Thursday, May 26, 2011

Jauh Dari Cinta - Bab 19


SEMBILAN BELAS
Miza meminjamkan aku t-shirt miliknya bersama sehelai kain batik sebaik saja kami tiba di rumah teres satu tingkat itu. perhiasan dalam rumah itu begitu indah. Tertarik sekali aku melihatnya. Padanlah dengan pereka hiasan dalaman sepertinya. Memang itu kepakaran  Miza. Aku terus menuju ke bilik mandi, membasahkan tubuhku kemudian segera bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib. Miza hanya memerhati setiap tindak tandukku dengan penuh persoalan. Telekung yang juga milik Miza itu aku sarungkan sebaik sahaja azan maghrib kedengaran sayup-sayup di sebalik hujan yang turun.
            Selesai menunaikan solat maghrib, aku tunaikan pula solat sunat rawatib, sesudah maghrib seperti mana amalan Rasullulah SAW. Tidak aku lupa pesanan ayah yang satu itu. Kata ayah, sepanjang hidup Rasullulah SAW, baginda hampir tidak pernah meninggal solat sunat rawatib sebelum subuh, sebelum dan selepas zohor, sesudah maghrib dan juga sesudah isyak. Oleh kerana itulah, ayah berpesan, jika berkelapangan, jagalah solat sunat itu yang kelak dapat membantu kita di alam sana.
            Aku panjatkan doa kehadrat Illahi, pemilik nurani manusia. Yang mampu membolak-balikkan hati setiap insan yang dikehendaki-Nya. Aku berdoa semoga aku ditemukan dengan jalan yang dapat membawa aku terus menemui bahagia, begitu juga dengan Aqil. Aku turut berdoa agar yang Maha Esa segera menggerakkan hati Lily untuk kembali ke pangkuan Aqil andai itu adalah kebahagiaan sebenar buat Aqil. Hanya itu pintaku saat ini. Aku benar-benar berharap agar permintaanku itu ditunaikan.
            “Dah solat?” soalku pada Miza yang mula mengambil tempat di sebelahku.
            “Dah, baru aje habis solat,” balas Miza dengan senyuman simpul.
            “Kau ada masalah dengan husband kau ke, Nysa?” Miza bertanya. Mungkin sudah tidak sanggup terus menunggu aku membuka cerita. Pasti terlalu lama baginya menunggu aku menceritakan semuanya.
            “Dia tak sukakan aku, dia cintakan perempuan lain.” balasku sambil membuka terlekung. Kain tekung yang sudah siap aku tanggal itu aku lipat kemas.
            “What!” Miza terkejut lagi. “Siapa?” Matanya membulat besar.
            “Lily! Aku bukan pilihan dia. Dia  tak boleh nak cintakan aku,” aku mengadu. 
            “Jadi?”
            “Entahlah, Miza. Aku pun tak tahu nak buat macam mana lagi.” kataku jujur.
            “Habis tu, kau nak mengalah macam tu aje? Dia hak kau, Nysa. Kau kena rebut cinta dia.” Miza memberikan pandangan sekaligus cuba meniupkan semangat.
            Kata-katanya itu hanya mampu aku pandang sepi. Merebut cinta Aqil? Aku tidak akan pernah berjaya melakukannya. Aqil tidak pernah cintakan aku. Cinta tidak boleh dipaksa-paksa. Dia cuma menganggap aku sebagai adiknya. Hanya itu yang mampu Aqil janjikan padaku.
            “Tak akan berjaya. Aku dah tak harapkan apa-apa sekarang. Yang aku nak, dia dapat jumpa dengan Lily secepat mungkin. Lepas tu, semua akan selesai.” aku balas lemah. Pandangan aku alihkan sedikit, melarikannya daripada pandangan Miza. Takut air mata yang mula bertakung, mengalir di hadapannya.
            “Jangan jadi bodoh, Nysa. Kau isteri dia. Takkan semudah itu aje kau nak mengalah. Mungkin dia tak cintakan kau sekarang, tapi kau boleh bantu dia bina perasaan tu.” marah Miza
            “Dah terlambat Miza. Aku tak nak dia sayang dan cintakan aku atas dasar simpati. Aku tak perlukan simpati dia. Kalau dia cintakan Lily, aku rela dia orang hidup bersama.”
            “Kau ni gila ke, Nysa? Buat apa kau nak siksa jiwa kau sebab dia? Apa pasal kau baik sangat ni.” Miza bangun daripada duduknya. Kelihatan betul-betul marah. 
            “Aku tak gila, Miza. Aku pun bukan sebaik yang kau sangka. Aku berusaha cari Lily, tapi dalam masa yang sama aku berharap aku tak akan jumpa dia. Supaya Aqil tetap bersama dengan aku!” aku memandang Miza tajam. Aku mahu dia tahu hatiku yang sebenar. Bukanlah sebaik yang dia sangkakan. Aku cuma wanita biasa. Bila menyayangi seseorang, aku akan sayang dengan sepenuhnya. Itu silap aku. Apabila orang yang aku sayang bersedih, aku akan turut rasa seperti mahu menangis dan ketika dia gembira, aku rasa bahagia. Itu kelemahan aku.
            “Kau fikirkah baik-baik, Nysa. Aku sendiri tak tahu nak cakap apa dah.”
            “Aku tahu niat kau, Miza. Terima kasih. Cukup kalau kau ada untuk dengar semua masalah aku. Aku tak tahu nak luahkan pada siapa.”
            “Kau tak perlukan aku pun sebenarnya, Nysa. Allah sentiasa ada bersama-sama kau... kau lupa? Luahkan semua masalah kau pada Dia. Dia lebih mengetahui apa yang kau rasa. Apapun, aku tetap ada kat sebelah kau.”
            Terharu aku mendengar kata-kata Miza. Dia tersenyum padaku. Aku membalas senyuman itu. Sedikit lega setelah meluahkan apa yang aku rasa padanya. Mujur Allah mengirimkan dia sebagai kawan. Dapat juga aku menceritakan isi hatiku.
            “Terima kasih, Miza.” aku dan Miza berpelukan. Air mata yang mengalir segera aku hapuskan. Harap semuanya akan bertambah baik selepas ini.
            “Kau tak nak telefon husband kau ke, bagi tahu dia yang kau tidur sini?” Miza bertanya. Terlalu risau dia. Mungkin dia takut dirinya akan disabitkan kesalahan membawa lari isteri orang. Sempat juga hati tersenyum mengenangkannya.
`           “Sekejap lagilah. Jangan risau, Aqil takkan tuduh kau larikan isteri dia.” aku ketawa kecil.
            “Manalah tahukan. Zaman sekarang ni macam-macam benda pelik berlaku. Kut-kut Aqil ingat kau kena culik ke... tak pasal-pasal aku tidur lokap,” Miza juga ketawa.
            “Tak mungkinlah. Kalau aku tak ada, lagi aman hidup dia.” kata-kataku itu menghentikan tawa yang tadinya kedengaran.
            “Kau rehat dulu, aku pergi masak ye.” Miza meminta diri.
            “Tak payah susah-susahlah, Miza. Aku dah makan petang tadi.” aku tidak mahu menyusahkan Miza. Tidak pasal-pasal Miza terpaksa bersusah payah keranaku.
            “Tak ada susahnya masak maggie.” balas Miza dalam tawa. Dia kemudian meninggalkan aku sendirian di dalam bilik itu.
Aku rebahkan sebentar badanku di atas katil. Cuba memejamkan mata, tapi tidak berjaya. Lalu jam yang ada di meja sebelah katil itu aku renung lama. Sudah hampir pukul 8 malam. Aqil langsung tidak menghubungiku, bertanyakan tentang kedudukan dan keadaanku. Tidakkah dia ingat padaku? Persoalan itu mengajak aku untuk terus memikirkan Aqil. Apa mungkin pada ketika ini dia masih lagi bersama dengan wanita yang bernama Nani itu, membincangkan tentang Lily? Mungkin juga, hati seperti selalu membuat andaian.
Aku bangun, tidak jadi merehatkan badan kerana ketika mataku terpejam, hanya bayangan Aqil yang muncul. Lalu aku keluar daripada bilik dan menuju ke dapur. Ada baiknya aku bantu Miza memasak, ada juga faedahnya. Miza yang ketika itu sedang sibuk  memotong sayur terkejut dengan kehadiranku. Aku melemparkan senyuman kemudian terus saja melihat ke dalam kuali yang sedang diletakkan di atas nyalaan dapur gas. Ada ikan yang sedang digoreng.
Hampir satu jam, semua hidangan selesai dimasak. Ikan bawal masak tiga rasa dan sayur campur. Rajin Miza memasak. Walaupun sibuk dengan tugasnya, tapi aku tengok peti ais rumahnya penuh dengan bahan-bahan memasak. Pasti dia selalu memasak.
Makanan dihidangkan di atas meja. Miza mengetuai bacaan doa, kemudian masing-masing bersedia untuk menjamu selera. Melihat nasi yang diletakkan di dalam pingganku itu, tiba-tiba aku teringatkan Aqil. Terfikir, sudahkah dia menikmati makan malamnya? Seleraku jadi hilang mengingatkan dirinya. Rasa bersalah pula kerana tetap tidak pulang ke rumah di saat-saat begini.
 “Miza, aku ingat aku nak call Aqil dululah. Tak sedap hati pula, tak bagi tahu dia aku kat sini.” aku nyatakan hasratku. Miza tersenyum mendengarnya. Kemudian aku berlalu ke dalam bilik Miza, menuju ke meja yang menempatkan telefon bimbitku. Belum sempat aku mendail, panggilan daripada Aqil terlebih dahulu aku terima. Aku menarik nafas, ada sedikit debar.
“Assalamualaikum, Abang Aqil.” aku menjawab panggilan itu.
“Wa’alaikumusalam, Nysa kat mana ni?”
“Nysa kat rumah kawan Nysa. Abang Aqil, malam ni, Nysa tak balik ya. Nysa tidur sini. Maaf sebab tak minta izin kat Abang Aqil. Harap Abang Aqil benarkan. Esok pagi-pagi Nysa balik.” aku memohon keizinan yang sepatutnya aku dapatkan lebih awal.
“Rumah siapa? Kat mana? Nak buat apa Nysa tidur kat situ?”
“Rumah Miza, housemate Nysa dulu. Dah lama tak jumpa dengan Miza. Sebab tu Nysa nak tidur sini.” aku memberikan alasan. Padahal, yang sebenarnya aku berasa berat hati untuk ada di rumah pada ketika ini. Takut jika Aqil menceritakan berita gembira yang dibawakan oleh Nani itu padaku. Aku tak cukup kuat untuk bertahan lagi.
“Bagi abang bercakap dengan Miza sekejap.” Aqil memberikan arahan yang tidak enak didengar.
“Abang Aqil nak buat apa?” gusar mula bertandang.
“Buat aje apa yang abang suruh” suara Aqil mula keras.
“Sekejap.” aku menyatakan itu dalam keterpaksaan. Takut kalau aku enggan mengikut arahannya itu, Aqil akan berburuk sangka. Aku memandang lama telefon di tanganku. Tertanya-tanya, apa yang Aqil mahukan dari Miza. Risau pula aku dengannya. Bagaimana kalau Aqil menyatakan sesuatu yang mungkin akan membuatkan Miza berkecil hati? Soalan itu mula mendapat tempat dalam fikiran.
“Abang Aqil, Miza dalam toilet,” aku terpaksa berbohong. Hati Miza harus aku jaga.
“Okey, tak apalah. Nanti abang call balik.” Aqil terus mematikan talian.
Aku betul-betul runsing. Kalau boleh aku tidak mahu melibatkan Miza. Dia tidak bersalah. Apa yang patut aku bagi tahu pada Miza? Haruskah aku menceritakan semuanya? Atau cukup sekadar aku mematikan telefonku. Dengan itu Aqil tidak akan dapat menjejakiku dan Miza akan terselamat. Ada cadangan mula bertandang. Tapi kalau aku matikan talian, tidakkah nanti Aqil akan beranggapan yang bukan-bukan? Argh... pening kepalaku memikirkannya.
Kurang lima minit, Aqil kembali menghubungi telefonku. Mahu ataupun tidak, aku terpaksa juga menyerahkan telefonku itu pada Miza. Mujur Miza bersedia menerima panggilan Aqil setelah aku menceritakan kepadanya hal yang berlaku.
“Assalamualaikum.” Miza memberikan salam. “Ya, saya.” 
Aku hanya mampu menjadi pemerhati. Tidak tahu apa yang Aqil katakan, hendak aku suruh Miza membuka pembesar suara, terasa malu pula. Jadi terpaksalah aku duduk mendengar bait-bait kata yang keluar daripada mulut Miza sahaja.
“Tak ada masalah. Lagipun Nysa ni jenis orang yang pandai berdikari. Kalau pun tak ada orang yang nak jaga dia, dia tetap boleh jaga diri dia sendiri!” ada senyuman kecil yang Miza ukirkan.
“Itu pun tak payah risau. Walaupun kawasan perumahan saya ni tak ada guard, tak pernah lagi saya dengar ada apa-apa kes kecurian atau pembunuhan sebelum ni. Tapi tak tahulah pula hari ni.” Miza sempat mengenyitkan matanya ke arahku. Wajahnya menunjukkan rasa berpuas hati dengan setiap katanya. “Ya, saya tahu. Saya bukannya ada masalah ingatan sampai lupa nak kunci pintu rumah sendiri.” sambung Miza.
            Dapat aku agak setiap patah kata yang Aqil keluarkan walaupun hanya mendengarkan jawapan-jawapan balas yang Miza berikan. Untuk apa dia berbuat begitu? Adakah sekadar untuk menunjukkan kepada Miza betapa dia mengambil berat soal diriku? Aku menggelangkan kepala. Bagaimana agaknya kalau Aqil tahu bahawa sebenarnya aku sudahpun menceritakan pada Miza kisah derita rumah tangga kami? Pasti Aqil akan malu dengan apa yang telah diperkatakan pada Miza. Sempat juga Miza memberikan nombor telefonnya kepada Aqil sebelum talian dimatikan.
            “Aku peliklah Nysa, kau cakap dia tak suka kat kau, tapi aku tengok bukan main susah hati lagi dia ni.” Miza menyerahkan telefon bimbit itu kembali kepadaku.
            “Abang mana yang tak risau kalau adik dia tak balik rumah? Tak lebih daripada tu.” Aku membetulkan tanggapan Miza.
            “Tapi aku tak rasa macam tu. Aku ada abanglah, Nysa. Abang kandung tau! Kalau aku tidur rumah kawan aku, tak pernah pula dia nak bagi macam-macam peringatan kat kawan aku tu.” Miza tersenyum nakal. Membuatkan aku rasa terusik dengan katanya. Benarkah begitu?
            “Lupa nak bagi tahu. Suami kau pesan kat kau, kalau nak tidur, jangan lupa basuh kaki.” Miza ketawa besar kali ini. Dia membawa gelas miliknya ke dapur dengan tawa yang jelas kedengaran.
            “Miza!!!” aku jerit memanggil namanya. Geram dengan gurauannya itu. Namun hati tetap ingin tahu kebenarannya. Benarkah Aqil ada membuat pesanan itu?

