Tuesday, October 18, 2011

Ada Di Hati - Bab 24


DUA PULUH EMPAT
“Lepas Ni suruh despatch hantar perjanjian ni untuk stamping ye.” Zafril menyerahkan perjanjian yang telah siap ditandatanganinya itu kepadaku yang masih lagi setia berdiri di hadapannya.
Aku menganggukkan kepala dan mengambil perjanjian yang Zafril berikan.
“Dah nak waktu lunch ni encik Zafril, saya keluar dulu.”
“Okay.” Zafril memberikan kebenaran dan menghulurkan seulas senyuman padaku.
“Encik tak keluar lunch ke?”
Zafril yang sudah mula menatap desktopnya, berkalih semula memandangku. “Kejap lagi kut, tak apalah awak keluar dulu. Banyak kerja nak buat ni.”
Apabila Zafril mula memberi tumpuan pada desktopnya semula, aku mula mengorak langkah meninggalkannya.
“Safi!”
Panggilan itu membuatkan aku kembali berpaling memandang Zafril semula.
“Baju yang saya bagi semalam, awak dah cuba ke?” Soal Zafril yang sudah meninggalkan kesemua kerja-kerjanya dan tepat memandangku.
Aku sekadar mengangguk, malu pula untuk bersuara. Ya, memang itu hakikatnya. Sewaktu Fitri keluar dari bilikku semalam, aku terus mencuba baju itu terlebih dahulu sebelum menyimpannya.
“Muat?”
Dengan segalit senyuman aku mengangguk lagi. Baju itu memang elok terletak pada badanku.
Zafril tersenyum senang hati. “Suka?”
“Suka, pandai encik pilih.” Pujiku setelah lama mendiamkan diri. Memang aku menyukai baju itu. Baju itu begitu cantik di mataku. Tapi jujurnya, aku lebih tertarik pada kad yang Zafril berikan. Tapi tidak perlu untuk aku membuat pengakuan tentang perkara itu di hadapannya. Perasaan malu lebih menguasai diriku kini.
“Baju tu yang paling simple, yang ada kat situ. That’s why saya beli satu.”
Aku tergelak kecil mendengar kata-kata Zafril. Aku tahu dia sengaja mahu mengusikku dengan berkata begitu. Simple! Bukankah itulah istilah yang aku gunakan untuk baju yang aku pakai sewaktu kami ingin menghadiri majlis makan malam Tanjak Holding dahulu. Kini kata-kata itu terpalit pula padaku.
“Keluar lunch dengan siapa?” Zafril sengaja menukar topik perbualan apabila aku hanya mendiamkan diri.
“Macam biasalah, dengan Amy dengan Kak Ros. Kenapa?” Rasanya Zafril tahu dengan siapa aku selalu keluar makan setiap hari, tetapi mengapa dia masih menanyakannya lagi.
“Hari ni awak keluar makan dengan saya. Biar Amy makan dengan Ros aje.” Ujar Zafril sambil mula menutup beberapa fail di hadapannya. Dicapainya telefon bimbit yang berada di atas meja sebelum dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
“Eh, bukan encik kata banyak kerja ke tadi?” aku masih lagi tidak berganjak. Aku merenung Zafril yang telah bangun dan berjalan menuju ke arahku.
Zafril tersenyum mendengar soalan yang aku berikan. “Kerja tu sampai bila-bila pun tak habis. Hari ni siapkan, esok ada lagikan!” dengan pantas Zafril berjalan, mendapatkan pintu, lalu dia membuka pintu biliknya itu dan memberi laluan agarku keluar terlebih dahulu daripadanya.
Aku hanya menurut sahaja setiap katanya. Tadi bukan main mahu menyiakan kerja seolah-olah tiada lagi esok tapi tiba-tiba pula berubah fikiran pula. Nampaknya terpaksalah aku membatalkan janjiku dengan Amy dan Kak Ros.

AKU menoleh apabila mendengar namaku dipanggil dari arah belakang. Aku lantas tersenyum apabila terlihat Shania yang semakin menghampiri.
            “Kak Safi, buat apa kat sini?” Soal Shania sebaik sahaja dia berdiri di hadapanku.
            “Tunggu bos akak, nak lunch. Nia baru sampai ke dah nak balik?”  balasku yang sedang berdiri menunggu Zafri di tangga hadapan Restoran Sri Selasih, sementara Zafril mencari parking kereta.
            “Baru aje sampai, masuk pun belum. Nampak akak kat sini tu yang jumpa akak dulu. Ingatkan akak tunggu pakwe tadi, rupa-rupanya tunggu bos.” Sakat Shania dengan senyuman yang semakin melebar.
            “Ish… memandai je.” Sangkalku sedangkan hati sedang berbunga mendengar kata-kata Shania.
            “Hai, Safi.” Lelaki yang sedari tadi berdiri sahaja di sebelah Shania memulakan bicara setelah lama menjadi pemerhati.
            Segera aku berkali memandang lelaki yang memakai kemeja biru itu. Memoriku cuba bergerak laju mengenal pasti lelaki yang memanggil namaku. Bagaimana lelaki itu mengenaliku? Tapi aku seolah-olah pernah berjumpa dengan lelaki itu tapi aku lupa di mana?
            “Eh, you kenal Kak Safi?”  Soal Shania kehairanan pada lelaki di sebelahnya yang tidak sudah-sudah merenungku dengan senyuman yang melebar. Shania pula sudah tersenyum-senyum melihat tingkah lelaki itu.
            “Kenal.” Jawab lelaki itu pada Shania namun matanya masih terarah padaku.
            “Oh, really…” Shania kelihatan sedikit teruja, kemudian Shania memandangku semula. “Akak kenal Hafiz?”
