19
Habis sahaja Azira menamatkan bacaan doa makannya, aku
terdengar bunyi hon kereta dari luar rumah. Anak mataku yang tadinya mula
tertumpu pada sepinggan nasi mula berpaling memandang pintu yang sedia tertutup
rapat. Seketika kemudian, terdengar bunyi loceng bertalu-talu. Aku memandang
adik-adikku yang matanya juga sudah terarah kepadaku. Nasi yang sudah terhidang
dalam pinggan masing-masing langsung tiada yang mahu mengusiknya. Masing-masing
tertanya-tanya siapa yang datang pada waktu begini? Baru saja mahu menjamu
makan tengah hari.
“Kau orang makanlah dulu.” Aku bangun dari kerusi dan
terus menuju ke muka pintu. Buka sahaja pintu kayu itu, aku nampak wajah Wafi.
Jika dulu aku buat tidak tahu sahaja, tapi hari ini aku
terasa teringin sangat ingin mengetahui siapakah orangnya yang memandai-mandai
memberikan alamat rumahku kepada Wafi. Bukan aku tidak suka dengan dirinya, malah
aku sudah menganggapnya sebagai kawan. Dia juga menunjukkan ciri-ciri sahabat
yang baik padaku. Cuma aku belum terbiasa dengannya sehingga kehadirannya boleh
membuatkan aku boleh tersenyum lebar seperti mana kedatangan Zulhairi
selalunya.
Dalam memikirkan pelbagai andaian, aku capai juga kunci
rumah yang aku sangkut di dinding berhampiran pintu. Aku buka gerigi besi lalu
berjalan ke pintu pagar untuk bertemu muka dengannya. Wafi terus memberikan
salam sewaktu langkahku semakin menghampirinya. Salam yang dihulurkan itu aku
jawab dengan senyuman yang aku rasa tidak berapa menjadi. Wahai hati tolonglah
ikhlas menerima tetamu ini.
“Dah banyak kali saya call, tak berjawab pun.” Dia memulakan perbicaraan
sebelum sempat aku bertanya.
“Bila kau call?”
“Dari pagi tadi. Dah malas nak call, tu terus datang sini.”
Mudah untuk dia membuat keputusan setelah dia mengetahui di mana tempat kediamanku.
Dari pagi? Berkerut dahiku memikirkan panggilan yang
telah aku terima dari pagi tadi. Rasanya macam aku tidak dengar langsung
telefon bimbitku berdering pagi ini. Oh, ya baru aku teringat, telefon bimbitku
berada di dalam bilik sedangkan sejak lepas subuh tadi aku sudah berada di
bawah, memasak dan mengemas rumah. Langsung lupa dengan telefonku. Jadi patutlah
aku tidak dapat mendengar deringannya.
“Sorrylah, tak perasan pula ada call. Kenapa kau datang ni?” malas
hendak bersoal jawab lebih-lebih aku terus pada tujuan asalnya datang ke sini
setelah gagal menghubungiku. Perut sudah terasa sangat lapar. Nasi dan lauk
pauk yang berada di atas meja yang belum sempat aku usik itu seperti
melambai-lambai memanggilku.
“Saya nak ajak awak keluar makan.”
Mendengar ayat itu, aku terus terus mengeluh dalam hati.
Aku rasa Wafi mesti jenis manusia yang tidak boleh makan seorang diri. Sebab
itulah sering kali saja dia mengajakku keluar makan bersamanya. Agaknya kalau
dia makan seorang dia, pasti nasi bersama lauk pauk yang hebat itu terasa pahit
untuk ditelan dan sama sekali tidak mengenyangkan!
“Tak bolehlah Wafi, aku sebenarnya…”
“Jomlah, saya dah lama teringin nak makan makaroni bakar
ni.”
Belum sempat aku memberikan alasan, dia terlebih dahulu memintas
apa yang ingin aku perkatakan. “Bukan aku sengaja tak nak. Tapi aku baru aje
nak makan dengan adik-adik aku. Masa kau hon tadipun, kita oang baru lepas baca
doa. Tak sempat lagi nak masukkan nasi dalam mulut. Takkan aku nak tinggalkan
lauk-pauk macam tu je.” Rasanya inilah kali pertama aku menolak pelawaanya
dengan alasan yang bukan aku reka-reka. Jika tidak, setiap kali dia mempelawaku
setiap kali itulah otakku akan berkerja keras mencari jawapan sepertinya sedang
menduduki peperiksaan.