MATAKU tidak dapat terpejam lena. Pusing ke kiri salah... pusing ke kanan pun salah. Tidak tahu mengapa. Hendak dikatakan cuaca panas, tidak juga. Walaupun memakai selimut tebal, aku masih dapat merasa kesejukkan meresap ke dalam selimut. Miza tidur di biliknya, manakala aku pula tidur di bilik khas yang disediakan oleh Miza untuk keluarga yang datang bertandang mahupun para tetamu. Mungkinkah rasa rindu pada Aqil yang menghambat lenaku supaya jangan dekat denganku?        
            “Nysa...”
            Jeritan kuat Miza memanggil-manggil namaku sambil mengetuk pintu bilikku membuatkan aku terus saja menolak selimut lalu berjalan menghampiri muka pintu. Pintu bilik aku buka. Terpacak Miza berdiri di hadapan pintu bilikku dengan wajah mamai.
            “Kenapa ni, Miza?’ aku bertanya.
            “Aku dengar bunyi hon kereta kat luar tu. Kau pergilah tengok,  suami kau dah sampai dah tu agaknya.” Miza menggaru-garukan kepalanya.
            “Apa yang kau merepek ni, Miza. Kau mengigau ke apa ni?”  aku tergelak melihat keadaan Miza yang agak berserabut itu.
            “Merepek apa pula pagi-pagi buta macam ni. Suami kau tulah. Ada ke patut, tengah aku syok tidur, boleh pula dia call aku minta alamat rumah. Dia kata, dia nak bawa kau balik. Dah macam orang gila talak pula aku tengok,” Miza menerangkan satu persatu.
“Dahlah, Nysa. Pergilah tengok suami kau tu. Tak habis-habis bunyi hon. Karang tak pasal-pasal jiran-jiran aku marah. Pergilah tunjuk muka kau kat dia. Karang lagi gila pula dia tak dapat tengok kau, rindu benar gamaknya tu.” Miza masih lagi berkata-kata sedangkan lidahku kaku dengan apa yang diterangkannya itu.
            Aku capai tuala merah jambu di ampaian khas dalam bilik itu, lalu aku segera membuka pintu. Menjengahkan kepala, melihat ke luar, memastikan kebenaran kata-kata Miza. Ternyata kereta Aqil benar-benar berada di luar pagar rumah Miza. Aku terkejut! Melihat aku di muka pintu, Aqil keluar daripada keretanya. Segera aku berjalan menuju ke arah pintu pagar dan sekadar berdiri dari dalam. Aku tidak membuka pintu pagar itu untuk Aqil masuk mahu pun untuk aku keluar bebas.
            “Abang Aqil buat apa kat sini?” Aku bertanya. Tidak sangka kehadiran Aqil pada waktu-waktu begini.
            “Buat apa lagi, nak bawa Nysa baliklah.” Aqil menjawab ringkas.
            “Kan Nysa dah cakap, Nysa balik esok pagi.”
            “Nysa cakap malam semalam. Sekarang ni dah pagi kan, so apa masalahnya? Dah, siap cepat. Abang tunggu kat luar ni.” 
            “Abang Aqil ni, kenapa? Abang Aqil baliklah dulu!” aku tidak puas hati dengan perangai Aqil. Apa masalah dia yang sebenarnya?
            “Kenapa apa pula? Nysa tu yang kenapa! Kenapa tiba-tiba aje nak tidur rumah orang lain? Abang tahulah, Nysa marah. Tapi kalau nak merajuk sekalipun, tak payahlah sampai nak bawa diri.”  Aqil mencekakkan pinggangnya.
            Aku mengeluh dalam diam. Tidak faham dengan Aqil. Entah apa yang ada dalam fikirannya. Terlalu sukar untuk aku fahami. Embun pagi mula terasa menyapa tubuh, cukup mendinginkan. Tidak tahu apa lagi yang harus aku katakan pada Aqil. Apa yang membuatkan dirinya bertindak sebegitu rupa? Terasa seperti hendak sahaja aku menghalau dirinya pergi dari situ, tapi takut pula nanti dia akan menggegarkan satu kawasan perumahan ini. Jadi, apa keputusan terbaik yang harus aku buat saat ini.
            “Pleaselah, Abang Aqil. Jangan buat macam ni. Nysa janji, lepas aje subuh, Nysa akan terus balik rumah.” aku masih lagi mempertahankan keputusanku untuk berada di rumah Miza. Tak mungkin bagiku meninggalkan Miza begitu saja.
            “Okey, kalau tu yang Nysa nak, tak apa. Abang boleh tunggu sampai subuh nanti. Lagipun tinggal lagi tiga jam aje. Nysa pergilah masuk tidur. Abang tunggu dalam kereta.” Aqil terus saja kembali masuk ke dalam keretanya. Dia aku perhatikan menurunkan seat keretanya dan terus berbaring di dalam keretanya itu. Sakit hatiku melihat tindakkannya itu. Geram dengan sikap keras kepalanya itu. Sedikit pun dia tidak mahu mengalah!
            Aku melangkah laju, masuk ke dalam rumah. Miza yang duduk di atas sofa terus mendapatkan aku sebaik saja aku masuk ke dalam rumah. Aku berhenti apabila melihat Miza ada di situ. Kasihan aku lihat Miza. Kerana diriku, tidurnya terganggu. Menyusahkan betul aku ini! Bentakku dalam hati.
            “Sorry, Miza. Menganggu kau aje pagi-pagi macam ni.” aku mohon kemaafan.
            “Tak ada apalah. Dia nak apa? Nak bawa kau balik ke?” Miza beria-ia ingin mengetahui situasi terkini.
            Aku cuma mampu menganggukkan kepala. Mengiakan katanya. Sememangnya itulah tujuan kedatangan Aqil ke rumahnya itu.
            “Habis tu, kau nak baliklah ni?”
            Soalan Miza itu membuatkan aku terdiam. Masih tidak ada apa-apa yang aku putuskan buat masa ini. Tidak tahu bagaimana? Rasa tidak sopan pula terus pulang begitu saja pada waktu-waktu begini. Tapi sebagai isteri, aku tahu aku seharusnya mengikut Aqil pulang ke rumah. Tidak wajar untukku membiarkan Aqil menunggu di dalam kereta hingga ke subuh.
            “Baliklah, Nysa. Tak apa. Jangan kau fikirkan pasal aku. Dia suami kau. Aku tahu, kau pun nak ikut dia balik kan? Baliklah. Nanti kita jumpa lagi. Apa-apa hal kau telefon aku, okey?”
Miza seakan mengerti apa yang bermain di fikiranku pada ketika ini. Aku terus saja memeluk erat Miza. Rasa terima kasih yang tidak terhingga. Bertuah rasanya diriku ini kerana mempunyai kawan seperti Miza.
“Insya’Allah. Terima kasih, Miza.” pelukan dileraikan.
“Sama-sama. Dah cepat siap.” Miza tersenyum lagi. Aku menganggukkan kepala.
Aku mendapatkan Miza, bersalaman dengannya, menggantikan ucapan selamat tinggal. Rasa hiba pula dengan perpisahan itu. Hatiku ini memang mudah tersentuh dengan apa saja yang berlaku di sekeliling.
“Aku balik dulu, Assalamualaikum.” aku memberikan salam sebelum berjalan menuju ke pintu utama. Dan salamku itu, Miza balas dengan senyuman manisnya.
“Nysa!”
Aku kembali menoleh setelah mendengar Miza memanggil namaku.
“Jangan risau, aku yakin, dia dah mula cintakan kau.”
Kata-kata Miza itu membuatkan senyumanku juga turut terukir. Tapi aku tidak mengambil serius kata-kata Miza itu kerana sudah terlalu banyak harapan palsu yang terpaksa aku telan sepanjang perhubunganku dengan Aqil. Aku tidak mahu terus membina harapan palsu lagi. Sekiranya kenangan indah tidak dapat aku cipta, aku juga tidak ingin terus melakar impian hampa.
Aku mengetuk perlahan cermin tingkap kereta Aqil. Aqil membuka matanya, kemudian dia tersenyum. Senyuman yang mencarik rasa sengsara dalam diriku. Seperti selalu aku mengalah lagi. Mungkin sampai ke akhirnya aku akan terus begitu.
“Abang tahu, Nysa tak akan sampai hati biarkan abang tidur dalam kereta ni.” kata Aqil sebaik saja aku masuk ke dalam kereta.
Aku hanya mendiamkan diri. Tidak mahu berkata apa-apa. Ada baiknya aku terus berdiam diri. Aqil mula menghidupkan enjin keretanya, kemudian keretanya itu meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan Miza. Aku langsung tidak memandang wajahnya. Kerana setiap kali wajah lelaki itu aku pandang, nama Lily akan muncul seolah-oleh memberikan peringatan supaya aku berhenti memandang Aqil.
_____________________________________________________________________
Sedutan Bab 20
“Betul abang Aqil akan tunaikan semua permintaan Nysa?” aku memulakan rencana.
“Apa pun!” dengan yakin Aqil membalasnya.
“Nysa nak Abang Aqil anggap Nysa sebagai isteri Abang Aqil untuk tempoh satu hari, boleh?” aku luahkan permintaan yang pastinya sukar untuk dia tunaikan itu.

