Thursday, March 31, 2011

Jauh Dari Cinta - Bab 15


LIMA BELAS
“Lambat sampai, Nysa singgah mana dulu, tadi?”
Soalan itu terus saya menjengah ke dalam telingaku sebaik saja aku memasuki rumah. Aqil berdiri betul-betul di hadapan pintu, seolah-olah sudah lama menantikan aku di situ. Aku memandang wajah Aqil sekilas, kemudian aku terus saja berjalan menuju ke tangga yang mampu menghantar aku ke bilik. Aku tidak ada mood untuk menjawab soalan Aqil itu. Kenapa pula dengan tiba-tiba saja dia berminat untuk mengetahui ke mana aku pergi? Gelak sinis hatiku memikirkan itu.
“Abang tak bercakap dengan tunggul tau!” Aqil bersuara keras sehingga langkahku terikat di anak tangga pertama. Sedikitpun aku tidak palingkan wajah, memandang Aqil yang aku tahu masih tetap berdiri di tempatnya tadi.
            “Kenapa ni, Abang Aqil? Apa yang Abang Aqil tak puas hati ni?” soalku lemah. Malas mahu bertikam lidah dengannya di saat-saat begini.
“Abang cuma nak tahu, Nysa ke mana tadi? Susah sangat ke, nak jawab soalan abang tu?” balas Aqil dengan nada yang jelas ketara marah.
Terkebil-kebil aku di anak tangga itu. Sesungguhnya aku berasa pening dengan kelakuan Aqil. Kenapa pula dia marah? Sepatutnya akulah insan yang paling layak marah kerana pada ketika ini, akulah yang terluka.
“Abang Aqil cakap, Nysa ada hak nak pergi ke mana saja yang Nysa suka? Kenapa tiba-tiba aje Abang Aqil nak tahu mana Nysa pergi?” aku masih enggan menatap wajah Aqil. Mungkin rasa marah yang membataskannya.
Aqil berjalan pantas menghampiriku. Tanganku ditarik kasar membuatkan aku terdorong ke belakang. Mata kami bertentangan, dengan jarak yang sungguh dekat hingga aku dapat merasa deruan nafasnya. Masing-masing terdiam, tiada sesiapa yang bersuara untuk beberapa ketika.
Aqil menghela nafas seketika. “Abang cuma cakap, Nysa boleh keluar tanpa izin abang. Tapi itu tak bermakna abang tak boleh tahu ke mana Nysa pergi,” bisik Aqil perlahan. “Nysa tanggungjawab abang. Kalau Nysa tak nak abang adukan pada ayah, next time just answer my question. Okey!” tambah Aqil.
Aku bukam seketika mendengar katanya itu. Sejak bila pula dia sudah pandai mengugutku?
“Nysa ke mana tadi?” sekali lagi soalan itu kedengaran.
Aku tahu, soalan itu harus juga aku berikan jawapan sebelum ayah diwartakan dengan hal itu. Rasa geram!!! Selalu saja aku yang harus mengalah. “Nysa terserempak dengan bekas housemate Nysa. Sara! So, Nysa berbual sekejap dengan dia.” aku tidak menceritakan penuh kisah yang sebenarnya. Aku tidak mahu Aqil tahu apa yang terjadi sebenarnya. Kalau Aqil tahu, pasti dia akan marah kerana aku telah membohonginya. Tidak! Jadi lebih baik aku bercerita sekadar yang perlu sahaja.
“Sara!” Aqil seakan terkejut.
“Ya, Sara! Dia ada datang masa majlis kahwin kita dulu.” aku cuba mengembalikan Aqil pada saat yang mempertemukan dirinya dengan Sara. Aku yakin dia dapat ingat wanita cantik itu.
“Dia nak apa?” soal Aqil lagi.
“Tak ada apa-apa. Kebetulan jumpa, sempat bertanya khabar aje. Dia kirim salam pada Abang Aqil.” aku sampaikan salam yang dikirimkan Sara buat Aqil dan Aqil terus saja melangkah pergi setelah aku menyampaikan pesanan yang aku nyatakan itu. Tidak pula aku mendengar dia membalas salam yang dihulurkan Sara.

