Thursday, May 26, 2011

Jauh Dari Cinta - Bab 19


SEMBILAN BELAS
Miza meminjamkan aku t-shirt miliknya bersama sehelai kain batik sebaik saja kami tiba di rumah teres satu tingkat itu. perhiasan dalam rumah itu begitu indah. Tertarik sekali aku melihatnya. Padanlah dengan pereka hiasan dalaman sepertinya. Memang itu kepakaran  Miza. Aku terus menuju ke bilik mandi, membasahkan tubuhku kemudian segera bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib. Miza hanya memerhati setiap tindak tandukku dengan penuh persoalan. Telekung yang juga milik Miza itu aku sarungkan sebaik sahaja azan maghrib kedengaran sayup-sayup di sebalik hujan yang turun.
            Selesai menunaikan solat maghrib, aku tunaikan pula solat sunat rawatib, sesudah maghrib seperti mana amalan Rasullulah SAW. Tidak aku lupa pesanan ayah yang satu itu. Kata ayah, sepanjang hidup Rasullulah SAW, baginda hampir tidak pernah meninggal solat sunat rawatib sebelum subuh, sebelum dan selepas zohor, sesudah maghrib dan juga sesudah isyak. Oleh kerana itulah, ayah berpesan, jika berkelapangan, jagalah solat sunat itu yang kelak dapat membantu kita di alam sana.
            Aku panjatkan doa kehadrat Illahi, pemilik nurani manusia. Yang mampu membolak-balikkan hati setiap insan yang dikehendaki-Nya. Aku berdoa semoga aku ditemukan dengan jalan yang dapat membawa aku terus menemui bahagia, begitu juga dengan Aqil. Aku turut berdoa agar yang Maha Esa segera menggerakkan hati Lily untuk kembali ke pangkuan Aqil andai itu adalah kebahagiaan sebenar buat Aqil. Hanya itu pintaku saat ini. Aku benar-benar berharap agar permintaanku itu ditunaikan.
            “Dah solat?” soalku pada Miza yang mula mengambil tempat di sebelahku.
            “Dah, baru aje habis solat,” balas Miza dengan senyuman simpul.
            “Kau ada masalah dengan husband kau ke, Nysa?” Miza bertanya. Mungkin sudah tidak sanggup terus menunggu aku membuka cerita. Pasti terlalu lama baginya menunggu aku menceritakan semuanya.
            “Dia tak sukakan aku, dia cintakan perempuan lain.” balasku sambil membuka terlekung. Kain tekung yang sudah siap aku tanggal itu aku lipat kemas.
            What!” Miza terkejut lagi. “Siapa?” Matanya membulat besar.
            “Lily! Aku bukan pilihan dia. Dia  tak boleh nak cintakan aku,” aku mengadu. 
            “Jadi?”
            “Entahlah, Miza. Aku pun tak tahu nak buat macam mana lagi.” kataku jujur.
            “Habis tu, kau nak mengalah macam tu aje? Dia hak kau, Nysa. Kau kena rebut cinta dia.” Miza memberikan pandangan sekaligus cuba meniupkan semangat.
            Kata-katanya itu hanya mampu aku pandang sepi. Merebut cinta Aqil? Aku tidak akan pernah berjaya melakukannya. Aqil tidak pernah cintakan aku. Cinta tidak boleh dipaksa-paksa. Dia cuma menganggap aku sebagai adiknya. Hanya itu yang mampu Aqil janjikan padaku.
            “Tak akan berjaya. Aku dah tak harapkan apa-apa sekarang. Yang aku nak, dia dapat jumpa dengan Lily secepat mungkin. Lepas tu, semua akan selesai.” aku balas lemah. Pandangan aku alihkan sedikit, melarikannya daripada pandangan Miza. Takut air mata yang mula bertakung, mengalir di hadapannya.
