Sunday, December 9, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 23 (Entry Akhir)


23
            Dari berbaring, kini aku duduk pula di atas katil. Jam sudah berganjak ke pukul satu pagi tapi mataku masih lagi tidak mahu lelap. Melilau aku memerhati sekitar bilik. Apa yang aku boleh buat untuk memudahkan aku tidur? Fikiranku sudah tepu, sibuk memikirkan perkara yang mengasak mindaku tiada henti. Hal-hal yang terjadi kebelakangan ini seolah telah menarik nikmat tidurku.
            Kaki aku turunkan, lantas aku berganjak ke meja kerja tulis. Buku-buku ilmiah yang berderet tersusun, aku tarik. Mungkin dengan membaca buku begini mataku akan mengantuk. Namun baru saja aku membaca muka surat pertama, aku sudah mula rasa bosan. Nampaknya usaha itu tidak berhasil. Jadi aku simpan semula buku tersebut.
Kini komputer riba aku hidupkan. Sudah lama rasanya aku tidak menjengah ke laman facebook. Aku bukanlah jenis yang rajin melayan laman sosial sebegini. Satu-satunya sebab aku membuka akaun ini adalah kerana desakan kawan-kawan sekuliahku di universiti dahulu. Senang kononnya nak berhubung selepas tamat pengajian. Tapi rasanya dengan perangaiku yang satu ini memang bukan mudah untuk mereka menemui aku.
            Mataku membulat melihat notification yang berderet-deret, lebih daripada seratus. Memang tidak mungkin aku akan menyemak satu-persatu notification itu. Lantas tetikus aku bawa ke profil. Sewaktu aku asyik membelek profilku, chat sound berbunyi, tanda ada yang menyapa. Melihat sahaja nama Zulhairi yang tertera, semangatku jadi lemah. Rasa malas mahu membalas sapaannya. ‘Macam mana boleh terlupa nak turn of chat ni?’ marahku pada diri.
Belum sempat aku memikirkan tindakan lanjut, sekali lagi ruangan sembang maya itu berbunyi, menandakan Zulhairi menghantar satu lagi pesanan.
+ x tido lagi ke?
Ayat yang sama diulangnya. Dalam hati mula berkira-kira, sama ada mahu membalasnya ataupun tidak? Apabila sudah empat kali ayat yang sama kelihatan, makanya hendak dan tidak aku perlu juga menjawab soalan itu.
- Tak!
+ x boleh tidur ke?
- Emm…
+ Amboi, sepatah aku tanya sepatah kau jawab. Knp ni?
Aku rasa Zulhairi sendiri sudah sedia maklum dengan keadaan aku sekarang ini, boleh pula dia bertanya lagi?
- Tak ada apa-apalah.
+ Kau janganlah macam ni Su. Kau buat aku makin x boleh tidur memikirkan kau, tahu x?
            Dia tidak boleh tidur memikirkan tentang aku? Masih pentingkah aku padanya? Macam tak boleh percaya aje.
- Zul, aku nak tanya sikit.
+ My pleasure.
- Siapa aku sebenarnya pada kau?
            Sebaik sahaja aku menekan kekunci enter, aku menelan liur. Entah apa yang merasukku sehingga aku boleh bertanyakan soalan sebegitu? Aku baca semula soalan yang aku berikan. Aduhai! Terasa macam mahu sahaja aku memadamnya. Tapi sudah terlambat! Belumpun sampai beberapa saat, aku sudah mendapat jawapan balas daripada Zulhairi.
+ Kawan baik akulah.
            Jawapan yang dia berikan sama seperti apa yang aku jangkakan. Mata aku pejamkan seketika. Memujuk hati yang sememangnya mengharapkan jawapan yang lebih memihak kepada perasaanku. Sudah lama kami berkawan, tidak mungkin dia akan menganggapku lebih daripada itu. Dan aku pula entah kenapa boleh timbul satu rasa yang tidak sepatutnya wujud antara aku dengannya?
