20
Aku menatang dulang yang berisi air Nescafe panas dan
milo ais untuk Zulhairi dan adik-adikku. Sewaktu melalui ruang tamu aku
mencari-cari kelibat Amira. Kemana pula perginya budak ini, tadi dia yang
beria-ia inginkan milo ais, sekarang entah kemana pula menghilangnya. Aku
meneruskan langkah ke luar rumah untuk menghantar air buat Zulhairi dan Alia.
Tinggal lagi dua minggu sahaja SPM bakal menjelma dan aku lihat bukan Alia
sahaja sedang bersungguh-sungguh belajar tetapi Zulhairi juga seperti sama-sama
bersemangat untuk mengajar Alia. Mulai minggu lepas setiap hari selepas habis
waktu pejabat dia akan ke rumahku untuk mengajar Alia.
Sebelum ini aku hanya
memintanya mengajar Alia matapelajaran matematik dan matematik tambahan sahaja,
tapi sekarang fizik dan kimia pun dia berikan tunjuk ajar pada Alia. Aku tidak
kisah, kerana aku tahu dia memang pintar sejak zaman persekolah lagi, aku rasa
dia hanya perlu membaca semula semua topik sesuatu subjek itu dan pastinya dia
akan dapat mengimbau semula apa yang dipelajarinya dahulu. Dan yang paling
penting dia tidak minta bayaran atas tuisyen yang dia berikan selama ini. Puas
aku hulurkan wang tapi dia tidak mahu, katanya menolong adik-adikku sama
seperti dia menolong adik-adiknya, sedangkan dia anak bongsu, mana ada adik
pun. Apa-apa sajalah Zulhairi ini.
Seperti biasa aku lihat Alia
masih lagi tekun dengan kertas soalan di hadapan matanya, cuma Zulhairi sudah
beralih tumpuan pada Amira yang sudah berada di atas ribanya. Dia sibuk
mengajar Amira membaca. Patutlah dia tiada di dalam rupanya bersama Zulhairi di
sini. Tadi aku sudah menasihatinya supaya jangan menganggu Zulhairi mengajar
Alia tapi dia buat juga. Amira ini memang terlalu rapat dengan Zulhairi,
pantang nampak muka Zulhairi dia yang akan ke depan dahulu.
“Amira, kenapa kacau
abang Zul?” Aku memandangnya apabila aku sudah berdiri di hadapan dia dan
Zulhairi.
Dia hanya tersengih
mendengar soalanku.
“Mana ada Mira kacau,
Mira nak belajar dengan Abang Zul, kan?” mendengar Zulhairi membelanya makin
lebar senyumannya. Suka sangatlah tu.
“Abang Zul siap.” Alia
menghulurkan kertas jawapannya pada Zulhairi. Dan Zulhairi menyambutnya. “Bang
Zul nak rest
dulu boleh tak? Nak minum.” Alia minta izin pada gurunya sebaik sahaja aku
meletakkan minuman di atas meja.
“Okay, kita rest dulu.” Zulhairi memberi
kebenaran.
Aku duduk sambil
mengambil kertas jawapan yang Alia hulurkan pada Zulhairi tadi. Soalan kimia,
aku memerhati soalan dan jawapan yang Alia berikan. Berkerut-kerut keningku
membaca soalan itu. Nampaknya apa yang aku belajar sewaktu subjek kimia di
sekolah dahulu sudah kelam. Terasa rugi pula ilmu yang telah aku pelajari
beberapa tahun itu, telah hilang entah ke mana?
“Ingat lagi ke?” sinis
sahaja aku mendengar soalan itu keluar dari mulut Zulhairi.
Aku mencebik. Mula nak
tunjuk lagaklah tu dengan aku. Kalau aku berlagak pandai, aku yakin dia pasti
akan menyuruh Alia mengeluarkan soalan percubaan SPM sekolahnya dan bertarung
denganku siapa yang akan mendapat jawapan yang tepat dan terpantas. Malas aku
hendak layan.
“Amira meh sini, jangan
kacau Abang Zul.” Aku mengamit Amira supaya dia duduk denganku. Kesian pula aku
lihat keadaan Zulhairi yang asyik melayan Amira minum sedangkan minumannya
masih tidak berusik lagi.
