13
Aku baru sahaja mahu ke dapur untuk
menyediakan sarapan, namun bunyi loceng
telah mematikan niatku. Aku melangkah ke muka pintu, buka sahaja pintu,
Zulhairi sudah terpacak, berdiri tegak di pintu pagar dengan senyuman yang
lebar. Terperanjat aku apabila Alia tiba-tiba meluru laju ke muka pintu. Sempat
lagi Alia melambai-lambaikan tangannya pada Zulhairi, dan Zulhairi turut
membalas lambaiannya itu.
Aku merenung Alia yang sudah bersiap
cantik, tidak seperti biasa. “Nak ke mana ni?” Soalku. Tanganku masih lagi
ligat membuka kunci mangga pada grill
rumah.
“Jap ya.” Balas Alia yang
kemudiannya terus mengatur gerak ke pintu pagar sebaik sahaja grill rumah terbuka dengan luasnya.
Selepas Alia membuka pintu pagar, Alia dan Zulhairi kembali mendapatkan aku yang
hanya berdiri di muka pintu.
“Kenapa kau tak siap lagi ni?”
Zulhairi terlebih dahulu menyoal sebelum sempat aku bertanya apa-apa.
Aku memandang jam dinding yang
berada di ruang tamu. Pukul lapan pagi, nak bersiap kemana pula pagi-pagi
begini? Azira dan Amira juga sudah bersiap-siap seperti perancangan telah lama diatur.
“Korang semua ni nak ke mana ni?”
aku ajukan pada adik-adikku. Zulhairi yang masih berada di luar rumah tidak aku
pedulikan. Aku mahu tahu perancangan mereka hari ini. Wajahku mula berubah riak
apabila mereka langsung tidak mahu menjawab pertanyaanku. Azira menyiku lengan
Alia, mungkin meminta Alia menerangkan, namun Alia hanya memandang Zulhairi.
Mungkin Alia mahu Zulhairi yang menjawabnya.
“Kan aku dah sms kau semalam, aku
dengan adik-adik kau nak pergi pesta buku hari ni. Aku ajak kau sekalikan?
Apasal kau tak siap lagi?” Zulhairi merenungku yang masih tidak bersiap.
“Bila kau sms? Tak ada pun!” Aku
mengimbas kembali mesej yang aku dapat semalam. Rasanya sebelum aku melelapkan
mata aku hanya menerima mesej daripada Madihah yang bertanyakan beberapa
perkara tentang urusan pejabat. Dan selepas itu tiada lagi mesej yang aku terima.
“Malam tadilah… Dahlah tak payah
banyak cakap, pergi siap cepat.” Gesa Zulhairi.
“Nanti dulu. Kau nak pergi pesta
buku mana ni?” Soalku rasanya pesta buku antarabangsa sudah lama berlalu.
“Banyak soallah kau ni. Pesta buku
Shah Alamlah.”
“Tapi hari tu kan kita semua dah
pergi kedai buku beli buku-buku untuk dia orang. Buat apa nak pergi pesta buku
tu lagi?” Baru sahaja beberapa hari lepas aku, dia dan adik-adikku yang lain ke
kedai buku membeli beberapa buku rujukan dan buku latihan untuk Alia dan Azira,
tidak mungkin masih tidak cukup.
“Kan aku dah cakap dengan kau hari
tu, ada buku yang aku tak jumpa lagi. Hari ni nak pergi cari kat sana pulalah.”
Zulhairi menerangkan sama seperti apa yang dia terangkan pada aku beberapa hari
lalu.
Aku duduk termenung, seketika
menimbangkan dahulu cadangan tersebut sebelum menerimanya.
Zulhairi memetik jarinya di hadapan
mukaku, tersentak aku dibuatnya. “Woi minah, cepatlah siap, kau nak pergi ke
tak ni?”
“Eh, baru pukul lapanlah, dah buka ke?
