Thursday, September 20, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 15


15
Kalau kau terus terang dgn aku kan senang, yg kau nak rahsia2 tu knp? Bukannya aku nak kacau pun!

            Mesej yang aku terima dari Zulhairi malam tadi aku baca sekali lagi. Itu satu-satunya mesej yang aku terima daripada dia sejak kami sama-sama makan tengah hari semalam. Rasanya dari petang sampai ke malam aku mesej dia, berpuluh-puluh mesej, dan hanya satu saja yang dia balas. Itu pun lewat malam, lepas tu langsung dia tak balas segala mesejku. Aku telefon pun dia tak angkat, dia biarkan sahaja telefonnya berdering dan membiarkan aku menunggu dia menjawab panggilan. Nampak sangat yang dia marahkan aku. Atau dia mahu membalas dendam kerana aku tidak menjawab panggilannya semalam? Tapi tidak mungkin dia melakukan sebegitu padaku. Pagi ini aku cuba menghubunginya sekali lagi, tapi dia sengaja mematikan telefon bimbitnya. Beria-ia benar dia mahu mengelakkan diri dari aku. 
            “Along, Amira dah siap.” Amira terus meluru memeluk kakiku.
            “Dah, dah pergi masuk dalam kereta cepat, nanti lambat.” Aku terus meleraikan pelukan Amira. Kalau dilayan makin lambat dia sampai ke tadikanya.
            Melihat dia sudah masuk ke dalam kereta aku pun turut masuk ke tempat pemandu. Belum sempat aku mengerakkan kereta, telefon bimbitku berbunyi nyaring. Aku tersenyum melihat nombor telefon rumah Zulhairi yang tertera. Pasti dia menghubungiku melalui talian rumahnya. Huh, kedekut betul Zulhairi ni, bukan nak pakai telefon bimbit sendiri.
            “Assalamualaikum. Dah habis merajuk?” aku terus menerjah kerana terlalu gembira mendapat panggilan darinya.
            “Waalaikumusalam. Su, siapa yang merajuk?”
            Aku sudah terdiam. Alamak, mak Zulhairi rupanya bukan dia. Adui, macam manalah aku nak menjawab dengan makcik Khamisah ni. Macam manalah aku boleh terfikir yang Zulhairi yang menghubungiku melalui talian rumahnya sedangkan sepanjang aku berkawan dengannya boleh dihintung dengan jari hanya beberapa kali sahaja dia menghubungiku menggunakan talian ini.
            “Siapa yang merajuk Su?”
            Ya’Allah, cepatlah idea sampai ke benakku ini, aku tidak tahu apa yang aku harus jawab pada makcik Khamisah ni.
            “Er… tak… ni… er… Tak ada siapa-siapalah makcik. Saja je. Kenapa ye makcik call Su?” Dalam hati aku berdoa agar makcik Khamisah tidak bertanya lebih-lebih atau cuba mengorek rahsia dariku.
            “Su dah keluar rumah ke?”
            Aku menarik nafas lega apabila makcik Khamisah tidak bertanya lanjut. “Baru nak keluar rumah makcik, kenapa?”
            “Tak, ni hah, si Zul. Dia tertinggal Briefcase dia ni kat sofa. Makcik cuba telefon dia tak dapat-dapat pula. Ni yang nak minta tolong Su hantar ke pejabat Zul, boleh? Makcik takut ada benda penting je dalam ni. Sebab semalam dia kata pagi ni ada meeting penting.”
            “Oh, tak apalah makcik, saya hantar Amira ke Tadika dulu, lepas tu saya pergi rumah makcik ye.” Aku membentangkan cadangan, aku kena hantar Amira ke tadika dahulu kerana aku tidak mahu dia terlewat sampai. Lagipun Tadika Amira juga letaknya dalam kawasan perumahan yang sama.
            “Okay, terima kasih Su.”
            “Sama-sama makcik.” Aku terus meletakkan telefon dan meneruskan pemanduan, sudah hampir pukul 7.30 pagi, nampaknya aku akan lambat masuk pejabat hari ini.

