18
Malam
sudah pun melabuhkan tirainya. Aku sudah pun berada di dalam bilikku bersedia
untuk tidur. Hari yang sangat bermakna dalam hidupku. Namun aku akui, tanpa
Zulhairi, ada ruang kosong pada hariku. Entah kenapa dengan dirinya? Hilang
tanpa berita. Lupakah dia tentang hari yang tidak pernah dia lupakan sejak kami
berkawan? Hati tidak sudah-sudah bertanya.
Walaupun
esok hari minggu, tetapi aku tidak berminat menghabiskan masa malam minggu di
luar. Aku lebih selesa bersantai sahaja di rumah. Lagipun aku harus
mengutamakan adik-adikku. Keselamatan mereka juga sudah menjadi
tanggungjawabku.
Bungkusan merah yang berada di atas meja solekku
membuatkan aku yang baru sahaja ingin menuju ke katil beralih arah ke meja itu.
Bungkusan yang masih belum terbuka itu aku pandang seketika. Dari tadi hadiah
itu masih di situ letaknya. Aku masih belum membuka hadiah yang Wafi berikan
padaku.
Bukan
aku tidak teruja, atau tidak punya rasa ingin tahu isi pemberiannya. Cuma sejak
Wafi menghantarku pulang tadi, hatiku asyik terfikir tentang Zulhairi apabila
melintasi rumah Zulhairi, sehinggakan aku terlupa langsung tentang hadiah ini.
Seharian dia tidak menghubungiku. Setelah gagal
menghubunginya pagi tadi, aku sudah patah hati untuk terus mencuba. Biarlah,
jika dia sudah mula melupakanku, apa lagi yang aku boleh lakukan?
Aku menarik kad yang terdapat di atas bungkusan itu, lalu
aku baca isi di dalamnya.
Happy
Birthday. I’m so glad we’re spending it together.
Senyumanku terus mekar sewaktu aku
membaca bait kata yang jelas tertulis di atas kad berbentuk hati itu. Aku terus
membuka pula bungkusan yang itu. Sebuah jam tangan rolex putih yang cantik reka bentuknya berada di hadapan mataku. Melihat
jenamanya sahaja aku sudah dapat menganggarkan harganya. Hatiku berbelah bagi,
tidak sepatutnya Wafi membelikan jam tangan semahal ini untukku. Aku tidak
layak menerima hadiah semahal ini daripadanya.
Ketukan dan suara Alia dari sebalik
pintu membuatkan aku cepat-cepat memasukkan semula jam itu ke dalam kotaknya
dan menyimpan jam dan kad yang Wafi berikan padaku ke dalam laci almari solek.
Aku tidak mahu dia tahu aku menerima hadiah ini.
“Masuk.” Aku memberikan kebenaran
untuk dia masuk ke dalam kamarku.
“Along tak tidur lagi?”
Aku mengeleng dan dia terus meluru
ke arahku.
“Kenapa?”
“Alia nak tanya along, kenapa hari
ni Abang Zul tak datang ajar Alia? Alia bukan apa Alia risaulah, lagi sebulan
je nak exam ni.” Wajah Alia sudah muram, jarang aku melihat Alia begini,
selalunya dia seorang yang periang sama seperti Amira.
“Abang Zul ada hal kut. Tak apalah,
nanti esok aku tanya dia. Dah pergi tidur, dah nak masuk pukul 12 malam ni.
Jangan study sampai lewat malam pula.” Aku memberikan peringatan. Aku
tahu Alia memang jenis yang kuat belajar, lebih-lebih lagi jika hari
peperiksaan semakin hampir. Kadang-kala sampai membawa ke subuh baru dia
berhenti mengulangkaji.
Dia mengangguk sebelum keluar dari
bilikku dan kembali menutup rapat pintu bilikku semula. Aku pula mula bergerak
ke katil setelah menutup lampu bilik. Selimut mula aku tarik. Namun belum
sempat selimut itu menyelubungi tubuh, telefon bimbitku berdering lantang. Aku
mengapai telefon bimbitku yang berada di meja sisi katil. Nama Zulhairi tertera
di skrin kecil itu. Dengan pantas aku menekan punat hijau untuk menjawab panggilannya.
Tak sabar aku mendapatkan jawapan atas kehilangan dirinya begitu sahaja
sepanjang hari ini.
“Lama tak nampak, mana tercampak?”
penuh rasa geram aku menerjah. Salam yang sepatutnya diucap pada awal perbualan
juga sudah hilang.
