Monday, November 19, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 20


20
            Aku menatang dulang yang berisi air Nescafe panas dan milo ais untuk Zulhairi dan adik-adikku. Sewaktu melalui ruang tamu aku mencari-cari kelibat Amira. Kemana pula perginya budak ini, tadi dia yang beria-ia inginkan milo ais, sekarang entah kemana pula menghilangnya. Aku meneruskan langkah ke luar rumah untuk menghantar air buat Zulhairi dan Alia. Tinggal lagi dua minggu sahaja SPM bakal menjelma dan aku lihat bukan Alia sahaja sedang bersungguh-sungguh belajar tetapi Zulhairi juga seperti sama-sama bersemangat untuk mengajar Alia. Mulai minggu lepas setiap hari selepas habis waktu pejabat dia akan ke rumahku untuk mengajar Alia.
Sebelum ini aku hanya memintanya mengajar Alia matapelajaran matematik dan matematik tambahan sahaja, tapi sekarang fizik dan kimia pun dia berikan tunjuk ajar pada Alia. Aku tidak kisah, kerana aku tahu dia memang pintar sejak zaman persekolah lagi, aku rasa dia hanya perlu membaca semula semua topik sesuatu subjek itu dan pastinya dia akan dapat mengimbau semula apa yang dipelajarinya dahulu. Dan yang paling penting dia tidak minta bayaran atas tuisyen yang dia berikan selama ini. Puas aku hulurkan wang tapi dia tidak mahu, katanya menolong adik-adikku sama seperti dia menolong adik-adiknya, sedangkan dia anak bongsu, mana ada adik pun. Apa-apa sajalah Zulhairi ini.
Seperti biasa aku lihat Alia masih lagi tekun dengan kertas soalan di hadapan matanya, cuma Zulhairi sudah beralih tumpuan pada Amira yang sudah berada di atas ribanya. Dia sibuk mengajar Amira membaca. Patutlah dia tiada di dalam rupanya bersama Zulhairi di sini. Tadi aku sudah menasihatinya supaya jangan menganggu Zulhairi mengajar Alia tapi dia buat juga. Amira ini memang terlalu rapat dengan Zulhairi, pantang nampak muka Zulhairi dia yang akan ke depan dahulu.
“Amira, kenapa kacau abang Zul?” Aku memandangnya apabila aku sudah berdiri di hadapan dia dan Zulhairi.
Dia hanya tersengih mendengar soalanku.
“Mana ada Mira kacau, Mira nak belajar dengan Abang Zul, kan?” mendengar Zulhairi membelanya makin lebar senyumannya. Suka sangatlah tu.
“Abang Zul siap.” Alia menghulurkan kertas jawapannya pada Zulhairi. Dan Zulhairi menyambutnya. “Bang Zul nak rest dulu boleh tak? Nak minum.” Alia minta izin pada gurunya sebaik sahaja aku meletakkan minuman di atas meja.
“Okay, kita rest dulu.” Zulhairi memberi kebenaran.
Aku duduk sambil mengambil kertas jawapan yang Alia hulurkan pada Zulhairi tadi. Soalan kimia, aku memerhati soalan dan jawapan yang Alia berikan. Berkerut-kerut keningku membaca soalan itu. Nampaknya apa yang aku belajar sewaktu subjek kimia di sekolah dahulu sudah kelam. Terasa rugi pula ilmu yang telah aku pelajari beberapa tahun itu, telah hilang entah ke mana?
“Ingat lagi ke?” sinis sahaja aku mendengar soalan itu keluar dari mulut Zulhairi.
Aku mencebik. Mula nak tunjuk lagaklah tu dengan aku. Kalau aku berlagak pandai, aku yakin dia pasti akan menyuruh Alia mengeluarkan soalan percubaan SPM sekolahnya dan bertarung denganku siapa yang akan mendapat jawapan yang tepat dan terpantas. Malas aku hendak layan.
“Amira meh sini, jangan kacau Abang Zul.” Aku mengamit Amira supaya dia duduk denganku. Kesian pula aku lihat keadaan Zulhairi yang asyik melayan Amira minum sedangkan minumannya masih tidak berusik lagi.
“Alah biarlah, kau ni pun.”
Akhirnya aku diamkan saja. Jangan malam nanti telefon aku mengadu yang penat melayan Amira hari ini sudah.
“Along, abang Zul dah janji, lepas Alia habis SPM ni dia nak bawa kita semua pergi Lagoland.” Ali membuka cerita, dia dan Amira sudah tersenyum lebar.
            Aku memandang Zulhairi, dia hanya selamba sahaja. Dia memang suka janji yang macam-macam dengan adik-adik aku ini. Aku bukan takut dia tidak menunaikan janji kerana aku tahu setiap apa yang dia katakan dia pasti akan kotakan cumanya untuk ke sana bukannya murah walaupun masih lagi dalam Malaysia. Tapi untuk kami berlima ke sana memang memakan wang yang bukan sedikit.
            “Kau tak payah nak merepek ye Encik Ahmad Zulhairi. Kau ingat seringgit dua nak masuk dalam tu?” aku membantah, rasanya dia mesti tidak tahu harga tiket untuk masuk ke sana.
            “Aku tahulah…”
            “Dah tu?” belum sempat dia meneruskan ayatnya aku sudah membalas.
            Dia mengeluh perlahan, mungkin geram denganku yang memotong cakapnya. “Apa salahnya sekali sekala. Bukannya setiap bulan kita pergi pun. Kau jangan risaulah semua aku sponsor.”
            Senang betul dia bercakap. Macamlah sudah banyak sangat duit, sampai semua mahu sponsor. Sudahlah belum sampai setahun bekerja semula, sudah mahu membelanjakan wang begitu sahaja. “Daripada kau habiskan duit kau ke sana, baik kau simpan buat belanja kawin.” Aku terdiam sudahnya. Macam manalah aku boleh membangkitkan hal perkahwinan. Sejak aku berbual dengan makcik Khamsiah di rumahnya aku sudah berjanji tidak mahu membangkitkan hal ini di depan Zulhairi. Aku mahu dia sendiri yang memulakan dan menyatakan tentang hal itu kepadaku sendiri.
            “Tu tak apa. Aku kalau kahwin nanti aku nak buat ringkas-ringkas je. Kau pun suka majlis yang ringkas-ringkaskan?” dia menyoalku pula.
            “Kau nikan.” Aku sudah memuncung.
            Dia kemudiannya ketawa kecil. “Alah kau ni rileks ar, aku melawak jelah. Tu pun nak take serius ke? Macam tak biasa dengan aku.”   
            Aku makin menarik muka dengannya. Semua benda ingin dijadikan lawak. “Kau ni kebelakangan ni suka buat lawak yang bukan-bukankan?” geram aku apabila dia membalas dengan tawa besarnya sahaja.
            “Apa pun aku tak kira, aku tetap nak bawa diorang pergi Lagoland tu.” Katanya padaku. Kemudian dia memandang Amira dan Alia silih berganti. “Kalau kak long korang tak nak pergi takpe, abang long korang ni boleh tolong bawakan.”
            “Zul!” Aku sudah menjerit geram. Aku pasti malam ini pasti Alia akan cuba mengorek sehabis mungkin kisah aku dan Zulhairi kerana dari tadi dia asyik memandangku dengan senyuman.