“Alah biarlah, kau ni
pun.”
Akhirnya aku diamkan
saja. Jangan malam nanti telefon aku mengadu yang penat melayan Amira hari ini
sudah.
“Along, abang Zul dah
janji, lepas Alia habis SPM ni dia nak bawa kita semua pergi Lagoland.” Ali
membuka cerita, dia dan Amira sudah tersenyum lebar.
Aku memandang Zulhairi, dia hanya selamba sahaja. Dia
memang suka janji yang macam-macam dengan adik-adik aku ini. Aku bukan takut
dia tidak menunaikan janji kerana aku tahu setiap apa yang dia katakan dia
pasti akan kotakan cumanya untuk ke sana bukannya murah walaupun masih lagi
dalam Malaysia. Tapi untuk kami berlima ke sana memang memakan wang yang bukan
sedikit.
“Kau tak payah nak merepek ye Encik Ahmad Zulhairi. Kau
ingat seringgit dua nak masuk dalam tu?” aku membantah, rasanya dia mesti tidak
tahu harga tiket untuk masuk ke sana.
“Aku tahulah…”
“Dah tu?” belum sempat dia meneruskan ayatnya aku sudah
membalas.
Dia mengeluh perlahan, mungkin geram denganku yang
memotong cakapnya. “Apa salahnya sekali sekala. Bukannya setiap bulan kita
pergi pun. Kau jangan risaulah semua aku sponsor.”
Senang betul dia bercakap. Macamlah sudah banyak sangat
duit, sampai semua mahu sponsor. Sudahlah belum sampai setahun bekerja
semula, sudah mahu membelanjakan wang begitu sahaja. “Daripada kau habiskan
duit kau ke sana, baik kau simpan buat belanja kawin.” Aku terdiam sudahnya.
Macam manalah aku boleh membangkitkan hal perkahwinan. Sejak aku berbual dengan
makcik Khamsiah di rumahnya aku sudah berjanji tidak mahu membangkitkan hal ini
di depan Zulhairi. Aku mahu dia sendiri yang memulakan dan menyatakan tentang
hal itu kepadaku sendiri.
“Tu tak apa. Aku kalau kahwin nanti aku nak buat
ringkas-ringkas je. Kau pun suka majlis yang ringkas-ringkaskan?” dia menyoalku
pula.
“Kau nikan.” Aku sudah memuncung.
Dia kemudiannya ketawa kecil. “Alah kau ni rileks ar, aku
melawak jelah. Tu pun nak take serius ke? Macam tak biasa dengan aku.”
Aku makin menarik muka dengannya. Semua benda ingin
dijadikan lawak. “Kau ni kebelakangan ni suka buat lawak yang bukan-bukankan?” geram
aku apabila dia membalas dengan tawa besarnya sahaja.
“Apa pun aku tak kira, aku tetap nak bawa diorang pergi Lagoland
tu.” Katanya padaku. Kemudian dia memandang Amira dan Alia silih berganti.
“Kalau kak long korang tak nak pergi takpe, abang long korang ni boleh tolong
bawakan.”
“Zul!” Aku sudah menjerit geram. Aku pasti malam ini
pasti Alia akan cuba mengorek sehabis mungkin kisah aku dan Zulhairi kerana
dari tadi dia asyik memandangku dengan senyuman.
SEBAIK sahaja aku
menghabiskan bacaan doa dan membuka telekung telefon bimbitku berdering
lantang. Baru sahaja aku ingin menjawab panggilan tersebut, deringannya
tiba-tiba terputus. Nasib baik aku tidak berkejar untuk mengangkat telefon
tersebut jika tidak buat sakit hati sahaja. Sekali lagi telefon itu berbunyi
dan ianya sama seperti tadi, deringannya hanya seketika sebelum ianya terputus
dengan sendiri.
Aku sudah mengeluh geram. Siapalah agaknya yang mahu
memainkanku. Aku terus mendapatkan telefon bimbitku di atas meja solekku. Dua
panggilan tidak dijawab dan ianya dari Wafi. Dan belum sempat aku berfikir
panjang, telefonku berdering sekali lagi dan kali ini aku terus sahaja menjawab
tanpa menunggu lama.
