Tuesday, March 22, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 8


LAPAN
            Selesai sahaja menunaikan solat maghrib, aku diarahkan untuk bersiap. Wajahku dirias oleh mak andam yang telah ibu tempah khas. Hampir sejam lamanya mak andam itu mengambil masa. Aku diarah pula memakai pakaian nikah setelah kerja-kerja menata rias wajahku selesai, lantas aku mengikut sahaja arahan itu. Kalau diikut rancangan yang diaturkan, majlis pernikahan bakal berlangsung selepas solat isyak sekitar jam 8.45 malam. Aku memandang dinding sudah menghampiri masa yang ditetapkan. Tiba-tiba ada resah yang muncul di jiwa, resah bila memikirkan rasa malu yang perlu ditanggung oleh ibu dan ayahku atas pernikahan yang tidak akan berlangsung ini.
            Ayah, ibu... maafkan Nysa. Nysa juga tak minta semua ni berlaku pada Nysa, bisik hatiku perlahan. Siap sahaja mengenakan tudung aku memandang wajahku di cermin. Air jernih mula bertakung di kolam mata, menunggu masa untuk gugur. Ya’ Allah walau apa pun dugaannya, Kau berikanlah aku sedikit kekuatan agar aku mampu berdiri dan menghadapinya. Aku memejamkan mata, doa aku utuskan pada satu-satunya Maha Pencipta.
            Suasana semakin riuh dan gamat apabila rombongan pengantin lelaki tetap belum tiba walaupun telah hampir setengah jam tok kadi dan semua yang hadir menunggu majlis berlangsung. Dari dalam bilik pengantin sudah beberapa kali kulihat ayah mendail telefon bimbitnya. Aku tahu, pasti ayah sedang berusaha untuk mendapatkan berita daripada ayah Aqil, mengapa mereka masih belum sampai. Ibu pula sentiasa ada disebelahku, menenangkanku. Hanya Tuhan yang tahu betapa aku rasa bersalah atas apa yang berlaku. Kalaulah terdaya, sudah pasti aku telah menyatakan semuanya pada orang tuaku. Memberitahu bahawa Aqil tidak akan hadir dan pernikahan ini tidak akan berlangsung.
 Namun aku terpaksa mendiamkan diri. Jika tidak, pasti hubunganku dengan ayah akan menjadi renggang. Tanpa aku sedar air mata mula menitis tidak dapat aku tahan lagi. Rasanya ingin saja aku memohon secalit kemaafan daripada kedua orang tuaku. Bukan niatku sengaja membiarkan ini semua terjadi, aku juga tiada daya untuk menahannya. Hatiku sendiri parah, dirobek rasa kecewa yang entah bila baru mahu hilang rasa sakitnya. Jiwaku sendiri menangis tanpa sedar air mata sudah hampir kering. Walau apapun, aku harus menghadapi semua ini dan tetap cuba bertahan.
“Nysa, kenapa ni?”
Aku yang menundukkan wajah sedari tadi segera mendonggak apabila mendengar suara yang datangnya dari muka pintu bilik pengantin itu.
“Hadif!” Agak terkejut diriku dengan kehadiran Hadif pada saat itu. Aku sangkakan, dia hanya akan hadir pada majlis persandinganku nanti.
“Nysa, ayah tak dapat hubungi keluarga Aqil. Aqil ada telefon Nysa tak, bagi tahu kenapa lewat?”
Belum sempat aku menjawab pertanyaan Hadif, satu lagi soalan datang menerpa ruangan telingaku. Pandangku pada ayah dan Hadif jadi silih berganti. Aku tidak tahu apa yang harus aku perkatakan pada Hadif mahupun ayah.
“Rasanya...Aqil takkan datang, ayah!” Ayah dan Hadif, kedua-duanya terkejut dengan apa yang aku perkatakan. Begitu juga dengan ibu dan beberapa lagi saudara mara terdekatku yang turut berada di dalam bilik itu. Aku tidak mahu membuatkan ayah dan ibu terus tertunggu-tunggu kehadiran rombongan pengantin lelaki yang tidak akan tiba. Cukuplah setakat ini sahaja masjlis ini berlansung.
“Nysa cakap apa ni?” Soal ayah sambil berjalan perlahan menghampiriku.
Dan kali ini, aku tidak lagi mengangkat wajahku, tiada keberanian memandang wajah ayah. Apatah lagi setelah aku menghancurkan segala-galanya.
“Ayah tanya, Nysa cakap apa? Apa maksud Nysa?” Suara ayah mula mengeras.
“Cakap, Nysa...cakap!” Badanku digoncang kuat oleh ayah.