P/S : Nantikan LAST ENTRY next week k. Thanks to all... :)

Thursday, May 19, 2011

Apa yang perlu anda tahu tentang JDC!

Assalamualaikum  & Salam Sejahtera....

Alhamdulillah... hari ini AH diberikan sedikit kesempatan untuk menulis catatan pada blog AH yang selalu sunyi sepi ini. Tapi hari ini, AH bukan nak postkan entry terbaru JDC, entry baru JDC akan AH postkan  dalam minggu hadapan. Hari ini AH just nak buat flash back. Masih ingatkah lagi anda dengan babak di bawah ini?


“Abang nak tanya Nysa satu soalan, boleh?” Aqil bersuara lagi.  
“Apa dia?” soalku kembali.
“Nysa ingat lagi tak, masa kita kat sky terrace hari tu?”
“Ingat, why?” segera soalan itu aku jawab. Mustahil aku lupakan hari itu. Hari yang merobek hatiku, walaupun apa yang ingin aku lakukan saat itu adalah untuk mengembirakan dirinya. 
“Masa tu, Nysa ada ajak abang pergi satu tempatkan? Nysa nak ajak abang ke mana sebenarnya, boleh abang tahu?” Aqil memandangku tidak lepas. Mungkin dia benar-benar perlukan jawapan itu. Tapi untuk apa?
“Actually masa tu Nysa tengok abang muram sangat. Nysa just nak bawa abang have fun kat Taman Metropolitan.” aku memberikan jawapan yang diperlukannya.
“Taman Metropolitan?” ada kerut pada wajah Aqil.
~Jauh Dari cinta, Bab 13~


Jadi hari ini AH nak berkongsi dengan semua rakan-rakan pembaca JDC tentang TAMAN METROPOLITAN! Beberapa babak penting dalam JDC ada kaitan rapat dengan taman ini. Jadi untuk memberikan gambaran sebenar tentang taman ini, jom kita tengok gambar2 kat bawah ni...



Taman Metropolitan ni sgt terkenal sbg tempat bermain layang-layang. Terletak di Kepong, taman ini sering menjadi perhatian pengunjung lebih-lebih lagi pada waktu hujung minggu dan cuti umum. Tengok tu, meriahkan! Antara ramai-ramai umat manusia kat dalam pic kat atas ni, cuba anda cari dimana kedudukan Aqil dan Nysa... ada jumpa? hi3


 Ini pula kawasan pakir. Tapi kalau nak pakir, kena datang awallah, kalau tidak, paking tepi jalan besar la nampaknya...



Tak perlu buat layang-layang sendiri, kat sini semua jenis layang-layang ada dijual. Tengok tu, ada mcm2 rekabentuk dan colour. Just sediakan wang tunai, dan beli. Lepas tu jgn lupa catatkan isi hati anda atas layang2 tu dan terbangkannya ke udara..... :)


Selain tu, ada juga taman permainan kanak-kanak yang disediakan kat sini, so, sambil dating2 tu, bolehlah anak2 bersuka ria bersama. 






Inilah tasiknya... sangat luas bersama jeti yang cukup menarik. Jadi, cam kan betul-betul pic di atas ini kerana apabila anda membaca babak-babak yang melibatkan tempat ini, anda sudah dapat membayangkan dengan jelas suasananya tanpa perlu AH gambarkan dengan terperinci. Ada beberapa babak lagi yang melibatkan Taman Metropolitan ini. Jadi jumpa dalam JDC yer... Daaaaaa..... :)

Salam Ukhwah,

Friday, May 13, 2011

Jauh Dari Cinta - Bab 18

Assalamualaikum & Salam sejahtera buat semua pengunjung blog AH. Atas permintaan rakan2 pembaca yang begitu setia menunggu entry JDC, jadi dgn berbesar hati AH postkan JDC 18 utk tatapan semua. Untuk bab2 yang seterusnya harap semua pembaca seia menanti ya dip2u. AH bercadang untuk post hingga ke bab 20 sebelum AH menghentikannya secara rasmi... Ada bantahan? Tak ada? Ha...bagussss.. ok tanpa melenggah-lengahkan masa lagi, terimalah Aqil dan Nysa... Any comment and request jgn malu2 ya.. :)