“Assalamualaikum.” Sapaku.
“Er… ye… Wa… Waalaikumusalam.” Tergagap-gagap Wafi yang
berada di hujung talian menjawab salam yang aku berikan. Seolah-olah dia tidak
bersedia aku menjawab panggilan darinya. Tapi bukankah dua yang menghubungiku
terlebih dahulu?
“Kau ni dah kenapa, macam orang nampak hantu je?” Soalku,
jarang dia begini. Selalunya kalau menghubungiku dialah yang paling banyak
sekali bercakap. Semua benda hendak diceritakan kepadaku. Dari hal keluarganya
sehingga sahabat handainya.
“Er, tak… ni saya… er, awak free tak sekarang ni?”
“Aku…” meleret-leret aku alukan satu patah perkataan itu,
untuk memudahkan aku memikirkan jawapan bagi soalannya itu. Pasti dia ingin
mengajakku keluar hari ini.
“Kalau awak tak free tak apalah.” Laju pula dia berikan jawapan.
Aku belum memberikan apa-apa keputusan dia sudah memotong
kataku. Selalunya selagi aku tidak setuju dengan pelawaannya selagi itu dia
akan terus mendesak. Terasa seperti hari ini aku bercakap dengan Wafi yang
berlain, bukan Wafi yang aku kenal.
“Kenapa? Kau ni macam ada masalah je.” Risau juga kalau
dia ada masalah. Sebagai kawan rasanya aku perlu hulurkan bantuan. Jika aku
tidak boleh menolongnya secara langsung, sekurang-kurangnya aku boleh menjadi
pendengar yang baik dan memberikan nasihat serba sedikit.
“Bukan masalah sebenarnya. Cuma… Er, saya nak jumpa awak
boleh?”
“Boleh.” Tanpa memikirkan terlalu lama seperti
kebiasaannya aku terus memberikan persetujuan.
“Hah, betul ke boleh?” dia terperanjat mendengar
persetujuanku yang aku putuskan dalam masa tidak sampai beberapa saat.
“Ye, boleh sahabatku Wafi.”
Dia tertawa kecil, namun aku terasa canggung dengan nada
tawanya itu. “Kalau macam tu, lagi setengah jam saya ambil awak kat rumah.”
“Okay.” Balasku ringkas. Terasa bersemangat pula untuk
berjumpa dengannya hari ini. Mungkin kerna aku ingin dia berkongsi masalah yang
dihadapinya itu denganku, membuatkan aku jadi begini.
RASANYA sudah sejam aku
dan dia berpusing-pusing di dalam the Curve ini. Masuk kedai itu keluar kedai
ini tapi satu barang pun tiada yang dia beli. Dia masuk ke kedai itu semua
sekadar ingin melihat-lihat sahaja, dan aku pula hanya mengikut langkahnya
tanpa banyak soal, sedangkan hati sudah berbagai-bagai soalan yang menerpa
masuk.
Entah kenapa dengan dia hari ini, dari ambil aku di rumah
tadi, kemudian makan bersama di food court sehingga sekarang susah benar nak
mendengar suaranya keluar. Hanya benda yang penting-penting sahaja yang keluar
dari bibirnya. Kebanyakkan masa dia hanya membisu. Jika begini lebih baik aku
duduk rumah sahaja, sudahlah sejauh ini dia membawaku, bukannya tiada shooping
mall di Kuala Lumpur hingga
ke Petaling Jaya dia mengheretku.
Mengenangkan mukanya yang berserabut sejak mengambilku di
rumah tadi membuatkan aku layankan sahaja kemahuannya hari ini. Mungkin dia
sedang dilanda masalah yang besar dan memerlukan masa yang sesuai untuk
berbicara denganku. Makan tengahari di food court tadi pun atas permintaanku, dia hanya menurut
tanpa banyak cakap. Jika mengikut kebiasaannya dialah orangnya yang akan
mencadangkan pelbagai tempat yang enak untuk menjamu selera, kali ini dia
seperti merelakan sahaja semua yang aku katakan tanpa sebarang bantahan.