            Faiz Hafizi! Nama itu tiba-tiba muncul di benakku, kini aku telah dapat mengingat lelaki itu. Namun ada rasa kurang enak yang membukam di hatiku. Sudahlah bayaran kerosakan kereta lelaki itu belum kujelaskan, janjiku untuk menghubunginya hampir sebulan yang lalu pun tidak aku tunaikan. Pasti di waktu ini Hafiz berfikir yang bukan-bukan tentang diriku. Bukan aku sengaja tidak mahu menghubunginya tetapi aku benar-benar terlupa.
            “Kenapa tak masuk lagi?”
            Baru sahaja aku ingin meminta maaf pada Hafiz, Kelibat Zafril tiba-tiba muncul, berjalan semakin rapat menghampiriku. Jadi niatku itu, aku simpan dahulu.
            “Saya tunggu encik tadi, tapi terserempak pula dengan adik saya. Encik Zafril… kenalkan yang ni adik saya…”
            “Abang Add!”
            Belum sempat aku menghabiskan kata Shania tiba-tiba mencelah. Pantas aku menoleh pada Shania yang telah pun menitis air matanya. Aku benar-benar terkejut melihat perubahan mendadak Shania itu, tadi elok sahaja Shania tersenyum gembira, mengapa tiba-tiba sahaja dia menangis?
            “Abang Add!” ulang Shania sekali lagi dan berjalan perlahan mendapatkan Zafril yang berada di sebelahku. Sampai sahaja di hadapan Zafril, Shania mendapatkan tangan kanan Zafril bersalaman dan mencium tangan itu.
            Zafril pula kelihatan benar-benar terkejut, melihat tingkah Shania waktu ini. Aku sendiri turut terperanjat. Kenapa Shania mengelarkan Zafril sebegitu? Bukankah Abang Add itu adalah sepupu Shania yang telah lama terpisah. Mungkinkah Zafril ini sepupu Shania? Abang Add yang selalu Shania ceritakan padaku sejak dahulu lagi? Lelaki yang benar-benar telah membuat aku ingin bertemu dengannya setiap kali nama itu keluar dari bibir Shania, lewat penceritaan tentang abang sepupunya itu.
            “Abang Add, dah tak ingat kat Shania?” Soal Shania apabila Zafril masih lagi mendiamkan dri dan hanya memandang wajahnya.
            “Qistina Shania?” ungkap Zafril perlahan, cuba untuk mendapatkan kepastian dari telahannya itu.
            Shania mengangguk laju, air mata masih lagi mengalir di pipinya. Zafril akhirnya tersenyum gembira. Melihat senyuman yang Zafril berikan padanya aku yakin memang dialah abang sepupu Shania yang amat Shania rindukan selama ini. Sungguh aku tidak menyangka bahawa aku sudah lama bertemu dan berkenalan dengan abang sepupu Shania ini.
            “Shania sihat?” suara Zafril bergetar sayu mungkin dia terasa sayu dengan pertemuan itu, aku yang berada di sebelahnya tidak lagi dihiraukannya. Perhatiannya hanya tertumpu pada Shania seorang sahaja saat ini.
            “Sihat.” Shania turut sebak seketika, Hafiz yang berada di sebelahnya juga tidak lagi dihiraukan.
            Aku dan Hafiz saling berpandangan. Dia terdiam dan aku hanya mampu berdiri kaku di situ.
            “Er… kita masuk dalam dululah.” Cadangku apabila masing-masing sibuk melayan perasaan. Zafril dan Shania mengangguk serentak kemudian mereka beriringan masuk ke dalam restoran itu. Aku pula beriringan dengan Hafiz.
            “Siapa tu?” Soal Hafiz sambil berbisik padaku.
            “Abang sepupu Nia. Dah lama dia orang tak jumpa sebenarnya.” Aku memberikan jawapan yang Hafiz perlukan.
            “Oh…” Hanya itu yang terkeluar dari bibir Hafiz.
            Keadaan restoran yang agak sesak pada waktu kemuncak begini menyebabkan kami berempat tidak dapat duduk semeja. Hanya terdapat dua meja kosong sahaja pada waktu ini, itu pun di tempat yang agak jauh antara satu sama lain.
            Akhirnya aku membuat keputusan untuk membiarkan Zafril duduk semeja dengan Shania. Aku pula duduk semeja dengan Hafiz yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Zafril menerima cadangan aku itu tanpa banyak soal. Aku benar-benar tidak menyangka bahawa Zafrillah abang sepupu Shania selama ini, jika aku tahu tentag hal itu, sudah lama aku mempertemukan mereka berdua. Aku masih lagi memerhatikan Zafril yang rancak berbual dengan Shania yang berada di sudut restoran.
            “Safi, jemput.”
            Aku tersentak apabila mendengar suara Hafiz. Di hadapanku telah terhidang chicken chop dan segelas air tembikai, begitu juga di hadapannya. Bila masa dia membuat pesanan itu, aku sendiri tidak pasti. Dan bila masa makanan itu dihantar ke meja, juga aku tidak perasan. Pandanganku sejak duduk di meja itu tadi hanya tertumpu pada Zafril dan Shania sahaja.
            “Safi tak kisahkan saya order menu ini?”
            Aku menghulurkan senyuman. “Saya okay je. Apa-apa pun boleh.”
            Selepas mengaminkan doa yang Hafiz bacakan aku dan dia mula menjamu selera, namun kadang-kadang mataku masih lagi memadang ke arah Zafril dan Shania. Mataku menghala ke arah Hafiz pula yang begitu berselera menjamu hidangan di hadapannya.
            “Hafiz, saya nak minta maaf sebab saya tak tunaikan janji saya untuk call awak semula Saya betul-betul terlupa.” Malu juga aku untuk membuka kisah itu semula. Janjiku padanya bukan baru seminggu dua tetapi telah lama tidak ditunaikan.
            “Tak apa, saya faham.”
            Senang hatiku apabila mendengar dia berkata begitu. “Berapa ye saya kena bayar?” aku tidak mahu melengah-lengahkan lagi perkara itu, lagi dilengahkan takut nanti dia akan terlupa terus tentang masalah yang satu ini.
