dikatakan pada masa ini.
“Safi kau dengar tak apa yang aku cakap ni,” rengek Ikin padaku apabila aku hanya mendiamkan diri dari tadi.
Aku hanya menganggukkan kepala. “Ikin, sebenarnya aku… aku… aku dah lama tahu pasal Haris tu,” dan akhinya aku luahkan jua apa yang ingin dikatakan pada Ikin sedari dulu lagi.
“Maksud kau?” Soal Ikin, wajah Ikin berkerut seribu.
“Sebenarnya dah dua tiga kali aku nampak Haris dengan perempuan lain, selalunya…”
“Maksud kau, dah lama kau tahu semua ni?” Soal Ikin dengan nada suara yang mula meninggi sebelum sempat aku menghabiskan kata-kata.
Safi menganggukkan kepala berulang kali, kecut perut aku melihat perubahan pada wajah Ikin ketika ini. Hilang semua air mata Ikin.
“Dah tu kenapa kau tak bagi tahu aku awal-awal. Sampai hati kau subahat dengan Haris, kau ni kawan aku ke, kawan dia? Kawan jenis apa kau ni.” Marah Ikin makin meluap-luap. Mungkin Ikin benar-benar tidak sangka aku boleh merahsiakan tentang kecurangan Haris padanya selama ini.
“Ikin aku…” aku sudah mula hilang kata, apa yang seharusnya aku katakan saat ini, aku sendiri tidak tahu.
“Sudahlah Safi, sampai hati kau buat aku macam ni. Kalau kau kawan aku, mesti kau bagi tahu semua ni kat aku, supaya aku tahu perangai sebenar Haris. Kalau kau bagi tahu aku awal-awal, taklah benda-benda macam ni boleh jadi. Kau memang kawan tak guna.” Marah Ikin makin mengila, Ikin mula bangun dan menuju ke pintu
“Ikin, aku memang nak bagi tahu kau tapi aku…”
“Sudahlah Safi, menyesal aku dapat kawan macam kau ni.”
Ikin menghempaskan pintu rumah sekuat hatinya. Berdentum bunyinya menghenyak jantungku. Aku terpaku di situ. Aku ingin bersuara melaung memanggil nama Ikin supaya Ikin berhenti dan mendengar penjelasan dariku terlebih dahulu tetapi aku hanya mampu membiarkan Ikin berlalu dengan kemarahan yang membara pada diriku.

Bersambung...

8 comments:

umi Kalsom said...

zafril teman lelaki mona???
uhuh... suspen.

Anonymous said...

sy pn agk yg byfren Mona 2 si Zafril...kan..kan..???

dila said...

huhu...x nak la pakwe mona tu zafril

Anonymous said...

benci ikin sbb x percayakan safi :(

benci mona sbb ade pakwe name zafril adli :(

Anonymous said...

agaknye satu hari ikin tu mesti dgn fuad kan..kan..kan

Adah Hamidah said...

he3 bermacam-macam andaian di sini.. kita tunggu dan lihat, siapa yang betul. Hi2 Apepun terima kasih buat semua pembaca E-Novel Ini. Semoga terus mengikutinya sehingga akhir, eksklusif hanya di blog AH.. :)

Minsofea said...

apa2 pun moga safi cool je....n sabaaarrr...

Miztiq Brown said...

Boring betul dgn scene Ikin tak nak dengar penjelasan Safi. Mmg cerita melayu mcm tu ke? Baca novel lain pun sama, org tak hbs ckap mmg terus kena potong. bukan tu jer, kat drama melayu pun sama. Org nak jelas perkara sebenar, msti org lain tak nak dengar. Lau real life, tak da pulak kita buat mcm tu.

Post a Comment