Monday, August 27, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 11


11
            Aku pantas mencari telefon bimbit dalam tas tangan bersama langkahku yang makin laju menghampiri lif. Aduh, susah pula aku mencari telefon yang tidak berhenti berdering sedari tadi! Sudahlah aku terlambat hari ini, siapa pula yang menghubungiku pada waktu-waktu kalut begini? Berjaya sahaja mengapai telefon bimbit, aku terus meletakkannya di telinga. Mujur juga lif sudi memberikan kerjasama. Sampai sahaja aku di hadapan lif, pintunya sudah sedia terbuka untukku masuk ke dalam.
            “Assalamualaikum.” Sapaku sambil melangkah masuk ke dalam lif. “Ha, Zul Kenapa? Kau nikan… kalau tak kacau aku pagi-pagi macam ni tak boleh ke?” soalku bersahaja.
            “Amboi sedapnya bahasa. Karang bukan adik-adik kau je yang aku bagi tuisyen, dengan kau sekali aku tuisyenkan, cara beradap ketika bercakap, nak?”
            Aku tersenyum sudahnya, nampak sangat yang Zul benar-benar sedang marah tika ini, “Alah nak bergurau dengan kau pagi-pagi ni pun tak boleh...” Aku memerlahankan suara, cuba untuk melembutkan hati Zul yang sudah aku marakkan dengan api.
            “Berguraulah sangat.”
            “Rilekslah Zul, kau tahu tak, kau tu, kalau dah marah, suara tu dah macam suara Shrek. Tak maco langsung.”
            “Ha’ah kalau aku Shrek aku nak kau yang jadi Princess Fiona, aku tak nak orang lain, kau yang paling sesuai jadi minah hijau tu. Barulah padan kau dengan aku kan.” Tutur Zul dengan lantang sekali dan aku dapat bayangkan yang dia sedang menahan geram tika ini.
            Nasib baik aku berada di dalam lif yang dipenuhi orang, jika tidak mahunya aku sudah tergelak terbahak-bahak mendengar kata-katanya itu. “Tak kuasa aku nak jadi Princess Fiona, baik aku jadi Cinderella ke, Snow White ke, hah.. tak pun paling afdal aku jadi bawang merah. Apa-apa jelah asalkan bukan kau heronya.” Aku sudah menekan perut, menahan gelak, rasa tak sopan pula jika aku tertawa bagai nak rak di dalam lif ini.
            Zul sudah mengeluh, “Apasal, teruk sangat ke kalau aku yang jadi hero fairy tale kau tu?”
            “Taklah teruk sangat, tapi aku tak nak jadi heroinnya kalau kaulah heronya. Bak kata budak-budak sekarang, apa barang...” pantas saja aku membalas kata. Sebelum Zul cakap yang bukan-bukan lebih baik aku menafikan apa saja yang berkaitan dengan aku dan dia.
            “Habis kalau bukan aku, kau nak siapa jadi heronya? Remy Ishak, Fizz Fairuz, Aaron Aziz?” makin kuat pula nada suara yang Zul gunakan.
            Aku terus keluar dari lif apabila sudah sampai di ruangan pejabatku. “Erm, nama yang kau bagi tu agak menarik, nantilah aku pertimbangkan. Aku tak kisah siapa pun sebenarnya asalkan bukan Ahmad Zulhairi Bin Ismail!”
            “Hah sudahlah kau malas aku nak bercakap dengan orang yang tak ada perasaan macam kau ni. Buat habis kredit aku je. Blahlah.”
            Aku tergelak besar sudahnya, di depan pejabatku ini tiada orang yang kelihatan jadi aku menghamburkan tawa yang aku simpan sedari tadi. “Okaylah nak bergurau pun marah ke? Kau telefon aku ni kenapa?” Aku terus mengubah topik namun tawaku masih lagi boleh jelas didengari oleh Zul di hujung talian.
            “Sudahlah kau, aku dah tak ada mood nak cerita apa-apa dengan kau.”
            “Wei Zul…” belum aku habis menyambung kata Zul sudah pun memutuskan talian. Aku memandang skrin telefon bimbitku. Sah, memang dia sudah mematikan taliannya. “Aik, marah benar gamaknya.” Aku mengeleng kepala sambil tersenyum. Kadang kala Zulhairi memang sensitif orangnya. Sengaja aku mahu mengusiknya sedikit, tak sangka dia boleh terasa sebegitu.
            Namun aku tidak kisah sangat, aku tahu Zulhairi bukanlah jenis yang marahnya berpanjangan. Lebih-lebih lagi denganku. Sekejap sahaja dia akan sejuk. Lagipun selalunya aku saja yang terkena, sekali sekali giliran aku pula membuat onar.
            “Zul, Zul…” namanya masih lagi bermain di bibirku.
            Senyuman yang begitu mekar di bibirku akhirnya mati tiba-tiba. Tanganku masih lagi ligat mencari pas kerja di dalam tas tangan yang masih berada di bahuku. Namun puas tanganku mencari masih tidak menjumpainya. Aku bawa beg tanganku itu ke hadapanku, cuba menyelongkar isi dalamnya satu persatu. Habis satu beg aku selongkar namun masih tidak berjumpa dengan pasku itu.
            Aku berhenti mencari, sejenak mula berfikir.  Rasanya semasa aku ingin keluar rumah tadi aku sudah pastikan pas kerjaku berada di dalam beg ini, tapi kemana pula perginya waktu ini? Sudahlah lambat, pas pula hilang entah kemana. Aku lihat jam di tangan lagi lima minit sebelum pukul Sembilan, mahu merah kedatangan aku hari ini.
Aku jengahkan kepala ke ruang menyambut tetamu mencari Shila yang sepatutnya bertugas di situ. Aku mahu dia membukakan pintu kaca ini untukku, namun jangan kata dirinya, bayangannya pun tiada di ruangan itu.
