Tuesday, March 22, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 7


TUJUH
            Ayah sudah tidak dapat aku pujuk lagi. Dengan hatinya yang keras seperti batu itu sudah pasti mustahil bagiku untuk memutuskan ikatan pertunanganku dengan Aqil. Aku sudah tidak ada cara mahupun jalan yang lain. Kini dengan nekad yang ada aku berkeputusan untuk meminta Aqil yang memutuskannya. Itulah satu-satunya jalan terbaik, aku tidak akan dipersalahkan oleh ayah manakala Aqil berpeluang untuk membina semula tugu cintanya dengan Lily. Mungkin ini takdir untukku, aku redha dengan setiap ketentuan-Nya. Biarpun aku merasa sakit di setiap langkahku kini, namun sekurang-kurangnya aku dapat mengembalikan kebahagian Aqil. Meskipun aku tidak ditakdirkan menjadi isterinya, namun aku tetap bersyukur kerana tetap berpeluang untuk duduk dekat di hatinya walaupun sebenarnya aku sedikitpun tidak mampu menapak masuk ke dalam hatinya.
            Seperti yang dijanjikan aku hadir pada pertemuaan yang kurancang. Pertemuan yang bakal mengakhirkan segalanya dan meletakkan perhubungan kami pada titik noktah. Biar hati tidak merelakan, namun harus aku lakukannya juga demi kebahagian bersama. Aku sebenarnya sudah tidak sanggup dan malu untuk berhadapan dengannya. Lebih-lebih lagi aku sudah mengetahui rasa hati Aqil yang sebenarnya. Aku tidak pernah layak untuk meraih cintanya walaupun itulah yang aku harapkan sejak dari dulu lagi. Tidak aku menyangka pertunangan kami dua tahun ini adalah sia-sia. Tiada kebahagian yang aku perolehi, yang ada cuma rasa luka yang kian bernanah. Tidak mahu terus hanyut dalam cinta Aqil yang terangnya bukan untukku, terpaksa juga aku melenyapkan impianku sendiri. Mungkin sudah tiba masa untuk aku berundur dan berhenti dari mengejar cintanya.
            Aku tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Aku melangkah masuk ke dalam restoran yang ditetapkan Aqil semalam. Masuk sahaja ke dalam restoran itu mataku melilau mencari kelibat Aqil. Mujur ada pembantu restoran yang membawaku ke meja Aqil setelah mengesahkan temu janjiku  dengan Aqil. Aqil tersenyum menyambut kedatanganku, dia segera bangun dan menarik kerusi untuk aku duduk. Aku memerhatikan sekeliling, namun semua meja tidak berpenghuni kecuali meja yang sedang aku dan Aqil duduki. Kini mataku beralih pada cahaya lilin di atas meja. Pelik, sungguh aneh sekali suasana pada saat ini, mengapa hanya aku dan Aqil sahaja pelanggan yang ada di dalam restoran itu kini. Aqil pula tidak putus-putus tersenyum sejak tadi.
            “Nysa kata ada hal penting nak cakap dengan abang. Apa dia?” Soalan pertama Aqil dengan senyuman yang masih lagi bergayut dibibirnya.
            Mataku berat memandangnya, seberat mulutku meluahkan segalanya. Melihat senyumannya menjadikan aku lemah dan rasa seperti tidak ingin melepaskan cintaku padanya. Rasa ingin terus terperangkap dengan cintanya, rasa ingin terus mencintainya biarpun aku tahu balasannya tiada.
            “Nysa okey tak ni?”
            Aku tersentak. Hatiku mula beristigfar, tidak mahu terpesong niat. Aku kembali pada tujuan yang telah menyeret aku untuk menemuinya. “Boleh abang Aqil tolong Nysa satu perkara?” Kini aku memberanikan diri memandang lirikan matanya. Hilang senyumannya mendengar kataku.
            “Nysa nak abang tolong apa?” Balas Aqil serius.
            “Nysa nak abang jumpa ibu dan ayah Nysa, putuskan pertunangan kita.”  Bila sahaja kata itu aku lafaskan, hatiku menjerit menahan kesakitan. Luka yang dulunya sembuh dengan kehadiran semula cinta Aqil dalam hidupku umpama kembali berdarah dan semakin parah pada tika ini.