SEBAIK sahaja aku menghabiskan bacaan doa dan membuka telekung telefon bimbitku berdering lantang. Baru sahaja aku ingin menjawab panggilan tersebut, deringannya tiba-tiba terputus. Nasib baik aku tidak berkejar untuk mengangkat telefon tersebut jika tidak buat sakit hati sahaja. Sekali lagi telefon itu berbunyi dan ianya sama seperti tadi, deringannya hanya seketika sebelum ianya terputus dengan sendiri.
            Aku sudah mengeluh geram. Siapalah agaknya yang mahu memainkanku. Aku terus mendapatkan telefon bimbitku di atas meja solekku. Dua panggilan tidak dijawab dan ianya dari Wafi. Dan belum sempat aku berfikir panjang, telefonku berdering sekali lagi dan kali ini aku terus sahaja menjawab tanpa menunggu lama.
            “Assalamualaikum.” Sapaku.
            “Er… ye… Wa… Waalaikumusalam.” Tergagap-gagap Wafi yang berada di hujung talian menjawab salam yang aku berikan. Seolah-olah dia tidak bersedia aku menjawab panggilan darinya. Tapi bukankah dua yang menghubungiku terlebih dahulu?
            “Kau ni dah kenapa, macam orang nampak hantu je?” Soalku, jarang dia begini. Selalunya kalau menghubungiku dialah yang paling banyak sekali bercakap. Semua benda hendak diceritakan kepadaku. Dari hal keluarganya sehingga sahabat handainya.
            “Er, tak… ni saya… er, awak free tak sekarang ni?”
            “Aku…” meleret-leret aku alukan satu patah perkataan itu, untuk memudahkan aku memikirkan jawapan bagi soalannya itu. Pasti dia ingin mengajakku keluar hari ini.
            “Kalau awak tak free tak apalah.” Laju pula dia berikan jawapan.
            Aku belum memberikan apa-apa keputusan dia sudah memotong kataku. Selalunya selagi aku tidak setuju dengan pelawaannya selagi itu dia akan terus mendesak. Terasa seperti hari ini aku bercakap dengan Wafi yang berlain, bukan Wafi yang aku kenal.
            “Kenapa? Kau ni macam ada masalah je.” Risau juga kalau dia ada masalah. Sebagai kawan rasanya aku perlu hulurkan bantuan. Jika aku tidak boleh menolongnya secara langsung, sekurang-kurangnya aku boleh menjadi pendengar yang baik dan memberikan nasihat serba sedikit.
            “Bukan masalah sebenarnya. Cuma… Er, saya nak jumpa awak boleh?”
            “Boleh.” Tanpa memikirkan terlalu lama seperti kebiasaannya aku terus memberikan persetujuan.
            “Hah, betul ke boleh?” dia terperanjat mendengar persetujuanku yang aku putuskan dalam masa tidak sampai beberapa saat.
            “Ye, boleh sahabatku Wafi.”
            Dia tertawa kecil, namun aku terasa canggung dengan nada tawanya itu. “Kalau macam tu, lagi setengah jam saya ambil awak kat rumah.”
            “Okay.” Balasku ringkas. Terasa bersemangat pula untuk berjumpa dengannya hari ini. Mungkin kerna aku ingin dia berkongsi masalah yang dihadapinya itu denganku, membuatkan aku jadi begini.