KUNJUNGAN mengejut ibu dan ayah benar-benar membuatkan aku risau. Bilikku di tingkat atas sudah aku kunci rapat dari dalam. Kalau saja ayah tahu yang kami tinggal di bilik yang berasingan, pasti ayah akan marah. Aqil kelihatan senang dengan kunjungan mertuanya itu. Sedang aku, bergejolak rasa sebaik sahaja melihat ibu dan ayah muncul di hadapan pintu rumah pagi minggu begitu. Dengan beg pakaian yang turut sama dibimbit ayah, membuatkan hatiku bertambah tidak senang. Bukan aku tidak suka kehadiran mereka, aku cuma risau kalau-kalau ibu bapaku itu dapat menghidu sesuatu yang tidak sepatutnya mereka tahu. Kalaulah mereka tahu, pasti aku adalah orang pertama yang akan dipersalahkan oleh ayah. Jadi lebih baik mereka tidak tahu apa-apa sehinga sampai masanya.
            “Kamu tak kerja hari ni, Aqil?” soal ayah
            “Hari ni off ayah, tapi kalau ada emergency call, kenalah pergi.” jawab Aqil dengan senyuman di bibir.   
            Aku sekadar menjadi pemerhati sesi wawancara antara ayah dan Aqil di meja makan sambil menghidangkan cawan-cawan berisi air untuk membasahkan tekak. Kemudian aku yang mendapat bantuan ibu di dapur turut mengambil tempat di meja bulat itu.
            “Hari ni, sayang kena masakkan something speciallah untuk ibu dengan ayah.”
            Aku tersedak mendengar kata-kata Aqil itu. Sayang? Pandai sungguh dia memainkan wataknya. Buat pertama kalinya ungkapan itu keluar untukku dari bibirnya dan Aqil melakukannya tanpa sebarang rasa canggung.
            “Lepas ni, kita ke pasar ye, yang!” Aqil memegang tanganku.
            Ibu dan ayah aku lihat tersenyum sipu melihat tindakan Aqil itu. Ingin saja aku tarik tanganku yang digenggam erat. Tapi melihatkan pandangan ibu dan ayah yang silih berganti jatuh pada genggaman mesra kami, terpaksa juga aku biarkan itu berlaku.
            “Kalau kamu nak tahu, Aqil, Nysa paling suka dan paling pandai masak ketam. Masakan ibu kamu ni pun kalah.” ayah membuat pernyataan yang tidak aku senangi. Aku tidak mahu Aqil tahu apa-apa tentang diriku. Dia tak perlu tahu apa-apa tentangku, pasti ianya hanya menyemakkan kotak ingatannya saja.
            “Betul tu, Aqil. Mak memang tak reti nak masak ketam. Tapi Nysa memang pandai. Pernah dia masakkan kamu ketam?” ibu pula menambah perasa.
            “Tak pernah mak! Nysa ni, kalau Aqil suruh dia masak, ada aje alasan dia. Penatlah, tak cukup bahanlah...” Aqil membuat bicara palsu.
            “Abang Aqil!” Aku segera membantah.
            “Betul ke ni, Nysa?” Ayah bersuara, terbeliak matanya memandangku.
            Melihat mata bulat ayah, aku mula cuak. Abang Aqil!!! Hatiku menjerit memanggil namanya, suka-suka hati aje dia membuat ayah marah padaku. Apa yang perlu aku jelaskan pada ayah? Kalau aku katakan Aqil berbohong, apakah ayah akan mempercayainya? Tidak! Pasti ayah takkan percaya. Aqilkan menantu yang paling dipercayainya berbanding aku anaknya sendiri.
            “Tak adalah mak... ayah, saya gurau aje. Nysa selalu masakkan untuk saya. Betul cakap mak, Nysa memang pandai masak. Bertuah saya dapat kahwin dengan Nysa.” tiba-tiba pula Aqil menyelamatkan keadaan. Entah apa yang cuba dilakukan oleh Aqil sebenarnya. Entah-entah dia sengaja ingin mempamerkan kepada kedua orang tuaku betapa bahagianya rumahtangga kami. Aku membuat andaian sendiri dan rasanya andaianku tu tepat sekali.
            “Kamu ni Aqil, buat ayah terkejut aje. Ayah ingatkan betullah tadi, Nysa tak jalankan tanggungjawab dia.” ayah menarik nafas lega.
            “Saya gurau aje, ayah.” Aqil tertawa kecil. “Minumlah, ibu... ayah. Nanti sejuk pula air tu.”
Aqil masih dengan tawanya. Membuatkan aku berasa sakit hati. Sejak akhir-akhir ini, aku perhatikan Aqil kerap kali menyebut nama ayah di hadapanku seolah-olah cuba mengugutku. Rasanya dia sengaja berkelakuan begitu memadangkan dia tahu betapa aku lemah setiap kali nama ayah disebutkan.
            “Ayah dengan ibu nak tinggal sini berapa lama?” soalku. Aku sebenarnya tidak berniat serong. Cumanya aku terlalu takut perihal aku dengan Aqil diketahui ayah.
            “Nysa macam tak suka ayah dengan ibu datang aje.” ayah tidak jadi mengangkat cawan yang baru saja dicapainya.
            “Tak... Nysa tak maksud macam tu!” segera aku membalas sambil mengelengkan kepala. Aku tidak mahu ayah dan ibu berkecil hati dengan pertanyaanku.
            “Nysa ni sebenarnya selalu mengadu kat saya yang dia asyik rindu kat ibu dan ayah.  Jadi rasanya kalau boleh Nysa nak ayah dengan ibu tinggal lama sikit dekat rumah kami ni. Tak gitu sayang...” Aqil menendang kakiku di bawah meja. Memberikan isyarat supaya aku bersetuju saja dengan semua katanya itu.
            “Betul cakap Abang Aqil tu, ayah!” aku menyokong Aqil tanpa rela. Semuanya terpaksa.
            “Ayah ingatkan, ayah dengan ibu kamu nak tinggal sini dua tiga hari aje. Kalau dah kamu kata macam tu, nampak gayanya kami sebagai ibu bapa, kenalah mengalah. Kalau macam itu, kami duduk seminggulah dekat sini.” ayah tiba-tiba membuat keputusan mengejut.
            Luruh jantungku mendengarkannya. Bagaimana aku harus hidup dalam tempoh seminggu itu? Bagaimana aku harus selalu berdua dengan Aqil? Pasti detik itu akan menjadi detik sukar buat diriku, terutamanya Aqil.
            “Baguslah kalau macam tu, ayah... ibu. Tak adalah Nysa sunyi sangat minggu ni. Saya ni, kadang-kadang balik lewat.”  tambah Aqil lagi, bersetuju benar dengan keputusan ayah.
Ibu pula hanya memerhatikan aku sejak tadi. Mungkin dia sudah dapat membaca sesuatu. Harapnya tidak, aku tidak mahu merisaukan sesiapa terutama ibu. Masa seminggu ini, aku akan pastikan semuanya berjalan dengan lancar tanpa meninggalkan sebarang tanda yang meragukan. Harapnya begitulah.

