Thursday, August 30, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 12


12
            Sebenarnya kakiku amat malas untuk melangkah ke pejabat hari ini, namun kerana Alia terpaksa juga aku melangkah ke pejabat pada hari sabtu begini. Aku ingin mengelak dari ajakan Alia yang tidak sudah-sudah mahu aku ke sekolahnya bagi meraikan hari keusahawanan yang berlangsung di sekolahnya hari ini. Malas aku mahu menurut semua kemahuannya itu. Nanti macam-macam lagi yang dimintanya daripadaku. Jadi langkah yang paling selamat untuk mengelakkan, aku pura-pura bergegas bersiap untuk ke pejabat.
            Masuk sahaja ke ruang lobi yang lengang tanpa sesiapa aku melangkah ke set sofa yang terdapat di ruang lobi itu. Hari sabtu begini agak kurang pekerja-pekerja di wisma ini yang datang bekerja kerana kebanyakkan syarikat mengamalkan cuti pada hari sabtu. Cuma ada beberapa syarikat di wisma ini yang membuka syarikat pada hari sabtu. Jadi suasana agak sunyi, hanya beberapa pengawal keselamatan sahaja yang ke hulu dan ke hilir, memastikan keselamatan bangunan sedari tadi.
            Telefon bimbitku bernyanyi meminta perhatianku. Melihat nama Zulhairi yang tertera mengundang senyuman di bibir. Entah apalah yang dia mahu. Dia jika tidak mengangguku di awal pagi begini tidak sah rasanya.
            “Assalamualaikum.” Aku memulakan kata sebaik sahaja talian itu aku sambut. 
            “Kat mana?”
            “Amboi, kut iya pun tak sabar nak tahu aku kat mana, at least jawaplah salam aku dulu.” Aku bagi nasihat. Zulhairi kalau sudah tidak sabar memang begitulah perangainya. Pasti dia mahu dapatkan pertolongan daripadaku saat ini. Itu yang tidak sabar semacam. Mungkinkah kerana Madihah? Aku terus mengukir senyuman dalam diam. Bagus juga tu.
            “Okay, okay… Waalaikumusalam. Kau kat mana ni?”
            “Office.” Balasku cepat, aku tidak mahu dia terus tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu jawapan dariku. Terdesak sangat rasanya dia hari ini. Entah apalah yang bunyinya penting sangat.
            “Dah agak dah.” Keluhan kecilnya terdengar di telingaku.
            “Kenapa?”
            “Kau buat apa kat office hari-hari cuti ni?” nada tidak puas hati jelas ketara pada nadanya.
            “Kerjalah. Ada ke orang pergi shopping kat office? Apa punya soalanlah kau ni.”
            “Syarikat kau kan cuti hari sabtu. Yang kau gatal-gatal pergi kerja tu buat apa?”
            Aku sudah mengaru kepala, apa kenalah dengan Zulhairi hari ini? Rasanya sebelum-sebelum ini pun pernah juga aku bekerja pada hari sabtu, tak pernah pula dia mahu menimbulkan isu seperti hari ini. Apalah sebenarnya yang bermain dalam kepala dia tu?
            “Alah, saja je. Aku banyak kerja yang nak ke…”
            “Kau tak payah nak kelentong akulah. Macamlah aku baru kenal kau semalam. Kau pergi kerja hari ini sebab nak mengelak pergi sekolah Aliakan? Kau sahaja nak larikan dirikan? Pandai gila kau nak mengelakkan.”
Belum sempat aku menghabiskan kata Zulhairi pantas memotong. Bukan main lancar ayat itu meluncur keluar dari mulut Zulhairi.
Ya, semua yang Zulhairi cakapkan itu memang betul. Tidak sedikit pun tersasar. Susah betul aku nak menipu kawanku yang seorang ini. Jadi aku hanya mendiamkan diri. Malas mahu memanjang isu. Aku amat berharap dia terus meletakkan telefon tanpa memanjangkan perbualan.
“Kau tunggu aku kat lobi, lagi lima minit aku sampai. Aku tengah on the way
“Kau nak buat apa datang sini. Kau pun kerja juga ke ?” aku agak terkejut.
“Ish, kau nilah. Aku nak ambik kaulah. Kita sama-sama pergi sekolah Alia hari ni.” Cadang Zulhairi tanpa mendapat persetujuan dariku.
Aku cukup tersentak. “Eh, nak buat apa pergi sekolah Alia?” Aku sudah semakin kalut. Bermati-matian aku mengelak diri, alih-alih Zulhairi pula yang mengajakku ke sana.