“Oh ye ke?” muka Wafi sudah berubah muram.
Mestilah. Mahu saja aku keluarkan perkataan itu. Tapi
apabila melihat mukanya yang sudah berubah seratus peratus, aku tidak jadi
berbuat begitu. Mukanya yang muram dan masam itu membuatkan aku jadi kesian,
teringat pula segala susah payahnya sewaktu hari lahirku minggu lalu. Nampaknya
aku bukanlah sahabat yang baik buat dirinya.
“Eh, abang Wafi rupanya” Azira muncul tiba-tiba. “Kita orang
baru aje nak makan, jomlah join sekali abang Wafi.”
Mendengarkan pelawaan
Azira pada Wafi, aku terasa seperti mahu jatuh terduduk. Pandai-pandai-pandai
pula dia. Entah bila pula dia keluar ke sini? Bukankah aku sudah menyuruhnya dia, adik-beradik makan terlebih
dahulu. Ish….
“Boleh ke?” soal Wafi seolah tidak percaya. Mukanya sudah
berseri semula mendengarkan pelawaan dari Azira itu.
“Tak boleh!” bentakku perlahan.
Wafi dan Azira pantas memandangku. Aku pula yang
terkebil-kebil membalas pandangan mereka padaku.
“Macam ni, Wafi. Bukan aku tak nak bagi kau joint
kita orang. Kau pun tahukan, yang ada dalam rumah aku ni, semuanya perempuan. Nanti
kalau aku bagi kau masuk, timbul macam-macam cerita pula. Aku malas nak layan
hal-hal macam ni… jadi kau faham-faham ajelah ya.” Aku sendiri sebenarnya
pening dengan apa yang aku cuba sampaikan pada mereka. Rasa macam tunggang
terbalik sahaja ayat yang aku susun tadi. Susahnya untuk aku menerangkannya.
Semoga Wafi tidak berkecil hati.
“Alah, kita bukalah pintu luas-luas.” Azira mula mahu
membantah kata-kataku.
Melihat Azira beria-ia mempelawa, aku mula malas. Aku tidak
mahu Wafi merasa hati. Nampak sangat kehadirannya tidak aku sambut sewajarnya.
“Kau tunggu kejaplah, aku
tukar baju, tunggu tau.” Kali ini aku mengalah. Aku menarik tangan Azira untuk
sama-sama masuk ke dalam rumah. Dia seolah-olah tidak rela meninggalkan Wafi
bersendirian di luar, sepanjang jalan menuju ke muka pintu beberapa kali dia
menoleh ke belakang memandang Wafi.
Sebaik sahaja aku dan Azira melangkah kaki ke dalam rumah
aku terus menutup rapat pintu. Aku lepaskan gengaman tanganku padanya. Wajahnya
aku pandang tajam. “Suka-suka kau aje ajak lelaki masuk rumah kan.” Marahku
padanya. Alia dan Amira yang sedari tadi duduk di meja makan sudah bangun
mendapatkan aku dan Azira yang berdiri di ruang tamu.
“Apa masalahnya, bukannya berdua-duan pun. Kitakan ramai.
Lagi pun dia kawan alongkan?” ada sahaja jawapan yang keluar dari mulutnya.
Hatiku makin panas, jika aku bercakap dengannya memang
banyak sangat jawapan yang akan aku terima. Berlainan dengan Alia dan Amira,
mereka lebih mendengar kata berbanding Azira yang lagaknya agak kasar. Hanya kadangkala
sahaja dia mahu mendengar kata. Itulah setelah aku tunjuk reaksi singa.
“Kalau aku kata tak boleh, tak bolehlah. Kau pernah
nampak ke aku bawa masuk lelaki dalam rumah ni selama ni? Kita ni semua
perempuan tahu tak? Nanti apa jiran-jiran cakap kalau nampak ada lelaki yang
masuk dalam rumah ini.” Panjang aku membebel kali ini. Rasa marah sudah
menguasai diri, namun aku masih lagi mampu mengawal nada suara, takut jika Wafi
yang berada di luar terdengar kata-kataku.
“Biarlah orang nak kata apa pun. Mulut orang bukan kita
boleh tutup.” Perlahan sahaja dia menuturkan ayat itu tapi cukup jelas untuk
aku mendengarnya.
“Kau jangan nak melawan cakap aku. Dah semua pergi makan.
