15
Kalau kau terus terang dgn aku kan
senang, yg kau nak rahsia2 tu knp? Bukannya aku nak kacau pun!
Mesej yang aku terima dari Zulhairi
malam tadi aku baca sekali lagi. Itu satu-satunya mesej yang aku terima daripada
dia sejak kami sama-sama makan tengah hari semalam. Rasanya dari petang sampai
ke malam aku mesej dia, berpuluh-puluh mesej, dan hanya satu saja yang dia
balas. Itu pun lewat malam, lepas tu langsung dia tak balas segala mesejku. Aku
telefon pun dia tak angkat, dia biarkan sahaja telefonnya berdering dan
membiarkan aku menunggu dia menjawab panggilan. Nampak sangat yang dia marahkan
aku. Atau dia mahu membalas dendam kerana aku tidak menjawab panggilannya
semalam? Tapi tidak mungkin dia melakukan sebegitu padaku. Pagi ini aku cuba
menghubunginya sekali lagi, tapi dia sengaja mematikan telefon bimbitnya.
Beria-ia benar dia mahu mengelakkan diri dari aku.
“Along, Amira dah siap.” Amira terus
meluru memeluk kakiku.
“Dah, dah pergi masuk dalam kereta
cepat, nanti lambat.” Aku terus meleraikan pelukan Amira. Kalau dilayan makin
lambat dia sampai ke tadikanya.
Melihat dia sudah masuk ke dalam
kereta aku pun turut masuk ke tempat pemandu. Belum sempat aku mengerakkan
kereta, telefon bimbitku berbunyi nyaring. Aku tersenyum melihat nombor telefon
rumah Zulhairi yang tertera. Pasti dia menghubungiku melalui talian rumahnya.
Huh, kedekut betul Zulhairi ni, bukan nak pakai telefon bimbit sendiri.
“Assalamualaikum. Dah habis
merajuk?” aku terus menerjah kerana terlalu gembira mendapat panggilan darinya.
“Waalaikumusalam. Su, siapa yang
merajuk?”
Aku sudah terdiam. Alamak, mak
Zulhairi rupanya bukan dia. Adui, macam manalah aku nak menjawab dengan makcik
Khamisah ni. Macam manalah aku boleh terfikir
yang Zulhairi yang menghubungiku melalui talian rumahnya sedangkan sepanjang
aku berkawan dengannya boleh dihintung dengan jari hanya beberapa kali sahaja
dia menghubungiku menggunakan talian ini.
“Siapa yang merajuk Su?”
Ya’Allah, cepatlah idea sampai ke
benakku ini, aku tidak tahu apa yang aku harus jawab pada makcik Khamisah ni.
“Er… tak… ni… er… Tak ada
siapa-siapalah makcik. Saja je. Kenapa ye makcik call Su?” Dalam hati aku berdoa agar makcik Khamisah tidak bertanya
lebih-lebih atau cuba mengorek rahsia dariku.
“Su dah keluar rumah ke?”
Aku menarik nafas lega apabila
makcik Khamisah tidak bertanya lanjut. “Baru nak keluar rumah makcik, kenapa?”
“Tak, ni hah, si Zul. Dia tertinggal
Briefcase dia ni kat sofa. Makcik
cuba telefon dia tak dapat-dapat pula. Ni yang nak minta tolong Su hantar ke
pejabat Zul, boleh? Makcik takut ada benda penting je dalam ni. Sebab semalam
dia kata pagi ni ada meeting
penting.”
“Oh, tak apalah makcik, saya hantar
Amira ke Tadika dulu, lepas tu saya pergi rumah makcik ye.” Aku membentangkan
cadangan, aku kena hantar Amira ke tadika dahulu kerana aku tidak mahu dia
terlewat sampai. Lagipun Tadika Amira juga letaknya dalam kawasan perumahan
yang sama.
“Okay, terima kasih Su.”
“Sama-sama makcik.” Aku terus
meletakkan telefon dan meneruskan pemanduan, sudah hampir pukul 7.30 pagi,
nampaknya aku akan lambat masuk pejabat hari ini.
