Thursday, October 25, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 19


19
            Habis sahaja Azira menamatkan bacaan doa makannya, aku terdengar bunyi hon kereta dari luar rumah. Anak mataku yang tadinya mula tertumpu pada sepinggan nasi mula berpaling memandang pintu yang sedia tertutup rapat. Seketika kemudian, terdengar bunyi loceng bertalu-talu. Aku memandang adik-adikku yang matanya juga sudah terarah kepadaku. Nasi yang sudah terhidang dalam pinggan masing-masing langsung tiada yang mahu mengusiknya. Masing-masing tertanya-tanya siapa yang datang pada waktu begini? Baru saja mahu menjamu makan tengah hari.
            “Kau orang makanlah dulu.” Aku bangun dari kerusi dan terus menuju ke muka pintu. Buka sahaja pintu kayu itu, aku nampak wajah Wafi.
            Jika dulu aku buat tidak tahu sahaja, tapi hari ini aku terasa teringin sangat ingin mengetahui siapakah orangnya yang memandai-mandai memberikan alamat rumahku kepada Wafi. Bukan aku tidak suka dengan dirinya, malah aku sudah menganggapnya sebagai kawan. Dia juga menunjukkan ciri-ciri sahabat yang baik padaku. Cuma aku belum terbiasa dengannya sehingga kehadirannya boleh membuatkan aku boleh tersenyum lebar seperti mana kedatangan Zulhairi selalunya.
            Dalam memikirkan pelbagai andaian, aku capai juga kunci rumah yang aku sangkut di dinding berhampiran pintu. Aku buka gerigi besi lalu berjalan ke pintu pagar untuk bertemu muka dengannya. Wafi terus memberikan salam sewaktu langkahku semakin menghampirinya. Salam yang dihulurkan itu aku jawab dengan senyuman yang aku rasa tidak berapa menjadi. Wahai hati tolonglah ikhlas menerima tetamu ini.
            “Dah banyak kali saya call, tak berjawab pun.” Dia memulakan perbicaraan sebelum sempat aku bertanya.
            “Bila kau call?”
            “Dari pagi tadi. Dah malas nak call, tu terus datang sini.” Mudah untuk dia membuat keputusan setelah dia mengetahui di mana tempat kediamanku.
            Dari pagi? Berkerut dahiku memikirkan panggilan yang telah aku terima dari pagi tadi. Rasanya macam aku tidak dengar langsung telefon bimbitku berdering pagi ini. Oh, ya baru aku teringat, telefon bimbitku berada di dalam bilik sedangkan sejak lepas subuh tadi aku sudah berada di bawah, memasak dan mengemas rumah. Langsung lupa dengan telefonku. Jadi patutlah aku tidak dapat mendengar deringannya.
            “Sorrylah, tak perasan pula ada call. Kenapa kau datang ni?” malas hendak bersoal jawab lebih-lebih aku terus pada tujuan asalnya datang ke sini setelah gagal menghubungiku. Perut sudah terasa sangat lapar. Nasi dan lauk pauk yang berada di atas meja yang belum sempat aku usik itu seperti melambai-lambai memanggilku.
            “Saya nak ajak awak keluar makan.”
            Mendengar ayat itu, aku terus terus mengeluh dalam hati. Aku rasa Wafi mesti jenis manusia yang tidak boleh makan seorang diri. Sebab itulah sering kali saja dia mengajakku keluar makan bersamanya. Agaknya kalau dia makan seorang dia, pasti nasi bersama lauk pauk yang hebat itu terasa pahit untuk ditelan dan sama sekali tidak mengenyangkan!
            “Tak bolehlah Wafi, aku sebenarnya…”
            “Jomlah, saya dah lama teringin nak makan makaroni bakar ni.”
            Belum sempat aku memberikan alasan, dia terlebih dahulu memintas apa yang ingin aku perkatakan. “Bukan aku sengaja tak nak. Tapi aku baru aje nak makan dengan adik-adik aku. Masa kau hon tadipun, kita oang baru lepas baca doa. Tak sempat lagi nak masukkan nasi dalam mulut. Takkan aku nak tinggalkan lauk-pauk macam tu je.” Rasanya inilah kali pertama aku menolak pelawaanya dengan alasan yang bukan aku reka-reka. Jika tidak, setiap kali dia mempelawaku setiap kali itulah otakku akan berkerja keras mencari jawapan sepertinya sedang menduduki peperiksaan.
            “Oh ye ke?” muka Wafi sudah berubah muram.
            Mestilah. Mahu saja aku keluarkan perkataan itu. Tapi apabila melihat mukanya yang sudah berubah seratus peratus, aku tidak jadi berbuat begitu. Mukanya yang muram dan masam itu membuatkan aku jadi kesian, teringat pula segala susah payahnya sewaktu hari lahirku minggu lalu. Nampaknya aku bukanlah sahabat yang baik buat dirinya.