Aku nak keluar.” Aku terus melangkah menuju ke anak tangga. Masih jelas di
telingaku Alia bertanyakan pada Azira apa yang berlaku. Azira membuka cerita. Mungkin
takut aku mendengarnya.
“Tulah kau, memandai aje. Abang Zul pun tak pernah masuk
rumah kita tau.” Alia memberikan
peringatan sewaktu langkahku berasa di anak tangga kedua.
Memang benar kata Alia, Zulhairi yang sudah aku kenal
sejak dari kecil pun tidak pernah aku benarkan masuk ke dalam rumah ini setelah
ayah meninggal, inikan pula lelaki lain. Biarlah apa sekalipun yang ingin Azira
katakan, yang pasti aku tidak akan bertoleransi dengan hal yang satu ini. Bukan
mudah untukku menjaga tiga orang anak dara, sedangkan aku juga sama seperti
mereka semua.
Sampai sahaja di bilik aku menukar baju yang lebih selesa
untuk keluar rumah. Seketika kemudian aku turun ke bawah semula. Setelah
memberikan peringat kepada Alia yang paling tua di antara mereka seperti biasa,
aku terus melangkah keluar untuk berjumpa dengan Wafi. Azira hanya menjamu
selera tanpa sedikit pun memandangku. Dan aku tidak kisah semua itu, asalkan
dia tidak melangar kata-kata dan arahanku, itu sudah cukup bagiku.
SELESAI sahaja makan di secret
recipe,
Wafi memintaku menemannya berjalan-jalan dia dalam mall. Aku ikutkan sahaja lagipun ada benda yang
ingin aku beli sejak minggu lepas lagi, tapi sampai hari ini aku gagal
memenuhinya. Harapnya hari ini aku akan Berjaya. Aku tersenyum lebar apabila
ternampak kedai yang pastinya menjual barangan yang aku inginkan, Langkah aku
panjangkan untuk masuk ke dalam kedai itu.
“Cari apa?” Wafi yang mengikutku sampai ke dalam kedai
ini menyoal bila aku masih lagi tercari-cari barang yang aku mahukan.
“Adalah,” aku berahsia. Mataku sikit pun tidak
memandangnya, mataku masih lagi melewati semua produk yang berada di kedai ini.
Kecewa lagi, tiada satupun kaset yang ada untuk dijual. Sudah aku jangka, mana
mungkin ada lagi kedai yang menjual kaset lagu pada zaman ini. Sudah ketinggalan.
“Bagilah tahu, mana tahu saya boleh tolong.” Wafi seakan
mendesak.
“Tak apa.” Aku tetap dengan sikap berahsia.
“Okay.” Mengalah juga Wafi akhirnya.
Setelah gagal menemui
barang yang aku cari-cari, aku terus mengajak Wafi untuk pulang. Sudah tidak
larat. Masuk sahaja di dalam kereta, Wafi tidak terus menghidupkan enjin
keretanya, dia mengambil barang di tempat duduk belakang terlebih dahulu dan
diserahkannya padaku.
“Apa ni?” Soalku, tanpa melihat isi di dalam beg kertas
yang sudah bertukar tangan.
“Coklat.” Jawabnya ringkas sambil menghidupkan enjin
kereta.
“Mana dapat?”
“Curi.”
“Hah!” aku terkejut mendengar pengakuan darinya. Benarkah
begitu?
Dia sudah ketawa besar. Gear yang sudah ditukar ke
R di biarkan begitu sahaja, niatnya untuk keluar dari parking ini ditangguhkan dahulu.
“Awak ni, agak-agaklah takkan saya nak mencuri pula. Saya
belilah, kan saya outstation ke Langkawi hari tu. Tak ingat?” dia cuba
mengingatkanku, kemudian barulah dia meneruskan pemanduannya setelah ketawanya
makin reda.
Aku hanya tersenyum kecil, lupa yang dia pernah
menghubungiku beberapa hari lalu menyatakan yang dia akan bertugas ke Langkawi
selama beberapa hari. Waktu aku menerima panggilan darinya itu, aku sendiri
tidak pasti kenapa dia harus memaklumkan perkara itu kepadaku. Rasa macam tidak
berkaitan sahaja.
“Kenapa tak pakai jam yang saya bagi tu?” Soalnya, sambil
sesekali memandangku dan jalan raya.