“NYSA!!!” jeritan lantang suara ayah yang memanggil namaku membuatkan aku yang pada ketika itu sedang menghabiskan cucian pinggan mangkuk terpaksa menghentikan semuanya. Ibu yang turut membantuku juga terkejut dengan pekikkan itu. Kami saling berpandangan. Dapat aku rasakan, ada sesutau yang tidak elok sudah dihidu ayah pada ketika ini. Semua itu membuatkan jantungku rasa terhenti seketika. 
            “Pergilah cepat, tengok ayah kamu tu, Nysa. Biar ibu selesaikan kerja kat dapur ni.” ibu mengarahkan aku supaya segera pergi mendapatkan ayah. Dan aku segera mencuci tanganku ala kadar kemudian aku bergegas pergi mendapatkan ayah yang sedang berdiri tegak di atas tangga.
            “Ada apa, ayah?” segera aku bertanya. Resah dalam hati, Tuhan saja yang tahu.
            “Kenapa bilik kamu yang hujung tu, berkunci. Ada apa dalam bilik tu?” ayah memulakan sesi soal siasatnya. Walaupun sudah lama pencen, ayah tetap tidak pernah berubah, masih lagi berkelakuan seperti seorang anggota polis. Pasti ayah sudah mengeledah kesemua bilik di tingkat atas.
            “Oh... bilik yang itu...” aku memikirkan jawapan yang patut aku berikan. Jawapan yang mampu membuatkan ayah percaya seratus peratus. Kalaulah ayah dapat masuk ke dalam bilik itu. Sudah pasti ayah akan naik darah dan pesalahnya sudah tentulah aku.
            “Iyalah... bilik yang paling hujung tu.”
            “Kenapa ni, ayah?” Aqil mucul di tengah-tengah kesulitan. Dia keluar dari biliknya dan terus saja bertanyakan soalan itu. Aku rasa lebih selamat dengan kehadiran Aqil di situ.
            “Ayah nak tahu, kenapa bilik kamu yang paling hujung tu, berkunci?” ayah bertanyakan soalan itu sekali lagi. Dan kali ini, soalan itu ditujukan pula kepada Aqil.
            “Itu bilik stor, ayah! Pintunya memang terkunci sebab dah lama rosak. Saya tak ada masa nak tukar.” Mudah saja ayat pembohongan itu keluar daripada mulut Aqil.
            “Oh... ya ke? Kamu nak ayah tolong tukarkan ke?” dengan mudah ayah mempercayai kata-kata Aqil.
            “Tak apalah, ayah. Nanti saya tukar.”  tolak Aqil.
            “Kalau macam tu, tak apalah. Jomlah kita ke masjid, berjemaah isyak kat sana. Orang lelaki, tempatnya memang kat masjid. Kamu jangan lupa tu!” Ayah mula berjalan turun dari tangga.
Aqil tersenyum kemudian melangkah mengekori ayah daripada belakang. Sewaktu dirinya melepasiku. Sempat juga dia mengenyitkan matanya ke arahku. Pasti hatinya bangga kerana ayah mempercayai setiap katanya.