AKU masih di ruang reception menunggu Zulhairi keluar dari pejabatnya. Mujur aku buat keputusan yang bijak, mengetik kad kerja terlebih dahulu sebelum aku datang ke pejabat Zulhairi. Jika tidak, mahunya merah rekod kedatangan aku hari ini. Zulhairi pula mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk keluar ke sini, tidak mungkin mesyuaratnya telah bermula. Masih ada lagi lima minit sebelum pukul sembilan pagi.
            Tidak mungkin dia tidak mahu mempedulikanku sehingga begini sekali. Memang masalah betul bila Zulhairi tengah merajuk, memang susah untuk dipujuk, mengalahkan wanita pula. Tapi selalunya sekejap saja marahnya reda, tapi kali ini berlarutan pula.
            “Hai,”
            Aku membetulkan duduk apabila Wafi sudah mengambil tempat duduk di sebelahku di set sofa di ruangan receptionis ini. “Hai.” Sapaku juga dengan senyuman nipis.
            “Buat apa kat sini? Nak belanja saya pergi lunch ke tengah hari ni?” soal Wafi terus padaku, tanpa berselindung lagi.
            Aku memanjangkan senyuman, “Tak ada masa. Membazir duit aku je.” Gurauku.
            Wafi ketawa besar dan mengundang pandangan daripada penyambut tetamu yang masih setia dengan telefonnya. “Okay, kalau macam tu biar saya aje belanja awak tengah hari ni, nak?” Wafi menawarkan tawaran yang selalu disuakan ke telingaku selama aku mengenalinya.
            “Eleh kalau setakat kat warung mamak, tak naklah aku.” Sengaja aku mengatakan begitu, menolak pelawaannya dengan cara yang lain pula, tapi sekadar untuk bergurau dengannya.
            “Takkan saya nak belanja awak kat warung mamak je, tengok oranglah.” Dia berbangga diri.
            Aku ketawa kecil, malas aku nak melayan Wafi ini, ada sahaja idea dia untuk membalas semua kata-kataku.
            “Buat apa kat sini sebenarnya?”
            “Ni nak bagi briefcase Zul. Dia tertinggal kat rumah tadi, mak dia suruh aku bagi kat dia.” Aku menepuk briefcase hitam Zulhairi yang masih lagi berada di atas ribaku. Soalan Wafi itu mengundang ingatanku semula pada Zulhairi. Apalah yang dibuat lama sangat di dalam pejabat itu?
            “Oh, kalau macam tu, apa kata biar saya je yang bagi kat dia?”
            Aku terdiam mendengar cadangannya itu. Bertimbangan mula dibuat. Namun rasa serba salah menimpa. Harus atau tidak Wafi menyerahkan briefcase itu pada Zulhairi? Mengenangkan Zulhairi tidak keluar dari pejabat sampai sekarang dan aku pula kena masuk pejabat, ada baiknya juga jika Wafi yang menyerahkan briefcase ini pada Zulhairi. Aku membuat keputusan.
            “Tak payah, aku boleh ambik sendiri.”
            Aku mendongak memandang Zulhairi yang sudah berjalan menghampiri aku dan Wafi yang masih berada di set sofa ini. Aku bangun dan melemparkan senyuman padanya, namun sama seperti semalam memang susah aku nak melihat senyuman menghiasi bibirnya.
            “Bak sini.” Zulhairi menadah tangan kanannya padaku. Meminta briefcasenya yang masih lagi berada di dalam gengamanku.
            Aku menyerahkankan briefcasenya, sebaik sahaja beg tersebut bertukar tangan dia terus sahaja berlalu masuk ke dalam pejabatnya. Jangankan kata sapaan selamat tinggal, dan terima kasih atas susah payahku, senyuman pun langsung tidak dilemparkan padaku. Dia hanya menonong jalan meninggalkanku di sini tanpa menoleh sedikit pun padaku.
            “Kenapa tu?” Soal Wafi sambil memuncungkan bibirnya pada bayangan Zulhairi yang sudah terlindung di balik dinding.
            “Er… dia nak cepat kot. Pagi ni dia ada meetingkan.” Aku sengaja melindungi apa yang berlaku pada aku dan Zulhairi daripada pengetahuan Wafi. Dia tidak perlu tahu segala apa yang berlaku antara aku dan Zulhairi. Aku tidak mahu ada orang lain masuk campur dalam urusan aku dengan Zulhairi.
            “Yelah, hari nikan dia kena buat presentation kat Board Director. Tu mesti stress la tu.” Wafi menambah info yang aku tak tahu.
            Aku mula mengiyakan semua kata-kata Wafi. Mungkin juga Zulhairi tertekan dengan mesyuarat yang bakal berlangsung sebentar lagi. Maklumlah mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah pasti dia berasa tertekan. Dan disebabkan itulah dia bersikap begitu kepadaku. Aku cuba untuk menyedapkan hatiku sendiri, sedangkan jauh di sudut hati aku tahu yang dia masih lagi tidak puas hati dan marah denganku.