            “Jangan jadi bodoh, Nysa. Kau isteri dia. Takkan semudah itu aje kau nak mengalah. Mungkin dia tak cintakan kau sekarang, tapi kau boleh bantu dia bina perasaan tu.” marah Miza
            “Dah terlambat Miza. Aku tak nak dia sayang dan cintakan aku atas dasar simpati. Aku tak perlukan simpati dia. Kalau dia cintakan Lily, aku rela dia orang hidup bersama.”
            “Kau ni gila ke, Nysa? Buat apa kau nak siksa jiwa kau sebab dia? Apa pasal kau baik sangat ni.” Miza bangun daripada duduknya. Kelihatan betul-betul marah. 
            “Aku tak gila, Miza. Aku pun bukan sebaik yang kau sangka. Aku berusaha cari Lily, tapi dalam masa yang sama aku berharap aku tak akan jumpa dia. Supaya Aqil tetap bersama dengan aku!” aku memandang Miza tajam. Aku mahu dia tahu hatiku yang sebenar. Bukanlah sebaik yang dia sangkakan. Aku cuma wanita biasa. Bila menyayangi seseorang, aku akan sayang dengan sepenuhnya. Itu silap aku. Apabila orang yang aku sayang bersedih, aku akan turut rasa seperti mahu menangis dan ketika dia gembira, aku rasa bahagia. Itu kelemahan aku.
            “Kau fikirkah baik-baik, Nysa. Aku sendiri tak tahu nak cakap apa dah.”
            “Aku tahu niat kau, Miza. Terima kasih. Cukup kalau kau ada untuk dengar semua masalah aku. Aku tak tahu nak luahkan pada siapa.”
            “Kau tak perlukan aku pun sebenarnya, Nysa. Allah sentiasa ada bersama-sama kau... kau lupa? Luahkan semua masalah kau pada Dia. Dia lebih mengetahui apa yang kau rasa. Apapun, aku tetap ada kat sebelah kau.”
            Terharu aku mendengar kata-kata Miza. Dia tersenyum padaku. Aku membalas senyuman itu. Sedikit lega setelah meluahkan apa yang aku rasa padanya. Mujur Allah mengirimkan dia sebagai kawan. Dapat juga aku menceritakan isi hatiku.
            “Terima kasih, Miza.” aku dan Miza berpelukan. Air mata yang mengalir segera aku hapuskan. Harap semuanya akan bertambah baik selepas ini.
            “Kau tak nak telefon husband kau ke, bagi tahu dia yang kau tidur sini?” Miza bertanya. Terlalu risau dia. Mungkin dia takut dirinya akan disabitkan kesalahan membawa lari isteri orang. Sempat juga hati tersenyum mengenangkannya.
`           “Sekejap lagilah. Jangan risau, Aqil takkan tuduh kau larikan isteri dia.” aku ketawa kecil.
            “Manalah tahukan. Zaman sekarang ni macam-macam benda pelik berlaku. Kut-kut Aqil ingat kau kena culik ke... tak pasal-pasal aku tidur lokap,” Miza juga ketawa.
            “Tak mungkinlah. Kalau aku tak ada, lagi aman hidup dia.” kata-kataku itu menghentikan tawa yang tadinya kedengaran.
            “Kau rehat dulu, aku pergi masak ye.” Miza meminta diri.
            “Tak payah susah-susahlah, Miza. Aku dah makan petang tadi.” aku tidak mahu menyusahkan Miza. Tidak pasal-pasal Miza terpaksa bersusah payah keranaku.
            “Tak ada susahnya masak maggie.” balas Miza dalam tawa. Dia kemudian meninggalkan aku sendirian di dalam bilik itu.