“Amboi garangnya. Mengalahkan singa
betinalah kau ni.” Zulhairi bersuara. Ada sahaja idea dia untuk membalas semua
kata-kataku. Tidak tahukah dia yang aku amat marah dengan dirinya saat ini?
“Suka hati akulah.” Aku segera
membalas, sakit hatiku ini makin bertambah dengan balasan kata darinya tadi.
“Wei, keluar kejap, aku nak jumpa
kau.” Zulhairi membuat permintaan.
Aku terdiam mendengar permintaan
Zulhairi. “Dah malam buta dah ni nak jumpa buat apa?” Sebenarnya agak aku
terkejut. Sejak kami berkawan, langsung tidak pernah pernah dia meminta supaya
kami berjumpa selewat ini.
“Alah keluar jelah, bukannya lama
pun, sekejap je. Lagipun aku dah ada kat depan rumah kau ni.”
Aku segera bangun dari katil. Laju
kaki menuju ke tingkap bilik untuk memastikan benarkah katanya. Ternyata dia
memang sudah berada di hadapan rumahku sambil bersandar di keretanya. Dia
melambai-lambai padaku apabila terlihat aku di sebalik tingkap.
“Kau buat apa kat rumah aku
malam-malam buta ni? Tak takut kena tumbuk macam dulu ke?” Aku terus menyoalnya,
aku lihat jam yang berada di dinding bilikku. Sepuluh minit lagi pukul 12
malam. Apalah mahu dirinya pada waktu begini?
“Kau keluarlah kejap, jangan banyak
cakap boleh tak? Cepat sikit, lembaplah kau ni.”
“Amboi suka-suka kau nak kata aku
lembap. Tunggu kejap, aku keluar.” Aku segera membetulkan apa yang patut pada
pakaianku, kemudian terus laju aku keluar dari bilik, menuruni anak tangga
rumah. Takut juga kalau terlewat nanti, silap hari bulan Zulhairi akan ditumbuk
sekali seperti tempoh hari. Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Allah selamatkan kamu, Allah
selamatkan kamu, Allah selamatkan Suraya, Allah selamatkan kamu.” Sebaik sahaja
aku membuka pintu pagar untuknya, terus aku terdengar dendangan lagu itu
menembusi telinga. Bersungguh-sungguh Zulhairi menperdengarkan lagu itu
untukku. Pada tangannya ada sepinggan pulut kuning dan rendang ayam.
Hatiku mula kembang dengan nyanyian
itu, namun aku sembunyikan senyuman yang terasa ingin mekar dibibirku. Sengaja
aku memasamkan wajah dan mencebik, “Alah dah terlambat. Tak payahlah nak
susah-susah.” Aku tunjuk rajuk.
“Cuba tengok jam tu, belum pukul 12
kan, ada lagi lima minit. So, aku belum terlambatlah. Aku tak pernah
terlambat, okay!” Berlagak sungguh nada yang Zulhairi gunakan. Kalau bab berbangga
diri, memang Zulhairilah juaranya.
“Dah last minit baru nak wish
kat aku. Selalunya kau yang paling awal.” Rasa hati yang patah tadinya kini
seolah sudah terubat dengan kehadirannya. Lebih-lebih lagi apabila melihat
dirinya tetap setia berdiri sambil menatang makanan buatku. Semua itu
membuatkan rasa yang ada sudah kembali berubah.
“Aku saja nak buat kelainan tahun
ni. Aku nak jadi last person yang wish birthday kau.” Kata
Zulhairi. Senyuman manis dilemparkan.
Eleh, saja nak ambil hati aku semulalah tu. Entah
betul atau tidak itu memang niatnya. Bukan boleh pakai sangat akal Zulhairi ni.
Sudahnya aku sekadar mencebik bibir. Malas mahu mengiakan kata-katanya. Bukannya
best pun dia jadi last person yang wish birthday
aku, perbuatannya itu membuatkan aku jadi bertambah bercelaru adalah.
Kadang-kala aku geram juga dengan Zulhairi ni, idea yang bukan-bukan yang
difikirkannya.
“So, selamat hari lahir
sahabatku. Semoga beroleh kebahagian dunia, dan akhirat. Semoga juga rahmat Allah mengiringi setiap
langkah kau menuju ke syurga. Amin.” Serius wajahnya sewaktu mendoakanku.