MANGKUK tingkat yang tadinya berada di tangan makcik Khamisah sudah berada di tanganku pula. Baik sungguh hati makcik Khamisah, nampaknya malam ini tidak perlulah aku bersusah payah untuk makan malam adik-adikku, semuanya sudah tersedia, tinggal nak masak nasi aje. Jadi dapatlah aku berehat petang ini.
            Hanya kerana aku menolong menghantarkan beg kerja Zulhairi ke pejabatnya pagi tadi, petang ini makcik Khamisah menghubungiku datang ke rumahnya dan memberikan lauk-pauk untuk makan malam keluargaku.
            “Zul, tak balik lagi ke makcik?” Aku menjenguk ke dalam rumah makcik Khamisah mencari kelibat Zulhairi, walaupun aku sudah tahu pasti Zulhairi tiada di rumah kerana keretanya tiada di halaman rumah tapi aku tetap juga bertanya.
            “Belum, sekejap lagi kot.”
            “Oh,” aku sedikit kecewa, aku fikirkan kebetulan aku sudah berada di rumahnya bolehlah aku berjumpa dengannya dan berbincang baik-baik dengannya, aku tidak sukalah bergaduh dengan Zulhairi sebegini.
            “Hah, tu pun Zul dah balik.” Makcik Khamisah menghalakan jari telunjuknya pada kereta Zulhairi yang sedang melepasi pintu pagar.
            Aku tersenyum memandang kereta Zulhairi, nampaknya aku sudah ada peluang untuk bersemuka dengannya tanpa ada sebarang halangan. Aku tidak akan melepaskan peluang ini. Aku tersenyum pada Zulhairi yang mula turun dari kereta, makcik Khamisah pula sudah masuk ke dalam rumah semula, seperti tahu sahaja aku ingin berbincang berdua sahaja dengan Zulhairi.
            “Assalamualaikum.” Sapaku perlahan sengaja mahu memulakan kata dengan kalimah suci ini.
            “Waalaikumusalam.” Jawab Zulhairi sambil membuka kasut dan meletakkannya ke dalam rak kasut. Wajah aku langsung tak ditolehnya, dia terus sahaja mahu masuk ke dalam rumah.
            Segera aku halang langkahnya itu, aku letakkan tanganku ke grill, memastikan dia tidak boleh masuk tanpa kebenaran dariku.
            “Kau ni dah kenapa?”
            Akhirnya berjaya juga aku membuat dia menumpukan perhatian padaku. “Jom aku nak berborak dengan kau sikit.”
            Dia mengeluh berat. “Malaslah, aku penat ni, nak rehat.” Tolaknya. Walaupun dinyatakan dalam nada yang tidak keras mana, namun entah kenapa hatiku tetap terasa. Jarang dia menolak ajakkanku selama aku berkawan dengannya.
            “Alah, rilekslah, sekejap aje pun, bukannya lama mana.” Aku tetap memaksanya, aku tidak kira aku mahu berbincang dengan dia sekarang juga. Aku sudah malas mahu memanjangkan lagi hal ini. 
            Akhirnya dia bersetuju. Laju pula langkahnya mengesahkan persetujuannya. Zulhairi meluru laju menuju ke kerusi yang terdapat di luar rumahnya, lalu melabuhkan punggung di situ.
            Aku tersenyum dan melangkah menghampirinya. Aku mengambil tempat duduk yang bertentangan dengannya. Mangkuk tingkat yang makcik Khamisah berikan padaku tadi aku letakkan dahulu di atas meja. Aku perlu fokus pada Zulhairi pada saat ini.
            “Kau dah cool belum ni?” aku mulakan kata dengan soalan ini, susah nak berbincang jika dia masih lagi belum bertenang.
            “Cool apanya?” Dia masih lagi tidak mahu mengendahkan diriku. Matanya terarah pada mangkuk tingkat yang berada di atas meja dan jemarinya bermain-main pada mangkuk tingkat tersebut.
            “Kau marah aku lagi ke?” aku ubah sikit soalannya, tapi maksud di sebalik soalan itu masih lagi sama. Selagi aku tidak tahu jawapan itu, aku tidak mahu mengubah topik perbualan.
            Dia mengeluh seketika dan menyandarkan badannya sambil berpeluk tubuh. Barulah kali ini matanya tepat memadangku. “Kau rasa aku marah kau ke?”