Suasana majlis persandinganku mula bertukar wajah. Terdengar bunyi riuh dari luar bilik pengantin. Pasti rata-rata mereka ingin tahu apa yang telah terjadi di dalam bilikku itu. Mujur saja Hadif segera menutup pintu bilik sebaik sahaja mendengar suara keras ayah yang pastinya dapat didengari oleh semua tetamu. Aku pula hanya mampu membatukan diri dan berendam dengan air mata.
“Apa yang dah terjadi, Nysa? Cakaplah, nak! Bagi tahu pada ayah!” giliran ibu bersuara, memaksa aku untuk menjelaskan semuanya.
“Apa yang Nysa dah buat sampai Aqil tak nak datang? Cakap!” ayah masih lagi bertanya walau tiada satu pun jawapan yang keluar daripada mulutku.
“Sabar, pak cik!” Suara Hadif kedengaran, cuba menenangkan keadaan. Hadif menarik ayah yang sedari tadi menggoncang hebat tubuhku.
“Macam mana pak cik nak sabar, mana pak cik nak letak muka pak cik ni Hadif...mana pak cik nak sorokkan!” ayah melepaskan rasa hati pada Hadif. Mujur Hadif bukanlah orang asing dalam keluargaku. Sudah berkali-kali juga dia berkunjung ke rumahku sebagai kawan sejak aku menjadi rakan setugasnya. 
“Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, Pak cik. Kasihan Nysa, dia tak bersalah” Balas Hadif, cuba berpihak padaku.
“Penyelesaian apa Hadif? Kamu nak jadi penganti lelaki, gantikan Aqil? Kamu pun tak sanggupkan? Dah tak ada penyelesaiannya lagi!”  Ayah mencekakkan pinggangnya, menahan marah. Sesekali ayah merenungku dengan pandangan tajam menikam.
“Kalau pak cik izinkan, saya sanggup terima Nysa sebagai isteri saya!”
“Hadif!” Aku terus bersuara, melaung kuat namanya. Gilakah dirinya? Mengapa tiba-tiba sahaja dia bersetuju dengan benda karut itu.
“Kalau Aqil tak mampu nak bahagiakan kau, biarlah aku berusaha membawa bahagia dalam hidup kau, Nysa” Hadif masih dengan katanya, mungkin cuba untuk menyakinkan diriku.
Aku kaku di atas kerusi itu, begitu juga dengan ayah dan ibu. Pasti mereka juga terkejut dengan apa yang Hadif perkatakan. Tangisanku tiada tanda mahu berhenti. Masalah hati yang ada tidak pernah dapat aku selesaikan dan kini, Hadif cuba pula menambahnya dengan masalah yang baru. Aku sendiri tidak tahu apa yang ada dalam fikiran Hadif, dia sudahpun bertunang, jadi mengapa dia sanggup membuat keputusan bodoh itu? Tidak aku takkan membiarkan hal itu berlaku.
“Ayah, Nysa.....”
“Diam, Nysa! Kamu tak ada hak untuk kata apa-apa. Biar ayah yang tentukan!” ayah terus saja memotong kataku sebelum sempat aku menerangkan kata hatiku.
“Betul kamu setuju ni, Hadif?” Soal ayah serius.
“Betul pak cik, saya dah cukup dewasa untuk bergurau dalam hal-hal penting macam ni” Balas Hadif, juga serius.
“Kalau macam tu....”
Bunyi ketukan kuat pintu bilikku yang bertalu-talu menyebabkan keputusan ayah tergantung begitu saja. Semua anak mata memadang pada daun pintu yang mula dikuak ayah dengan wajah masam mencuka.
“Rombongan pengantin lelaki dah sampai!”
            Maklumat yang di sampaikan oleh Pak Long itu telah menghantarku ke pintu bilikku untuk mendapatkan kebenaran atas apa yang baru sahaja aku dengar. Degupan jantung berlari laju. Ayah sempat memandang Hadif sekilas dan menepuk bahu kawan baikku itu sebelum melangkah keluar meninggalkan semua yang masih setia di dalam bilik itu
            “Maaf lambat, ada kesulitan tadi.” Ayah Aqil berjabat tangan dengan ayahku. Rombongan lelaki dijemput masuk bersama hantaran-hantaran yang dibawa. Suasana kembali meriah, gelak tawa daripada ahli keluarga jelas kedengaran.
            “Ya Allah, ujian apa pula ni?” Kata-kata itu keluar pelahan dari mulutku bila saja melihat Aqil melangkah masuk ke dalam rumah dengan senyuman yang sukar aku tafsirkan.
            “Maafkan aku, Hadif!” Sempat juga aku menyatakan itu pada Hadif sebelum kembali duduk di atas katil setelah kesemua rombongan sudah  masuk ke dalam rumah untuk memulakan majlis.
“Kau tak salah apa-apa! Harungilah hidup kau, aku sentiasa doakan kebahagian kau dengan dia” Hadif tersenyum sebelum melangkah keluar, meninggalkanku.