            “Bayar?” kening Hafiz sudah berkerut seribu menandakan dia langsung tidak memahami maksud disebalik kata-kataku.
            “Bayaran kerosakan kereta Hafiz yang langgar hari tu.” Aku cuba mengingatkannya.
            “Oh, pasal kereta tu. Tak apalah, tak payah bayar, bukannya banyak sangat pun yang rosak.”
            “Eh, mana boleh macam tu. Saya yang langgar kereta Hafiz jadi saya mesti bertanggungjawab.” Aku masih berkeras, mahu membuat bayaran. Daripada pengamatanku, aku tahu dia seorang yang baik hati walaupun kami baru berjumpa dua kali. Tapi aku tidak mahu mengambil kesempatan atas kebaikannya itu.
            “Tak apa, tak payah.” Hafiz masih lagi berkeras sepertiku.
            “Tapi…”
            “Kalau Safi nak bayar juga, apa kata Safi bayar harga makanan tengah hari ni aje. Macam mana?” Hafiz membuat tawaran, membuat pertukaran denganku.
            Aku mengeluh, aku tahu dia pasti sudah bertekad tidak mahu aku membayar harga kerosakan kereta itu. Hendak atau tidak, aku terpaksa juga menerima pertukaran seperti mana yang dia cadangkan. Apalah sangat harga makanan tengah hari itu jika dibandingkan dengan kerosakkan keretanya, pasti mahalnya lebih berganda.
            “Hafiz dah lama kenal Nia?” sengaja aku menukar topik perbualan.
            “Kami satu kuliah masa kat U dulu. And she my best friend.” Hafiz membuka cerita.
            “Oh, jadi sebaya dengan Nialah ni?” Aku jadi teruja apabila mendengar kisah Hafiz itu. Aku tidak sangka Shania mempunyai kawan baik di Amerika, lelaki pula tu. Shania tidak pernah bercerita padaku sebelum ini.
            Hafiz mengangguk sambil mengunyah perlahan ayam yang baru dmasukkan ke dalam mulutnya.
            “Jadi Hafiz kena panggil saya kak safilahkan.?”
            Tersedak Hafiz apabila mendengar cadanganku itu. Dia menepuk perlahan dadanya. Aku yang terkejut melihat Hafiz tersedak, dengan pantas mengambil air kosong yang berada di atas meja, lalu aku serahkan kepadaya. Dia menyambut air yang kuhulurkan dan meneguknya perlahan. Setelah berasa lega, dia kembali memandangku semula.
            “Kenapa pula saya kena panggil Safi kakak?” protes Hafiz yang nampaknya tidak puas hati dengan cadanganku.
            “Iyalah Hafizkan sebaya Nia, saya pula tua dua tahun dari Nia. So, Hafiz kena panggil saya akaklah,” aku masih lagi cuba menyakinkanya agar menerima cadanganku.
            “Alah dua tahun je, bukannya jauh pun bezanya. Tak payahlah nak berakak-akak.”
            Aku menjungkitkan bahu, tidak mahu memaksanya.
            “Jom saya hantar Safi balik pejabat.” Hafiz mula bangun apabila kami selesai menjamu selera.
            “Er… tapi Nia macam mana?” Bukan aku bermaksud untuk menolak pelawaannya tapi bagaimana pula dengan Shania?
            “Tak apa Nia nanti abang sepupu dia boleh tolong hantarkan.”
            Aku mengerling memadang Zafril yang sedang rancak berbual dengan Shania. Terpancar wajah kegembiraan pada wajah mereka berdua saat ini. Dan aku yang tidak mahu menganggu mereka, mengambil keputusan untuk menerima cadangan Hafiz untuk berlalu meninggalkan restoran itu bersamanya.

Bersambung...

Friday, October 14, 2011

Ada Di Hati - Bab 23


BAB DUA PULUH TIGA
            Rancangan yang keudara di televisyen malam ini tidak langsung dapat menarik minatku. Puas ditukar daripada satu saluran ke satu saluran yang lain, namun tiada satu pun yang berjaya menarik perhatianku.
            “Ish, kau ni Safi, dari tadi bertukar-tukar saluran tv, kenapa?” Tegur Fitri yang baru sahaja muncul dari dapur sambil memegang dua mug ditangannya. Sebelum duduk dia meletakkan satu mug berisi ai coklat panan itu ke atas meja kopi dihadapanku.
            “Tak ada cerita yang bestlah malam ni.” Keluhku sambil meletakkan semula alat kawalan jauh itu ke atas meja.
            “Kalau macam tu apa kata, kita ronda-ronda KL nak. Tak pun lepak-lepak kat kedai mamak.” Cadang Fitri.
            “Ah, tak kuasa aku. Malam-malam macam nilah kita kena rehat. Esok nak kerja lagi tau.” Bantahku, tidak setuju sama sekalai dengan cadangan Fitri itu. Cadangan yang  bukan-bukan sahaja.
            “Tak adalah, aku tengok kau boring semacam je. Dah tu moody pulak tu. Tu yang aku bagi cadangan macam tu.”
            “Mana ada aku moody. Aku biasa jelah.” Tungkasku pantas.
            “Eleh, tak payah nak tipu akulah. Sejak Zafril pegi Manila tiga hari lepas kau memang dah lain macam je aku tengok. Takkan rindu sakan kot.”
            “Banyaklah kau.” Aku mengambil bantal sofa dan mencampakan ke arah Fitri yang sudah tertawa kuat. Geram aku. Bagaimana dengan mudah saja dia dapat membaca perubahan sikapku kebelakang ini.
            Aku dan Fiti berpandangan sesama sendiri apabila loceng rumah berbunyi. Aku mengerling jam dinding yang menghampiri pukul 11 malam. Siapa pula yang bertandang ke rumahku malam-malam begini.
            “Tak apa, biar aku pergi tengok.” Fitri pantas menuju ke pintu rumah.