RASANYA sudah sejam aku dan dia berpusing-pusing di dalam the Curve ini. Masuk kedai itu keluar kedai ini tapi satu barang pun tiada yang dia beli. Dia masuk ke kedai itu semua sekadar ingin melihat-lihat sahaja, dan aku pula hanya mengikut langkahnya tanpa banyak soal, sedangkan hati sudah berbagai-bagai soalan yang menerpa masuk.
            Entah kenapa dengan dia hari ini, dari ambil aku di rumah tadi, kemudian makan bersama di food court sehingga sekarang susah benar nak mendengar suaranya keluar. Hanya benda yang penting-penting sahaja yang keluar dari bibirnya. Kebanyakkan masa dia hanya membisu. Jika begini lebih baik aku duduk rumah sahaja, sudahlah sejauh ini dia membawaku, bukannya tiada shooping mall di Kuala Lumpur hingga ke Petaling Jaya dia mengheretku.
            Mengenangkan mukanya yang berserabut sejak mengambilku di rumah tadi membuatkan aku layankan sahaja kemahuannya hari ini. Mungkin dia sedang dilanda masalah yang besar dan memerlukan masa yang sesuai untuk berbicara denganku. Makan tengahari di food court tadi pun atas permintaanku, dia hanya menurut tanpa banyak cakap. Jika mengikut kebiasaannya dialah orangnya yang akan mencadangkan pelbagai tempat yang enak untuk menjamu selera, kali ini dia seperti merelakan sahaja semua yang aku katakan tanpa sebarang bantahan.
            Langkahnya tiba-tiba dibawa ke tepi, tanganya memegang besi penghadang. Matanya terus memandang ke bawah melihat centre court of the curve yang dipenuhi orang yang lalu lalang. Aku turut membawa diri ke sebelahnya, aku memandangnya sebentar sebelum memandang ke arah yang sama dengan pandangannya itu. Centre court kelihatan meriah dengan orang ramai yang lalu lalang, ada juga yang mengambil kesempatan bergambar di tengah-tengah orang ramai. Aku tersenyum kecil, jika aku memang tidak mungkin aku akan mengambil gambar di tempat yang ramai manusia sebegini. Bergaya dan tersenyum di depan kamera di hadapan orang ramai memang bukan kegemaranku.
            Melihat centre court the curve ini mengingatkanku dengan centre court di Suria KLCC. Suasananya hampir sama. Suria KLCC centre court memang membawa banyak kenangan dalam hidupku. Setiap kali fikiranku berserabut, langkah akan kupanjangkan ke sana, menyendiri di sana. Melihat orang ramai di tengah-tengah bulatan itu membuatkan aku banyak berfikir. Melihat gelagat manusia di situ membuatkan aku lebih banyak menilai kelemahan dan kekuatan diri.
            “Awak first time datang sini ke?” Soalnya padaku tapi matanya masih lagi memandang gelangang di bawah.
            “Em.” Aku menjawab ringkas sambil mengangguk biarpun dia tidak memandangku. Walaupun bukanlah jauh sangat rumahku dan Petaling Jaya ini namun aku memang tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke sini.
            “Kenapa?” Tanyaku apabila dia hanya mendiamkan diri setelah aku menjawab soalannya itu.
            Dia hanya mengeleng, seketika kemudian dia segera memandangku. “Kalau saya minta awak beri saya peluang, awak rasa awak nak bagi saya peluang itu atau tidak?”
            Aku mendiamkan diri seketika, cuba mencerna soalan itu ke dalam mindaku. Rasanya soalan ini tiada kena mengena langsung dengan soalannya yang pertama tadi. Dia masih lagi tepat memandang ke arahku, gelanggang di bawah langsung tidak dipedulikannya lagi.
            “Peluang apa?” aku sebenarnya masih lagi keliru. Peluang apa yang dia perlukan dariku?
            “Peluang untuk saya jadi sebahagian dari hidup awak.” Laju sahaja ayat itu keluar dari bibirnya. Wajahnya yang tampak berserabut tadi sudah hilang. Kini wajahnya tampak yakin dengan kata-katanya itu, seperti ayat itu memang sudah lama berada di dalam minda sedarnya.