MATAKU benar-benar sudah mengantuk. Kepalaku juga kian tersenguk-senguk di atas sofa itu. Hari yang cukup meletihan badan dan fikiran. Jam sudah melepasi pukul sebelas malam. Selalunya, pada waktu-waktu begini, aku sudah pun terbaring di atas katil dan melepaskan layar untuk hanyut dalam alam tidur. Tapi hari ini aku terpaksa bertahan sedaya upaya. Selagi ayah dan ibu tidak masuk tidur, selagi itulah aku akan tetap berada di sofa itu. Sebenarnya aku sudah merancang untuk kembali tidur di dalam bilikku sendiri selepas ayah dan ibu naik, tidur di dalam bilik tetamu yang sudah aku siapkan. Tidak mungkin bagiku untuk berkongsi bilik dengan Aqil sekali lagi.
            “Ayah... ibu, saya masuk tidur dulu ya.” Aqil meminta keizinan untuk masuk tidur. Pasti dia sendiri sudah mengantuk.
            “Pergilah tidur, Aqil. Ayah tengok Nysa ni pun dah tersenguk-senguk menunggu kamu.” ayah pandai-pandai saja membuat tekaan.
            “Mana ada ayah, Nysa belum mengantuklah. Nysa nak tengok cerita ni sampai habis dulu.” Aku menyangkal dakwaan ayah. Aku tidak mahu diheret sama, masuk ke dalam bilik Aqil. Itu bukan bilik aku!
            “Sejak bila pula kamu tidur lewat? Setahu ayah, mata kamu tu, tepat aje jam sebelas, automatik dia tertutup sendiri.” ayah membuka cerita yang membuatkan aku malu. Emak pula tersengih-sengih, mengakui kata-kata ayah itu.
            “Ayah ni!!!” aku mula menarik muka seribu dan semua yang ada di situ ketawa.
            “Saya masuklah ayah... ibu!” Aqil mula bangun.
            “Iyalah... pergilah tidur.” Ayah memberikan keizinan.
Aqil segera berjalan mendapatkan pintu biliknya yang dapat dilihat dengan jelas dari arah ruang tamu itu. aku hanya memerhati langkah Aqil berjalan menuju ke biliknya. Langsung aku tidak mengikuti langkahnya itu. Aku akan tetap dengan tekadku untuk berada jauh daripada bilik itu. Aku kembali memandang kaca televisyen sebaik sahaja Aqil mula memulas tombol pintu biliknya. Namun pandanganku kembali tertumpu pada Aqil apabila dirinya kembali, berpatah balik ke ruang tamu.
            “Ayah... ibu, saya bawa Nysa masuk tidur dulu ya.” Aqil segera menarik tanganku.
            Aku sendiri tersentak dengan tindakan dirinya. Terkejut dengan apa yang cuba dilakukannya. Aqil masih lagi memegang tanganku walaupun aku masih lagi duduk di kerusi itu.
            “Baguslah tu. Ayah ingat kamu dah lupa isteri kamu.”
            Kata-kata ayah itu membuatkan aku terpaksa juga mengikut rentak Aqil.
            “Mana boleh lupa ayah, sampai hujung nyawa pun takkan lupa!” Aqil tersenyum jahat memandang diriku.
Hatiku berasa sakit dengan senyuman itu. Tanpa sebarang kata, aku turutkan saja langkah Aqil yang pastinya menuju terus ke biliknya. Hati semkin berdebar apabila Aqil menolak pintu biliknya. Pintu ditutup dan suis lampu segera Aqil petik.
            Aku menarik kasar tanganku. Melepaskannya daripada terus digenggam Aqil. Aqil memandang aku dengan pandangan yang tajam sebaik sahaja aku merentap tanganku.
            “Apa, Nysa ingat abang nak sangat pegang tangan Nysa tu?” Aqil berbicara perlahan. Mungkin takut didengar ayah dan ibu.
            “Nysa nak tidur kat bilik Nysa!” aku menyatakan hasratku. Tidak mahu Aqil beranggapan bahawa aku gembira dapat tidur sebilik dengannya.
“Matanglah sikit Nysa, jangan jadi macam budak-budak. Nysa nak sangat ke ayah tahu hal kita yang sebenar?” Aqil masih terus berbicara. “Malam ni, tidur aje kat sini! Jangan nak mengada-ngada!” Aqil mengambil tempat di katil besar itu.
Aku hanya membisu di situ. Tidak mahu lagi berkata apa-apa. Biarlah apapun yang ingin diperkatakannya. Aku tetap dengan pendirianku untuk tidur di bilikku sendiri. Aqil sudah mula memejamkan matanya sedangkan aku masih berdiri di penjuru bilik, memerhati hiasan-hiasan dalam bilik itu yang hanya membuatkan hatiku sakit. Ungu... ungu... dan ungu! Alangkah bagusnya jika warna ungu tidak wujud di dunia ini.
“Tidur ajelah atas katil ni, nak tunggu apa lagi. Nak abang hantar Nysa naik ke bilik Nysa ke?” Suara Aqil tiba-tiba saja kedengaran walaupun matanya terpejam rapat.
“Tutup lampu sekali. Abang tak boleh tidur dalam terang!” Aqil memberikan arahan.
