Tuesday, November 29, 2011

Ada Di Hati - Bab 34


TIGA PULUH EMPAT
            Wajah ibu yang terjengul di depan pintu rumah mak langku ku tatap lama sebelum masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu. Ibu menutup perlahan pintu utama rumah sebelum memegang lenganku dan membawaku hingga ke hujung sudut rumah. Aku memandang emak dengan seribu tanda tanya. Dalam masa yang sama, aku tercari-cari kelibat mak lang di ruang tamu yang agak luas itu, namun bayangannya pun tidak kelihatan.
            “Safi dah bagitahu Nia pasal Safi dengan Zafril ke?”
            Aku terus membawa pandanganku pada wajah ibu. Aku menganggukkan kepala. “Tapi bukan Safi yang bagi tahu Nia. Zafril yang bagi tahu dia semalam. Safi pun baru tahu pasal ni pagi tadi.”  Aku menerangkan semuanya pada ibu. Alang-alang ibu sudah pun mengetahui semua kisah antara kami bertiga, tidak salah kalau aku menceritakan perkara itu juga.
            “Ibu dah agak. Pasal tulah Nia semacam je.” Ibu mengeluh perlahan.
            “Nia masih belum keluar-keluar dari bilik ke bu?”
            Ibu mengeleng. “Ibu rasa dia tak boleh nak terima hubungan Safi dengan Zafril. Tu yang dia jadi macam tu. Berkurung dari malam tadi kata mak lang kamu.” Nada risau ibu kendengaran. Sudah lama kau tidak mendengar ibu berbicara secemas ini.
            “Safi nak jumpa Nialah.” Aku terus berpaling, ingin terus menuju ke tingkat atas ke bilik Shania.
            Pantas Ibu menghalangku dengan menarik lenganku. “Safi nak buat apa jumpa Nia?” Ibu kelihatan bertambah cemas.
            “Safi nak bersemuka dengan Nia. Nak berbincang baik-baik dengan dia.”
            “Bagus juga tu. Jelaskanlah baik-baik kat dia. Mudah-mudahan dia boleh terima. Patutlah ibu tak sedap hati je bila dengar cerita kamu hari tu. Ibu tak sangka pula keadaan boleh jadi seteruk ni. Risau pula ibu dengan kamu bertiga ni.” Wajah kerisauan memang tergambar jelas pada wajah ibu.
            Aku menjadi serba salah. Kerana masalah percintaanku, ibu pula yang risau. Rasa menyesal kerana telah menyusahkan orang tuaku ini. Tapi jika hari itu aku tidak mendapatkan nasihat daripadanya, aku tidak tahu tindakan apa lagi yang perlu aku ambil.
            “Ibu janganlah risau sangat. Tak ada apa-apalah. Semuanya akan okay.” Aku cuba untuk menenangkan dirinya. Rasa tidak sanggup melihat wajahnya yang penuh dengan kerisauan menatap wajahku.
            “Mana ibu tak risau. Kamu tu anak ibu. Nia pula ibu dah anggap macam anak ibu sendiri. Ishhh, entah macam manalah kamu berdua boleh terperangkap dengan cinta tiga segi ni.”
             Aku  tertawa kecil mendengar ibu menyebut cinta tiga segi.
            “Eh, budak ni ibu tengah serius kamu boleh ketawa pula.” Marah ibu dengan sikapku.
            Aku cepat-cepat mengetap kedua-dua bibirku. Tidak mahu ibu marah padaku. Aku tahu dia cukup terbeban dengan masalahku ini. “Ibu janganlah risau sangat nanti darah tinggi ibu tu naik siapa yang susah. Safi dengan ayah jugakan.” Aku cuba untuk memujuk kegalauan hatinya.
            “Amboi…merungut nampak! Kamu pun tahukan siapa yang selalu buat darah tinggi ibu naik?” ibu memandangku tajam, aku tahu dia mahu aku mengakui kesalahanku yang sering membuatkannya marah.
            “Yelah, Safi salah. Ibu ni…” kataku manja, sengaja mahu memujuk hatinya. Dan ibu akhirnya tersenyum. “Safi naik atas dulu ek, jumpa Nia.”
            “Ibu ikut sekali.”
