Tuesday, October 9, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 18


18
Malam sudah pun melabuhkan tirainya. Aku sudah pun berada di dalam bilikku bersedia untuk tidur. Hari yang sangat bermakna dalam hidupku. Namun aku akui, tanpa Zulhairi, ada ruang kosong pada hariku. Entah kenapa dengan dirinya? Hilang tanpa berita. Lupakah dia tentang hari yang tidak pernah dia lupakan sejak kami berkawan? Hati tidak sudah-sudah bertanya.
Walaupun esok hari minggu, tetapi aku tidak berminat menghabiskan masa malam minggu di luar. Aku lebih selesa bersantai sahaja di rumah. Lagipun aku harus mengutamakan adik-adikku. Keselamatan mereka juga sudah menjadi tanggungjawabku.
            Bungkusan merah yang berada di atas meja solekku membuatkan aku yang baru sahaja ingin menuju ke katil beralih arah ke meja itu. Bungkusan yang masih belum terbuka itu aku pandang seketika. Dari tadi hadiah itu masih di situ letaknya. Aku masih belum membuka hadiah yang Wafi berikan padaku.
Bukan aku tidak teruja, atau tidak punya rasa ingin tahu isi pemberiannya. Cuma sejak Wafi menghantarku pulang tadi, hatiku asyik terfikir tentang Zulhairi apabila melintasi rumah Zulhairi, sehinggakan aku terlupa langsung tentang hadiah ini.
            Seharian dia tidak menghubungiku. Setelah gagal menghubunginya pagi tadi, aku sudah patah hati untuk terus mencuba. Biarlah, jika dia sudah mula melupakanku, apa lagi yang aku boleh lakukan?
            Aku menarik kad yang terdapat di atas bungkusan itu, lalu aku baca isi di dalamnya.
Happy Birthday. I’m so glad we’re spending it together.
            Senyumanku terus mekar sewaktu aku membaca bait kata yang jelas tertulis di atas kad berbentuk hati itu. Aku terus membuka pula bungkusan yang itu. Sebuah jam tangan rolex putih yang cantik reka bentuknya berada di hadapan mataku. Melihat jenamanya sahaja aku sudah dapat menganggarkan harganya. Hatiku berbelah bagi, tidak sepatutnya Wafi membelikan jam tangan semahal ini untukku. Aku tidak layak menerima hadiah semahal ini daripadanya.
            Ketukan dan suara Alia dari sebalik pintu membuatkan aku cepat-cepat memasukkan semula jam itu ke dalam kotaknya dan menyimpan jam dan kad yang Wafi berikan padaku ke dalam laci almari solek. Aku tidak mahu dia tahu aku menerima hadiah ini.
            “Masuk.” Aku memberikan kebenaran untuk dia masuk ke dalam kamarku.
            “Along tak tidur lagi?”                          
            Aku mengeleng dan dia terus meluru ke arahku.
            “Kenapa?”
            “Alia nak tanya along, kenapa hari ni Abang Zul tak datang ajar Alia? Alia bukan apa Alia risaulah, lagi sebulan je nak exam ni.” Wajah Alia sudah muram, jarang aku melihat Alia begini, selalunya dia seorang yang periang sama seperti Amira.
            “Abang Zul ada hal kut. Tak apalah, nanti esok aku tanya dia. Dah pergi tidur, dah nak masuk pukul 12 malam ni. Jangan study sampai lewat malam pula.” Aku memberikan peringatan. Aku tahu Alia memang jenis yang kuat belajar, lebih-lebih lagi jika hari peperiksaan semakin hampir. Kadang-kala sampai membawa ke subuh baru dia berhenti mengulangkaji.
            Dia mengangguk sebelum keluar dari bilikku dan kembali menutup rapat pintu bilikku semula. Aku pula mula bergerak ke katil setelah menutup lampu bilik. Selimut mula aku tarik. Namun belum sempat selimut itu menyelubungi tubuh, telefon bimbitku berdering lantang. Aku mengapai telefon bimbitku yang berada di meja sisi katil. Nama Zulhairi tertera di skrin kecil itu. Dengan pantas aku menekan punat hijau untuk menjawab panggilannya. Tak sabar aku mendapatkan jawapan atas kehilangan dirinya begitu sahaja sepanjang hari ini.
            “Lama tak nampak, mana tercampak?” penuh rasa geram aku menerjah. Salam yang sepatutnya diucap pada awal perbualan juga sudah hilang.  
            “Amboi garangnya. Mengalahkan singa betinalah kau ni.” Zulhairi bersuara. Ada sahaja idea dia untuk membalas semua kata-kataku. Tidak tahukah dia yang aku amat marah dengan dirinya saat ini?
            “Suka hati akulah.” Aku segera membalas, sakit hatiku ini makin bertambah dengan balasan kata darinya tadi.
            “Wei, keluar kejap, aku nak jumpa kau.” Zulhairi membuat permintaan.
