Sunday, September 28, 2014

Bab 1 - Calon



1
           
            Lama Uzair merenung seutas gelang tangan bertakthakan berlian. Reka bentuknya begitu klasik namun masih mengekalkan ciri-ciri kemewahan. Dia hanya memandang tanpa sentuhan. Persoalannya untuk apa gelang itu ditayangkan padanya pada ketika ini?
            “Gelang ni wan punya?” Uzair sekadar meneka.
            Zaiton menggeleng sambil tekun memerhati kertas dipandangan. Kemudian terukir sebuah senyuman kecil. Dia tahu cucunya itu tentu tidak dapat mengagak apa-apa. Rancangan yang telah diatur dengan sebegitu rapi pastinya akan membuahkan hasil. Sekaligus memberikan jawapan yang selama ini didambakan. Dia sudah tidak punya sesiapa selain Uzair. 
            “Untuk cucu menantu wan.” Zaiton senyum lagi.
            “Wan ni, tak habis-habis cucu menantu.” Kening Uzair mula berkerut. Duduknya kian bersandar. Kalau dah bertemu dengan neneknya, dia takkan terlepas daripada persoalan tentang kahwin.
            “Itulah masalah Uzair. Wan minta bawa dia jumpa Wan pun Uzair tak nak. Uzair sendiri yang bagi tahu wan yang Uzair dah ada calon. Jadi apa masalahnya?” cermin mata yang tadinya dipakai untuk membaca buku  mula ditanggalkan. Kini fokus Zaiton hanya pada cucu kesayangannya. Sejak berumur enam tahun, dialah yang bertanggungjawab membela Uzair. Jadi dia cukup masak dengan perangai Uzair.
            Uzair kelu. Mencari ayat yang sesuai untuk dilontarkan. Ya, memang dia pernah memaklumkan tentang hal itu pada neneknya. Tapi itu semua kebohongan. Sengaja direka bagi mententeramkan hati seorang nenek yang terlalu ingin melihat dia mendirikan rumahtangga. Lebih-lebih lagi selepas kejadian itu. Hakikatnya dia masih lagi seperti dahulu.
            “Memanglah ada wan, tapi tak payahlah wan nak bazirkan duit, hadiahkan gelang ni untuk dia. Uzair tak sukalah manjakan bakal isteri Uzair dengan barang-barang mewah ni.” Jawapan itu dirasakan cukup tepat untuk mengelak.
            “Uzair, ni gelang pusaka. Wan dapat daripada moyang kamu masa Wan kahwin dengan arwah Tok Wan kamu dulu. Sekarang dah sampai masa Wan serahkan gelang ni pada bakal cucu menantu Wan.” Zaiton membidas mudah. Dia terlebih dahulu makan garam. Mustahil Uzair boleh menang. Gelang itu sudah kembali ke dalam simpanannya setelah menantunya, Julia pergi buat selama-lamanya.
“Kalau  Uzair tak nak serahkan gelang ni pada dia tak apa. Biar Wan yang serahkan. Uzair Cuma perlu bawa dia jumpa Wan aje. Bolehkan?”
            “Tak apa Wan. Biar Uzair yang serah sendiri.” Gelang di atas meja segera dicapai. Uzair tidak boleh buka ruang. Siapa yang dia nak bawa jumpa dengan Wan? Itu situasi yang sangat berbahaya. Harus dielakkan.
            “Terpulang. Tapi ingat... jangan pula Uzair simpan sendiri gelang ni. Kalau Wan jumpa, siap. Uzair tahukan Wan macam mana?” Amaran diberikan.
            Uzair sekadar mengangguk. Dia tahu. Cukup tahu! tempoh 23 tahun membesar bersama Wan menjadikan dia tidak ada keberanian untuk sorok gelang itu sebagai jalan penyelesaian. Kuncu-kuncu Wan lebih ramai daripada kuncu-kuncu gengster. Dengan mudah saja dia akan tertangkap. Misi sukar bermula. Namun dia yakin setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.
            “Tutup pasal bakal cucu menantu wan. Sekarang wan nak tanya, bila Uzair nak ambil alih tugas wan?
            “Uzair tak ready lagilah, wan.”
            “Tapi sampai bila?” Zaiton tidak puas hati. Dia mengharapkan Uzair menyambung legasi perjuangannya. Menyalurkan khidmat bakti untuk agama, bangsa dan negara. “Uzair dah 29 tahun tau. Uzair tak fikir masa depan? Asyiklah dengan lukisan? Sia-sia Uzair belajar sampai luar negara kalau Uzair nak jadi pelukis jalanan.”
            Uzair hanya tunduk. Cuba memekakkan telinga. Ayat yang dihamburkan keluar oleh neneknya sudah terlalu biasa didengar. Ayat yang sama juga diulang saban hari. Sehingga sudah berjaya dihafal.
            “Wan bagi Uzair masa lagi.”
            “Huh, Uzair memang tak sayangkan wan.” Zaiton alih pandangan. Pura-pura merajuk.
            “Uzair janji, sampai masa nanti, Uzair akan jadi macam yang wan nak. Wan tunggu aje.”
            “Tunggu... tunggu... tunggu... tu ajelah jawapan. Uzair tahukan lepas ni wan akan joint politik. Habis siapa nak jaga Rimbun Safa?”
            “Mujur ada jawapan. Kalau tak ada.” Uzair ketawa kecil.
            “Budak bertuah ni...” Wan angkat tangan. Mahu sahaja dilepuk Uzair. Tapi mustahil untuk dia lakukan itu pada cucu kesayangannya.

