Thursday, September 6, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 13


13
            Aku baru sahaja mahu ke dapur untuk menyediakan sarapan,  namun bunyi loceng telah mematikan niatku. Aku melangkah ke muka pintu, buka sahaja pintu, Zulhairi sudah terpacak, berdiri tegak di pintu pagar dengan senyuman yang lebar. Terperanjat aku apabila Alia tiba-tiba meluru laju ke muka pintu. Sempat lagi Alia melambai-lambaikan tangannya pada Zulhairi, dan Zulhairi turut membalas lambaiannya itu.
            Aku merenung Alia yang sudah bersiap cantik, tidak seperti biasa. “Nak ke mana ni?” Soalku. Tanganku masih lagi ligat membuka kunci mangga pada grill rumah.
            “Jap ya.” Balas Alia yang kemudiannya terus mengatur gerak ke pintu pagar sebaik sahaja grill rumah terbuka dengan luasnya. Selepas Alia membuka pintu pagar, Alia dan Zulhairi kembali mendapatkan aku yang hanya berdiri di muka pintu.
            “Kenapa kau tak siap lagi ni?” Zulhairi terlebih dahulu menyoal sebelum sempat aku bertanya apa-apa.
            Aku memandang jam dinding yang berada di ruang tamu. Pukul lapan pagi, nak bersiap kemana pula pagi-pagi begini? Azira dan Amira juga sudah bersiap-siap seperti perancangan telah lama diatur.
            “Korang semua ni nak ke mana ni?” aku ajukan pada adik-adikku. Zulhairi yang masih berada di luar rumah tidak aku pedulikan. Aku mahu tahu perancangan mereka hari ini. Wajahku mula berubah riak apabila mereka langsung tidak mahu menjawab pertanyaanku. Azira menyiku lengan Alia, mungkin meminta Alia menerangkan, namun Alia hanya memandang Zulhairi. Mungkin Alia mahu Zulhairi yang menjawabnya.
            “Kan aku dah sms kau semalam, aku dengan adik-adik kau nak pergi pesta buku hari ni. Aku ajak kau sekalikan? Apasal kau tak siap lagi?” Zulhairi merenungku yang masih tidak bersiap.
            “Bila kau sms? Tak ada pun!” Aku mengimbas kembali mesej yang aku dapat semalam. Rasanya sebelum aku melelapkan mata aku hanya menerima mesej daripada Madihah yang bertanyakan beberapa perkara tentang urusan pejabat. Dan selepas itu tiada lagi mesej  yang aku terima.
            “Malam tadilah… Dahlah tak payah banyak cakap, pergi siap cepat.” Gesa Zulhairi.
            “Nanti dulu. Kau nak pergi pesta buku mana ni?” Soalku rasanya pesta buku antarabangsa sudah lama berlalu.
            “Banyak soallah kau ni. Pesta buku Shah Alamlah.”
            “Tapi hari tu kan kita semua dah pergi kedai buku beli buku-buku untuk dia orang. Buat apa nak pergi pesta buku tu lagi?” Baru sahaja beberapa hari lepas aku, dia dan adik-adikku yang lain ke kedai buku membeli beberapa buku rujukan dan buku latihan untuk Alia dan Azira, tidak mungkin masih tidak cukup.
            “Kan aku dah cakap dengan kau hari tu, ada buku yang aku tak jumpa lagi. Hari ni nak pergi cari kat sana pulalah.” Zulhairi menerangkan sama seperti apa yang dia terangkan pada aku beberapa hari lalu.