Aku rebahkan sebentar badanku di atas katil. Cuba memejamkan mata, tapi tidak berjaya. Lalu jam yang ada di meja sebelah katil itu aku renung lama. Sudah hampir pukul 8 malam. Aqil langsung tidak menghubungiku, bertanyakan tentang kedudukan dan keadaanku. Tidakkah dia ingat padaku? Persoalan itu mengajak aku untuk terus memikirkan Aqil. Apa mungkin pada ketika ini dia masih lagi bersama dengan wanita yang bernama Nani itu, membincangkan tentang Lily? Mungkin juga, hati seperti selalu membuat andaian.
Aku bangun, tidak jadi merehatkan badan kerana ketika mataku terpejam, hanya bayangan Aqil yang muncul. Lalu aku keluar daripada bilik dan menuju ke dapur. Ada baiknya aku bantu Miza memasak, ada juga faedahnya. Miza yang ketika itu sedang sibuk  memotong sayur terkejut dengan kehadiranku. Aku melemparkan senyuman kemudian terus saja melihat ke dalam kuali yang sedang diletakkan di atas nyalaan dapur gas. Ada ikan yang sedang digoreng.
Hampir satu jam, semua hidangan selesai dimasak. Ikan bawal masak tiga rasa dan sayur campur. Rajin Miza memasak. Walaupun sibuk dengan tugasnya, tapi aku tengok peti ais rumahnya penuh dengan bahan-bahan memasak. Pasti dia selalu memasak.
Makanan dihidangkan di atas meja. Miza mengetuai bacaan doa, kemudian masing-masing bersedia untuk menjamu selera. Melihat nasi yang diletakkan di dalam pingganku itu, tiba-tiba aku teringatkan Aqil. Terfikir, sudahkah dia menikmati makan malamnya? Seleraku jadi hilang mengingatkan dirinya. Rasa bersalah pula kerana tetap tidak pulang ke rumah di saat-saat begini.
 “Miza, aku ingat aku nak call Aqil dululah. Tak sedap hati pula, tak bagi tahu dia aku kat sini.” aku nyatakan hasratku. Miza tersenyum mendengarnya. Kemudian aku berlalu ke dalam bilik Miza, menuju ke meja yang menempatkan telefon bimbitku. Belum sempat aku mendail, panggilan daripada Aqil terlebih dahulu aku terima. Aku menarik nafas, ada sedikit debar.
“Assalamualaikum, Abang Aqil.” aku menjawab panggilan itu.
“Wa’alaikumusalam, Nysa kat mana ni?”
“Nysa kat rumah kawan Nysa. Abang Aqil, malam ni, Nysa tak balik ya. Nysa tidur sini. Maaf sebab tak minta izin kat Abang Aqil. Harap Abang Aqil benarkan. Esok pagi-pagi Nysa balik.” aku memohon keizinan yang sepatutnya aku dapatkan lebih awal.
“Rumah siapa? Kat mana? Nak buat apa Nysa tidur kat situ?”
“Rumah Miza, housemate Nysa dulu. Dah lama tak jumpa dengan Miza. Sebab tu Nysa nak tidur sini.” aku memberikan alasan. Padahal, yang sebenarnya aku berasa berat hati untuk ada di rumah pada ketika ini. Takut jika Aqil menceritakan berita gembira yang dibawakan oleh Nani itu padaku. Aku tak cukup kuat untuk bertahan lagi.
“Bagi abang bercakap dengan Miza sekejap.” Aqil memberikan arahan yang tidak enak didengar.
“Abang Aqil nak buat apa?” gusar mula bertandang.
“Buat aje apa yang abang suruh” suara Aqil mula keras.
“Sekejap.” aku menyatakan itu dalam keterpaksaan. Takut kalau aku enggan mengikut arahannya itu, Aqil akan berburuk sangka. Aku memandang lama telefon di tanganku. Tertanya-tanya, apa yang Aqil mahukan dari Miza. Risau pula aku dengannya. Bagaimana kalau Aqil menyatakan sesuatu yang mungkin akan membuatkan Miza berkecil hati? Soalan itu mula mendapat tempat dalam fikiran.
“Abang Aqil, Miza dalam toilet,” aku terpaksa berbohong. Hati Miza harus aku jaga.