Tiba-tiba sahaja rasa bersalah pada Hadif mencengkam jiwaku. Termenung aku seketika memikirkan Hadif. Tidak aku sangka dia sanggup untuk berkorban sehingga sebegitu rupa semata-mata untukku. Namun aku tidak mampu membalas apa-apa buat Hadif dan aku tahu dia lebih mengerti hatiku.
Mak andam kembali memperkemas solekan pada wajahku yang kian pudar dengan linangan air mata. Masalah Hadif selesai, tapi kini masalah lama timbul kembali. Rasa marah dengan dengan Aqil, mengapa sekalipun nasihatku tidak dia endahkan? Seketika kemudian aku diarahkan keluar dari bilik. Dengan hati yang penuh dengan tanda tanya aku melangkah keluar mengikut arahan ibu dan duduk tidak jauh dari Aqil.
            “Nysa setujukan dengan pernikahan ini?” Ayah memandangku meminta kepastian. Pandangan yang mewajibkan aku mempersetujui segalanya.
            Lama aku merenung ke dalam mata ayah sebelum aku menganggukkan kepala lemah. Aku tahu persetujuan ini hanya akan menambahkan kesakitan yang ada tapi apa lagi yang mampu aku buat? Semuanya telah aku lakukan demi menghalang pernikahan ini daripada berlangsung, namun semuanya tidak berhasil. Aku sedar, ketika ini aku sedang mencampakkan diriku ke dalam lembah luka yang pasti tiada penghujungnya. Ayah segera kembali membawa dokumen pernikahan yang aku tandatangani dan menyerahkannya kepada tok kadi.
            Dengan sekali lafas sahaja, akhirnya aku kini bergelar seorang isteri. Isteri kepada seorang suami yang amat aku cintai, yang amat aku kasih dan sayangi dengan sepenuh hati. Namun semua itu tiada gunanya, kerana aku hanya seorang isteri kepada suami yang hatinya tidak untukku, kasihnya bukan buatku. Jadi layakkah aku mengenggam gelaran isteri itu untuk selamnya? Ya’ Allah biar apapun yang terjadi, jadikanlah aku insan yang kuat dan tabah untuk menghadapi dengan segala kemungkinan yang telah Engkau takdirkan, hatiku tidak henti-henti berdoa. Sesekali, aku melapangkan padangan, mencari kelibat Hadif, namun langsung tidak kelihatan.
            Riuh rendah bila acara membatalkan air sembahyang  berlangsung. Sanubariku bergoncang hebat tatkala melihat Aqil mengorakkan langkahnya menghampiriku. Apabila Aqil semakin hampir, jiwa meronta minta dilepaskan daripada perasaan cinta yang sepertinya tiada kesudahan. Aku mendongakkan kepala memandangnya apabila Aqil dengan megahnya berdiri di hadapanku seolah-olah ingin menyatakan pada semua betapa bertuahnya dia memiliki aku sebagai isterinya. Walhal disaat ini, pasti dialah insan yang paling  kecewa kerana terpaksa menerima aku sebagai isterinya. Aku menyambut huluran tangannya padaku. Saat tangannya kusentuh, debar di jiwa makin kuat kurasa. Asal saja Aqil juga merasainya, pasti bahagia di depan mata. Namun hanya aku yang merasai perasaan itu dan rasa itu harus aku rawat segera agar tidak merebak menjadi barah cinta yang tidak mampu lagi aku ubati. Cincin emas bertakhtakan berlian itu Aqil sarungkan kemas di jari manisku. Senyuman dibibirnya tidak pernah pudar. Mungkin itu caranya dia melindungi resah di jiwa. Jadi aku juga melakukan hal yang sama, tersenyum agar mereka-mereka di sekeliling berasa gembira.
            “Nysa tak mampu nak tolong apa-apa lagi.” Kataku perlahan bila bibir Aqil singgah di dahiku. Kata-kataku itu dibalas dengan satu renungan tajam dari Aqil yang hanya meletakkan aku pada rasa tidak senang hati.

MAJLIS persandingan berlatarkan warna merah hati menjadi tema pilihan ibu. Paluan kompang menyambut rombongan lelaki penuh meriah. Aku diarah keluar mendapatkan pengantin lelaki yang menunggu di pertengahan jalan. Aqil tersenyum memandangku. Namun tidak dapat aku rasai kasih daripada senyuman itu. Pastinya senyuman itu diukir sekadar untuk  membutakan mata semua jurugambar yang tidak henti-henti merakamkan gambar kenangan kami berdua. Tanganku Aqil genggam erat sepertinya tidak mahu melepaskan aku daripada hidupnya sepanjang langkah menuju ke pelamin.
            Bunyi paluan kompang yang kuat, menambah berat di dada. Tanggungjawabku sebagai seorang isteri telah bermula, cabaran baru buatku menjadi isteri kepada suami yang tiada rasa cinta padaku. Mampukah aku memikul tanggungjawab itu? Resah hati kian terasa.