MACAM mana Kak? Berjaya tak?” Zainal, satu-satunya adik Zaiton tak sabar mahu tahu. Hatinya penuh harapan agar rancangan mereka berjaya. Dia juga mahu Uzair segera berkahwin. Dia sendiri tidak punya zuriat apatah lagi cucu. Kini mereka hanya mengharapkan Uzair.
            Zaiton tampakkan senyuman yang panjangnya mampu cecah telinga sambil menunjukkan ibu jari. Tidak perlu lagi untuk dia bersuara. Keyakinan sudah sampai tahap maksimum. Agak mustahil untuk gagal. Semuanya berjalan lancar.
            “Berita baik ni.” Perkhabaran itu sememangnya menggembirakan Zainal.
            “Cuma tinggal satu step aje lagi sebelum bakal cucu menantu kita terbongkar. Jadi, Nal kena tolong akak.”
            No prolem. Tolong apa?”
            “Sekejap lagi akak send gambar gelang tu kat Nal. Nal tolong sebarkan gambar tu kat internet.”
            “Itu tak jadi masalah kak. Tapi kalau nak nampak apa budak-budak sekarang ni cakap tu? Gempak? Hah, gempak, kenalah ada caption panas untuk gambar tu kak.” Cadangan sampai tepat pada masa.
            “Iya tak ya juga. Hurm...” Zaiton mula memikir. “Hah, idea dah mari.” Zaiton petik jari.
            “Apa dia kak?”
            “Gelang mewah untuk bakal cucu menantu Zaiton Salbi! Hah, okey tak caption macam tu?”
            “Mahal sangat ke harga gelang tu kak?” Zainal terkejut. Memang tak sangka.
            “Ish kau ni Nal. Manalah aku tahu harga gelang tu berapa. Akupun dapat percuma masa kahwin dengan arwah abang Halim dulu. Dah kau yang cakap tadi nak caption panas. Sajalah aku reka.”
            Zainal ketawa besar. Tak terfikir pula dia. “Setuju. Caption terbaik yang pernah saya baca setakat ni. So, akak nak saya sebarkan bila pasal gelang mewah ni?”
            “Tak apa, sehari dua ni, kita biarkan dulu. Sampai masa nanti akak bagi tahu kau. Kau get ready ajelah.”
            “Okey kak. Tapi macam mana kalau calon kali ni pun...”
            “Tak mungkin.” Sepantas kilat Zaiton membidas. Itu tak mungkin berlaku. Dia juga runsing hal yang sama. Kerana itu dia mahu tahu siapa pilihan Uzair kali ini.

SETTLE!”
            “Kau biar settle betul-betul. Aku tak nak esok-esok ada masalah pula.” Uzair memang tidak senang. Rasa tidak berjiwa lukisan yang dari tadi mendapat sentuhan seninya.
            “Kau tak percaya aku ke?” Amri agak kecewa. Dia benar-benar berusaha keras untuk  membantu Uzair.
            “Bukan tak percaya. Kau pun kenal nenek aku tu kan? Kalau rancangan kita gagal lain pula jadinya.” Kegusaran yang bersarang disuarakan. Pensil yang tadinya menjadi peneman diletakkan. Dia sudah tidak mampu berkarya hanya kerana seutas gelang.
            “Jangan risaulah. Aku dah cari jumpa orang yang paling amanah kat Malaysia ni.” Yakin sajaAmri. Dia sendiri tidak boleh menyimpan gelang itu kerana dia merupakan teman rapat Uzair. Silap hari bulan, dia juga sedang diperhatikan.
            “Pendek cerita dia dah tahulah apa yang dia kena buat?”
            “Tahu. Kau tak payah risaulah. Aku dah terangkan. Kerja senang ajepun.”
            “Kalau macam tu baguslah. Barulah aku boleh lena tidur malam ni.”Uzair ketawa.
            “Tapi aku peliklah. Kenapa kau tak simpan kat bank aje? Kan lagi selamat?” satu-satunya perkara yang Amri tak faham.
            “Kau gila? nenek aku tu kawan bersepah-sepah. Pergilah ceruk manapun, ada aje kawan dia kat situ. Nak cari orang yang tak kenal dia lagi susah daripada nak cari orang yang kenal dia. Silap-silap, budak tadika pun kenal dia kau tau tak? Buatnya kawan dia ada kat bank tu, tak ke kantoi aku?”
            “Betul juga.” Amri setuju. Lupa pula status nenek Uzair. Bukan calang-calang orang. Pakar motivasi wanita terulung negara. Sebut saja Zaiton Salbi, satu Malaysia kenal. Wanita yang lantang bersuara. bersederhana dalam segala hal dan sentiasa merendah diri. Atas kesemua ciri yang dimiliki, tidak hairanlah beliau disenangi dan dikenali ramai. Lebih-lebih lagi sekarang. Satu Malaysia sedang tertunggu-tunggu. Ingin tahu parti politik mana bakal disertai oleh Zaiton Salbi.
            One more thing, Am. Apapun jadi, aku tak nak sesiapapun tahu identiti orang yang simpan gelang tu. Ingat!”
            “Aku tahulah. Takut sangatlah kau ni?” Amri beri jaminan. “Bila kau nak bagi gelang tu pada aku?”
            “Malam ni.”

Kata AH :
Terima kasih sudi membaca. INSYA'ALLAH JUMPA DALAM VERSI CETAK.

2 comments:

Unknown said...

Cerita baru.. mcm best je.. dh nk d bukukn ye.. tahniah.

Unknown said...

Hadoiii....... Baru bace bab 1 dah suke...... Cmner nk tunggu versi cetak..... Lambat tuuuuu

Post a Comment