Langkahnya tiba-tiba dibawa ke tepi, tanganya memegang
besi penghadang. Matanya terus memandang ke bawah melihat centre court of the curve
yang dipenuhi orang yang lalu lalang. Aku turut membawa diri ke sebelahnya, aku
memandangnya sebentar sebelum memandang ke arah yang sama dengan pandangannya
itu. Centre court kelihatan meriah dengan orang ramai yang lalu lalang, ada
juga yang mengambil kesempatan bergambar di tengah-tengah orang ramai. Aku
tersenyum kecil, jika aku memang tidak mungkin aku akan mengambil gambar di
tempat yang ramai manusia sebegini. Bergaya dan tersenyum di depan kamera di
hadapan orang ramai memang bukan kegemaranku.
Melihat centre court the curve ini mengingatkanku dengan
centre court di Suria KLCC. Suasananya hampir sama. Suria KLCC centre court
memang membawa banyak kenangan dalam hidupku. Setiap kali fikiranku berserabut,
langkah akan kupanjangkan ke sana, menyendiri di sana. Melihat orang ramai di
tengah-tengah bulatan itu membuatkan aku banyak berfikir. Melihat gelagat
manusia di situ membuatkan aku lebih banyak menilai kelemahan dan kekuatan
diri.
“Awak first time datang sini ke?” Soalnya padaku tapi matanya masih
lagi memandang gelangang di bawah.
“Em.” Aku menjawab ringkas sambil mengangguk biarpun dia
tidak memandangku. Walaupun bukanlah jauh sangat rumahku dan Petaling Jaya ini
namun aku memang tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke sini.
“Kenapa?” Tanyaku apabila dia hanya mendiamkan diri
setelah aku menjawab soalannya itu.
Dia hanya mengeleng, seketika kemudian dia segera
memandangku. “Kalau saya minta awak beri saya peluang, awak rasa awak nak bagi
saya peluang itu atau tidak?”
Aku mendiamkan diri seketika, cuba mencerna soalan itu ke
dalam mindaku. Rasanya soalan ini tiada kena mengena langsung dengan soalannya
yang pertama tadi. Dia masih lagi tepat memandang ke arahku, gelanggang di
bawah langsung tidak dipedulikannya lagi.
“Peluang apa?” aku sebenarnya masih lagi keliru. Peluang
apa yang dia perlukan dariku?
“Peluang untuk saya jadi sebahagian dari hidup awak.”
Laju sahaja ayat itu keluar dari bibirnya. Wajahnya yang tampak berserabut tadi
sudah hilang. Kini wajahnya tampak yakin dengan kata-katanya itu, seperti ayat
itu memang sudah lama berada di dalam minda sedarnya.
Kali ini aku rasa aku pula yang berserabut. Serabut untuk
memahami makna di sebalik kata-katanya itu. “Kau kan kawan aku. Kiranya kau
memang dah ada dalam hidup akulah.” Aku cuba berlagak selamba. Walau dalam hati
sudah berkocak resah. Apa sebenarnya yang ingin dia sampaikan pada aku waktu
ini?
“Saya bukan hanya nak jadi kawan, saya nak jadi lebih
dari sekadar kawan untuk awak.” Tanpa selindung lagi dia terus menyatakan hasrat
hatinya.
Kini aku sudah termanggu seketika. Pertama kali mendengar
kata-kata sebegitu dari seorang lelaki untukku membuatkan aku sudah tidak
senang duduk. Pantas mata aku larikan dari pandangannya yang menantikan jawapan
dariku. Kalau aku tahu inilah penyebabnya dia menjadi tidak keruan sebentar
tadi, aku pasti aku tidak akan berada di sini dengannya.
“Saya harap awak dapat ter…”
“Wafi, stop.” Aku menghentikan kata-katanya sekaligus
menghentikan tindakannya yang sedang menyeluk poket seluarnya seperti mahu
mengeluarkan sesuatu dari situ. Aku pasti barang yang ada di dalam sakunya itu
mahu diberikan kepadaku. Jadi aku segera memberhentikan langkahnya.
“Wafi, aku… aku…” aduh, kenapa saat ini aku terasa
seperti lidahku menjadi kelu untuk menuturkan sebarang perkataan. Minda pula
seolah-olah lambat untuk menyusun ayat yang aku mahu luahkan. Kenapa seluruh
badanku seolah tidak mahu bekerjasama meluahkan apa yang aku rasa saat ini?