LAPAN BELAS
            Sebulan telah berlalu dan Aqil memang sudah jauh berubah. Tidak ada lagi kata-kata yang menyakitkan hati dari bibirnya untukku. Tidak ada lagi kelakuannya yang membuatkan aku bersedih. Terlalu sukar untuk aku gambarkan apa yang sedang berlaku kini. Yang pastinya, aku mula rasa gembira dengan apa yang aku lalui sekarang. Kini aku terasa benar-benar disayangi. Jadi aku putuskan untuk memberikan Aqil peluang sekali lagi, membenarkan dirinya berusaha untuk memperbaiki keadaan. Cuma aku belum luahkan padanya yang aku bersedia memberikannya peluang itu.
Perubahan Aqil itu sangat jelas ketara. Kini aku hanya melihat senyumannya setiap kali bertemu denganku. Namun, ada beberapa perkara yang tetap terus mengangguku. Ada ketikanya, Aqil aku perhatikan termenung menjauh. Seolah ada sesuatu yang mengacau fikirannya. Pernah juga aku ingin bertanya. Tapi aku matikan niatku. Tidak mahu lagi membangkitkan soal Lily seperti mana pintanya. Lebih-lebih lagi selepas semua usahaku menjejaki Lily menemui jalan buntu.
            Aku turun ke bawah, membawa baju kemeja milik Aqil yang sudah siap aku gosok. Ya, aku masih lagi tidur di bilik tingkat atas. Aqil juga tidak pernah mempersoalkan tentang itu. Jadi aku membiarkan ia kekal begitu sehingga saat ini. Biarlah semuanya berlaku dengan perlahan-lahan.
Senyuman mengiringi langkahku menuju ke bilik Aqil. Sebaik saja tiba di hadapan pintu biliknya, aku cuba untuk mengetuk pintu biliknya yang tidak tertutup rapat. Meminta keizinan untuk masuk. Namun baru saja tanganku mahu sampai di dada pintu, aku menghentikannya. Mataku tekun memandang Aqil yang sedang asyik melihat album-album gambar yang bertaburan di atas lantai yang beralaskan permaidani. Entah kenapa aku hanya mampu menjadi pemerhati.
            Satu demi satu gambar yang ada dalam album itu Aqil renung. Sedikit pun dia tidak menyedari kehadiranku di situ. Selesai meneliti setiap kepingan gambar itu, Aqil memasukkan album tersebut ke dalam kotak berwarna hitam dan menutup rapat kotak itu. Ya, aku pasti, itu kotak yang sama, yang pernah aku lihat dahulu. Kotak itulah yang mempertemukanku dengan jawapan hati yang dulunya aku cari. Jadi, tidak perlu aku melihat sekali lagi isi di dalamnya, sudah dapat aku agak apa yang tersimpan di situ. Tidak lain dan tidak bukan, pasti barang-barang kenangannya bersama Lily.
Apabila Aqil mula bangun, aku segera berjalan pantas, kembali menaiki anak tangga. Tidak mahu Aqil tahu yang aku melihat semuanya. Aqil keluar daripada biliknya dan membawa kotak hitam itu bersama-samanya. Aku menyembunyikan diri. Setelah mendengar bunyi pintu rumah ditutup rapat, barulah aku kembali turun dan menuju ke bilik Aqil. Melakukan apa yang tadinya hendak aku sudahkan. Segera aku masuk ke dalam bilik Aqil dan menggantung baju kemejanya di dalam almari. Pintu almari aku tutup rapat, kemudian aku menyandarkan diri seketika pada almari itu.
            Mataku melilau memandang sekeliling bilik Aqil dan ketika mataku menangkap sebuah buku yang bergambar stateskop pada kulit bukunya, mataku seakan tidak mahu lari daripada terus memandang buku itu. Langkahku tiba-tiba saja bergerak menghampri buku yang terletak paling atas di antara banyak-banyak buku yang tersusun di atas meja itu.
Gambar stateskop yang timbul pada permukaan kulit buku tebal itu aku pegang. Hati mula tertanya, buku apakah itu? Jika dilihatkan pada gambar yang tertera jelas itu, aku rasa pastinya itu ialah buku nota perubatan milik Aqil. Timbul rasa ingin tahu, catatan perubatan seorang doktor. Lalu aku buka buku tebal itu secara rambang cuba untuk melihat isi di dalamnya. Satu persatu perkataan yang tertulis pada muka surat itu mula aku baca teliti.
10 Januari 2011 - 8.32 pm : Pening kepala. Lain yang aku nak buat, lain pula jadi. Aku benci pada dia, tapi kadang-kadang rasa kesian pula. Membebankan betul, kusut kepala otak! Kan bagus kalau Nysa...
            Aku segera menutup buku tebal itu sebaik sahaja terdengar bunyi pintu grill di buka. Pasti Aqil adalah orangnya. Dengan pantas aku meletakkan buku itu kembali ke tempat asalnya lalu bergegas keluar dan mengambil tempat di ruang tamu. Televisyan segera aku pasang dan berpura-pura sedang leka menontonnya. Aqil masuk ke dalam rumah bersama wajah yang muram. Tidak ada lagi kotak hitam itu bersamanya. Kemana pula hilangnya kotak hitam itu?
            “Abang Aqil daripada mana?” soalku dengan senyuman. Mendengar pertanyaanku itu, Aqil berjalan menghampiriku dan turut duduk bersama di ruang tamu itu.
            “Keluar ambil angin kejap.” Aqil berbohong.
            Pembohongan itu membuatkan hatiku menjadi sayu. Mengapa dia cuba berselindung daripadaku? Masih ada lagi soalan yang bermain di fikiran. Tapi aku pendamkan saja soalan itu kerana aku tahu tidak semua soalan yang bermain di mindaku, aku perlukan jawapan darinya. Ada juga soalan yang sudah aku maklum jawapannya walaupun tanpa  penjelasannya.
            “Nysa nak minum? Abang buatkan sekali.” Aqil mula bangun.
            “Abang Aqil.” Aku menarik tangan Aqil. “Duduklah, biar Nysa yang buatkan.” aku meminta Aqil untuk kembali duduk. Lalu aku pula yang bangun dan terus berjalan menuju ke dapur.
Kata-kata yang tertulis di dalam nota harian Aqil yang aku baca sebentar tadi mula menghantui fikiranku. Aku sangkakan segala layanan baiknya dalam tempoh ini adalah kerana dia sudah mula sedar kehadiran diriku di sisinya. Rupa-rupanya, rasa simpati terhadapku telah membuatkan dirinya berubah laku. Mungkinkah itu juga bermakna tidak mungkin ada cinta antara kami?
            Entah sudah berapa lama aku merenung air kopi yang telah pun siap kubancuh. Fikiran menerewang, masih terbayang-bayang setiap patah kata yang aku baca dari nota harian itu. Rasa tidak sanggup untuk aku berhadapan dengan Aqil setiap kali teringatkan catitannya itu. 
Mengapa resah seakan tidak pernah mahu pergi daripada hidupku? Di saat aku mula menemui bahagia, mengapa ada saja perkara yang mampu membuatkan rasa sedih lalu di depan mata, menayangkan dirinya. Dalam dunia yang luas ini, takkan tidak ada ruang langsung untuk aku kecapi bahagia? Atau mungkin sebenarnya masa masih belum mengizinkan aku melepaskan diri daripada terus diburu dugaan dan cabaran? Aku resah memikirkan kesudahannya. Meraih bahagia atau terus derita?
            “Nysa, buat apa duduk lama-lama kat dapur ni?”
            Aku tersentak. Terbang melayang semua yang tadinya kalut di fikiran.
            “Terkejut Nysa.” Aku mengurut dada seketika. Cuba meredakan debaran yang kencang sebentar tadi.  “Nah, dah siap.” aku menghulurkan cawan kopi itu kepada Aqil.
            “Terima kasih.” Aqil pantas menyambut cawan yang aku hulurkan beserta dengan senyuman di bibir. “Esok Nysa ada apa-apa plan, tak?”
            “Tak ada, kenapa?”
            “Emak call tadi, minta kita balik. Ada hal nak minta tolong sikit katanya.” Aqil menjelaskan.
            “Okey. Tapi Abang Aqil tak kerja ke?” soalku kembali.
            “Abang kerja sebelah pagi aje esok. Petang abang dah minta kawan gantikan. Abang ambil Nysa lepas zohor.”
            Aku menganggukkan kepala.
            “Abang masuk bilik dulu. Nysa pergilah tidur, jangan tidur lewat. Tak elok untuk kesihatan.” Aqil menambah pesanan.
            Sekali lagi aku menganggukan kepala, tanda memahami semua katanya. Aqil hilang daripada pandangan tidak beberapa lama kemudian. Terdengar pintu biliknya bertutup rapat. Tanpa melengahkan masa, aku segera naik ke bilikku, mendapatkan tudung dan kunci rumah kemudian aku kembali turun. Ada tempat yang perlu aku tuju. Aku yakin Aqil telah membuang kotak hitam yang dibawa bersamanya tadi. Jadi aku harus ke kawasan pembuangan sampah untuk kembali mendapatkan kotak itu.
Mengapa dibuang semua kenangan yang ada  hanya kerana rasa simpati pada diriku yang ternyata langsung tidak mempunyai tempat di hatinya? Aku harus dapatkan kembali kotak itu, dan menyerahkannya pada Aqil apabila tiba masanya. Aku mahu kenangan manis itu kekal bersamanya, kerana hanya itu yang bisa membuatkan senyumannya kembali berbunga.
            Lampu-lampu jalan yang menyinari terang membantu pergerakanku menuju ke rumah sampah. Sampai saja di situ, aku segera masuk ke dalam rumah sampah itu. Hidung segera aku tutup apabila ada bau yang kurang enak menusuk masuk ke dalam rongga-rongga hidung. Mataku melilau memerhati setiap sampah yang dibuang di situ. Berusaha menjejaki kotak berwarna hitam. Malangnya, usahaku itu gagal. Kotak hitam itu tidak berada di situ. Lalu aku pulang dengan perasaan hampa dan bersama persoalan-persoalan yang tidak berjawab.