Aku turut menadah tangan dan
mengaminkan doanya itu. Seronok rasanya bila ada yang sudi mendoakan kebahagian
dunia dan akhirat kita. Senyuman sudah tidak dapat aku selindung lagi. Gembira rasa
di hati sudah tidak dapat aku sembunyikan.
“Mak kau masak untuk aku, ke?” Aku
terus mengambil pinggang yang berisi pulut kuning dan rendang ayam yang sedari
tadi berada di tangan Zulhairi. Aku mengidu aromanya, memang mengecurkan liurku. Kalau
Makcik Khamsiah yang memasak, memang tidak pernah menghampakanku.
“Tolong sikit ye, aku yang masak
tau. A sampai Z, aku yang buat sendiri. Dari pergi pasar sampai menghidang,
semua aku yang sediakan.” Zulhairi mendabik dada.
Aku tergelak besar, Nampak benar
menipunya. Zulhairi… Zulhairi, kalau nak menipupun, agak-agaklah. Mana mungkin
dia yang menyediakan semua urusan untuk menyiapkan hidangan ini untuk aku.
Kalau dia pernah masuk master chef ke, mungkin aku akan percaya. Nak masuk dapur
pun malas. Macamlah aku tak kenal. Boleh dikira dengan jari berapa kali dia
bercerita yang dia terpaksa masuk dapur sepanjang hidupnya. Jadi mustahil
hidangan ini disediakannya.
“Gelak macam tak percaya je kau ni,
Su. Buat penat aku pergi pasar pagi-pagi buta, lepas tu belum hilang penat,
kena masak pula untuk kau. Boleh pula kau gelakkan susah payah aku ni.” Sayu suara
Zulhairi.
Walaupun wajah Zulhairi sudah menunjukkan
perubahan atas tawaku,, namun aku masih sukar mengawal tawaku dengan
pengakuannya yang entah betul atau tidak itu. “Bukan tak nak percaya, Zul… cuma
susah nak percaya. Kau masak nasi guna rice cooker pun jadi bubur… nikan
pula nak masak pulut dengan rendang.” Masih ada lagi sisa tawa.
“Aku suruhlah mak aku jadi sifulah.
Tapi memang aku yang masak sendiri pun, mak aku just bagi resipi je. Ah,
sudahlah kalau kau tak nak percaya tak apalah. Aku tak kisah.” Zulhairi
kelihatan sudah mengalah. Tidak mahu lagi menegakkan kata-katanya.
Aku mula rasa tidak sedap hati.
Terasa jahat pula bila aku enggan memberikan kepercayaan dan penghargaan atas
penat lelah dan kerja kerasnya. “Betul ke kau yang masak ni?” aku masih lagi
bertanya, tapi kali dengan nada yang lebih berpada berbanding tadinya.
“Yelah. Cuba kau percaya cakap aku
ni. Hari ni birthday kau, takkan aku
nak tipu pula” Zulhairi tarik muka.
“Sorrylah aku bukan tak nak
percaya, cuma rasa macam sukar nak percaya yang kau sanggup masak untuk birthday
aku. Terima kasihlah banyak-banyak. Kau ni buat aku rasa terharu aje.” Segara
aku kembali mengambil hati.
Sudahnya, Zulhairi kembali
mengukirkan senyumannya setelah ucapan terima kasih aku berikan. “Tapi kenapa
kau masak pulut untuk birthday aku? Kenapa tak buat kek, ke?” Aku belum
pernah lagi dihidangkan dengan pulut sewaktu hari lahirku, jadi aku terasa
pelik apabila kali ini dia menyediakan hidangan ini untukku. Lagipun sudah
menjadi kebiasaan hari lahir, kek yang akan menjadi sajian utama.
“Asyik-asyik kek je, boring! So,
aku masak pulut kuning untuk kau. Kitakan orang melayu, bila guna pulut baru
nampak kemelayuannya.” Sempat pula dia bagi nasihat percuma malam-malam buta begini.
“Iyelah Prof. Ahmad Zulhairi. Tapi
banyak sangat kau buat ni.”
“Aku buat untuk adik-adik kau sekali,
bukan untuk kau seorang je. Berbagi-bagi dong mbak.” Katanya dengan bahasa
Indonesia di hujungnya, yang aku rasa tidak berapa nak menjadi nadanya.
Memang inilah Zulhairi. Segala apa
yang dia lakukan untukku, memang dia tidak akan lupakan adik-adikku. Maklumlah
bak kata dia, adik-adik aku, adik-adik dia juga.