            Aku mengangguk laju. Memanglah dia sedang marahkan aku, jika tidak masakan dia tidak mahu melayanku sejak semalam. Dan aku tahu aku punca kemarahannya, disebabkan itu aku mahu meleraikannya petang ini juga.
            “Sebenarnya aku tak adalah marah sangat pada kau pun.”
            “Maksud kau?” aku memang tidak faham apa maksudnya. Kalau dia tidak marah padaku mengapa dia melayan aku sebegitu sejak dari makan tengah hari semalam hingga ke hari ini. Dia ada masalah lain ke?
            Zulhairi membetulkan duduknya, dia membuka tali leher dan meletakkannya ke dalam kocek bajunya. Kemudian barulah dia memandangku semula. “Aku cuma bengang sikit je sebab kau bohong aku.”
            “Zul… kau ni, macam baru kenal aku semalam! Aku bukan apa, aku tak nak kau fikir yang bukan-bukan bila kau tahu aku nak keluar makan dengan Wafi. Tu yang aku malas nak cerita kat engkau.” Kalau itulah apa yang Zulhairi rasa, sekarang aku luahkan pula apa penyebabnya aku merahsiakan perkara itu darinya.
            “Tak apalah benda dah lepas. Aku pun salah juga, itukan personal life kau. Aku pula yang over.” Kali ini Wafi mengukir senyuman kecil untukku.
            “Taklah kau tak salah pun, kalau aku berterus terang semalam taklah benda ni jadi macam ni kan.” Aku cuba meredakan rasa bersalahnya. Dia hanya tersenyum padaku, namun aku tidak melihat kemanisan langsung dalam senyumannya itu. “So, kau tak marah aku lagilah nikan?”
            Dia masih lagi tersenyum kelat dan mengeleng.
            “Tapi kenapa kau nampak lain je?” Sejak tengah hari semalam aku sudah nampak kelainan pada dirinya.
            “Sebenarnya aku ada benda nak bagi tahu kau.” Setelah lama mendiamkan diri akhirnya dia bersuara juga.
            “Apa dia?” Soalku tidak sabar.
            “Kau ingat tak semalam aku banyak kali call kau?”
            Aku mengangguk kepala. Tengah hari semalam sejak sebelum aku keluar makan dengan Wafi hingga aku bertembung dengan dia di restauran memang dia asyik menghubungiku. Cuma aku sahaja yang mengabaikan panggilannya itu.
            “Sebenarnya aku call kau tu sebab nak bagi tahu pasal benda ni, dan aku nak minta pendapat kau.”  Zulhairi mengeluarkan sebuah sampul surat dari dalam briefcasenya dan menyerahkannya padaku.
            Aku menyambut sampul surat yang dia berikan dengan rasa galau di hati. Patutlah beria-ia dia menghubungiku, rupa-rupanya dia mahu berkongsi masalah denganku. Sebagai kawan aku tidak sepatutnya melakukan begitu padanya. Dia sudah banyak membantuku jadi sudah sepatutnya aku turut berkongsi masalah yang dihadapinya. Ini tidak aku seperti menjauhkan diri pula sewaktu dia di dalam kesusahan.
            “Surat apa ni?” Aku masih lagi tidak membuka surat yang sudah berada di dalam tanganku. Aku rasa tidak sedap hati untuk membuka surat itu. Mungkinkah Zulhairi dipecat? Tapi rasanya perkara itu mustahil akan berlaku. Setahu aku, dia seorang pekerja yang berdedikasi. Tiada sebab untuk syarikat tempat dia bekerja itu memecatnya.
            “Tawaran kenaikan pangkat” Tanpa semangat Zulhairi mengalunkan ayat itu padaku.
            “Hah! Tawaran kenaikan pangkat?” aku amat terperanjat. Surat yang berada di dalam gengamanku pantas aku buka. Aku baca semua butiran yang terdapat di dalamnya dengan perasaan yang benar-benar gembira. Baru beberapa bulan Zulhairi bekerja di situ dia sudah diberikan kenaikan pangkat. Ini benar-benar berita gembira.
            “Wah, hebatlah kau, baru kerja dah naik pangkat. Mesti kau happy sangatkan?” luahku dengan rasa teruja yang bukan sedikit. Surat yang berada di dalam tanganku, kubaca sekali lagi.