AKU
masih di ruang reception menunggu
Zulhairi keluar dari pejabatnya. Mujur aku buat keputusan yang bijak, mengetik
kad kerja terlebih dahulu sebelum aku datang ke pejabat Zulhairi. Jika tidak,
mahunya merah rekod kedatangan aku hari ini. Zulhairi pula mengapa mengambil
masa yang terlalu lama untuk keluar ke sini, tidak mungkin mesyuaratnya telah
bermula. Masih ada lagi lima minit sebelum pukul sembilan pagi.
Tidak mungkin dia tidak mahu
mempedulikanku sehingga begini sekali. Memang masalah betul bila Zulhairi
tengah merajuk, memang susah untuk dipujuk, mengalahkan wanita pula. Tapi
selalunya sekejap saja marahnya reda, tapi kali ini berlarutan pula.
“Hai,”
Aku membetulkan duduk apabila Wafi
sudah mengambil tempat duduk di sebelahku di set sofa di ruangan receptionis ini. “Hai.” Sapaku juga
dengan senyuman nipis.
“Buat apa kat sini? Nak belanja saya
pergi lunch ke tengah hari ni?” soal
Wafi terus padaku, tanpa berselindung lagi.
Aku memanjangkan senyuman, “Tak ada
masa. Membazir duit aku je.” Gurauku.
Wafi ketawa besar dan mengundang
pandangan daripada penyambut tetamu yang masih setia dengan telefonnya. “Okay,
kalau macam tu biar saya aje belanja awak tengah hari ni, nak?” Wafi menawarkan
tawaran yang selalu disuakan ke telingaku selama aku mengenalinya.
“Eleh kalau setakat kat warung
mamak, tak naklah aku.” Sengaja aku mengatakan begitu, menolak pelawaannya
dengan cara yang lain pula, tapi sekadar untuk bergurau dengannya.
“Takkan saya nak belanja awak kat
warung mamak je, tengok oranglah.” Dia berbangga diri.
Aku ketawa kecil, malas aku nak
melayan Wafi ini, ada sahaja idea dia untuk membalas semua kata-kataku.
“Buat apa kat sini sebenarnya?”
“Ni nak bagi briefcase Zul. Dia tertinggal kat rumah tadi, mak dia suruh aku
bagi kat dia.” Aku menepuk briefcase
hitam Zulhairi yang masih lagi berada di atas ribaku. Soalan Wafi itu
mengundang ingatanku semula pada Zulhairi. Apalah yang dibuat lama sangat di
dalam pejabat itu?
“Oh, kalau macam tu, apa kata biar
saya je yang bagi kat dia?”
Aku terdiam mendengar cadangannya
itu. Bertimbangan mula dibuat. Namun rasa serba salah menimpa. Harus atau tidak
Wafi menyerahkan briefcase itu pada
Zulhairi? Mengenangkan Zulhairi tidak keluar dari pejabat sampai sekarang dan
aku pula kena masuk pejabat, ada baiknya juga jika Wafi yang menyerahkan briefcase ini pada Zulhairi. Aku membuat
keputusan.
“Tak payah, aku boleh ambik
sendiri.”
Aku mendongak memandang Zulhairi
yang sudah berjalan menghampiri aku dan Wafi yang masih berada di set sofa ini.
Aku bangun dan melemparkan senyuman padanya, namun sama seperti semalam memang
susah aku nak melihat senyuman menghiasi bibirnya.
“Bak sini.” Zulhairi menadah tangan
kanannya padaku. Meminta briefcasenya
yang masih lagi berada di dalam gengamanku.
Aku menyerahkankan briefcasenya, sebaik sahaja beg tersebut
bertukar tangan dia terus sahaja berlalu masuk ke dalam pejabatnya. Jangankan
kata sapaan selamat tinggal, dan terima kasih atas susah payahku, senyuman pun
langsung tidak dilemparkan padaku. Dia hanya menonong jalan meninggalkanku di
sini tanpa menoleh sedikit pun padaku.
“Kenapa tu?” Soal Wafi sambil
memuncungkan bibirnya pada bayangan Zulhairi yang sudah terlindung di balik
dinding.