“Dah, kau jangan pura-pura tak tahu. Dan lagi satu kau jangan memandai-mandai nak mengelak ye. Kalau kau mengelak juga, tahulah nasib kau nanti. Assalamualaikum.”
Zulhairi terus mematikan talian sebelum sempat aku menjawab salam. Aku merengus nafas kencang. Geram apabila dipaksa sebegitu. Mata aku pejam seketika sambil menarik nafas dalam. Cuba untuk mengawal rasa tidak puas hati yang bertandang.
            Aku mula membuka mata apabila terasa ada yang duduk di sebelah. Terasa diperhatikan. Apabila mata lapang terbuka, wajah Wafi yang tersenyum memenuhi ruangan mata. Terkejut aku dibuatnya. Dia memandangku tanpa berkelip. Aku membetulkan duduk yang terasa canggung dengan adanya pandangan sebegitu.
            “Assalamualaikum.” Sapanya, masih dengan senyuman yang panjang.
            “Waalaikumusalam.” Balasku juga dengan senyuman yang aku rasakan tidak berapa menjadi.
            “Jom sarapan.” Pelawanya membuatkan benakku berkerja keras mencari alasan untuk menolak ajakkannya itu.
            Aku terdiam agak lama. Mulutku terasa berat untuk mengeluarkan walau sepatah kata. Sejak dia menolongku beberapa hari lalu aku seolah-olah sudah tidak dapat mengelak lagi dari dirinya.
            “Jangan nak kata yang awak dah sarapan. Baru pukul 7.30 ni, takkan dah sarapan? Lagipun muka awak tu tak macam orang yang dah sarapan.” Lembut sahaja ayat yang dituturkan Wafi seperti mana kebiasaannya.
            “Memang tak sarapan lagi, sebab aku memang tak nak sarapan hari ni. Malas. Lagipun aku tengah tunggu Zul, dia nak datang ambil aku” Aku sangat berharap alasan yang aku berikan itu dapat diterima. Lagipun aku tidak mereka-reka alasan itu.
            Wajah Wafi terus bertukar riak apabila nama Zulhairi aku bawa ke dalam perbualan kami. “Ambil awak? Awak dengan dia nak pergi mana? Bukan awak baru sampai wisma ni ke? Takkan dah nak balik?” Pelbagai soalan Wafi ajukan. Senyumannya juga sudah hilang entah ke mana.
            “Memanglah saya baru sampai. Ingatkan nak sambung buat kerja sikit hari ni. Tapi tulah ada hal sikit dengan Zul sekejap lagi.”
            “Hal apa?” Wafi masih lagi kelihatan tidak puas hati.
            Aku mengeluh dalam hati. Tadi Zulhairi, sekarang Wafi pula yang cuba mencabar kesabaranku. Kenapalah banyak sangat soalan yang perlu aku jawab hari ini? Kalau boleh mahu sahaja aku melenyapkan diriku sendiri dari berhadapan dengan Wafi yang tidak berhenti bertanya, juga daripada Zulhairi yang akan tiba tidak lama lagi. Aku jadi lemas tiba-tiba.
            “Hal apa?” sekali lagi soalan itu Wafi ajukan untukku.
            “Tak ada hal apa sangat pun. Hal biasa-biasa je.” Aku seboleh-bolehnya tidak mahu Wafi mengambil tahu hal diriku. Lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan hal adik-adikku.
            “Kalau…” belum sempat Wafi menghabiskan katanya. Zulhairi sudah berdiri terpacak di hadapan kami dengan ucapan salam.
            Aku terus bangun dan menjawab salam yang dihulurkan Zulhairi. Wafi turut bangun sama. Zulhairi mengunjukkan tangan dan disambut kemas oleh Zulhairi. Kedua-duanya saling berbalas senyuman. 
            “Jom.” Tanpa sebarang kata pada Wafi, Zulhairi terus tersenyum padaku pula.
            “Su, saya joint boleh?”
            Aku yang masih lagi kalut untuk membuka langkah terbejat dengan tindakanku sendiri. Soalan Wafi itu terasa amat janggal di telinggaku. Terasa pelik pun ada. Aku memandang Zulhairi. Zulhairi juga menunjukkan air muka yang sama.
            Aku baru mahu membuka bicara, tapi mulut Zulhairi lebih pantas dari tindakanku.
            “Bukan tak boleh Wafi, tapi kita orang ada hal family sikit hari ini. Lain kalilah ye kau joint kita orang.” Zulhairi menjawab bagi pihakku.