Atau sebenarnya aku sendiri tidak tahu apa yang aku rasakan kini?
“Suraya, saya…”
“Aku nak balik.” Aku terus berpaling ke belakang,
melangkah meninggalkannya sendirian. Dapat kudengar derap kaki yang mengekori
langkahku.
“Saya hantarkan.” Gesanya apabila sudah dapat menyaingi
langahku.
Aku hanya mendiamkan diri dan menuju ke arah lif. Dalam
fikiranku yang sebentar tadinya kosong kini sudah terisi dengan wajah Zulhairi.
Bayangan dirinya sahaja yang menjengah mindaku sehingga aku dan Wafi sudah pun
berada di atas jalan raya menuju ke rumahku. Aku memandang ke luar tingkap,
tanpa rasa jemu. Rasa sakit di leher akibat tidak bergerak dari tadi tidak aku
hiraukan.
Aku lebih rela menahan rasa sakit ini daripada memandang
wajah Wafi yang berada di sebelah. Aku takut dia akan menyuarakan semula isi
hatinya padaku jika mataku bertentangan dengan matanya semula. Pertama kali
situasi ini berlaku dalam hidupku dan aku tidak tahu bagaimana untuk
mengendalikannya dengan baik tanpa ada hati yang terluka.
Sebaik sahaja kereta Wafi berhenti di hadapan pagar
rumahku, aku segera mengucapkan terima kasih padanya dan membuka pintu kereta.
Baru sahaja aku membuka dua langkah Wafi memanggil namaku. Dan aku terus
berpaling memandangnya sedangkan mindaku menolak untuk melakukan perkara itu.
Dia berjalan mendekati yang sudah semakin hampir dengan
pagar rumahku.
“Kenapa?” Soalku tidak berperasaan.
Wajahnya tidak beriak. “Saya tahu awak terkejut dengan
semua ni.” Suaranya lebih tenang dari tadi. Dia mendiamkan diri seketika dan
memandangku.
Aku turut mendiamkan diri, berusaha untuk menjadi tenang
sepertinya ketika ini.
“Kalau saya ada di tempat awak pun saya akan terkejut.”
Dia ketawa perlahan. Sebelum meneruskan kata. “Saya dah dapat agak awak akan
bagi reaksi macam ni pada saya. Sebab tu saya cuak sebelum berterus terang
dengan awak tadi.” Dia sudah tersenyum-senyum sendiri, mengenangkan tingkahnya
yang kalut sejak awal tadi.
“Aku…” sebenarnya tiada apa yang ingin aku suarakan saat
ini. Tiba-tiba sahaja bibirku mengalunkan perkataan itu perlahan.
“Saya tahu awak dah tahu apa yang saya maksudkan kat the
curve tadi. Saya tak terniat pun nak paksa awak. Cuma saya harap awak dapat
fikir masak-masak perkara ini.” Lembut suaranya cuba menyusup ke dalam hatiku.
Aku diam tidak berkutik sedikitpun. Aku hanya mendengar
semua yang ingin dikatakannya.
“Dan saya harap awak dapat pertimbangankannya sebaik
mungkin. And off course, saya harap saya tak kecewa dengan jawapan awak nanti.” Dia terus
sahaja berlalu ke keretanya semula sebaik sahaja selesai menyudahkan ayat
terakhirnya itu.
Aku memerhati langkahnya. Adakah dengan tindakanku
berdiam diri ini akan menyebabkan dia lebih menaruh harapan padaku nanti? Tapi
aku sebenarnya tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sejak dari di the curve
tadi. Otakku seakan tidak dapat menimbangkan dengan jelas jawapan apa yang aku
perlu berikan, walaupun nyata aku hanya menanggapnya sebagai kawanku dan tidak
mungkin lebih dari itu.
“Wafi,” aku memanggilnya, rasanya perkara ini tidak boleh
dibiarkan begitu sahaja.
“Fikir masak-masak. Saya tunggu.” Dia terus masuk ke
dalam keretanya dan terus meninggalkanku dengan lambaiannya dari dalam kereta.