“Er… dia nak cepat kot. Pagi ni dia
ada meetingkan.” Aku sengaja
melindungi apa yang berlaku pada aku dan Zulhairi daripada pengetahuan Wafi.
Dia tidak perlu tahu segala apa yang berlaku antara aku dan Zulhairi. Aku tidak
mahu ada orang lain masuk campur dalam urusan aku dengan Zulhairi.
“Yelah, hari nikan dia kena buat
presentation kat Board Director. Tu mesti
stress la tu.” Wafi menambah info
yang aku tak tahu.
Aku mula mengiyakan semua kata-kata
Wafi. Mungkin juga Zulhairi tertekan dengan mesyuarat yang bakal berlangsung
sebentar lagi. Maklumlah mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah pasti dia
berasa tertekan. Dan disebabkan itulah dia bersikap begitu kepadaku. Aku cuba
untuk menyedapkan hatiku sendiri, sedangkan jauh di sudut hati aku tahu yang
dia masih lagi tidak puas hati dan marah denganku.
MANGKUK
tingkat yang tadinya berada di tangan makcik Khamisah sudah berada di tanganku
pula. Baik sungguh hati makcik Khamisah, nampaknya malam ini tidak perlulah aku
bersusah payah untuk makan malam adik-adikku, semuanya sudah tersedia, tinggal
nak masak nasi aje. Jadi dapatlah aku berehat petang ini.
Hanya kerana aku menolong menghantarkan
beg kerja Zulhairi ke pejabatnya pagi tadi, petang ini makcik Khamisah
menghubungiku datang ke rumahnya dan memberikan lauk-pauk untuk makan malam
keluargaku.
“Zul, tak balik lagi ke makcik?” Aku
menjenguk ke dalam rumah makcik Khamisah mencari kelibat Zulhairi, walaupun aku
sudah tahu pasti Zulhairi tiada di rumah kerana keretanya tiada di halaman
rumah tapi aku tetap juga bertanya.
“Belum, sekejap lagi kot.”
“Oh,” aku sedikit kecewa, aku
fikirkan kebetulan aku sudah berada di rumahnya bolehlah aku berjumpa dengannya
dan berbincang baik-baik dengannya, aku tidak sukalah bergaduh dengan Zulhairi
sebegini.
“Hah, tu pun Zul dah balik.” Makcik
Khamisah menghalakan jari telunjuknya pada kereta Zulhairi yang sedang melepasi
pintu pagar.
Aku tersenyum memandang kereta
Zulhairi, nampaknya aku sudah ada peluang untuk bersemuka dengannya tanpa ada
sebarang halangan. Aku tidak akan melepaskan peluang ini. Aku tersenyum pada
Zulhairi yang mula turun dari kereta, makcik Khamisah pula sudah masuk ke dalam
rumah semula, seperti tahu sahaja aku ingin berbincang berdua sahaja dengan
Zulhairi.
“Assalamualaikum.” Sapaku perlahan
sengaja mahu memulakan kata dengan kalimah suci ini.
“Waalaikumusalam.” Jawab Zulhairi
sambil membuka kasut dan meletakkannya ke dalam rak kasut. Wajah aku langsung
tak ditolehnya, dia terus sahaja mahu masuk ke dalam rumah.
Segera aku halang langkahnya itu,
aku letakkan tanganku ke grill,
memastikan dia tidak boleh masuk tanpa kebenaran dariku.
“Kau ni dah kenapa?”
Akhirnya berjaya juga aku membuat
dia menumpukan perhatian padaku. “Jom aku nak berborak dengan kau sikit.”
Dia mengeluh berat. “Malaslah, aku
penat ni, nak rehat.” Tolaknya. Walaupun dinyatakan dalam nada yang tidak keras
mana, namun entah kenapa hatiku tetap terasa. Jarang dia menolak ajakkanku
selama aku berkawan dengannya.
“Alah, rilekslah, sekejap aje pun, bukannya lama mana.” Aku tetap
memaksanya, aku tidak kira aku mahu berbincang dengan dia sekarang juga. Aku
sudah malas mahu memanjangkan lagi hal ini.