            “Aduh, nak buat macam mana ni?” Aku makin kalut, sudahlah pukul 9.30 nanti ada mesyuarat bulanan jabatan kewangan. Boleh pula pas kerjaku ini buat hal hari ini. Aku kembali meneruskan misi menyelongkar beg tanganku yang sudah berkali-kali aku selongkar.
            “Mana pula perginya ni?” mulutku tidak henti membuat pertanyaan yang aku sendiri tidak ada jawapannya.
            “Cari ni ke?”
            Aku berpaling ke arah suara yang kedengaran. Pas kerja milikku kelihatan terhayun-hayun diruangan mata. Fokusku hanya pada pas kerja itu. Aku tersenyum lebar, akhirnya aku sudah jumpa pas yang aku cari sebentar tadi. Kini aku menoleh pula pada lelaki yang sedang memegang pasku itu.
            Wafi! Dengan senyuman dia tadinya berdiri statik, mula makin menghampiriku.
            “Cari ni ke?” Kali kedua soalan itu ditujukan padaku. Dan aku rasa aku tidak perlu menjawabnya kerana aku yakin dia sudah pun tahu akan jawapannya.
            “Mana kau jumpa pas aku ni?” Aku mula menyoal namun mataku masih lagi memandang pas kerjaku yang terbuai-buai di tangan Wafi.
            “Jumpa kat depan lif. Awak tercicir ke?”
            Aku cuba mengapai pas kerjaku itu dan dengan pantas Wafi membawanya ke belakang badannya. Sengaja tidak mahu aku mencapai pas itu terlebih dahulu sebelum aku menjawab soalannya.
            “Yelah, takkan aku suka-suka nak buang benda penting macam tu.” Aku agak malas nak melayan sebenarnya, namun demi pas yang sedang berada di tangannya itu, aku redahkan juga. Pasti pas aku itu terjatuh sewaktu aku tergopoh-gopoh mencari telefon bimbitku sebentar tadi. Ini semua salah Zul, kenapalah dia menelefon aku sebentar tadi, kalau tidak pasti pas aku ini tidak akan terjatuh dan Wafi tidak akan menjumpainya. Sekaligus aku juga tidak perlu terjerat dengan situasi begini.
            Walaupun sudah mendengar jawapan yang aku berikan, namun Wafi masih lagi tidak mahu menyerahkan pas itu padaku, dia kemudiannya membelek-belek pasku itu dan merenung gambarku yang tertera di situ.
            “Cantik gambar ni, masa ambik gambar ni umur awak berapa ye?”
            Pujiannya itu langsung tidak menarik hatiku, dan soalannya itu aku tidak minat untuk menjawabnya.
            “No wonderlah gambar ni cantik, awak pun memang cantik orangnya.” Sambungnya yang masih lagi mahu memujiku.
            “Kau nak bagi balik tak pas tu kat aku sebenarnya ni?” Aku sudah malas mahu berbalas bicara dengan Wafi. Nanti tak pasal-pasal ada pergaduhan besar pula di sini.
            “Memanglah saya nak pulangkan pas ni kat awak, tapi dengan satu syarat.”
            Ini yang aku malas, kenapa pula perlu bersyarat sedangkan pas itu sememangnya milikku? Apa masalah lelaki ini sebenarnya?
            “Apa syaratnya?” soalku acuh tak acuh.
            “Sudi jadi kawan saya?”
            Ya’ Allah, kenapalah hanya isu ini yang dia kutarakan padaku setiap kali aku berjumpa dengannya. Mengapalah beria-ia sangat dia mahu menjadi kawanku? Tidak cukupkah dengan jawapan yang pernah aku berikan padanya sebelum ini?
            “Kalau kau tak nak bagi balik pas tu kat aku pun tak apa, aku tak kisah. Bukannya aku tak boleh buat pas yang lain.” Aku terus menuju ke pintu utama pejabatku. Aku ketuk pintu kaca itu bertalu-talu agar memudahkan mereka yang berada di dalam mendengarnya.
            “Janganlah ketuk kuat sangat, nanti pecah pula pintu tu.” Perli Wafi yang sudah pun berada di sebelahku.
            Aku sudah tidak mempedulikan dirinya lagi. Aku masih lagi mengetuk pintu itu bertalu-talu, makin lama makin kuat aku mengetuk pintu itu. Kalau pintu ini pecah pun bagus juga tidak perlu aku berada di sini berhadapan dengannya lagi.
            “Kalau pintu tu pecah nanti tangan awak yang luka. Saya tak nak awak sakit.” Dia masih terus menyambung bicaranya.
Meremang bulu tengkukku mendengar ayat yang Wafi tuturkan. Rasa nak muntah pun ada. Apapun aku masih tidak mengendahkannya.
“Susah betul nak jadi kawan awakkan?”
            Aku tetap tidak mempedulikan dirinya, biarlah dia nak kata apa sekalipun. Tiba-tiba dia mengalungkan pas kerjaku itu ke leherku. Aku tersentak seketika, kemudian aku terus berpaling memandangnya yang masih dengan senyumannya.
            “Walaupun susah nak jadi kawan awak, saya tetap akan cuba sampai berjaya.” Katanya sebelum meneruskan langkah. Aku masih lagi kaku memandangnya yang sudahpun menekan punat lif untuk ke tingkat atas.
            Masuk sahaja ke dalam lif yang kosong tidak berpenghuni dia sempat memandangku. “Esok-esok saya akan kalungkan rantai emas pula ya.” Jeritnya sebelum pintu lif itu tertutup rapat.
            Aku bagaikan tersedar seketika apabila pintu lif itu tertutup. Aku mengetap bibirku, geram apabila mengenangkan tingkahnya sebentar tadi.