“Okey, tak apalah. Nanti abang call balik.” Aqil terus mematikan talian.
Aku betul-betul runsing. Kalau boleh aku tidak mahu melibatkan Miza. Dia tidak bersalah. Apa yang patut aku bagi tahu pada Miza? Haruskah aku menceritakan semuanya? Atau cukup sekadar aku mematikan telefonku. Dengan itu Aqil tidak akan dapat menjejakiku dan Miza akan terselamat. Ada cadangan mula bertandang. Tapi kalau aku matikan talian, tidakkah nanti Aqil akan beranggapan yang bukan-bukan? Argh... pening kepalaku memikirkannya.
Kurang lima minit, Aqil kembali menghubungi telefonku. Mahu ataupun tidak, aku terpaksa juga menyerahkan telefonku itu pada Miza. Mujur Miza bersedia menerima panggilan Aqil setelah aku menceritakan kepadanya hal yang berlaku.
“Assalamualaikum.” Miza memberikan salam. “Ya, saya.” 
Aku hanya mampu menjadi pemerhati. Tidak tahu apa yang Aqil katakan, hendak aku suruh Miza membuka pembesar suara, terasa malu pula. Jadi terpaksalah aku duduk mendengar bait-bait kata yang keluar daripada mulut Miza sahaja.
“Tak ada masalah. Lagipun Nysa ni jenis orang yang pandai berdikari. Kalau pun tak ada orang yang nak jaga dia, dia tetap boleh jaga diri dia sendiri!” ada senyuman kecil yang Miza ukirkan.
“Itu pun tak payah risau. Walaupun kawasan perumahan saya ni tak ada guard, tak pernah lagi saya dengar ada apa-apa kes kecurian atau pembunuhan sebelum ni. Tapi tak tahulah pula hari ni.” Miza sempat mengenyitkan matanya ke arahku. Wajahnya menunjukkan rasa berpuas hati dengan setiap katanya. “Ya, saya tahu. Saya bukannya ada masalah ingatan sampai lupa nak kunci pintu rumah sendiri.” sambung Miza.
            Dapat aku agak setiap patah kata yang Aqil keluarkan walaupun hanya mendengarkan jawapan-jawapan balas yang Miza berikan. Untuk apa dia berbuat begitu? Adakah sekadar untuk menunjukkan kepada Miza betapa dia mengambil berat soal diriku? Aku menggelangkan kepala. Bagaimana agaknya kalau Aqil tahu bahawa sebenarnya aku sudahpun menceritakan pada Miza kisah derita rumah tangga kami? Pasti Aqil akan malu dengan apa yang telah diperkatakan pada Miza. Sempat juga Miza memberikan nombor telefonnya kepada Aqil sebelum talian dimatikan.
            “Aku peliklah Nysa, kau cakap dia tak suka kat kau, tapi aku tengok bukan main susah hati lagi dia ni.” Miza menyerahkan telefon bimbit itu kembali kepadaku.
            “Abang mana yang tak risau kalau adik dia tak balik rumah? Tak lebih daripada tu.” Aku membetulkan tanggapan Miza.
            “Tapi aku tak rasa macam tu. Aku ada abanglah, Nysa. Abang kandung tau! Kalau aku tidur rumah kawan aku, tak pernah pula dia nak bagi macam-macam peringatan kat kawan aku tu.” Miza tersenyum nakal. Membuatkan aku rasa terusik dengan katanya. Benarkah begitu?
            “Lupa nak bagi tahu. Suami kau pesan kat kau, kalau nak tidur, jangan lupa basuh kaki.” Miza ketawa besar kali ini. Dia membawa gelas miliknya ke dapur dengan tawa yang jelas kedengaran.
            “Miza!!!” aku jerit memanggil namanya. Geram dengan gurauannya itu. Namun hati tetap ingin tahu kebenarannya. Benarkah Aqil ada membuat pesanan itu?