Banyak lagi masa ni. Yang kau kabut sangat ni kenapa? Aku nak buat sarapan
untuk budak-budak ni dulu. Dia orang belum sarapan lagi ni tau.” Pantas aku
mengelak. Lagipun memang adik-adik aku ini belum lagi bersarapan pagi ini.
Nanti aku takut lain pula jadinya pada mereka. Hendak-hendak Amira, dia tidak
boleh kalau tidak bersarapan, apa-apa yang jadi nanti aku juga yang susah.
“Aku datang awal ni pun sebab nak
bawa kau orang semua sarapan dululah. Dah-dah pergi siap cepat.” Ada sahaja
jawapan yang keluar dari mulut Zulhairi.
“Dia orang dah siap dah ni.” Aku
memandang ketiga-tiga adik-beradikku yang kelihatan begitu teruja untuk keluar
bersama Zulhairi hari ini.
“Habis tu kau, tak siap ke?” Tanya Zulhairi yang sudah pun berkerut seribu
wajahnya.
“Buat apa aku nak siap? Bukan aku
nak ikut pun.” Sememangnya aku malas mahu ke mana-mana hari ini. Ada kerja yang
boleh aku habiskan hari ini jika aku tidak turut serta mereka. Tugas yang aku galas
sekarang menyebabkan aku memikul satu tanggungjawab yang besar.
“Ah, kau jangan nak merepek. Cepat
siap.” Desaknya apabila aku tidak mahu menurut.
Aku merenung Zulhairi tajam, geram juga
apabila dipaksa begitu. Pandanganku dibalas dengan pandangan tajam Zulhairi.
“Abang Zul, nak breakfast kat McD boleh?” Amira sudah meluru ke
depan, wajahnya didonggakkan ke atas memandang Zulhairi yang berada di
hadapannya.
Dia mematikan pandangan tajamnya
padaku. Dia memandang Amira dengan senyuman melebar. Lantas dia mencangkung,
menyamakan kedudukannya dengan Amira.
“Untuk
Amira yang comel, nak makan kat mana-mana pun boleh.” Zulhairi mengusap pipi
gebu Amira, sebelum bangun menghadapku semula.
Amira
sudah melonjak keriangan mendengar jawapan Zulhairi.
“Adik-adik
kau dah lapar ni. Kau pegilah siap cepat. Dahlah kau kalau bersiap lamanya
mengalahkan tuan puteri.”
Nampaknya aku memang sudah tiada
pilihan lain selain menurut sahaja kata-kata lelaki depan aku ini. Pandai betul
dia mengeksploitasikan keadaan sehingga membuatkan aku terpaksa setuju.
“Jangan masuk. Tunggu kat luar.
Paham!” tegasku.
“Aku tahulah. Sejak ayah kau
meninggal, macam aku pernah masuk rumah kau.” Kata Zulhairi dengan senyuman
kemenangan yang jelas ketara di bibirnya.
Aku menjelir lidah sebelum
meninggalkan mereka. Membiarkan Zulhairi menunggu sahaja di luar. Adik-adikku
yang lain terus ke ruang tamu, seorang pun tidak berani memandangku, mungkin
takut aku mengajukan pelbagai soalan jika mata kami bertentangan.
BARU
pukul sebelas pagi tapi keadaan di dalam Shah Alam Convention Centre ini agak
sesak. Semua berpusu-pusu untuk ke booth
jualan setiap penerbit kegemaran masing-masing. Aku dan Zulhairi turut berjalan
perlahan sambil memerhatikan langkah Amira yang agak tidak selesa dengan
keadaan di dalam dewan ini.
“Along... nak singgah booth Sasbadi, nak beli buku rujukan
boleh?” Alia meminta kebenaran padaku sebaik sahaja booth Sasbadi berada di hadapan kami.
“Erm…” aku memberikan kebenaran
sambil mengeluarkan dompet dari tas tanganku, mahu memberikan wang kepada
mereka untuk membeli buku rujukan yang mereka mahukan.