            “Eh, abang Wafi rupanya” Azira muncul tiba-tiba. “Kita orang baru aje nak makan, jomlah join sekali abang Wafi.”
Mendengarkan pelawaan Azira pada Wafi, aku terasa seperti mahu jatuh terduduk. Pandai-pandai-pandai pula dia. Entah bila pula dia keluar ke sini? Bukankah aku sudah  menyuruhnya dia, adik-beradik makan terlebih dahulu. Ish….
            “Boleh ke?” soal Wafi seolah tidak percaya. Mukanya sudah berseri semula mendengarkan pelawaan dari Azira itu.
            “Tak boleh!” bentakku perlahan.
            Wafi dan Azira pantas memandangku. Aku pula yang terkebil-kebil membalas pandangan mereka padaku.
            “Macam ni, Wafi. Bukan aku tak nak bagi kau joint kita orang. Kau pun tahukan, yang ada dalam rumah aku ni, semuanya perempuan. Nanti kalau aku bagi kau masuk, timbul macam-macam cerita pula. Aku malas nak layan hal-hal macam ni… jadi kau faham-faham ajelah ya.” Aku sendiri sebenarnya pening dengan apa yang aku cuba sampaikan pada mereka. Rasa macam tunggang terbalik sahaja ayat yang aku susun tadi. Susahnya untuk aku menerangkannya. Semoga Wafi tidak berkecil hati.
            “Alah, kita bukalah pintu luas-luas.” Azira mula mahu membantah kata-kataku.
            Melihat Azira beria-ia mempelawa, aku mula malas. Aku tidak mahu Wafi merasa hati. Nampak sangat kehadirannya tidak aku sambut sewajarnya.
“Kau tunggu kejaplah, aku tukar baju, tunggu tau.” Kali ini aku mengalah. Aku menarik tangan Azira untuk sama-sama masuk ke dalam rumah. Dia seolah-olah tidak rela meninggalkan Wafi bersendirian di luar, sepanjang jalan menuju ke muka pintu beberapa kali dia menoleh ke belakang memandang Wafi.
            Sebaik sahaja aku dan Azira melangkah kaki ke dalam rumah aku terus menutup rapat pintu. Aku lepaskan gengaman tanganku padanya. Wajahnya aku pandang tajam. “Suka-suka kau aje ajak lelaki masuk rumah kan.” Marahku padanya. Alia dan Amira yang sedari tadi duduk di meja makan sudah bangun mendapatkan aku dan Azira yang berdiri di ruang tamu.
            “Apa masalahnya, bukannya berdua-duan pun. Kitakan ramai. Lagi pun dia kawan alongkan?” ada sahaja jawapan yang keluar dari mulutnya.
            Hatiku makin panas, jika aku bercakap dengannya memang banyak sangat jawapan yang akan aku terima. Berlainan dengan Alia dan Amira, mereka lebih mendengar kata berbanding Azira yang lagaknya agak kasar. Hanya kadangkala sahaja dia mahu mendengar kata. Itulah setelah aku tunjuk reaksi singa.
            “Kalau aku kata tak boleh, tak bolehlah. Kau pernah nampak ke aku bawa masuk lelaki dalam rumah ni selama ni? Kita ni semua perempuan tahu tak? Nanti apa jiran-jiran cakap kalau nampak ada lelaki yang masuk dalam rumah ini.” Panjang aku membebel kali ini. Rasa marah sudah menguasai diri, namun aku masih lagi mampu mengawal nada suara, takut jika Wafi yang berada di luar terdengar kata-kataku.
            “Biarlah orang nak kata apa pun. Mulut orang bukan kita boleh tutup.” Perlahan sahaja dia menuturkan ayat itu tapi cukup jelas untuk aku mendengarnya.
            “Kau jangan nak melawan cakap aku. Dah semua pergi makan. Aku nak keluar.” Aku terus melangkah menuju ke anak tangga. Masih jelas di telingaku Alia bertanyakan pada Azira apa yang berlaku. Azira membuka cerita. Mungkin takut aku mendengarnya.
            “Tulah kau, memandai aje. Abang Zul pun tak pernah masuk rumah kita tau.”  Alia memberikan peringatan sewaktu langkahku berasa di anak tangga kedua.
            Memang benar kata Alia, Zulhairi yang sudah aku kenal sejak dari kecil pun tidak pernah aku benarkan masuk ke dalam rumah ini setelah ayah meninggal, inikan pula lelaki lain. Biarlah apa sekalipun yang ingin Azira katakan, yang pasti aku tidak akan bertoleransi dengan hal yang satu ini. Bukan mudah untukku menjaga tiga orang anak dara, sedangkan aku juga sama seperti mereka semua.
            Sampai sahaja di bilik aku menukar baju yang lebih selesa untuk keluar rumah. Seketika kemudian aku turun ke bawah semula. Setelah memberikan peringat kepada Alia yang paling tua di antara mereka seperti biasa, aku terus melangkah keluar untuk berjumpa dengan Wafi. Azira hanya menjamu selera tanpa sedikit pun memandangku. Dan aku tidak kisah semua itu, asalkan dia tidak melangar kata-kata dan arahanku, itu sudah cukup bagiku.