            Aku tersenyum dan menganggukkan kepala sebelum berpaling meneruskan langkah ke tingkat atas rumah mak lang sambl berbimbing tangan dengan ibu. Hatiku lapang ketika berbimbing tangan dengan ibu, aku tahu dia cuba untuk menenangkan hatiku. Nampaknya dia benar-benar risau dengan keadaan aku dan Nia.
            Sebaik sahaja aku sampai di tingkat atas, mak lang sudah pun duduk berehat di sofa yang terdapat di ruang itu. Melihat sahaja ketibaanku mak lang terus menuju ke arahku dan mengenggam erat kedua-dua belah tanganku.
            “Safi tolong mak lang ye. Tolong pujuk Nia keluar. Mak lang pun tak tahu kenapa dia tak nak keluar sejak semalam. Puas mak lang tanya tapi dia tak nak jawab. Safi rapat dengan Nia kan. Safi tolong mak lang ye pujuk dia.” Rayu mak lang bersungguh-sungguh padaku.
            Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Sejurus kemudian, aku terus menuju ke pintu bilik Shania yang sedang tertutup rapat. Aku tidak tahu sama ada aku akan dapat memujuknya atau pun tidak. Atau kehadiaranku ini akan lebih menyakitkan hatinya.
            Tapi bukan itu niatku ke sini. Aku mahu berhadapan dengan Shania sendirian. Selepas Zafril berbicara dengannya, aku rasa sudah tiba masanya untuk aku berhadapan dengan Shania berdua pula. Oleh sebab itu aku tidak mahu Zafril turut serta ke sini. Aku mahu berbicara dari hati ke hati dengannya.
            “Assalamualaikum.” Aku memulakan kata dengan mengetuk beberapa kali pintu bilik Shania. “Nia, akak ni. Akak nak cakap sikit den…” dan belum sempat aku menghabiskan kata pintu bilik itu sudah pun terbuka dari dalam. Tersembur wajah Shania pada muka pintu yang terbuka luas itu.
            “Shania…” terus mak lang meluru mendapatkan Shania dan memeluknya yang masih tidak berganjak di muka pintu dan merenungku tajam. “Kenapa dengan Nia ni? Mama suruh Nia buka pintu Nia tak nak. Kenapa ni Nia, cuba bagi tahu mama.”
            “Nia nak bercakap dengan Kak Safi je.” Kata Shania sambil terus memandangku tanpa menghiraukan mak lang yang masih menanti jawapan darinya.
            Mak lang memandangku dan Shania silih berganti. Pasti saat ini pelbagai andaian yang menyinggah di minda wanita itu. Aku juga terus memandang Shania yang masih tidak lepas-lepas merenungku.
            “Milah, mari kita keluar. Biar budak-budak ni bincang. Mungkin Nia nak kongsi masalah dia dengan Safi je.” Ibu cuba memujuk Mak lang agar membenarkan Shania bercakap berdua sahaja denganku.
            “Tapi…”
            “Jom Milah.” Ibu masih berkeras. Dipautnya kedua-dua belah bahu mak lang dan membawanya keluar dari bilik Shania. Dan sewaktu melintasiku ibu memadangku dengan senyuman kelat. Aku hanya mampu membalas senyumannya tu seadanya sahaja.
            Sebaik sahaja ibu dan mak lang berjalan menuruni tangga menuju ke tingkat bawah Shania terus masuk ke dalam biliknya. Pintunya terus dibiarkan terbuka luas, membenarkan aku masuk ke dalam kamarnya. Tanpa membuang masa aku terus masuk ke dalam biliknya dan menutup rapat pintu itu. Aku tidak mahu sesiapa pun mendengar perbualan kami ini. Biarlah ianya menjadi rahsia antara aku dengannya sahaja.
            Shania duduk di atas bangku meja soleknya mengadap cermin meja soleknya. Aku ingin memulakan kata namun melihat dia yang sedang duduk membelakangkanku membuatkan aku membiarkan suasana sepi seketika. Biarlah dia bertenang dahulu sebelum aku memulakan kata. Aku mengambil tempat duduk di atas katilnya yang sering menjadi tempat kami berkongsi cerita hampir setiap malam jika aku bermalam di sini.