            Hal family? Aduh, jawapan Zulhairi ini pasti akan mengundang lebih daripada seribu persoalan di minda Wafi. Aku yakin, lagi aku berlama-lama di situ, lagi banyak soalan yang akan dia ajukan buatku. Dan aku pasti bertambah lemas dan rimas.
            “Kita orang gerak dululah, Wafi.” Aku terus membuka bicara apabila terlihat Wafi seakan mahu mengajukan soalan pada Zulhairi. “Jom, Zul.” Aku terus bergerak dan Zulhairi turut mengikut jejak.
           
AKU dah agak, tekaanku sedikitpun tidak meleset. Masuk sahaja dalam kereta Zulhairi, terus aku kena sembur. Kuat membebel pula dia hari ni. Sakit telinga aku. Tadi masa beriringan masuk ke dalam kereta ini tidak pula dia mahu membebel. Diam saja, tak mahu berkata-kata. Lepas jejak sahaja dudukku ke dalam kereta, Zulhairi tak henti-henti bercakap.
            “Buat penat aku tekan loceng rumah kau bertalu-talu, rupanya kau tak ada kat rumah. Nasib baik aku ni bijak, tahu mesti kau pergi pejabat hari ini.” Bebelnya masih lagi berterusan.
            “Kau ni jangan membebel boleh tak?” marahku.
            “Kau tu kalau aku tak membebel, kau bukan nak dengar cakap. Keras sangat hati dan perasaan tu.” Zulhairi membalas kata.
            Aku merengus sambil memeluk tubuh. Sakit hati apabila kawan baikku sendiri mengata aku sebegitu. Walaupun sudah acapkali aku mendengar ayat tu keluar dari mulutnya, tapi setiap kali itu jugalah aku akan terasa hati. Namun aku hanya mampu mendiamkan diri.
            “Mana kau tahu hari ni sekolah Alia buat hari keusahawanan?” Aku ajukan soalan itu, kerana malas mahu mendengar dia memburuk-burukkan perangaiku. Buat sakit hati saja. Lagipun itulah satu-satunya perkara yang aku tak puas hati sampai sekarang. Musykil. Daripada mana Zulhairi boleh mengetahui tentang aktiviti persekolah adik-adikku?           “Alia tukan adik aku. Mestilah aku tahu.” Senang sahaja jawapan yang Zulhairi beri.
            “Seingat aku Alia tak ada abang. Dia ada seorang kakak aje! Jadi sejak bila pula dia jadi adik kau?”
            “Adik kau bukan adik aku juga ke?” Soal Zulhairi sambil memandangku sekilas.
            Aku mencebikkan bibir. Mulalah tu nak memanjakan adik-adik aku. Kalau budak-budak itu semua buat perangai semuanya salah Zulhairi kerana dia yang selalu memanjakan mereka. Sudah banyak kali aku tegah tapi dia buat juga. Sampai malas aku nak melarang lagi.
            “Kau pun mengaku yang Alia tu adik kau. Jadi apa salahnya kau tunaikan permintaan dia. Dia bukan nak benda bukan-bukan pun. Dia nak kau datang hari ni. Hari keusahawanan  sekolah dia. Susah sangat ke?” Perlahan pula nada suara yang Zulhairi gunakan. Mungkin cuba memujukku.
            “Nak buat apa pergi hari keusahawanan tu? Tak penting pun. Sajalah tu nak mengada-ngada.” Aku masih cuba membela diri. Memang aku rasa tiada apa-apa kepentingan pun untuk aku berada di sana. Nak buat apa?
            “Dia nak kau tengok dia berniaga. Bagi sokongan moral kat dia dan kawan-kawan dia. Lagipun gerai yang dia buka tukan bawah selian dia. Dia nak kau ada kat sisi dia. Susah sangat ke?”
            Aku tidak tahu daripada mana Zulhairi tahu tentang itu semua. Sedangkan aku sendiri tidak tahu menahu tentangnya. Mungkin Alia sendiri yang bercerita pada Zulhairi. Tapi kenapa dia tidak bercerita padaku saja? Kalaulah Alia bercerita padaku pun, belum tentu aku mendengarnya.
            Aku alih pandangan ke arah jam digital yang ada dalam kereta, baru pukul lapan pagi. Otak mula berfikir. Zulhairi Pasti dia tidak mahu meninggalkan Alia. Buatnya Zulhairi mahu menunggu sampai Alia balik. Jadi maknanya aku akan berada di sekolahnya hampir setengah hari? Oh, tidak aku tidak mahu.