AKU memandang wajah Aqil yang serius apabila mendengar saja perancangan yang sudah diaturkan oleh emak dan bapa mertuaku itu. Percutian keluarga ke Pulau Layang-Layang, Sabah itu betul-betul membuatkan aku tidak senang duduk. Tiket penerbangan yang dihulurkan kepada kami itu membuatkan hatiku lagi bertambah kusut. Aqil hanya memandang sepi tiket yang disambut olehnya. Rasanya, aku tahu apa yang Aqil rasa pada ketika ini.
            “Mak harap kali ni, Aqil dapat ambil cuti cepat. Maaf sebab emak dan abah buat keputusan ni mengejut. Anggap ajelah ini hadiah perkahwinan untuk kamu berdua dari emak dan abah.” Mudah saja emak mertuaku berbicara. Seperti dia tidak tahu apa yang ada di dalam hati anak lelakinya itu.
            “Bila lagi kita nak pergi bercuti sekeluarga? Inilah masanya. Bolehlah kamu berdua ambil peluang ni untuk berbulan madu sekali. Dah berapa lama kamu kahwin? Jangan kata berbulan madu, jalan-jalan makin angin dalam bandar pun kamu berdua tak ada masa. Kalau macam ni, bila abah dengan emak nak dapat cucu.” sambung abah.
Aku hanya mampu mengeluh dalam hati. Mengapa tiba-tiba sahaja soal cucu dibangkitkan? Aku yakin Aqil tidak mahu soal itu dibangkitkan. Begitu juga dengan diriku. Percutian empat hari tiga malam itu mula mengacau fikiranku. Bagaimana aku ingin mengelakkan diri daripada turut menyertai percutian itu. Pasti Aqil tidak rela dengannya. Maka akan bertambahlah beban dalam hati Aqil. Kalau Aqil sudah tidak mampu mengelak, itu bermakna aku yang harus mencari jalan keluar.
“Nysa tak rasa cuti Nysa boleh lulus dalam tempoh terdekat ni, emak, abah.” aku cipta alasan. Sejak tadi Aqil hanya mendiamkan diri. Tidak ada satu patah katapun yang keluar daripada mulutnya. Aku tahu dia ingin membantah, tapi dia tidak mampu bersuara kerana emak dan abah sudah pun menguruskan segalanya.
“Kenapa pula?” abah bertanya serta merta.
“Sebab Nysa dah banyak sangat cuti bulan ni, bah” aku jelaskan.
“Nysa ambil cuti buat apa? Nysa ke mana?” soal abah lagi. Saat itu semua mata tertumpu padaku seorang. Begitu juga dengan Aqil, matanya tidak lepas-lepas memandangku. Masing-masing menanti jawapan yang bakal keluar daripada mulutku.
Satu persatu wajah yang ada aku perhati. Entah kenapa mulut ini ringan pula membuka rahsiaku itu. Takkan aku mahu maklumkan kepada mereka semua aku bercuti semata-mata untuk menjejaki Lily.
“Nysa rasa tak sihat.” jawapan itu aku keluarkan.
“Abang tak tahu pun. Kenapa tak ambil mc aje?” giliran Aqil menyoal.
“Alah... tak ada apapun. Nysa malas nak pergi klinik.” segera aku pautkan senyuman. Tidak mahu mereka sedar yang aku sedang berbohong. Namun pandangan tajam emak mertuaku itu aku faham. Rasanya dia tahu yang aku sedang berbohong pada ketika ini.
“Macam mana Aqil? Kalau isteri kamu tak dapat pergi, kamu nak ikut mak dan abah ke tidak? Tapi takkan kamu nak tinggalkan isteri kamu seorang diri kat rumah?” abah menyoal anak tunggalnya.
“Kalau Nysa tak dapat pergi, terpaksalah kita cancelkan aje rancangan kita ni.”  Keputusan yang Aqil buat menyebabkan aku mula rasa bersalah. Semuanya sudah tersedia, takkan ingin dibatalkan begitu sahaja?
“Nanti Nysa cuba apply cuti.” terpaksa juga aku berjanji.

KAMI singgah sebentar di Kedai Buku Popular yang terletak di dalam bangunan Tesco Ampang apabila emak mertuaku membuat pesanan agar kami membelikannya Al-Quran Al-Karim terjemahan bahasa melayu sekiranya kami ada kelapangan. Kebetulan pula hujan turun dengan lebat petang itu, jadi Aqil membuat keputusan untuk berhenti dahulu sebelum menyambung perjalan pulang ke Decasa Bayu. Masuk saja ke dalam pasaraya itu, kami terus saja berjalan seiring, menuju ke kedai buku Popular.
            “Selalu sangat ke, Nysa sakit kepala?” tiba-tiba Aqil bertanya.
            “Apa dia, Abang Aqil?”Soalku kembali yang lebih banyak memikirkan tentang hal percutian keluarga. Benar-benar merunsingkan. Aku kini tersepit di antara dua.
            “Nysa tu, selalu sangat ke sakit kepala?” Aqil mengulangi pertanyaannya.
            “Oh... tak juga. Abang Aqil tak payah risaulah, tak ada apa-apapun. Nysa memang ada migraine.” aku menjelaskan. Aku tidak mahu Aqil bersusah hati dan terus menanam benih-benih simpati terhadap diriku.
            “Tak nak buat check up? Abang bawa Nysa pergi hospital ya.”
            “Tak naklah. Nak buat apa buat check up? Nysa bukannya ada barah otak.” aku membuka tawa. Namun kata-kataku itu telah membuatkan langkah Aqil terhenti. Aku terpaksa kembali berundur beberapa langkah kerananya.
            “Esok ikut abang buat check up!” tegas Aqil.
            “Nysa kerja esok. Tak payahlah. Kan Nysa dah cakap, Nysa tak ada apa-apa,” aku membantah keras cadangannya itu. Buat apa aku membuat pemeriksaan? Aku sudah melakukannya pemeriksaan beberapa kali dahulu dan aku tahu aku hanya pengidap migraine. Itu saja.
            “Nanti abang bagi mc,”
            “Ini dah dikira melanggar etika kedoktoran ni. Mana boleh bagi mc sesuka hati.” aku senyum lagi sambil menggelengkan kepala perlahan.
            “Abang tak pernah melanggar etika kedoktoran. Mulai hari ini, Nysa pesakit abang, so Nysa ada hak dapat mc.” Aqil tetap dengan pendiriannya.
            “Abang Aqil...” Aku cuba membantah lagi. Sama sekali tidak bersetuju dengannya.
            “Tak ada alasan.” Aqil memintas segera kataku. Tidak membenarkan langsung aku berkata apa-apa lagi.
            “Aqil!”
            Laungan kuat nama Aqil membuatkan pandangan mataku dan Aqil yang tadinya bersatu pada satu titik, terpisah. Kami sama-sama memandang ke arah seorang wanita yang dari jauh melambai ke arah Aqil. Melihat ke arah wanita itu membuatkan jantungku berdegup laju. Mungkinkah itu Lily? Wanita itu mempercepatkan langkahnya mendatangi kami dengan senyum kegembiraan yang terpancar jelas. Aku menoleh ke arah Aqil yang seakan kaku di situ. Aku terasa seperti mahu lari dari situasi itu.
             “Nani.” Balas Aqil namun masih ada riak terkejut pada wajahnya.
            “Ha... ingat pun lagi you kat I. Lama dah kita tak jumpakan.” wanita itu masih tersenyum lebar.
            “Of course I ingat, Nani. Bila you balik sini?” soal Aqil.
            “Last month.”
            Mendengar nama wanita itu aku menarik nafas lega. Aku fikirkan wanita itu adalah Lily. Tapi kalau wanita itu bukan Lily, mengapa pula Aqil menunjukkan reaksi terkejut sebegitu? Dan aku pula, mengapa aku berasa lega apabila mengetahui bahawa wanita itu bukan Lily? Mengapa hatiku menjadi sejahat ini?
            “You macam mana sekarang?” wanita itu kelihatan gembira dengan pertemuan itu.
“Sama aje macam dulu, tak pernah berubah.” Aqil membalas.
“Termasuk perasaan you pada Lily?” wanita itu berjaya memerangkap Aqil dengan soalannya dan Aqil tidak terjawab soalan itu. “Yang sebelah you ni, siapa pula?”
Aqil terus memandangku apabila soalan itu diajukan. Aku sendiri resah dengan soalan itu lebih-lebih lagi setelah mengetahui bahawa wanita itu pastinya turut mengenali Lily. Aqil terdiam seribu kata. Mungkin dia tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan. Atau mungkin juga dia tidak ingin wanita itu tahu siapa aku yang sebenarnya. Kalau wanita itu tahu siapa diriku yang sebenarnya, mungkin juga Lily akan mengetahuinya. Masing-masing terdiam.
“Ini...” panjang Aqil melagukan perkataan yang pendek itu. Seakan berat mulutnya untuk memperkenalkan siapa diriku.
“Saya Nysa, adik Aqil.” aku menghulurkan tangan, memperkenalkan diriku. Membantu Aqil menyelesaikan masalahnya. Aku mahu dia tahu bahawa aku selalu ada saat dia memerlukan seseorang untuk membantu dirinya. Aku melemparkan senyuman pada Aqil yang memandang tepat ke arahku. Mungkin dia tidak sangka aku akan berkata begitu. Tapi aku tahu pasti itu juga kemahuan hatinya.
“Eh, bukan you anak tunggal ke, Aqil?” berkerut dahi wanita itu.
“Maksud saya... adik angkat Aqil.” aku jelaskan sekali lagi.
“Oh, I see! Aqil, alang-alang dah jumpa you ni. Bolehlah I cerita kat you satu cerita.” masih ada senyuman di bibir wanita itu. “Actually I ada good news nak bagi tahu pada you.” senyuman penuh makna tetap saja kelihatan pada bibir wanita itu.
“Good news?” Aqil mengerutkan dahi.
 “Yeah... good news about Lily.” wanita itu mengangkat-angkatkan keningnya.
Rasa sesak nafasku mendengar makluman itu. Aku tidak sanggup memalingkan wajah, melihat reaksi Aqil ketika ini. Sama sekali tidak sanggup! Lantas aku alihkan pandangan jauh dari situ.
“Apa kata kita pergi minum dulu, nanti I cerita. Tapi you tak kisah ke, kalau adik angkat you ni dengar sekali?”
Pertanyaan wanita itu membuatkan aku rasa jauh hati. Aku juga tidak mahu mengetahui apa-apa pasal Lily. Aku tahu, hatiku akan menjadi bertambah sakit dengannya. Sebak mula terasa saat ini. Aqil juga langsung tidak berkata apa-apa. Pastinya dia turut mahu aku berlalu dari situ dan memberikan peluang padanya untuk bercerita panjang dengan wanita itu tentang Lily.
“Tak apalah, Abang Aqil. Nysa ingat, biar Nysa pergi beli buku tu sendirilah. Nysa pergi dulu.” Aku membuat keputusan itu serta merta. Tidak mahu membiarkan Aqil berasa serba salah dengan situasi itu. Maka aku aturkan langkah untuk mengundurkan diri, berjalan terus meninggalkan mereka berdua dengan hati yang sedia tercalar.
“Nysa, dah selesai nanti, call abang.” sempat juga Aqil melaungkan pesanan itu.
Dari jauh, aku menoleh lalu menganggukkan kepala bersama senyuman yang aku buat-buat. Hati sudah tidak larat untuk terus bertahan. Rasa sakit yang teramat. Ingin saja aku lari daripada terus disakiti. Tapi kenapa langkahku seakan dikunci? Kalaulah cerita kepulangan Lily ke Malaysia merupakan perkhabaran baik seperti mana yang dimaklumkan oleh wanita itu tadi. Pasti ianya memberikan harapan baru buat Aqil. Jadi, masih ada peluang untuk Aqil hidup bahagia. Bagaimana pula dengan diriku? Aku mengeluh lagi, entah kenapa sekarang aku tidak habis-habis memikirkan tentang kepentingan diriku sendiri.
  Sebaik sahaja aku masuk ke dalam kedai buku Popular itu, aku terus saja menyambar buku yang telah dipesan oleh emak mertuaku. Selesai membuat bayaran, aku berjalan keluar dari kedai buku itu kemudian aku berjalanjalan di dalam bangunan pasaraya itu tanpa tujuan. Perlukah aku menunggu Aqil sehingga dia habis berbual dengan wanita itu? Tidak mungkin untukku menghubungi Aqil seperti mana pesannya. Atau patutkah aku terus pulang sendirian? Tapi kenapa aku tidak rasa seperti ingin pulang saat ini.
Hujan masih lebat di luar. Tidak ada tanda-tanda mahu berhenti. Percikan air hujan mula membasahi bajuku ketika aku berdiri di luar, menunggu hujan berhenti. Rasanya seperti langit bumi turut sama bersedih bersama-samaku. Aqil akan bertemu dengan kebahagian yang selama ini dinanti-nantikannya. Sedangkan aku, sekali lagi harus merasai saat-saat kehilangan Aqil. Insan yang amat aku kasihi. Andai ditakdirkan aku harus pergi, apakah mungkin untuk aku merawat luka yang makin dalam dan parah? 
Apabila hujan semakin lebat, aku segera berundur beberapa tapak ke belakang. Tanpa aku sengajakan, aku terlanggar seseorang yang ada di belakangku.
“Maaf.” aku menoleh, memohon maaf atas kesalahanku.
“Eh... Nysa!”
“Miza.” aku segera memeluk Miza. Tidak terduga dapat berjumpa dengannya di sini.
“Sampai hati kau kahwin tak jemput aku.” Miza tarik muka. Membuatkan aku rasa bersalah. Bukan aku tidak mahu menjemputnya. Tapi perkahwinanku itu juga berjalan secara mengejut. Dengan tiba-tiba saja Aqil mengaturkan semuanya tanpa persetujuan dariku. Maka saat itu aku tidak ada hati langsung untuk mengundang sesiapa. Semuanya jemputan diuruskan oleh kedua ibu bapaku. Aku cuma menjemput rakan-rakanku di universiti. Itu pun ayah setelah mengingatkan.
“Maaf, Miza. Aku...” ayatku cuma terhenti di situ.
“Kenapa ni Nysa, kau ada masalah ke?” Miza mula tidak senang hati melihat aku begitu.
Saat itu juga, air mataku mula gugur. Mungkin Miza tempat terbaik untuk aku menceritakan derita yang sedang melanda jiwaku. Aku perlu meluahkan semuanya. Aku mahu menggurangkan rasa kesakitan yang ada.
“Kau duduk mana sekarang?” aku mengesat air mata yang gugur.
“Aku dah pindah kerja KL semula. Aku tinggal kat Bukit Beruntung, kebetulan ada kerja kat area ni, tu yang singgah Tesco ni. Kenapa ni, Nysa?” Miza memegang tanganku.
“Aku tumpang tidur rumah kau, malam ni boleh tak?” aku suarakan keinginan hati. Aku mahu meluangkan masa dengan Miza malam ini. Aku mahu menceritakan semuanya pada dia. Hanya dia yang memahami diriku. Selain Hadif hanya dia kawan baikku.
“Boleh aje, tak ada masalah. Aku lagi suka. Tapi suami kau macam mana?”
“Dia boleh hidup tanpa aku.” kataku perlahan. Menyatakan hakikat sebenar yang sudah lama aku sedari. Miza terkejut mendengar apa yang aku perkatakan. Dia akan tahu kebenarannya nanti. Akan aku ceritakan semuanya, satu persatu. Berharap Miza akan berada di sisi, menyokong aku dari belakang.
“Mungkin kau tak percaya. Tapi itulah hakikatnya.” sambungku dan air mata menitis lagi.