            Aku duduk termenung, seketika menimbangkan dahulu cadangan tersebut sebelum menerimanya.
            Zulhairi memetik jarinya di hadapan mukaku, tersentak aku dibuatnya. “Woi minah, cepatlah siap, kau nak pergi ke tak ni?”
            “Eh, baru pukul lapanlah, dah buka ke? Banyak lagi masa ni. Yang kau kabut sangat ni kenapa? Aku nak buat sarapan untuk budak-budak ni dulu. Dia orang belum sarapan lagi ni tau.” Pantas aku mengelak. Lagipun memang adik-adik aku ini belum lagi bersarapan pagi ini. Nanti aku takut lain pula jadinya pada mereka. Hendak-hendak Amira, dia tidak boleh kalau tidak bersarapan, apa-apa yang jadi nanti aku juga yang susah.
            “Aku datang awal ni pun sebab nak bawa kau orang semua sarapan dululah. Dah-dah pergi siap cepat.” Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut Zulhairi.
            “Dia orang dah siap dah ni.” Aku memandang ketiga-tiga adik-beradikku yang kelihatan begitu teruja untuk keluar bersama Zulhairi hari ini.
            “Habis tu kau, tak siap ke?”  Tanya Zulhairi yang sudah pun berkerut seribu wajahnya.
            “Buat apa aku nak siap? Bukan aku nak ikut pun.” Sememangnya aku malas mahu ke mana-mana hari ini. Ada kerja yang boleh aku habiskan hari ini jika aku tidak turut serta mereka. Tugas yang aku galas sekarang menyebabkan aku memikul satu tanggungjawab yang besar.
            “Ah, kau jangan nak merepek. Cepat siap.” Desaknya apabila aku tidak mahu menurut.
            Aku merenung Zulhairi tajam, geram juga apabila dipaksa begitu. Pandanganku dibalas dengan pandangan tajam Zulhairi.
            “Abang Zul, nak breakfast kat McD boleh?” Amira sudah meluru ke depan, wajahnya didonggakkan ke atas memandang Zulhairi yang berada di hadapannya.
            Dia mematikan pandangan tajamnya padaku. Dia memandang Amira dengan senyuman melebar. Lantas dia mencangkung, menyamakan kedudukannya dengan Amira.
“Untuk Amira yang comel, nak makan kat mana-mana pun boleh.” Zulhairi mengusap pipi gebu Amira, sebelum bangun menghadapku semula. 
Amira sudah melonjak keriangan mendengar jawapan Zulhairi.
“Adik-adik kau dah lapar ni. Kau pegilah siap cepat. Dahlah kau kalau bersiap lamanya mengalahkan tuan puteri.”
            Nampaknya aku memang sudah tiada pilihan lain selain menurut sahaja kata-kata lelaki depan aku ini. Pandai betul dia mengeksploitasikan keadaan sehingga membuatkan aku terpaksa setuju.
            “Jangan masuk. Tunggu kat luar. Paham!” tegasku.
            “Aku tahulah. Sejak ayah kau meninggal, macam aku pernah masuk rumah kau.” Kata Zulhairi dengan senyuman kemenangan yang jelas ketara di bibirnya.
            Aku menjelir lidah sebelum meninggalkan mereka. Membiarkan Zulhairi menunggu sahaja di luar. Adik-adikku yang lain terus ke ruang tamu, seorang pun tidak berani memandangku, mungkin takut aku mengajukan pelbagai soalan jika mata kami bertentangan.