Aku mengukir senyuman, ada sesuatu
bermain di mindaku. Aku jadi tidak sabar apabila mengingatkan tentang hal itu.
“Kau tunggu kejap ye, Zul.” Aku terus masuk ke dalam rumah untuk meletakkan
pulut kuning itu di atas meja kopi di ruang tamuku. Berat rasanya menatang
pinggan itu, entah berapa kilo agaknya dia masakkan pulut untukku.
Selesai sahaja, aku terus menyarung
semula selipar dan berlari-lari anak mendapatkan Zulhairi yang masih berada di
luar pagar. Sampai sahaja di depannya aku terus menadah kedua-dua belah
tanganku. Dia memandangku sambil mengangkat keningnya, konon tidak faham makna
di sebalik gayaku itu. Aku merenungnya tajam, kerana aku yakin dia faham apa
yang aku mahukan, tapi dia sengaja buat-buat tidak faham.
“Kau ni tak malu betulkan. Aku tak
cakap pun nak bagi hadiah kat kau. Kau dah minta-minta.” Dia buat muka tidak
puas hati, tapi aku langsung tidak kisah dengan semua itu.
“Ada aku kisah. Aku tak kira, aku
nak juga. Mana hadiah aku?” Aku masih lagi menadah kedua-dua belah tanganku.
Kalau dia masih berdegil tidak mahu memberikan hadiah untukku, aku sangup tegak
kaku begini sampai pagi, asalkan aku dapat hadiahku, sama seperti tahun-tahun
yang lalu. Lagipun dia mana pernah culas memberi hadiah pada setiap hari
lahirku. Sedangkan sewaktu dia di UK dulu pun dia sanggup menghantar hadiah
untukku menggunakan khidmat pos, inikan pula bila aku sudah berada di depan
matanya. Mustahil tiada ada apa-apa untukku.
Dia mengelengkan kepalanya. “Ish, macam
budak-budak.” Kemudian Zulhairi membuka pintu keretanya. Setelah mengambil barang
di dalam keretanya itu, dia menutup kembali pintunya.
Saat dia berpusing, aku ternampak
sebuah bungkusan silver di tangannya. Kalau nak dikutkan, aku memang terasa
seperti mahu melompat-lompat kegembiraan dengan pemberian yang pastinya untukku
itu, sama seperti kanak-kanak. Tapi bila mengenangkan umurku yang sudah
menjangkau tahap yang abnormal untuk melakukan perkara-perkara sebegitu, jadi
aku matikan sahaja niatku. Namun senyuman masih lagi tidak lekang dari bibirku.
“Nah!” Dia menghulurkan bungkusan
itu untukku dan rasanya tidak sampai satu saat bungkusan itu sudahpun bertukar
tangan.
“Thanks, aku masuk dulu ye.”
Aku terus sahaja berpaling, tak sabar rasanya hendak mengetahui isi di
dalamnya.
“Kau ni memang macam budak-budak
tahu tak.”
Aku hanya tersenyum mendengar
kata-katanya, selesai mengunci semula pagar aku melambai tangan padanya.
“Amboi, menghalau nampak.”
“Eh, taklah cuma tak manis anak dara
bertemu anak teruna malam-malam macam ni.” Aku cuba untuk menyedapkan hatinya,
walaupun niat di hatiku memang mahu dia segera pulang. Jadi aku boleh segera
masuk ke dalam rumah dan membuka hadiahnya ini.
“Sebelum dapat hadiah tu tadi tak
adalah pula kau nak fikir, manis ke tak manis.” Komennya membalas kataku tadi.
Aku hanya mempamerkan sengihan.
Sudah tidak tahu apa lagi yang harus aku perkatakan padanya kerana hatiku kini
hanya terfikirkan hadiah yang tergenggam kemas di tanganku ini.
“Dahlah, pergi masuk.” Arahnya
tiba-tiba.
Mendengar arahannya aku menabik
hormat sebelum berpusing masuk ke dalam rumah. Belum sempat aku mengunci pintu
rumah dia menjerit memanggil namaku. Aku membuka semula pintu rumah dan
memanjangkan leher.
“Happy belated birthday.”
Jeritnya.
“Belated?” aku turut
menjerit. Pelik pula kosa kata yang dia gunakan.
Dia menunjukkan jam tangannya
padaku. “Dah pukul dua belas satu saat.” Jawabnya lagi.