Bersambung...
______________________________________________________________________

Sedutan Bab 19
        
            “Apa yang kau merepek ni, Miza. Kau mengigau ke apa ni?”  aku tergelak melihat keadaan Miza yang agak berserabut itu.
            “Merepek apa pula pagi-pagi buta macam ni. Suami kau tulah. Ada ke patut, tengah aku syok tidur, boleh pula dia call aku minta alamat rumah. Dia kata, dia nak bawa kau balik. Dah macam orang gila talak pula aku tengok,” Miza menerangkan satu persatu.


P/S : jumpa di next entry :)

Thursday, May 5, 2011

Poster Jauh Dari Cinta

Assalamualaikum


Apa khabar semua pengunjung blog AH? Semoga semuanya berada di dalam keadaan sihat dan sentiasa di bawah sinaran taufik dan hidayah-NYA. Mcm tulis karangan surat tak rasmi masa zaman sekolah pula dah rasanya. hi3. Okeylah.. dipendekkan cerita yang sememangnya tak berapa nak panjang ni, AH ni baru nak bertatih, belajar menggunakan software Adobe Photoshop. Jadi bila dah ada sikit2 pengetahuan tu, AH terfikirlan, nak buat apa ya... Lastnya, AH trylah buat poster.. poster apa? poster JAUH DARI CINTA... hi3.
Alhamdulillah, hasilnya tidak sebaik mana, tapi masih boleh dikongsikan bersama rakan-rakan pembaca setia JDC. Jadi dengan rendah hati, mempersembahkan..... 


Seperti yang semua rakan-rakan pembaca sedia maklum. Manuskrip untuk JDC telah dihantar kepada pihak penerbit dan kini mungkin sedang dalam penilaian atau mungkin juga sedang beratur panjang menunggu proses penilaian. Al-maklumlah, penulis ramai, jadi manuskrip untuk dinilai pun tentunya banyakkan. Apapun AH harap, rakan-rakan pembaca mendoakan semoga JDC berpeluang bertemu dengan semua pembaca di kedai-kedai buku, kelak (atau dlm bahasa mudahnya, dicetak...hi2). Dan Ah juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca setia JDC yang selalu ternanti-nantikan e-novel ini dan juga kepada semua yang sudi meninggalkan komen terhadap JDC. Terima Kasih Sekali Lagi! Terima Kasih kerana sudi meletakkan JDC di hati anda semua! 