            “Apa yang Nysa merepek ni?” Tenang sahaja suara Aqil tika ini.
            Melihat reaksinya yang tenang dengan permintaanku, aku mula yakin semuanya akan berakhir seperti mana yang aku harapkan.
            “Nysa dah buat macam-macam tapi ayah tetap tak izinkan Nysa putuskan pertunangan dengan abang Aqil. Malah ayah ugut Nysa untuk putuskan hubungan kami anak beranak kalau Nysa bertindak batalkan pertunangan kita. Sebab itu Nysa hanya boleh harapkan bantuan daripada abang Aqil.” Aku menjelaskan semuanya, tidak satu pun perkara yang aku sembunyikan.
            “Kenapa Nysa nak buat semua ni? Nysa buat ni semua sebab marahkan abangkan? Marah sebab abang selalu tangguhkan perkahwinan kita?” Riak wajah Aqil tetap tenang, tidak seperti hatiku yang kini bergolak hebat mengalahkan ombak tsunami.
            “Tak! Bukan sebab tu. Kalau abang Aqil tak bersedia untuk perkahwinan kita, itu bukan salah abang Aqil. Mungkin kita memang tak ada jodoh. Nysa boleh terima hakikat tu.” Balasku menafikan semua bicara Aqil. Sememangnya bukan itu punca utama aku tekad membatalkan semua yang sudah dirancang. Malah aku sanggup menunggunya untuk sepanjang hayatku. Namun itu hanya akan aku lakukan bila di hatinya ada ruang untuk diriku. Sebaliknya hanya Lily tersemat di ruangan itu, bukan aku! Jadi untuk apa aku terus menantinya, terus berada di sisinya.
            “Jadi, apa masalahnya?”
            “Nysa cuma nak yang terbaik untuk abang Aqil.” Hanya itu jawapan yang boleh aku berikan padanya.
            “Maaf! Abang tak boleh lakukan.” Kata Aqil tegas.
            “Tapi kenapa?” Giliran aku pula yang bertanya. Namun Aqil enggan menjawabnya. Aqil sebaliknya mencampakkan sebuah sampul surat berwarna kuning dihadapanku, kemudian dia berlalu pergi meninggalkan aku sendirian.
            Aku membiarkan Aqil berlalu pergi, tidak mahu aku mengejarnya. Mataku kini tertumpu pada sampul surat yang Aqil campakkan tadi. Perlahan sampul itu aku pegang dan dadaku mula bergetar. Sampul itu aku buka perlahan, aku terlonggo melihat isinya. Sebuah kad undangan perkahwinan! Terukir namaku dan nama Aqil di atasnya. Apa yang lebih memeranjatkanku, undangan itu adalah untuk majlis yang akan berlangsung kurang dari sebulan.
            “Ya’ Allah.” Saat itu aku terasa ingin rebah. Dugaan apa pula ini? Dapatkah aku mengharunginya?

HADIF menerima kad undangan yang aku hulurkan padanya dengan senyuman nipis. Kad itu aku serahkan pada hari terakhir aku bertugas sebelum memulakan cuti panjang sempena majlis perkahwinanku. Hadif ialah orang terakhir yang menerima kad undanganku itu sedang rakan-rakan setugas yang lain sudah menerimanya awal minggu lalu. Bukan sengaja melupakan Hadif, cumanya aku tidak ingin Hadif bertanya panjang tentang hal perkahwinanku. Aku tahu, Hadif dapat menghidu sesuatu yang tidak enak pada hubunganku dengan Aqil. Maka kerana itulah, aku tidak mahu Hadif mempersoalkan apa-apa kerana aku sendiri belum tentu dapat menjawab soalan-soalan yang mungkin ditaburkan untukku. Sehingga saat ini, aku masih berkira-kira tentang perkahwinan yang bakal menyatukan aku dan Aqil.
            “Tahniah! Akhirnya... kahwin juga kau dengan mamat bongkak tu!” Hadif tersenyum nakal.