MATAKU tidak dapat terpejam lena. Pusing ke kiri salah... pusing ke kanan pun salah. Tidak tahu mengapa. Hendak dikatakan cuaca panas, tidak juga. Walaupun memakai selimut tebal, aku masih dapat merasa kesejukkan meresap ke dalam selimut. Miza tidur di biliknya, manakala aku pula tidur di bilik khas yang disediakan oleh Miza untuk keluarga yang datang bertandang mahupun para tetamu. Mungkinkah rasa rindu pada Aqil yang menghambat lenaku supaya jangan dekat denganku?        
            “Nysa...”
            Jeritan kuat Miza memanggil-manggil namaku sambil mengetuk pintu bilikku membuatkan aku terus saja menolak selimut lalu berjalan menghampiri muka pintu. Pintu bilik aku buka. Terpacak Miza berdiri di hadapan pintu bilikku dengan wajah mamai.
            “Kenapa ni, Miza?’ aku bertanya.
            “Aku dengar bunyi hon kereta kat luar tu. Kau pergilah tengok,  suami kau dah sampai dah tu agaknya.” Miza menggaru-garukan kepalanya.
            “Apa yang kau merepek ni, Miza. Kau mengigau ke apa ni?”  aku tergelak melihat keadaan Miza yang agak berserabut itu.
            “Merepek apa pula pagi-pagi buta macam ni. Suami kau tulah. Ada ke patut, tengah aku syok tidur, boleh pula dia call aku minta alamat rumah. Dia kata, dia nak bawa kau balik. Dah macam orang gila talak pula aku tengok,” Miza menerangkan satu persatu.
“Dahlah, Nysa. Pergilah tengok suami kau tu. Tak habis-habis bunyi hon. Karang tak pasal-pasal jiran-jiran aku marah. Pergilah tunjuk muka kau kat dia. Karang lagi gila pula dia tak dapat tengok kau, rindu benar gamaknya tu.” Miza masih lagi berkata-kata sedangkan lidahku kaku dengan apa yang diterangkannya itu.
            Aku capai tuala merah jambu di ampaian khas dalam bilik itu, lalu aku segera membuka pintu. Menjengahkan kepala, melihat ke luar, memastikan kebenaran kata-kata Miza. Ternyata kereta Aqil benar-benar berada di luar pagar rumah Miza. Aku terkejut! Melihat aku di muka pintu, Aqil keluar daripada keretanya. Segera aku berjalan menuju ke arah pintu pagar dan sekadar berdiri dari dalam. Aku tidak membuka pintu pagar itu untuk Aqil masuk mahu pun untuk aku keluar bebas.
            “Abang Aqil buat apa kat sini?” Aku bertanya. Tidak sangka kehadiran Aqil pada waktu-waktu begini.
            “Buat apa lagi, nak bawa Nysa baliklah.” Aqil menjawab ringkas.
            “Kan Nysa dah cakap, Nysa balik esok pagi.”
            “Nysa cakap malam semalam. Sekarang ni dah pagi kan, so apa masalahnya? Dah, siap cepat. Abang tunggu kat luar ni.” 
            “Abang Aqil ni, kenapa? Abang Aqil baliklah dulu!” aku tidak puas hati dengan perangai Aqil. Apa masalah dia yang sebenarnya?
            “Kenapa apa pula? Nysa tu yang kenapa! Kenapa tiba-tiba aje nak tidur rumah orang lain? Abang tahulah, Nysa marah. Tapi kalau nak merajuk sekalipun, tak payahlah sampai nak bawa diri.”  Aqil mencekakkan pinggangnya.
            Aku mengeluh dalam diam. Tidak faham dengan Aqil. Entah apa yang ada dalam fikirannya. Terlalu sukar untuk aku fahami. Embun pagi mula terasa menyapa tubuh, cukup mendinginkan. Tidak tahu apa lagi yang harus aku katakan pada Aqil. Apa yang membuatkan dirinya bertindak sebegitu rupa? Terasa seperti hendak sahaja aku menghalau dirinya pergi dari situ, tapi takut pula nanti dia akan menggegarkan satu kawasan perumahan ini. Jadi, apa keputusan terbaik yang harus aku buat saat ini.
            Pleaselah, Abang Aqil. Jangan buat macam ni. Nysa janji, lepas aje subuh, Nysa akan terus balik rumah.” aku masih lagi mempertahankan keputusanku untuk berada di rumah Miza. Tak mungkin bagiku meninggalkan Miza begitu saja.
            “Okey, kalau tu yang Nysa nak, tak apa. Abang boleh tunggu sampai subuh nanti. Lagipun tinggal lagi tiga jam aje. Nysa pergilah masuk tidur. Abang tunggu dalam kereta.” Aqil terus saja kembali masuk ke dalam keretanya. Dia aku perhatikan menurunkan seat keretanya dan terus berbaring di dalam keretanya itu. Sakit hatiku melihat tindakkannya itu. Geram dengan sikap keras kepalanya itu. Sedikit pun dia tidak mahu mengalah!