            “Congratulation!” Sara memelukku erat, terpancar cahaya gembira di wajahnya, berkongsi rasa gembira denganku.
            Tidak aku sangka dia Sara akan hadir ke majlisku ini sedangkan sewaktu kad jemputan aku serahkan, katanya dia tidak dapat hadir kerana ada urusan keluarga.
            “Husband you mana?” Tanya Sara yang ayu menggenakan busana kurung moden berwarna ungu.
            “Ada tu, jom Nysa kenalkan.” Pelawaku ikhlas.
            “Boleh juga, nak tengok juga kegembiraan raja sehari ni.” Balas Sara tersenyum manis padaku.
            Aku meminta diri dan meninggalkan Mak Usu yang sedang enak menjamu selera. Langkahku membawa Sara menghampiri Aqil yang sedang berbual bersama seorang tetamu yang tidak aku kenali.
            “Abang Aqil!” Sapaku, Aqil menoleh seketika padaku sebelum memandang Sara di sebelahku pula.
            “Hai, congratulation…” ucap Sara penuh kelembutan. Tangan dihulur Sara dan Aqil menyambut salam yang diberi.
            Bahang cemburu tiba-tiba terbit entah dari mana. Lalu aku mengalihkan pandangan seketika, cuba membuang rimbunan cemburu yang masih segar di dada.
            “Inilah housemate Nysa, Sara.” Terangku pada Aqil apabila aku memandang semula wajahnya.
            Sara kulihat memandang Aqil tajam. Sudah aku duga, itu pasti berlaku. Sama seperti waktu pernikahan semalam, Aqil cukup segak bergaya. Sesiapa sahaja yang menoleh ke arahnya akan membuatkan pandangan singgah untuk kali yang kedua di wajah kacak Aqil. Jadi tidak hairanlah kalau Sara juga begitu.
            “Aqil.” Giliran Aqil pula yang memperkenalkan diri.
            “Sara bila lagi? Nak juga rasa nasi minyak Sara.” Saja aku memecah ruang, membuka topik perbualan.
            “Insya’Allah tak lama lagi. Bila cik abang dah sedar yang dia tak boleh hidup tanpa I.” Ada tawa di hujung kata-kata Sara itu.
            “Janganlah macam tu Sara, orang bercinta ni tak elok merajuk lama-lama. Kenapa nak siksa jiwa sendiri?” Aku sekadar meluahkan apa yang aku rasa. Pasti Aqil juga faham makna disebalik kata-kataku itu kerana sewaktu itu aku lafaskan Aqil menoleh memandangku tajam. Biarkan, memang sebenarnya kata-kata itu aku tujukan lebih kepada dirinya.
            “Don’t worry Nysa, I kenal sangat dengan dia” Balas Sara begitu yakin. Mana tidaknya, orang cantik seperti Sara masakan ada yang sanggup melepaskannya pergi begitu sahaja. Beruntung Sara, dalam apa jua keadaan, cinta pasti akan memihak kepadanya.
            “Nysa!”
            Aku menoleh ke belakang bila terdengar namaku dilaung kuat. Hadif! Senyumanku terus mekar bila melihat Hadif. Dia melambaikan tangannya ke arahku dengan senyuman lebar bersama seorang wanita di sisinya. Aku turut membalas lambaian tangan Hadif yang kelihatan bersungguh-sungguh itu. Hatiku begitu gembira dengan kehadiran Hadif. Aku sangkakan selepas kejadian semalam, tidak mungkin Hadif akan muncul di majlisku lagi! Rupa-rupanya Hadif tetap hadir. Ini membuatkan hatiku benar-benar senang dan lapang.
            “You all berbuallah dulu. Nysa nak ke sana kejap.” Kataku pada Aqil dan Sara. Aku ingin segera mendapatkan Hadif, satu-satunya kawan yang amat memahamiku. Gembira hatiku melihat Hadif turut meluangkan masa menghadiri majlisku ini.
            “Nak ke mana?” Soal Aqil. Baru sahaja aku ingin melangkah, tanganku ditarik Aqil. Serta merta aku berhenti tidak dapat bergerak.
            “Nysa nak jumpa Hadif sekejap.” Jawabku jujur, tangan Aqil masih kuat mengenggam pergelangan tanganku. Sakit mula terasa, aku cuba menarik tanganku perlahan minta dilepaskan.
            “Oh, Hadif. Kalau macam tu jomlah, abang pun nak kenal juga dengan orangnya.” Aqil segera mengenggam erat jari jemariku dan turut sama bergerak denganku untuk mendapatkan Hadif.
