Monday, September 10, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 14


14
            Troli yang penuh dengan barangan dapur aku tolak perlahan menyelusuri antara rak di dalam pasaraya. Alia, Azira dan Amira setia berada di sampingku sepanjang aku membeli belah barangan keperluan harian. Entah mengapa hari ini mereka bertiga mahu bersama-sama mengikutku, sedangkan selalunya hanya Amira sahaja yang beria-ia mahu menjadi peneman setia tatkala menjejakkan kaki ke pasaraya ini.
            “Ada nak beli apa-apa ke?” Soalku pada adik-adikku. Alia dan Azira menggelengkan kepala. Namun Amira sudah tersenyum-senyum memandangku. Pasti ada sesuatu yang bermain di mindanya, atau yang sebenarnya sudah ada perkara yang telah mereka rancangankan. Aku terus beratur di kaunter bayaran, apabila tiba sahaja giliranku, Alia membantuku meletakkan barangan di atas kaunter untuk dikira.
            Setelah selesai membuat bayaran aku menolak troli untuk ke parking lot yang berada di luar bangunan giant ini.
            “Along, nak makan KFC boleh?” Amira membuat permintaan.
            Permintaan Amira itu mengundang tanda tanya dalam diri. Sejak bila Amira sudah berani membuat permintaan padaku? Aku akui, antara mereka bertiga, memang Amira yang agak rapat denganku berbanding adik-adikku yang lain. Mungkin kerana dia yang paling bongsu. Walaupun begitu, namun selama ini dia amat jarang mahu meminta denganku. Malah Alia selalunya menjadi tempat untuk dia menyatakan sebarang keinginan. Paling tidak pun, apa yang dihidangkan di hadapannya itu yang akan diambilnya, tanpa banyak soal.
            “Boleh tak along?” soal Amira lagi apabila aku hanya memandang wajahnya. Sejak kebelakangan ini wajah comelnya itu sering kali mengusik hatiku.
            “Okay.” Aku terus berjalan, namun tidak aku dengar  derapan kaki mereka mengekoriku. Lantas aku hentikan langkah, dan menoleh ke belakang memandang mereka semua yang masih kaku di tempat tadi. Tidak henti mereka memandang antara satu sama lain.
            “Kenapa?” Aku terus menyoal, namun mereka masih lagi kaku di situ memandangku.
            “Betul ke ni along?” Alia bersuara bagi pihak mereka semua. Seolah-olah tidak percaya.
            “Yelah,” aku mengiakan. Amira akhirnya melonjak riang. Pantas Azira menegah kelakuan Amira yang mengundang beberapa mata memandangnya.
            “Dah, cepat jalan.” Arahku, kemudian aku kembali berjalan menghampiri restauran KFC yang tidak jauh dari situ. Entahlah, aku pun tidak tahu mengapa aku mahu menurut kemahuan Amira hari ini. Sejak kebelakang ini aku perasaan yang aku jarang sekali menolak segala permintaan Amira. Sejak dia baik dari demam tempoh hari, aku asyik menurut semua kemahuannya. Aku sudah terasa seperti aku bukan ‘Along’ mereka yang dahulu.
            Sampai sahaja di dalam restauran itu, aku menyerahkan wang kepada Alia agar dia membeli makanan di kaunter. Melihatkan ramai pengunjung yang beratur panjang di kaunter itu membuatkan aku terasa malas untuk beratur. Tambahan pula kakiku sudah mula terasa kejang. Aku hanya memerhati Alia dan Azira yang begitu riang beratur menanti giliran mereka tiba.
            “Along… Along nak tahu tak?”
            Aku memandang Amira yang duduk di sebelahku. “Tahu apa?” aku kehairanan.
            “Amira suka sangat tengok muka Along sekarang ini. Along makin lama makin cantiklah.” Puji Amira dengan menupangkan dagunya di meja.
            Hatiku terusik sebenarnya menerima pujian darinya, namun aku pura-pura tiada hati dengan setiap kata-katanya. “Tak payah nak puji-puji sangatlah, along tak makan pujian, along…”
            Tiba-tiba Amira memetik jarinya. “Amira tahu, along makan ayamkan?”
            Aku menjengkilkan mata padanya, geram apabila dia memotong kataku.
            “Along sabar ye, nanti kak Alia bawakan ayam, untuk along.” Tambah Amira lagi seolah-olah tidak takut aku akan memarahinya.
            “Bukan main lagi sekarang ye.” Aku mencubit pipinya, geram. Amira ketawa berdekah-dekah. Bukan main gembira lagi dia hari ini.