“KAK SU tak balik ke?”
            Aku berkalih dari memandang komputer dan memandang Madihah yang sentiasa manis tersenyum padaku. Apabila memadang wajah Madhihah ini pasti bayangan wajah Zul terbit sama di mindaku. Aku benar-benar merasakan yang mereka amat sepadan jika digandingkan bersama. Bak kata pepatah bagai pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan. Pasti ramai yang sependapat denganku apabila melihat mereka berdua disatukan.
            “Kak Su.” Madihah melambai tangannya di hadapan wajahku.
            Terkebil-kebil mataku memandang Madihah. Pantas aku mengukir senyuman buatnya, boleh pula fikiranku melayang sewaktu aku berhadapan dengannya. “Kejap lagi kut, nak siapkan kerja ni lagi sikit. Ihah nak balik pukul berapa ni?” aku kerling jam di screen komputerku. Sudah pukul 5.30 rupanya tidak sangka masa berjalan begitu pantas. Sudah setengah jam waktu pejabat tamat.
            “Dah nak baliklah ni. Nak kemas barang kejap.” Seperti biasa setiap tutur kata Madhiah begitu lembut menusuk telingaku.
            “Cepat-cepat nak balik ni nak pergi mana? Nak jumpa pakwelah tukan.” Aku sengaja mengusiknya dalam masa yang sama aku ingin mengetahui statusnya sekarang ini. Niat untuk menyatukannya dengan Zul masih lagi menebal dalam diriku ini. Namun entah mengapa niatku itu asyik tergendala sahaja kebelakangan ini.
            Madhiah tertawa kecil. “Mana ada pakwelah kak, memandai aje kak Su ni.”
            “Aik, takkan perempuan cantik macam Madhiah ni tak ada pakwe lagi. Ni saja nak sembunyikan dari akak ni, kan?” Demi Zul aku sanggup lakukan apa sahaja, aku akan cungkil rahsia Madihah secepat mungkin. Lebih daripada itu aku tetap dengan tekadku untuk merapatkan mereka. Aku sangat yakin, Madihah mampu menjaga Zulhairi dengan baik. Wanita sebaik Madihah ini memang sayang jika dilepaskan begitu sahaja.
            “Betul kak tak ada. Mana ada orang nakkan Ihah.” Madhiah merendah diri.
            “Eh, siapa kata tak ada orang nak. Erm, kalau abang Zul nak Ihah, Ihah terima tak?” entah sejak bila aku sudah jadi sepenyibuk ini. Selalunya kisah orang lain tidak akan aku endahkan, tapi demi Zul aku sudah jadi sebegini.
            “Merepek ajelah akak ni. Abang Zul tu anggap Ihah macam kawan dia je. Tak ada maknanya dia sukakan Ihah ni.” Tersipu-sipu Madihah mengeluarkan kata.
            “Eh, mana kita tahu kalau dalam hati dia tu ada taman untuk Ihah.”
            “Kak Su ni, merepek aje...” Madhiah mengelengkan kepala dan terus berjalan menuju ke mejanya.
            Aku turut tersenyum memandang Madihah yang sudah tersipu malu. Senyumanku semakin melebar sewaktu melihat nama Zul tertera di skrin telefon bimbitku. Panjang umurnya, baru disebut-sebut sudah muncul di talian. Sudah hilangkah rajuknya pagi tadi denganku?
            “Assalamualaikum, dah hilang ke merajuk tu?” Aku terus menyoal tanpa membuang masa.
            “Wa’alaikumusalam, siapa pula yang merajuk dengan kau?”            
            “Cewah… buat-buat hilang ingatan pula. Bukan kau ke yang merajuk dengan aku pagi tadi. Aku bergurau sikit pun tak boleh. Terus letak telefon.” Aku masih lagi ligat mengusiknya.
            Kedengaran Zulhairi mendengus. “Huh, daripada aku merajuk dengan kau baik aku merajuk dengan beruk, lagi bagus.”
            Aku sudah ketawa geli hati. Kalau sudah ayat sebegitu yang keluar dari bibirnya ternyata dia masih tidak boleh melupakan kejadian pagi tadi. Aku kenal sangat dengan lelaki yang bernama Zulhairi ni.