            Aku pula tiada mood ingin mengetahui siapa yang berhajat bertandang waktu-waktu begini. Setelah meneguk sedikit air coklat yang dibancuh Fitri, aku terus berbaring di sofa, sengaja mahu merehatkan diri di situ sebelum masuk ke bilik untuk tidur. Masih teralu awal untukku masuk tidur.
            “Safi, ada orang nak jumpa!” Laung Fitri dari muka pintu.
            “Siapa?” Soalku, malas mahu bangun dari pembaringan. Tapi siapa pula yang mahu berjumpa denganku malam-malam begini,
            “Alah, cepatlah sikit. Banyak soallah kau ni.”
            Aku segera bangun dari pembaringan dan menjenguk kepala melihat Fitri yang masih lagi terpacak di depan pintu rumah. Fitri membuat isyarat tangan agar aku memakai tudung. Kenapa perlu bertudung pula? Aku yang malas mahu berfikir panjang terus menuju ke bilik dan menyambar tudung berwarna hitam dan menyarungkannya ke kepalaku.
            Selesai menggenakan jtudung, aku mendapatkan Fitri yang masih lagi tidak berganjak dari pintu masuk rumah. Setelah berada di sebelah Fitri, aku terkedu seketika melihat Zafril sedang berdiri di hadapan pintu rumahku.
            “Encik Zafril...” terkedu aku seketika. Hanya namanya yang mampu keluar dari mulutku. “Bila balik dari Manila?” soalku teruja apabila melihat Zafril yang kini berada di hadapanku. Rasa lega mula menyelinap di dalam diriku. Rasa rindu yang mengunung pada lelaki itu sejak keberangkatannya ke Manila tiga hari lalu terubat dengan melihat kemunculannya di hadapanku. Senyuman terus terukir di bibirnya sedari tadi.
            “Baru aje sampai.”
            “Kenapa awal sangat balik? Kata pergi sana seminggu?”
            “Tak bolehlah duduk sana lama-lama,”
            “Kenapa pula?” soalku tidak mengerti.  
“Sebab hati saya ada kat sini”
Aku tersenyum malu mendengar kata-kata yang dilukiskan oleh bibir Zafril. Tidak terkeluar kata-kata balas dariku. Fitri yang berada di sebelahku terus menyikuku menyebabkan aku terjerit kecil, terperanjat dengan tindakannya itu. Zafril dan Fitri tertawa kecil melihat tingahku.
“Untuk awak” Zafril menyerahkan sebuah kotak yang dibalut kemas beserta sekeping kad yang ditampal di atas kotak yang berbalut dengan pembalut yang berwarna merah hati.
“Untuk saya?” Soalku tidak percaya, Aku mengerling Fitri yang masih lagi tidak berganjak dari tempat dia berdiri tadi. Langsung tiada tanda-tanda dia akan masuk ke dalam rumah. Dia masih lagi menjadi pendengar setia antara aku dan zafril.
“Ha’ah, oleh-oleh dari Manila.”
Aku menyambut hadiah dari tangan zafril. Kembang hatiku menerima hadiah daripadanya, apalah agaknya hadiah dari seberang laut itu. Tidak sabar aku ingin membukanya.
“Ish ish… Siap berkad-kad lagi hah” Ujar Fitri sambil mengerling padaku dan seketika pada Zafril pula. “Cepatlah buka Safi.”
Aku membesarkan mataku pada Fitri. Merepek sahaja Fitri ini, kalau tidak sabar sekalipun tunggulah Zafril pulang dahulu, takkan nak dibuka hadiah ini di depan Zafril pula.
“Alah aku bukan suruh kau buka hadiahlah, buka kad tu je.” Fitri yang seperti tahu sahaja akan kata hatiku terus membela diri. “Kalau buka kad tu sekarang tak apakan?” Fitri menyoal Zafril pula apabila aku masih lagi tidak mahu menurut katanya.
“Tak apa. Bukalah.” Zafril memberikan kebenaran.
Aku menelan liur apabila Zafril memberikan kebenaran itu. Antara hendak dan tidak, aku terpaksa juga menarik keluar kad itu apabila Fitri sudah mengendeng rapat di sebelahku untuk mengetahui isi kad itu. Dalam masa yang sama, hatiku turut berdebar untuk membaca bait-bait kad di dalam kad itu.
‘Hanya untukmu. Ikhlas daripada Zafril. Mahal Kita’
Kali ini lututku bergetar hebat. Kaki pula seolah-olah tidak lagi berpijak di bumi apabila membaca tulisan tangannya. Aku masih lagi merenung kad itu, sedikit pun aku tidak memandangnya yang berada di hadapanku. Rasa malu mula menghimpit saat ini.
“Mahal kita? Apa pula tu? Tak fahamlah.” Terus Fitri menyoal.
Aku mengetap bibir mendengar soalan dari Fitri. Takkan itu pun Fitri tidak faham, tidak mungkin dia tidak pernah menonton drama Filipina selama ini. Biar apa pun yang terjadi aku tidak akan menjawab soalan Fitri itu, tidak akan sesekali soalan itu aku jawab di hadapan Zafril.
“Oh, Bahasa Tagalong tu. Fitri tak faham ke?” Soal Zafril pada Fitri. Fitri pula mengeleng kepalanya. “Safi pun tak faham?” Zafril menyoalku pula.
“Tak.” Pantas aku menjawab dan menafikan, sedangkan aku faham benar dengan makna kata-kata yang tercatat di dalam kad itu. Wajahku masih lagi tertunduk enggan memandangnya.
“Kalau macam tu tak apalah biar saya terjemahkan. Mahal kita tu maksudnya…”
“Eh, tak apa Encik Zafril, saya faham.” Aku terus mengangkat semula wajahku memandang Zafril dan sekaligus menghalang zafril dari meneruskan kata-katanya.
Zafril tersenyum melihatku yang sudah kalut semacam. “Betul ni awak faham?” Zafril masih lagi terus mengusikku.