Salam Ukhwah,


Tuesday, April 26, 2011

Jauh Dari Cinta - Bab 17


TUJUH BELAS
Hadif masih membuat pelawaan untuk menghantar aku pulang ke rumah petang itu. Aku benar-benar tidak faham dengan sikap Hadif! Bukan dia tidak tahu betapa Aqil tarik muka dengan kejadian semalam, mengapa dia masih mahu menghantarku pulang? Apa yang cuba dia buktikan pada Aqil? Sudahnya, aku terpaksa menolak tawarannya itu. Aku tidak mahu membangkitkan kemarahan Aqil lagi. Aku juga sudah lemas dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan gelaran yang menyakitkan hati.
“Betul ni, kau tak nak aku hantar kau balik?” Hadif masih lagi bertanya walaupun sudah aku berikan jawapannya.
“Tak apalah, Dif. Terima kasih. Aku balik dululah.” aku lemparkan senyuman hambar kepada Hadif, kemudian aku terus saja meninggalkan bilik pensyarah. Aku harus segera keluar daripada bangunan tinggi itu dan seterusnya mendapatkan teksi untuk pulang ke rumah. Takut pula aku tidak dapat pulang tepat seperti hari biasa memandangkan hari kian gelap ditambah pula dengan bunyi guruh yang sesekali kedengaran. Aku berjalan pantas, keluar daripada kawasan universiti menuju ke perhentian teksi.
Jam hampir pukul 7 malam, namun tidak ada langsung teksi yang mahu berhenti ketika aku menahannya. Aku menghembus nafas resah. Tidak tahu berapa lama lagi aku harus menunggu di situ. Akhirnya aku kembali duduk di bangku panjang yang disediakan di perhentian teksi itu. Aku yang sedari tadi hanya memandang kosong telefon bimbit di tanganku, kembali memandang ke arah jalan raya apabila terdengar bunyi hon kereta berkumandang.
“Nysa, naik!” Aqil terus saja mengarahkan aku masuk ke dalam keretanya sebaik sahaja dia menurunkan tingkap kereta di sebelah penumpang hadapan.
Aku yang terkejut dengan kehadiran Aqil di situ terus saja mengalihkan pandangan. Pura-pura tidak menyedari kehadiran Aqil di perhentian itu. Melihat tindakanku, Aqil terus saja keluar daripada keretanya dan berjalan menghampiriku. Aku masih enggan menoleh ke arahnya walaupun dia kini betul-betul berdiri di hadapanku. Mujur saja hanya aku seorang yang menunggu teksi di situ. Jika tidak, pasti malu dengan tindakan Aqil itu.
“Ini... merajuk ke, protes?” Aqil mencekakkan pinggangnya.
Aku yang tidak mahu menjawab soalan itu, terus saja bangun dan berjalan laju meninggalkan Aqil sendirian di perhentian itu. Tidak ada kuasa mahu melayan sikapnya. Hati yang luka masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu sembuh. Jadi segala apa yang diperkatakan mahu pun yang dilakukan olehnya, tidak aku endahkan.
“Betul Nysa dah tak nak bercakap dengan abang lagi?” Aqil mengejarku dari belakang.
Aku buat tidak tahu dan berjalan meneruskan haluan yang aku sendiri tidak pasti ke mana arahnya. Yang aku tahu, buat masa ini, aku hanya ingin berada jauh daripadanya. Sehinggalah satu saat yang dapat mengembalikan kesembuhan pada luka di hatiku.
“Nysa jangan nak cabar kesabaran abang. Nysa ingat... Nysa siapa, nak buat abang terkejar-kejar Nysa macam ni? Tolonglah Nysa, abang dah cukup penat melayan karenah Nysa.” Lantang suara Aqil kedengaran walaupun bunyi kenderaan lalu lalang sepatutnya menenggelamkan suaranya.
Kakiku berhenti melangkah mendengar bicara itu. Bagai dihempap dengan batu-bata apabila mendengar setiap katanya. Hati yang sudah lama retak kini tinggal menunggu saatnya saja menanti belah dan berkecai hancur. Ingin sekali aku menangis diketika itu, melaung sekuat-kuat hati dan menyatakan kepadanya betapa kejam dirinya di atas setiap apa yang telah dilakukannya padaku. Hari-hari bersamanya umpama aku mencampakkan diriku di lembah derita yang penuh dengan duri sengsara. Namun dia tidak pernah tahu tentang itu kerana aku tetap tersenyum atas semua perbuatannya. Cintaku padanya telah membuatkan aku membunuh perasaan hatiku sendiri. Demi membuat dirinya bahagia, aku terpaksa menyusun air mataku menjadi hiasan hati agar terselindung setiap apa yang aku rasa.  Tapi tidak ada satu pun yang dihargainya!
“Nysa tahu... Nysa bukanlah siapa-siapa pada Abang Aqil. Kalaulah ditakdirkan, Tuhan jemput Nysa saat ini juga, mesti Abang Aqillah insan yang paling gembirakan? Nysa yakin Abang Aqil akan tersenyum dan hidup dengan lebih bahagia tanpa Nysa.” Serius aku berbicara.
“Abang Aqil pun dah penat... Abang Aqil baliklah. Tak payah kejar Nysa yang tak bawa apa-apa makna dalam hidup Abang Aqil. Abang Aqil dah banyak susah sebab Nysa. Abang Aqil anggaplah, ini kali terakhir Nysa susahkan Abang Aqil. Lepas ni, Nysa akan pastikan, Nysa tak akan muncul lagi depan Abang Aqil walaupun secara kebetulan.” air mata mula gugur setitis demi setitis. Tidak dapat aku bendung lagi. Cukuplah segala kesedihan yang terpaksa aku tanggung selama ini.
Aku merenung lama mata Aqil sebelum melangkah jauh meninggalkan dirinya. Entah betul atau tidak keputusan yang aku lakukan itu, aku sendiri tidak pasti. Aku tahu, aku bakal dimarahi ayah dan mungkin juga dibenci oleh kedua orang tua Aqil. Tapi aku tidak ada cara lain selain mengembalikan dunia Aqil yang hanya ada Lily.
Aku berjalan entah ke mana halanya. Aqil juga sudah tidak lagi mengejarku. Sehinggalah kaki berasa penat, barulah aku berhenti seketika. Bersandar di tiang lampu yang kian bersinar terang. Tidak mahu terus menunggu di situ, aku segera menahan teksi yang dapat aku perhatikan dari jauh. Bersyukur kerana teksi itu berhenti. Aku terus saja masuk dalam teksi. Laungan azan yang kedengaran dari pembesar suara di dalam teksi itu berjaya menghimpun rasa tenang seketika.
“Anak ni... nak ke mana?” soal pemandu teksi yang berkopiah putih.
Lama aku merenung ke luar tingkap. Mencari arah tuju. Kemana harus aku pergi saat ini? Hati tertanya. Akhirnya suara azan yang memuji kebesaran Illahi itu telah mengirimkan ilham yang pastinya diutus oleh Maha Pencipta.
“Pak cik hantarkan saya ke masjid yang berdekatan ya,” aku nyatakan destinasi yang ingin aku tuju.
“Bagus juga tu, pakcik pun nak singgah solat juga ni.” balas lelaki tua itu dengan senyuman. “Kalau pakcik tanya sikit... anak jangan marah ya. Anak ni menangis kenapa?”
Soalan lelaki tua itu membuatkan hatiku kembali sayu. Hati isteri mana yang tidak sedih apabila tidak berpeluang mendapat kasih seorang suami. Mata isteri mana yang tidak mengalirkan air mata, jika di hati suaminya ada wanita lain dan bukan dirinya.
“Dugaan hidup, pak cik!” hanya itu yang mampu aku nyatakan. Aku berharap, lelaki tua itu tidak bertanya lebih. Aku takut air mata yang baru saja berhenti, kembali renyai membasahi pipi.
“Tak akan ada hidup tanpa dugaan, nak. Hanya orang-orang yang beriman saja yang akan diuji. Itukan janji Allah! Jadi, pak cik nasihatkan, janganlah terlalu bersedih sebab itu tandanya anak tidak redha dengan ujian Allah.”
Nasihat itu membuatku aku merenung diri sejenak. Benarkah aku tidak redha dengan ujian ini? Aku mula beristgfar panjang dalam hati. Itu tidak harus berlaku. Aku seharusnya redha dengan segala ketentuan Allah untukku.
“Anak percayalah, ujian daripada Allah itu akan beserta kebahagian jika kita redha,” lagi tambahnya.
“Tapi saya tak cukup kuat, pak cik.” itulah apa yang aku rasa.
            “Kekuatan itu datangnya daripada Allah, nak. Bukankah Allah tu Maha Pemurah, mintalah pada-Nya dengan hati yang sabar. Sesungguhnya Allah SWT malu untuk tidak menunaikan permintaan hamba-hamba-Nya. Berdoalah, doa itukan senjata orang mukmin.” masih ada butir bicara mutiara yang keluar daripada mulut orang tua itu.
            “Terima kasih pakcik,” aku lagukan itu dengan hati yang ikhlas. Terasa kebenaran kata-kata lelaki tua itu. Hanya Allah yang mampu merubah hati sekalian makhluknya. Jadi aku akan berdoa, semoga Allah memelihara hatiku agar terus tabah menghadapi hari mendatang. Hati juga mula berjanji... berjanji untuk tidak terlalu mengikut perasaan dan sama sekali tidak akan membiarkan tangis kekecewaan melebihi tembok redha. 