+ Kenapa tanya soalan luar bidang ni?
- Tak ada apa-apalah.
+ Kau kenapa sebenarnya ni. Kau fikir pasal Wafi ke?
            Aku sudah merengus kasar. Tidak sah baginya jika tidak menyebut nama Wafi. Naik rimas aku dibuatnya. Malas aku mahu melayan. 
- Aku nak tidurlah. Nite.
+ Wei nanti dulu… aku x habis cakap lagi ni.
- Apa? Aku dah mengantuklah.
+ Aku harap kau bg Wafi 1 peluang.
- Kau ni dah kenapa sebenarnya? Kau betul-betul nak aku terima dia ke?
            Aku jadi marah. Tidak habis-habis perkara itu yang diulangnya. Ah, aku pun salah juga, mengapalah aku melayan dia berbual di ruangan ini walhal aku tahu semuanya bakal meninggalkan rasa sakit hati? Sepatutnya aku harus menjauhkan diri daripada Zulhairi. Bukankah itu niatku sejak dia mengeluarkan ayat-ayat yang menikam hati tempoh hari? Tapi entah kenapa apabila ianya berkaitan dengan Zulhairi, aku seolah-olah tidak boleh untuk tidak menghiraukan apa saja yang berkaitan dengan dirinya.
+ Yup, sebab kalau aku di tempat dia pun, aku nak aku diberikan peluang.
+ Kau tahukan aku tak cintakan dia?
- Tp cinta tukan bole datang kemudian.
- Kalau aku terima dia, kau yakin ke dia boleh bahagiakan aku?
+ Aku yakin kau akan bahagia dengan dia n aku tak rasa ada lelaki lain yang
   boleh bahagiakan kau selain dia.
            Ada Zul, ada lelaki lain yang boleh bahagiakan aku. Selama ini pun dia yang banyak bahagiakan aku. Tapi sekarang lelaki itu sudah tidak mahu meneruskannya lagi. Mungkin sudah jemu dan lelah agaknya. Kata-kata itu hanya terluah di hati sahaja.
+ Dia boleh jaga kau dengan adik2 kau.
            Tidak putus asa Zulhairi cuba menyatukan aku dan Wafi.
- Aku dah besarlah, aku boleh jaga diri sendiri. Aku boleh hidup tanpa lelaki!
            Dengan rasa geram yang masih bersisa, aku hantar kata-kata itu padanya.
+ Aku kenal kau, Su. Aku tahu kau mmg boleh. Tapi kau kena fikir masa depan Su, takkan kau x nak kahwin sampai bila2. Cuba jangan degil sangat.
- Dahlah aku nak tidur.
            Paksa aku kahwin, macamlah dia sudah kahwin! Hal perkahwinan dia dulupun aku yang tolong cover.  Alih-alih dia pula sibuk menjadi telangkai, cuba menyatukan aku dengan Wafi. Huh! Kalau aku tahu nak jadi macam ni, lebih baik aku teruskan aje misi aku untuk satukan dia dengan Madihah dulu.
Tanpa menunggu lebih lama, terus sahaja aku keluar dari laman sosial. Komputer riba aku matikan. Aku terus mendapatkan telefon bimbitku yang berdering lantang. Melihat nama Zulhairi, terus sahaja aku putuskan panggilannya dan mematikan telefonku. Sudah aku jangka dia akan menghubungiku melalui telefon bimbit. Aku tidak mahu bercakap dengannya jika dia masih mahu mendesak aku menerima Wafi. Susah sangatkah untuk dia memahami kehendak aku kali ini?
            Aku rebahkan diri ke katil dan mata aku pejamkan. Berharap akan ada lena yang datang, tapi bila mengenangkan perbualanku dan Zulhairi sebentar tadi, aku tak rasa yang aku akan berjaya melelapkan mata hingga ke pagi.  