“Nysa tak boleh tidur dalam gelap!” segera aku bantah arahan terakhir itu dengan membuat pernyataan yang sebaliknya. Mana mungkin aku duduk berdua dengannya dalam keadaan gelap.
“Kalau tak nak tutup lampu, cepat tidur sekarang juga.” masih terdengar suara Aqil.
Aku membuka langkah. Berjalan maju sedikit ke hadapan kemudian mula merebahkan diri di atas lantai yang hanya beralaskan permaidani lembut. Sebaik sahaja aku berbaring beralas lengan Aqil tiba-tiba saja bangun daripada tidurnya.
“Bangun!” Aqil mencampakkan bantal, mengenai tubuhku.
Aku yang terkejut, bingkas bangun.
“Nysa nak ke, abang buka pintu luas-luas, biar ayah tengok Nysa tidur kat mana? Abang suruh Nysa tidur kat atas katil nikan? Susah sangat ke nak faham cakap abang?”
            “Abang Aqil ni, kenapa?” lemah aku berbicara. Apa lagi yang membuatkan dirinya tidak berpuas hati?
            “Abang kira sampai tiga. Kalau Nysa tak naik, tidur atas katil ni... kita tak payah nak selindung apa-apa lagi daripada ayah dan ibu. Kita terus terang aje pada ayah  semuanya malam ini juga. Lepas ni kita dah tak payah nak berlakon lagi.”  Aqil berkeras mahukan aku mengikut katanya.
            “Abang Aqil...” Aku cuba untuk membuatkan dirinya faham.
            “1... 2...”
Aqil terus mengira tanpa memberikan peluang untuk aku berkata apa-apa. Sudahnya, aku segera bangun, menuju ke katil dan merebahkan diri di situ. Aku tidak ada pilihan lain lagi selain mengikut sahaja kata Aqil. Aku hanya membatu di atas katil itu. Tidak sedikit pun bergerak mahupun berpaling menghadap Aqil kerana setiap kali wajahnya aku tatap, hatiku berkocak hebat.
            “Nysa...” Aqil tiba-tiba bersuara setelah sekian lama masing-masing menyepi.
            “Nysa dah tidur?” Sekali lagi Aqil memanggil namaku perlahan apabila panggilan pertamanya tidak aku jawab.
Bukan aku tidak dengar panggilan itu, panggilan itu sampai ke telingaku dengan jelas. Namun padaku, ada baiknya aku terus mendiamkan diri dan berpura-pura sudah lena. Maafkan Nysa, Abang Aqil! Aku berbicara sendirian dalam hati. Rasa bersalah kerana tidak memperdulikannya.
            Melihat aku tidak memberikan sebarang respon, Aqil kemudian membetul-betulkan selimut yang menutup tubuhku. Seketika kemudian, dapat aku rasa usapan di rambutku membuatkan aku memejam rapat mataku yang tadinya terbuka luas. Inikah caranya layanan seorang abang terhadap adiknya? Mula ada soalan itu singgah di benakku. Selepas itu, Aqil turun daripada katil dan menutup suis lampu.  Jantungku berlari kencang saat bilik itu bertukar gelap dan Aqil berbaring semula di sebelahku.
            “Jangan risau... abang tak buat apa-apa.” dengan tiba-tiba saja Aqil berbisik mengeluarkan pernyataan itu.
            Mataku kembali terbuka luas. Mula tertanya-tanya, apakah sebenarnya Aqil tahu bahawasanya aku belum pun tidur? Kemudian aku terdengar suara Aqil ketawa kecil. Mula ada rasa geram dalam hati. Lebih-lebih lagi bila ketawanya itu masih enggan berhenti bahkan semakin galak pula kedengaran.
            “Abang Aqil nikan...!” aku bangun, menolak kasar selimut yang tadinya kemas menyelimuti tubuhku. Aku benar-benar rasa dipermainkan saat itu.
            “Apanya?” Aqil turut bangun.
            “Abang Aqil, saja ajekan.” luahku, tidak berpuas hati. Terang-terang dia sengaja mempermainkan hatiku.
            “Saja apa?” Aqil buat-buat tak faham.
            Geram aku melihat kelakuan Aqil itu. Gelap dalam bilik itu tidak sedikitpun membuatkan aku ingin mengalah kali ini. Gelak tawanya masih jelas kedengaran.
            “Saja nak kenakan Nysakan!” wajah Aqil aku pandang penuh marah. Biarpun hanya sedikit cahaya dari tingkap utama yang dapat memberikan bantuan menyuluh wajah Aqil, namun wajah yang masih tersenyum lebar dan sinis itu dapat aku perhatikan dengan jelas.
            “Abang buat apa? Cuba Nysa cerita?”
            Mendengar soalan itu, aku terus saja kembali menarik selimut dan menyelubungi seluruh anggota tubuhku. Sakit hatiku dipermainkan begitu. Ingin saja aku lari keluar dari bilik itu. Tapi aku tidak berupaya. Gelak tawa Aqil makin kuat kedengaran membuatkan aku bertambah sakit hati. Aku pasti aku tetap akan dapat merasa kesakitan itu sampai esok hari walaupun gelak tawanya itu akan hilang di makan waktu.