            “Siapa bagi kebenaran pada akak duduk atas katil Nia?”
            Aku tersentap mendengar kata-kata itu dengan nadanya yang ternyata amat menjengkelkan buatku. Aku memandangnya yang sedang memandangku melalui cermin di hadapannya.  Terus aku bangun dari dudukku.
            Shania mula berpusing dan mengadapku, wajahnya masam seperti yang aku lihat sebentar tadi. Tiada langsung riak manis untukku. Aku terdiam memandang wajahnya, sepanjang aku meniti kedewasaan bersama-samanya tidak pernah sekali pun dia melemparkan wajah dan pandangan sebegitu padaku. Dan dia tidak pernah langsung meninggikan suaranya padaku walau apa keadaan sekali pun. Namun ternyata hari ini dia sudah berubah.
            “Betul ke akak dengan Abang Add sekarang ni?” Soalnya terus padaku.
            Aku menganggukkan kepala. Mengiakan semua katanya, walaupun ayatnya itu tidak terlalu jelas bagiku namun aku tahu apa yang sebenarnya dimaksudkan olehnya pada tika ini.
            Berombak dada Shania saat melihat reaksiku. Aku dapat melihat matanya mula menakung air jernih. “Sampai hati akak buat Nia macam ni kan?” nadanya masih keras seperti tadi, langsung tidak mahu berlembut denganku seperti selalu.
            “Nia, akak tak pernah bermaksud nak buat Nia macam tu. Akak bercinta dengan Abang Add sebelum akak tahu Nia pun cintakan dia. Akak…”
            “Akak tipu!” Jerit Shania tiba-tiba.
            Bergetar hebat jantungku saat mendengar jeritannya itu. “Nia!” Aku turut mengeraskan suara. Aku tidak mahu dia menjerit sesuka hati. Bagaimana kalau mak lang yang berada di bawah mendengar jeritannya itu pasti pelbagai soalan yang menantiku nanti.
            “Bila akak bercinta dengan Abang Add? Bila?” suara Shania masih meninggi.
            “Akak…”
            Dan belum sempat aku menghabiskan kata dia mula mencelah.
            “Baru beberapa bulan ni kan. Bila akak jatuh cinta pada Abang Add? Baru-baru ini juga kan? Tapi Nia, Nia dah cintakan Abang Add sejak dulu lagi. Akak sendiri pun tahu perasaan Nia pada Abang Add macam mana kan? Nia selalu cerita dengan akak pasal Abang Add sejak dulu, sebelum akak kenal Abang Add lagi. Tapi kenapa akak still nak bercinta dengan dia? Kenapa?” Shania mula hilang arah, ke hulu ke hilir dia berjalan di hadapanku.
            “Nia, memang Nia selalu ceritakan pada akak pasal Abang Add dulu, tapi akak tak terfikir pula yang Nia cintakan Abang Add.”
            “Alasan! Nia tak tahu apa yang akak tak puas hati dengan Nia, sampai akak nak rampas Abang Add dari Nia.”
            “Nia! Akak tak pernah rampas Abang Add dari sesiapa pun. Akak terima Abang Add masa tu Abang Add tak ada sesiapa pun dalam hidup dia. Lagipun kita orang memang saling mencintai.” Aku sudah mula geram dengan Shania. Bagaimana dia tergamak berkata begitu padaku. Aku sememangnya tidak merampas Zafril darinya, jika Zafril sememangnya sudah bersama-sama dengannya tidak mungkin aku tergamak berbuat begitu padanya. Jadi dia tidak ada hak untuk menuduhku sehingga sebegitu sekali.
            “Alasan… Semuanya alasan. Nia tak dengar apa-apa pun alasan dari akak. Nia benci akak.” Shania memeluk tubuh, air mata sudah mula membasai pipinya.
            Benci? Sehingga begitu sekali perasaannya padaku? Aku pun seperti hendak mengalirkan air mata mendengar pengakuannya itu. Sudah lupakah dirinya akan hubungan baik kami selama ini? Sudah lupakah dia betapa rapatnya aku dan dirinya dahulu sehingga ramai yang mengelarkan aku dan dia tidak umpama seperti belangkas yang sentiasa berdua tidak kira ke mana sahaja? Hanya kerana perkara ini dia sudah membuang aku jauh dari hidupnya, dari kenangan manisnya?