Aku hanya mampu memandangnya dengan tiada rasa. Aku
mengeluh perlahan sebelum berpaling memandang ke belakang. Jantungku bagi
disentap sesuatu bila membuka pagar rumahku. Wajah Zulhairi jelas ketara di
mataku waktu ini. Dia tenang bersandar di keretaku sambil memandangku. Di
belakangnya Alia sedang sibuk mengemas meja yang menjadi tempat dia
mengulangkaji bersama Zulhairi.
“Dah habis tuisyen ke?” Aku cuba berlagak biasa, namun
jantungku sudah mengepam darah dengan lebih laju dari biasa.
“Sambung malam.” Katanya bersahaja.
Aku hanya menganggukkan kepala. “Aku masuk dululah.” Aku
terus meminta diri, pandangan matanya walaupun tampak bersahaja tapi tetap ada
gusar yang singgah di hatiku ini.
“Kau tak nak cerita apa-apa pada aku ke?” Soalnya sewaktu
aku sudah pun melintasi dirinya.
Mendengarkan soalannya itu aku terpaksa berpusing
memandangnya semula. “Nak cerita apa?” tanyaku, pura-pura tidak faham. Adakah
Zulhairi sudah mendengar perbualanku dengan Wafi sebentar tadi? Memikirkan
kemungkinan itu membuatkan aku tidak senang hati, aku mengetap bibir mengawal
segala rasa yang sudah singgah di segenap mindaku.
“Apa yang Wafi suruh kau pertimbangkan dan fikirkan
masak-masak tu?” tanpa berbasi-basi seperti tadi dia terus menerjahku dengan
soalan yang aku tidak mahu jawab sama sekali.
“Er, tak ada apa-apalah.” Entah kenapa aku sebolehnya
mahu merahsiakan perkara ini darinya.
“Sejak bila pandai berahsia dengan aku?” mukanya mula
tegang, geram kerana aku tidak berterus terang dengannya barangkali.
“Mana ada aku rahsiakan apa-apa.” Aku cuba berbolak-balik
dengannya. Mengharapkan dia putus asa untuk mengorek rahsia ini dariku.
“Tak payah nak tipu aku Su. Sebab kau memang tak pandai
nak menipu aku.” Akhirnya keluar juga ayat keramat itu. Ayat yang sering dia
gunakan untuk memaksaku membuka cerita. Ayat yang dia gunakan setiap kali jika
aku sedang berusaha untuk menyembunyikan sesuatu darinya.
Aku menelan liur dan mendiamkan diri. Mengapa susah pula
untukku membuka kisah itu di depannya. “Nanti-nantilah aku cerita. Aku nak naik
sembahyang asar, dah lewat ni.” Aku terus berpusing dan masuk ke dalam rumah.
Dengan alasan ini sahaja aku tahu dia akan melepaskan diriku saat ini. Jika aku
keluarkan alasan lain, aku yakin sampai malam karang aku masih berada di
hadapannya mengadap mukanya sehingga aku membuka cerita.
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum. In syaa ALLAH, entry utk SAC akan ditamatkan pada bab 23 nanti. Ini bermakna tinggal 3 bab saja lagi yang dapat AH sajikan kepada semua pembaca setia AH. Yang selebihnya, sama2 kita nantikan di pasaran nanti ya. AH juga mengambil kesempatan ini untuk sama2 kita berdoa buat saudara2 kita di GAZA. Semoga Israel memdapat balasan segera dari ALLAH SWT, Tuhan semesta alam. Amin.
5 comments:
wahhh,best!!!! bila laa zul nak terus terang dgn su!! karang kang terlambat! in shaa Allah,saya akn dapatkan novel ni!! all the best akak!!
Zul cepatlah bertindak...terus terang dgn Su tu...nnt awak melepas...wafi dah mula dah tu....so cepat2 la ikat su tu...
Kami nak Zul & Su....tak nak la Wafi tu...
AH bila versi cetak terbit nnt...akak tak akan miss....good luck...
Besstttt.....x sabar nak tunggu buku ni di pasaran.
Kak Adah, memang sengaja letak Lagoland ke atau tersalah? Kalau memang nak refer kpd Legoland, akak tersalah taip tu.
huaaaa 23 je? bila nak keluar ni? nak nangis la menunggu. T__T
Nak Zul dgn Su
Post a Comment