SELESAI sahaja makan di secret recipe, Wafi memintaku menemannya berjalan-jalan dia dalam mall. Aku ikutkan sahaja lagipun ada benda yang ingin aku beli sejak minggu lepas lagi, tapi sampai hari ini aku gagal memenuhinya. Harapnya hari ini aku akan Berjaya. Aku tersenyum lebar apabila ternampak kedai yang pastinya menjual barangan yang aku inginkan, Langkah aku panjangkan untuk masuk ke dalam kedai itu.
            “Cari apa?” Wafi yang mengikutku sampai ke dalam kedai ini menyoal bila aku masih lagi tercari-cari barang yang aku mahukan.
            “Adalah,” aku berahsia. Mataku sikit pun tidak memandangnya, mataku masih lagi melewati semua produk yang berada di kedai ini. Kecewa lagi, tiada satupun kaset yang ada untuk dijual. Sudah aku jangka, mana mungkin ada lagi kedai yang menjual kaset lagu pada zaman ini. Sudah ketinggalan.
            “Bagilah tahu, mana tahu saya boleh tolong.” Wafi seakan mendesak.
            “Tak apa.” Aku tetap dengan sikap berahsia.
            “Okay.” Mengalah juga Wafi akhirnya.    
Setelah gagal menemui barang yang aku cari-cari, aku terus mengajak Wafi untuk pulang. Sudah tidak larat. Masuk sahaja di dalam kereta, Wafi tidak terus menghidupkan enjin keretanya, dia mengambil barang di tempat duduk belakang terlebih dahulu dan diserahkannya padaku.
            “Apa ni?” Soalku, tanpa melihat isi di dalam beg kertas yang sudah bertukar tangan.
            “Coklat.” Jawabnya ringkas sambil menghidupkan enjin kereta.
            “Mana dapat?”
            “Curi.”
            “Hah!” aku terkejut mendengar pengakuan darinya. Benarkah begitu?
            Dia sudah ketawa besar. Gear yang sudah ditukar ke R di biarkan begitu sahaja, niatnya untuk keluar dari parking ini ditangguhkan dahulu.
            “Awak ni, agak-agaklah takkan saya nak mencuri pula. Saya belilah, kan saya outstation ke Langkawi hari tu. Tak ingat?” dia cuba mengingatkanku, kemudian barulah dia meneruskan pemanduannya setelah ketawanya makin reda.
            Aku hanya tersenyum kecil, lupa yang dia pernah menghubungiku beberapa hari lalu menyatakan yang dia akan bertugas ke Langkawi selama beberapa hari. Waktu aku menerima panggilan darinya itu, aku sendiri tidak pasti kenapa dia harus memaklumkan perkara itu kepadaku. Rasa macam tidak berkaitan sahaja.
            “Kenapa tak pakai jam yang saya bagi tu?” Soalnya, sambil sesekali memandangku dan jalan raya.
            Aku terdiam sebentar. Aku hanya memadang jam tangan yang sedang aku pakai. “Sayang nak pakai…” berat hati meluahkan kata itu kerana ayat sebenar yang ingin aku nyatakan adalah disebaliknya. Namun aku tidak tahu kenapa perkataan ‘sayang’ pula yang keluar dari mulutku ini.
            “Apa pula nak disayangnya, saya beli untuk awak memang untuk pakai, bukan untuk simpan.”
            Memanglah begitu, aku juga tahu. Tapi aku segan untuk memakainya, lebih-lebih lagi di hadapannya. Aku bukanlah terlalu rapat dengannya sehingga dia perlu membelikan aku jam tangan semahal itu. Jadi jam itu aku hanya simpan di dalam kotaknya sahaja.
            “Pakai ye, saya teringin nak tengok awak pakai jam tu.” Lembut sahaja arahan yang terkeluar dari bibirnya.
            Dan bibirku pula seperti sudah tidak tahu apa yang perlu aku katakan. Aku tidak mahu berjanji dan tidak pula mahu menidakkannya. Jadi aku ambil langkah untuk berdiam diri. Biarlah dulu, mungkin apabila jam yang sedang aku pakai ini sudah rosak, mungkin aku aku memakai jam yang dihadiahkan darinya pula. Semoga aku menunaikan janji.
            Hampir setengah jam di dalam kereta aku akhirnya sampai di hadapan rumahku. Melihat kereta Zulhairi yang sudah terletak di luar rumahku, membuahkan senyuman di bibir. Rasa pelik juga dia memandu untuk ke rumahku hari ini, selalunya dia hanya berjalan kaki.
            “Itu kereta Zulkan?” Soal Wafi saat aku sudah membuka tali pinggang keledar.
            “Ha’ah.”
            “Dia buat apa sini?”
            “Dia memang setiap petang sabtu dan ahad ada kat sini. Dia ajar adik aku tuisyen.” Aku menerangkan, tidak mahu dia terfikir yang bukan-bukan. Sudahlah aku tolak mentah-mentah sewaktu dia hendak masuk ke rumahku sebentar tadi. Jika aku tidak menerangkan pasti dia ingat aku pilih bulu dalam berkawan. Tapi tak mengapa, Zulhairi sendiri hanya duduk di luar, mengajar adik-adikku. Jadi aku yakin Wafi faham prinsipku.