            Aku memukul perlahan tangan Hadif dengan diari harian yang ada di tanganku apabila Hadif menggelarkan Aqil dengan panggilan sebegitu. Namun entah kenapa aku turut sama ketawa dengan kata-katanya itu.
            “Ingatkan kau tak nak jemput aku!” Hadif memasukkan kembali kad undangan itu ke dalam sampulnya. Kemudian satu pandangan tajam dihadiahkan buatku.
            Aku hanya mampu tunduk mendengar kata-katanya itu. Mana mungkin aku tidak mengundang orang yang banyak menabur jasa dalam hidupku. Hadif kawan yang baik, selalu ada membantu ketika aku menghadapi detik-detik sukar di sini.
            “Mana boleh tak jemput kau, Dif. Kalau kau tak datang, tak meriahlah majlis aku nanti” Balasku, cuba menutup syak wasangka dalam dirinya.
             “Kau akan rasa meriah, bila mana kau rasa bahagia. Aku ni bukannya pengantin lelaki yang boleh buat kau bahagia. Aku datang ataupun tak, majlis kau tetap meriah sebab Aqilkan ada!” Laju saja Hadif menyangkal setiap bait kataku. Sudahnya, aku yang tertunduk, membisu. Akan bahagiakah diriku dengan Aqil?
            “Insya’allah, kalau tak ada aral melintang, nanti aku sampai. Cuma satu aje aku nak minta daripada kau” Hadif membuat permintaan dengan tiba-tba.
            “Apa dia?” Soalku.
            “Selama ni, aku tengok kau asyik fikirkan pasal hati dan perasaan Aqil aje. Sedangkan kau tak pernah nak jaga hati dan perasaan kau sendiri. Perkahwinan bukan perkara main-main Nysa. Orang yang kita cintai tak semestinya menyintai kita juga. Jadi, kalau boleh, aku nak kau fikirkan baik-baik hal perkahwinan kau ni.” Panjang lebar Hadif menyatakan permintaannya.
            “Apa maksud kau, Dif? Apa yang kau nak cakapkan sebenarnya?” Soalku pura-pura tidak mengerti dengan apa yang diperkatakan Hadif. Padahal setiap butir bicaranya itu sudah cukup jelas untuk membuatkan aku faham maksudnya.
            “Aku tahu aku tak ada hak nak campur urusan hidup kau. Tapi aku tak nak tengok kau menangis. Aku takut nak tengok kau menangis.” Perlahan Hadif membalas pertanyaanku.
            “Kenapa? Kalau aku menangis, muka aku macam monster ke?” Aku gelak, sengaja menimbulkan babak-babak ceria sekaligus mengubah topik perbualan. Aku tahu hati Hadif. Hatinya terlalu lembut dan baik. Mudah bersimpati dengan sesiapa saja. 
            “Kau ni kan, Nysa. Aku serius, kau main-main pula ya!” Hadif tersenyum dan mengelengkan kepalanya. “Apapun, selamat pengantin baru buat kau. Semoga bahagia sentiasa mengiringi perjalanan hidup kau dengan si bongkak tu!”
            “Hadiffffff...!!!” aku mula membesarkan biji mata.
            “Alah, nak gurau sikit pun tak boleh. Sayang sangat dengan tunang dia tu!” Hadif mula ketawa.
            Aku turut sama ketawa. “Terima kasih, Hadif. Kaulah kawan baik aku!” giliran aku menyampaikan kata
            “Sama-sama. Kalau kau ada apa-apa masalah, carilah aku. Aku sentiasa ada untuk kau, faham!”
            Aku mengangguk, tanda mengerti. Hadif terlalu baik, entah bagaimana baru aku mampu membalas semua kebaikkannya? Yang pasti, aku juga akan sentiasa mendoakan kebahagian mengiringi setiap langkah perjalanannya kelak.