Aku terdiam sebentar. Aku hanya memadang jam tangan yang
sedang aku pakai. “Sayang nak pakai…” berat hati meluahkan kata itu kerana ayat
sebenar yang ingin aku nyatakan adalah disebaliknya. Namun aku tidak tahu
kenapa perkataan ‘sayang’ pula yang keluar dari mulutku ini.
“Apa pula nak disayangnya, saya beli untuk awak memang
untuk pakai, bukan untuk simpan.”
Memanglah begitu, aku juga tahu. Tapi aku segan untuk
memakainya, lebih-lebih lagi di hadapannya. Aku bukanlah terlalu rapat
dengannya sehingga dia perlu membelikan aku jam tangan semahal itu. Jadi jam
itu aku hanya simpan di dalam kotaknya sahaja.
“Pakai ye, saya teringin nak tengok awak pakai jam tu.”
Lembut sahaja arahan yang terkeluar dari bibirnya.
Dan bibirku pula seperti sudah tidak tahu apa yang perlu
aku katakan. Aku tidak mahu berjanji dan tidak pula mahu menidakkannya. Jadi
aku ambil langkah untuk berdiam diri. Biarlah dulu, mungkin apabila jam yang
sedang aku pakai ini sudah rosak, mungkin aku aku memakai jam yang dihadiahkan
darinya pula. Semoga aku menunaikan janji.
Hampir setengah jam di dalam kereta aku akhirnya sampai
di hadapan rumahku. Melihat kereta Zulhairi yang sudah terletak di luar rumahku,
membuahkan senyuman di bibir. Rasa pelik juga dia memandu untuk ke rumahku hari
ini, selalunya dia hanya berjalan kaki.
“Itu kereta Zulkan?” Soal Wafi saat aku sudah membuka
tali pinggang keledar.
“Ha’ah.”
“Dia buat apa sini?”
“Dia memang setiap petang sabtu dan ahad ada kat sini.
Dia ajar adik aku tuisyen.” Aku menerangkan, tidak mahu dia terfikir yang
bukan-bukan. Sudahlah aku tolak mentah-mentah sewaktu dia hendak masuk ke
rumahku sebentar tadi. Jika aku tidak menerangkan pasti dia ingat aku pilih
bulu dalam berkawan. Tapi tak mengapa, Zulhairi sendiri hanya duduk di luar,
mengajar adik-adikku. Jadi aku yakin Wafi faham prinsipku.
“Oh...” hanya itu sahaja jawapan yang aku dengar dari
bibirnya.
“Okaylah, aku turun dulu.” Aku sudah bersedia untuk turun
dari kereta.
“Su, kalau saya ambil awak pergi kerja esok nak tak?”
Aku sudah tertawa mendengarkan soalannya itu. Aku yang
baru sahaja ingin melangkah turun, terbantut. “Kalau kau ambil aku, balik kerja
pula nanti aku nak balik naik apa?”
“Balik nanti pun saya hantar jugalah.”
Entah kenapa. Tapi aku
dapat merasakan yang kata-katanya itu seolah sudah dirancang sejak awal. Cadangan
dengan tujuan tertentu.
“Tak payahlah susahkan kau je. Aku lebih suka berdikari.”
Aku menolak, rumah dia sudahlah jauh berbatu-batu dari rumahku. Buat apalah dia
hendak menyusahkan diri. Zulhairi yang satu taman perumahan denganku pun aku
tidak benarkan saat aku diperdengarkan dengan cadangan yang sama. Lagipun aku
perlu menguruskan Amira untuk ke tadika terlebih dahulu sebelum aku menuju ke
pejabat. Jadi di aku lebih senang untukku menyelesaikan semua perkara sendiri.
“Okay,” hanya itu yang keluar dari bibirnya.
Dan aku bersyukur kerana dia tidak menyoal lebih-lebih.
Aku terus turun dari kereta setelah memberikan salam padanya. Setelah keretanya
bergerak, aku melangkah masuk ke rumahku. Aku tersenyum melihat Zulhairi yang
sedang tekun mengajar Alia berhampiran pintu masuk rumahku. Seperti selalu,
Amira juga ada di situ.
Salamku disambut mereka. Aku terus mengambil tempat duduk
yang sepatutnya diduduki Azira. Memandangkan Azira sudah pun selesai menjalani
peperiksaannya, jadi buat semetara waktu ini, dia sudah ‘merdeka’.