Akhirnya dia bersetuju. Laju pula
langkahnya mengesahkan persetujuannya. Zulhairi meluru laju menuju ke kerusi
yang terdapat di luar rumahnya, lalu melabuhkan punggung di situ.
Aku tersenyum dan melangkah
menghampirinya. Aku mengambil tempat duduk yang bertentangan dengannya. Mangkuk
tingkat yang makcik Khamisah berikan padaku tadi aku letakkan dahulu di atas
meja. Aku perlu fokus pada Zulhairi pada saat ini.
“Kau dah cool belum ni?” aku
mulakan kata dengan soalan ini, susah nak berbincang jika dia masih lagi belum
bertenang.
“Cool apanya?” Dia masih lagi
tidak mahu mengendahkan diriku. Matanya terarah pada mangkuk tingkat yang
berada di atas meja dan jemarinya bermain-main pada mangkuk tingkat tersebut.
“Kau marah aku lagi ke?” aku ubah
sikit soalannya, tapi maksud di sebalik soalan itu masih lagi sama. Selagi aku
tidak tahu jawapan itu, aku tidak mahu mengubah topik perbualan.
Dia mengeluh seketika dan
menyandarkan badannya sambil berpeluk tubuh. Barulah kali ini matanya tepat
memadangku. “Kau rasa aku marah kau ke?”
Aku mengangguk laju. Memanglah dia
sedang marahkan aku, jika tidak masakan dia tidak mahu melayanku sejak semalam.
Dan aku tahu aku punca kemarahannya, disebabkan itu aku mahu meleraikannya
petang ini juga.
“Sebenarnya aku tak adalah marah
sangat pada kau pun.”
“Maksud kau?” aku memang tidak faham
apa maksudnya. Kalau dia tidak marah padaku mengapa dia melayan aku sebegitu
sejak dari makan tengah hari semalam hingga ke hari ini. Dia ada masalah lain
ke?
Zulhairi membetulkan duduknya, dia
membuka tali leher dan meletakkannya ke dalam kocek bajunya. Kemudian barulah
dia memandangku semula. “Aku cuma bengang sikit je sebab kau bohong aku.”
“Zul… kau ni, macam baru kenal aku
semalam! Aku bukan apa, aku tak nak kau fikir yang bukan-bukan bila kau tahu
aku nak keluar makan dengan Wafi. Tu yang aku malas nak cerita kat engkau.”
Kalau itulah apa yang Zulhairi rasa, sekarang aku luahkan pula apa penyebabnya
aku merahsiakan perkara itu darinya.
“Tak apalah benda dah lepas. Aku pun
salah juga, itukan personal life kau. Aku pula yang over.” Kali
ini Wafi mengukir senyuman kecil untukku.
“Taklah kau tak salah pun, kalau aku
berterus terang semalam taklah benda ni jadi macam ni kan.” Aku cuba meredakan
rasa bersalahnya. Dia hanya tersenyum padaku, namun aku tidak melihat kemanisan
langsung dalam senyumannya itu. “So, kau tak marah aku lagilah nikan?”
Dia masih lagi tersenyum kelat dan
mengeleng.
“Tapi kenapa kau nampak lain je?”
Sejak tengah hari semalam aku sudah nampak kelainan pada dirinya.
“Sebenarnya aku ada benda nak bagi tahu
kau.” Setelah lama mendiamkan diri akhirnya dia bersuara juga.
“Apa dia?” Soalku tidak sabar.
“Kau ingat tak semalam aku banyak
kali call kau?”
Aku mengangguk kepala. Tengah hari
semalam sejak sebelum aku keluar makan dengan Wafi hingga aku bertembung dengan
dia di restauran memang dia asyik menghubungiku. Cuma aku sahaja yang
mengabaikan panggilannya itu.
“Sebenarnya aku call kau tu
sebab nak bagi tahu pasal benda ni, dan aku nak minta pendapat kau.” Zulhairi mengeluarkan sebuah sampul surat
dari dalam briefcasenya dan menyerahkannya padaku.