Jawapannya itu membuatkan aku
tergelak kecil. Ada-ada sahaja Zulhairi ini. Aku menjelirkan lidah padanya. Dan
dia membalas dengan lambaian tangan tanda dia sudah bersedia untuk berlalu
meninggalkan rumahku. Sebaik sahaja kelibat keretanya sudah tidak kelihatan aku
segera menutup pintu rumahku.
Aku menuju ke ruang tamu dan duduk
di atas sofa tunggal. Hadiah pemberian Zulhairi aku belek seketika sebelum
membuka pembalutnya yang bersinar. Terpisah sahaja pembalut itu, terpampar di
depanku kotak berwarna biru, produk keluaran syarikat Sony. Berkerut keningku
meneliti maklumat di kotak tersebut, dan malas mahu berteka-teki aku terus
membuka kotak itu dan melihat isi di dalamnya.
Cassete walkman? Aku sudah
terasa mahu bergelak sakan malam ini. Dalam banyak-banyak benda yang ada dalam
dunia ini mengapalah benda yang sudah ketinggalan zaman ini juga yang mahu dia
hadiahkan kepadaku. Agaknya manalah dia jumpa dan beli benda ini? Setahu aku,
zaman sekarang ni memang susah nak mencari walkman ini. Ya, mungkin memang
masih ada di pasaran, tapi amat jarang sekali dijumpai. Maklumlah zaman sudah
semakin moden. Teknologi canggih sudah mengantikan tempat produk lama begini. Aku menyeluk telefon bimbit yang aku simpan di
dalam seluar trackku tadi. Idea untuk
menggenakan dirinya begitu senang hadir malam ini. Namun belum sempat aku
mendail nombor telefon bimbitnya, sebuah sampul surat dari dalam kotak walkman
ini terjatuh dan menggena kakiku. Aku letak dahulu telefon bimbitku di atas
meja, niat untuk menghubunginya aku tunda terlebih dahulu. Sampul berwarna biru
itu aku buka. Ada sekeping kad berwarna biru dan sehelai kertas yang sudah
lusuh dan agak kekuningan warnanya, tersemat di dalam sampul.
Aku lebih tertarik dengan kertas
yang sudah lusuh itu terlebih dahulu, berbanding kad tersebut. Lipatan kertas
tersebut aku buka untuk membaca isi di dalamnya. Mataku sudah bergenang melihat
apa yang terpapar pada kertas itu, aku amat kenal dengan tulisan tersebut, amat
kenal, kerana ianya tulisanku.
Kalau
Su nak walkman untuk hari lahir Su tahun ini boleh tak ayah?
Pantas air mataku berlinangan ke
pipi membaca semula bait kata yang aku tulis pada hari lahirku lima belas tahun
yang lalu. Semuanya membuatkan aku kembali terkenangkan peristiwa itu….
AKU
faham, aku bukan dari keluarga yang berada. Semuanya dalam keadaan
bersederhana. Jika ditanya tentang permintaanku setiap kali menjelang hari
lahir, pasti hanya dua perkara yang aku inginkan. Pertama, sebuah kek hasil
buatan tangan ayah sendiri dan yang kedua, menziarahi kubur arwah ibu. Tidak pernah
sekalipun aku meminta sesuatu yang lain kerana aku takut permintaanku tidak
ditunaikan ayah. Menunaikan dua permintaan kecilku itu juga kelihatan begitu
sukar pada ayah. Aku sedar aku bukan anak kesayangannya.
Tapi kali ini hati memberontak. Aku mahukan
walkman, sama seperti mana yang dimiliki oleh kebanyakan kawanku di sekolah. Hampir
setiap hari aku ditayangkan dengan permain muzik yang canggih itu. Sungguh aku
teruja. Aku juga menginginkannya. Selalunya aku hanya mampu meminjam alatan itu
pada Zulhairi. Namun sampai bila aku mahu meminjam? Mungkin Zulhairi tidak
punya masalah untuk meminjamkannya padaku, tapi aku malu dengan keadaan itu. Jadi
pada tahun ini aku sudah mensasarkan ia sebagai hadiah di hari lahirku.
Sehelai kertas aku koyakkan dari buku nota harian. Aku
tulis permintaanku di atas kertas itu.
Aku sudah merancang untuk menyerahkan kertas itu pada ayah lalu akan terus
lari. Harapnya ayah menunaikan permintaan yang satu itu. Langkah kaki membawa
aku ke pintu dapur. Apabil terdengar perbualan ayah dan ibu tiriku, aku
mematikan langkah. Tubuh aku sorokkan, tidak mahu diketahui aku turut ada di
situ.
