Monday, October 1, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 16


16
            Hari ini aku rasa kurang bersemangat untuk memulakan hari. Sejak Zulhairi menceritakan yang dia dinaikkan pangkat dan akan bertukar ke Johor Bahru, aku terasa seperti semangatku sudah terlebih dahulu terbang menghilangkan diri. Dahulu semasa dia ingin ke UK tidak pula aku terasa sebegini, walau ada juga rasa berat hati, tapi tidaklah sampai seteruk ini. Kenapalah dengan aku ni? Aku tahu, tidak wajar rasa-rasa sini singgah di hati. Seharusnya aku bergembira dengan berita yang Zulhairi sampaikan, kejayaannya sama juga kegembiraan buatku.
            Buka sahaja pintu rumah terpancul wajah Zulhairi di pagar rumahku dengan senyuman nipisnya. Aku bergegas membukakan pagar. Amira yang sudah siap dari tadi segera berjalan mengekori langkahku. Apabila di terlihat akan Zulhairi, dengan penuh riang Amira memanggil nama Zulhairi dengan lambaian tangannya sekali.
            “Kenapa?” Soalku setelah pintu pagar itu aku buka luas. Bukan sahaja untuk memudahkan aku berbual dengan Zulhairi tapi juga memudahkan aku untuk membawa keluar keretaku sebentar nanti.
            Dia mencuit pipi Amira terlebih dahulu sebelum menjawab soalan dariku. “Nak tumpang kau ke pejabat, boleh?”
            “Kereta kau mana?” Soalku, tidak pernah-pernah mahu menumpangku ke pejabat tiba-tiba hari ini lain pula mahunya.
            “Ada, saja aku nak menyusahkan kau hari ini. Boleh tak ni?”
            “Kau nak susahkan aku hari-hari pun boleh, tapi cuba cerita dulu mana kereta kau?” belum sempat Zulhairi menjawab soalanku, Amira yang tadinya hanya memerhati sudah mula menarik-narik tanganku.
            “Along cepatlah nanti Mira lambat.” Rengek Amira. Kemudian tanganku dilepaskan.
            Aku kembali cuba mencapai tangan Amira, namun belum sempat tanganku memegang tangannya, dia terlebih dahulu menarik tangan Zulhairi supaya jalan beriringan dengannya ke keretaku.
            “Abang Zul, Amira nak duduk depan dengan abang Zul boleh tak?” Amira meminta izin pada Zulhairi sewaktu mereka beriringan ke keretaku. Aku lihat Zulhairi mengangguk tanda setuju.
            Aku turut masuk ke dalam kereta dan sedia memandu ke tadika Amira. Tidak sampai dua minit pemanduan, aku sudah pun boleh sampai ke tadikanya. Aku mengerling memandang Amira yang sedang berbual dengan Zulhairi. Semua yang dia nampak di luar kereta ingin diceritakan pada Zulhairi, dan Zulhairi pula melayan setiap kerenahnya.
            Melihat betapa rapatnya hubungan Zulhairi dengan adik-adikku terutamanya Amira membuatkan aku merasa makin galau dengan pemergiannya ke Johor nanti. Aku pasti Amira akan menangis sama seperti yang berlaku di KLIA dua tahun lalu. Kali ini mungkin tangisannya makin lebat dan sukar untuk diredakan memandangkan Zulhairi akan menetap terus di sana. Tapi Amira tetap harus menerima hakikat itu, bukan sahaja Amira malah aku juga perlu menerima hakikat itu, Zulhairi bukan milik kami dan bukan selamanya boleh bersama-sama dengan kami. Dia punya kehidupannya sendiri yang perlu difikirkan.
            Aku memberhentikan kereta di hadapan tadika Amira. Sewaktu aku ingin membuka tali pinggang keledarku, Zulhairi terus menghalang pergerakkanku.