            Aku bingung dengan kata-kata Aqil. Bukan dia tidak kenal dengan Hadif, malah mereka sudah dua kali bertemu. Sekali di majlis persandingan adik angkat Hadif dan sekali lagi di hospital. Aku masih ingat peristiwa itu dengan jelas. Bukan itu sahaja, sudah berkali-kali juga aku bercerita kepadanya tentang Hadif bila dia sendiri mempersoalkan tentang kawan baikku itu. Jadi mustahil dia tidak mengenali Hadif lagi.
            “Dah lama sampai?” Soalku sebaik sahaja tiba di hadapannya.
            “Baru aje lagi. Tahniah ya Nysa. Harap kau bahagia dengan perkahwinan ni.” Hadif tersenyum sinis, seolah-olah mengerti hatiku saat ini. Matanya pula tidak lepas-lepas memandang genggaman tanganku dan Aqil yang bertaut sejak dari aku mula melangkah ke arahnya tadi.
            “Sudah tentu bahagia. Jangan risau, Nysa dah jadi isteri saya dan saya tahu macam mana nak jadi seorang suami.” Tiba-tiba Aqil bersuara, tetapi nada suaranya yang ditekankan itu menjadikan aku rasa bersalah pada Hadif. Takut juga kalau-kalau Hadif berkecil hati.
            “Yang ni tunang kau ke Dif. Wah, cantik orangnya patutlah kau berkenan.” Serta-merta aku lari daripada perbualan yang mungkin akan mencetuskan perang mulut seterusnya di antara Aqil dan Hadif.
            “Taklah ini adik bongsu aku, baru sampai KL. Dapat sambung belajar kat UITM.”
            “Hai kak, selamat pengantin baru.” Adik Hadif menghulurkan salam dan aku menyambut tangannya dengan senang hati.
            “Kenapa tak bawa tunang kau?” Tanyaku, namun Hadif hanya tersenyum, tiada jawapan diberikan.
            “Abang dah putus tunang kak.” Adik Hadif bersuara bila abangnya enggan memberikan jawapan.         
            “Putus tunang! Bila? Kau tak cerita kat aku pun Dif.” Terkejut aku bila mengetahuinya. Hadif langsung tidak pernah bercerita tentang perkara itu padaku. Setahuku Hadif baru sahaja melangsungkan pertunangnya.
            Hadif tersenyum kelat sebelum menjawab. “Tak ada apalah Nysa, dah memang tak ada jodoh aku dengan dia,” sayu suara Hadif tika ini.
            “Jangan risaulah Dif, bunga bukan sekuntum. Setakat orang macam kau ni, perempuan mana yang tak nak.” Aku cuba menenangkan hatinya. Pasti Hadif sedang bersedih dengan apa yang berlaku padanya dan aku sebagai kawan langsung tidak mengetahui perkara itu.
            “Kau okey kan?” Soalku lagi. Risau pula aku akan dirinya kini.
            “Nysa nak berborak kat sini sampai bila? Ramai lagi yang tunggu kita ni.” Celah Aqil sebelum sempat Hadif menjawab pertanyaanku.
            Aku tidak faham dengan Aqil, dirinya selalu saja tidak senang dengan Hadif. Entah apa masalah antara mereka berdua. Nak kata cemburu, itu adalah alasan terakhir yang akan aku senaraikan. Mana mungkin Aqil cemburukan Hanif. Pasti ada perkara yang disembunyikan mereka tanpa pengetahuanku. Tapi persoalannya apa?
            “Tak apalah Nysa, kita orang pun nak makan ni, nanti habis kau cuti kita jumpa lagi. Jaga hati kau baik-baik!.” Hadif masih lagi tersenyum memandangku, sedikit pun dia tidak memandang Aqil yang berada di sebelahku.
            “Nysa, jom!” Aqil terus menarik tanganku berlalu dari situ. Tidak sempat aku meminta diri daripada Hadif dan adiknya. Aqil... Kenapa dengan lelaki itu?

RAMAI saudara sudah beransur pulang, malam semakin larut. Sebaik sahaja menyusun rapi hadiah-hadiah yang diterima daripada tetamu aku merehatkan diri dia atas sofa di ruang tamu. Sungguh letih bergelar raja sehari. Aqil sudah lama masuk ke dalam bilik, sedikitpun tidak memberikan bantuan kepadaku ketika melihat aku lagi sibuk menyusun atur pemberian ramai. Sejak tadi mukanya masam mencuka. Aku sendiri tidak tahu kenapa? Entah  bila baru aku dapat melihat kembali senyumannya. Senyuman yang pada suatu masa dahulu telah melahirkan denyutan cinta dalam hatiku.