            “Zul, teman aku sarapan kejap. Aku tak sarapan lagilah.” Sengaja aku mencipta alasan itu. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu tiba di sekolah Alia terlalu awal.
            “Alah kau ni, tadi tak sarapan ke?”
            Aku menggeleng.
            “Tak payahlah singgah-singgah ni. Nanti dah sampai sekolah tu kau belilah makanan yang ada kat situ. Namapun hari keusahawanan, mesti banyak budak-budak sekolah jual makanan.” Zulhairi tidak mahu menunaikan permintaanku.
            “Tak apalah, tunggu sampai sekolah ajelah.” Aku buat muka sedih. Sengaja mahu meraih simpatinya. Zulhairi memandangku seketika, aku memalingkan wajah memandang keluar kereta dan…
            “Yelah, yelah. Kita singgah makan dulu.”
            Yes! Aku tahu dia tidak akan menolak permintaanku sama sekali. Mataku masih lagi memandang keluar kereta tapi senyuman kemenangan sudah terukir kemas di bibirku.

MELIHAT kemeriahan sebaik sahaja aku masuk ke dalam kawasan sekolah membuatkan aku terasa teruja. Tidak sangka semeriah ini sambutan hari keusahawanan yang diadakan di sekolah ini. Dari pintu masuk utama lagi sudah kelihatan ramai orang yang hadir. Bukan sahaja pelajar sekolah, malahan ibu bapa turut memeriahkan acara hari ini. Patutlah Alia beria-ia memintaku untuk menghadirkan diri.
            “Along… Abang Zul.” Dari jauh Alia sudah melambaikan tangannya padaku dan Zulhairi yang baru sahaja sampai ke kawasan dewan terbuka.
Zul mempercepatkan langkah mendapatkan Alia yang berada di gerai jualannya. Aku turut melakukan hal yang sama. Sebaik sahaja bersalaman denganku, Alia pantas memelukku tanpa rasa segan silu pada kawan-kawannya yang memerhati. Aku terkedu sebenarnya. Tidak sangka Alia akan memperlakukan aku sebegitu di khalayak ramai, walhal dia hubungan kami tidaklah sehebat mana.
Thanks along sebab sudi datang support Lia.” Alia masih lagi dengan wajah cerianya memandangku.
“Macam mana jualan bunga okay ke?” Soal Zulhairi pada Alia.
            Aku terkejut, Alia menjual bunga? Dan Zulhairi mengetahuinya, sedangkan aku tidak. Nampaknya sejak Zul menjadi guru tuisyen adik-adikku, dia semakin bertambah rapat dengan mereka.
            “Okay abang Zul. Bunga yang kita orang gubah, semuanya dah habis, sekejap aje laku. Padahal tak adalah lawa sangat kita orang gubah, cincai aje. Tak macam yang Along gubah, perfect. Kalau along yang gubah mesti lagi banyak yang laku. Kan Along?” Bersungguh-sungguh Alia bercerita.
            Aku hanya mendiamkan diri walaupun Alia bercerita tentang kehebatanku mengubah jambangan bunga. Bukannya pandai sangat pun tapi kerana selepas SPM dahulu aku pernah kerja di kedai bunga, jadi mengubah bunga ini sudah termasuk dalam senarai kemahiran yang aku ada.
            “Kalau Lia nak tahu, Along ajak abang datang sini hari ni pun sebab dia nak tolong Lialah. Nak tolong gubahkan bunga untuk gerai Lia ni.” Bohong Zulhairi.
            Aku membesarkan mata memandang Zulhairi, bila masa pula aku yang mengajaknya ke sini? Bukankah dia yang memaksaku tadi? Satu lagi hal, bila masa pula aku merancang untuk menyumbang tenaga dan kemahiran aku untuk gerai jualan Alia? Zulhairi aku pandang dengan gunungan rasa tidak puas hati. Namun lelaki itu masih lagi boleh berlagak selamba.
            “Ye ke Along? Yes, cayalah. Jom ikut Lia.” Alia menarik tanganku membawaku ke dalam gerainya. Aku pula umpama pak turut, menuruti saja langkah Alia tanpa banyak soal. Sebenarnya bukan aku bersungguh-sungguh mahu Alia, namun mata kawan-kawannya yang turut ada di gerai jualan itu asyik memandangku membuatkan aku tidak boleh berkata tidak.