SEPANJANG minggu lalu menyaksikan kesibukan orang tuaku mengaturkan majlis yang terbaik untuk satu-satunya anak mereka ini. Aku membiarkan mereka menguruskan segalanya, tidak ada hati untuk mempersoalkan apa-apa. Apatah lagi memberikan pandangan. Segalanya aku serahkan bulat-bulat pada mereka., Semua kad undangan sudah habis diedarkan dan sejak seminggu yang lalu aku sudah mula bercuti panjang sempena hari perkahwinanku yang sepatutnya mengembirakan hatiku. Tapi hakikatnya hati ini hanya mampu menari irama kekecewaan yang penuh duka. Bagaimana harus aku menjalani hari-hari bersama seorang suami yang cintanya tidak untukku? Mana mungkin Aqil bisa bahagia mengharungi liku hidup dengan seorang isteri yang tidak pernah dikasihinya?
            Selepas perjumpaanku dengan Aqil hampir sebulan lalu, Aqil langsung tidak menghubungiku. Puas aku cuba mendapatkannya namun telefonnya tidak berjawab. Aku tahu dia  cuba mengelakkan diri daripada berjumpa denganku. Makanya aku langsung tidak berkesempatan untuk melakukan apa-apa. Aku benar-benar risau dengan perkahwinan ini, risau yang teramat sangat. Padaku perkahwinan ini tidak seharusnya berlangsung.
Bukan perkahwinan begini yang aku inginkan, bukan ini yang aku idam-idamkan. Aku cuma seorang wanita yang mendambakan kasih sayang seorang suami yang melayari kehidupan berumahtangga bersama-sama anak-anak yang comel yang mampu membawa sinar kebahagian kepadaku. Sedangkan aku sendiri tidak mampu membawa kebahagian dan ketenangan dalam dirinya masakan pula dia mampu berbuat begitu padaku. Andai sahaja aku bisa melarikan diri dari perkahwinan ini sudah pasti aku akan lakukan itu. Namun kakiku dirantai ketat oleh pengorbanan dan kasih sayang orang tuaku, jadi tidak mungkin aku memalukan mereka, melarikan diri menjelang hari perkahwinanku. Tidak! Itu tidak akan aku lakukan sama sekali, melainkan Aqil sahaja yang meninggalkanku.
            Ibu begitu tekun menyaluti setiap hujung jariku dengan inai. Sepanjang waktu itu jugalah ibu terus menerus tersenyum. Aku pula hanya mampu memandang sepi pakaian pernikahan yang tergantung di sebelah almari. Baju kurung potongan moden yang serba putih itu akan aku kenakan pada esok malam. Kilauan manik yang menghisai hampir di setiap inci baju itu gagal memainkan peranannya menarik perhatianku untuk merasai rasa keterujaan untuk memakainya.
Hati semakin gelisah melihat susanan hantaran dan pelamin yang kukuh terbina. Rasa bersalah mula menyelinap masuk di setiap urat saraf. Perkahwinan adalah hadiah daripada Yang Maha Esa untuk hamba-hambanya. Perkahwinan merupakan ibadah, dengan perkahwinan maka sebahagian dari urusan agama telah dilengkapkan. Jadi mana mungkin aku mempermainkan dan mempersendakan ibadah yang suci ini? Jika ia bakal berakhir, untuk apa aku memulakannya. Aku tidak tega meruntuhkan masjid yang sepatutnya dibina atas iktikad kasih sayang dan cinta.
            “Dah siap. Lepas dah kering sikit inainya, Nysa bolehlah tidur. Bakal pengantin kenalah cukup tidur, barulah wajah berseri.” Tutur ibu penuh dengan kelembutan buatku.
            Aku menganggukkan kepala kemudian membalas senyuman ibu. Tidur? Tidak mungkin malam ini mata dapat aku pejamkan lena. Hari ini dan hari-hariku yang seterusnya pastinya ditemani rasa sesalan yang tidak terhingga atas pernikahan  ini.

RAMAI saudara mara mula membanjiri rumah orang tuaku. Pak long, mak ngah, pak usu dan saudara mara yang lain telah sampai sejak awal pagi lagi. Semuanya tersenyum nakal bila aku bersua muka dengan mereka. Pelbagai usikan yang aku terima namun tiada satu pun yang singgah tepat di hatiku. Kehadiran mereka pastinya ingin memeriahkan lagi majlisku, tapi kemeriahan itu langsung tidak dapat aku rasakan.