AYAH DAN IBU tersenyum sejak duduk di meja makan, pagi itu. Aku sendiri tidak faham dengan makna senyuman mereka itu. Lalu aku pura-pura tidak nampak senyuman mereka. Hidangan bihun goreng adalah merupakan menu hidangan utama pada pagi itu.
            “Gelak sakan kamu berdua malam tadi.”
            Ayat yang keluar daripada mulut ayah itu membuatkan aku yang sedang enak menghirup jus oren, tersedak. Habis air yang baru saja mahu membasahi tekak, keluar daripada mulutku. Kali ini, ayah dan ibu ketawa pula. Begitu juga dengan Aqil. Ketawa mereka secara berkumpulan, menggelakkan diriku.
            “Ayah ni...!” aku segera mengambil tisu dan membersihkan tumpahan jus oren yang mengenai bajuku.
            “Tak payah malulah Nysa, ayah dengan ibu kamu pun macam tu juga dulu!” ayah menambah kata. Ibu di sebelah memukul ayah perlahan.
            “Nysa ni, memang pemalulah ayah.” giliran Aqil menambah kata.
            “Mula-mula memanglah macam tu Aqil!” ayah ketawa lagi. “Senang hati ayah tengok kamu berdua ni. Ayah ingat, ayah dengan ibu nak baliklah hari ni, risau pula tinggalkan rumah lama-lama.”
            “Ayah kata nak tinggal seminggu kat rumah kami ni?” Aqil terkejut dengan apa yang baru dikhabarkan oleh ayah. Sedangkan hatiku begitu lega. Ini bermakna, sudah tamatlah lakonan kami buat sementara waktu ini.
            “Ayah dengan ibu memang nak tinggal sehari aje kat rumah kamu ni, lepas ni kami nak pergi rumah Pak Long kamu pula. Nak tinggal kat sana dua, tiga hari. Dengar ceritanya Mak Long kamu tu tak berapa sihat.” ayah memberikan penjelasan.
            “Kalau macam tu, tak apalah ayah. Nanti senang-senang, datanglah lagi rumah kami ni.” Aqil mempelawa.
            “Insya’allah, kalau ada masa lapang nanti, ibu dan ayah singgah lagi.” ibu kedengaran senang dengan pelawaan itu.
            “Nysa... ingat pesan ayah dan ibu. Jadi isteri terbaik, tahu!”
            Pesanan ikhlas ayah itu membuatkan aku tersenyum kecil. Isteri terbaik? Rasanya istilah itu tidak sesuai untukku. Aqil di sebelah tersenyum sinis mendengar pesanan ayah, membuatkan aku mengalihkan pandanganku daripada terus menatap wajahnya. Rasa kecil hati dengan senyuman sinis itu. Aku tahu siapa diriku di sisinya, jadi tidak perlu diingatkan dengan senyuman sinis yang menyakitkan hati itu.