            Alia memberhentikan langkahnya di belakang gerainya. Di hadapanku kini ada sebuah meja yang berserekan dengan peralatan dan bahan mengubah bunga.
            “Kawan-kawan Lia yang tolong gubah baru aje pergi beli makanan. Kesian dia orang dari pagi belum makan. Along tolong Lia gubah sikit ya. Dapat satu dua pun jadilah, janji hasil tangan Along. Dapat perkhidmatan daripada pakar, bolehlah Lia jual mahal sikit” Pandai betul Alia memancing aku dengan puji-pujian.
            “Alah, tolong adik beradik apa salahnya.” Bisik Zulhairi di telingaku.
            Bisikkannya itu menimbulkan rasa geram di hatiku. Namun belum sempat aku menyatakan perasaanku Alia pantas menyerahkan sesuatu pada Zulhairi.
            “Nah abang kupon yang abang suruh Lia belikan minggu lepas.”
            Zulhairi menyambut kupon yang Alia berikan dan menyerahkan lebih daripada separuh pada Alia.
            “Eh, tak apalah bang Zul. Tu abang Zul punyakan” Alia pantas menolak.
            “Lah, abang beli pun memang untuk adik-adik abang. Nanti bagi kat Azira sekali okay.”
            Kali ini laju pula Alia menyambut kupon yang Zulhairi berikan dengan anggukan kepala. Kemudian dia meninggalkan kami berdua di meja ini.
            Aku tidak suka Zulhairi memanjakan adik-adikku sebegitu. “Kau ni kan…”
            Pantas Zulhairi mengangkat tangannya dan dihalakan ke wajahku. “Dah, aku tahu kau nak kata apa. Suka hati akulah, duit aku bukan duit kau pun.”
            “Ergggg… Kau ni kan.” Aku sudah mengenggam penumbuk. Geram betul aku dengan dia ni. Degil sungguh.
            “Jangan marah-marah. Bawa bersabar. Apa kata kau terus aje gubah bunga-bunga ni. Biar aku belikan air untuk kau. Mudah-mudahan reda sikit rasa marah kau tu. Tata.” Terus sahaja Zulhairi berlalu, dan seketika kemudian dia hilang di sebalik kelibat-kelibat manusia yang ramai.
            Aku menarik nafas, cuba menghilangkan rasa marah. Cutter yang berada di hadapanku, aku ambil. Cutter itu bermain-main di tanganku. Barangan yang berselerakan di atas meja aku perhatikan satu persatu. Tiada rasa untuk mengubah pada ketika ini. Namun sebaik sahaja aku terlihat bunga segar yang terdapat di dalam baldi di sisi meja itu membuatkan aku tersenyum lebar.
            Terdapat pelbagai bunga mawar, carnation, lily dan beberapa jenis bunga lagi. Membuatkan aku teruja tiba-tiba. Sudah agak lama aku tidak membuat gubahan bunga. Rasanya kali terakhir adalah sewaktu pesta konvokesyen aku dan Zulhairi dahulu. Aku mengubah sendiri bunga untuknya waktu itu. Apa yang paling mengembirakanku, Zulhairi begitu gembira menerima bunga dariku walaupun pada waktu itu tangan sudah penuh dengan jambangan bunga.
            Aku memilih beberapa bunga mawar biru dan mawar putih. Aku letak di atas meja untuk membuat gubahan. Laju sahaja tanganku memotong batang bunga itu lalu menyusunnya mengikut gerak hatiku. Zulhairi kembali bersama-sama denganku semasa aku sedang membalut bunga itu dengan kertas pembalut lutsinar. Kehadirannya tidak aku pedulikan, aku lebih menumpukan perhatian pada gubahan yang aku lakukan. Dia juga seperti faham dengan kehendak hatiku, dia turut diam duduk di hadapanku. Air dan makanan yang dibelinya diletakkan sahaja dpada ruang yang ada.      
            Aku menarik nafas lega apabila satu gubahan telah siap. Aku membetulkan beberapa bahagian dengan senyuman. Tidak sangka, sudah lama tidak mengubah bunga, aku masih dapat melakukannya dengan baik. Aku mendekatkan jambangan bunga tu ke hidungku. Aku suka dengan bau bunga hidup. Sewaktu aku mencium bunga itu, mataku dapat menangkap pandangan Zulhairi yang tidak lepas dari wajahku. Pantas aku mengalihkan bunga tersebut dari wajahku. Aku mengangkat-angkat kening, bertanya secara tidak langsung pendapatnya tentang gubahan itu. Tapi Zulhari masih lagi membatu.