            “Tak! Aku tak rasa gembira pun!”
            Mendengar kata-kata Zulhairi itu membuatkan aku terlongo sebentar. Membulat mataku memandang wajahnya yang suram. Ini sudah terbalik, tidak pernah lagi aku dengar pekerja yang tidak gembira apabila diberikan kenaikan pangkat.
            “Lah… kenapa pula kau tak gembira? Eh, bukan senang tau nak naik pangkat, jadi pengurus besar pula tu. Kau ni tak tahu bersyukur betullah.” Aku luahkan sahaja apa yang aku rasa. Peluang sebegini tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja. Boleh pula dia tidak gembira dengan berita segembira ini.
            “Aku bukan tak bersyukur. Aku bersyukur sangat-sangat sebab aku dapat kenaikan secepat ni. Tapi…” dia mematikan katanya di situ dan membuatkan aku ternanti-nanti.
            “Tapi apa? Cuba kau cakap?” apalah agaknya halangan yang menyebabkan dia tidak gembira menerima tawaran hebat begini.
            “Kalau aku terima tawaran tu, habis kau macam mana?”
            Aku terdiam sudahnya. Apa pula kena-mengenanya aku dengan hal ini? Tidak mungkin aku penyebab dia tidak menyukai tawaran ini? Macam tak ada kaitan saja.
            “Apasal dengan aku pula?”
            “Ish kau ni. Kau tak baca surat tu bagi habis ke?”
            Aku mengangguk kepala. Sudah dua kali aku mengulang baca surat ini. Dan rasanya tiada apa-apa yang pelik, dan yang penting tiada apa yang berkaitan dengan diriku di dalam surat ini.
            “Kalau aku terima kenaikan ni aku kena kerja kat cawangan baru syarikat tu kat Johor Bahru. Habis kalau aku dah pergi sana, macam mana kau kat sini?”
            Terus aku baca semula surat tawarannya. Kali ini baru aku perasaan tentang penempatannya di Johor Bharu. Aku tidak perasan tentang hal ini sebentar tadi. Dia hanya mempunyai masa dua bulan sahaja lagi di Kuala Lumpur ini kemudian dia akan ke sana dan sudah pastinya aku akan jarang dapat berjumpa lagi dengannya. Pasti aku akan terasa kehilangannya sama seperti sewaktu dia belajar di UK dahulu.
            Terasa sedih pula tiba-tiba, namun aku tetap cuba mengukirkan senyuman. “Apa pula masalahnya? Kau pergi jelah.” Aku cuba untuk melindungi rasa sebenar hatiku ini, aku tidak mahu kerana diriku, dia terpaksa melepaskan tawaran yang boleh menjamin masa depannya.
            “Masalahnya aku risaukan kau.” Bersungguh-sungguh dia menerangkan padaku.
Aku tersenyum mendengar ayat itu. Itu ayat yang sama yang dituturkan padaku sewaktu sebelum dia membuat keputusan untuk menerima tawaran menyambut pengajiannya di UK dua tahun lalu.
“Alah, aku ok jelah, tak payah nak risau sangat pasal akulah. Macamlah aku ni budak-budak lagi.”
“Memanglah kau bukan budak-budak lagi. Tapi tanggungjawab kau besar, mana nak jaga adik-adik kau, nak cari duit bayar itu ini, nak jaga keselamatan dia orang. Tu siapa nak tuisyenkan dia orang kalau aku dah tak ada, lepas tu kau…”
“Opsss…” aku menghalakan tangan ke muka Zulhairi menghentikan dirinya daripada membebel dengan lebih panjang.
Dalam hati aku sudah terasa bangga mempunyai kawan sebaiknya. Semua yang dirisaukannya itu adalah tentang diriku sahaja. Dan semua yang dikatakannya itu betul sama sekali. Tanggungjawabku amat besar dan sebenarnya selama ini dia yang selalu membantu meringankan bebanku. Dari dulu dia terlalu mengambil berat tentangku, lebih-lebih lagi semenjak ketiadaan ayah. Walaupun dia berada di UK dua tahun sebelum ini, setiap hari dia bertanya khabarku. Dan aku rasa setiap hari juga dia akan meminta ibu dan ayahnya menjaga dan membantuku apa-apa yang patut sepanjang ketiadaannya di sini.