            Aku terdiam mendengar permintaan Zulhairi. “Dah malam buta dah ni nak jumpa buat apa?” Sebenarnya agak aku terkejut. Sejak kami berkawan, langsung tidak pernah pernah dia meminta supaya kami berjumpa selewat ini.
            “Alah keluar jelah, bukannya lama pun, sekejap je. Lagipun aku dah ada kat depan rumah kau ni.”
            Aku segera bangun dari katil. Laju kaki menuju ke tingkap bilik untuk memastikan benarkah katanya. Ternyata dia memang sudah berada di hadapan rumahku sambil bersandar di keretanya. Dia melambai-lambai padaku apabila terlihat aku di sebalik tingkap.
            “Kau buat apa kat rumah aku malam-malam buta ni? Tak takut kena tumbuk macam dulu ke?” Aku terus menyoalnya, aku lihat jam yang berada di dinding bilikku. Sepuluh minit lagi pukul 12 malam. Apalah mahu dirinya pada waktu begini?
            “Kau keluarlah kejap, jangan banyak cakap boleh tak? Cepat sikit, lembaplah kau ni.”
            “Amboi suka-suka kau nak kata aku lembap. Tunggu kejap, aku keluar.” Aku segera membetulkan apa yang patut pada pakaianku, kemudian terus laju aku keluar dari bilik, menuruni anak tangga rumah. Takut juga kalau terlewat nanti, silap hari bulan Zulhairi akan ditumbuk sekali seperti tempoh hari. Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.
            “Allah selamatkan kamu, Allah selamatkan kamu, Allah selamatkan Suraya, Allah selamatkan kamu.” Sebaik sahaja aku membuka pintu pagar untuknya, terus aku terdengar dendangan lagu itu menembusi telinga. Bersungguh-sungguh Zulhairi menperdengarkan lagu itu untukku. Pada tangannya ada sepinggan pulut kuning dan rendang ayam.
            Hatiku mula kembang dengan nyanyian itu, namun aku sembunyikan senyuman yang terasa ingin mekar dibibirku. Sengaja aku memasamkan wajah dan mencebik, “Alah dah terlambat. Tak payahlah nak susah-susah.” Aku tunjuk rajuk.  
            “Cuba tengok jam tu, belum pukul 12 kan, ada lagi lima minit. So, aku belum terlambatlah. Aku tak pernah terlambat, okay!” Berlagak sungguh nada yang Zulhairi gunakan. Kalau bab berbangga diri, memang Zulhairilah juaranya.
            “Dah last minit baru nak wish kat aku. Selalunya kau yang paling awal.” Rasa hati yang patah tadinya kini seolah sudah terubat dengan kehadirannya. Lebih-lebih lagi apabila melihat dirinya tetap setia berdiri sambil menatang makanan buatku. Semua itu membuatkan rasa yang ada sudah kembali berubah.
            “Aku saja nak buat kelainan tahun ni. Aku nak jadi last person yang wish birthday kau.” Kata Zulhairi. Senyuman manis dilemparkan.
Eleh, saja nak ambil hati aku semulalah tu. Entah betul atau tidak itu memang niatnya. Bukan boleh pakai sangat akal Zulhairi ni. Sudahnya aku sekadar mencebik bibir. Malas mahu mengiakan kata-katanya. Bukannya best pun dia jadi last person yang wish birthday aku, perbuatannya itu membuatkan aku jadi bertambah bercelaru adalah. Kadang-kala aku geram juga dengan Zulhairi ni, idea yang bukan-bukan yang difikirkannya.
            “So, selamat hari lahir sahabatku. Semoga beroleh kebahagian dunia, dan akhirat.  Semoga juga rahmat Allah mengiringi setiap langkah kau menuju ke syurga. Amin.” Serius wajahnya sewaktu mendoakanku.
            Aku turut menadah tangan dan mengaminkan doanya itu. Seronok rasanya bila ada yang sudi mendoakan kebahagian dunia dan akhirat kita. Senyuman sudah tidak dapat aku selindung lagi. Gembira rasa di hati sudah tidak dapat aku sembunyikan.
            “Mak kau masak untuk aku, ke?” Aku terus mengambil pinggang yang berisi pulut kuning dan rendang ayam yang sedari tadi berada di tangan Zulhairi. Aku mengidu aromanya, memang mengecurkan liurku. Kalau Makcik Khamsiah yang memasak, memang tidak pernah menghampakanku.
            “Tolong sikit ye, aku yang masak tau. A sampai Z, aku yang buat sendiri. Dari pergi pasar sampai menghidang, semua aku yang sediakan.” Zulhairi mendabik dada.
            Aku tergelak besar, Nampak benar menipunya. Zulhairi… Zulhairi, kalau nak menipupun, agak-agaklah. Mana mungkin dia yang menyediakan semua urusan untuk menyiapkan hidangan ini untuk aku. Kalau dia pernah masuk master chef  ke, mungkin aku akan percaya. Nak masuk dapur pun malas. Macamlah aku tak kenal. Boleh dikira dengan jari berapa kali dia bercerita yang dia terpaksa masuk dapur sepanjang hidupnya. Jadi mustahil hidangan ini disediakannya.