Aku mengangguk laju dan berharap dia tidak meneruskan niatnya menterjemahkan kata-kata itu, tambahan pula di hadapan Fitri. Aduh, malunya hanya Tuhan yang tahu.
“Ish, kau ni safi, sekejap tak faham, sekejap faham. Yang mana satu betul ni? Er… Encik Zafril takkan oleh-oleh untuk Safi je, untuk saya tak ada ke?”
Aku dan Zafril tertawa kecil mendengar kata-kata Fitri. Itulah Fitri begitu mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
“Ada, nah.” Zafril menghulurkan sebuah beg kertas berwarna biru pada Fitri.
Fitri menyambut beg kertas itu dengan hati yang girang, mungkin dia tidak menyangka yang Zafril turut membelikannya oleh-oleh sedangkan dia tidaklah begitu rapat dengan Zafril. Mereka hanya pernah berbual sekali dua sahaja.
“Terima kasih.” Senyuman Fitri bertambah melebar sebak sahaja melihat barang yang terdapat di dalam beg kertas itu.
“Dah lewat malam dah ni. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” Zafril terus melangkah.
“Encik Zafril!”
Zafril yang sudah terlajak beberapa langkah, kini kembali menghentikan langkahnya dan berpaling ke arahku.
“Terima kasih.”
Zafril cuma tersenyum mendengar ucapan terima kasih dariku. Dan sebelum dia meneruskan langkahnya, sempat juga dia mengenyitkan matanya padaku.
Aku tersenyum melihat ulahnya. Aku terus memadangnya sehingga kelibatnya menaiki lif. Belum sempat aku membuka langkah memasuki rumah, Fitri menarik tanganku dan membawaku ke balkoni rumah. Mata Fitri mula menyelinap di setiap sudut tempat meletak kenderaan pangsapuri itu.
Beberapa saat kemudian Zafril muncul di bawah dan menaiki teksi KLIA yang sedia menantinya di situ.
“Amboi, tak sempat-sempat nak balik rumah dulu, terus melencong ke sini. Tak sabar nak jumpa kaulah tu. Maklumlah tiga hari tak jumpa. Rindu dah membuak-buaklah tu.” Fitri terus mengusikku.
“Ish, merepek aje kau ni.” Nafiku. Melihat sahaja teksi yang dinaiki Zafril telah berlalu pergi barulah aku masuk semula ke dalam rumah dan terus menuju ke bilik. Fitri pula menuju ke pintu rumah untuk mengunci pintu yang masih terbuka luas.
Aku melabuhkan punggung di atas katil, hadiah pemberian Zafril kutatap sekali lagi.
            “Alah buka jelah yang ditenung-tenung tu buat apa?” Fitri meluru masuk dan duduk di sebelahku. “Bukalah cepat, excited pula nak tahu apa yang ada kat dalam tu.” Fitri pula yang terlebih teruja untuk melihat isi kandungan kotak berbalut merah itu. Dia merapatkan dirinya denganku.
Pembalut merah itu kubuka dengan teliti. Sebuah kotak berwarna coklat terhidang di depan mataku saat ini. Dengan perlahan aku membuka penutup yang menutup kotak itu. Sebaik sahaja penutup kotak terbuka, aku mengeluarkan sepasang baju. Baju itu seakan-akan baju kebaya labuh berwarna putih yang hampir sarat dengan manik. Baju berkain satin membuatkanku terpesona. Jahitannya yang halus dan potongan baju itu menarik, betul-betul menambat hatiku.
“Amboi… cantiknya baju.” Fitri mengambi baju yang masih di dalam peganganku dan dia lantas bangun dan membelek-belek baju itu.
“Macam baju pegantin pula aku rasa ni hah.” Tambah Fitri lagi. “Eh, safi cepatlah pergi cuba.” Desak Fitri, baju itu masih lagi di tangannya dan dia masih membelek-belek baju berwarna putih itu.
“Nantilah, esok jelah aku cuba, dah malam ni. Aku nak tidurlah, esok nak kerja.” dalihku, entah kenapa aku jadi segan untuk memcuba baju itu di hadapan Fitri. Lebih-lebih lagi apabila Fitri telah menyatakan baju itu seperti baju pengantin, perasaan malu itu makin laju menyelusuri hatiku.
“Okaylah, tapi esok masa kau nak cuba bagitahu aku ye, aku nak tengok.” Fitri menyerahkan semula baju itu padaku kemudian setelah mengucapkan selamat malam dia terus berlalu dari bilikku.
Baju yang masih di dalam gengamanku itu kurenung sekali lagi. Aku menyimpan semula baju itu ke dalam kotak. Walaupun baju itu berjaya mengamit hatiku tetapi tumpuan dan perhatianku hanya lebih menjurus pada kad yang turut diberikan Zafril.
Aku membuka semula kad yang tadinya tersimpan rapi. Aku membaca semula setiap bait-bait kata di dalam kad itu. Mahal kita, hatiku berbisik membaca ayat itu berulang kali tanpa jemu. Apakah maksud Zafril di sebalik ayat yang diungkap dalam Bahasa Tagalong itu? Benarkah ayat itu luahan hati Zafril pada diriku?
Mahal kita. Aku cinta padamu.
Aku cuba meredakan degupan hati yang semakin tidak keruan kebelakangan ini. Terasa diri telah dilamun satu perasaan yang tidak pernah aku rasai selama ini. Perasaan yang memaksa bibirku meluahkan apa yang telah tertulis di hati saat ini. Dan hatiku yang turut diulit rasa cinta itu seolah-olah minta diluahkan.

Bersambung...

Monday, October 10, 2011

Ada Di Hati - Bab 22


DUA PULUH DUA
            Masih terlalu awal untukku memulakan tugasku pagi ini. Waktu pejabat masih belum bermula. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk berbual dengan Amy terlebih dahulu di ruang penyambut tetamu. Macam-macam perkara yang kami bualkan dan pastinya Amy yang lebih mendominasi topik perbualan seperti biasa.