            “Buat apalah kau nak merajuk dengan beruk, bukannya beruk tu pandai pun nak memujuk.” Kali ini ketawaku makin kuat sehingga Madhiah yang berada di tempatnya menoleh sekilas kepadaku. Au mengangkat tangan menandakan aku memohon maaf padanya dan dia hanya membalas dengan senyuman.
            “Bengonglah kau, Su.” Dia sudah malas mahu melayanku nampaknya.
            “Wei Zul, Madihah ada kat depan aku ni. Kau nak aku kirim salam kat dia tak?” aku mula berbisik dengannya di talian, seolah-olah tidak mahu Madihah mendengar kata-kataku, sedangkan Madihah berdepa-depa jauhnya dariku.
            “Hah, ni sudah lebih. Kau jangan nak buat benda merepek. Nahas aku kerjakan kau nanti.”
            “Alah kirim salam je pun, apa salahnya? Tak luak apapun.” Aku sudah mencebik bibir. Aku nak tolong selesaikan masalah dia dengan ibunya pun tak mahu. Padahal dulu dia yang beriya-iya suruh aku tolong. Alih-alih bila aku dah jumpa, jual mahal pula.
            “Tak payah nak susah-susah. Ni aku nak bagitahu kau, aku dah ada kat depan rumah kau ni. Aku nak bawa adik-adik kau pergi bookstore ni, nak beli buku untuk tuisyen nanti.” Zul terus dengan niatnya menelefonku, sesungguhnya aku tahu, dia tidak mahu aku melalut yang bukan-bukan lagi.
            “Kenapa kau tak bagi tahu aku dulu, aku nak ikut sekali.” Aku sudah kembali serius, kalau perkara yang  melibatkan adik-adikku itu aku tidak mahu bertangguh.
            “Pagi tadi memang aku nak bagi tahu kau, tapi dah kau merepek sangat, aku cancel teruslah.” Kali ini Zul pula yang ketawa.
            “Kau nikan.”
            “Padan muka kau. Merepek lagi.” Dia masih lagi dengan tawanya.
            “Kau tunggu situ sampai aku sampai. Jangan nak mengatal nak bawa adik-adik aku tu keluar sebelum aku sampai, paham.” Tegasku.
            “Amboi, sayang juga kat adik-adik kau tu. Okay, madam. Arahan diterima”
            Aku terus memutuskan talian, aku menutup komputerku dan mengemas apa-apa yang patut sebelum bergerak keluar dari pejabat. Aku tidak akan membenarkan Zul sendiri yang membawa mereka untuk membeli segala buku-buku yang diperlukan. Bukan kerana aku tidak mempercayai Zul, sepanjang hayatku selain ayah Zulhairilah lelaki yang aku paling percayai. Cuma aku tidak mahu dia membeli semua buku itu dengan wangnya sendiri, aku mahu aku yang membayar kesemua keperluan pembelajaran adik-adikku. Kalau Zul sudah mendahulukan duitnya membeli kesemua keperluan itu, mati hidup semula pun aku yakin dia tidak akan menerima jika aku mahu memulangkan semula wangnya itu.
            Aku melajukan langkah di ruangan basement, aku ingin segera sampai ke rumahku. Aku tidak mahu mereka menantiku terlalu lama. Beberapa langkah sebelum aku sampai ke keretaku, susuk tubuh Wafi yang sedang bersandar di keretaku jelas ketara di mataku. Seperti biasa dia tersenyum memandangku, seolah-olah dia sememangnya sedang menanti kehadiranku. Aku melihat sekeliling, bagaimana dia boleh berada di keretaku dan bagaimana dia boleh mengetahui itu keretaku?
            “Buat apa kat sini?” Soalku apabila aku sudah berada di sebelah keretaku. Aku pantas mencari kunci keretaku di dalam beg tanganku. Aduh, mana pula hilangnya kunci ini? Bersungguh-sungguh aku menyelongkar begku itu. Takkan hilang juga?
            “Saja tunggu awak.”
            Jawapan yang dia berikan membuatkan aku menghentikan pencarianku, wajahnya aku renung seketika. “Buat apa tunggu aku?” Aku sudah semakin hilang arah, rasa takut mula menyerbu diri. Mengapa dia menunggu aku di tempat sebegini. Kalau ada apa-apa yang ingin dikatakan padaku tidak bolehkah dia bertemu denganku di pejabatku. Bukannya dia tidak mengetahui di mana pejabatku. Kenapa tempat yang tidak logik begini yang dipilihnya untuk bertemu denganku.