“Terima kasih, Abang Zul.”
Aku pantas berpaling apabila
mendengar Alia berterima kasih pada Zulhairi. Sekarang hanya aku dan Zulhairi
yang berada di sini. Alia, Azira dan Amira sudah meluru ke hadapan meninggalkan
kami. “Alia, jaga adik-adik tu!” jeritku lantang. Langsung tidak peduli pada
pandangan orang ramai. Keselamatan
mereka lebih utama.
“Berapa banyak kau bagi kat dia orang?”
aku menyoal apabila melihat Zulhairi memasukkan semula dompetnya ke dalam poket
seluarnya.
“Kau nak tahu buat apa?”
“Buat apa lagi, nak bayar baliklah”
“Nak bayar apa pula… Tak payahlah
Su, bukan banyakpun, sikit je pun. Cukup untuk
beli buku rujukan aje.”
“Kau ni kenapalah suka sangat
manjakan dia orang tu?” Aku jadi tidak sedap hati dengan Zulhairi, sudahlah
sewaktu membeli buku beberapa hari lepas semua menggunakan duitnya, satu sen
pun dia tidak membenarkan aku menggunakan duitku. Hari ini pula, sekali lagi
dia beri wang pada mereka untuk membeli buku-buku rujukan tambahan. Sikitpun
tidak berkira. Banyak sangat budi yang ditaburkan pada aku dan adik beradikku.
Rasanya tidak terbalas semuanya.
“Sebab aku nak mengorat kaulah.”
Aku terlonggo dengan jawapan yang
Zulhairi berikan. “Apa… kau merepek ni?” tergagap-gagap aku dengan memberikan
soalan itu padanya.
“Orang kata sebelum pikat tuan punya
badan, kenalah pikat family dia
dulu.” Dengan penuh yakin Zulhairi menyatakan hal itu.
Aku terdiam dibuatnya. Entah mengapa
dengan Zulhairi, sejak kebelakangan ini, suka sangat melalut yang bukan-bukan.
Merepek tak tentu pasal. “Tak payah nak mimpilah, awal-awal lagi aku dah reject kau” aku gelak. Sengaja
membesarkan tawa. Mahu menjadikan perbualan itu hanyalah gurau senda. Bukannya
kebenaran yang perlu aku iyakan.
“Apa
nak risau, Usahakan tangga kejayaan”
“Eh
Zul, kau pernah tak hilang suara sebab kena tampar? Karang kalau aku tampar,
bisu pula 10 hari!” aku tunjuk garang. Mahu menutup cerita yang membuatkan hati
jadi tidak tenang.
“Kau
kalau marah memang lawalah, Su. Suka aku tengok!” Zulhairi kelihatan sedaya
upaya cuba menahan tawa.
“Ish…
Dahlah Zul, malas nak layan kau.” Aku terus meluru ke hadapan, tak kuasa mahu
melayan perangainya yang entah apa-apa.
“Eh, tunggulah aku.” Dari belakang
kedengaran suara Zulhairi yang cuba menyaingi langkahku.
“Kau nak buat apa ikut aku, kau
pergilah booth yang kau nak pergi.
Aku nak pergi booth novel ni. Yang
kau nak ikut kenapa? Bukannya kau minat pun novel-novel ni.” Kataku apabila
Zulhairi sudah berjaya menyaingi langkahku.
“Tak apa hari ni aku jadi bodyguard kau, mana pun kau pergi aku
ikut.”
“Lantak kaulah Zul, asalkan kau
bahagia.” Aku sudah malas mahu menghalang, lagi aku halang lagi menjadi-jadi
pula dia.
“Aku memang bahagia pun kalau dapat
jalan berdua macam ni dengan kau.” Tersengih-sengih Zulhairi tika ini.