Aku menyambut sampul surat yang dia
berikan dengan rasa galau di hati. Patutlah beria-ia dia menghubungiku,
rupa-rupanya dia mahu berkongsi masalah denganku. Sebagai kawan aku tidak
sepatutnya melakukan begitu padanya. Dia sudah banyak membantuku jadi sudah
sepatutnya aku turut berkongsi masalah yang dihadapinya. Ini tidak aku seperti
menjauhkan diri pula sewaktu dia di dalam kesusahan.
“Surat apa ni?” Aku masih lagi tidak
membuka surat yang sudah berada di dalam tanganku. Aku rasa tidak sedap hati
untuk membuka surat itu. Mungkinkah Zulhairi dipecat? Tapi rasanya perkara itu
mustahil akan berlaku. Setahu aku, dia seorang pekerja yang berdedikasi. Tiada
sebab untuk syarikat tempat dia bekerja itu memecatnya.
“Tawaran kenaikan pangkat” Tanpa
semangat Zulhairi mengalunkan ayat itu padaku.
“Hah! Tawaran kenaikan pangkat?” aku
amat terperanjat. Surat yang berada di dalam gengamanku pantas aku buka. Aku
baca semua butiran yang terdapat di dalamnya dengan perasaan yang benar-benar
gembira. Baru beberapa bulan Zulhairi bekerja di situ dia sudah diberikan
kenaikan pangkat. Ini benar-benar berita gembira.
“Wah, hebatlah kau, baru kerja dah
naik pangkat. Mesti kau happy sangatkan?” luahku dengan rasa teruja yang
bukan sedikit. Surat yang berada di dalam tanganku, kubaca sekali lagi.
“Tak! Aku tak rasa gembira pun!”
Mendengar kata-kata Zulhairi itu
membuatkan aku terlongo sebentar. Membulat mataku memandang wajahnya yang
suram. Ini sudah terbalik, tidak pernah lagi aku dengar pekerja yang tidak
gembira apabila diberikan kenaikan pangkat.
“Lah… kenapa pula kau tak gembira?
Eh, bukan senang tau nak naik pangkat, jadi pengurus besar pula tu. Kau ni tak
tahu bersyukur betullah.” Aku luahkan sahaja apa yang aku rasa. Peluang
sebegini tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja. Boleh pula dia tidak
gembira dengan berita segembira ini.
“Aku bukan tak bersyukur. Aku
bersyukur sangat-sangat sebab aku dapat kenaikan secepat ni. Tapi…” dia
mematikan katanya di situ dan membuatkan aku ternanti-nanti.
“Tapi apa? Cuba kau cakap?” apalah
agaknya halangan yang menyebabkan dia tidak gembira menerima tawaran hebat
begini.
“Kalau aku terima tawaran tu, habis
kau macam mana?”
Aku terdiam sudahnya. Apa pula kena-mengenanya
aku dengan hal ini? Tidak mungkin aku penyebab dia tidak menyukai tawaran ini?
Macam tak ada kaitan saja.
“Apasal dengan aku pula?”
“Ish kau ni. Kau tak baca surat tu
bagi habis ke?”
Aku mengangguk kepala. Sudah dua
kali aku mengulang baca surat ini. Dan rasanya tiada apa-apa yang pelik, dan
yang penting tiada apa yang berkaitan dengan diriku di dalam surat ini.
“Kalau aku terima kenaikan ni aku
kena kerja kat cawangan baru syarikat tu kat Johor Bahru. Habis kalau aku dah
pergi sana, macam mana kau kat sini?”
Terus aku baca semula surat
tawarannya. Kali ini baru aku perasaan tentang penempatannya di Johor Bharu.
Aku tidak perasan tentang hal ini sebentar tadi. Dia hanya mempunyai masa dua
bulan sahaja lagi di Kuala Lumpur ini kemudian dia akan ke sana dan sudah
pastinya aku akan jarang dapat berjumpa lagi dengannya. Pasti aku akan terasa
kehilangannya sama seperti sewaktu dia belajar di UK dahulu.
Terasa sedih pula tiba-tiba, namun
aku tetap cuba mengukirkan senyuman. “Apa pula masalahnya? Kau pergi jelah.”