            “Sebab saya nak pulangkan pada awak benda ni.” Wafi mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek seluarnya.
            Aku mengundur setapak ke belakang, berhati-hati dengan apa yang akan muncul dari sebalik kocek seluarnya itu.
            “Nah.” Wafi menyerahkan kunci padaku.
            Terbeliak mataku memandang kunci keretaku berada di dalam gengaman tangannya. Pagi tadi pas kerjaku berada di dalam gengamannya, kini kunci keretaku pula yang berada di dalam tangannya.
            “Mana kau dapat kunci kereta aku ni?” aku menghampirinya dan melihat dengan lebih dekat kunci tersebut. Iya memang kunci keretaku, keychain yang Zul berikan padaku tersemat di antara kunci-kunci itu.
            “Saya jumpa pagi tadilah, masa saya jumpa pas kerja awak tu. Kunci ni ada sekali.” Dia masih menghulurkan kunci itu padaku dan entah kenapa jika pagi tadi aku beria-ia ingin merampas hak milikku, tapi tika ini aku agak teragak-agak untuk menyambut kunci yang sudah dia hulurkan padaku sejak tadi.
            “Kenapa kau tak pulangkan sekali kunci ni masa kau pulangkan pas kerja aku pagi tadi?” aku masih lagi bersoal jawab dengannya. Rasa syak wasangka masih lagi meraja hatiku ini.
            Dia tersenyum simpul mendengar soalanku. “Kalau saya pulangkan kunci ni pagi tadi tak dapatlah saya nak jumpa dan berbual dengan awak macam ni petang ni kan?” Dia mengangkat kening mengharapkan aku mengiakan katanya. 
            “Apa pula syaratnya kali ni?”
            “Syarat?” Wafi mengerutkan dahinya, tidak faham dengan soalanku.
            “Yelah pagi tadikan kau kenakan syarat pada aku. So, kali ni apa pula syaratnya?”
            Tiba-tiba dia ketawa besar dan ketawanya itu mengundang gementar di dadaku.
            “Syaratnya, awak kena hati-hati bila memandu nanti, boleh?” Dia mengenakan syarat yang langsung tiada faedah buat dirinya. Dan aku masih lagi was-was mahu menyambut kunci itu.
“Ambiklah, kenapa awak tak nak balik ke? Nak duduk dengan saya sampai malam ke kat basement ni?”
Mendengar soalannya itu membuatkan aku rasa gerun sendiri. Jadi dengan pantas aku menyambar kunci yang berada di tangannya. Aku menarik nafas lega apabila kunci itu sudah bertukar tangan.
“Ada lagi ke barang aku yang tercicir yang kau dah jumpa dan kutip?” Aku mengetap bibir selepas mengeluarkan soalan itu. Rasanya aku tidak patut mengeluarkan soalan sebegitu padanya.
Dia cuma tersenyum dan mengelengkan kepala. “Saya minta diri dulu, Assalamualaikum.” Katanya dan terus berpaling berlalu meninggalkanku.
Entah kenapa hatiku jadi tidak sedap tika ini. Tidak sepatutnya aku melayannya sebegitu. Hari ini dia banyak menolongku. Jika bukan dia yang menjumpai dan memulangkan pas kerja dan kunci keretaku ini pasti aku berada dalam kesusahan hari ini. Sudahlah pagi tadi tiada langsung kata terima kasih yang keluar dari bibirku untuknya, tidak mungkin petang ini juga aku akan berlaku sebegitu biadap padanya. Bukankah sepatutnya orang berbudi kita berbahasa?
“Wafi.” Panggilku sewaktu dia sudah agak jauh dariku. Aku menarik nafas lega apabila dia berpaling memandangku. “Terima kasih.” Akhirnya perkataan itu terkeluar juga dari bibirku.
Wafi memandangku dengan senyuman lebar. Sebelum berlalu sempat juga dia mengenyitkan mata kanannya padaku. Aku mengetap bibir, ish dia ni memang bermasalah sungguh!