            Kali ini aku rasa aku pula yang berserabut. Serabut untuk memahami makna di sebalik kata-katanya itu. “Kau kan kawan aku. Kiranya kau memang dah ada dalam hidup akulah.” Aku cuba berlagak selamba. Walau dalam hati sudah berkocak resah. Apa sebenarnya yang ingin dia sampaikan pada aku waktu ini?
            “Saya bukan hanya nak jadi kawan, saya nak jadi lebih dari sekadar kawan untuk awak.” Tanpa selindung lagi dia terus menyatakan hasrat hatinya.
            Kini aku sudah termanggu seketika. Pertama kali mendengar kata-kata sebegitu dari seorang lelaki untukku membuatkan aku sudah tidak senang duduk. Pantas mata aku larikan dari pandangannya yang menantikan jawapan dariku. Kalau aku tahu inilah penyebabnya dia menjadi tidak keruan sebentar tadi, aku pasti aku tidak akan berada di sini dengannya.
            “Saya harap awak dapat ter…”
            “Wafi, stop.” Aku menghentikan kata-katanya sekaligus menghentikan tindakannya yang sedang menyeluk poket seluarnya seperti mahu mengeluarkan sesuatu dari situ. Aku pasti barang yang ada di dalam sakunya itu mahu diberikan kepadaku. Jadi aku segera memberhentikan langkahnya.
            “Wafi, aku… aku…” aduh, kenapa saat ini aku terasa seperti lidahku menjadi kelu untuk menuturkan sebarang perkataan. Minda pula seolah-olah lambat untuk menyusun ayat yang aku mahu luahkan. Kenapa seluruh badanku seolah tidak mahu bekerjasama meluahkan apa yang aku rasa saat ini? Atau sebenarnya aku sendiri tidak tahu apa yang aku rasakan kini?
            “Suraya, saya…”
            “Aku nak balik.” Aku terus berpaling ke belakang, melangkah meninggalkannya sendirian. Dapat kudengar derap kaki yang mengekori langkahku.
            “Saya hantarkan.” Gesanya apabila sudah dapat menyaingi langahku.
            Aku hanya mendiamkan diri dan menuju ke arah lif. Dalam fikiranku yang sebentar tadinya kosong kini sudah terisi dengan wajah Zulhairi. Bayangan dirinya sahaja yang menjengah mindaku sehingga aku dan Wafi sudah pun berada di atas jalan raya menuju ke rumahku. Aku memandang ke luar tingkap, tanpa rasa jemu. Rasa sakit di leher akibat tidak bergerak dari tadi tidak aku hiraukan.
            Aku lebih rela menahan rasa sakit ini daripada memandang wajah Wafi yang berada di sebelah. Aku takut dia akan menyuarakan semula isi hatinya padaku jika mataku bertentangan dengan matanya semula. Pertama kali situasi ini berlaku dalam hidupku dan aku tidak tahu bagaimana untuk mengendalikannya dengan baik tanpa ada hati yang terluka.
            Sebaik sahaja kereta Wafi berhenti di hadapan pagar rumahku, aku segera mengucapkan terima kasih padanya dan membuka pintu kereta. Baru sahaja aku membuka dua langkah Wafi memanggil namaku. Dan aku terus berpaling memandangnya sedangkan mindaku menolak untuk melakukan perkara itu.
            Dia berjalan mendekati yang sudah semakin hampir dengan pagar rumahku.
            “Kenapa?” Soalku tidak berperasaan.
            Wajahnya tidak beriak. “Saya tahu awak terkejut dengan semua ni.” Suaranya lebih tenang dari tadi. Dia mendiamkan diri seketika dan memandangku.
            Aku turut mendiamkan diri, berusaha untuk menjadi tenang sepertinya ketika ini.
            “Kalau saya ada di tempat awak pun saya akan terkejut.” Dia ketawa perlahan. Sebelum meneruskan kata. “Saya dah dapat agak awak akan bagi reaksi macam ni pada saya. Sebab tu saya cuak sebelum berterus terang dengan awak tadi.” Dia sudah tersenyum-senyum sendiri, mengenangkan tingkahnya yang kalut sejak awal tadi.
            “Aku…” sebenarnya tiada apa yang ingin aku suarakan saat ini. Tiba-tiba sahaja bibirku mengalunkan perkataan itu perlahan.