Aku cuba untuk melindungi rasa sebenar hatiku ini, aku tidak mahu kerana
diriku, dia terpaksa melepaskan tawaran yang boleh menjamin masa depannya.
“Masalahnya aku risaukan kau.”
Bersungguh-sungguh dia menerangkan padaku.
Aku
tersenyum mendengar ayat itu. Itu ayat yang sama yang dituturkan padaku sewaktu
sebelum dia membuat keputusan untuk menerima tawaran menyambut pengajiannya di
UK dua tahun lalu.
“Alah,
aku ok jelah, tak payah nak risau sangat pasal akulah. Macamlah aku ni
budak-budak lagi.”
“Memanglah
kau bukan budak-budak lagi. Tapi tanggungjawab kau besar, mana nak jaga
adik-adik kau, nak cari duit bayar itu ini, nak jaga keselamatan dia orang. Tu
siapa nak tuisyenkan dia orang kalau aku dah tak ada, lepas tu kau…”
“Opsss…”
aku menghalakan tangan ke muka Zulhairi menghentikan dirinya daripada membebel
dengan lebih panjang.
Dalam
hati aku sudah terasa bangga mempunyai kawan sebaiknya. Semua yang
dirisaukannya itu adalah tentang diriku sahaja. Dan semua yang dikatakannya itu
betul sama sekali. Tanggungjawabku amat besar dan sebenarnya selama ini dia
yang selalu membantu meringankan bebanku. Dari dulu dia terlalu mengambil berat
tentangku, lebih-lebih lagi semenjak ketiadaan ayah. Walaupun dia berada di UK
dua tahun sebelum ini, setiap hari dia bertanya khabarku. Dan aku rasa setiap
hari juga dia akan meminta ibu dan ayahnya menjaga dan membantuku apa-apa yang
patut sepanjang ketiadaannya di sini.
Itu
semua sudah membuktikan betapa dia amat menghargaiku sebagai kawannya. Jadi
tidak mungkin aku akan mementingkan diri, menegahnya menerima tawaran ini
semata-mata demi kepentinganku. Dia mempunyai hidupnya sendiri dan dia perlu
menikmati hidupnya mengikut kemahuannya.
“Rilekslah, hal kecil aje pun. Masa kau
kat UK dulu pun aku seorang aje uruskan benda-benda ni semua. Okay je pun, tak
ada masalah.” Aku cuba untuk menyakinkannya, tiada apa yang perlu dirisaukan
tentang aku.
“Dulu
adik-adik kau tu kecil lagi, dengar cakap. Sekarang dia orang dah besar. Banyak
cabaran lain pula yang kau kena pikul.” Ada sahaja alasan yang keluar dari
bibirnya untuk mematikan keyakinan yang aku bina untuknya.
“Dia
orang dah besarlah bagus, dia orang dah pandai bawa diri. Yang kau kalut sangat
ni kenapa? Masa kau tinggalkan aku masa kau nak pergi UK dulu tu okay pula.” Sengaja aku memusing cerita
agar dia tidak boleh memberikan apa-apa alasan lagi.
Zulhairi
membesarkan matanya padaku. “Helo cik adik, aku memang tak nak pergi UK tu ye,
ayah dengan ibu aku yang paksa. Nak-nak kau, kau yang terlebih over
paksa aku terima tawaran master tukan, tak ingat? Siap warning
nak putus sahabat dengan aku kalau aku tolak tawaran tu.” Laju dia mengingatkan
aku kisah dua tahun lalu.
Aku
tergelak kecil mengenangkan kisah itu, terasa seperti kanak-kanak pula ugutan
yang aku berikan padanya. Tapi tidak sangka dia percaya bulat-bulat dengan
ugutan aku pada masa itu. Err… kalau aku…
“Kau
tak payah nak terfikir untuk ugut aku supaya terima tawaran ni guna cara lama
tu lagi, okay. Kali ni aku takkan termakan dengan ugutan bodoh kau tu.” Amaran
keras dari Zulhairi.