            “Gelak macam tak percaya je kau ni, Su. Buat penat aku pergi pasar pagi-pagi buta, lepas tu belum hilang penat, kena masak pula untuk kau. Boleh pula kau gelakkan susah payah aku ni.” Sayu suara Zulhairi.
            Walaupun wajah Zulhairi sudah menunjukkan perubahan atas tawaku,, namun aku masih sukar mengawal tawaku dengan pengakuannya yang entah betul atau tidak itu. “Bukan tak nak percaya, Zul… cuma susah nak percaya. Kau masak nasi guna rice cooker pun jadi bubur… nikan pula nak masak pulut dengan rendang.” Masih ada lagi sisa tawa.
            “Aku suruhlah mak aku jadi sifulah. Tapi memang aku yang masak sendiri pun, mak aku just bagi resipi je. Ah, sudahlah kalau kau tak nak percaya tak apalah. Aku tak kisah.” Zulhairi kelihatan sudah mengalah. Tidak mahu lagi menegakkan kata-katanya.
            Aku mula rasa tidak sedap hati. Terasa jahat pula bila aku enggan memberikan kepercayaan dan penghargaan atas penat lelah dan kerja kerasnya. “Betul ke kau yang masak ni?” aku masih lagi bertanya, tapi kali dengan nada yang lebih berpada berbanding tadinya.
            “Yelah. Cuba kau percaya cakap aku ni. Hari ni birthday kau, takkan aku nak tipu pula” Zulhairi tarik muka.
            “Sorrylah aku bukan tak nak percaya, cuma rasa macam sukar nak percaya yang kau sanggup masak untuk birthday aku. Terima kasihlah banyak-banyak. Kau ni buat aku rasa terharu aje.” Segara aku kembali mengambil hati.
            Sudahnya, Zulhairi kembali mengukirkan senyumannya setelah ucapan terima kasih aku berikan. “Tapi kenapa kau masak pulut untuk birthday aku? Kenapa tak buat kek, ke?” Aku belum pernah lagi dihidangkan dengan pulut sewaktu hari lahirku, jadi aku terasa pelik apabila kali ini dia menyediakan hidangan ini untukku. Lagipun sudah menjadi kebiasaan hari lahir, kek yang akan menjadi sajian utama.
            “Asyik-asyik kek je, boring! So, aku masak pulut kuning untuk kau. Kitakan orang melayu, bila guna pulut baru nampak kemelayuannya.” Sempat pula dia bagi nasihat percuma malam-malam buta begini.
            “Iyelah Prof. Ahmad Zulhairi. Tapi banyak sangat kau buat ni.”
            “Aku buat untuk adik-adik kau sekali, bukan untuk kau seorang je. Berbagi-bagi dong mbak.” Katanya dengan bahasa Indonesia di hujungnya, yang aku rasa tidak berapa nak menjadi nadanya.
            Memang inilah Zulhairi. Segala apa yang dia lakukan untukku, memang dia tidak akan lupakan adik-adikku. Maklumlah bak kata dia, adik-adik aku, adik-adik dia juga.
            Aku mengukir senyuman, ada sesuatu bermain di mindaku. Aku jadi tidak sabar apabila mengingatkan tentang hal itu. “Kau tunggu kejap ye, Zul.” Aku terus masuk ke dalam rumah untuk meletakkan pulut kuning itu di atas meja kopi di ruang tamuku. Berat rasanya menatang pinggan itu, entah berapa kilo agaknya dia masakkan pulut untukku.
            Selesai sahaja, aku terus menyarung semula selipar dan berlari-lari anak mendapatkan Zulhairi yang masih berada di luar pagar. Sampai sahaja di depannya aku terus menadah kedua-dua belah tanganku. Dia memandangku sambil mengangkat keningnya, konon tidak faham makna di sebalik gayaku itu. Aku merenungnya tajam, kerana aku yakin dia faham apa yang aku mahukan, tapi dia sengaja buat-buat tidak faham.
            “Kau ni tak malu betulkan. Aku tak cakap pun nak bagi hadiah kat kau. Kau dah minta-minta.” Dia buat muka tidak puas hati, tapi aku langsung tidak kisah dengan semua itu.
            “Ada aku kisah. Aku tak kira, aku nak juga. Mana hadiah aku?” Aku masih lagi menadah kedua-dua belah tanganku. Kalau dia masih berdegil tidak mahu memberikan hadiah untukku, aku sangup tegak kaku begini sampai pagi, asalkan aku dapat hadiahku, sama seperti tahun-tahun yang lalu. Lagipun dia mana pernah culas memberi hadiah pada setiap hari lahirku. Sedangkan sewaktu dia di UK dulu pun dia sanggup menghantar hadiah untukku menggunakan khidmat pos, inikan pula bila aku sudah berada di depan matanya. Mustahil tiada ada apa-apa untukku.