            “Tak apa biar aku yang hantar Amira masuk.” Katanya padaku sebelum dia kembali memandang Amira pdi ribaannya. “Abang Zul hantar sampai pintu okay.” Zulahiri memaklumkan pada Amira, dan Amira mengangguk sambil tersenyum lebar tanda senang hati.
            “Cikgu Amira cantik tak?”
            “Cantik! Tapikan Abang Zul… Along lagi cantik. Cantik sampai berganda-ganda.” Jawapan Amira membuatkan Zulhairi ketawa besar.
            Aku juga tersenyum mendengar perbualan mereka berdua sewaktu mahu turun dari kereta. Aku memerhati setiap gerak geri Zulhairi yang mendukung Amira sebaik sahaja mereka keluar dari keretaku. Sampai sahaja di hadapan pintu tadika itu, guru kelas Amira telah sedia menanti di situ, tersenyum menerima kehadiran Amira.
Zulhairi meleraikan dukungannya dan kemudian dia tunduk menyamakan kedudukannya dengan Amira. Amira terus mendapatkan tangan Zulhairi, bersalaman dengannya. Kemudian Amira mengucup pipi Zulhairi.  Zul tersenyum lagi. Apabila Amira mula melangkah masuk ke dalam, Zulhairi bingkas bangun dan memberikan lambaian selamat tinggal pada Amira.
            Bibirku juga tersenyum melihat kemesraan yang sememangnya sudah terjalin antara mereka sejak dahulu lagi. Susah untuk mencari lelaki sebaik Zulhairi pada zaman kini. Dia bukan sahaja menerima aku sebagai kawan tapi dia juga menerima adik-adikku dengan baik.
            “Jom.”
            Aku meneruskan pemanduan selepas Zulhairi sudah menaiki keretaku. “Kereta kau mana sebenarnya?”
            “Aku hantar servis semalam.”
            “Amboi lambat lagi kot kau nak pergi Johor tu, awalnya hantar servis.”
“Kau ni boleh tak jangan sebut-sebut pasal Johor tu. Kau ni… daripada good mood jadi bad mood pula aku.” Wajah cerianya selepas menghantar Amira tadi sudah hilang mendengar kata-kataku.
            “Lah, kenapa pula?” pelik betul dengan dia ni, sekejap sahaja boleh berubah moodnya. Bukannya aku bercakap benda-benda yang menyakitkan hati pun.
            Dia mengeluh sebelum memulakan kata. “Aku malas nak cerita pasal Johor tu.”
            “Kenapa pula? Kau tak buat keputusan lagi ke nak terima ke tak kenaikan tu?” Aku rasa sejak perbincangan aku dan dirinya di rumahnya baru-baru ini dia sudah membulatkan tekad untuk menerima tawaran itu. Rupanya dia masih lagi berbelah bagi. Susah betul untuknya membuat keputusan kali ini.
            “Tak tahu lagi, tengok dululah.” Separuh hati sahaja Zulhairi menjawab.
            Jawapan yang dia berikan tidak dapat memuaskan hatiku, jadi aku ajukan lagi pertanyaan padanya. “Mak kau dah tahu pasal tawaran tu?”
            Dia mengangguk perlahan.
            “Mak kau kata apa?”
            “Mak sukalah aku dapat tawaran tu. Mak kata susah nak dapat tawaran macam ni, nak-nak baru aje kerja kat situ.”
            “Hah, betullah kata mak kau tu.” Aku mengiakan kata ibunya. Ternyata makcik Khamsiah sependapat denganku.
            Zulhairi membetulkan kedudukannya agar benar-benar mengadapku. “Kau nikan dari hari tu beria-ia nak aku pergikan. Kau tak risau ke kalau aku pergi sana nanti?”
            “Nak risaukan apa pula?” keadaan jalan yang agak sesak pagi ini memudahkan aku untuk menumpukan perhatian pada perbualanku dengan Zulhairi. Sekali sekali aku juga turut memandang dia yang berada di sebelahku.
            “Kau lupa ke, kan aku ni satu-satunya member baik kau. Kalau aku dah pergi sana siapa nak jadi kawan kau lagi?”