            “Saya tahu awak dah tahu apa yang saya maksudkan kat the curve tadi. Saya tak terniat pun nak paksa awak. Cuma saya harap awak dapat fikir masak-masak perkara ini.” Lembut suaranya cuba menyusup ke dalam hatiku.
            Aku diam tidak berkutik sedikitpun. Aku hanya mendengar semua yang ingin dikatakannya.
            “Dan saya harap awak dapat pertimbangankannya sebaik mungkin. And off course, saya harap saya tak kecewa dengan jawapan awak nanti.” Dia terus sahaja berlalu ke keretanya semula sebaik sahaja selesai menyudahkan ayat terakhirnya itu.
            Aku memerhati langkahnya. Adakah dengan tindakanku berdiam diri ini akan menyebabkan dia lebih menaruh harapan padaku nanti? Tapi aku sebenarnya tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sejak dari di the curve tadi. Otakku seakan tidak dapat menimbangkan dengan jelas jawapan apa yang aku perlu berikan, walaupun nyata aku hanya menanggapnya sebagai kawanku dan tidak mungkin lebih dari itu.
            “Wafi,” aku memanggilnya, rasanya perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
            “Fikir masak-masak. Saya tunggu.” Dia terus masuk ke dalam keretanya dan terus meninggalkanku dengan lambaiannya dari dalam kereta.
            Aku hanya mampu memandangnya dengan tiada rasa. Aku mengeluh perlahan sebelum berpaling memandang ke belakang. Jantungku bagi disentap sesuatu bila membuka pagar rumahku. Wajah Zulhairi jelas ketara di mataku waktu ini. Dia tenang bersandar di keretaku sambil memandangku. Di belakangnya Alia sedang sibuk mengemas meja yang menjadi tempat dia mengulangkaji bersama Zulhairi.
            “Dah habis tuisyen ke?” Aku cuba berlagak biasa, namun jantungku sudah mengepam darah dengan lebih laju dari biasa.
            “Sambung malam.” Katanya bersahaja.
            Aku hanya menganggukkan kepala. “Aku masuk dululah.” Aku terus meminta diri, pandangan matanya walaupun tampak bersahaja tapi tetap ada gusar yang singgah di hatiku ini.
            “Kau tak nak cerita apa-apa pada aku ke?” Soalnya sewaktu aku sudah pun melintasi dirinya.
            Mendengarkan soalannya itu aku terpaksa berpusing memandangnya semula. “Nak cerita apa?” tanyaku, pura-pura tidak faham. Adakah Zulhairi sudah mendengar perbualanku dengan Wafi sebentar tadi? Memikirkan kemungkinan itu membuatkan aku tidak senang hati, aku mengetap bibir mengawal segala rasa yang sudah singgah di segenap mindaku.
            “Apa yang Wafi suruh kau pertimbangkan dan fikirkan masak-masak tu?” tanpa berbasi-basi seperti tadi dia terus menerjahku dengan soalan yang aku tidak mahu jawab sama sekali.
            “Er, tak ada apa-apalah.” Entah kenapa aku sebolehnya mahu merahsiakan perkara ini darinya.
            “Sejak bila pandai berahsia dengan aku?” mukanya mula tegang, geram kerana aku tidak berterus terang dengannya barangkali.
            “Mana ada aku rahsiakan apa-apa.” Aku cuba berbolak-balik dengannya. Mengharapkan dia putus asa untuk mengorek rahsia ini dariku.
            “Tak payah nak tipu aku Su. Sebab kau memang tak pandai nak menipu aku.” Akhirnya keluar juga ayat keramat itu. Ayat yang sering dia gunakan untuk memaksaku membuka cerita. Ayat yang dia gunakan setiap kali jika aku sedang berusaha untuk menyembunyikan sesuatu darinya.
            Aku menelan liur dan mendiamkan diri. Mengapa susah pula untukku membuka kisah itu di depannya. “Nanti-nantilah aku cerita. Aku nak naik sembahyang asar, dah lewat ni.” Aku terus berpusing dan masuk ke dalam rumah. Dengan alasan ini sahaja aku tahu dia akan melepaskan diriku saat ini. Jika aku keluarkan alasan lain, aku yakin sampai malam karang aku masih berada di hadapannya mengadap mukanya sehingga aku membuka cerita.