Sedutan Bab 16 :
            “Nysa buat apa kat sini?” Aqil menjelingkan mata ke arah Hadif ketika bertanyakan soalan itu.  Dengan senyuman, Hadif menggerakkan langkah, menghampiri Aqil dan menghulurkan salam. Aqil hanya menyambut hambar tangan Hadif. 
            “Kereta Nysa rosak, jadi Hadif tolong hantar Nysa balik!” aku jelaskan semuanya. Tidak mahu Aqil salah faham.
            “Pasal apa tak call abang aje? Kenapa nak susahkan orang lain pula?” muka Aqil masam mencuka. Pandangannya saling silih berganti antara wajahku dan Hadif….
Jumpa anda di bab seterusnya. Terima kasih kerana setia menyokong JDC!



6 comments:

iniakuyangpunyahati said...

s.a.s.p.e.n.3.!! hehee

Salhah Suhot said...

kenape pendek sangat....bile nak keluar versi cetak?

-Ain-Dak In- said...

waaaaaaaaaaa...aqil ni penuh misteri la.~sian nysa.

Adah Hamidah said...

iniakupunyahati : terima kasih krn mengikuti JDC.. smoga terus menyukainya :)
Salhah : pendek ke? he3 igtkan da panjang da tu... he3 insya'allah akan publish dlm tahun ni juga.. trima kasih!
Ain : haha... Aqil ni dulu bekas pengacara misteri nusantara, tu yg perangai pelik tu... he3 teruskan mmbaca ek! tengkiu :)

Anonymous said...

aduhhhh cepatlah... tak sabar rasanya tiap ari tunggu, hahaha btw, nice i dah baca nk masuk 9 round, ulang2

Anonymous said...

cepat sambung please...

Post a Comment