PETANG ini aku menerima kehadiran mak cik Khamsiah dan pak cik Ismail. Katanya ingin menjenguk Amira, walaupun sebenarnya Amira sudah sembuh. Tapi wajah Makcik Khamsiah yang masam dan kurang melemparkan senyuman itu membuatkan aku merasakan sesuatu. Jika dia bercakap sekali pun, hanya perkara yang penting sahaja, tidak seperti selalu ramahnya.
            “Makcik, air.” Aku menghulurkan secawan kopi kepada Makcik Khamsiah yang sedang duduk di ruang tamu.
            Dia menyambut air yang aku hulurkan dengan senyuman hambar.
            Azira yang sedang menatang dulang air berjalan menuju ke luar rumah menyediakan kopi untuk pak cik Ismail dan Zulhairi yang duduk di meja belajar yang aku sedia untuk Alia sebelum ini. Memang sengaja aku menyuruh Azira yang menghantar air untuk Zulhairi, aku tidak mahu berhadapan dengannya buat sementara waktu ini. Sejak dia datang tadi, aku menjauhkan diri daripadanya. Menatap wajahnya juga tidak aku lakukan sepanjang sejam dia dan ibu bapanya ada di sini. Aku takut dia akan mengungkit tentang Wafi sama seperti selalu.
            “Sampai hati Su buat mak cik macam ni?”  lirih sahaja suara Makcik Khamsiah.
            Aku yang asyik memerhatikan langkah Azira sedikit tersentak dengan soalannya. Aku pandang wajahnya yang sudah membentuk kerutan. Aku mengambil tempat duduk di sisinya, di sofa berkembar itu. Sudah aku jangka pasti ada sesuatu yang berlaku yang membuatkan mak cik Khamsiah jadi sebegini. “Kenapa ni mak cik?”
            “Kenapa Su sanggup berpakat dengan Zul? Kenapa sanggup tipu makcik?” nada suara makcik Khamsiah agak sayu kedengaran di telingaku. Wajahnya yang suram itu aku renung seketika.
            Nampaknya mak cik Khamsiah sudah mengetahui segala-galanya tentang aku dan Zulhairi. Ini bermakna Zulhairi sudahpun menceritakan semuanya. Akhirnya… mahu juga Zulhairi membuka mulut, membongkarkan segala. Aku tundukkan wajah. Ada rasa bersalah yang sudah bersarang lama dalam jiwa. Aku sepatutnya membantu Makcik Khamsiah tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Aku pula yang berpakat dengan Zulhairi untuk mengaburi permintaan ibunya itu.
            Kesal yang ada tidak mugkin dapat hilang dengan mudah. Menipu wanita yang sudah aku anggap sebagai ibu kandungku sendiri! Tega aku melakukannya! Dan kini perasaanku yang terjerat dalam permainan yang Zulhairi ciptakan.
            “Su sebenarnya…” panjang sekali aku melagukan dua perkataan itu. Dalam minda masih lagi merangka kata untuk memujuk hatinya yang pastinya telah tercalar dengan kepercayaan yang dia berikan padaku.
            “Jangan bohong mak cik lagi Su, Zul dah ceritakan semuanya pada mak cik.”
            Sungguh aku tidak menyangka yang Zulhairi menceritakan semuanya pada saat ini? Dulu bukan main susah untuk dia berterus terang, tapi sekarang, mudah pula dia melakukan hal itu. Aku yakin, pasti Zulhairi punya sebab. Jika tidak, mustahil dia sanggup membuka rahsianya sendiri tanpa menceritakan terlebih dahulu kepadaku.
            “Su, minta maaf mak cik. Su tak bermaksud nak tipu mak cik.” Aku segera memohon maaf. Tiada apa lagi yang boleh aku lakukan saat ini selain meminta maaf atas kekhilafan yang aku dan Zulhairi lakukan padanya. Tidak sepatutnya aku dan Zulhairi menghampakan harapan ibu sepertinya yang hanya mengharapkan kebahagian seorang anak.
            Makcik Khamsiah mengeluh seketika, “Tak apalah Su, mak cik pun salah juga.”
            “Tak, mak cik tak salah.” Segera aku mengapai dan mengenggam erat tangan mak cik Khamsiah. Tidak sepatutnya dia menyalahkan dirinya sendiri. Bukan salahnya jika dia mahu melihat satu-satunya anak lelakinya berkahwin dan bahagia.
            “Memang salah mak cik pun, kalau mak cik tak paksa Zul cari calon isteri, tak mungkin Zul nak berpakat dengan Su buat benda-benda macam ni.” Mak cik Khamsiah cuba meletakkan kesalahan utama di bahunya.