Itu semua sudah membuktikan betapa dia amat menghargaiku sebagai kawannya. Jadi tidak mungkin aku akan mementingkan diri, menegahnya menerima tawaran ini semata-mata demi kepentinganku. Dia mempunyai hidupnya sendiri dan dia perlu menikmati hidupnya mengikut kemahuannya.
Rilekslah, hal kecil aje pun. Masa kau kat UK dulu pun aku seorang aje uruskan benda-benda ni semua. Okay je pun, tak ada masalah.” Aku cuba untuk menyakinkannya, tiada apa yang perlu dirisaukan tentang aku.
“Dulu adik-adik kau tu kecil lagi, dengar cakap. Sekarang dia orang dah besar. Banyak cabaran lain pula yang kau kena pikul.” Ada sahaja alasan yang keluar dari bibirnya untuk mematikan keyakinan yang aku bina untuknya.
“Dia orang dah besarlah bagus, dia orang dah pandai bawa diri. Yang kau kalut sangat ni kenapa? Masa kau tinggalkan aku masa kau nak pergi UK dulu tu okay pula.” Sengaja aku memusing cerita agar dia tidak boleh memberikan apa-apa alasan lagi.
Zulhairi membesarkan matanya padaku. “Helo cik adik, aku memang tak nak pergi UK tu ye, ayah dengan ibu aku yang paksa. Nak-nak kau, kau yang terlebih over paksa aku terima tawaran master tukan, tak ingat? Siap warning nak putus sahabat dengan aku kalau aku tolak tawaran tu.” Laju dia mengingatkan aku kisah dua tahun lalu.
Aku tergelak kecil mengenangkan kisah itu, terasa seperti kanak-kanak pula ugutan yang aku berikan padanya. Tapi tidak sangka dia percaya bulat-bulat dengan ugutan aku pada masa itu. Err… kalau aku…
“Kau tak payah nak terfikir untuk ugut aku supaya terima tawaran ni guna cara lama tu lagi, okay. Kali ni aku takkan termakan dengan ugutan bodoh kau tu.” Amaran keras dari Zulhairi.
Aku menjelingnya, macam mana dia boleh mengetahui apa yang baru sahaja aku ingin rencanakan padanya? Dasyat juga dia ni. Namun aku masih tidak putus asa, otakku masih ligat mencari jalan bagi memastikan dia menerima tawaran ini.
“Aku rasa baik aku tolak jelah ye tawaran ni.” Akhirnya Zulhairi membuat keputusan.
“Eh, mana boleh, kau kena terima tawaran ni. Ni peluang keemasan ni, mana boleh lepaskan. Ini masa depan kau.” Aku tetap berkeras mahu Zulhairi menerimanya.
“Kau pun masa depan aku juga. Aku lebih rela tolak peluang keemasan ni daripada aku biarkan kau sorang diri terkontang-kanting kat sini. Faham.” Nampaknya dia sudah tekad.
“Mak kau dah tahu ke kau terima tawaran ni?” Soalku, rasanya aku sudah dapat jalan untuk membuatkan dia menerima tawaran ini.
“Belum, aku tak bagi tahu lagi.”
“Aku rasa kalau mak kau tahu mesti dia gembira. Semua ibu kat dunia ni nak lihat anak dia berjaya. Aku yakin mak kau mesti nak sangat kau terima tawaran ni. Takkan kau nak hampakan mak kau pula?” ini jalan yang terakhir yang dapat aku fikirkan, rasanya jalan ini akan berjaya kerana Zulhairi seorang anak yang baik, yang sentiasa memikirkan tentang kedua orang tuanya.
Dia mengeluh berat. “Kau ni memang sungguh-sungguh nak aku pergi ke?”
Aku mengangguk laju. Apabila bercerita soal masa hadapan, Zulhairi harus aku utamakan. Aku yakin ini permulaan yang baik untuk dirinya. Tidak terlintas langsung untuk menghalau dia pergi jauh, malah aku sendiri rasa takut dengan kehilangannya sekali lagi. Aku sudah rasakan dahulu. Aku tidak berharap ia berulang kembali. Tapi tiada siapa yang boleh melawan takdir. Aku juga tidak patut mementingkan diri. Tidak habis-habis Zulhairi memikirkan tentang aku dan kehidupanku. Rasanya sudah tiba masa untuk dia berjalan mengharungi hidupnya.
Zulhairi terdiam sudahnya, dan aku turut mendiamkan diri. Aku amat berharap dia menerima tawaran kenaikan pangkat itu walaupun pada saat ini hatiku sendiri sudah mula terasa sedih dengan perpisahan yang bakal terjadi nanti.