            “Hoi!” aku membaling Zulhairi dengan bunga tulip plastik. Bunga itu tepat kena ke wajahnya, aku tertawa kecil. Geli hati melihat Zulhairi yang seolah-olah baru tersedar daripada lamunan.
            “Ish, apa kau ni main baling-baling?” Zulhairi menyapu wajahnya seketika sebelum menunduk mengutip bunga yang aku baling padanya yang sudah jatuh ke lantai.
            “Padan muka kau. Yang kau pandang aku macam tu buat apa? Rasakanlah.” Aku masih lagi dengan tawaku.
            “Eleh, kedekut sangat. Pandang sikit pun tak boleh. Bukannya luak pun.” Dia mencebikkan bibir padaku. Tangannya sibuk membelek bunga tulip plastik berwarna jingga yang aku baling padanya.
            Malas aku mahu melayan dirinya yang asyik dengan bunga tulip itu. Gubahan jambangan bunga yang sudah aku siapkan aku letak ke tepi. Aku mengambil pula beberapa bunga carnation, mula untuk membuat gubahan yang baru.
            “Su.”
            Aku mendiamkan diri. Malas mahu melayan Zulhairi. Aku kalau sudah berhadapan dengan bunga-bunga segar begini memang boleh lupa diri.
            “Su.” Sekali lagi Zulhairi memanggilku.
            “Erm,” aku masih lagi menumpukan perhatian pada kerjaku.
            “Suraya!” jerit Zulhairi.
            “Apa?” Aku mengangkat wajah dan memandangnya. Wajahnya masam mencuka tapi hanya seketika, kemudian senyuman lebar menghiasi wajahnya. “Apahal?” soalku malas mahu menunggu dia meluahkan kata terlebih dahulu.
            “Aku nak gubah bunga juga boleh?”
            Soalan Zulhairi mengundang tawaku.
            “Woi, aku serius ni, kau gelak-gelak pula.”
            Aku menekan perutku, cuba menahan tawa yang semakin ketara. “Okay, okay… aku tak gelak lagi.” Aku berdehem membetulkan suara akibat terlebih gelak tadi. “Pandai ke, kau?” aku bukan mahu memperkecil Zulhairi, tapi aku tidak yakin dengan kemampuan dia.
            “Alah, bagilah aku cuba dulu!” Zulhairi masih mahu.
            “Okay, kau buatlah. Tapi kalau tak laku jangan salahkan aku pula.” Aku masih lagi tersenyum-senyum. Susah betul aku mahu membuang rasa geli hati ini.
            “Siapa kata aku nak jual?” balas Zulhairi dan bangun dari duduknya dan duduk di kerusi yang berada di sebelahku.
Dia kelihatan bersungguh-sungguh kali ini. Dan aku yang tidak mahu merencatkan kehendaknya itu terus memberikan tunjuk ajar apa yang patut. Sepanjang aku mengajar dia hanya menganggukkan kepala. Entah betul-betul faham atau tidak aku tidak tahu. Selepas itu aku membiarkan dia memilih sendiri bunga yang dirasakan sesuai mengikut citarasanya.
Aku kembali menyambung tugasku. Beberapa kawan Alia datang semula untuk membantuku. Pantas aku melarang, bukan apa, terasa seronok pula melakukan tugas ini. Tambahan pula bunga segar yang tinggal tidak terlalu banyak yang perlu digubah, jadi aku seorang pun boleh melakukannya sehingga selesai.
Senyumanku terlihat apabila satu lagi gubahan sudah pun siap. Aku memandang Zulhari yang sedang sibuk memilih kertas pembalut dan reben. Bersungguh-sungguh dia mahu mengubah sendiri jambangan bunga itu. Tidak mahu menganggunya aku meneruskan kerjaku.
“Siap!” kuat suara Zulhairi kedengaran.
Aku yang sedang asyik membetulkan reben pada gubahanku pantas berpaling memandang dirinya yang masih lagi membelek gubahannya. Berkerut dahiku memandang bunga yang digubahnya. Aku mengulum senyuman, takut dia ternampak aku mentertawakannya. Untuk orang yang baru belajar membuat gubahan bunga sepertinya gubahannya itu bolehlah dikategorikan sebagai menarik, cuma kombinasi bunga dan warna bahan yang dipilih tidak bersesuaian. Calla Lily, dan Rose Peach digabungkan dalam satu gubahan. Rasanya belum pernah dibuat orang. Dengan kombinasi bunga tersebut membuatkan aku terasa jambangan ini agak pelik.