Aku ralit melihat betapa tekunnya Zulhairi mengajar Alia
matematik tambahan. Terkenang semula saat dia menjadi guru tidak bertauliah, mengajarku
sewaktu zaman persekolahan kami dahulu. Bab pelajaran, Zulhairi memang garang.
Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku rasa Cikgu Yaakob, guru kelas kami merangkap
guru matematik tambahan kami pada waktu itu pun tidak segarangnya.
Tapi yang memusykilkan aku ialah masa Zulhairi mengajar
kawan-kawan kelasku yang lain, boleh pula dia mengajar dengan lemah lembut dan
dengan penuh kesabaran. Cuma dengan aku saja tahab kesabarannya cepat pudar. Mungkin
aku memang jenis bebal kut. Mungkin! Habis jari aku dipukul dengan pembaris
jika salah mengira. Itu belum termasuk saat aku salah menggunakan formula, lagi
teruk aku kena ceramah dengannya. Pernah juga aku tanya kenapa dia begitu
garang denganku. Jawapan yang diberikan begitu mudah. Alasannya cuma kerana aku
ini jenis susah hendak dilentur apatah lagi diajar. Geram! Sampai hati sungguh
dia! Mujur saat itu aku memerlukan khidmat tunjuk ajarnya, jika tidak, sudah
lama aku isytiharkan putus sahabat. Namun kini ia menjadi semua kenangan indah
untuk dikenang kembali.
“Cuba jawab dulu soalan lima ni. Jangan nak main hentam
je, fikir betul-betul. Lepas ni kita bincang.” Arahnya pada Alia. Membuatkan aku
dapat rasa seperti kembali ke zaman persekolahan dahulu.
“Pergi mana?” Soalnya padaku. Pen merah diletakkan di
atas meja.
Aku yang ralit mengenang kisah lama terus memandang
wajahnya. “Keluar kejap.” Jawapku ringkas, aku segera mengalihkan padangan pada
tangan Alia yang laju menulis jalan kiranya dia atas lembaran kertas kajang.
Amira pula tekun dengan aktiviti mewarna, di sebelah Zulhairi. Pantang ada
Zulhairi, di situ jugalah Amira ada untuk bermanja.
“Aku tahulah kau keluar, tapi pergi mana?” Zulhairi mula
mahu bersoal siasat. Suaranya rendah, mungkin tidak mahu menganggu Alia yang
kelihatan sedang bersungguh-sungguh menjawab soalan yang diberikan.
Malas pula aku mahu bercerita dengannya ke mana dan
dengan siapa aku pergi. Aku mengaru kepala yang tidak gatal cuba mencari idea
untuk lari dari topik yang membuatkan wajahnya serius semacam. Melihat ada
kotak kasut dibawah meja, di sebelah kakinya aku terus menunduk dan mengambil
kotak itu dan meletakkannya ke atas meja.
“Apa ni?” aku membelek kotak kasut jenama Sembonia itu.
Tak mungkin pula kasut ada di dalamnya, sewaktu aku mengangkatnya tadi, berat
semacam sahaja kotaknya.
“Aku bawa untuk kau.”
“Untuk aku?” Macam tak percaya pula. Aku terus membuka
kotak tersebut, aku melebarkan senyuman melihat isi di dalamnya. “Amboi
banyaknya kaset? Boleh guna lagi ke ni?” Aku mengeluarkan kaset-kaset yang ada
di dalamnya. Dari artis berkumpulan hinggalah penyanyi solo. Dari artis
tempatan hingga luar negara. Semua ada dalam simpanannya. Melihat kaset yang
satu ini membuatkan aku ingin ketawa berguling-guling, Kaset Amelina penyanyi
dangdut itu pun dia ada?
“Mestilah boleh guna, tengoklah siapa yang jaga.”
“Kaset ni pun kau ada?”
aku menunjukkan kaset album nyanyian Amelina. Ketawa sudah bersorak.
“Jangan nak fikir
bukan-bukan ye, kaset yang sedang kau pegang dan ketawa bagai nak rak tu bukan
aku punya, yang tu kak Zarina yang punya. Aku tolong simpankan je, harap
maklum.” Terangnya bersungguh-sungguh.
“Okaylah aku percaya.” Niat untuk menyakatnya lebih-lebih
terpaksa aku ketepikan bila Alia sudah memandang aku dan Zulhairi silih berganti,
mungkin dia tidak dapat fokus menjawab soalan yang pastinya boleh memeningkan
kepala itu.