“Sekarang ni abang nak buat macam mana?” suara ibu
tiriku kedengaran.
“Entahlah Imah, nantilah abang usahakan” penuh nada
gundah suara yang dilontarkan oleh ayah. Pasti dirinya sedang berdepan dengan
masalah.
“Abang kena usahakan cepat. Simpanan kitapun dah tak
banyak mana dah. Itu nak bayar. Ini nak bayar”
“Abang tahulah…”
Aku terdiam. Rasanya dengan usiaku yang bakal
menginjak kelima belas tahun, membuatkan aku matang untuk memahami apa yang
dibincangkan oleh ayah dan ibu tiriku. Kertas yang aku pegang itu aku buka kembali
lipatannya. berulang kali aku membaca permintaan yang ingin aku sampaikan pada
ayah melalui kertas itu. Namun semakin aku baca, semakin aku rasa bahawa
permintaaku itu tidak mungkin tertunai. Mustahil untuk aku menyusahkan ayah
saat-saat begini. Pasti nanti ayah akan lebih tidak menyenangiku. Aku tidak
mahu itu berlaku. Cukup sikap dingin yang ayah tunjukkan padaku selama ini. Aku
juga ingin disayangi seperti adik-adik.
Laju ayah berjalan keluar dari dapur. Sedikitku dia
tidak perasaan aku ada bersandar pada dinding saat melepasi aku. Melihat ayah
pergi, aku juga bertindak menyepikan diri. Aku bawa bersama kertas itu menemaniku.
Bersendirian aku bersama air mata yang berganti-ganti, mengalir, membasahi pipi.
Bersembunyi di tempat yang tidak mungkin dijejaki. Namun aku silap, tidak mungkin bagi aku untuk
melarikan diri daripada Zulhairi. Ternyata dia dapat menjejakiku.
“Aku dah agak, mesti kau ada kat
sini.” Zulhairi sampai dengan tiba-tiba. Lalu dia turut duduk bersama.
Pantas aku seka air mata yang
meniti. Tidak mahu Zulhairi mengetahui apa-apa.
“Kau menangiskan, Su? Kenapa ni?”
Zulhairi mula menyoal.
Aku masih mendiamkan diri. Seboleh-bolehnya
aku tidak mahu melibatkan Zulhairi. Kertas permintaan itu aku lipat segera,
kemudian aku sorokkan di bawa peha. Semoga Zulhairi tidak bertanya lanjut
tentang kertas itu.
“Kertas apa tu?” Cepat sahaja
Zulhairi menangkap tingkahku. “Kau menangis sebab kertas tu, ke? Bak sini aku
nak tengok” Zulhairi menadah tangan.
“Tak payahlah… tak ada apa-apapun.”
Aku mengelak. Tidak mahu membenarkan kertas itu berpindah tangan.
“Baklah sini!”
“Aku cakap tak payah, tak payahlah…
kau degil sangat ni kenapa?” Marah! Hanya itu yang mampu aku lakukan untuk
menghentikan permintaan Zulhairi.
Zulhairi mendiamkan diri seketika. “Su,
kalau kau anggap aku kawan baik kau, aku nak kau bagi aku tengok kertas tu.
Kalau semuanya kau nak rahsiakan, macam mana aku nak jaga kau?”
Aku menundukkan wajah. Kata-katanya
itu berjaya melembutkan hati. Tapi aku malu untuk menyatakan padanya yang aku
menangis hanya kerana permintaan itu. Aku juga tidak mahu dia berfikir yang
bukan-bukan tentang ayahku. Bukan salah ayah. Aku yang enggan meneruskan niat. Maka,
kertas yang tadi aku sorok, kembali aku dapatkan. Aku sudah berniat mahu
mengoyakkannya. Maafkan aku Zul.
Namun belum sempat aku melakukan
seperti yang dirancang, Zulhairi terlebih dahulu berjaya merampas kertas itu. Gagal
untuk aku dapatkan kembali walaupun sudah aku usahakan. Laju saja anak matanya
memerhati apa yang tertulis.
“Kau menangis sebab benda ni aje?”
Zulhairi tersenyum.
“Kau takkan faham aku, Zul”
“Kau bagi tak kertas ni pada ayah kau?”
Zulhairi bertanya lagi. Aku sekadar menggeleng, menyatakan kebenaran.
“Kenapa”
“Keadaan kau dengan aku tak sama Zul”
aku menjelaskan. Namun tak mungkin dia faham.