            Aku sudah tergelak besar. Alahai Zulhairi ni, kalau iye pun janganlah buat alasan klise macam itu. Macam budak-budak pula. Walaupun aku memang berat hati melepaskan dia pergi, tapi tidaklah aku terfikir sampai sebegitu sekali. “Wei, Johor tu dalam Malaysia juga tau. Bukan kau nak pergi benua lain pun. Kalau kau pergi benua lain pun. Tu… telefon, fb, twitter, instagram kau kan ada. Takkan terputusnya hubungan aku dengan kau.” Aku cuba berlagak ceria saat ini, sedangkan dalam beberapa hari kebelakang ini, aku rasa akulah manusia yang paling tak senang duduk. 
            “Susah betullah nak cakap dengan kau ni.” Balasnya pantas. Nampaknya dia sudah tiada idea untuk membalas setiap kataku, kerana setiap yang aku katakan ada kebenarannya.
            “Aku cakap benda yang betul.” Aku mendiamkan diri selepas tu, dia juga begitu mendiamkan diri dan hanya memandang jalan raya yang penuh sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu ke destinasi masing-masing.
            “Eh, aku rasakan bila aku dah pergi Johor nanti mesti pakcik Malik tu kacau kau lagi kan.” Tiba-tiba sahaja ayat yang kurang sedap didengar ini keluar dari mulur Zulhairi.
            Ini yang aku lemah. Kenapa dia mengungkitkan tentang orang tua miang yang duduk selang lima buah rumah dari rumahku itu pada waktu ini. Segera terbayang senyuman gatal orang tua itu di ruangan mataku. Pantas aku mengelengkan kepala. Cuba menempis bayangan yang tidak enak itu dari ruangan mataku.
            “Takkan dia nak kacau aku lagi kot. Kan kau dah warning dia dulu. Dah lama dah dia buat tak nampak je bila terserempak dengan aku.” Kataku, bukan sahaja untuk meredakan kebimbangan Zulhairi tapi juga untuk meredakan perasaanku sendiri. Teringat kembali sewaktu lelaki itu cuba untuk memikatku. Macam-macam yang dia berikan padaku dari makanan sampai pakaian, namun tiada satu pun yang aku terima. Nasib baik Zulhairi yang menjadi heroku menyelamatkanku. Mujur juga isterinya tidak mengetahui hal tersebut, jika tidak mahu satu taman perumahan kecoh dibuatnya.
            “Yelah, dia tak kacau kau lagi sebab aku ada. Kalau ada dah tak ada nanti mesti dia buat hal balik.” Serius sahaja dia membuat hipotesisnya.      
            “Takkan kot...” Ish, aku tak rasa apa yang dikatakan Zulhairi itu akan berlaku. Tapi jika ianya berlaku juga, aku juga yang kena berhadapan dengan masalah besar itu seorang diri. Bahaya juga jika dibiarkan begini.
            “Aku kena buat sesuatu ni.” Pandangannya tajam menikam ke hadapan.
            Aku sudah tersenyum kecil melihat tingkahnya. Risau betul dia. Memang kawan yang baik Zulhairi ini. “Ke kau ni jelous sebenarnya dengan Pakcik Kamil tu?” tercetus idea untuk mengenakan dirinya.
            Terus Zulhairi memandangku. “Kenapa pula aku nak jelous dengan dia?”
            “Yelah dia nak ngorat aku, mestilah kau jelouskan?” sakatku lagi.
            Kelam kabut dia mahu mencari jawapan. “Er, mana… ada? Dari aku jelous dengan dia baik aku jelous dengan Wafi. Hah, yang tu baru pesaing namanya.” Cepat pula dia menyediakan jawapan.
            Aku mencebik bibir, aku fikir mahu kenakan dirinya tapi akhirnya aku pula yang terkena. Malas untuk berbicara panjang tentang Wafi aku terus mendiamkan diri. Tidak mahu menyambung perbualan dengannya lagi.