            Alia dan Azira sudah datang semula ke meja dengan membawa dua dulang yang penuh dengan makanan dan minuman yang telah dipesan. Azira terus duduk membiarkan Alia mengaturkan makanan dan minuman.
            Setelah selesai aku mengarahkan Amira untuk membaca doa makan. Aku mengarahkan mereka semua makan setelah mengaminkan doa. Baru sahaja aku mahu menyedut air, satu suara memberikan salam padaku. Aku berpaling dan terus terkedu seketika melihat Wafi yang sedang memegang sedulang makanan tersenyum memandangku.
            “Boleh joint?”
            Soalan Wafi itu membuatkan fikiranku tersekat seketika. Aku pandang Alia dan Azira yang sudah berbisik sesama sendiri. Amira pula begitu ralit memandang Wafi, tidak berganjak walau seinci. Apa jawapan yang harus aku berikan?
            “Tak boleh ke?” desak Wafi dalam diam.
            “Er… boleh… kot!” dalam rasa serba salah aku memberikan kebenaran.
            Mendengar sahaja jawapan dariku dia terus meletakkan dulungnya di kepala meja bersebelahan Amira dan Alia.
            “Perghhh… hensemkan Lia?”
            Aku sudah membesarkan mata pada Azira sewaktu dia membisikkan ayat itu pada Alia. Geram betul aku dengan tingkah Azira ini, kalau benar pun nak memuji janganlah berbisik sekuat itu. Nanti apa pula kata Wafi jika dia mendengarnya. Aku benar-benar berharap Wafi tidak mendengar bisikan Azira itu, tapi melihat bibir Wafi yang melirik senyuman panjang membuatkan aku yakin dia mendengar dengan jelas bisikan Azira itu.
            “Siapa ni along?” Azira tidak sabar hendak mengetahui lelaki yang dikatakan kacak. Renungan tajamku tadi tidak memberikan sebarang kesan padanya.
            “Ni abang Wafi, dia kerja satu wisma dengan along.” Terangku tapi mata masih lagi merenung tajam dirinya, mengharapkan yang dia mengerti bahawa aku tidak mahu dia melakukan perkara atau menyatakan apa-apa yang bukan-bukan di hadapan Wafi.
            “Oh… Ingatkan pakwe along tadi.”
            Astagfirullahalazim. Aku sudah beristigfar panjang dalam hati, Azira ini suka-suka dia sahaja menyatakan perkara yang bukan-bukan di hadapan Wafi. Sudahlah aku tidak mahu Wafi salah faham dengan hubungan aku dan dia, tapi kata-kata Azira itu mungkin akan menyebabkan perkara yang sebaliknya akan berlaku.
            “Along mana ada pakwe!” tegas sekali suara Amira tika ini. Dia memasamkan wajah pada Azira. Aku sendiri tidak menyangka yang Amira akan menjawab sebegitu, bagi pihakku
            “Oh, kakak adik tak ada pakwe lagi ye. Kalau abang jadi pakwe kakak adik boleh?” Wafi menyoal sambil mengusap kepala Amira.
            Sudah! Kan aku sudah cakap tadi, pasti Wafi akan fikir yang bukan-bukan.
            “Tak boleh!”  balas Amira pantas dan memandang Wafi pula.
            Wafi sudah ketawa besar mendengar balasan Amira. Tangannya masih mengusap kepala Amira. “Adik-adik awak ke ni?” Wafi menyoal sewaktu tawanya semakin mengendur.
            “Ha’ah, yang ni adik bongsu saya, Amira dan…”
            “Saya Azira.” Belum sempat aku menghabiskan ayat Azira sudah terlebih dahulu mencelah dan melambaikan tangan tanda perkenalan pada Wafi. “Ini Alia dan yang paling cantik ni along kitaorang, Suraya.” Laju sahaja Alia bersuara. Sungguh dia kelihatan teruja dengan kehadiran Wafi.
            Wafi terus ketawa mendengar kata-kata Azira dan Azira tersenyum panjang apabila mendapat reaksi sebegitu daripada Wafi.
            “Yang paling cantik ni, awal-awal lagi abang dah kenal.” Sambung Wafi, menyahut gurauan Azira.
            “Kau buat apa kat sini Wafi?” Aku terus menukar topik perbualan tidak mahu mereka terus berbual mengenaiku.
            “Makan.” Wafi menayangkan burgernya padaku.
            “Seorang aje?”