BARU pukul sebelas pagi tapi keadaan di dalam Shah Alam Convention Centre ini agak sesak. Semua berpusu-pusu untuk ke booth jualan setiap penerbit kegemaran masing-masing. Aku dan Zulhairi turut berjalan perlahan sambil memerhatikan langkah Amira yang agak tidak selesa dengan keadaan di dalam dewan ini.
            “Along... nak singgah booth Sasbadi, nak beli buku rujukan boleh?” Alia meminta kebenaran padaku sebaik sahaja booth Sasbadi berada di hadapan kami.
            “Erm…” aku memberikan kebenaran sambil mengeluarkan dompet dari tas tanganku, mahu memberikan wang kepada mereka untuk membeli buku rujukan yang mereka mahukan.
            “Terima kasih, Abang Zul.”
            Aku pantas berpaling apabila mendengar Alia berterima kasih pada Zulhairi. Sekarang hanya aku dan Zulhairi yang berada di sini. Alia, Azira dan Amira sudah meluru ke hadapan meninggalkan kami. “Alia, jaga adik-adik tu!” jeritku lantang. Langsung tidak peduli pada pandangan orang ramai.  Keselamatan mereka lebih utama.
            “Berapa banyak kau bagi kat dia orang?” aku menyoal apabila melihat Zulhairi memasukkan semula dompetnya ke dalam poket seluarnya. 
            “Kau nak tahu buat apa?”
            “Buat apa lagi, nak bayar baliklah”
            “Nak bayar apa pula… Tak payahlah Su, bukan banyakpun, sikit je pun. Cukup untuk  beli buku rujukan aje.”
            “Kau ni kenapalah suka sangat manjakan dia orang tu?” Aku jadi tidak sedap hati dengan Zulhairi, sudahlah sewaktu membeli buku beberapa hari lepas semua menggunakan duitnya, satu sen pun dia tidak membenarkan aku menggunakan duitku. Hari ini pula, sekali lagi dia beri wang pada mereka untuk membeli buku-buku rujukan tambahan. Sikitpun tidak berkira. Banyak sangat budi yang ditaburkan pada aku dan adik beradikku. Rasanya tidak terbalas semuanya.
            “Sebab aku nak mengorat kaulah.”
            Aku terlonggo dengan jawapan yang Zulhairi berikan. “Apa… kau merepek ni?” tergagap-gagap aku dengan memberikan soalan itu padanya.
            “Orang kata sebelum pikat tuan punya badan, kenalah pikat family dia dulu.” Dengan penuh yakin Zulhairi menyatakan hal itu.
            Aku terdiam dibuatnya. Entah mengapa dengan Zulhairi, sejak kebelakangan ini, suka sangat melalut yang bukan-bukan. Merepek tak tentu pasal. “Tak payah nak mimpilah, awal-awal lagi aku dah reject kau” aku gelak. Sengaja membesarkan tawa. Mahu menjadikan perbualan itu hanyalah gurau senda. Bukannya kebenaran yang perlu aku iyakan.
“Apa nak risau, Usahakan tangga kejayaan”
“Eh Zul, kau pernah tak hilang suara sebab kena tampar? Karang kalau aku tampar, bisu pula 10 hari!” aku tunjuk garang. Mahu menutup cerita yang membuatkan hati jadi tidak tenang.
“Kau kalau marah memang lawalah, Su. Suka aku tengok!” Zulhairi kelihatan sedaya upaya cuba menahan tawa.
“Ish… Dahlah Zul, malas nak layan kau.” Aku terus meluru ke hadapan, tak kuasa mahu melayan perangainya yang entah apa-apa.
            “Eh, tunggulah aku.” Dari belakang kedengaran suara Zulhairi yang cuba menyaingi langkahku.
            “Kau nak buat apa ikut aku, kau pergilah booth yang kau nak pergi. Aku nak pergi booth novel ni. Yang kau nak ikut kenapa? Bukannya kau minat pun novel-novel ni.” Kataku apabila Zulhairi sudah berjaya menyaingi langkahku.
            “Tak apa hari ni aku jadi bodyguard kau, mana pun kau pergi aku ikut.”
            “Lantak kaulah Zul, asalkan kau bahagia.” Aku sudah malas mahu menghalang, lagi aku halang lagi menjadi-jadi pula dia.
            “Aku memang bahagia pun kalau dapat jalan berdua macam ni dengan kau.” Tersengih-sengih Zulhairi tika ini.
            Aku juga melemparkan senyuman, bezanya senyumanku itu tiada ikhlasnya. Apabila penyakit gila Zulhairi sudah sampai, lebih baik kalau jangan dilayan. Sepanjang sejam aku berada di booth novel Zulhairi sentiasa berada di sebelahku. Aku ke kanan dia ke kanan, aku ke tepi rak buku pun dia ikut. Semua novel yang aku gapai dia akan turut gapai sama dan membaca sinopsisnya. Kadangkala dia yang terlebih, mempromosikan novel yang dia rasakan menarik padaku.