KELUAR sahaja dari pejabat aku sudah nampak kelibat Wafi terpacak di hadapan ruang pejabatku. Madihah yang berjalan seiringan denganku menyiku lenganku sewaktu dia melihat kehadiran Wafi. Aku membesarkan mata padanya yang sedang tersengih-sengih memandangku.
            “Ada date ke hari ni. Patutlah tak sabar nak balik.” Bisiknya padaku.
            “Tak ada maknanya.” Aku pula menyiku lengannya. Kebelakangan ini suka sangat dia menyakat aku dengan Wafi. Memang nak kena Madihah ni.
            “Hai.” Sapa Wafi sebaik sahaja aku dan Madihah keluar dari pintu kaca ini.
            “Hai.” Balasku dan Madihah serentak. Dalam mindaku sudah bermain dengan pelbagai persoalan. Rasanya sudah lama aku tidak bertembung dengannya di wisma ini, tiba-tiba terpancul pula dia di depan pejabatku petang ini.
            “Ihah balik dulu ye. Assalamualaikum.” Terus sahaja Madihah berlalu sebaik sahaja melambai padaku. Tidak sempat aku menghalangnya cepat sahaja dia menaiki lif untuk turun ke bawah.
            Aku cuba mencari idea untuk segera berlalu dari sini. Bukan apa, rasanya sebentar lagi lagi ramai rakan sepejabatku yang yang pulang. Jika aku dan Wafi masih berada di sini pasti aku menimbulkan gosip di pejabatku esok pagi. Bukan boleh percaya sangat rakan sepejabatku ini, bila sampai sahaja hal sebegini laju sahaja berita itu akan tersebar. Aku tidak mahu mereka semua salah faham dengan hubunganku dengan Wafi yang tidak lebih dari sekadar kawan sahaja.
            Baru sahaja aku mahu membuka bicara dengan Wafi, tekakku terasa seperti tersekat sesuatu apabila terlihat Encik Fahmi yang baru keluar dari pejabat berjalan menuju ke arahku dengan senyuman yang menguntum mekar.
            “Tak balik lagi?” Soal Encik Fahmi padaku selepas berjabat tangan dengan Wafi.
            “Nak baliklah ni Encik Fahmi.”
            “Heh, bukan Wafi nak bawa keluar jalan-jalan dulu ke? Takkan nak balik rumah dah.” Soalan dari Encik Fahmi itu membuatkan aku memandang Wafi. Mereka saling mengenali ke?
            “Encik Fahmi kenal Wafi ke?”
            “Yup” Wafi menjawab bagi pihak Encik Fahmi. Dan Encik Fahmi mengangguk dan mengiakan kata-kata Wafi itu.
            Aku turut mengangguk, tak sangka pula yang Wafi mengenali encik Fahmi.
            “Tak apalah saya nak balik dulu. Kau Wafi jaga elok-elok staff kesayangan aku ni.” Selepas memohon diri, sempat lagi Encik Fahmi memberi peringatan pada Wafi.
            “Amboi, kau jangan sayang lebih-lebih Mi, orang kat sini tengah marah ni.” Balas Wafi segera.
            Encik Fahmi tergelak menerima gurauan Wafi. “Alah baru sikit dah jelous. Cemburu butalah kau ni.”
            “Si cemburu tu memang tak ada mata.”
            Suasana saat ini memang kecoh dan riuh dengan tawa kedua-dua lelaki di depanku ini. Aku hanya mengukirkan senyuman nipis. Sebenarnya aku tidak suka dengan jenaka yang mereka sedang lakukan saat ini. Rasa seperti pelik sahaja apa yang sedang mereka bualkan. Aku tidak berniat untuk mencelah apatah lagi turut menyambung jenaka itu.
            “Okaylah aku balik dulu.” Encik Fahmi berjabat tangan sekali lagi dengan Wafi dan aku hanya melemparkan senyuman kecil padanya, rasanya macam tiada kata yang terluah saat ini setelah mendengar gurauan mereka tadi.
            “Untuk awak.” Wafi menyerahkan sebuah bungkusan berwarna biru padaku.
            “Apa ni?” Aku tidak menyambut huluran yang dia berikan. Aku hanya memandang beg kertas berwarna biru itu.
            “Kek lapis Sarawak. Ambillah.”
            “Mana dapat?” Aku masih lagi ragu-ragu untuk menerima pemberiannya. Mungkin kerana ini kali pertama dia memberikan sesuatu padaku jadi aku agak teragak-agak menerima pemberian darinya.
            “Saya outstation kat Sarawak. So, beli oleh-oleh sikit untuk awak.”  Dia masih lagi mengunjurkan tangannya padaku dan akhirnya aku menyambut juga pemberiannya itu.
            “Oh, patutlah lama tak nampak kau.”
            “Kenapa, Su cari saya ke? Rindu ye?” Soal Wafi membuatkan aku terdiam seketika.