“Okay, cari kad pula.” Zulhairi menyelongkar kad-kad yang terdapat di dalam kotak kecil yang berada di sebelahku. Setelah menjumpai kad yang berkenan di hatinya, dia mengambil pen dan mencatit sesuatu di dalam kad itu.
“Siap ada kad. Kau nak bagi siapa bunga tu?” Aku yakin dia mahu memberikan bunga ini pada seseorang. Jika tidak masakan dia beria-ia sehinga begini sekali.
“Adalah.” Zulhairi cuba berahsia denganku.
“Kau nak bagi Madihah ke?” Nama itu tiba-tiba terlintas di mindaku. Hatiku senang jika benar bunga ini dia tujukan untuk Madihah. Ini bermakna hubungan mereka akan bertambah erat selepas ini. Aku yakin Madihah akan menyukai jambangan bunga ini. Walaupun jambangan ini pelik pada pandangan mataku. Namun jika Madihah tahu ini adalah hasil penat lelah dan kesungguhan Zulhairi pasti ianya lebih bermakna. Menerima bunga daripada kekasih hati saja sudah boleh mengembirakan hati apatah lagi menerima jambangan bunga yang digubah sendiri oleh kekasih hati, pasti ianya akan menjadi saat yang paling indah.
“Kenapa pula nak bagi Madihah? Merepek aje kau ni.” Zulhairi masih lagi membetulkan jambangan bunga gubahannya.
“Habis tu, kau nak bagi siapa?”
Zulhairi hanya tersenyum. “Adalah.”
Aku sudah malas mahu bertanya, jika dia sudah menggunakan perkataan yang sama setiap kali aku bertanya, itu bermakna dia memang tidak mahu aku mengetahui perkara itu. Aku juga tidak berminat untuk memaksa, maka aku membiarkan sahaja perkara itu.
            “Wah, banyaknya yang along dah buat, cantik-cantik pula tu.” Alia datang ke sisiku ketika aku sedang menyiapkan gubahan yang kelima.    
            “Tapi yang ni lagi cantik tau Alia.” Zulhairi menunjukkan gubahannya pada Alia.
            Alia tertawa kecil.
            “Kenapa ketawa?” Soal Zulhairi.
            “Siapa yang gubah tu?” Alia  pula yang menyoal Zulhairi dan aku hanya memerhatikan mereka saling bersoal jawab.
            “Abang Zullah. Kenapa tak cantik ke?” Zulhairi melihat semula jambangan di tangannya.
            “Bolehlah.” Alia masih lagi dengan tawanya.
            “Amboi seronok gelakkan abang Zul ye. Dahlah tu, kira bunga ni berapa dengan bunga ni sekali.” Zulhairi menayangkan jambangan yang digubahnya tadi dan bunga tulip plastik yang aku baling padanya tadi.
            “Bunga plastik tu, buat apa kau nak beli pula?” entah kenapa tak pasal-pasal dengan bunga yang aku balingkan tadi pun mahu dibelinya.
            “Kau nikan suka membantah apa yang aku buat. Suka hati akulah aku nak beli apa pun. Lagipun kupon kat aku ni banyak lagi, masa nilah nak kena guna.” Nampak sangat Zulhairi sengaja mahu mencari alasan untuk membeli bunga plastik itu.
            Aku mula mengesyaki sesuatu, mesti ada udang di sebalik batu. Kenapa pula tiba-tiba saja Zulhairi mahu membeli bunga plastik itu. Bukan boleh pakai sangat Zulhairi ni kadang-kadang.
            “Okaylah, untuk abang Zul Alia bagi special diskaun.”
            “Diskaun apanya. Kalau macam nilah berniaga, bila nak untung?” aku bantah. Bukan apa. Oleh kerana Zulhairi enggan berkongsi cerita tentang bunga itu. Jadi aku sengaja buat bantahan.
            “Kau ni, Su. Tak habis-habis nak dengki dengan aku. Biarlah, akukan pelanggan VVIP Alia hari ni.” Zulhairi terus mendapatkan kupon yang disimpan di dalam poket seluarnya. “Macam tulah adik abang.” Sempat pula Zulhairi tersenyum pada Alia.

“TERIMA kasih abang Zul.” Ucap Alia sebaik sahaja kereta Zulhairi berhenti di hadapan rumahku.
            “Sama-sama.” Zulhairi berpaling ke tempat duduk belakang, memandang Alia dan Azira dengan senyuman.