            Dia mengelengkan kepalanya. “Ish, macam budak-budak.” Kemudian Zulhairi membuka pintu keretanya. Setelah mengambil barang di dalam keretanya itu, dia menutup kembali pintunya.
            Saat dia berpusing, aku ternampak sebuah bungkusan silver di tangannya. Kalau nak dikutkan, aku memang terasa seperti mahu melompat-lompat kegembiraan dengan pemberian yang pastinya untukku itu, sama seperti kanak-kanak. Tapi bila mengenangkan umurku yang sudah menjangkau tahap yang abnormal untuk melakukan perkara-perkara sebegitu, jadi aku matikan sahaja niatku. Namun senyuman masih lagi tidak lekang dari bibirku.
            “Nah!” Dia menghulurkan bungkusan itu untukku dan rasanya tidak sampai satu saat bungkusan itu sudahpun bertukar tangan.
            “Thanks, aku masuk dulu ye.” Aku terus sahaja berpaling, tak sabar rasanya hendak mengetahui isi di dalamnya.
            “Kau ni memang macam budak-budak tahu tak.”
            Aku hanya tersenyum mendengar kata-katanya, selesai mengunci semula pagar aku melambai tangan padanya.
            “Amboi, menghalau nampak.”
            “Eh, taklah cuma tak manis anak dara bertemu anak teruna malam-malam macam ni.” Aku cuba untuk menyedapkan hatinya, walaupun niat di hatiku memang mahu dia segera pulang. Jadi aku boleh segera masuk ke dalam rumah dan membuka hadiahnya ini.
            “Sebelum dapat hadiah tu tadi tak adalah pula kau nak fikir, manis ke tak manis.” Komennya membalas kataku tadi.
            Aku hanya mempamerkan sengihan. Sudah tidak tahu apa lagi yang harus aku perkatakan padanya kerana hatiku kini hanya terfikirkan hadiah yang tergenggam kemas di tanganku ini.
            “Dahlah, pergi masuk.” Arahnya tiba-tiba.
            Mendengar arahannya aku menabik hormat sebelum berpusing masuk ke dalam rumah. Belum sempat aku mengunci pintu rumah dia menjerit memanggil namaku. Aku membuka semula pintu rumah dan memanjangkan leher. 
            “Happy belated birthday.” Jeritnya.
            “Belated?” aku turut menjerit. Pelik pula kosa kata yang dia gunakan.
            Dia menunjukkan jam tangannya padaku. “Dah pukul dua belas satu saat.” Jawabnya lagi.
            Jawapannya itu membuatkan aku tergelak kecil. Ada-ada sahaja Zulhairi ini. Aku menjelirkan lidah padanya. Dan dia membalas dengan lambaian tangan tanda dia sudah bersedia untuk berlalu meninggalkan rumahku. Sebaik sahaja kelibat keretanya sudah tidak kelihatan aku segera menutup pintu rumahku.
            Aku menuju ke ruang tamu dan duduk di atas sofa tunggal. Hadiah pemberian Zulhairi aku belek seketika sebelum membuka pembalutnya yang bersinar. Terpisah sahaja pembalut itu, terpampar di depanku kotak berwarna biru, produk keluaran syarikat Sony. Berkerut keningku meneliti maklumat di kotak tersebut, dan malas mahu berteka-teki aku terus membuka kotak itu dan melihat isi di dalamnya.
            Cassete walkman? Aku sudah terasa mahu bergelak sakan malam ini. Dalam banyak-banyak benda yang ada dalam dunia ini mengapalah benda yang sudah ketinggalan zaman ini juga yang mahu dia hadiahkan kepadaku. Agaknya manalah dia jumpa dan beli benda ini? Setahu aku, zaman sekarang ni memang susah nak mencari walkman ini. Ya, mungkin memang masih ada di pasaran, tapi amat jarang sekali dijumpai. Maklumlah zaman sudah semakin moden. Teknologi canggih sudah mengantikan tempat produk lama begini. Aku menyeluk telefon bimbit yang aku simpan di dalam seluar trackku tadi. Idea untuk menggenakan dirinya begitu senang hadir malam ini. Namun belum sempat aku mendail nombor telefon bimbitnya, sebuah sampul surat dari dalam kotak walkman ini terjatuh dan menggena kakiku. Aku letak dahulu telefon bimbitku di atas meja, niat untuk menghubunginya aku tunda terlebih dahulu. Sampul berwarna biru itu aku buka. Ada sekeping kad berwarna biru dan sehelai kertas yang sudah lusuh dan agak kekuningan warnanya, tersemat di dalam sampul.
            Aku lebih tertarik dengan kertas yang sudah lusuh itu terlebih dahulu, berbanding kad tersebut. Lipatan kertas tersebut aku buka untuk membaca isi di dalamnya. Mataku sudah bergenang melihat apa yang terpapar pada kertas itu, aku amat kenal dengan tulisan tersebut, amat kenal, kerana ianya tulisanku.