            Menyesal pula aku mengeluarkan kata sebegitu sebentar tadi. Tidak pasal-pasal dia sudah salah faham dengan diriku ini. Tidak seharusnya aku membuatkan dia salah faham denganku. Aku tidak berniat mahu menimbulkan sebarang salah faham antara aku dengan dirinya di kemudian hari.
            “Su, Su…”
            Aku tersentak dan terus memandang Wafi apa bila terdengar suaranya seperti memanggilku. “Apa dia?” terus aku menyoal. Rasanya seperti dia ada berkata sesuatu denganku tapi kerana asyik memikirkan soalannya tadi membuatkan aku termenung seketika.
            “Saya tanya, awak nak terus balik rumah ke, nak ikut cadangan Encik Fahmi awak tadi?” dia mengulang semula pertanyaannya padaku tadi.
            “Encik Fahmi bagi cadangan apa?” Aku tidak dapat menangkap kata-katanya. Encik Fahmi ada memberikan apa-apa cadangan ke sebentar tadi? Rasanya macam tak ada.
            “Kita pergi jalan-jalan dulu sebelum balik.” Dengan sengihan yang panjang dia menyatakan saranan itu padaku.
            “Kalau saranan tu, memang tak boleh. Aku kena balik awal, adik-adik aku kat rumah tu tak ada siapa nak jaga.” Bukan aku sengaja memberikan alasan untuk mengelak keluar bersama-sama dengannya tapi itu memang kebenarannya. Jika tidak hal yang mustahak aku tidak akan membiarkan mereka tinggal bertiga sahaja di rumah itu.
            “Tak apalah kita bawalah dia orang sekali.” Cadang Wafi pula.
            Wafi ini memang jenis yang tidak mudah mengalah. Ada sahaja cadangan yang akan dia berikan asalkan dia dapat apa yang dia mahukan. Semua itu menyebabkan otakku terpaksa bekerja keras jika berhadapan dengannya, mencari seberapa banyak alasan yang logik dan bernas untuk menolak kemahuannya yang tidak dapat aku turuti.
            “Tak bolehlah Wafi, lagipun aku memang terus balik rumah selalunya lepas waktu pejabat.” Tanpa menunggu balasannya aku terus berlalu menuju ke arah lif dan dia juga turut mengikut langkahku.
            “Erm, okaylah kalau macam tu, tapi sabtu ni Su free tak?” dia masih terus berusaha mengajakku walaupun baru sebentar tadi aku menolak pelawaannya.
            “Ahad ni… Tak tahu lagilah.” Aku terus naik lif yang sudah terbuka pintunya. Kalau boleh aku mahu segera beredar dari sisinya. Aku tahu tidak selamanya aku boleh menolak pelawaannya kerana aku sudah menerimanya sebagai kawanku jadi aku tidak seharusnya meletakkan jarak antara aku dan dirinya sebegini.
            “Janganlah macam tu, awak ni macam tak sudi nak berkawan dengan saya je.” Sayu sahaja kedengaran suaranya kali ini.
            Aku sudah memandang beberapa orang yang berada di dalam lif ini. Pastinya mereka semua dapat mendengar kata-kata Wafi itu tadi, dalam ruangan sesempit ini segala perbualan akan dapat didengari dengan mudah oleh orang lain.
            “Boleh tak ni?” dia masih berusaha mendapatkan persetujuan dariku.
            “Tengoklah dulu macam mana. Aku tak janji.” Kataku sambil segera keluar dari lif.  Hanya itu yang mampu aku katakan saat ini. Kalau aku menolak sekalipun kali ini pasti dia mempunyai idea lain untuk membuatkan aku setuju dengan pelawaannya.
            “Su!”
            Aku berpaling memandang belakang apabila mendengar namaku diseru. Zulhairi sedang keluar dari lif dan berjalan menuju ke arahku dan Wafi yang sedang memandangnya. Macam mana aku boleh tidak perasan dirinya berada di dalam lif yang sama aku naiki tadi.
            “Lajunya jalan,” sapa Zulhairi sebaik sampai di hadapan kami.
            “Tak… aku… aku nak cepat ni. Nak balik.” Tergagap-gagap aku menjelaskan padanya. Aku tidak tahu kenapa, tapi setiap kali apabila dia terserempak dengan aku dan Wafi berdua begini aku akan menjadi tidak keruan. Mengalahkan si kekasih yang berlaku curang.
            “Kau nak tinggalkan aku ke? Kan hari ni aku tumpang kau.” Zulhairi mengingatkanku.
            Ya’ Allah, aku benar-benar lupa yang Zulhairi menghantar keretanya ke bengkel dan dia akan menumpangku balik dari pejabat hari ini seperti pagi tadi. Nampak sahaja Wafi berada di hadapan pejabatku tadi terus aku terlupa dengan janjiku pada Zulhairi pagi tadi. “Eh, mana ada aku lupa. Aku nak tunggu kau kat lobilah ni.”