“Dahlah Su, tak payahlah nak
menangis. Nanti aku belikan” Zulhairi membuat janji.
Hah, aku terkejut! “Tak payahlah,
Zul. Kau pun belajar lagi, bukannya ada duit” aku tahu Zulhairi sekadar mahu
memujuk hati.
“Sekarang ni memanglah aku tak ada
duit. Nanti bila aku dah kerja, aku belikanlah untuk kau.”
Kata-kata itu mengundang tawaku. “Masa
kau dah kerja! Bila tu? Lima belas tahun lagi?” senyumanku masih di bibir. Apabila
berhadapan dengan kawan baikku ini, susah sekali ketawa menghilangkan diri.
“Okay, aku belikan kau lima belas
tahun lagi!” yakin saja Zulhairi mengikat janji.
“Eleh... Entah-entah tak sampai lima
belas minit, kertas kat tangan kau tu hilang. Terlupa kau letak kat mana. Ada
hati konon nak ingat belikan hadiah untuk aku lima belas tahun lagi.” Pantas
aku bidas pernyataan Zulhairi yang tak masuk akal. Dia tu sudahlah spesis pelupa.
Aku boleh jamin, kalau aku tanya balik janji yang di buat hari ini lima belas
hari lagi, belum tentu dia ingat. Inikan pula lima belas tahun! Namun dalam
diam, aku simpan rasa gembira. Bersungguh-sungguh dia mahu menenangkan hatiku.
Zulhairi memang kawan yang baik. Aku kagum dengan semangat setiakawan yang ada
padanya.
BUNYI
suara kucing yang kedengaran di luar rumah, mematikan semua ingatan. Zulhairi! Perlahan
nama itu aku sebut. Tanpa aku sedar ada air mata yang menitis, jatuh. Terharu! Aku
sendiri sudah lupa akan peristiwa itu, bagaimana dia masih menyimpan semua
memori itu kemas dalam ingatannya? Benar-benar di luar jangkaanku.
Kini aku capai pula kad yang berada
di dalam sampul yang sama. Kandungannya aku baca.
Akhirnya…
Walaupun dah ketinggalan zaman, tapi benda ni masih relevankan? Aku harap
penantian 15 tahun kau tu, berbaloi-baloi. Aku tak lupa okay! Hehe… ~Zul~
Aku tersenyum. Hilang kata-kata. Penantian?
Jujur langsung tidak aku nantikannya. Tidak sangka Zulhairi mengambil serius
kataku dulu. Namun biarpun itu permintaan lama, aku bersyukur dan gembira
kerana Zulhairi menunaikannya.
Aku segera mengambil telefon bimbitku dan mendapatkan
nombor Zulhairi. Aku mahu menghubunginya. Tak sampai beberapa saat, talian
sudah bersambung.
“Assalamualaikum, aku dah agak mesti
kau akan telefon aku malam ni.” Kata Zulhairi memulakan perbualan di hujung
talian ini.
“Waalaikumusalam. Aku tak sangka kau
simpan lagi kertas ni. Dah lima belas tahun kut. Lurus bendullah kau ni, Zul.”
Suaraku sudah menjadi serak tika ini, untuk mengelakkan dia mengesyaki aku
menangis aku cuba melawak dengannya.
Suara tawanya menyapa gegendang
telingaku. “Amaboi, suka hati kau ja nak samakan aku dengan bendul. Aku bukan
lurus bendullah, aku amanah. Kan beza tu.” Tawanya masih kedengaran, turut
membangkitkan taawaku sama.
“Mana kau beli walkman ni.”
Terasa teringin pula nak tahu.
“Adalah… mana boleh bagitahu,
rahsia. Tapi hari ni sempat jugalah aku kena gelak dengan dua tiga orang
jurujual bila aku tanya pasal cassette walkman ni.” Ceritanya dengan
panjang lebar.
Aku hanya tersenyum, dapat aku
bayangkan bagaimana dia mencari benda ini dari sebuah kedai ke sebuah kedai.
“Kau pun satu, Su. Kejam sangat. Kalau ya pun, tak
payahlah suruh aku tunggu sampai lima belas tahun. Kalau kau bagi aku masa
lima, enam tahunpun aku dah mampu nak belikan untuk kau benda alah tu.” Zulhairi
meluahkan rasa
“Eh, aku pula salah. Mana aku tahu
kau nak buat macam tu. Aku bukan apa, Zul. Aku saja aje. Sebenarnya tak nak
susahkan kau. Maklumlah kau tukan baik tak bertempat.” Aku berterus terang.