Aku juga melemparkan senyuman,
bezanya senyumanku itu tiada ikhlasnya. Apabila penyakit gila Zulhairi sudah
sampai, lebih baik kalau jangan dilayan. Sepanjang sejam aku berada di booth novel Zulhairi sentiasa berada di
sebelahku. Aku ke kanan dia ke kanan, aku ke tepi rak buku pun dia ikut. Semua
novel yang aku gapai dia akan turut gapai sama dan membaca sinopsisnya. Kadangkala
dia yang terlebih, mempromosikan novel yang dia rasakan menarik padaku.
Akhirnya hanya dua novel sahaja aku
gapai dan bawa ke kaunter bayaran. Walaupun memang banyak novel yang menarik di
sini namun aku harus berjimat cemat, banyak perkara lagi yang harus aku titik
beratkan.
“Aik, takkan dua je kot?” kata
Zulhairi sewaktu menemaniku yang beratur di kaunter bayaran.
“Okaylah ni.” Aku bergerak ke
hadapan apabila barisan mula bergerak.
“Kau ni yang budget sangat kenapa?
Jangan risaulah, hari ni aku belanja semua buku yang kau beli.” Sempat lagi
Zulhairi membuat tawaran sewaktu aku sudah berada di hadapan juruwang yang
bertugas.
“Tak payah.” Aku terus mengeluarkan
duit dari dalam dompetku dan aku hulurkan pada juruwang itu sebaik sahaja aku
lihat Zulhairi cuba mengeluarkan dompetnya.
Aku lega apabila juruwang itu turut
menyambut wang yang aku hulurkan. Aku tidak menoleh pada Zulhairi tika ini, aku
tahu pasti dia tidak berpuas hati denganku.
“Terima kasih, selamat membaca.”
Juruwang itu memulangkan wang baki bersama plastik yang berisi novel yang aku
beli.
“Sama-sama.” Aku menyambut plastik
yang juruwang itu hulurkan dan pantas meninggalkan kaunter bayaran.
“Kau ni tolak rezeki betullah. Aku
nak belanja pun tak nak.” Bebel Zulhairi.
“Kau tak payah nak manjakan aku
macam kau manjakan adik-adik aku tu.” Aku berhenti di kaki lima di luar dewan.
Penat rasanya berdiri lama-lama di dalam dewan yang penuh dengan manusia itu.
Aku bersandar pada dinding, menghilangkan lelah yang mula terasa.
“Itu bukan manjakanlah. Itu
pemberian ikhlas namanya.” Zulhairi tetap mahu mempertahankan tindakannya.
Aku malas mahu memanjangkan isu,
memanglah katanya pemberian ikhlas, tapi aku yang rasa tidak sedap hati.
Sudahlah dia memberikan wang pada adik-adikku untuk membeli buku, takkan aku
pun nak menerima wang yang diberinya. Itu mengambil kesempatan.
“Along…”
Aku terperanjat apabila tiba-tiba
sahaja Amira muncul, memanggilku dan terus memeluk kakiku. Aku memandang
wajahnya yang kelihatan pucat. Aku melepaskan pelukannya dan terus bertinggung
agar setara dengan kedudukannya. Aku memegang wajahnya, dia kelihatan
benar-benar tidak bermaya tika ini tapi masih mampu tersenyum nipis padaku.
Dalam keadaan begini aku sememangnya tidak boleh membalas senyumannya itu. Rasa
risau benar-benar memuncak.
“Kenapa dengan Amira ni?” Soalku
pada Alia dan Azira yang sudah berada di sisiku, sama-sama memandang ke arah
Amira.
“Entah mana tahu. Tadi okay je.”
Balas Azira.
“Ha’ah along, tadi okay. Lepas tu
tiba-tiba dia kata penat. Tu yang kita orang cari along ni.” Alia pula
membalas.