            “Ye ke?” Zulhairi masih lagi cuba mengujiku.
            “Yelah.” Aku cuba menyakinkannya.
            “Kau orang datang kerja sekali ke?” Wafi pula yang menyoal.
            “Ha’ah. Kereta aku kat bengkel, tu yang tumpang Su hari ni.” Zulhairi terlebih dahulu menjawab soalan Wafi itu.
            “Okaylah, aku balik dulu. Su, jangan lupa ye janji kita sabtu ni. Assalamualaikum.” Terus sahaja Wafi berlalu meninggalkan aku dan Zulhairi yang sudah tentu banyak persoalan di benaknya mendengarkan kata-katanya sebentar tadi.
            Aku tidak sempat untuk berkata apa, susah betul untuk memahamkan Wafi yang aku sememangnya tidak mahu ke mana-mana Sabtu ini. Dia meninggalkanku dengan sebaris ayat itu seperti mendesak aku mengikut kata-katanya pula. Macam mana aku mahu menolak lagi kali ini.
            “Kau janji apa dengan dia?”
            “Tak ada apalah. Dah jom balik.” Aku mengelak untuk menjawab soalan Zulhairi itu dengan segera mengajaknya pulang. Aku terus berjalan mendahuluinya, lagi lama kau menanti di sini lagi banyak soalan yang akan dia selidik nanti.
            “Apa tu?” Zulhairi memuncungkan bibirnya pada beg kertas yang berada di dalam gengaman tangan kananku.
            “Kek lapis.”
            “Siapa bagi?”
            Nak beritahu perkara yang sebenar atau tidak? Tapi tak baik pula jika aku menipu dirinya. Tapi kalau aku bagi tahu perkara yang sebenar makin banyak pula soal jawabnya nanti. Tak apalah, baut apa nak rahsiakan pun. Aku membuat keputusan. “Wafi.”
            “Apasal pula dia bagi kau kek lapis tu?” Zulhairi masih lagi menyoal.
            Kan aku sudah cakap, Zulhairi ni, jika dia tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara dia akan terus bertanya dan mengorek rahsia itu sampai dapat. “Kan dia outstation kat Sarawak hari tu. Tu yang dia bawa oleh-oleh untuk aku ni.” Aku harap penerangan aku ni akan memuaskan hatinya dan tidak lagi bertanya pelbagai soalan.
            “Tapi kat aku tak ada pula dia bagi oleh-oleh.”
            “Alah dia terlupalah tu, esok-esok dia bagilah kat kau.”
            Zulhairi termenung seketika seperti sedang memikirkan sesuatu. Aku hanya membiarkan sahaja dia begitu, kalau aku mengeluarkan sebarang soalan padanya nanti, lagi banyak pula soalan yang akan dia keluarkan untukku.
            “Wei, kejap.” Zulhairi yang sudah membuka pintu keretanya berhenti seketika dan memandangku yang juga sudah terbantut niat untuk masuk ke dalam kereta.
            “Kenapa?”
            “Kau ada apa-apa ke dengan Wafi?”
            Aku tidak sangka perkara itu yang bermain di mindanya. “Mana ada apa-apa.”
            “Tapi kebelakang ni kau orang macam ada sesuatu je.”
            Aku tahu apa sebenarnya yang bermain di minda Zulhairi ini. Sampai begitu sekali tangapannya pada hubunganku dan Wafi. “Mana ada apa-apa.” Aku sangkal keras.
            “Ye ke? Kau ni macam sembunyikan sesuatu pada aku je.” Wajahnya semakin mengambar yang dia benar-benar mencurigai diriku.
            “Mana adalah, kau ni… Dah jom balik.” Aku terus masuk ke dalam kereta. Aku sudah malas mahu menyakinkannya. Jika dia tidak mahu mempercayaiku, tidak guna aku mahu cuba terus menyakinkannya.
            “Woi, cepatlah kau nak balik tak?” aku menjerit memanggilnya yang masih lagi berdiri di luar kereta.
            Masuk sahaja dia ke dalam keretaku aku terus meneruskan pemanduan. Niatku untuk bertanyakan tentang tawaran kerjanya terbantut kerana aku takut jika aku membuka kisah kerjanya nama Wafi pula yang akan muncul dalam perbualan kami nanti. Bila nama wafi terkeluar pasti dia akan mengungkitkan soalannya tadi padaku. Untuk mengambil langkah yang selamat aku hanya mendiamkan diri di sepanjang perjalanan pulang. Sungguh aku tidak suka nama Wafi dibangkitkan apabila aku ada bersama Zulhairi. Entah kenapa begitu, aku pun tak tahu.