“Dengan kau je aku macam tu, dengan
orang lain tidak. Kau tahu kenapa?” Zulhairi meninggalkan soalan untuk dijawab
segera.
“Entah, kenapa?” Aku malas mahu fikir sebab memang
aku tidak punya jawapan untuk soalan itu.
“Sebab aku sayang kau lebih.”
Hilang suaraku mendengar jawapan
itu. Aku tidak tahu dia bersungguh-sungguh atau berseloroh tapi kata-katanya
itu membuatkan jantungku berdegup dengan lebih kencang saat ini. Aku hanya
mampu membalasnya dengan sebuah tawa. Walkman yang masih berada di
tanganku, aku genggam kemas. Rasa menyesal pula mentertawakan hadiah
pemberiannya saat aku tahu apa isinya tadi. Sedangkan dia bersusah payah
untukku.
“Dahlah dah malam ni pergi masuk
tidur. Jangan sampai mimpi-mimpi aku pula malam ni.” Dia memberi peringatan
yang tidak asing lagi di telingaku.
“Ceh, perasan betullah kau ni.” Aku
cuba menyembunyikan rasa hati yang sejak dua, tiga menjak ini menjadi sudah
tidak keruan dengan kata-katanya. Malam ini pula, terlalu sukar untuk aku
mengawal degupan jantung. “Esok kau datangkan, tuisyenkan Alia?” aku cuba ubah
ke topik yang lain kerana aku mahu melarikan diri daripada apa yang mula aku
rasa.
“Rilekslah, tak sampai lima belas
minit lepas jumpa aku. Takkan dah rindu kut.”
Rasanya semua darah sudah naik ke
mukaku, nasib baik dia tiada di depanku jika tidak pasti dia sudah nampak
perubahan yang berlaku pada wajahku kini. “Sudahlah kau malas nak layan kau
merepek. Selamat malam dan Assalamualaikum.” Aku terus meletak talian bila
mendengar suaranya sudah galak ketawa. Aku mengetap bibir, hajat hati untuk
berbual dengannya dengan lebih panjang lagi malam ini tidak kesampaian. Tapi
tidak mengapa walkman ini akan menjadi peneman aku yang setia malam ini
dan malam-malam berikutnya.
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum & Salam sejahtera. Harapnya para pembaca yang merindukan Zul tersenyum bahagia dengan entry ini. Jumpa dalam entry berikutnya nanti. Terima kasih atas jejak kata yang ditinggalkan.
10 comments:
Hahaha... zul pi pasar li bahan uat pulut kuning ngan cari walkman... ermmmm Zul sayang Su....
Yeayy Zul dh kuar keke,.terharu ny klu sy de kt tpt Su ( cehh berangan lbih keke),.
Gogo Zul!! Twn hat, jantung n semua orgn dlman Su hehe
Terharunya dgn usaha Zul, buat sy jatuh chenta dgn Zul ni...so Su watch up...cepat2 confess....nnt kena rampas...hehehe....
Terbaeklah....AH
Ada typing error masa Zul kasi pulut kuning
terselit nama Wafi kat situ
dan ada perkataan yg. sepatutnya aku jadi kau
apa2 pun thx cik penulis utk. n3 baru ni
Wuyooo.... dpt Jam Rolex.... tapi Su tak teruja pun... Kalau tak nak, meh pass kat ku... Hihihi....
Waa... sungguh sentimentol dan bermakna sungguh hadiah drp zul - walkman tapi sayang cassette dah lama pupus drp mukabumi ni... Mcm mana nak gunakan walkman tu... Pakai radio jer laa... hahaha....
Zul dah berani nak luahkan ayat2 touching kat Su dan Su pulak dah mula nak "touching2" dgn ayat2 jiwang tu... hihihi... Layansssss.....
yess! ini yang dinantikan!
kak adah, nak lagi. huhu.
zul terbaekkkk...
su da mula ada rasa kat zul..
mmg besssshhhhhhhhhhhhhhhhh...
go go AH..keep it up..
Yesss.... kalau Zul jadi pergi JB pun harap sangat Zul berterus terang dengan Su tentang hati dia.... bestttt
Salam kenal dan follow Adah.
Jemput singgah:
http://inspirasinorzie.blogspot.com/2012/10/jauh-dari-cinta.html
Post a Comment