            “Yelah, saya ajak orang tu dah berkali-kali. Asyik kena reject je.” Secara tak langsung Wafi sengaja mahu mengenakanku.
            Aku buat muka selamba, walaupun agak terkesan dengan kata-katanya. Sudah tentu ayat tu ditujukan padaku. Bukannya ada orang lain di sini yang mengenalinya sebelum ini.
            “Abang Wafi kerja apa?” Azira sudah memulakan sesi wawancara. Dari mula kemunculan Wafi tadi nampak sangat yang dia amat menyenangi lelaki ini.
            “Jurutera Lapangan.” Jawab Wafi dan sekarang dia menumpukan perhatian pada Azira sepenuhnya.
            “Wow, bestnya. Azira pun nak jadi jurutera juga. Tapi jurutera perisianlah.”
            Dan sepanjang makan tengahari itu Azira dan Wafi yang paling rancak berbual. Aku dan Alia hanya menyampuk sekali sekala. Pelbagai perkara yang mereka bincangkan dari hal yang besar sehingga hal yang remeh-temeh, semuanya dibincangkan.
            Aku menangkap pandangan Alia yang tidak lepas memandangku. Aku mengangkat kening bertanyakan dalam diam, bukan apa takut pertanyaanku nanti menganggu perbualan Azira dan Wafi yang sentiasa rancak.
            Alia memandang Wafi seketika, kemudian dia memandangku semula dan mengelengkan kepalanya berkali-kali sambil mencebikkan bibirnya. Berkerut dahiku cuba memahami maksud yang tersirat disebalik tingkahnya itu. Aku benar-benar tidak faham.
            “Apanya?” Soalan yang aku ajukan pada Alia agak kuat membuatkan Wafi dan Azira memberhentikan perbualan mereka dan memandangku. Aku sudah serba salah, Alia pula terus menyedut airnya sambil memandang Amira. Matanya sudah tidak ditujukan padaku lagi. Jadi aku terkial-kial mencari kata seterusnya.
            “Er… semua dah habis makankan? Jom kita geraklah, along ada kerja lagi kat rumah ni.” Ayat selamat dariku sebelum disoal yang bukan-bukan oleh Wafi. Aku menarik nafas lega apabila Alia terus bangun dan mendapatkan Amira. Melihat aku juga telah bangun Azira yang kelihatan berat untuk meninggalkan KFC ini turut bangun.
            “Parking kereta kat mana?” tanya Wafi.
            “Parking depan.”
            “Okay, jom.” Wafi terus menolak troli yang penuh dengan baranganku yang aku baru mahu tolak. Dengan pantas aku menahan troli itu, sekaligus menghalang Wafi daripada terus bergerak.
            “Kau nak buat apa ni?” Tanganku masih memegang troli tersebut.
            “Bukan saya nak bawa lari barang-barang awak ni. Saya nak tolong hantarkan sampai kereta awak je.”
            “Eh, tak apa aku boleh buat sendiri.” Aku cuba menghalang.
            “Tak apalah bukannya saya nak minta upah pun.” Tanpa menghiraukanku Wafi terus sahaja menolak troli tersebut kehadapan.
            Alia, Azira dan Amira sudah meluru ke hadapan meninggal aku dan Wafi di belakang. Aku tahu ini semua rancangan Azira kerana dia yang beria-ia menarik tangan Alia dan Amira agar berjalan bersama-sama dengannya di hadapan.
            “Tengah hari esok kita lunch sama-sama.” Pelawa Wafi entah buat yang keberapa kali. Sudah tidak terhintung rasanya.
            Aku mengambil langkah mendiamkan diri. Berharap soalan itu akan berlalu begitu sahaja seperti selalu.
            “Tolong jangan cakap tak boleh. Saya dan jenuh dengar ayat tu keluar dari bibir awak untuk saya.” Wafi makin memperlahankan langkah kakinya apabila terlihat adik-adikk sudah bersandar di sisi keretaku.
            “Aku tak boleh janjilah Wafi.” Aku ambil langkah selamat. Kemudian aku melajukan langkah menuju ke kereta. Alat pengera segera aku tekan, membenarkan adik-adikku masuk terlebih dahulu ke dalam kereta. Kesian pula melihat mereka menunggu di luar.
            Sewaktu aku memasukkan barangan yang dibeli, Wafi turut membantu. Aku jadi tak selesa apabila dia membuka pintu kereta untukku setelah kerja-kerja memunggah barang selesai. Aku hanya melemparkan senyuman kecil padanya apabila aku sudah berada di dalam kereta. Aku cuba menarik pintu kereta untuk menutupnya tapi tangannya masih lagi memegang pintu itu skelaigus menghalang aku menutup pintu itu.