Bersambung....

Kata AH:
Selamat Membaca :)
            

6 comments:

nur fakhariah said...

alahai su..su, blur nya ngan perasaan sendiri...tu tandanya dah ada rasa cinta..kak ,cpt sambg yer..makin best nih :-)

Eppy Safri said...

betui ker si su ader hati ngan wafi.. tp ermmmm
zul nk pi johor gak ker... ishhh

Mummy Hanan said...

Adah, rasa geram ada jugak kat Su tu...rasa tak suke kat Wafi ada jugak..... rasa kesian kat Zul tu ada jugak.... so kesimpulannya : sambung ceta nie cepat2....

Lau boleh nak yg hapy2 antara Su dan Zul...hehehehe.... tak nak masukkan Wafi tuh.... * wah ayat akak...mcm jahat kan *

n satu lagi, ceta nie ada berapa episod? nie ayat org yg dah sabar....hehehe

Zalida said...

su saja buat2 blur tu.... Zul pun cepat lah bertindak...jangan sampai terlepas pulak.

Anonymous said...

Kalau gini gayanya, sure si zul berat hati nak pergi ke JB... Maklumler takut Su akan berubah hati & tersuka pulak kat wafi... Wafi pulak dah berani nak memulakan aksi2 utk memikat hati su...

Samada wafi atau zul, dua2 pun ok... Cuma yg mana satu akan dpt menerima su berserta package buy 1 get 3 free... Hihihi....

Anonymous said...

propose je r su tu zul oiii,.fahamkan su btol2 y ko suka dia,.ni cam maen tarik tali je,.kne plan cpt2 sblm kne kebas ngan wafi keke

Post a Comment