“Jangan lupa pulangkan pula nanti.” Dia mengingatkan.
“Alah, rilekslah Zul. Bukan harta kau harta aku juga ke?”
mesti Zulhairi sakit hati mendengarkan kataku ini. Dari dulu jika aku meminjam
barangnya memang jarang aku akan pulangkan awal padanya. Jika tidak sampai
berbulan barangan itu berada di tanganku tidak sah. Aku rasa dia pun sudah cukup
masak dengan perangaiku. Dia tidak akan mengambil kisah. Sekalipun dia tidak
pernah mengungkit.
“Kahwin dengan aku dululah, baru harta aku boleh jadi
harta kau.” Cepat sahaja Zulhairi membalas kata bersama senyuman yang sudah
menghiasi wajah.
Jantungku bagai mahu gugur mendengarnya. Aku jadi kaku.
Melihat Alia sedaya upaya menahan tawanya, aku jadi lebih tidak senang duduk. Zulhairi
ini pun satu, kalau nak buat lawak pun, tak perlulah di hadapan Alia. Nanti
macam-macam pula yang Alia fikirkan.
“Setuju tak?’ gasak Zulhairi lagi.
Erk… aku sudah jadi batu. Malu sudah satu alam. Aku rasa
inilah kali pertama aku lidahku kelu. Tidak tahu apa yang harus aku jawab.
Sedangkan selalunya petah saja lidahku membidas dan membalas.
“Kata okay je, along.” Alia memberikan cadangannya. Amira
juga tekun mendengar. Entah dia faham atau tidak?
Aku membesarkan mata padanya, Tanda jangan ikut campur. Zulhairi
pula sudah tergelak besar. Dia memberikan double thump ub pada Alia. Geram sungguh aku bila mereka
sudah berpakat begini.
“Along nak kahwin dengan abang Zul? Yeh….” Amira bersorak
gembira.
“Dah, jangan nak merepek banyak sangat, belajar. Kau pula
Zul jangan nak merapu, ajar adik aku ni sampai pandai, faham!” Aku terus
bangun, tidak sanggup untuk berada lagi di situ. Kotak kasut aku angkat
bersama, mahu bawa pergi.
“Su.” Zulhairi memanggilku.
“Apa?”
“Kaset yang cover merah tu, tak payah pulang balik
nanti”
“Apasal pula?” tanyaku tidak mengerti.
“Sebab yang tu, khas untuk kau!” Zulhairi senyum simpul
selepas ayat itu diluah.
“Iyalah tu. Bunyi macam nak mengenakan aku lagi aje.” Aku
enggan percaya. Lebih-lebih lagi melihatkan senyum Zulhairi. Seolah ada niat
yang berselindung dibaliknya. Aku kembali mahu meneruskan langkah yang terhenti
tadi.
“Su.”
Sekali lagi namaku kedengaran. langkah terhenti untuk
kesekian kalinya. Apa lagilah yang Zulhairi nak kenakan aku!
“Apanya?”
“Jangan masak malam ni. Mak aku ajak kau dengan adik-adik
kau makan kat rumah aku.”
“Hah, betul ke ni?” soalku dalam kegembiraan, sudah lama
rasanya tidak merasa masakan makcik Khamisah.
“Betullah buat apa aku nak tipu kau. Kalau tak percaya
kau telefonlah mak aku.”
“Tapi kenapa pula?”
“Alah sajalah tu nak berbual-bual dengan bakal menantu.
Kan Alia kan?” Terhanguk-hanguk kepalanya memandang Alia dan Alia turut
membalas dengan senyuman lebar. Amira juga begitu tersengih-sengih seolah dia
faham semuanya.
“Sudahlah kau Zul. Amira, masuk!” Aku arahkan Amira
masuk. Lalu aku meninggalkan mereka yang makin galak ketawa. Sakitnya hati! Jantung
aku pun satu hal juga. Dari tadi asyik berdegup laju. Parah sungguh kalau terus
macam ni.
“TUNJUK rajin nampak. Nak
jadi menantu kesayanganlah tu.”
Aku rasa seperti mahu sahaja membenamkan wajahku di dalam
sinki yang penuh dengan buih sabun itu apabila mendengar kata-kata Zulhairi.
Nasib baiklah hanya ada pak cik Ismail sahaja di dapur, jika mak cik Khamisah
yang ada, tentu sahaja dia akan menambah perasa. Maklumlah aku nikan calon
menantu pilihannya juga.