            “Assalamualaikum!”
            Serentak dengan itu aku dan Amy menoleh lalu memandang pemilik suara yang  kini berdiri berhampiran kami.
            “Eh, Encik Zafril kenapa datang juga kerja hari ni?” Aku terus bangun, berdiri memandang Zafril. Terkejut dengan kehadirannya di situ. Sewaktu dia menghubungiku malam semalam, aku sudah menasihatinya agar berehat saja di rumah memandangkan luka di tangan kanannya itu masih belum sembuh sepenuhnya.
            “Hai, semua.” Fazura yang baru sahja tiba di pejabat terus meluru ke meja penyambut tetamu. Dengan selambanya pula, dia merangkul lengan Zafril, lalu menyebabkan Zafril terjerit kecil, menahan kesakitan.
            “Eh, kenapa dengan lengan you ni? Sakit ke?” Soal Fazura apabila Zafril menolak kedua-dua tangannya yang baru sahaja ingin merangkul lengan Zafril. Fazura cuba menyelak lengan baju t-shirt yang dipakai Zafril, namun dengan pantas Zafril menegahnya.
            “Tak adalah, luka sikit je.”
            “Luka?” Lantang suara Fazura kedengaran.  “Macam mana boleh luka? Bila you kena?”
            “Dua hari lepas. Tak ada apalah, hal kecil je.” Zafril masih lagi menjawab dengan lembut setiap soalan yang Fazura ajukan. Namun dia masih tidak mahu bercerita dengan tepat mengapa dia menjadi sebegitu.
            “Kenapa you tak berehat kat rumah je? Mesti luka you tu belum baik lagikan.” Fazura kelihatan betul-betul risau dengan keadaan Zafril.
            “Tak ada apalah Zura, sikit je ni. Lagipun I banyak kerja lagi nak buat ni. Okaylah, I nak masuk bilik dulu, nanti ada masa kita berbual lagi.” Zafril seolah-olah ingin mengelak daripada terus diasak dengan soalan-soalan daripada Fazura padanya.
            “Safi, masuk bilik saya sekarang.” Arah Zafril padaku sebelum dia terus berlalu ke biliknya.
            Mendengar sahaja arahan daripadanya itu, aku dengan pantas melangkah menuju ke biliknya. Sempat juga aku melambaikan tangan pada Amy, tanda aku harus berlalu segera.  Setelah mendapat kebenaran masuk darinya barulah aku masuk ke dalam bilik itu.
            “Ada apa encik Zafril?” Soalku pada Zafril yang sedang berdiri di sisi tingkap biliknya. Zafril segera berpusing memandangku. Lama sekali dia memandangku tanpa sebarang kata yang meniti di bibirnya.
            “Encik Zafril…” terpaksa juga aku membuat panggilan itu. Namun Zafril masih enggank bersuara dan hanya tersenyum panjang. Senyumannya mengundahkan hatiku. Penampilan Zafril hari ini betul-betul menambat hatiku. Walaupun hanya mengenakan t-shirt berlengan pendek dan seluar jeans biru, hatiku bagai terikat. Bukan aku tidak pernah melihat dia berpenampilan begitu sebelum ini tapi entah mengapa waktu ini dia benar-benar dapat mencuri hati hawaku.
            “Mama kirim kuih untuk awak.” Ujar Zafril sambil menyerahkan bungkusan yang tadinya berada di atas mejanya padaku.
            “Untuk saya?” Sekali lagi aku terkejut. Masih ada rasa ragu untuk menyambut bungkusan dari tangannya. Benarkah untukku?
            Zafril mengangguk kecil dan kemudian barulah aku menyambut bekas plastik itu. Makcik Hasnah memang baik orangnya. Sewaktu aku bermalam di rumahnya dua hari lalu, Makcik Hasnah melayanku dengan begitu baik sekali. Aku juga tidak dibenarkan pulang pada keesokkan harinya sebelum aku bersarapan dan makan tengahari di rumahnya. Sudah puas dan pelbagai alasan yang aku berikan untuk menolak tetapi Makcik Hasnah tetap berkeras. Lalu aku terpaksa juga menurut setiap kata ibu kepada bosku itu.
            “Macam mana dengan luka Encik Zafril? Dah elok?”
            “Dah okay dah.”
            Aku jadi gugup apabila dia lebih banyak tersenyum dan memandangku sahaja daripada bersuara. “Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu encik.” Serentak dengan itu aku meluru laju menuju ke pintu. Namun sewaktu aku ingin menutup pintu aku berpaling semula padanya.
            “Saya rasa hari ni biar saya batalkan semua temujanji encik. Lagipun tangan encik belum sembuh sangat, jadi saya rasa baik encik tak attend apa-apa temujanji  hari ni” entah kenapa aku seberani itu membuat keputusan buat Zafril? Yang pastinya semua itu tidak akan berlaku jika tidak ada rasa gusar dihatiku tetang kesihatannya. Namun apakah makna semua itu?
            “Pandai awak baca hati saya, ya” Zafril masih terus mengukir senyumannya. “Bagus juga tu, saya ingat hari ni memang saya tak nak keluar ke mana-mana. Saya cuma nak siapkan kertas kerja projek tender kerajaan kerajaan itu aje, lagipun hujung minggu ni saya nak ke Manila. ”
            Manila? Hatiku tersentak seketika. Kenapa aku tidak tahu dia akan ke Manila? Dalam jadual kerjanya juga tidak terselit agenda untuk ke Manila. Dia tidak pernah memberitahuku pun.
            “Berapa lama? Atas urusan apa?” Terus sahaja aku bertanya dan kakiku sudah melangkah masuk semula ke dalam bilik dan mengadap dirinya.
            “Kak Anni ada kat Manila sekarang ni, ikut husband dia berkursus kat sana. Jadi mama plan nak jumpa Kak Anni kat sana sambil berkumpul satu family. Maybe saya pergi dalam seminggu macam tu.”