            “Oh...” hanya itu sahaja jawapan yang aku dengar dari bibirnya.
            “Okaylah, aku turun dulu.” Aku sudah bersedia untuk turun dari kereta.
            “Su, kalau saya ambil awak pergi kerja esok nak tak?”
            Aku sudah tertawa mendengarkan soalannya itu. Aku yang baru sahaja ingin melangkah turun, terbantut. “Kalau kau ambil aku, balik kerja pula nanti aku nak balik naik apa?”
            “Balik nanti pun saya hantar jugalah.”
Entah kenapa. Tapi aku dapat merasakan yang kata-katanya itu seolah sudah dirancang sejak awal. Cadangan dengan tujuan tertentu.
            “Tak payahlah susahkan kau je. Aku lebih suka berdikari.” Aku menolak, rumah dia sudahlah jauh berbatu-batu dari rumahku. Buat apalah dia hendak menyusahkan diri. Zulhairi yang satu taman perumahan denganku pun aku tidak benarkan saat aku diperdengarkan dengan cadangan yang sama. Lagipun aku perlu menguruskan Amira untuk ke tadika terlebih dahulu sebelum aku menuju ke pejabat. Jadi di aku lebih senang untukku menyelesaikan semua perkara sendiri.
            “Okay,” hanya itu yang keluar dari bibirnya.
            Dan aku bersyukur kerana dia tidak menyoal lebih-lebih. Aku terus turun dari kereta setelah memberikan salam padanya. Setelah keretanya bergerak, aku melangkah masuk ke rumahku. Aku tersenyum melihat Zulhairi yang sedang tekun mengajar Alia berhampiran pintu masuk rumahku. Seperti selalu, Amira juga ada di situ.
            Salamku disambut mereka. Aku terus mengambil tempat duduk yang sepatutnya diduduki Azira. Memandangkan Azira sudah pun selesai menjalani peperiksaannya, jadi buat semetara waktu ini, dia sudah ‘merdeka’.
            Aku ralit melihat betapa tekunnya Zulhairi mengajar Alia matematik tambahan. Terkenang semula saat dia menjadi guru tidak bertauliah, mengajarku sewaktu zaman persekolahan kami dahulu. Bab pelajaran, Zulhairi memang garang. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku rasa Cikgu Yaakob, guru kelas kami merangkap guru matematik tambahan kami pada waktu itu pun tidak segarangnya.
            Tapi yang memusykilkan aku ialah masa Zulhairi mengajar kawan-kawan kelasku yang lain, boleh pula dia mengajar dengan lemah lembut dan dengan penuh kesabaran. Cuma dengan aku saja tahab kesabarannya cepat pudar. Mungkin aku memang jenis bebal kut. Mungkin! Habis jari aku dipukul dengan pembaris jika salah mengira. Itu belum termasuk saat aku salah menggunakan formula, lagi teruk aku kena ceramah dengannya. Pernah juga aku tanya kenapa dia begitu garang denganku. Jawapan yang diberikan begitu mudah. Alasannya cuma kerana aku ini jenis susah hendak dilentur apatah lagi diajar. Geram! Sampai hati sungguh dia! Mujur saat itu aku memerlukan khidmat tunjuk ajarnya, jika tidak, sudah lama aku isytiharkan putus sahabat. Namun kini ia menjadi semua kenangan indah untuk dikenang kembali.
            “Cuba jawab dulu soalan lima ni. Jangan nak main hentam je, fikir betul-betul. Lepas ni kita bincang.” Arahnya pada Alia. Membuatkan aku dapat rasa seperti kembali ke zaman persekolahan dahulu.
            “Pergi mana?” Soalnya padaku. Pen merah diletakkan di atas meja.
            Aku yang ralit mengenang kisah lama terus memandang wajahnya. “Keluar kejap.” Jawapku ringkas, aku segera mengalihkan padangan pada tangan Alia yang laju menulis jalan kiranya dia atas lembaran kertas kajang. Amira pula tekun dengan aktiviti mewarna, di sebelah Zulhairi. Pantang ada Zulhairi, di situ jugalah Amira ada untuk bermanja.
            “Aku tahulah kau keluar, tapi pergi mana?” Zulhairi mula mahu bersoal siasat. Suaranya rendah, mungkin tidak mahu menganggu Alia yang kelihatan sedang bersungguh-sungguh menjawab soalan yang diberikan.
            Malas pula aku mahu bercerita dengannya ke mana dan dengan siapa aku pergi. Aku mengaru kepala yang tidak gatal cuba mencari idea untuk lari dari topik yang membuatkan wajahnya serius semacam. Melihat ada kotak kasut dibawah meja, di sebelah kakinya aku terus menunduk dan mengambil kotak itu dan meletakkannya ke atas meja.
            “Apa ni?” aku membelek kotak kasut jenama Sembonia itu. Tak mungkin pula kasut ada di dalamnya, sewaktu aku mengangkatnya tadi, berat semacam sahaja kotaknya.
            “Aku bawa untuk kau.”