Aku kembali memandang Amira. Nampak
sangat yang dia sudah tidak larat lagi saat ini. “Jom balik.” Kataku pada
Amira, namun dia hanya mendiamkan diri dan terus memelukku erat.
Aku tahu Amira tidak larat lagi
untuk berjalan ditambah pula dengan keadaan orang yang agak sesak yang akan
menyukarkan pergerakkannya, jadi aku mengambil keputusan untuk mendukungnya.
Sebaik sahaja aku bangun, Zulhairi mengambil Amira dari dukunganku dan dibawa
ke dalam dukungannya pula.
“Biar aku je yang dukung. Mana kau
larat nak dukung dia sampai parking kereta tu.” Kata Zulhairi padaku.
Aku mengangguk kepalaku. Dalam diam
aku berterima kasih padanya. Agak jauh juga tempat Zulhairi meletakkan
keretanya jadi sememang aku tidak larat untuk mendukung Amira sehingga ke
parking lot itu. Alia dan Azira sudah ke depan berjalan. Aku pula berjalan
beriringan dengan Zulhairi. Aku mengusap kepala Amira yang terlentok di bahu
kanan Zulhairi. Matanya sudah terpejam rapat, mungkin sudah lena dibuai mimpi.
“Dia penat sangat tu.” Zulhairi cuba
meredakan rasa gundahku. Aku melemparkan senyuman, mengharapkan sememang Amira
hanya keletihan.
AMIRA
masih berada di dalam pangkuan Zulhairi, selepas menghantar Alia dan Azira
pulang ke rumah sebentar tadi, aku terus mengajak Zulhairi ke klinik ini.
Melihat Amira yang benar-benar yang tidak bermaya benar-benar merisaukanku.
Dari tadi dia hanya terlentok sahaja di bahu Zulhairi hingga aku yang memandu
kereta Zulhairi sewaktu pulang. Lama pula aku rasa menunggu jururawat yang
bertugas memanggil nama Amira, untuk pemeriksaan doktor.
“Amira.” Panggil jururawat yang
berada di hadapan bilik doktor.
Terdengar sahaja nama Amira yang
dipanggil aku terus mahu mengambil Amira dari pangkuan Zulhairi, namun segera
Zulhairi halang. “Aku masuk sekali,”
Aku membiarkan Zulhairi mendahuluiku
memasuki bilik doktor. Sampai sahaja di dalam bilik itu, Zulhairi mengambil
alih tugas yang sepatutnya aku lakukan. Dia yang paling banyak menyoal doktor
tentang tahap kesihatan Amira dan aku pula hanya menjawab soalan yang doktor
ajukan tentang tahap kesihatan Amira sebelum ini.
Aku hanya mampu membalas pandangan
Zulhairi ketika doktor memeriksa Amira yang sudah Zulhairi letakkan di atas
katil di dalam bilik itu. Pandanganku pada Amira terlindung apabila jururawat
menutup katil tersebut dengan langsir yang terdapat di situ.
“Janganlah risau sangat.” Kata
Zulhairi padaku.
“Adik aku tu.” Balasku cepat. Mana
mungkin aku tidak risau dengan Amira saat ini, bukan sahaja Amira, kalau Alia
atau Azira sekalipun aku akan merasakan yang sama.
Zulhairi yang tadinya tersenyum
kecil, kemudian tersenyum lebar.
“Yang kau tersenyum-senyum ni
kenapa? Aku tengah risau ni.” Pelik aku dengan Zulhairi ini, sejak mendukung
Amira tadi tiada satu senyuman pun yang kelihatan pada wajahnya. Kini makin
lebar pula senyumannya.
“First
time aku nampak yang kau tunjukkan kasih sayang kau pada adik-adik kau tu.
Aku tahu kau sayang sangat kat dia orang semua. Kenapa selama ni kau
sembunyikan semua rasa sayang kau tu?”
Aku sudah terdiam. Tidak tahu apa
yang harus aku balas. Sayang? Benarkah aku menyayangi mereka selama ini? Tidak!