            Sejak keluar dari sekolah lagi mereka bertiga berbual dengan begitu rancak sekali. Tambahan pula Azira yang memegang jambangan bunga yang digubah Zulhairi, asyik mengusik Zulhairi dan jambangan bunganya.
            “Mat Romantik, saya letakkan bunga anda ini di sini je ye.” Azira masih lagi cuba mengenakan Zulhairi, dan Zulhairi tetap tersenyum riang. Jambangan bunga itu Azira tinggalkan sahaja di tempat duduk belakang sebelum dia dan Alia keluar dari kereta.
            ‘Mat Romantik’, itu gelaran yang Azira berikan pada Zulhairi apabila dia tahu Zulhairi yang mengubah sendiri bunga itu. Dan Zulhairi pula terima sahaja segala apa yang Azira katakan dengan senyuman.
            “Okaylah Zul, aku masuk dulu. Terima kasih untuk hari ni.”
            “Su, kejap.”
            Aku kembali duduk sebaik sahaja Zulhairi menghalangku untuk keluar. Aku memandangnya dan dia pula menoleh ke tempat duduk belakang dan mengambil jambangan bunga yang digubahnya tadi dan diserahkan kepadaku.
            “Nak aku bagikan kat Madihah ke?” Aku mengangkat-angkat keningku. Tadinya tak mahu mengaku konon…
            “Bu…”
            “Alamak, tak romantiklah ‘Mat Romantik’ kita, kalau aku yang tolong kau bagikan. Gentlemanlah sikit, kau bagilah sendiri kat Madihah.” Aku terus menyambung sebelum sempat Zulhairi menyambung bicaranya.
            “Kau ni, dari tadi Madihah, Madihah, Madihah. Kau ingat aku bersusah payah gubah bunga ni untuk dia ke?”
            “Bukan ke?” Tanyaku.
            Dia mengeleng laju.
            “Dah tu, kau gubah untuk mak kau?” Aku masih terus bertanya.
            Dia mengeleng lagi.
            “Habis tu, kau gubah untuk siapa?”
            Dia menyuakan bunga itu lebih rapat padaku. “Kau.”
            “Aku?” jari telunjukku aku suakan ke wajahku sendiri. Zulhairi mengangguk. “Kenapa nak bagi aku pula? Kau ni demam ke apa?”
            “Kau ni kan. Aku dah bagi kat kau, kau ambik jelah. Ni first time aku gubah bunga sendiri. Aku nak bagi kat kau, salah ke?”
            “Tak salahlah, cuma pelik je.” Aku sudah kelam-kabut, rasa pelik pula jika aku menerima bunga itu darinya. Ini bukan kali pertama aku menerima jambangan bunga darinya, sudah banyak kali sebenarnya. Tapi itu semua sewaktu majlis konvokesyen dan beberapa tahun semasa hari lahirku. Hari ini, bukan ada apa-apa yang aku raikan, jadi tidak mungkin aku akan menyambut huluran bunga itu. Kalau aku tak ambil bunga itu boleh atau tidak?
            “Okaylah, kalau taknak ambik tak apalah. Aku tak nak paksa.” Zulhairi sudah mula berjauh hati.
            “Eh, siapa kata aku tak nak? Aku naklah.” Aku terus merampas bunga yang sudah Zulhairi letakkan di atas ribanya.
            “That’s my girl.” Ujar Zulhairi riang.
            “Tak nak aku jadi girl kau!” Kataku dan terus keluar dari kereta. Terdengar Zulhairi ketawa kuat.
            Aku turut tersenyum. Sepanjang perjalanan aku melangkah ke dalam rumah, jambangan bunga yang berada di dalam tanganku, ku tatap. Hatiku sebenarnya senang menerima jambangan bunga yang aku gelar jambangan pelik di gerai jualan Alia tadi. Kalaulah Azira dan Alia tahu bunga itu pemberian Mat Romantik untukku, pasti mereka akan berfikir yang bukan-bukan. Jadi bunga ini harus aku sorok!

Bersambung...

Kata AH:
Salam Kemerdekaan & terima kasih krn sudi mengikuti SAC...

3 comments:

zuraidah said...

sebenarnya zul ada hati kat su..kan, kan, kan......

Unknown said...

aigooo zul,cepat2 la berterus terang dgn su tue!! kang wafi dulu yg ptg line kang!hehe!!

ida said...

ye! new n3! mmg best...saya setuju dgn korang berdua, Zul mmg ada hati sgt2 kat Su & dia kena cepat bertindak! Good luck Zul!

Post a Comment