            Ada air mata yang mahu mengalir. Segera aku halang. Sungguh, andai Zulhairi serius tentang hal itu saat ini, aku sudah bersedia untuk menerimanya. Namun, itu tak mungkin berlaku. Kalaulah aku tahu hatiku akan dimiliki olehnya, dari awal lagi aku akan bersetuju dengan semua rancangan Zulhairi dulu.
            “Bukan salah mak cik, mak cik cuma nak Zul bahagia, tu aje. Jadi apa yang mak cik buat tu tak salah. Kami yang salah, tak sepatutnya kami tipu mak cik.”
            “Sudahlah tu Su. Dari tadi mak cik salahkan mak cik, Su pula asyik salahkan diri Su, kalau macam ni sampai tahun depan pun tak sudah.” Makcik Khamsiah sudah tertawa kecil.
Aku turut tertawa bersama. Tangannya masih lagi erat dalam genggamanku. “Mak cik tak marah Su lagi?”
Dia menyentuh pipiku lembut dan mengelengkan kepalanya. “Mak cik tak marah kat Su. Mak cik tahu ni semua kerja si Zul. Dia kalau bab mengelak memang ada aje idea dia tu.”
Wajah aku tundukkan ke bawah, senyuman mula tersungging di bibirku. Rasa gembira dengan kasih sayang yang dia tunjukkan padaku. Walaupun besar kesalahan yang aku lakukan, dia masih lagi mahu memberikan kemaafan kepadaku.
“Kempunanlah mak cik nak bermenantukan Su nampaknya.”
Hanya senyuman kecil yang dapat aku pamerkan. Itu memang mustahil.kerana telah jelas dan nyata Zulhairi langsung tiada menaruh apa-apa perasaan padaku. Aku hanya seorang kawan. Cukup sampai di situ.
“Zul bagi tahu mak cik ada orang dah melamar Su.”
Mulutku jadi terkunci rapat mendengarnya. Terkejut! aku pasti Zulhairi sengaja menghebahkan kisah itu kepada ibunya. Entah apa lagi yang Zulhairi ingin lakukan.
“Bertuah sungguh kawan Zul tu.” Sambung mak cik Khamsiah lagi.
Hatiku benar-benar terasa, aku tidak sangka dia akan membuka kisah ini kepada ibunya sendiri. Selama ini dia tidak pernah membuka segala rahsia yang aku ceritakan padanya, namun kali ini berlainan pula. Kalau boleh, aku tidak mahu sesiapa pun tahu tentang perkara ini. Ini hal hidupku, kalaupun ada cerita yang harus dikongsikan, akulah orang yang layak menguar-uarkannya. Bukan Zulhairi, tidak juga orang lain.
“Dia gembira betul bila tahu budak tu melamar Su. Dia kata budak Wafi tu baik orangnya.” Puji mak cik Khamsiah walaupun baik sikap Wafi itu hanya didengar dari mulut Zulhairi.
Aku hanya mendiamkan diri.
“Sebelum ni bukan main risau lagi dia nak tinggalkan Su dan adik-adik Su kat sini bila dia kena pergi Johor nanti. Tapi rasanya lepas ni legalah dia tu, maklumlah dah ada Wafi yang boleh jaga Su dan adik-adik Su.”
Ya ALLAH. Aku hampir lupa tentang keberangkatan Zulhairi ke Johor. Jadi, mungkinkan itu yang dirisaukannya? Zulhairi! Aku hampir pasti dengan tekaanku. Baru kini aku faham semuanya. Bukannya aku ini kanak-kanak lagi sehingga perlu ada yang menjagaku. Aku sudah besar, aku boleh menjaga diriku dan adik-adikku. Mungkin kerana selama ini aku banyak meminta bantuannya, jadi dia menganggap aku tidak dapat menguruskan semua perkara sendiri tanpa dirinya.
“Makcik harap Su dapat terima Wafi.” Pujuknya pula.
Tahap kesabaranku sudah sampai ke puncaknya. Kegagalan dia memujuk aku untuk menerima Zulhairi telah menyebabkan dia menggunakan ibunya untuk membuatkan aku menerima Wafi. Bijak, Zulhairi memang bijak! Darahku terasa sudah menggelegak, cukup sampai tahap didih. Penting sangatkah aku menerima Wafi padanya?
“Tak salah kita bagi peluang pada orang yang sayang pada kita.” Makcik Khamsiah seakan sudah menjalinkan kerjasama dengan Wafi.
“Mak cik duduk dululah, Su nak ke tandas kejap.” Pamitku dengan senyuman sekadar ingin menjaga hatinya. Aku terus bergegas ke dapur.
Nafasku deras dihembus keluar. Amarahku sudah tidak dapat dibendung lagi. Beria-ia sungguh dia kali ini. Walaupun dia kawan baikku, tapi tidak bermakna dia boleh mengaturkan hidupku sesuka hatinya. Memadankan aku dengan siapa sahaja yang dia rasa sesuai tanpa mengambil kira perasaanku terlebih dahulu. Zulhairi tidak sepatutnya begini! Aku tak minta dia lakukan semua ini. Melampau!
Agak lama aku berada di dapur, cuba untuk menenangkan hatiku sendiri. Namun rasa marahku padanya semakin membuak-buak bila memikirkan semua usaha yang dia lakukan agar aku menerima kehadiran Wafi dalam hidupku.