Bersambung...

Kata AH: 
Assalamualaikum, AH nak ambil kesempatan ini utk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. AH mohon Maaf kalau-kalau AH ada buat salah & silap sepenjang perkenalan AH dengan semua rakan2 pembaca AH. Sesungguhnya AH manusia biasa yang tak terlepas drpd sbrg kesilapan. AH doakan semua amal kita di Ramadhan yang lalu diterima oleh ALLAH SWT dan kehadiran Syawal kali ini membawa jutaan rahmat dan keberkatan buat kita. Salam Aidilfitri daripad AH. Maaf Zahir & Batin.

5 comments:

nadiah_abdllah said...

bestnya kak adah! T.T
please please yaa... nak su dengan zul jugak walau apa jua rintangannya. hikhik.

fara said...

Selamat Hari Raya juga buat K Adah..
Maaf zahir & batin skiranya ada terkasar bahasa selama ni..

Lame dah tunggu cite ni bsambung.. Akhirnya...
Hehehe... Saya pon mcm nadiah, nak Su dgn Zul!!!
muahahaha... Smbg lagi K Adah.. =)

NAISMA said...

Assalamualaikum,

Akhirnya ada juga sambungannya. Saya setuju dengan yang di atas, suka kalau Su dengan Zul. Rasa mcm sesuai sangat.

che`leen said...

penantian yg cukup berbaloi...selamat hari raya Adah..
seram pulak dgn wafi...

ida said...

Rindu betul kat Zul & Su. Thanks Adah! Saya pun setuju dgn korang semua.... whatever it is, Su tetap dgn Zul....

Post a Comment