Tiba-tiba saja aku teringatkan Hadif, mungkin ada benar katanya dulu. Kemeriahan hanya akan muncul apabila ada rasa bahagia. Pada saat-saat begini, mana mungkin rasa bahagia itu ada padaku. Yang ada cuma rasa bersalah atas majlis yang bakal berlansung ini. Aku kembali ke kamar apabila siap bertegur sapa dengan saudara mata yang tiba. Aku betul-betul rasa tidak tenang, aku perlu lakukan sesuatu. Aqil! Ya, aku ingin bertemu dengannya, harus bertemu dengannya agar menghentikan perkahwinan gila ini. Tiada siapa yang akan bahagia dengan penyatuan ini.
            Seperti biasa telefon bimbit Aqil tidak berjawab. Lantas aku cuba pula mendapatkan Aqil menerusi telefon bimbit ibunya.
            “Assalamualaikum makcik, Aqil ada?” Segera aku mengajukan soalan itu tidak mahu bertangguh lagi.
            “ Aqil? Sekejab ya.”
            Mendengar suara yang agak keras itu, aku yakin itu bukan ibu Aqil. Pasti ibu Aqil sedang sibuk di ketika ini. Agak lama aku menanti Aqil menyambut di hujung talian.
            “Hello.”
            Seperti selalu jantungku dipalu laju apabila mendengar suara itu.  “Assalamualaikum abang Aqil, Nysa ni. Nysa nak jumpa abang Aqil sekarang juga dekat Car Park Dataran Putrajaya. Nysa takkan balik selagi abang Aqil tak datang.” Aku terus sahaja mematikan talian selesai berbicara.
Langkah pertama telah selesai, kini aku beralih pada langkah kedua. Masalahnya kini cuma satu, bagaimana aku ingin meloloskan diri dalam keadaan ruamah yang dipenuhi olah sanak saudara. Membantu di dapur sahaja tidak dibenarkan takut kalau-kalau aku tercedera, inikan pula mendapatkan keizinan untuk keluar dari rumah, pastinya tidak dibenarkan.
            “Nysa nak ke mana?” Tanya mak ngah bila melihat aku yang lengkap bertudung bergerak pantas menuju ke muka pintu.
            “Ambil barang  dalam kereta kejap,” bohongku dan aku bersyukur apabila mak ngah tidak bertanya lanjut.
Mujur juga ibu tiada di situ jika tidak tentu banyak soalan yang harus aku jawab. Segera aku menghidupkan enjin kereta dan berlalu meninggalkan kawasan perumahan. Aku cuma memerlukan masa setengah jam untuk sampai di destinasi yang dijanjikan. Sebaik sahaja meletakkan kenderaan aku turun dari keretaku. Melilau mencari kelibat Aqil, namun tiada. Hampir satu jam setengah aku menunggu barulah kelihatan kereta Aqil menyusuri masuk mendapatkan tempat letak kereta. Aku hanya berdiri disisi keretaku. Pasti Aqil dapat melihat kedudukanku bila keluar dari keretanya memandangkan kedudukannya yang tidak berapa jauh dari tempat aku meletakkan kenderaan. Aqil berjalan longlai menuju ke arahku. Dapat aku lihat dengan jelas jarinya yang turut merah sama seperti jariku. Aku menarik nafas panjang, mencambahkan kekuatan yang kian hilang melihat wajah lelaki yang aku cintai itu.
            “Apa hal yang penting sangat ni?” Soal Aqil ketika langkahnya masih berbaki beberapa tapak untuk sampai ke arahku. Aku melepaskan badan yang sedari tadi bersandar di pintu kereta. Kerutan yang kelihatan pada dahi Aqil sudah cukup mengambarkan rasa rimasnya bila melihatku.
            “Nysa mohon abang jangan datang pernikahan kita malam ni.” Aku berterus terang, tiada masa lagi untuk bermain dengan kata-kata.
            “Kenapa dengan Nysa ni? Hari tu minta abang putuskan pertunangan, sekarang nak suruh abang jangan datang masa pernikahan pula. What’s wrong with you?” Keras sungguh suara Aqil ketika ini.