            “Oh,” hanya itu yang terluah dari bibirku. Seminggu? Aku menelan liur. Satu rasa kurang enak menjalar dalam diriku.
            “Kenapa? Nak ikut? Kalau nak ikut, Safi kena jadi sebahagian daripada keluarga saya dulu! Boleh?” Zafril mula mengangkat keningnya beberapa kali.
            “Tak adalah encik Zafril. Saja saya nak tahu. Lagipun senang saya nak maklumkan pada sesiapa yang cari encik Zafril nanti” Mujur sempat aku merangka jawapan itu. Selamat! Namun aku tidak rasa gembira dengan jawapan yang aku berikan kerana jawapan yang aku hulurkan itu tidak langsung menjawab pertanyaan Zafril sebentar tadi.
           
ZAFRIL berjalan laju menuju ke arahku yang sedang menantinya di dalam kereta. Tidak pasal-pasal aku terpaksa meminjam kereta Myvi Fitri hari ini. Semuanya gara-gara permintaannya yang mahu aku menghantarnya ke KLIA. Entah mengapalah dia tidak mahu berangkat bersama-sama dengan ibu dan ayahnya sedangkan mereka akan pergi bersama hari ini. Akhirnya aku yang menjadi mangsa menjemputnya di kondominiumnya itu.
            “Sorry Safi” soalnya apabila sudah berada di dalam kereta.
            Aku hanya tersenyum menerima ungkapan itu daripadanya. Sepatutnya aku yang menghulurkan perkataan maaf itu kepadanya  kerana sewaktu aku sampai tadi dia yang menunggu diriku, bukan aku yang menunggunya.
            “Tak apa ke awak hantar saya ke KLIA ni?”
            “Tak apalah encik, lagipun saya tak ada buat apa pun hari ni.” Jawabku sambil tenang memulakan pemanduan. Sebenarnya aku juga gembira kerana dapat menghantarnya berangkat hari ini, sekurang-kurangnya aku dapat melihatnya dengan lebih lama sebelum dia menghilangkan diri minggu ini.
            “Tak keluar dengan boyfriend ke hari ni?” Zafril tertawa kecil dan memusingkan badannya, menghadapku.
            Berkerut dahiku mendengar soalannya. Sebelum ini tak pernah pun dia bertanya begitu padaku? Hendak sangatkah dirinya aku mempunyai teman lelaki?
            “Hari ni tak. Sebab dia outstation.” Sengaja aku memberikan jawapan itu padanya. Ingin menduga reaksi daripadanya. Aku mengerling seketika padanya, mencuri melihat reaksinya. Zafril kelihatan benar-benar terkejut. Hilang terus senyuman yang bergayut di bibirnya tadi. Aku sudah ketawa di dalam hati, gembira melihat reaksi yang diberikannya.
            “Awak dah ada teman lelaki ke?” Lemah sahaja nada yang digunakan, dan ianya mengundang tawaku dalam diam.
            “Kenapa, orang macam saya ni tak layak ada teman lelaki ke?” Aku masih lagi terus cuba mengusiknya. Wajahnya yang sudah berubah suram itu mencuit hatiku tapi aku masih berlagak selamba seolah-olah aku amat bersungguh-sungguh dengan semua kata-kataku.
            “Bukan macam tu, cuma…” terus sahaja Zafril diam seribu bahasa. Wajah telah dipalingkan kehadapan, memandang kereta yang laju menyusuri jalan di hadapan kereta Myvi yang aku pandu.
            “Cuma apa?” Aku masih terus mengasaknya. Sesekali dapat mengenakannya pun bagus juga. Selalunya hanya dia sahaja yang menggenakanku, sekarang giliran dia pula yang terkena.
            Zafril menggelangkan kepala, namun matanya masih lagi tidak mahu memandangku. “Tak ada apa-apalah.” Katanya sambil membuka radio yang sedia tertutup dari tadi.
Binggit telingaku apabila dia membuka radio itu selantang itu. Ingin sahaja aku menutup siaran radio itu, tak pun memerlahankan suaranya, tapi entah kenapa aku hanya membiarkan setiap tindakannya itu.
            Namun tidak sampai dua minit, dia menutup semula radio yang dia sendiri pasang. Kali ini dia terus tepat merenungku. Aku yang pelik dengan sikapnya itu, mengerling seketika padanya.
            “Siapa teman lelaki awak tu?” serius sahaja nadanya kali ini. Senyuman yang menghiasi bibirnya tadi sudah hilang sama sekali.
            “Apa?” 
            “Saya tanya, siapa teman lelaki awak tu?” sepatah-sepatah Zafril mengeluarkan setiap perkataan itu.
            “Entah!” Jawapku ringkas.
            Kini dahi Zafril pula yang berkerut seribu. “Entah? Maksud awak?”
            “Entah tu maksudnya saya belum ada teman lelaki lagilah, encik Zafril.” Akhirnya aku berterus-terang juga. Tak sanggup pula melihat wajah masamnya, hilang seri terus wajah itu.
            “Habis tu tadi yang awak cakap teman lelaki awak pergi outstation tu?” Zafril masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapanku.
            Aku tertawa kecil. “Mana ada, saya tipu jelah.”
            “Betul?” Soal Zafril tegas.
            “Betullah.” Jawabku.
            Zafril menghela nafas seketika. “Awak ni memang sengaja nak saya kena sakit jantungkan.”
Aku kurang jelas dengan maksud kata-katanya namun aku tidak terniat pula ingin bertanya dengan lebih lanjut.
“Sekali lagi awak buat macam tu, saya potong gaji awak.” Ugut Zafril separuh mengusik dan aku hanya mampu tersenyum memandangnya.