            “Untuk aku?” Macam tak percaya pula. Aku terus membuka kotak tersebut, aku melebarkan senyuman melihat isi di dalamnya. “Amboi banyaknya kaset? Boleh guna lagi ke ni?” Aku mengeluarkan kaset-kaset yang ada di dalamnya. Dari artis berkumpulan hinggalah penyanyi solo. Dari artis tempatan hingga luar negara. Semua ada dalam simpanannya. Melihat kaset yang satu ini membuatkan aku ingin ketawa berguling-guling, Kaset Amelina penyanyi dangdut itu pun dia ada?
            “Mestilah boleh guna, tengoklah siapa yang jaga.”
“Kaset ni pun kau ada?” aku menunjukkan kaset album nyanyian Amelina. Ketawa sudah bersorak.
“Jangan nak fikir bukan-bukan ye, kaset yang sedang kau pegang dan ketawa bagai nak rak tu bukan aku punya, yang tu kak Zarina yang punya. Aku tolong simpankan je, harap maklum.” Terangnya bersungguh-sungguh.
            “Okaylah aku percaya.” Niat untuk menyakatnya lebih-lebih terpaksa aku ketepikan bila Alia sudah memandang aku dan Zulhairi silih berganti, mungkin dia tidak dapat fokus menjawab soalan yang pastinya boleh memeningkan kepala itu.
            “Jangan lupa pulangkan pula nanti.” Dia mengingatkan.
            “Alah, rilekslah Zul. Bukan harta kau harta aku juga ke?” mesti Zulhairi sakit hati mendengarkan kataku ini. Dari dulu jika aku meminjam barangnya memang jarang aku akan pulangkan awal padanya. Jika tidak sampai berbulan barangan itu berada di tanganku tidak sah. Aku rasa dia pun sudah cukup masak dengan perangaiku. Dia tidak akan mengambil kisah. Sekalipun dia tidak pernah mengungkit.
            “Kahwin dengan aku dululah, baru harta aku boleh jadi harta kau.” Cepat sahaja Zulhairi membalas kata bersama senyuman yang sudah menghiasi wajah.
            Jantungku bagai mahu gugur mendengarnya. Aku jadi kaku. Melihat Alia sedaya upaya menahan tawanya, aku jadi lebih tidak senang duduk. Zulhairi ini pun satu, kalau nak buat lawak pun, tak perlulah di hadapan Alia. Nanti macam-macam pula yang Alia fikirkan.
            “Setuju tak?’ gasak Zulhairi lagi.
            Erk… aku sudah jadi batu. Malu sudah satu alam. Aku rasa inilah kali pertama aku lidahku kelu. Tidak tahu apa yang harus aku jawab. Sedangkan selalunya petah saja lidahku membidas dan membalas.
            “Kata okay je, along.” Alia memberikan cadangannya. Amira juga tekun mendengar. Entah dia faham atau tidak?
            Aku membesarkan mata padanya, Tanda jangan ikut campur. Zulhairi pula sudah tergelak besar. Dia memberikan double thump ub pada Alia. Geram sungguh aku bila mereka sudah berpakat begini.
            “Along nak kahwin dengan abang Zul? Yeh….” Amira bersorak gembira.
            “Dah, jangan nak merepek banyak sangat, belajar. Kau pula Zul jangan nak merapu, ajar adik aku ni sampai pandai, faham!” Aku terus bangun, tidak sanggup untuk berada lagi di situ. Kotak kasut aku angkat bersama, mahu bawa pergi.
            “Su.” Zulhairi memanggilku.
            “Apa?”
            “Kaset yang cover merah tu, tak payah pulang balik nanti”
            “Apasal pula?” tanyaku tidak mengerti.
            “Sebab yang tu, khas untuk kau!” Zulhairi senyum simpul selepas ayat itu diluah.
            “Iyalah tu. Bunyi macam nak mengenakan aku lagi aje.” Aku enggan percaya. Lebih-lebih lagi melihatkan senyum Zulhairi. Seolah ada niat yang berselindung dibaliknya. Aku kembali mahu meneruskan langkah yang terhenti tadi.
            “Su.”
            Sekali lagi namaku kedengaran. langkah terhenti untuk kesekian kalinya. Apa lagilah yang Zulhairi nak kenakan aku!
            “Apanya?”
            “Jangan masak malam ni. Mak aku ajak kau dengan adik-adik kau makan kat rumah aku.”
            “Hah, betul ke ni?” soalku dalam kegembiraan, sudah lama rasanya tidak merasa masakan makcik Khamisah.
            “Betullah buat apa aku nak tipu kau. Kalau tak percaya kau telefonlah mak aku.”
            “Tapi kenapa pula?”
            “Alah sajalah tu nak berbual-bual dengan bakal menantu. Kan Alia kan?” Terhanguk-hanguk kepalanya memandang Alia dan Alia turut membalas dengan senyuman lebar. Amira juga begitu tersengih-sengih seolah dia faham semuanya.
            “Sudahlah kau Zul. Amira, masuk!” Aku arahkan Amira masuk. Lalu aku meninggalkan mereka yang makin galak ketawa. Sakitnya hati! Jantung aku pun satu hal juga. Dari tadi asyik berdegup laju. Parah sungguh kalau terus macam ni.