            “Abang Aqil akan faham nanti kenapa Nysa buat semua ni.”
            “Kalau alasan yang sama macam hari tu, minta maaf abang tak nak faham. Kenapa Nysa nak buat semua ni kenapa Nysa, kenapa?” Wajah Aqil mula merona merah mungkin menahan marah barangkali.
            “Betul abang Aqil nak tahu kenapa?” aku kembali memulangkan soalan itu kepadanya apabila sudah tidak tahan dengan sikapnya dan Aqil terdiam apabila mendengarnya.
“Ini sebabnya!” Aku menyerahkan kembali kad berbentuk hati yang aku temui di dalam kotak dibiliknya suatu masa dulu. Kad yang telah membuatkan aku sedar bahawa aku tidak pernah memiliki cintanya. Terdengar Aqil mengeluh kecil bila kad itu aku serahkan. Sudah semestinya dia faham apa yang aku sedang alami kini.
            “Nysa minta maaf pasal kad tu, bukan niat Nysa nak mengambilnya tanpa keizinan abang Aqil. Tapi Nysa perlu  tahu  apa yang abang Aqil tak pernah cuba nak bagi tahu pada Nysa selama ni,” luahku. Aqil terdiam, mungkin ada kesalan di hatinya atau mungkin juga sekadar ingin melepaskan diri daripada berbicara panjang tentang hal itu.
            “Abang Aqil tak perlu rasa bersalah atas apa yang terjadi. Nysa tak pernah salahkan abang Aqil. Mungkin ini memang jalan hidup Nysa. Jadi tolonglah abang Aqil, kali ini aje Nysa minta tolong. Hilangkan diri untuk malam ni aje. Nysa tak mahu abang Aqil datang malam ni.” Aku sungguh-sungguh merayu padanya. Aku tidak kisah jika aku harus terus merayu padanya asalkan pernikahan malam ini akan terbatal dengan sendirinya.
            “Tak sangka kad ni mampu bunuh cinta Nysa pada abang. Kenapa Nysa nak musnahkan kebahagiaan Nysa semata-mata untuk abang?” Lama Aqil mendiamkan diri sebelum memulakan semula bicara.
            “Nysa tak kejam untuk  bina kebahagian Nysa atas kedukaan orang lain. Walaupun Nysa tak pernah jumpa Lily tapi Nysa tahu hati abang Aqil hanya untuk Lily buat selama-lamanya. Nysa tak ada daya nak pisahkan cinta suci abang Aqil. Jangan lepaskan cinta abang Aqil kerana rasa marah yang tak bawa abang Aqil ke mana-mana. Macam mana abang Aqil marah sekalipun, abang Aqil takkan pernah dapat buang rasa cinta pada Lily.” Mendengar luahanku itu Aqil tertunduk. Perlahan titis air jernih membasahi pipiku namun segera aku hapuskan supaya tidak terlihat olehnya.
            “Lagipun Nysa terlalu takut dengan perkahwinan ni. Takut kalau Lily kembali merebut cinta abang. Nysa berkahwin bukan untuk diceraikan! Harap abang Aqil faham.”
Aku membuka cincin pertunanganku lalu meletakkannya di atas tapak tangan Aqil. Sesudah itu, aku terus membuka pintu kereta dan masuk ke dalamnya. Enjin aku hidupkan. Airmata tidak dapat lagi aku bendung, segera aku berlalu dari situ. Yang pastinya kini aku yakin Aqil mula memahamiku memandangkan dirinya yang tidak sekalipun mengangkat wajahnya memandangku bila semua itu aku luahkan. Dan aku juga yakin bahawa Aqil tidak akan datang ke majlis yang sepatutunya berlangsung malam ini. Apa yang lebih penting, tiada apa lagi yang harus aku fikirkan selepas ini.
            Abang Aqil, Nysa dah pulangkan kebahagian abang seperti yang Nysa pernah janjikan dulu, perlahan suara hatiku berbisik sayu.

           Bersambung...

1 comments:

Anonymous said...

Sedihnya~

Post a Comment