“Kamu ni Zul, kalau sehari tak menyakat si Su ni tak
boleh agaknya.” Pakcik Ismail menggelengkan kepala dan keluar dari dapur
setelah selesai mencuci tangannya.
Setapak sahaja Pakcik Ismail keluar dari dapur aku terus
merinjiskan air ke muka Zulhairi. Dia cuba mengelak tapi tidak berjaya kerana
aku lebih pantas bertindak. Dalam hati aku sudah tergelak besar.
“Kau ni agak-agaklah, basah aku nanti.” Dia berjalan
menuju ke kabinet dapur, setelah berjaya mengambil tisu dia berjalan semula ke
arahku sambil menyapu air yang membasahi wajahnya.
“Kau tu yang kena beragak. Ada ke cakap macam tu depan
pakcik. Malulah aku.” Aku meneruskan cucian pinggan yang tidak seberapa lagi
banyaknya.
“Alah rilekslah, macam tak pernah kena sakat dengan aku sebelum
ni.” Dia membela diri yang sudah ternyata bersalah.
“Sakat apanya? Itu melebih-lebih.” Aku cuba untuk
mengawal diri. Sudahlah minggu ini jantung aku ini sudah lama macam degupannya
bila bersama dengannya. Ditambah pula dengan kata-katanya sejak petang tadi,
memang boleh meletup jantung aku dibuatnya kalau hari-hari begini.
“Aku sebenarnya
kalau kau nak tahu…” kata-kata Zulhairi termati di situ sahaja apabila makcik
Khamsiah masuk ke dapur dan memanggilnya.
Telinga yang tadinya fokus mendengar, hilang arah apabila
mak cik Khamsiah masuk ke dapur. Aduhai, terasa teringin pula mendengar apa
yang ingin dikatakan Zulhairi. Kalau makcik Khamisah datang lewat seminitkan
bagus. Dapat juga aku mendengar ayat yang Zulhairi ingin katakan.
“Zul, sudah-sudahlah berborak dengan Su. Pergi masuk,
ayah kamu panggil tu.” Makcik Khamisah menghalau anaknya masuk ke dalam.
Bersama muka yang agak
layu dan sedih, Zulhairi menghulurkan mug yang dipegangnya dari tadi padaku. “Abang
masuk dululah sayang, ayah panggil pula. Kacau daun betul.” Tenang saja
Zulhairi meluah kata. Seolah sudah terbiasa dengan ayat itu.
Membulat mataku jadinya.
Mukaku sudah diserbu dengan jentera darah. Tanpa diarahkan jantungpun sama
melompat-lompat. Makcik Khamsiah pula sudah tergelak sakan di dapur ini,
bertambah malu aku jadinya. Aku yang
seperti baru sahaja tersedar dari lamunan pantas mencari dirinya namun dia
sudah hilang entah ke mana. Huh, laju pula dia menyelusup keluar dari dapur ini
melarikan diri. Kurang asam punya Zulhairi. Sengaja nak seksa jantung aku.
“Sudah-sudahlah Su,
tinggalkan je nanti mak sambung basuh.”
Sudah! Anak beranak ni sudah
berpakat mahu mengenakan aku ke apa? Aku pura-pura tidak mendengar ayat yang
keluar dari mulut makcik Khamsiah, senyuman yang bergayut di bibirnya pun aku
buat-buat tidak nampak. Aku teruskan tugas mencuci pinggan mangkuk. Jantung
masih berdegup dengan kuat. Aku risau ada pula pinggan yang pecah kerana
fikiranku sudah melayang entah ke mana perginya.
Habis sahaja mencuci
pinggan aku terus keluar dari dapur. Cadangnya untuk duduk sebentar di ruang
tamu sebelum meminta diri untuk pulang. Adik-adikku duduk menonton televisyen. Masing-masing
kusyuk. Buat macam rumah sendiri. Mungkin sudah terbiasa agaknya. Jam pun sudah
hampir pukul sepuluh malam. Namun baru sahaja aku ingin melangkah ke ruang
tamu, makcik Khamsiah yang berada di meja makan memanggilku untuk duduk
bersama-samanya. Ada perkara yang ingin dibincangkan bersamaku katanya.
“Su tahukan yang Zul dapat tawaran kenaikan di Johor,
awal tahun depan?” soalan pertama Makcik Khamisah.
Aku hanya mengangguk dan menunggu kata-kata seterusnya.