“TUNJUK rajin nampak. Nak jadi menantu kesayanganlah tu.”
            Aku rasa seperti mahu sahaja membenamkan wajahku di dalam sinki yang penuh dengan buih sabun itu apabila mendengar kata-kata Zulhairi. Nasib baiklah hanya ada pak cik Ismail sahaja di dapur, jika mak cik Khamisah yang ada, tentu sahaja dia akan menambah perasa. Maklumlah aku nikan calon menantu pilihannya juga.
            “Kamu ni Zul, kalau sehari tak menyakat si Su ni tak boleh agaknya.” Pakcik Ismail menggelengkan kepala dan keluar dari dapur setelah selesai mencuci tangannya.
            Setapak sahaja Pakcik Ismail keluar dari dapur aku terus merinjiskan air ke muka Zulhairi. Dia cuba mengelak tapi tidak berjaya kerana aku lebih pantas bertindak. Dalam hati aku sudah tergelak besar.
            “Kau ni agak-agaklah, basah aku nanti.” Dia berjalan menuju ke kabinet dapur, setelah berjaya mengambil tisu dia berjalan semula ke arahku sambil menyapu air yang membasahi wajahnya.
            “Kau tu yang kena beragak. Ada ke cakap macam tu depan pakcik. Malulah aku.” Aku meneruskan cucian pinggan yang tidak seberapa lagi banyaknya.
            “Alah rilekslah, macam tak pernah kena sakat dengan aku sebelum ni.” Dia membela diri yang sudah ternyata bersalah.
            “Sakat apanya? Itu melebih-lebih.” Aku cuba untuk mengawal diri. Sudahlah minggu ini jantung aku ini sudah lama macam degupannya bila bersama dengannya. Ditambah pula dengan kata-katanya sejak petang tadi, memang boleh meletup jantung aku dibuatnya kalau hari-hari begini.
             “Aku sebenarnya kalau kau nak tahu…” kata-kata Zulhairi termati di situ sahaja apabila makcik Khamsiah masuk ke dapur dan memanggilnya.
            Telinga yang tadinya fokus mendengar, hilang arah apabila mak cik Khamsiah masuk ke dapur. Aduhai, terasa teringin pula mendengar apa yang ingin dikatakan Zulhairi. Kalau makcik Khamisah datang lewat seminitkan bagus. Dapat juga aku mendengar ayat yang Zulhairi ingin katakan.
            “Zul, sudah-sudahlah berborak dengan Su. Pergi masuk, ayah kamu panggil tu.” Makcik Khamisah menghalau anaknya masuk ke dalam.
Bersama muka yang agak layu dan sedih, Zulhairi menghulurkan mug yang dipegangnya dari tadi padaku. “Abang masuk dululah sayang, ayah panggil pula. Kacau daun betul.” Tenang saja Zulhairi meluah kata. Seolah sudah terbiasa dengan ayat itu.
Membulat mataku jadinya. Mukaku sudah diserbu dengan jentera darah. Tanpa diarahkan jantungpun sama melompat-lompat. Makcik Khamsiah pula sudah tergelak sakan di dapur ini, bertambah malu aku jadinya.  Aku yang seperti baru sahaja tersedar dari lamunan pantas mencari dirinya namun dia sudah hilang entah ke mana. Huh, laju pula dia menyelusup keluar dari dapur ini melarikan diri. Kurang asam punya Zulhairi. Sengaja nak seksa jantung aku.
“Sudah-sudahlah Su, tinggalkan je nanti mak sambung basuh.”