            Aku memandang kosong siaran di kaca televisyen. Tiada apa yang menarik perhatianku, namun aku masih setia menontonnya walaupun sudah hampir pukul dua pagi. Mata sememangnya telah lama berat, tetapi bila memikirkan Aqil ada di dalam bilik, langkahku menjadi lebih berat daripada mata. Kugagahkan juga mataku membuka seluas-luasnya. Malas aku mahu menunggu di dalam bilik. Pasti kehadiranku bakal hanya menganggu tidurnya. Jadi aku lebih rela menunggu kedatangan pagi di ruang tamu itu. Mujur juga semua penghuni rumah keletihan, jadi aku yakin tiada sesiapa yang akan turun ke ruang tamu pada waktu-waktu begini. Sekurang-kurangnya malam ini aku berjaya menjauhkan diri daripada Aqil. Malam-malam yang berikutnya, aku akan fikirkan bila ia tiba.
            Aku tersedar bila bahuku diciut. Mataku buka perlahan, wajah ayah muncul di depan mataku.
            “Nysa kenapa tidur kat sini?” Ayah benar-benar memeranjatkanku. Terkebil-kebil aku mencari alasan yang wajar.
             “Nysa…” Gagap aku berbicara, tiada jawapan yang dapat aku berikan. Aku mengeluh perlahan, aku hanya mampu mendiamkan diri. Ayah pula masih lagi berdiri memerhatikanku.
            “Nysa, jom naik tidur!” Suara Aqil yang baru sahaja keluar dari dapur membuatkan aku tersentak. “Eh, ayah tak tidur lagi?” Aqil mula menyapa ayah yang masih lagi berdiri di sebelahku.
            “Ya Allah, kamu berdua tak tidur lagi rupanya.” Ayah ketawa kecil. Pasti hatinya mula lega, jadi rasanya aku tidak perlu lagi menerangkan apa-apa.
            “Kami tengok tv tadi ayah, kononnyalah. Tapi, lastnya tv yang tengok kami. Dua-dua tertidur, tu yang baru nak naik ni.” Aqil terus bersuara dengan pembohongan itu. Sedikitpun tiada rasa bersalah atas pembohongan yang dilakukannya, mukanya biasa-biasa sahaja.
            “Kami naik dululah ayah.” Aqil menarik tanganku dan membawaku berlalu dari situ. Ayah menganguk perlahan, memberi keizinan bersama senyuman yang kuntum mekar.
            Mahu atau tidak aku terpaksa juga mengikut langkah Aqil memandangkan pandangan mata ayah mengekori gerak aku dan Aqil. Genggaman tangan Aqil masih erat berpaut kukuh pada genggaman tanganku seolah dia tidak mahu melepaskannya. Alangkah bahagianya kalau itu adalah hakikatnya, namun aku sedar itu semua hanya impian hatiku yang sendirian di sudut kecewa.
            Apabila pintu bilik ditutup rapat, genggaman tanganku dilepaskan. Aqil terus saja kembali ke katil lalu merebahkan dirinya di atas katil pengantin tanpa sebarang kata padaku. Sedikit pun Aqil tidak menoleh padaku yang hanya bersandar pada permukaan pintu. Ketika Aqil menarik selimutnya, perlahan-lahan aku membawa diriku mengambil tempat di atas kerusi meja solek yang terletak bersebelahan dengan katil. Kepala aku letakkan di atas meja solek itu bersama linangan air mata yang tiba-tiba saja gugur. Mengapalah aku yang dipilih untuk menghadapi ujian seberat ini. Hatiku tidak sudah-sudah cuba untuk mendapatkan jawapan itu. Apa yang pasti, aku akan selalu tabah menghadapi dugaan ini. Lagipun, aku sudah mempunyai rancangan tersendiri tentang perkahwinan ini dan yang lebih penting aku akan tetap berusaha untuk menunaikan semua janjiku.
            Semuanya sudah aku atur dengan begitu tersusun di dalam hati dan benakku. Pada saat ini, aku begitu jelas dengan apa yang harus aku lakukan dan aku akan berusaha keras membawa kebahagian kembali di hati Aqil. Kebahagian yag telah lama hilang daripada dirinya. Bermula dengan langkah pertama, mengusir keluar cintaku terhadap Aqil. Tapi bagaimana caranya mahu menghalau kasih yang kian hebat ini? Aku mula mempersoalkan, memikirkan cara terbaik untuk memadamkan lukisan cinta yang terukir indah di hati. Cuma ada satu caranya, menjauhkan diri! Menjauhkan diri? Dalam keadaan sekarang ini, mungkinkah bagiku untuk menjauhkan diri, menghilang daripada pandangan Aqil? Arghh… Aku tidak mahu memikirkan lebih-lebih, selagi ada cara aku akan mencuba. Natijahnya, biar masa yang menentukannya. Akhirnya aku terlena di situ, dibuai hanyut oleh kepekatan malam.