Sepanjang perjalanan, aku dan Zafril berbual pelbagai perkara. Sedar-sedar sahaja aku sudah sampai ke bumi Sepang ini. Kelam kabut aku memarkir kereta dan bergerak masuk ke dalam bangunan yang serba indah itu. Sebentar lagi dia perlu masuk ke balai berlepas, ibunya sudah menghubunginya berkali namun dia masih lagi selamba. Bergerak perlahan tanpa sebarang rasa gusar dan cemas takut penerbangan terlepas, aku pula yang beria-ia mencari kelibat ibunya di lapangan terbang ini.
“Encik ni cepatlah sikit, nanti terlepas penerbangan baru tahu.” Bebelku apabila dia masih lagi melangkah perlahan. Geram betul dengan sikap selambanya itu. Sudahlah tadi sewaktu di lebuh raya aku tidak dibenarkan langsung memandu di lorong kanan. Setiap kali aku memberi isyarat untuk memasuki lorong tu dia akan menegah, tidak membenarkanku memasuki lorong itu. Akibatnya dia sendiri terlambat begini.
“Tak lari ke mana kapal terbang tu.” Zafril cuba membela diri.
“Memanglah kapal terbang tu tak boleh berlari, tapi kapal terbang tu boleh terbang tinggalkan encik sesorang kat sini, faham!” Aku sudah bercekak pinggang memandangnya yang masih memperlahankan hayunan langkah.
Zafril tersenyum simpul. “Apa pula, awak kan ada kat sini, temankan saya. So, saya nak kisah apa kalau kapal terbang tu nak tinggalkan saya berkali-kali pun, asalkan awak ada.”
Aduh, aku sedang serius boleh pula dia melawak di saat genting begini. Memang nak kena Zafril ni. Sudah malas aku mahu berlawan kata dengannya.
“Hah, itu mama encik.” Aku menghalakan jari ke arah Makcik Hasnah dan suaminya yang sedang melambai pada kami. Melihat ibunya barulah dia berlari-lari anak mendapatkan ibunya, meninggalkan aku sendiri mengejar langkahnya. Huh, tahu takut bila nampak ibunya sudah muncung sedepa.
“Alah, mama ni, lambat sikit je pun.” Itulah ayat yang aku dengar keluar dari bibirnya sebaik sahaja aku melangkah mendekati mereka sekeluarga.
“Sikit apanya, mama dan papa dah nak masuk tahu.” Bebel makcik Hasnah.
“Assalamualaikum, makcik, pakcik.” Aku bersalaman dengan Makcik Hasnah sengaja mahu mematikan bebelannya pada anak bujangnya.
“Waalaikumusalam. Safi sihat?” Pakcik Zul melemparkan senyuman padaku. Lelaki ini memang murah dengan senyuman.
“Alhamdulillah sihat pakcik.”
“Okaylah Safi, makcik dah nak masuk ni. Nanti lambat pula.” Makcik Hasnah meminta kebenaran.
Aku hanya menganggukkan kepala membenarkan. Tampak yang makcik Hasnah risau akan ketinggalan penerbangan.
“Mama dan papa, masuk dulu ye.” Kata Zafril pada ibunya.
Makcik Hasnah memandang Zafril seketika kemudian dia memandangku, sebelum dia tersenyum-senyum. “Yelah, mama bagi chance ni. Tapi jangan lama-lama sangat.” Ujar makcik Hasanh sebelum berlalu bersama suaminya.
Malu aku jadinya dengan kata-kata Puan hasnah itu,  dan mataku hanya mampu memerhati langkah suami steri yang berpegangan tangan itu, tampak begitu romantik walaupun di usia emas begini.
“Apa kata awak ikut saya sekali ke Manila?”
“Hah?” Terperanjat aku mendengarkannya. Pantas aku memandang wajahnya. Aku sudah mendengar soalan itu tiga hari lalu dan aku sudah menyatakan tidak mahu, tetapi hari ini dia masih lagi mengulangi soalan yang sama.
“Encik Zafril, mana sempat, flight dah nak bertolak ni. Tiket pun saya tak ada.” Segera aku memberikan alasan yang logik padanya.
“Tak apa, saya ada kawan kerja kat sini. Dia boleh tolong.”
“Encik, saya sehelai sepinggang je ni. Satu baju pun saya tak bawa lagipun…”
“Tak apa yang tu saya boleh belikan kat sana.” Zafril terus memotong kataku. Bersungguh-sungguh pula dia kali ini.
“Encik, saya ni manalah ada passport” Aku terus memberikan alasan dan Zafril mengeluh berat, nampaknya alasanku kali ini dapat diterimanya.
“Okaylah kalau macam tu.” Lemah sahaja nadanya.
Aku hanya mampu mengelengkan kepala dan tersenyum. Entah kenapalah dengan Zafril hari ini. Namun dalam diam hatiku sangat gembira dengan setiap tutur katanya hari ini.
“Rasa berat pula nak tingggalkan Malaysia ni” Zafril tunduk seketika. “Thanks coz sudi hantar saya ke sini. Drive carefully nanti. Saya masuk dulu, jaga diri. Assamualaikum.” Zafril melemparkan sebuah senyuman padaku sebelum berlalu.
Aku turut tersenyum, hati menjawb salam yang dihulurkan itu. Rasa gembira mendengar setiap kata-kata nasihat daripdanya itu. Namun dalam hati tetap terasa pilu menghantar pemergiannya walaupun hanya seminggu jarak yang akan memisahkan aku dengannya. Apakah itu tandanya dia sudah mula ada di hatiku?
“Encik Zafril…” Jeritku lantang, cuba melawan riuh suasana di lapangan terbang itu.
Zafril menghentikan langkahnya lalu memandang tepat ke arahku.
“Jaga diri!” Luahku. Biarpun ringkas pesanan itu, namun kalau Zafril dapat merasai apa yang ada dihatiku kala ini, pasti dia akan dapat merasakan betapa besarnya makna pesananku itu. Semoga dia selamat pergi dan pulang, doaku dalam hati!

Bersambung...