            “Tak boleh ke Nia terima kenyataan?” aku cuba berdiplomasi pula kali ini. Kekerasan tidak akan membawa aku dan dia ke mana-mana dalam perbincangan ini.
            “Kenyataan? Kenyataan apa? Kenyataan yang akak dah rampas Abang Add dari Nia dan akak dah rampas kebahagian Nia.” Shania masih lagi tidak mahu mengalah.
            Aku mengeluh perlahan, susah benar untuk aku berhadapan dengan dia kali ini. “Akak tak tahu apa yang harus akak cakap pada Nia lagi. Habis tu Nia nak buat apa lagi sekarang ni?” aku sudah malas mahu berbalah dengannya. Aku ingin cepat-cepat menamatkan perbualan ini.
             “Nia tak nak akak ada apa-apa hubungan lagi dengan Abang Add.”
            “Apa?” Aku benar-benar terperanjat dengan permintaannya itu.
            Shania tersenyum sinis dan mula menyeka air matanya. “Nia nak akak tinggalkan Abang Add.”
            “No!” Aku membantah keras. Tergamak dia membuat permintaan itu padaku. Tidak mungkin aku akan meninggalkan Zafril hanya kerana mahu memenuhi permintaannya itu.
            “Huh, Nia memang dah agak akak memang pentingkan diri akak sendiri.”
            Ternyata Shania sudah berubah sepenuhnya, Shania yang aku kenal dulu tidak mungkin akan berkata begitu pada diriku. “Akak pentingkan diri sendiri? Salah ke kalau akak pertahankan cinta akak dengan Abang Add?” aku mencerunkan mata memandang Shania yang masih  merenungku.
            Shania tergelak sinis padaku. “Kalau macam tu tak salah juga kalau Nia cuba pertahankan cinta Nia pada Abang Add kan?”
            Aku terdiam memandangnya yang sedang berjalan menghampiriku. “Nia juga cintakan Abang Add. Dan Nia akan berjuang untuk dapatkan cinta Nia.”
            Aku mula beristigfar dalam hati. Mencari ketenangan dalam diam. “Abang Add cintakan akak dan dia takkan dengan mudah berpaling pada orang lain. Akak yakin.” Aku cuba membina keyakinan dalam dirinya, mudah-mudahan dia melupakan niatnya itu.
            “We’ll see. Keluar dari bilik Nia sekarang. Nia tak nak tengok muka akak lagi.”
            Sebaik sahaja meluahkan kata itu padaku Shania terus berlalu ke bilik air yang terdapat di dalam biliknya itu dan menghempas kuat pintunya. Dentuman pintu itu menhenyak hatiku. Hari ini aku sudah kehilangan seorang adik yang amat aku sayangi selama ini.
            Aku juga terus melangkah keluar dari bilik yang terasa bahangnya itu. Aku berjalan pantas menuruni anak tangga seterusnya mahu meninggal emak dan mak lang begitu sahaja. Namun mak lang terlebih dahulu menghalang jalanku.
            “Kenapa ni Safi? Apa yang dah jadi? Nia macam mana?” mak lang terus menyerang dengan soalan-soalan itu.
            Lama aku memandang mak lang sebelum anak mataku beralih kepada ibu yang juga berada di sebelah mak lang. apa yang harus aku jelaskan pada mak lang? andai aku ceritakan kebenarnnya, mungkinkah mak lang juga akan bertindak seperti Nia, membenci diriku? Gusar kian bertambah. “Maafkan Safi, mak lang. Safi pun tak nak benda ni jadi!” pantas aku meninggalkan mak lang dan ibu setelah menzahirkan ucapan maaf. Terdengar jeritan namaku dilaung beberapa kali. Tidak mungkin bagiku untuk terus berada di situ. Semua mula menyerabutkan fikiran. Apa yang akan Nia lakukan untuk mendapatkan Zafril? Aku sangat takut saat ayat itu diluahkan Nia. Aku tak akan benarkan perkara itu terjadi walau apa sekalipun.