Kalau Su nak walkman untuk hari lahir Su tahun ini boleh tak ayah?

            Pantas air mataku berlinangan ke pipi membaca semula bait kata yang aku tulis pada hari lahirku lima belas tahun yang lalu. Semuanya membuatkan aku kembali terkenangkan peristiwa itu….

AKU faham, aku bukan dari keluarga yang berada. Semuanya dalam keadaan bersederhana. Jika ditanya tentang permintaanku setiap kali menjelang hari lahir, pasti hanya dua perkara yang aku inginkan. Pertama, sebuah kek hasil buatan tangan ayah sendiri dan yang kedua, menziarahi kubur arwah ibu. Tidak pernah sekalipun aku meminta sesuatu yang lain kerana aku takut permintaanku tidak ditunaikan ayah. Menunaikan dua permintaan kecilku itu juga kelihatan begitu sukar pada ayah. Aku sedar aku bukan anak kesayangannya.
            Tapi kali ini hati memberontak. Aku mahukan walkman, sama seperti mana yang dimiliki oleh kebanyakan kawanku di sekolah. Hampir setiap hari aku ditayangkan dengan permain muzik yang canggih itu. Sungguh aku teruja. Aku juga menginginkannya. Selalunya aku hanya mampu meminjam alatan itu pada Zulhairi. Namun sampai bila aku mahu meminjam? Mungkin Zulhairi tidak punya masalah untuk meminjamkannya padaku, tapi aku malu dengan keadaan itu. Jadi pada tahun ini aku sudah mensasarkan ia sebagai hadiah di hari lahirku.
Sehelai kertas aku koyakkan dari buku nota harian. Aku tulis permintaanku di atas  kertas itu. Aku sudah merancang untuk menyerahkan kertas itu pada ayah lalu akan terus lari. Harapnya ayah menunaikan permintaan yang satu itu. Langkah kaki membawa aku ke pintu dapur. Apabil terdengar perbualan ayah dan ibu tiriku, aku mematikan langkah. Tubuh aku sorokkan, tidak mahu diketahui aku turut ada di situ.
“Sekarang ni abang nak buat macam mana?” suara ibu tiriku kedengaran.
“Entahlah Imah, nantilah abang usahakan” penuh nada gundah suara yang dilontarkan oleh ayah. Pasti dirinya sedang berdepan dengan masalah.
“Abang kena usahakan cepat. Simpanan kitapun dah tak banyak mana dah. Itu nak bayar. Ini nak bayar”
“Abang tahulah…”
Aku terdiam. Rasanya dengan usiaku yang bakal menginjak kelima belas tahun, membuatkan aku matang untuk memahami apa yang dibincangkan oleh ayah dan ibu tiriku. Kertas yang aku pegang itu aku buka kembali lipatannya. berulang kali aku membaca permintaan yang ingin aku sampaikan pada ayah melalui kertas itu. Namun semakin aku baca, semakin aku rasa bahawa permintaaku itu tidak mungkin tertunai. Mustahil untuk aku menyusahkan ayah saat-saat begini. Pasti nanti ayah akan lebih tidak menyenangiku. Aku tidak mahu itu berlaku. Cukup sikap dingin yang ayah tunjukkan padaku selama ini. Aku juga ingin disayangi seperti adik-adik.
Laju ayah berjalan keluar dari dapur. Sedikitku dia tidak perasaan aku ada bersandar pada dinding saat melepasi aku. Melihat ayah pergi, aku juga bertindak menyepikan diri. Aku bawa bersama kertas itu menemaniku. Bersendirian aku bersama air mata yang berganti-ganti, mengalir, membasahi pipi. Bersembunyi di tempat yang tidak mungkin dijejaki.  Namun aku silap, tidak mungkin bagi aku untuk melarikan diri daripada Zulhairi. Ternyata dia dapat menjejakiku.
            “Aku dah agak, mesti kau ada kat sini.” Zulhairi sampai dengan tiba-tiba. Lalu dia  turut duduk bersama.