Bukankah ini hanya tanggungjawab yang ayah galaskan di bahuku selama ini. Aku
hanya menunaikan amanat yang ayah berikan padaku, itu sahaja. Tapi, kenapa
perasaan risau ini begitu bermaharajalela sejak ternampak wajah comel itu pucat
dan tidak bermaya? Mengapa aku harus rasa sebegitu jika aku hanya menganggap
mereka hanya tanggungjawabku?
Bunyi tirai yang diselak membuatkan
aku keluar dari lamunanku. Melihat Zulhairi sudah bangun, aku juga turut bangun
mendapatkan doktor tersebut. Namun doktor muda itu dengan senyuman mengarahkan
kami duduk semula.
“Adik Amira cuma demam biasa. Suhu
badannya pun tak panas sangat. Saya akan bagi ubat, tapi kalau tak ada
perubahan, kena bawa ke hospital untuk buat medical
cheak uplah.” Terang doktor muda itu.
“Medical
cheak up?” mendengarkan itu aku jadi bertambah risau.
“Jangan risau, cuma perlu buat Medical cheak up kalau tak ada
perubahan. Mana tahu ada apa-apa masalah yang lain. Tapi jangan risau saya
sudah berikan ubat dan insyaALLAH, tak ada apa-apa masalah.” Sambung doktor
muda itu lagi.
“Kalau macam tu, terima kasih
doktor. Kami keluar dulu.” Zulhairi sudahpun bangun dan bersalaman dengan
doktor itu sebelum ke katil untuk mendapatkan Amira semula.
“Nanti ambil ubat di kaunter ye.”
Pesan doktor itu padaku dan aku hanya menganggukkan kepala.
“Along…” Amira mendepakan tangannya
padaku, apabila aku sudah keluar dari bilik doktor.
Aku terus meluru padanya dan
mengambilnya dari dukungan Zulhairi. Dan Zulhairi pula ke kaunter ubat apabila
nama Amira dipanggil oleh jururawat.
“Along, risaukan Amira ke?” Soal
Amira sambil memandang wajahku yang sudah memeluknya erat.
Aku hanya melemparkan pandangan
kosong padanya. Rasa risau tidak hilang lagi dari diriku.
“Along janganlah risau, Amira
okaylah. Doktor cakap tadi Amira demam sikit je.” Si kecil ini masih cuba untuk
menenangkanku.
Aku hanya mampu mendiamkan diri.
Wajahnya yang tidak sepucat tadi masih dalam renunganku.
“Along nampak comellah hari ni.”
Kata Amira sambil ketawa kecil dan terus merangkul leherku.
Akhirnya sebuah senyuman terukir di
bibirku. Aku mula berdoa dalam hati moga memang tiada apa-apa yang berlaku pada
Amira dan adik-adikku yang lain. Dan saat ini wajah ayah dengan pantas menerpa
masuk ke ruang mataku. Sepantas itu jugalah air mata mula bergenang di mata.
Bersambung...
Kata AH:
Terima kasih krn masih sudi menjengah dan mengikuti perkembangan hidup Su dan Zul... mungkin akan ada kejutan pada bab2 seterusnya, teruskan pembacaan ya. :)
6 comments:
ish...akak ni suka tau buat citer2 cenggini...tapi apa2 pun...support akak punya karya...terbaek!!!!
perkembangan yg baik la Adah...che wan suka bangat deh hehehehe teruskan k..teruja nak mmbaca next episode tp nak wat cm mana kenalah sabaaaaarrrr huhuhuhu
Thanks Adah! Cepat2 sambung ye...mcm suspen je nak tunggu crite pasal Su & Zul..
Adah ttp di hati..best Adah.. x sabar nak tau apa yg akan berlaku di hati masing2..
best .. tak sabar nak tunggu cite selanjutnya
bila keluar novelnya kak ?
Post a Comment