Aku
menjelingnya, macam mana dia boleh mengetahui apa yang baru sahaja aku ingin
rencanakan padanya? Dasyat juga dia ni. Namun aku masih tidak putus asa, otakku
masih ligat mencari jalan bagi memastikan dia menerima tawaran ini.
“Aku
rasa baik aku tolak jelah ye tawaran ni.” Akhirnya Zulhairi membuat keputusan.
“Eh,
mana boleh, kau kena terima tawaran ni. Ni peluang keemasan ni, mana boleh
lepaskan. Ini masa depan kau.” Aku tetap berkeras mahu Zulhairi menerimanya.
“Kau
pun masa depan aku juga. Aku lebih rela tolak peluang keemasan ni daripada aku
biarkan kau sorang diri terkontang-kanting kat sini. Faham.” Nampaknya dia
sudah tekad.
“Mak
kau dah tahu ke kau terima tawaran ni?” Soalku, rasanya aku sudah dapat jalan
untuk membuatkan dia menerima tawaran ini.
“Belum,
aku tak bagi tahu lagi.”
“Aku
rasa kalau mak kau tahu mesti dia gembira. Semua ibu kat dunia ni nak lihat
anak dia berjaya. Aku yakin mak kau mesti nak sangat kau terima tawaran ni.
Takkan kau nak hampakan mak kau pula?” ini jalan yang terakhir yang dapat aku
fikirkan, rasanya jalan ini akan berjaya kerana Zulhairi seorang anak yang
baik, yang sentiasa memikirkan tentang kedua orang tuanya.
Dia
mengeluh berat. “Kau ni memang sungguh-sungguh nak aku pergi ke?”
Aku
mengangguk laju. Apabila bercerita soal masa hadapan, Zulhairi harus aku
utamakan. Aku yakin ini permulaan yang baik untuk dirinya. Tidak terlintas
langsung untuk menghalau dia pergi jauh, malah aku sendiri rasa takut dengan
kehilangannya sekali lagi. Aku sudah rasakan dahulu. Aku tidak berharap ia
berulang kembali. Tapi tiada siapa yang boleh melawan takdir. Aku juga tidak
patut mementingkan diri. Tidak habis-habis Zulhairi memikirkan tentang aku dan
kehidupanku. Rasanya sudah tiba masa untuk dia berjalan mengharungi hidupnya.
Zulhairi
terdiam sudahnya, dan aku turut mendiamkan diri. Aku amat berharap dia menerima
tawaran kenaikan pangkat itu walaupun pada saat ini hatiku sendiri sudah mula terasa
sedih dengan perpisahan yang bakal terjadi nanti.
Bersambung....
Kata AH : Terima kasih atas kesudian menjenguk kisah Su, Zul dan Wafi. Entah apa yang terjadi nanti. Jadi sama2 kita nantikan sambungannya. Terima kasih atas komen dan kata2 semangat yang sentiasa dititipkan buat AH. Sgt AH hargainya.
Salam Ukhwah Dari Hati
Adah Hamidah.
5 comments:
Laaa.... dah nak kena berpisah ler si Zul dgn Su.... Ada peluang yg lebih besar utk wafi menggantikan tanggungjawab Zul pulak....
Adakah itu yg membuatkan Zul keberatan utk berpindah ke Johor? Sbb dia takut Su akan tersuka kat Wafi selepas ni...
Sambung ler lagi....
Su ni masih xtau yg Zul ni sebenarnye suke kt dier..
klu betul2 Zul pegi JB msti sedih part tuh nanti..
huk.huk..huk..
nice.. part zul tuh, caring :)
wahh best!
alahai...kenapa susah sangat Su nak faham hati Zul ni ye? Zul pulak tak sungguh2 lah dengan Su. Apa pun, nak Su dengan Zul jugak. Tak suka Wafi.... saya dah ban Wafi dah.
he he he
Finally new n3! Ada baiknya juga kalau Zul gi JB sbb bila dah jauh ni mesti Su rindu sgt2 kat Zul...and cepat sikit Su sedar yg dia sebenarnya mmg cintakan Zul jugak....barulah ada thrill sikit bila Su pulak yg caring & try tackle Zul! So good luck lah ye!
Post a Comment