            Pantas aku seka air mata yang meniti. Tidak mahu Zulhairi mengetahui apa-apa.
            “Kau menangiskan, Su? Kenapa ni?” Zulhairi mula menyoal.
            Aku masih mendiamkan diri. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu melibatkan Zulhairi. Kertas permintaan itu aku lipat segera, kemudian aku sorokkan di bawa peha. Semoga Zulhairi tidak bertanya lanjut tentang kertas itu.
            “Kertas apa tu?” Cepat sahaja Zulhairi menangkap tingkahku. “Kau menangis sebab kertas tu, ke? Bak sini aku nak tengok” Zulhairi menadah tangan.
            “Tak payahlah… tak ada apa-apapun.” Aku mengelak. Tidak mahu membenarkan kertas itu berpindah tangan.
            “Baklah sini!”
            “Aku cakap tak payah, tak payahlah… kau degil sangat ni kenapa?” Marah! Hanya itu yang mampu aku lakukan untuk menghentikan permintaan Zulhairi.
            Zulhairi mendiamkan diri seketika. “Su, kalau kau anggap aku kawan baik kau, aku nak kau bagi aku tengok kertas tu. Kalau semuanya kau nak rahsiakan, macam mana aku nak jaga kau?”
            Aku menundukkan wajah. Kata-katanya itu berjaya melembutkan hati. Tapi aku malu untuk menyatakan padanya yang aku menangis hanya kerana permintaan itu. Aku juga tidak mahu dia berfikir yang bukan-bukan tentang ayahku. Bukan salah ayah. Aku yang enggan meneruskan niat. Maka, kertas yang tadi aku sorok, kembali aku dapatkan. Aku sudah berniat mahu mengoyakkannya. Maafkan aku Zul.
            Namun belum sempat aku melakukan seperti yang dirancang, Zulhairi terlebih dahulu berjaya merampas kertas itu. Gagal untuk aku dapatkan kembali walaupun sudah aku usahakan. Laju saja anak matanya memerhati apa yang tertulis.
            “Kau menangis sebab benda ni aje?” Zulhairi tersenyum.
            “Kau takkan faham aku, Zul”
            “Kau bagi tak kertas ni pada ayah kau?” Zulhairi bertanya lagi. Aku sekadar menggeleng, menyatakan kebenaran.
“Kenapa”
            “Keadaan kau dengan aku tak sama Zul” aku menjelaskan. Namun tak mungkin dia faham.  
            “Dahlah Su, tak payahlah nak menangis. Nanti aku belikan” Zulhairi membuat janji.
            Hah, aku terkejut! “Tak payahlah, Zul. Kau pun belajar lagi, bukannya ada duit” aku tahu Zulhairi sekadar mahu memujuk hati.
            “Sekarang ni memanglah aku tak ada duit. Nanti bila aku dah kerja, aku belikanlah untuk kau.”
            Kata-kata itu mengundang tawaku. “Masa kau dah kerja! Bila tu? Lima belas tahun lagi?” senyumanku masih di bibir. Apabila berhadapan dengan kawan baikku ini, susah sekali ketawa menghilangkan diri.
            “Okay, aku belikan kau lima belas tahun lagi!” yakin saja Zulhairi mengikat janji.
            “Eleh... Entah-entah tak sampai lima belas minit, kertas kat tangan kau tu hilang. Terlupa kau letak kat mana. Ada hati konon nak ingat belikan hadiah untuk aku lima belas tahun lagi.” Pantas aku bidas pernyataan Zulhairi yang tak masuk akal. Dia tu sudahlah spesis pelupa. Aku boleh jamin, kalau aku tanya balik janji yang di buat hari ini lima belas hari lagi, belum tentu dia ingat. Inikan pula lima belas tahun! Namun dalam diam, aku simpan rasa gembira. Bersungguh-sungguh dia mahu menenangkan hatiku. Zulhairi memang kawan yang baik. Aku kagum dengan semangat setiakawan yang ada padanya.