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum. In syaa ALLAH, entry utk SAC akan ditamatkan pada bab 23 nanti. Ini bermakna tinggal 3 bab saja lagi yang dapat AH sajikan kepada semua pembaca setia AH. Yang selebihnya, sama2 kita nantikan di pasaran nanti ya. AH juga mengambil kesempatan ini untuk sama2 kita berdoa buat saudara2 kita di GAZA. Semoga Israel memdapat balasan segera dari ALLAH SWT, Tuhan semesta alam. Amin.  

           
                

5 comments:

Anonymous said...

wahhh,best!!!! bila laa zul nak terus terang dgn su!! karang kang terlambat! in shaa Allah,saya akn dapatkan novel ni!! all the best akak!!

Eijan said...

Zul cepatlah bertindak...terus terang dgn Su tu...nnt awak melepas...wafi dah mula dah tu....so cepat2 la ikat su tu...
Kami nak Zul & Su....tak nak la Wafi tu...
AH bila versi cetak terbit nnt...akak tak akan miss....good luck...

Anonymous said...

Besstttt.....x sabar nak tunggu buku ni di pasaran.

nadiah said...

Kak Adah, memang sengaja letak Lagoland ke atau tersalah? Kalau memang nak refer kpd Legoland, akak tersalah taip tu.
huaaaa 23 je? bila nak keluar ni? nak nangis la menunggu. T__T

shaza said...

Nak Zul dgn Su

Post a Comment