            Akhirnya hanya dua novel sahaja aku gapai dan bawa ke kaunter bayaran. Walaupun memang banyak novel yang menarik di sini namun aku harus berjimat cemat, banyak perkara lagi yang harus aku titik beratkan.
            “Aik, takkan dua je kot?” kata Zulhairi sewaktu menemaniku yang beratur di kaunter bayaran.
            “Okaylah ni.” Aku bergerak ke hadapan apabila barisan mula bergerak.
            “Kau ni yang budget sangat kenapa? Jangan risaulah, hari ni aku belanja semua buku yang kau beli.” Sempat lagi Zulhairi membuat tawaran sewaktu aku sudah berada di hadapan juruwang yang bertugas.
            “Tak payah.” Aku terus mengeluarkan duit dari dalam dompetku dan aku hulurkan pada juruwang itu sebaik sahaja aku lihat Zulhairi cuba mengeluarkan dompetnya.
            Aku lega apabila juruwang itu turut menyambut wang yang aku hulurkan. Aku tidak menoleh pada Zulhairi tika ini, aku tahu pasti dia tidak berpuas hati denganku.
            “Terima kasih, selamat membaca.” Juruwang itu memulangkan wang baki bersama plastik yang berisi novel yang aku beli.
            “Sama-sama.” Aku menyambut plastik yang juruwang itu hulurkan dan pantas meninggalkan kaunter bayaran.
            “Kau ni tolak rezeki betullah. Aku nak belanja pun tak nak.” Bebel Zulhairi.
            “Kau tak payah nak manjakan aku macam kau manjakan adik-adik aku tu.” Aku berhenti di kaki lima di luar dewan. Penat rasanya berdiri lama-lama di dalam dewan yang penuh dengan manusia itu. Aku bersandar pada dinding, menghilangkan lelah yang mula terasa.
            “Itu bukan manjakanlah. Itu pemberian ikhlas namanya.” Zulhairi tetap mahu mempertahankan tindakannya.
            Aku malas mahu memanjangkan isu, memanglah katanya pemberian ikhlas, tapi aku yang rasa tidak sedap hati. Sudahlah dia memberikan wang pada adik-adikku untuk membeli buku, takkan aku pun nak menerima wang yang diberinya. Itu mengambil kesempatan.
            “Along…”
            Aku terperanjat apabila tiba-tiba sahaja Amira muncul, memanggilku dan terus memeluk kakiku. Aku memandang wajahnya yang kelihatan pucat. Aku melepaskan pelukannya dan terus bertinggung agar setara dengan kedudukannya. Aku memegang wajahnya, dia kelihatan benar-benar tidak bermaya tika ini tapi masih mampu tersenyum nipis padaku. Dalam keadaan begini aku sememangnya tidak boleh membalas senyumannya itu. Rasa risau benar-benar memuncak.
            “Kenapa dengan Amira ni?” Soalku pada Alia dan Azira yang sudah berada di sisiku, sama-sama memandang ke arah Amira.
            “Entah mana tahu. Tadi okay je.” Balas Azira.
            “Ha’ah along, tadi okay. Lepas tu tiba-tiba dia kata penat. Tu yang kita orang cari along ni.” Alia pula membalas.
            Aku kembali memandang Amira. Nampak sangat yang dia sudah tidak larat lagi saat ini. “Jom balik.” Kataku pada Amira, namun dia hanya mendiamkan diri dan terus memelukku erat.
            Aku tahu Amira tidak larat lagi untuk berjalan ditambah pula dengan keadaan orang yang agak sesak yang akan menyukarkan pergerakkannya, jadi aku mengambil keputusan untuk mendukungnya. Sebaik sahaja aku bangun, Zulhairi mengambil Amira dari dukunganku dan dibawa ke dalam dukungannya pula.
            “Biar aku je yang dukung. Mana kau larat nak dukung dia sampai parking kereta tu.” Kata Zulhairi padaku.
            Aku mengangguk kepalaku. Dalam diam aku berterima kasih padanya. Agak jauh juga tempat Zulhairi meletakkan keretanya jadi sememang aku tidak larat untuk mendukung Amira sehingga ke parking lot itu. Alia dan Azira sudah ke depan berjalan. Aku pula berjalan beriringan dengan Zulhairi. Aku mengusap kepala Amira yang terlentok di bahu kanan Zulhairi. Matanya sudah terpejam rapat, mungkin sudah lena dibuai mimpi.
            “Dia penat sangat tu.” Zulhairi cuba meredakan rasa gundahku. Aku melemparkan senyuman, mengharapkan sememang Amira hanya keletihan.