Sudah! Anak beranak ni sudah berpakat mahu mengenakan aku ke apa? Aku pura-pura tidak mendengar ayat yang keluar dari mulut makcik Khamsiah, senyuman yang bergayut di bibirnya pun aku buat-buat tidak nampak. Aku teruskan tugas mencuci pinggan mangkuk. Jantung masih berdegup dengan kuat. Aku risau ada pula pinggan yang pecah kerana fikiranku sudah melayang entah ke mana perginya.
Habis sahaja mencuci pinggan aku terus keluar dari dapur. Cadangnya untuk duduk sebentar di ruang tamu sebelum meminta diri untuk pulang. Adik-adikku duduk menonton televisyen. Masing-masing kusyuk. Buat macam rumah sendiri. Mungkin sudah terbiasa agaknya. Jam pun sudah hampir pukul sepuluh malam. Namun baru sahaja aku ingin melangkah ke ruang tamu, makcik Khamsiah yang berada di meja makan memanggilku untuk duduk bersama-samanya. Ada perkara yang ingin dibincangkan bersamaku katanya.
            “Su tahukan yang Zul dapat tawaran kenaikan di Johor, awal tahun depan?” soalan pertama Makcik Khamisah.
            Aku hanya mengangguk dan menunggu kata-kata seterusnya.
            “Hari tu kan kita dah bincang nak langsungkan majlis Su dan Zul tahun depan.” Tambahnya lagi.
            Aku rasa tidak senang hati apabila hal majlis aku dan Zul dibangkitkannya. Jika Zulhairi sudah bercerita dengan ibunya tentang tawaran kenaikan pangkat yang dia dapat, kenapa dia tidak bercerita terus terang tentang hal aku dan dirinya? Tidak mungkin disatukan. Bila lagi dia mahu berterus terang? Tak tahun hadapan baru dia ingin membuka cerita. Aku takut makin lama dibiarkan makin payah untuknya menyelesaikan hal ini.
            “Kebetulan Zul dah nak ke sana awal tahun depan. Makcik dah sarankan pada Zul supaya kahwin dengan kamu hujung tahun ni.” Ceria betul wajah Makcik Khamsiah sewaktu cadangan itu dinyatakan.
            Lidahku sudah terasa kelu untuk berkata-kata. Mataku terkebil-kebil memandangnya lebih-lebih lagi apabila mak cik Khamsiah sudah mengambil kedua-dua tanganku dan mengenggamnya erat.
            “Makcik bukannya apa, kalau kamu berdua sudah sah jadi suami isteri, bolehlah kamu ikut Zul sekali ke Johor tu. Ada juga orang temankan dia di sana. Bawa sekali adik-adik kamu tinggal di sana. Makcik yakin Zul tak kisah.” Mak cik Khamsiah membuat perancangan rapi.
            Aku pening! Apa yang perlu aku lakukan saat ini? “Zul pula kata apa mak cik?” erk, kenapa pula soalan ini yang keluar dari bibirku. Rasanya mindaku masih lagi merangka soalan yang ingin ditanya.
            Mak cik Khamsiah tersenyum senang. “Dia tak kata apa dia diam je, alah makcik kenal Zul tu. Kalau dia dah diam tu maknanya dia setuju dengan cadangan makcik.”
            Aduh, Masalah ni! Apa yang perlu aku lakukan, apa yang harus aku perkatakan? Jika Zulhairi sudah mengambil langkah berdiam diri, apa lagi yang boleh aku boleh buat. Zulhairi ni pun satu. Kalau terus terang kan senang. Aku mengerling memandang Zulhairi yang sedang rancak bermain puzzle bersama Amira di atas permaidani ruang tamu. Melihat tawanya melayan setiap kerenah Amira membuatkan hatiku terusik.
            Jika dia sudah ditakdirkan untukku, mengapa aku perlu lari dan menentang takdir Illahi. Apakah aku perlu redha sahaja dengan ketentuanNya...?