“Along, Mak cik Khamsiah dah nak balik.” Sebaik sahaja memaklumkan perkara itu padaku Azira terus berlalu.
Rasa malas untuk keluar menghantar mereka sekeluarga ke pagar seperti selalu. Bukan kerana Mak cik Khamsiah kerana dia tidak bersalah, tetapi kerana Zulhairi, aku takut aku tidak dapat mengawal rasa marahku ini padanya jika aku berhadapan dengannya saat ini. Aku risau jika aku menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya di hadapan orang tuanya yang amat aku hormati.
Nafas aku tarik dalam. Cuba untuk mengawal segala rasa yang bermaharajarela.  Aku harus berlagak biasa di hadapan orang tuanya. Semua yang aku dengar daripada mak cik Khamsiah tadi bukan salah ibunya, jadi tidak patut aku tidak menghiraukan mereka pula.
Aku terus sahaja keluar dari rumah apabila melihat tiada lagi mak cik Khamsiah di ruang tamu. Sebaik sahaja aku keluar mereka sekeluarga telah bersedia untuk pulang dan kesemua adik-adikku juga berada di anjung rumah.
“Mak cik balik dululah Su.” Dia mengunjukkan salam padaku.
Aku menyambutnya dengan senyuman. “Terima kasih mak cik, selalu datang jenguk Amira.” Aku cuba berbasi-basi, senyuman masih menghiasi bibirku.
“Alah, kamu semua ni dah macam anak-anak mak cik juga.”
Kini aku melemparkan senyuman pada pak cik Ismail, apabila dia meminta diri untuk pulang. Zulhairi yang berada di sebelah pak cik Ismail langsung tidak aku pandang, apatah lagi untuk aku tegur. Walau aku sedar, sejak aku keluar dari rumah tadi, mata Zulhairi terus-menerus melekap ke wajahku tanpa sedikit pun beralih.
“Eh, Zul marilah kamu tak nak balik ke?” Pak cik Ismail menegur Zulhairi yang masih lagi di dalam pagar mendukung Amira.
Aku yang sudah pun berada di luar pagar ini hanya mendiamkan diri. Sedikit pun aku tidak memandang dirinya di belakangku. Malas aku mahu mengambil tahu halnya.
“Mak dengan ayah balik dululah. Zul ada kerja sikit.” Katanya pada kedua orang tuanya.
“Yelah,” sejurus itu mak cik Khamsiah dan Pak cik Ismail terus berlalu pulang ke rumah mereka. Sejuk mataku memandang mereka yang berpimpin tangan berdua. Usia bukan penghalang mereka untuk terus menyemai rasa kasih sayang antara mereka.
“Su, aku nak nak cakap dengan kau sikit.” Cepat sahaja dia bergerak membawa badannya mengadapku apabila aku cuba memasuki anjung rumahku.
“Ish, tepilah aku nak masuk.” Aku menolak. Namun dia masih lagi menghalang laluanku. Alia dan Azira sudah berpandangan sesama mereka.
“Masuk dulu, Abang Zul ada hal nak bincang sikit dengan along.” Zulhairi menyerahkan Amira kepada Alia. Sebaik sahaja Alia mendukung Amira, mereka masuk ke dalam rumah seperti mana arahan Zulhairi.
“Kenapa dengan kau hari ni?” Zulhairi terus sahaja menyoal tanpa menunggu lagi.
“Mana ada apa-apa.” Jawabku malas.
“Jangan tipu.” Sanggahnya.
“Tipu apanya, betullah!”
“Dari aku sampai tadi kau langsung tak pedulikan aku, kau kata tak ada apa-apa. Kenapa sebenarnya ni?” nadanya sudah meninggi mungkin marah keranaku tidak mengendahkannya sejak tadi.
“Kalau aku cakap tak ada apa-apa tu, maksudnya tak ada apa-apalah.” Aku sudah malas nak melayan, terus saja aku membuka langkah. Belum sempat aku maju lebih jauh, tangan Zulhairi terlebih dahulu sudah memegang pintu pagar, sekaligus menghalangku daripada meneruskan langkah.
“Su,” serunya perlahan, tapi wajah tegang masih lagi menghiasi wajahnya. “Su, kau tahukan kalau kau ada masalah kau boleh cerita kat aku.” Lembut dia cuba membeli hatiku.
            Aku tertawa sinis. Ayat itu hanya boleh aku gunakan dahulu, tapi kini aku rasa tidak mungkin aku akan berkongsi lagi masalah dengannya. Cukuplah aku tidak mahu menyusahkannya lagi.
“Sampai bila aku nak harapkan kau je, takkan aku nak bergantung pada kau selama-lamanyakan?” aku mengulang ayat yang pernah dia lemparkan padaku dahulu. Kalau itu yang dia mahukan, jadi itu juga yang akan aku lakukan.
            Wajahnya sudah merah menahan rasa marah.“Su, kenapa kau cakap macam tu?”
Pura-pura bertanya pula. Salah ke aku mengulangi semula. Tak mungkin dia sudah lupa, dia yang mengungkapkan ayat itu. Aku mahu Zulhairi tahu bahawa aku faham semua maksudnya.
Aku mengangkat keningku dan memandang tepat ke wajahnya. “Tak betul ke apa yang aku cakap?”
“Memang tak betul. Aku kawan kau, mestilah kau boleh harapkan aku. Lagipun aku pernah janji nak jaga kaukan. Takkan aku nak lepas tangan macam tu je?” marahnya lagi.
“Aku tak suruh kau berjanji macam tu pun.” Aku juga tidak mahu mengalah kali ini. Hari ini aku akan pastikan yang dia akan melupakan semua janji-janjinya. Aku berjanji, aku tidak akan mengungkit dan aku juga akan cuba melupakan segala janjinya. Aku mampu berdiri sendiri.
“Memanglah, tapi aku jenis yang berpegang pada janji Su. Kalau sekali aku dah cakap, aku akan buat. Lagipun kau kawan baik aku.” Dia masih lagi bertegas dengan pendiriannya.
“Kenapa kau beriya-iya sangat nak aku terima Wafi? Bukan ke, sebab kau nak ada orang lain yang boleh jaga aku? Janji! Tak payahlah Zul. Lupakan ajelah janji kau tu. Aku tahu aku dah banyak menyusahkan kau, so sekarang ni kau tak payah susahkan diri kau lagi. Fikirlah pasal masa depan kau pula.” Aku sudah tidak dapat mengawal diri. Jika dia sudah tidak mahu membantuku selepas ini pun tidak mengapa. Aku sudah tidak peduli.
Tapi tidak perlulah dia terus-menerus memaksaku menerima Wafi. Selama dia berada di UK dahulupun, aku boleh sahaja menguruskan semua hal sendirian tanpa bantuannya.
Aku mengetap bibir. Hatiku seolah-olah menolak fikiranku sendiri. Selama dia di UK dahulu, dia masih lagi mengambil berat tentangku, bertanyakan khabarku, berkongsi masalah yang ada, menceriakan hari-hari yang suram, membantu memikirkan dan menyelesaikan masalah adik-adik dari jauh. Argh, mengapa minda dan hati tidak sehaluan pula?
“Sudahlah Zul, cukuplah. Aku dah banyak sangat terhutang budi dengan kau. Tak terbayar rasanya. Aku tak nak susahkan kau lagi.” Kataku sinis.
“Selalu pun macam tu. Aku dah biasalah. Bukannya tak biasa.” katanya juga penuh dengan nada sinis.
Aku tersentak. Kata-katanya itu benar-benar menguris rasa. Jadi benarlah selama ini aku amat menyusahkan? Memang itulah yang dia rasa!
“Kalau iyapun aku selalu susahkan kau, tak payahlah cakap macam tu. Akupun ada maruah!” turun naik nafasku menahan rasa marah yang membukam. 
“Su, aku tak mak…”
Kata-kata Zulhairi terhenti apabila ada kereta berhenti betul-betul di hadapan rumah. Aku berpaling, memandang kereta hitam yang sudah pun mematikan enjinnya. Aku kenal kereta itu dan lebih kenal dengan pemiliknya. Sudah beberapa minggu aku mencarinya namun tidak berjumpa. Hari ini, di saat aku sedang berperang dengan emosi dan rakan baikku sendiri dia muncul di hadapan mataku, seolah menyerah diri.
Terdengar Zulhairi merengus perlahan sebaik sahaja melihat Wafi turun dari keretanya.
“Assalamualaikum.”
Zulhairi menyambut perlahan salam yang Wafi hulurkan. Aku sekadar menyambutnya dalam hati.
“Kenapa ni?” Soal Wafi apabila sudah berada di hadapanku dan Zulhairi.
“Tak ada apa-apalah.” Zulhairi berlagak selamba, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara aku dengannya sebentar tadi. Aku tahu dia cuba mengawal riak marahnya.
Makin sakit hatiku apabila dia berlagak biasa begitu, wajahnya kutoleh sekilas, melihat bibirnya yang tersungging senyuman kecil buat Wafi membuatkan aku teringat kembali semua desakan, dan kata-kata ibunya sebentar tadi berulang-ulang bermain di telinga. Aku mengenggam erat tangan, cuba menahan rasa marah yang sudah kuat menjalar dalam jiwa.
Terus aku palingkan wajah memandang Wafi yang berdiri di depanku. “Wafi,” aku memanggil.
Wafi pantas berpaling memandangku. Dari ekor mata, aku dapat melihat Zulhairi juga turut memandangku dengan pandangan tajam. Entah apa yang difikirkannya, aku sudah tidak peduli.
“Pasal yang kau cakap dengan aku kat The Curve hari tu…”
“Su,” Zulhairi cuba memotong kata.
Aku terus menumpukan perhatian pada Wafi, Zulhairi sudah tidak aku hiraukan lagi. Aku sudah nekad dengan keputusanku.
“Aku sudi!” sambungku.

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum & Salam hormat buat semua pembaca SAC. Sedihya krn ini merupakan entry terakhir yg dapat AH postkan. Kisah selanjutnya, terpaksalah rakan2 pembaca yg setia menanti kemunculannya di pasaran. Bila? Insya'ALLAH tahun hadapan. AH ambil kesempatan ini utk ucapkan jutaan terima kasih buat semua yang sentiasa singgah ke blog AH, menjenguk khabar Su,Wafi dan Zul. AH tahu, pasti byk andaian yg difikirkan, tapi utk tahu kesudahannya terpaksalah kita tunggu ya. Insya'ALLAH kalau ada berita gembira nanti AH pasti akan maklumkan. Sekali lagi, terima kasih dari hati.... L.O.LUV.. <3>

10 comments:

Eijan said...

Agaknya bila su dah terima wafi baru zul nak realise perasaan dia yg sebenar pd su tu...dah kehilangan su nnt baru tau perasaan rindu dan sayang lebih dr kawan kot.....bagi zul kaw2 ngaku dulu baru su ngaku yg dia dah lama suka zul lebih dr sorang kwn

Adah Hamidah said...

Hi2... Terima kasih. Memang selalunya begitu. Selepas kehilangan br terasa berat perpisahan. Tapi mungkinkah masa punya masa dan peluang kedua? Hi sama2 kita tunggu ya. Terima kasih atas sokongan Eijan... sgt adah hargai :)

Unknown said...

Berperang dgn perasaan bila baca entry kali ini. Jadi tak sabar nak tahu apa akan terjadi pada Su, Zul & Wafi.

nana said...

Ish Zul ni, siap suruh mak dia berkempen untuk Wafi....tapi bila Wafi tiba2 muncul kenapa Zul macam tak happy. Confuse kita dgn perangai Zul. Pasti saya akan beli buku ni nanti

Kak Zu said...

pandai zul dok kenen2kan su dgn wafi......nnt gigit jari kau zul!!!!....

Anonymous said...

sakitnya hati akak dengan zul ni. akak percaya yang zul pun ada hati dengan suraya...harap kesudahan cerita menbahgiakan ya...akak mau zul dengan suraya jugak tak mau ngan wafi....hehe terlebih emo pula akak ni....pasti akan dibeli novelnya....

---Dg. Siti---

shahida sahimi said...

Sis..

Bila nk kua dlm versi cetak.. Xsabar nk tau kesudahan kisah su n zul ni.. Hihiiii..

incha said...

Bila crita ni dicetak & keluar ye.. Tak sabar nak beli

Anonymous said...

As_milda

Perit.... Sakit..... "Aku suka kt kau la,zul!!!!!!!!!!!"

Anonymous said...

saye cari xde pun novel ni dkt pasaran

Post a Comment