PUKUL empat pagi aku tiba betul-betul di hadapan pintu rumah. Bukan niatku untuk kembali lagi ke rumah itu apatah lagi dengan sengaja berada di situ untuk bertemu dengan Aqil. Aku masih pegang janji-janjiku untuk terus hilang daripada hidupnya. Hati mula tenang setelah lama aku bertafakur sendirian di dalam masjid Ibnu Majah. Terasa  kerdilnya diriku bersendirian di situ memohon dan memanjatkan doa kepada-Nya.
            Akhirnya perkataan redha itu wujud juga dalam hati. Kali ini aku tidak akan berkata apa-apa andai takdir menetapkan bahawa Aqil akan melepaskan aku pergi. Pasti itu takdir terbaik tetapan-Nya. Aku kembali lagi ke rumah itu sekadar untuk mengambil semua barang-barang milikku dan akan terus melangkah pergi sebaik sahaja selesai mendapatkan semuanya. Makanya aku berharap Aqil sudah pun tidur saat ini. Jadi tidak perlulah untuk aku bertemu dengannya lagi. Perlahan aku membuka mangga yang ada pada grill rumah. Berhati-hati agar tidak menghasilkan sebarang bunyi yang mungkin akan membuatkan Aqil terjaga dari tidurnya.  
            Keadaan rumah gelap gelita, tapi aku langsung tidak berniat untuk memasang lampu. Masih ada sinar yang dapat memberikan cahaya daripada ruang balkoni yang menghadap jalan-jalan utama. Jadi aku masih mampu menapak untuk naik ke bilik dengan selamat walaupun dengan sinaran cahaya yang sedikit itu. Segera aku masuk ke bilik, mengemas semua barang yang ada dan memasukkannya ke dalam beg milikku. Mujur barangku tidak banyak mana. Selesai saja mengemas, aku segera keluar dari bilik dan terus menuju ke pintu utama rumah yang sengaja tidak aku tutup rapat tadi.
            Hatiku lega sebaik saja kaki melangkah ke luar menuju ke ruangan lif utama. Segalanya sudah selesai dan kini aku hanya perlu berhadapan dengan ayah dan ibu untuk menjelaskan segala-galanya. Harap mereka dapat menerima semuanya, terutama sekali ayah. Gerun hatiku setiap kali memikirkan tentang ayah. Takut kalau-kalau dia akan teruk memarahiku dengan keputusan yang telah aku buat. Tapi aku harus hadapinya juga. Tidak ada lagi alasan untuk aku terus tinggal bersama-sama Aqil kerana kehadiranku ternyata tidak disenanginya sama sekali.
            Aku yang baru saja mahu melangkah masuk ke dalam lif tidak dapat meneruskan hayunan kaki sebaik sahaja melihat Aqil keluar daripada lif itu. Segera aku menukar langkah, cuba membawa begku menuju ke pintu kecemasan yang menempatkan anak-anak tangga. Laju aku aturkan langkah, melarikan diri daripada Aqil yang pastinya sudah jelak melihat wajahku ini. Tidak sesekali aku menoleh kerana aku sudah berjanji untuk tidak akan membiarkan lelaki itu melihat diriku yang begitu membebankan dirinya. Satu persatu anak tangga aku turuni dengan langkah tergesa-gesa. Bertindak berlari sejauh mungkin. 
            “Nysa!” suara Aqil bergema di ruang tangga itu. Mungkin kerana pintu-pintu rintangan api yang tertutup rapat di setiap tingkat yang telah menghasilkannya.
            Aku tidak sesekali menghentikan langkah. Malah, semakin laju aku membawa kakiku menuruni anak tangga. Tidak sanggup untuk aku terus mendengar kata-kata yang menyakitkan hati. Namun kudrat wanitaku tidak sehebat mana, dengan beg besar yang terpaksa aku bimbit bersama telah membuatkan Aqil berjaya mengekori aku rapat dan kemudiannya berjaya menghalang aku daripada terus melangkah. Segera aku alihkan wajah apabila Aqil berada di hadapan mata. Aku tidak akan membiarkan dia menatap wajahku lagi.  
            “Nysa... please! Puas abang cari Nysa.” Aqil kembali mendapatkan wajahku, namun segera aku menoleh. Tidak mengizinkannya memandang wajahku.
            “Jangan buat abang macam ni, Nysa... Bagilah abang peluang untuk tebus semuanya.”
            Hatiku tersenyum sinis mendengar permintaan itu. Peluang? Kenapa tiba-tiba saja dia inginkan peluang itu daripadaku? Takkan baru beberapa jam aku hilang daripada pandangan matanya telah membuatkan dia sedar betapa amat pentingnya aku dalam hidupnya? Hatiku ketawa lagi. Tidak masuk akal! Permintaan itu tidak aku hiraukan kerana aku tahu permintaannya itu bukan seperti apa yang diingin oleh hatinya.
“Abang Aqil tak perlukan peluang tu!” Aku tepis perlahan tangannya yang sedari tadi menghalang laluanku. Kembali aku melangkah, membawa hati yang pudar.
            “Nysa... boleh tak Nysa jangan tinggalkan abang? Tolonglah Nysa, jangan buat macam mana yang Lily pernah buat pada abang!”  jeritan Aqil yang masih berada di belakangku, tidak aku endahkan.
           

SAKIT KEPALA menyerang lagi, perut juga rasa tidak sedap. Mungkin kerana belum ada satu butir makanan pun yang sempat masuk ke dalam perutku sejak petang semalam. Tidak tahu apa lagi yang perlu aku lakukan kini. Aku terus pulang ke rumah orang tuaku selepas aku keluar dari rumah Aqil semalam. Bukan tidak mempunyai timbang rasa kerana enggan menghulurkan Aqil peluang seperti mana pintanya. Cuma, aku dapat rasakan bahawa hakikatnya terlalu sukar untuk aku dan Aqil terus hidup bersama. Hatinya bukan untukku, dan yang sebenarnya dia langsung tidak memerlukan peluang itu.
            Tapi ayah dengan teganya kembali menyeret aku ke rumah kenangan Aqil dan Lily ini. Sedikit pun tidak ingin mendengar alasan mahupun ceritaku. Apa yang dia tahu, dia tidak mahu aku menjadi seorang isteri derhaka. Meninggalkan suami tanpa bicara! Kata ayah, aku bukan lagi anaknya jika aku dengan berani-beraninya meninggalkan Aqil sekali lagi. Ugutan yang sama, yang pernah aku dengar satu ketika dahulu ketika meminta agar pertunanganku dengan Aqil diputuskan. Melihat tangisan ibu semasa ayah meluahkan kata-kata itu, hati kecilku sebagai seorang anak berusaha menghapuskan air mata ibu.
Dan kerana itu, kini aku kembali terperangkap di dalam hidup Aqil. Aqil sendiri terkejut melihat ayah menyerahkan aku kembali padanya awal pagi sebegini. Ayah turut mengingatkan Aqil tentang tanggungjawabnya dan meminta Aqil segera menyelesaikan segala konflik yang ada di dalam perhubungan kami yang membuatkan aku merajuk pulang ke rumah ibu bapa. Jadi, langkahku sudah dikunci rapat. Tidak mampu lagi untuk aku bergerak. Umpama tahanan dalam kurungan besi. Tidak mengapa, selepas ini, setiap kali terluka, aku akan menggunakan senjataku, doa sebagai perisai hati.
Aqil yang masih lagi berdiri di muka pintu bilikku terus memandangku yang sedang berbaring di atas katil itu. Sejak ayah pulang sebentar tadi tiada satu patah perkataan pun yang terkeluar dari bibirnya buatku. Dan aku juga terus membisukan diri.
“Abang serius bila abang minta Nysa bagi abang peluang sekali lagi. Tak apalah, Nysa rehatlah dulu, dari malam tadi Nysa tak tidurkan. Nanti kita bincang lagi.” Aqil kemudiannya menutup rapat pintu bilikku.
Aku langsung tidak melihat ke arahnya sehinggalah dia keluar daripada bilikku. Aku langsung tak ada hati untuk berbicara tentang apa–apa sekalipun. Mujur hari ini merupakan hari cuti bagiku. Jika tidak terpaksalah aku mengambil cuti kecemasan memandangkan tidak mungkin bagiku ke universiti dengan keadaanku sekarang. Aku memejamkan mata seketika dan terus saja terlena sudahnya.
Aku terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi pintu bilikku diketuk. Terkebil-kebil mataku menerima cahaya matahari yang membias masuk ke dalam kamarku.  Aku pegang kepalaku yang tetap saja rasa sakit. Tidak sikitpun mahu berkurangan rasa sakit itu walaupun sudah beberapa jam aku melelapkan mata. Mungkin migrinku kembali menyerang. Aku gagahkan juga diriku untuk bangun. Belum sempat aku berjalan menuju ke muka pintu, Aqil telah terlebih dahulu membuka pintu bilikku dan melangkah masuk. Aku yang baru saja berdiri, kembali duduk di atas katil. Jiwa rasa tidak senang dengan kehadiran Aqil di situ. Entah apa lagi mahunya.
            “Abang dah masak makanan tengah hari untuk Nysa. Semua abang dah sediakan kat bawah. Jom kita turun makan!” Aqil berjalan menghampiriku lalu duduk di sebelahku, di atas katil itu.
            Aku terus mendiamkan diri. Kenapa baik pula sikap Aqil hari ini? Apa yang tidak kena dengan dirinya?
            “Abang betul-betul minta maaf pada Nysa.” tiba-tiba sahaja Aqil memegang tanganku.  “Abang nak kita bina semula hubungan kita. Abang janji, abang takkan lukakan hati Nysa lagi.” Aqil menarik daguku, membawa wajahku itu menghadap wajahnya.
Akhirnya kami berpandangan. Aku tidak tahu apakah aku harus mempercayai kata-katanya? Ketika bibirku cuba menolak permintaannya itu, kenapa pula hatiku tetap sahaja mahu memberikan kepercayaan buat Aqil untuk yang kesekian kalinya.
            “Kenapa dengan tiba-tiba?” aku luahkan keraguan hati.
            “Abang pun tak tahu kenapa. Apa yang pastinya, abang nak kita mulakan dari awal.”
            “Boleh ke, Abang Aqil cintakan Nysa?” sengaja aku mengingatkannya persoalan itu.
            “Abang akan cuba. Mungkin akan makan masa, tapi abang harap... Nysa faham keadaan abang.” Aqil mengharapkan pengertian dariku.
            “Lily macam mana?” aku mahu semuanya jelas sebelum aku membuat keputusan.
            “Lily?” Aqil menundukkan wajah apabila nama wanita itu meniti di bibirnya. Lama dia mendiamkan diri, membuatkan aku tertunggu-tunggu.
“Abang tak nak dengar Nysa cakap pasal Lily lagi lepas ni. Dah jom kita turun makan.” Aqil mula bangun. Tanganku turut ditariknya membuatkan aku terpaksa mengikut saja langkahnya.
            Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku pada ketika ini. Apa yang Aqil mahu lakukan sebenarnya? Mengapa tiba-tiba saja dia berubah laku sehingga membuatkan aku bertambah resah. Haruskah aku memberi peluang seperti mana pintanya? Perlukah aku membuka kembali jalan cinta buat dirinya? Patutkah aku mempercayainya? Dan kenapa tiba-tiba saja hatiku terasa seperti sudah dipujuk? Nampaknya, harus ada pertimbangan yang sewajarnya supaya aku tidak lagi membuat keputusan yang salah buat kali kedua.
________________________________________________________________
Sedutan Bab 18.
                “Aqil!”
                Laungan kuat nama Aqil membuatkan pandangan mataku dan Aqil yang tadinya bersatu pada satu titik, terpisah. Kami sama-sama memandang ke arah seorang wanita yang dari jauh melambai ke arah Aqil. Melihat ke arah wanita itu membuatkan jantungku berdegup laju. Mungkinkah itu Lily? Wanita itu mempercepatkan langkahnya mendatangi kami dengan senyum kegembiraan yang terpancar jelas. Aku menoleh ke arah Aqil yang seakan kaku di situ. Terasa seperti mahu lari saat itu.