Bersambung…

P/S : Maaf atas kelewatan... byk urusan yg x dpt dielakkan. Selamat membaca :)

15 comments:

Anonymous said...

salam dik..inilah apa yg akak dan mungkin yr die hard fan wants mengenai charater safi.. yes dan terima kasih kerana mendengar luahan hati kami yg menginginkan watak yg lebih outspoken dan tak senang dibuli dan bukan watak airmata buat safi..
Harap zafril lebih meluangkan masanya bersama safi instead of with Nia..walaupun Nia melontarkan banayak alasan untuk menghabiskan masa bersamanya dengan alasan business ..

salam
kak idA

Kak Sue said...

Terbaik lah Safi.... jangan asyik mengalah sahaja...
pertahankan cinta Mu... Safi seperti Zafri...
Zafril bagus ... berterus terang... maksudnya Zafril betul-betul pertahankan cinta bersama Safi juga...

che`leen said...

betul kak ida..sepatutnya hak itu dipertahankan sbb Safi bukan bertepuk sebelah tgn..jgn menyerah cepat sangat...

Ana said...

aduhai...psyco lah nia ni... ada plak safi yg kene mengalah....

Zainatul Izma said...

adddooooii, nyampahnya dgr statement Nia!!! jgn menyerah Safi.....

dila dyna said...

yess...fight for your love safi, go..go!!!!!

zuraidah said...

yes safi...terus pertahankan cintamu.....nyampah dengan nia.....

nadiah said...

alaaaa.
heee.
geram2. nasib baik sampai entry 48 je.
hihi.

aneesanuraim said...

betul tu...safi kena kuat utk pertahankan cinta dia dgn zafril...

Miss Nurul said...

Safi ! mcm ni la baru betul..pertahankan cintanya..bukan mengalah mcmm tu saja..
jgn bg muka kt nia yg terlampau selfish n manja terlebih tu.. all the things semua dia nk...
she doesn't care bout other people..
dia x tau ke yg safi n zafril dh kenal lama? huh ! she is so pathetic! she might do something harmful to get zafril ! nooo !

Anonymous said...

Takut2 Nia memburukan safi dan mempengaruhi ibu bapa Zafril je...ye lah depa kan ada hubungan kandung...tolonglah jangan kejam sgt Nia ni mcm watak2 drama dari seberang..hehe..kitakan ada kelembutan dan batas susila..

blinkalltheday said...

XSUKE WATAK NIA..BAGUS SAFI..

Anonymous said...

ADAH...bila Nia 'kurang ajar' pada Safi saya rasa puas sebab selamanya Safi dok jaga sangat hati Nia ni so sekarang sendiri fikirlah...hopefully jangan lah ada kisah2 buruk memburuk peribadi Sahi dalan n3 akan datang ye...@bluescarf

Aida Sherry said...

hopefully safi n zafril dpt pertahankan cinta mereka...jgn mudah mengalah...plz fight 4 your love....

ieda ismail said...

Safi~ pertahankan cinta anda....
Zafril ~ jgn mudah berpaling pd org len
Nia ~ blaja la trime hakikat yg Zafril n Safi dah ditakdirkan bersama

Post a Comment