            Aku melangkah laju, masuk ke dalam rumah. Miza yang duduk di atas sofa terus mendapatkan aku sebaik saja aku masuk ke dalam rumah. Aku berhenti apabila melihat Miza ada di situ. Kasihan aku lihat Miza. Kerana diriku, tidurnya terganggu. Menyusahkan betul aku ini! Bentakku dalam hati.
            Sorry, Miza. Menganggu kau aje pagi-pagi macam ni.” aku mohon kemaafan.
            “Tak ada apalah. Dia nak apa? Nak bawa kau balik ke?” Miza beria-ia ingin mengetahui situasi terkini.
            Aku cuma mampu menganggukkan kepala. Mengiakan katanya. Sememangnya itulah tujuan kedatangan Aqil ke rumahnya itu.
            “Habis tu, kau nak baliklah ni?”
            Soalan Miza itu membuatkan aku terdiam. Masih tidak ada apa-apa yang aku putuskan buat masa ini. Tidak tahu bagaimana? Rasa tidak sopan pula terus pulang begitu saja pada waktu-waktu begini. Tapi sebagai isteri, aku tahu aku seharusnya mengikut Aqil pulang ke rumah. Tidak wajar untukku membiarkan Aqil menunggu di dalam kereta hingga ke subuh.
            “Baliklah, Nysa. Tak apa. Jangan kau fikirkan pasal aku. Dia suami kau. Aku tahu, kau pun nak ikut dia balik kan? Baliklah. Nanti kita jumpa lagi. Apa-apa hal kau telefon aku, okey?”
Miza seakan mengerti apa yang bermain di fikiranku pada ketika ini. Aku terus saja memeluk erat Miza. Rasa terima kasih yang tidak terhingga. Bertuah rasanya diriku ini kerana mempunyai kawan seperti Miza.
“Insya’Allah. Terima kasih, Miza.” pelukan dileraikan.
“Sama-sama. Dah cepat siap.” Miza tersenyum lagi. Aku menganggukkan kepala.
Aku mendapatkan Miza, bersalaman dengannya, menggantikan ucapan selamat tinggal. Rasa hiba pula dengan perpisahan itu. Hatiku ini memang mudah tersentuh dengan apa saja yang berlaku di sekeliling.
“Aku balik dulu, Assalamualaikum.” aku memberikan salam sebelum berjalan menuju ke pintu utama. Dan salamku itu, Miza balas dengan senyuman manisnya.
“Nysa!”
Aku kembali menoleh setelah mendengar Miza memanggil namaku.
“Jangan risau, aku yakin, dia dah mula cintakan kau.”
Kata-kata Miza itu membuatkan senyumanku juga turut terukir. Tapi aku tidak mengambil serius kata-kata Miza itu kerana sudah terlalu banyak harapan palsu yang terpaksa aku telan sepanjang perhubunganku dengan Aqil. Aku tidak mahu terus membina harapan palsu lagi. Sekiranya kenangan indah tidak dapat aku cipta, aku juga tidak ingin terus melakar impian hampa.
Aku mengetuk perlahan cermin tingkap kereta Aqil. Aqil membuka matanya, kemudian dia tersenyum. Senyuman yang mencarik rasa sengsara dalam diriku. Seperti selalu aku mengalah lagi. Mungkin sampai ke akhirnya aku akan terus begitu.
“Abang tahu, Nysa tak akan sampai hati biarkan abang tidur dalam kereta ni.” kata Aqil sebaik saja aku masuk ke dalam kereta.
Aku hanya mendiamkan diri. Tidak mahu berkata apa-apa. Ada baiknya aku terus berdiam diri. Aqil mula menghidupkan enjin keretanya, kemudian keretanya itu meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan Miza. Aku langsung tidak memandang wajahnya. Kerana setiap kali wajah lelaki itu aku pandang, nama Lily akan muncul seolah-oleh memberikan peringatan supaya aku berhenti memandang Aqil.
_____________________________________________________________________
Sedutan Bab 20
“Betul abang Aqil akan tunaikan semua permintaan Nysa?” aku memulakan rencana.
“Apa pun!” dengan yakin Aqil membalasnya.
“Nysa nak Abang Aqil anggap Nysa sebagai isteri Abang Aqil untuk tempoh satu hari, boleh?” aku luahkan permintaan yang pastinya sukar untuk dia tunaikan itu.

P/S : Nantikan LAST ENTRY next week k. Thanks to all... :)

9 comments:

cAhAyA said...

waaa..x sbr nk tggu next n3..:))

ASIMAHlah said...

alaaa! kenapa last entry?! uwaaa! :((

AniLufias said...

knpa last n3 lak...
dah nak diterbitkan kea...

iniakuyangpunyahati said...

waaaa last episod???

Che'E said...

aqil...aqil...
sure si aqil ni mmg dah tangkap cintan ngan nisa...

Anonymous said...

penatle nangis...hehehe..cepatlah sikit..x yah tunggu next week

Shahriezah said...

kenapa dgn aqil nie.... dah jatuh cinta dgn nysa... cepat2 samb. ya...

Adah Hamidah said...

terima kasih buat semua yg sudi membaca dan yg sudi memberikan komen.. Amat menghargai semua :)

Anonymous said...

Laa dh nk last entry...sedihnya.Sambung la sampai 30 ke?

Post a Comment