“Hari tu kan kita dah bincang nak langsungkan majlis Su
dan Zul tahun depan.” Tambahnya lagi.
Aku rasa tidak senang hati apabila hal majlis aku dan Zul
dibangkitkannya. Jika Zulhairi sudah bercerita dengan ibunya tentang tawaran
kenaikan pangkat yang dia dapat, kenapa dia tidak bercerita terus terang
tentang hal aku dan dirinya? Tidak mungkin disatukan. Bila lagi dia mahu
berterus terang? Tak tahun hadapan baru dia ingin membuka cerita. Aku takut
makin lama dibiarkan makin payah untuknya menyelesaikan hal ini.
“Kebetulan Zul dah nak ke sana awal tahun depan. Makcik dah
sarankan pada Zul supaya kahwin dengan kamu hujung tahun ni.” Ceria betul wajah
Makcik Khamsiah sewaktu cadangan itu dinyatakan.
Lidahku sudah terasa kelu untuk berkata-kata. Mataku terkebil-kebil
memandangnya lebih-lebih lagi apabila mak cik Khamsiah sudah mengambil kedua-dua
tanganku dan mengenggamnya erat.
“Makcik bukannya apa, kalau kamu berdua sudah sah jadi
suami isteri, bolehlah kamu ikut Zul sekali ke Johor tu. Ada juga orang
temankan dia di sana. Bawa sekali adik-adik kamu tinggal di sana. Makcik yakin
Zul tak kisah.” Mak cik Khamsiah membuat perancangan rapi.
Aku pening! Apa yang perlu aku lakukan saat ini? “Zul
pula kata apa mak cik?” erk, kenapa pula soalan ini yang keluar dari bibirku.
Rasanya mindaku masih lagi merangka soalan yang ingin ditanya.
Mak cik Khamsiah tersenyum senang. “Dia tak kata apa dia
diam je, alah makcik kenal Zul tu. Kalau dia dah diam tu maknanya dia setuju
dengan cadangan makcik.”
Aduh, Masalah ni! Apa yang perlu aku lakukan, apa yang
harus aku perkatakan? Jika Zulhairi sudah mengambil langkah berdiam diri, apa
lagi yang boleh aku boleh buat. Zulhairi ni pun satu. Kalau terus terang kan
senang. Aku mengerling memandang Zulhairi yang sedang rancak bermain puzzle
bersama Amira di atas permaidani ruang tamu. Melihat tawanya melayan setiap
kerenah Amira membuatkan hatiku terusik.
Jika dia sudah ditakdirkan untukku, mengapa aku perlu
lari dan menentang takdir Illahi. Apakah aku perlu redha sahaja dengan
ketentuanNya...?
Bersambung...
Kata AH:
Wah lambat pula entry 19 ni ya. Sorry buat semua. Tak lama lagi AH terpaksa menamatkan kisah SAC di blog AH utk bagi laluan pada Penerbit, menerbitkan SAC. Insya'ALLAH kalau ada rezeki, tahun depan dapatlah SAC keluar di pasaran. Harapnyalah! Terima kasih semua. AH juga ambil kesempatan ini utk ucapkan Salam Aidiladha buat semua rakan pembaca yang beragama Islam. Hayatilah semangat pengorbanan. Semoga setiap pengorbanan yang kita buat menuju kepada keredhaan ALLAH SWT. Jumpa next entry.
8 comments:
wahhh,tahniah akak!!xsabar nk dapatkan novel ni nanti!!sy akan rindu dgn zul n su!!
tp kan si wafi tu xtau ke yg su tu tunangan org?
ala...baru nk hepi tgok zul ngan su...wafi tu penyibukk je la...xmau dia ngan su..nak zul je...cpt2 la zul pinang su tu...!
psst: akak nk post smpai episod baper je?citer ni best..sy suka baca..nnti dh dibukukan inform ye:)
best..............zul+ su....suka
Nak su dgn zul....tak sabar tgu dibukukan.
tk sbr dibukukan,,mmg best
emmm stuju en3 ni lmbt keke,. redo je lah Su,.Zul mmg dh tgkap lentok ngan Su cuma su tu je blurr2 je nk fhm keke,.
lmbt lg la yek nk tgu taun dpn bru leh bce SAC,. isnyallah sy akan dptkan SAC dlm versi cetak nnti keke,.
Nak zul kawin cpt2 dgn Su. Nk lg n3 plizzzz....
Post a Comment