AMIRA masih berada di dalam pangkuan Zulhairi, selepas menghantar Alia dan Azira pulang ke rumah sebentar tadi, aku terus mengajak Zulhairi ke klinik ini. Melihat Amira yang benar-benar yang tidak bermaya benar-benar merisaukanku. Dari tadi dia hanya terlentok sahaja di bahu Zulhairi hingga aku yang memandu kereta Zulhairi sewaktu pulang. Lama pula aku rasa menunggu jururawat yang bertugas memanggil nama Amira, untuk pemeriksaan doktor.
            “Amira.” Panggil jururawat yang berada di hadapan bilik doktor.
            Terdengar sahaja nama Amira yang dipanggil aku terus mahu mengambil Amira dari pangkuan Zulhairi, namun segera Zulhairi halang. “Aku masuk sekali,”
            Aku membiarkan Zulhairi mendahuluiku memasuki bilik doktor. Sampai sahaja di dalam bilik itu, Zulhairi mengambil alih tugas yang sepatutnya aku lakukan. Dia yang paling banyak menyoal doktor tentang tahap kesihatan Amira dan aku pula hanya menjawab soalan yang doktor ajukan tentang tahap kesihatan Amira sebelum ini.
            Aku hanya mampu membalas pandangan Zulhairi ketika doktor memeriksa Amira yang sudah Zulhairi letakkan di atas katil di dalam bilik itu. Pandanganku pada Amira terlindung apabila jururawat menutup katil tersebut dengan langsir yang terdapat di situ.
            “Janganlah risau sangat.” Kata Zulhairi padaku.
            “Adik aku tu.” Balasku cepat. Mana mungkin aku tidak risau dengan Amira saat ini, bukan sahaja Amira, kalau Alia atau Azira sekalipun aku akan merasakan yang sama.
            Zulhairi yang tadinya tersenyum kecil, kemudian tersenyum lebar.
            “Yang kau tersenyum-senyum ni kenapa? Aku tengah risau ni.” Pelik aku dengan Zulhairi ini, sejak mendukung Amira tadi tiada satu senyuman pun yang kelihatan pada wajahnya. Kini makin lebar pula senyumannya.
            “First time aku nampak yang kau tunjukkan kasih sayang kau pada adik-adik kau tu. Aku tahu kau sayang sangat kat dia orang semua. Kenapa selama ni kau sembunyikan semua rasa sayang kau tu?”
            Aku sudah terdiam. Tidak tahu apa yang harus aku balas. Sayang? Benarkah aku menyayangi mereka selama ini? Tidak! Bukankah ini hanya tanggungjawab yang ayah galaskan di bahuku selama ini. Aku hanya menunaikan amanat yang ayah berikan padaku, itu sahaja. Tapi, kenapa perasaan risau ini begitu bermaharajalela sejak ternampak wajah comel itu pucat dan tidak bermaya? Mengapa aku harus rasa sebegitu jika aku hanya menganggap mereka hanya tanggungjawabku?
            Bunyi tirai yang diselak membuatkan aku keluar dari lamunanku. Melihat Zulhairi sudah bangun, aku juga turut bangun mendapatkan doktor tersebut. Namun doktor muda itu dengan senyuman mengarahkan kami duduk semula.
            “Adik Amira cuma demam biasa. Suhu badannya pun tak panas sangat. Saya akan bagi ubat, tapi kalau tak ada perubahan, kena bawa ke hospital untuk buat medical cheak uplah.” Terang doktor muda itu.
            “Medical cheak up?” mendengarkan itu aku jadi bertambah risau.
            “Jangan risau, cuma perlu buat Medical cheak up kalau tak ada perubahan. Mana tahu ada apa-apa masalah yang lain. Tapi jangan risau saya sudah berikan ubat dan insyaALLAH, tak ada apa-apa masalah.” Sambung doktor muda itu lagi.
            “Kalau macam tu, terima kasih doktor. Kami keluar dulu.” Zulhairi sudahpun bangun dan bersalaman dengan doktor itu sebelum ke katil untuk mendapatkan Amira semula.
            “Nanti ambil ubat di kaunter ye.” Pesan doktor itu padaku dan aku hanya menganggukkan kepala.
            “Along…” Amira mendepakan tangannya padaku, apabila aku sudah keluar dari bilik doktor.
            Aku terus meluru padanya dan mengambilnya dari dukungan Zulhairi. Dan Zulhairi pula ke kaunter ubat apabila nama Amira dipanggil oleh jururawat.
            “Along, risaukan Amira ke?” Soal Amira sambil memandang wajahku yang sudah memeluknya erat.
            Aku hanya melemparkan pandangan kosong padanya. Rasa risau tidak hilang lagi dari diriku.
            “Along janganlah risau, Amira okaylah. Doktor cakap tadi Amira demam sikit je.” Si kecil ini masih cuba untuk menenangkanku.
            Aku hanya mampu mendiamkan diri. Wajahnya yang tidak sepucat tadi masih dalam renunganku.
            “Along nampak comellah hari ni.” Kata Amira sambil ketawa kecil dan terus merangkul leherku.
            Akhirnya sebuah senyuman terukir di bibirku. Aku mula berdoa dalam hati moga memang tiada apa-apa yang berlaku pada Amira dan adik-adikku yang lain. Dan saat ini wajah ayah dengan pantas menerpa masuk ke ruang mataku. Sepantas itu jugalah air mata mula bergenang di mata.

Bersambung...

Kata AH: 
Terima kasih krn masih sudi menjengah dan mengikuti perkembangan hidup Su dan Zul... mungkin akan ada kejutan pada bab2 seterusnya, teruskan pembacaan ya. :)

6 comments:

azah shahrizat said...

ish...akak ni suka tau buat citer2 cenggini...tapi apa2 pun...support akak punya karya...terbaek!!!!

Says Chewan said...

perkembangan yg baik la Adah...che wan suka bangat deh hehehehe teruskan k..teruja nak mmbaca next episode tp nak wat cm mana kenalah sabaaaaarrrr huhuhuhu

ida said...

Thanks Adah! Cepat2 sambung ye...mcm suspen je nak tunggu crite pasal Su & Zul..

jurina yusof said...

Adah ttp di hati..best Adah.. x sabar nak tau apa yg akan berlaku di hati masing2..

Anonymous said...

best .. tak sabar nak tunggu cite selanjutnya

Anonymous said...

bila keluar novelnya kak ?

Post a Comment