BUNYI suara kucing yang kedengaran di luar rumah, mematikan semua ingatan. Zulhairi! Perlahan nama itu aku sebut. Tanpa aku sedar ada air mata yang menitis, jatuh. Terharu! Aku sendiri sudah lupa akan peristiwa itu, bagaimana dia masih menyimpan semua memori itu kemas dalam ingatannya? Benar-benar di luar jangkaanku.
            Kini aku capai pula kad yang berada di dalam sampul yang sama. Kandungannya aku baca.

Akhirnya… Walaupun dah ketinggalan zaman, tapi benda ni masih relevankan? Aku harap penantian 15 tahun kau tu, berbaloi-baloi. Aku tak lupa okay! Hehe… ~Zul~

            Aku tersenyum. Hilang kata-kata. Penantian? Jujur langsung tidak aku nantikannya. Tidak sangka Zulhairi mengambil serius kataku dulu. Namun biarpun itu permintaan lama, aku bersyukur dan gembira kerana Zulhairi menunaikannya.
Aku segera mengambil telefon bimbitku dan mendapatkan nombor Zulhairi. Aku mahu menghubunginya. Tak sampai beberapa saat, talian sudah bersambung.
            “Assalamualaikum, aku dah agak mesti kau akan telefon aku malam ni.” Kata Zulhairi memulakan perbualan di hujung talian ini.
            “Waalaikumusalam. Aku tak sangka kau simpan lagi kertas ni. Dah lima belas tahun kut. Lurus bendullah kau ni, Zul.” Suaraku sudah menjadi serak tika ini, untuk mengelakkan dia mengesyaki aku menangis aku cuba melawak dengannya.
            Suara tawanya menyapa gegendang telingaku. “Amaboi, suka hati kau ja nak samakan aku dengan bendul. Aku bukan lurus bendullah, aku amanah. Kan beza tu.” Tawanya masih kedengaran, turut membangkitkan taawaku sama.
            “Mana kau beli walkman ni.” Terasa teringin pula nak tahu.
            “Adalah… mana boleh bagitahu, rahsia. Tapi hari ni sempat jugalah aku kena gelak dengan dua tiga orang jurujual bila aku tanya pasal cassette walkman ni.” Ceritanya dengan panjang lebar.
            Aku hanya tersenyum, dapat aku bayangkan bagaimana dia mencari benda ini dari sebuah kedai ke sebuah kedai.
“Kau pun satu, Su. Kejam sangat. Kalau ya pun, tak payahlah suruh aku tunggu sampai lima belas tahun. Kalau kau bagi aku masa lima, enam tahunpun aku dah mampu nak belikan untuk kau benda alah tu.” Zulhairi meluahkan rasa
            “Eh, aku pula salah. Mana aku tahu kau nak buat macam tu. Aku bukan apa, Zul. Aku saja aje. Sebenarnya tak nak susahkan kau. Maklumlah kau tukan baik tak bertempat.” Aku berterus terang.
            “Dengan kau je aku macam tu, dengan orang lain tidak. Kau tahu kenapa?” Zulhairi meninggalkan soalan untuk dijawab segera.
“Entah, kenapa?” Aku malas mahu fikir sebab memang aku tidak punya jawapan untuk soalan itu.
“Sebab aku sayang kau lebih.”
            Hilang suaraku mendengar jawapan itu. Aku tidak tahu dia bersungguh-sungguh atau berseloroh tapi kata-katanya itu membuatkan jantungku berdegup dengan lebih kencang saat ini. Aku hanya mampu membalasnya dengan sebuah tawa. Walkman yang masih berada di tanganku, aku genggam kemas. Rasa menyesal pula mentertawakan hadiah pemberiannya saat aku tahu apa isinya tadi. Sedangkan dia bersusah payah untukku.
            “Dahlah dah malam ni pergi masuk tidur. Jangan sampai mimpi-mimpi aku pula malam ni.” Dia memberi peringatan yang tidak asing lagi di telingaku.
            “Ceh, perasan betullah kau ni.” Aku cuba menyembunyikan rasa hati yang sejak dua, tiga menjak ini menjadi sudah tidak keruan dengan kata-katanya. Malam ini pula, terlalu sukar untuk aku mengawal degupan jantung. “Esok kau datangkan, tuisyenkan Alia?” aku cuba ubah ke topik yang lain kerana aku mahu melarikan diri daripada apa yang mula aku rasa.
            “Rilekslah, tak sampai lima belas minit lepas jumpa aku. Takkan dah rindu kut.”
            Rasanya semua darah sudah naik ke mukaku, nasib baik dia tiada di depanku jika tidak pasti dia sudah nampak perubahan yang berlaku pada wajahku kini. “Sudahlah kau malas nak layan kau merepek. Selamat malam dan Assalamualaikum.” Aku terus meletak talian bila mendengar suaranya sudah galak ketawa. Aku mengetap bibir, hajat hati untuk berbual dengannya dengan lebih panjang lagi malam ini tidak kesampaian. Tapi tidak mengapa walkman ini akan menjadi peneman aku yang setia malam ini dan malam-malam berikutnya.
          
Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum & Salam sejahtera. Harapnya para pembaca yang merindukan Zul tersenyum bahagia dengan entry ini. Jumpa dalam entry berikutnya nanti. Terima kasih atas jejak kata yang ditinggalkan.

10 comments:

Eppy Safri said...

Hahaha... zul pi pasar li bahan uat pulut kuning ngan cari walkman... ermmmm Zul sayang Su....

Wan Ruzana said...

Yeayy Zul dh kuar keke,.terharu ny klu sy de kt tpt Su ( cehh berangan lbih keke),.
Gogo Zul!! Twn hat, jantung n semua orgn dlman Su hehe

Eijan said...

Terharunya dgn usaha Zul, buat sy jatuh chenta dgn Zul ni...so Su watch up...cepat2 confess....nnt kena rampas...hehehe....
Terbaeklah....AH

Anonymous said...

Ada typing error masa Zul kasi pulut kuning
terselit nama Wafi kat situ
dan ada perkataan yg. sepatutnya aku jadi kau
apa2 pun thx cik penulis utk. n3 baru ni

Anonymous said...

Wuyooo.... dpt Jam Rolex.... tapi Su tak teruja pun... Kalau tak nak, meh pass kat ku... Hihihi....

Waa... sungguh sentimentol dan bermakna sungguh hadiah drp zul - walkman tapi sayang cassette dah lama pupus drp mukabumi ni... Mcm mana nak gunakan walkman tu... Pakai radio jer laa... hahaha....

Zul dah berani nak luahkan ayat2 touching kat Su dan Su pulak dah mula nak "touching2" dgn ayat2 jiwang tu... hihihi... Layansssss.....

nadiah said...

yess! ini yang dinantikan!
kak adah, nak lagi. huhu.

dri_eni said...

zul terbaekkkk...
su da mula ada rasa kat zul..
mmg besssshhhhhhhhhhhhhhhhh...
go go AH..keep it up..

Kak Sue said...

Yesss.... kalau Zul jadi pergi JB pun harap sangat Zul berterus terang dengan Su tentang hati dia.... bestttt

Norzie said...

Salam kenal dan follow Adah.
Jemput singgah:
http://inspirasinorzie.blogspot.com/2012/10/jauh-dari-cinta.html

shaza said...
This comment has been removed by the author.

Post a Comment