DERAIAN air yang singgah bertubi-tubi pada lantai bilik mandi mengejutkan aku daripada tidur. Segera aku membuka mata luas lalu membawa anak mata melihat jam yang terletak di atas meja sisi katil. Pukul 6.15 minit pagi. Aku menutup mulutku yang terbuka luas, masih lagi mengantuk mataku ini. Mungkin gara-gara  lewat tidur semalam. Kini pandangan aku alihkan pula pada pintu bilik mandi. Aku segera bangun dari duduk. Aku tidak mahu  berhadapan dengan Aqil. Aku lebih rela menggunakan bilik air di tingkat bawah. Mungkin ini tandanya aku sudahpun memulakan misi yang telah aku rancang sebaik sahaja aku melihat Aqil tiba di majlis pernikahan kami.
            Entah berapa lama aku harus berkelakuan begitu. Risau juga kalau-kalau ayah dan ibu menghidu keanehanku. Tapi aku tidak pernah lupa bahawa aku masih mepunyai sebuah senyuman untuk bersembunyi dan berselindung di sebaliknya. Akan aku pastikan ayah dan ibu tidak mengesyaki apa-apa.  Tuala dan sehelai pakaian aku ambil segera, membawanya keluar bersama menuju ke bilik mandi di tingkat bawah. Selesai mandi, aku naik semula ke dalam bilik. Aqil kuperhatikan sedang menunaikan solat subuh sebaik saja aku membuka pintu bilik. Jadi aku mengatur langkah perlahan, meletakkan baju kotor ke dalam bakul biru di tepi almari lalu mencapai telekung dan sejadah dari dalam almari. Sejadah aku bentangkan di penjuru katil kemudian aku tumpukan seluruh perhatianku pada  solatku, meninggalkan seketika hal dunia yang lebih banyak merunsingkan hati dan jiwa.
            Sewaktu aku melipat telekung yang sudah aku gunakan, sempat juga mataku melirik pada Aqil yang asyik menyaksikan panorama pagi melalui tingkap bilik. Pasti perkahwinan ini yang mengganggu fikirannya. Hatiku jadi sebak tiba-tiba, dengan mudah dapat merasai penderitaan yang terpaksa Aqil tanggung sendirian. Perlahan-lahan aku membuka almari bilik untuk kembali menyangkut telekungku. Aku mahu segera keluar dari bilik itu tanpa pengetahuan Aqil, tidak mahu ada bicara dengannya. Aku belum bersedia untuk bertentangan mata dengannya kerana pada ketika ini aku sedang berusaha sedaya upaya mengajar diriku untuk membuang semua getar setiap kali berhadapan dengan Aqil.
            “Abang harap Nysa faham kenapa abang tetap teruskan perkahwinan ni.”
            Kata-kata Aqil itu membuatkan tindakanku untuk memulas tombol pintu bilik terbantut sebaik sahaja selesai menutup almari pakaian. Aku faham, cukup faham mengapa Aqil tetap meneruskan perkahwinan ini. Semua itu sudah pasti kerana Lily. Aku tahu Aqil cuma mahu Lily mendapat pengajaran yang sewajarnya, agar Lily tahu bertapa Aqil marah atas keengganan Lily untuk pulang ke Malaysia seperti mana yang dijanjikannya.
Aku tidak mahu berbicara terus tentang perkahwinan ini kerana aku sendiri tidak tahu apa yang harus aku perkatakan lagi. Buat masa sekarang, aku memerlukan masa. 
            “Nasi dah jadi bubur. Tapi abang Aqil jangan risau, Nysa tahu had Nysa, Nysa tak akan ambil kesempatan atas perkahwinan kita ini!” aku terus melangkah keluar dari bilik, tidak mahu ada apa-apa perbincangan tentang perkahwinan bodoh ini.
            Ayah begitu selera menikmati juadah sarapan pagi. Mungkin kegembiraan mendapat menantu telah menambah seleranya lebih daripada biasa. Hanya aku yang rasa terseksa menelan setiap butir nasi goreng yang ada dalam pingganku. Aqil pula berjaya membawa wataknya sebagai seorang menantu dengan cukup cemerlang di hadapan ayah dan ibu. Lakonannya yang mantap dalam melayanku di meja makan itu pastinya telah mengaburi pandangan ayah dan ibu.
            “Kamu berdua ni dah ada rancangan nak berbulan madu ke belum?”
            Aqil tersedak sebaik saja mendengar soalan yang ayah ajukan. Dan aku terpaksa juga menepuk-nepuk belakang Aqil.
            “Ayah ni, kami baru aje kahwin, penat bersanding pun belum habis lagi dah nak berjalan-jalan pula.” segera aku mematikan soalan yang hanya membuatkan Aqil tidak selesa. Aku tidak mahu ke mana-mana berdua bersama Aqil, kini aku hanya mahu menyambung jarak dengannya agar lebarnya makin luas dan membuatkan Aqil rasa tenang dengannya.
            “Baru kahwinlah bagus pergi bulan madu, takkan nak tunggu dah ada anak baru nak pergi berbulan madu.” ayah masih lagi meneruskan topik bulan madu itu. Ibu pula hanya tersenyum seolah berpihak pada ayah.