Bersambung...

Kata AH:
Wah lambat pula entry 19 ni ya. Sorry buat semua. Tak lama lagi AH terpaksa menamatkan kisah SAC di blog AH utk bagi laluan pada Penerbit, menerbitkan SAC. Insya'ALLAH kalau ada rezeki, tahun depan dapatlah SAC keluar di pasaran. Harapnyalah! Terima kasih semua. AH juga ambil kesempatan ini utk ucapkan Salam Aidiladha buat semua rakan pembaca yang beragama Islam. Hayatilah semangat pengorbanan. Semoga setiap pengorbanan yang kita buat menuju kepada keredhaan ALLAH SWT. Jumpa next entry. 

8 comments:

Unknown said...

wahhh,tahniah akak!!xsabar nk dapatkan novel ni nanti!!sy akan rindu dgn zul n su!!

riyadh said...

tp kan si wafi tu xtau ke yg su tu tunangan org?

aneesanuraim said...

ala...baru nk hepi tgok zul ngan su...wafi tu penyibukk je la...xmau dia ngan su..nak zul je...cpt2 la zul pinang su tu...!

psst: akak nk post smpai episod baper je?citer ni best..sy suka baca..nnti dh dibukukan inform ye:)

hani said...

best..............zul+ su....suka

Anonymous said...

Nak su dgn zul....tak sabar tgu dibukukan.

fatim fatimah said...

tk sbr dibukukan,,mmg best

Wan Ruzana said...

emmm stuju en3 ni lmbt keke,. redo je lah Su,.Zul mmg dh tgkap lentok ngan Su cuma su tu je blurr2 je nk fhm keke,.
lmbt lg la yek nk tgu taun dpn bru leh bce SAC,. isnyallah sy akan dptkan SAC dlm versi cetak nnti keke,.

shaza said...

Nak zul kawin cpt2 dgn Su. Nk lg n3 plizzzz....

Post a Comment