 Bersambung....

Kata AH : Terima kasih atas kesudian menjenguk  kisah Su, Zul dan Wafi. Entah apa yang terjadi nanti. Jadi sama2 kita nantikan sambungannya. Terima kasih atas komen dan kata2 semangat yang sentiasa dititipkan buat AH. Sgt AH hargainya.

Salam Ukhwah Dari Hati
Adah Hamidah.

5 comments:

Anonymous said...

Laaa.... dah nak kena berpisah ler si Zul dgn Su.... Ada peluang yg lebih besar utk wafi menggantikan tanggungjawab Zul pulak....

Adakah itu yg membuatkan Zul keberatan utk berpindah ke Johor? Sbb dia takut Su akan tersuka kat Wafi selepas ni...

Sambung ler lagi....

pnut said...

Su ni masih xtau yg Zul ni sebenarnye suke kt dier..
klu betul2 Zul pegi JB msti sedih part tuh nanti..
huk.huk..huk..

siti rosmah abu hanifah said...

nice.. part zul tuh, caring :)
wahh best!

Zalida said...

alahai...kenapa susah sangat Su nak faham hati Zul ni ye? Zul pulak tak sungguh2 lah dengan Su. Apa pun, nak Su dengan Zul jugak. Tak suka Wafi.... saya dah ban Wafi dah.
he he he

ida said...

Finally new n3! Ada baiknya juga kalau Zul gi JB sbb bila dah jauh ni mesti Su rindu sgt2 kat Zul...and cepat sikit Su sedar yg dia sebenarnya mmg cintakan Zul jugak....barulah ada thrill sikit bila Su pulak yg caring & try tackle Zul! So good luck lah ye!

Post a Comment