            “Insya’Allah ayah, bila ada cuti nanti, Aqil bawa Nysa bercuti. Aqil tak banyak cuti ayah.” Aqil juga berusaha menyeret topik yang pastinya tidak disukainya itu keluar daripada perbualan pagi itu.
Aku pula hanya memandang sepi teh susu di dalam cawan milikku. Saat ini bermacam-macam perkara yang bermain di mindaku, namun yang paling utama adalah bagaimana caranya untuk menjauhkan diri daripada Aqil. Ianya kelihatan mudah untuk dilakukan, hakikatnya ianya adalah perkara yang sukar memandangkan Aqil kini umpama bayang-bayang yang sentiasa mengekori langkahku. Namun itu bukanlah alasan untuk aku memaksa Aqil untuk hidup dalam cintaku. Tidak! Itu tidak akan aku lakukan!
            “Lepas solat zohor nanti kita bertandang rumah pak long kamu, tunjuk muka. Kita pergi naik satu kereta aje. Ayah dah telefon pak long kamu cakap yang kita nak datang, nanti kamu berdua siaplah ya.”
            Maklumat yang baru ayah sampaikan itu membuatkan aku rasa gusar. Bagaimana harus aku pamerkan adegan bahagia bergelar pengantin baru di hadapan pak long nanti? Aqil pula, mahukah dia memberikan kerjasama, melakonkan watak utama itu dengan jayanya? Dengan hati yang semakin berat, aku terus mengangkat pingganku lalu membawanya ke dapur. Entah apa yang akan terjadi nanti?

AKU mengeluarkan bajuku dari almari untuk digosok. Melihat beg pakaian Aqil yang turut ada di sebelah almari itu aku jadi teringatkan dirinya. Baju apa yang ingin dipakainya? Aqil masih belum pulang dari surau, mengikut ayah mengerjakan solat zohor. Aku jadi serba salah, memandangkan kini aku sudah pun bergelar isterinya yang sah, maka adalah wajar untuk aku menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan olehnya. Namun ada rasa tidak ingin campur dalam urusan kehidupannya. Mungkin kerana hatiku masih marah ataupun mungkin juga kerana aku sememangnya tidak ingin Aqil menganggap aku sebagai seorang waniita yang merimaskan dirinya.
            Aku tahu Aqil hanya mempunyai ruang yang lebar tatkala aku berada jauh dari sisinya. Jika aku ada berhampiran dengan dirinya, pasti saluran pernafasannya menjadi terlalu sempit dengan kehadiranku itu kerana aku bukanlah Lily yang sentiasa dapat memberikan hari-hari yang indah dalam hidupnya, yang selalu mampu menceriakan dan membahagiakan jiwanya dengan senyuman manis. Masih terbayang-bayang dalam ingatanku satu-persatu perkataan yang dicoretkan Lily dalam lembaran emailnya buat Aqil.
          Bukankah u pernah katakan pada i dulu, hanya i yang mampu memberikan hari-hari yang indah dalam hidup u? Hanya i yang selalu mampu untuk menceriakan dan membahagiakan jiwa u dengan senyuman manis i? Tapi kenapa dengan kesalahan i yang kecil tu, u sanggup biarkan hidup u merana tanpa i? U takkan mampu hidup tanpa i, berhenti tipu diri u.
            “Jauh termenung, teringat kat siapa pula tu?”
            Aku tersentak, terbang segala ingatanku pada email Lily itu apabila terdengar suara Aqil. Terlepas penyangkut baju yang tadinya aku pegang kemas. Aqil menanggalkan songkok di kepalanya lalu dia berjalan dan meletakkan songkok itu di atas meja solek.
            “Nysa nak iron baju ni, abang Aqil nak pakai baju apa?” soalku sambil mengangkat kembali baju kurung hijau yang terlepas daripada tanganku. Akhirnya aku beralah dengan rasa hati yang pada mulanya enggan memperdulikan Aqil.
            “Baju apa-apa pun tak apa, carilah dalam beg tu.” balas Aqil acuh tak acuh  sebelum melangkah masuk ke dalam bilik mandi.
Lantas aku mengambil peluang itu untuk membuka beg pakaiannya dan tanganku terus saja menarik keluar baju dan seluar yang duduknya pada susunan yang paling atas. Tidak ada langsung keinginan untuk memilih apatah lagi cuba memastikan bahawa pakaian yang akan disarungkan pada badannya nanti sama padan dengan pakaianku. Tidak sampai pun sehari aku bergelar isterinya, badai derita sudah mula aku rasa. Jadi mungkinkah bagiku terus bertahan untuk beberapa ketika lagi, sementara dapat aku kembalikan kebahagiaan hidup seperti mana yang aku janjikan dahulu?

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment