Tuesday, December 4, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 22


22
            Mataku mencerun memandang ke bawah. Terlalu ramai orang yang berada di bawah sana, mengunjungi pameran yang aku sendiri tidak pasti untuk apa. Namun bukan itu yang aku kisahkan. Aku ke sini bukan untuk menghadiri pameran tersebut. Aku ke sini semata-mata cuba untuk melapangkan fikiranku yang sedang sarat. Berserabut dengan hal Wafi dan Zulhairi. Mengenang nama kedua-dua lelaki itu sahaja sudah cukup membuatkan aku sakit kepala.
Besi penghadang di centre court Suria KLCC aku pegang. Melihat centre court ini benar-benar mengingatkanku pada centre court di The Curve. Ada kisah yang tidak menyenangkan hati. Semua yang berlaku di dalam shooping mall itu seolah kembali ditayangkan di minda. Membuatkan dada kian sesak.
            Keliru aku dibuatnya, bagaimana Wafi boleh jatuh hati padaku? sedangkan sebelum ini aku tidak melayannya dengan baik. Semuanya aku perlihatkan secara acuh tidak acuh. Tiada yang berlebihan. Jadi bagaimana Wafi boleh menyimpan perasaan sebegitu? Anehnya! Rasa pening apabila memikirkan persoalan yang langsung tiada jawapan.
Ikutkan, aku mahu perkara ini segera selesai. Paling penting, aku tak mahu melukakan hati sesiapa. Baik hati Wafi, mahupun hatiku sendiri. Tapi sejak peristiwa lamaran itu, Wafi langsung tidak dapat aku hubungi. Walaupun aku maklum yang dia punya tugas di luar kawasan, namun mustahil itu menjadi alasan utama keenggannya menjawab panggilanku.
Bukan sekali dua aku menelefon. Malahan, hampir setiap hari aku cuba menjejaknya. Dari pagi hingga ke malam. Tidak mungkin sedikit pun dia tidak punya masa untuk  menjawab panggilanku. Kenapa Wafi seolah-olah melarikan diri dariku sedangkan dia yang memulakan semua kisah yang kian bersimpul mati.
Entah ke mana agaknya dia berada? Ingin bertanya pada Zulhairi? Oh, tidak! Mati hidup semula pun aku tidak akan berbuat begitu. Nanti macam-macam yang akan difikirkannya. Sudahlah kebelakangan ini, setiap kali aku bertembung dengan Zulhairi, ada sahaja kisah Wafi yang ingin dia sampaikan padaku. Semuanya puji-pujian atas lelaki itu.
Aku tidak tahu apa yang difikirkan oleh Zulhairi. Tapi aku dapat rasakan yang Zulhairi sedang giat membantu kawannya meraih cintaku. Ya, aku sangat yakin dengan firasatku. Namun, ada soalan yang tersimpan di hati, apa perlunya Zulhairi bersungguh-sungguh melakukan semua ini? Apa yang dia dapat?
            Beg tangan segera aku geledah apabila telefon bimbit samar-samar bunyinya kedengaran. Sebaik sahaja tanganku berjaya mengenggam telefon itu, nada deringnya sudah berhenti. Aku terkejut besar. Lebih daripada sepuluh miss call dari talian rumahku. Senarai panggilan yang tidak berjawab aku lihat. Orang yang terakhir sekali menghubungiku ialah Zulhairi. Aku menelan liur, sudah tidak sedap rasa. Laju jantung berdegup. Seperti ada yang tidak kena. Pasti ada sesuatu yang berlaku di rumah.
            Aku pantas mendail talian rumahku. Kini aku semakin cemas apabila ketiga-tiga panggilanku dibiarkan begitu sahaja. Tidak berjawab. Aku mencuba sekali lagi sambil langkah mula dibuka.
            “Alia, Azira angkatlah telefon tu. Jangan takutkan aku!” aku sudah membebel sendirian. Deringan masih tidak bersambut.
            Semakin gelisah! Aku tidak tahu bagaimana mahu mendapatkan adik-adikku. Zulhairi!  Pantas fikiranku teringatkan Zulhairi, di saat genting begini sememangnya hanya dia sahaja orang yang boleh membantuku. Laju aku membuat panggilan. Dalam hati, aku mula berdoa pada Allah SWT, semoga saja tiada apa-apa yang berlaku pada adik-adikku di rumah.
            Sebaik sahaja talian bersambut, aku memulakan kata. “Assalamualaikum Zul…”
            “Su, kau kat mana ni, banyak kali Alia dengan aku call kau tak dapat.” Belum sempat aku menyambung ayat, Zulhairi segera memintas kataku.
            “Kenapa? Apa dah jadi?” Mendengarkan nada suara Zulhairi meninggi membuatkan jantungku berdegup lebih laju. Apa yang berlaku sebenarnya? Sebelum aku keluar tadi elok sahaja mereka bertiga di rumah itu.
            “Amira pengsan.”
            “Ya’ Allah.” Kakiku sudah lemah. Hampir saja aku terjelupuk jatuh. Mujur tanganku sempat berpaut pada tembok yang ada. “Kau kat mana?” Rasa bersalah menghujan minda. Bayangan wajah Amira yang melambaiku sebelum aku melangkah keluar dari rumah tadinya, menjelma. Bagaimana dia boleh pengsan sedangkan dia baik-baik saja?
            “Aku baru keluar dari klinik ni, baru lepas jumpa doktor. Kita jumpa kat rumah nanti.”
            “Okay, aku gerak sekarang.” Aku menyapu air mata yang tiba-tiba menitis di pipi. Pandangan orang yang lalu lalang dan melihat keadaanku yang kalut ini tidak aku hiraukan.
            “Su, hati-hati bawa kereta. Jangan risau sangat, Amira dah sedar.” Pesan Zulhairi. Mahu cuba menenangkan jiwaku yang sememangnya gundah.
            Aku tidak bersuara lagi. Terus saja aku putuskan talian. Aku bergerak laju menuju ke lif. Aku harus pulang segera. Hati sudah mula mengalunkan zikir, kata arwah ayah, hati akan kembali tenang dengan berzikir. Aku tidak pernah lupa.
           
AKU rasa bersalah. Perasaan yang teramat sangat. Sewaktu Amira pengsan tempoh hari, aku tiada di rumah kerana sibuk melayan perasaanku sendiri. Hinggakan Alia gagal menghubungiku dan dia terpaksa meminta bantuan Zulhairi. Nasib baik Zulhairi ada di rumah orang tuanya waktu itu, jika tidak, aku tidak tahu apa yang akan jadi pada Amira. Aku tersenyum tawar, setiap kali aku dalam kesusahan memang dialah orangnya yang akan membantuku dan adik-adikku. Takkan ada orang lain, selain Zulhairi!
Wajah mulus Amira yang sedang enak tidur, aku tatap rapi. Tangannya kugenggam erat. Mujurlah tiada apa-apa yang serius yang terjadi pada Amira. Menurut doktor, Amira mungkin keletihan. Itu seperti apa yang Zulhairi sampaikan padaku. Namun aku agak sangsi dengan penjelasan itu.
Amira bukanlah kanak-kanak yang terlalu aktif sehingga boleh pengsan akibat keletihan. Amira jenis yang agak pasif. Dia lebih gemar bermain dengan anak patung dan mainannya yang lain, yang tidak memerlukan dia mengeluarkan terlalu banyak tenaga. Jadi tidak mungkin itu punca dia pengsan. Namun aku juga tidak mahu berfikir yang bukan-bukan.
Memang aku cukup risau jika Amira jatuh sakit. Aku tidak mahu ada perasaan sebegitu. Aku tidak mampu menghadapinya. Mungkin aku agak kasar dengan mereka tapi hatiku tidak pernah mengharapkan ada perkara yang buruk berlaku pada mereka bertiga. Mereka bertiga amanah ayah padaku. Amanah yang harus aku jaga hingga akhir nafasku.
“Along,”
Aku menoleh pada pintu bilik yang terkuak. Alia muncul di bilikku dengan senyuman. Aku membalas senyumannya itu seadanya. Dia datang lalu menghulurkan salam.
“Amira macam mana?” Alia mengucup ubun-ubun Amira. Baju sekolah masih tersarung di badannya, masih belum bertukar.
“Alhamdulillah. Dah okay rasanya. Siap dah boleh bergelak tawa lagi tadi tengok upin ipin.” Ujarku. Gembira aku melihat dia bergelak tawa sebentar tadi. Mungkin kerana penat melayan semua cerita kartun yang ada di televisyen sejak pagi tadi, sekarang dia tertidur di dalam bilikku ini.
“Macam mana exam tadi?”
“Alhamdulillah, okay kut.” Alia tersengih-sengih.
“Eh, apasal ada kut pula kat belakang ayat tu? Tak boleh jawab ke tadi?” tanyaku serius. Peperiksaan SPM bukanlah peperiksaan yang main-main. Ianya penting untuk masa hadapan.
“Alhamdulillah memang boleh jawab. Cuma tak tahu betul ke salah. Tapi rasa macam betul je.”
“Jangan main-main Alia, SPM tu penting.” Aku mengingatkannya. Alia mengangguk sambil senyuman.
“Azira mana along?”
“Dalam bilik, entah apa dibuatnya dari pagi terperuk aje dalam bilik tu.” Aku agak gusar dengan Azira sekarang. Sejak habis peperiksaan PMRnya hari itu, sikapnya semakin tidak aku faham. Aku akui, antara adik-adikku. memang dia yang agak susah untuk aku uruskan. Tapi entah kenapa sekarang ini menjadi semakin sukar.
“Aku nak pergi masak kejap, kau tolong tengok-tengok Amira. Kalau kau nak study, study kat meja kerja aku itu.” Aku terus bangun, makan tengah hari perlu aku sediakan. Nak harapkan Azira, aku takut dapur itu pula yang terbakar dibuatnya nanti.
“Okay… Alamak along, Alia lupalah.” Bergegas dia ke tingkap bilikku dan menjengguk ke luar.
Aku yang baru sahaja ingin bangun ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari memberhentikan langkah. Alia kembali aku pandang.
“Tadi masa Alia balik, Alia terserempak dengan Abang Zul kat depan rumah. Dia suruh Alia panggilkan Along. Tu, dia tengah tunggu Along. Aduh, kesian Abang Zul lama tunggu.” Mata Alia melilau menjenguk ke luar tingkap. Kemudian dia mengangkat tangan memberikan isyarat tunggu kepada orang di luar sana.
Aku menjenguk ke luar tingkap juga. Memang Zulhairi sedang menantiku. “Okaylah, aku turun dulu.”
Aku meneruskan langkah mendapatkan Zulhairi yang sedia menantiku di luar rumah. Sebaik sahaja menyarungkan selipar aku mendapatkannya.
“Assalamualaikum.” Sapanya terlebih dahulu.
“Waalaikumusalam. Kau tak kerja ke?” Soalku, tidak mungkin dia juga mengambil cuti sepertiku. Hari ini aku mengambil cuti semata-mata kerana hendak menjaga Amira. Aku ingin memastikan dia sihat sepenuhnya sebelum aku kembali memulakan tugasku di pejabat. Aku pasti aku tidak akan dapat melakukan kerja dengan baik jika terbayangkan Amira yang aku tinggalkan dalam keadaan yang tidak sihat. Walaupun sejak semalam dia sudah beransur pulih, tapi aku perlu menunggu sehingga Amira benar-benar sihat kembali seperti selalu.
“Kerjalah. Ni tak nampak aku pakai uniform ni.” Dia mendepakan tangannya.
Aku tersenyum kecil, memandang ‘uniform’nya itu. Kemeja coklat, tali leher coklat berbelang putih, seluar slack hitam dan kasut kulit juga berwarna hitam terletak elok di badannya. Jika tidak ke pejabat memang tidak mungkin aku akan dapat melihat dia memakai pakaian begini.
“Em, memanglah kau kerjakan. Kalau tak takkanlah kau nak pakai pas kerja datang rumah aku ni.” Aku tergelak kecil melihat pas kerja yang masih lagi tergantung di lehernya. Apalah yang difikirkannya sampai terlupa hendak menanggalkan pas itu dari lehernya. Selalunya sebaik sahaja keluar dari pejabatnya, pas kerja itu yang dihumbankan masuk ke dalam kocek atau beg kerjanya terlebih dahulu sebelum mula melangkah. Rimas katanya apabila ada benda yang bergayut di leher.
Dia memandang pas kerja yang terletak di badannya. Menyedari hal itu dengan segera dia menanggalkan pas itu dan dimasukkan ke dalam poket seluarnya. “Ish, ni semua kau punya pasallah ni.”
Berkerut dahiku. “Apasal aku pula?” Aku pula yang disalahkannya, sedangkan aku tiada kena mengena langsung dengan pas kerjanya itu.
“Aku nak cepat belikan ni untuk kau. Sampai terlupa nak tanggalkan pas.” Dia menghulurkan sebungkus plastik merah padaku.
Aku menyambut huluran Zulhairi. Setelah plastik itu bertukar tangan, aku melihat ke dalamnya. Beberapa bungkusan lauk pauk berada di dalamnya. “Kau datang sini semata-mata nak belikan aku makan tengah hari ni ke?” soalku tidak percaya, jauh juga tempat kerja kami.
“Aku kesian kat kau, mana nak jaga Amira, nak buat itu, ini. So, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kau tak payah nak masak hari ni untuk adik-adik kau.” Tuturnya sambil bersandar pada kereta.
Bibirku sudah mengukirkan senyuman. Zulhairi benar-benar prihatian dengan keadaan aku dan adik-adikku. Rasa gembira apabila ada yang menyokong aku saat aku dalam kesusahan begini. Hatiku semakin terusik dengan dirinya.
Thanks Zul. Kalau tak ada kau hari tu. Aku tak tahu apa yang jadi kat Amira.” Buat kesekian kalinya aku mengucapkan terima kasih atas budi baiknya menghantar Amira ke klinik beberapa hari lalu.
“Ish kau ni, berapa banyak kali nak cakap terima kasih. Sudah-sudahlah tu. Amira macam mana hari ini?”
Kini aku turut menyandarkan tubuhku ke keretanya. “Alhamdulillah dah okay. Happy je aku tengok dia hari ni.”
“Kau ambil cuti berapa hari?”
“Hari ni je rasanya. Aku tengok Amira pun macam dah okay. Esok bolehlah aku masuk kerja balik.” Aku menyatakan rancanganku. Jika Amira masih tidak sihat memang aku akan mengambil cuti dua atau tiga hari lagi. Lagipun cuti tahunanku masih banyak berbaki walaupun sekarang sudah menghampiri akhir tahun.
Kemudian aku dan Zulhairi terdiam. Masing-masing tidak bersuara. Aku menalakan pandanganku ke arah tingkap bilikku, memikirkan tentang Amira yang mungkin masih lagi lena dibuai mimpi.
“Kau pula macam mana?” Zulhairi kembali bersuara.
“Aku? Kenapa pula dengan aku?” Rasa susah pula untuk memahami soalan itu, jadi aku balas dengan pertanyaan juga.
“Janganlah buat-buat tak faham.” Sambungnya lagi
Berkerut keningku cuba memikirkan perkara-perkara yang boleh aku kaitkan dengan soalannya, tapi masih tidak berjumpa. Pantas aku mengeleng, memang aku tidak faham. Bukannya berpura-pura tidak faham.
“Kau dah sudi nak terima Wafi, ke?” laju soalan itu keluar dari bibirnya.
Aku terus memandang tepat wajahnya. Zulhairi sudah memulakan lagi. Sejak Amira pengsan tempoh hari, langsung aku tidak dengar Zulhairi membangkitkan tentang lamaran Wafi. Tapi hari ini kisah itu diungkitkan kembali. Rasanya sudah banyak kali aku menyatakan padanya tentang perasaanku pada Wafi. Hanya sekadar kawan, dan aku tidak mungkin akan menerimanya.
Apa lagi yang boleh aku lakukan bagi membuatkan Zulhairi faham? Terasa didesak. Kenapa jadi begitu? Jika difikirkan kembali, sepatutnya Wafilah orang yang tepat, yang harus mendesakku menerimanya. Bukannya Zulhairi! Ini terbalik pula!
Hilang terus rasa hati yang tadinya gembira dengan sikap ambil berat Zulhairi. Yang ada kini cuma rasa sakit hati dengan desakkannya. “Berapa banyak kali kau nak aku bagi tahu kau jawapan aku?” aku sudah malas mahu mengulang perkara yang sama berkali-kali.
“Aku tahu, tapi kan aku dah suruh kau pertimbangkan semula?” Zulhairi tidak mahu mengalah.
“Yang kau pula beria-ia sangat ni kenapa?” Soalku geram. Hilang terus bicara lembutku. Kedegilannya itu menyakitkan hati, lebih-lebih lagi di saat aku sudah mula menaruh perasaan padanya.
“Aku bukan apa, Su… aku cuma nak pastikan ada orang yang jaga kau dengan adik-adik kau.”
Niat hati Zulhairi itu memang baik kelihatan, tapi aku tidak dapat menerimanya.
“Kaukan ada.” Kataku perlahan, dan pandangan kubawa ke jalan tar. Cuba berdiplomasi dengannya. Dalam masa yang sama aku mahu Zulhairi tahu bahawa aku lebih memerlukan dia berbanding Wafi. Kalau ada orang yang mampu melindungiku dan adik-adikku, hanya dialah orang yang tepat.
“Sampai bila kau nak harapkan aku aje?”
Soalannya itu menyentak hatiku, lantas pandangan mataku menumpu pada wajahnya. Cuba mencari kebenaran. Betulkah Zulhairi yang menuturkan kata-kata itu padaku?
“Tak mungkin kau nak bergantung pada aku selama-lamanya kan? Akupun kena fikir pasal masa depan aku juga, Su.” selamba sahaja Zulhairi terus--menerus menuturkan kata yang boleh merobek hatiku.
Sedih, itu yang dapat aku rasakan. Namun tidak dapat aku luahkan. Aku tidak sangka perkara itu akan keluar dari mulut Zulhairi. Dengan langkah perlahan aku melangkah meninggalkan dirinya di luar sendirian. Pintu aku pagar tutup rapat. Panggilannya untukku aku biarkan sahaja.
Sudah jemukah dia untuk membantuku? Sudah lelahkah dia melayan setiap karenah aku dan adik-adikku selama ini? Letihkah dia melayan setiap masalah yang menimpa diriku saban waktu? Persoalan-persoalan itu berselirat dalam fikiran. Untuk bertanya semua itu padanya, sungguh aku tidak mampu. Aku takut untuk mendengar jawapan yang bakal ditutukan bibirnya. Takut jawapan itu akan melukakan hatiku.
Gambar ayah dan ibu yang aku letakkan di ruang tamu seolah mengamitku ke arahnya. Aku mengambil bingkai gambar itu dan merenungnya dalam. Tiba-tiba aku menjadi rindu dengan mereka. Wajah ibu tiriku juga kini mula menjelma.
“Sampai bila kau nak harapkan aku je?”
Kata-kata Zulhairi sebentar tadi kedengaran di telinga sekali lagi. Adakah dia benar-benar memaksudkan apa yang dikatakannya itu? Adakah dia sudah lupa pada janjinya dahulu…

AKU hanya memandang Zulhairi yang menghantar orang surau hingga ke muka pintu, selesai sudah majlis tahlil untuk arwah ayah hari ini. Petang tadi arwah ayah telah selamat dikebumikan dia tanah perkuburan yang sama dengan arwah ibu. Tahun ini aku merasai dua kehilangan. Beberapa bulan lepas ibu tiriku meninggal dunia sewaktu melahirkan Amira, kini arwah ayah pula menyahut seruan Illahi.
Walaupun aku tidak berapa rapat dengan ibu tiriku, namun kehilangannya tetap memberi kesan padaku. Dan sekarang ayah pula yang menyusul mengikut jejaknya. Melihat Alia dan Azira yang masih dengan linangan air mata membuatkan aku turut sama mengalirkan air jenih itu. Jika mereka tidak dapat menerima kehilangan ini, apatah lagi aku.
“Su,”
Aku menoleh memandang Zulhairi yang sudah mengambil tempat duduk di sebelah. Air mata aku seka dengan hujung lengan baju kurung. Tapi ianya seperti tidak mahu berhenti, sentiasa mengalir laju membasahi pipi.
“Kau kena redha Su. Allah sayang hambaNya yang sabar dan redha dengan ujianNya. Tak elok menangis macam ni.” Zulhairi cuba menenangkan.
Aku menggelengkan kepala. Aku bukan tidak mahu redha akan semua yang berlaku, cuma hambatan perasaan yang membuat aku jadi sebegini. Lagi air mata yang mengalir aku cuba hapuskan. Aku tahu, aku harus kuat, aku harus redha dengan segala ujian yang Allah berikan untukku.
 “Ayah amanahkan aku jaga dia orang. Aku tak rasa aku mampu.” Kataku perlahan, mengenang semua amanah yang ayah berikan padaku sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jika tiada amanah daripada arwah ayah sekalipun, aku tetap harus menjaga mereka kerana mereka hanya mempunyai aku sahaja.
Keluarga arwah ibu tiriku sudah membuangnya kerana berkahwin dengan ayahku, duda beranak satu. Ayahku pula anak tunggal dalam keluarganya. Jadi sememangnya hanya aku yang ada pertalian darah dengan mereka sekarang ini. Jika bukan aku yang menjaga mereka siapa lagi?
Tapi aku tidak tahu mampukah atau tidak untukku menjaga mereka semua, dengan Amira yang baru sahaja beberapa bulan lahirnya, dan aku pula baru sahaja menamatkan pengajian. Pekerjaan tetappun masib belum ada lagi. Mampukah aku untuk membesarkan mereka seorang diri? Suara tangisan Amira yang berada di dalam dakapan Makcik Khamisah aku renung seketika.
“Su… Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” Zulhairi berhenti seketika, mungkin mahu melihat riak balas dariku.
Aku hanya menganggukkan kepala. Rasanya aku tahu dari mana asal ayat itu. pastinya dari salah satu surah di dalam Al-quran.  Aku sendiri pernah membacanya.
“Allah beri ujian ni pada kau sebab Dia yakin kau boleh laluinya. Kau masih ada Allah, Su.” Bersungguh-sungguh Zulhairi menyakinkanku.
Aku melemparkan senyuman padanya. Iya, Allah masih ada bersamaku. Aku perlu redha dengan semua ujian dan ketentuanNya.
“Dan kau juga ada aku, Su. Aku janji aku akan jaga kau sampai bila-bila. Kau pegang janji aku ni.” Yakin Zulhairi berbicara. Senyuman diperlihatkan padaku. Cuba menamkan iktikad.
“Along, along okay.”
Lamunanku terhenti apabila Alia memaut lenganku. Pantas aku sedar dari lamunan yang panjang. Lamunan enam tahun lalu. “O… Okay.” Tergagap-gagap aku menyatakan keadaanku. “Erg, aku nak ke dapur.” Aku meletakkan semula bingkai gambar itu di tempat asalnya, kemudian aku terus sahaja berlalu meninggalkannya yang terpingga-pingga di ruang tamu.
Lauk pemberian Zulhairi aku letakkan di atas meja dapur, janjinya dulu dan kata-katanya sebentar tadi berlegar-legar di ruang minda. Perlukah aku ingatkan kembali Zulhairi pada janjinya itu? Aku senditi tidak pasti. Namun untuk aku menuntut kembali janjinya, aku rasa tidak mungkin. Aku tak akan melakukannya. Apa yang boleh aku lakukan saat ini hanyalah pasrah dengan keadaan. Pasrah, hanya itu satu-satunya jalan yang aku ada.

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum. Terima kasih kpd semua rakan pembaca yg masih sudi singgah ke blog AH semata-mata mahu tahu khabar Su, Zul dan Wafi. Nampak keadaan semakin rumit... apakah...? Hi2 Insya'ALLAH entry 23, adalah entry terakhir yg akan AH postkan di blog, manakala selebihnya terpaksalah sama2 kita tunggu SAC keluar di pasaran tahun hadapan. Doakan yg baik2 utk SAC, terima kasih atas sokongan semua ya.

9 comments:

Anonymous said...

Kalau Zulhairi sudah menyarankan agar Suraya tidak membebankan tanggungjawab Suraya kpdnya, maka eloklah Suraya belajar utk berdikari dan jgn libatkan Zulhairi dgn urusan keluarga Su.... Betullah apa yg Zulhairi cakap, dia juga perlu memikirkan masadepannya tanpa Suraya sekeluarga...

So Suraya, stop pinning for Zul and start being independent. Amat memalukan bagi seorg wanita mengharapkan bantuan drp org yg telah lelah menolongnya... U go gal... I know u can do it... Let those 2 boys (Zul dan Wafi) alone.... U can live without them....

NAIS MA said...

Adoi, sedihnya bila Zul cakap mcm tu kat Su. Nak Su dgn Zul.

riyadh said...

aduiii,nape dgn zul ni!! xhabis2 nk promote wafi...akak,agak2 bulan bape erk kluar novel ni??xsabar nk tau sambungannya:)

mila said...

apasal zul nie... kesian nya kt Su....

Eijan said...

Zul x sedar yg sebenarnya dia juga perlukan Su...bila Su menjauh nnt baru dia akan dpt rasa siapa sebenar yg lebih perlukan Su....Sabar dan istiharah la Su....cuba jauhkan diri buat sementara dgn kedua2nya...

Zalida said...

Eijan....agree with you.

shaza said...

Stuju jugak. Jauhkan diri dari Zul kejap nk tgk reaksi Zul mcm maner

nana said...

Peritnya hati baca 2 bab terakhir ni. Zul ingat janji dia nak belikan Su walkman walaupun sudah berbelas tahun, dia tunaikan juga. Saya yakin Zul masih ingat janji dia nak jaga Su sampai bila2, tu lah dia beria nak jodohkan su dan wafi, pasti dia rasa itulah terbaik buat Su. Wafi kaya mampu beri Su kemewahan dan menjamin masa depan adik2 Su. Zul pasti sangka yang Su hanya sukakan dirinya sebagai seorang kawan, tidak lebih dari itu. Kalau sangkaan saya salah, merana, pasti buku dibaling nanti. tak nak Su dgn Wafi hehehe. Adah bulan berapa buku ni keluar?

yut said...

tol2... cian kat su...

Post a Comment