            “Wafi aku nak balik.”
            “Janji dulu yang awak akan keluar lunch dengan saya esok.”
            Aku sudah merengus kasar, namun Wafi masih lagi dengan wajah selambanya tersenyum padaku. Aku tahu, Wafi pasti tidak akan memberikan laluan selagi aku tidak bersetuju dengan permintaannya itu.
            “Yelah, yelah.” Akhirnya aku memberikan persetujuan. Tidak jujur, sekadar menempatkan janji.
            “Okay, bawa kereta elok-elok.” Wafi terus menutup pintu keretaku. Dia melambaikan tangan apabila aku sudah mula mengerakkan kereta.
            Aku menarik nafas lega. Kepala aku gelengkan. Sesak nafas apabila lelaki itu ada.  
            “Azira sukalah dengan abang Wafi tu, baik sangat.” Azira terus menyatakan pendapatnya saat keretaku sudah berada di jalan raya.
            “Amira suka Zul. Abang Zul lagi baik” Amira yang berada disebelahku cepat mencelah.
            “Ye, betul tu, akak setuju. Give me five.” Alia cepat-cepat menyokong Amira dan
 mereka sama-sama menepuk tangan.
            “Eleh, orang tak cakap pun yang abang Zul tu jahat. Orang cakap abang Wafi tu baik plus hensem lagi.” Azira tidak mahu mengalah. Dia tetap mahu mempertahankan pendapatnya.
            “Abang Zul pun hensem apa.” Balas Alia.
            “Sudah, sudah! Yang kau orang semua bergaduh pasal benda ni buat apa? Bukannya ada faedah pun.” Marahku, cuba untuk menenangkan suasana yang makin tegang di antara mereka. Aku tidak mahu mereka adik-beradik bergaduh hanya kerana dua kawan lelakiku itu.
            Amira sudah pura-pura tidur, Alia dan Azira pula sudah mendiamkan diri di belakang. Suasana kembali sunyi sepi. Aku menarik nafas lega. Rimas aku mendengar mereka bertegang urat tadi.

TERASA lambat pula lif ini untuk sampai ke bawahi. Aku masih setia menanti. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, wajah Wafi yang tersenyum panjang kelihatan. Aduh, kalau aku tahu aku akan terserempak dengan dia di depan lif ini, aku lebih rela menapak menaiki tangga ke tingkat atas. Aku bukan sengaja mahu mengelak, cuma aku berasa tidak selesa bila dia sentiasa memandang dan tersenyum padaku.
            “Kebetulan pula jumpa.” Dia terus menapak ke hadapanku, menghalangku dari menaiki lif.
            “Ha’ah, kebetulan pula.” Aku memandang ke belakangnya. Pintu lif sudah tertutup rapat. Maknanya aku perlu menunggu lagi untuk naik ke pejabat hari ini.
            “Lawa Su hari ni.”
            Entahkah ikhlas atau tidak kata-katanya itu, aku sendiri tidak tahu, tapi aku hanya tersenyum simpul. Tidak mahu memberikan apa-apa komen tentang pujiannya itu.
            “Jangan lupa tau, janji awak hari ni.”
            “Hah, janji apa?” aku sudah terkejut, bila masa pula aku ada berjanji dengannya sehingga dia menuntutnya hari ini? Sungguh aku tak ingat apa-apa.
            “Lupalah tu.” Wafi melirik matanya memandangku dan aku hanya mengelengkan kepala.
            “Semalamkan awak dah janji nak makan tengah hari dengan saya hari ni.” Dia mengingatkannya semula padaku.
            Alamak! Aku benar-benar terlupa tentang itu. Wafi ni tajam pula ingatannya, mengingati semua perkara ini. Tidah bolehkah dia berfikir perkara lain berbanding perkara remeh-temeh ini. Pantas kepalaku mencari idea untuk mengelak.
            “Aduh, sorrylah Wafi aku baru ingatlah. Aku ada meeting pukul dua petang nanti. So, tak bolehlah nak keluar lunch dengan kau, takut tak sempat balik pejabat.” Helahku. Entahkan dia percaya ataupun tidak. Helah biasa yang aku gunakan, aku sendiri tidak terkira entah berapa kali aku menggunakan helah ini padanya setiap kali dia mempelawaku. Otak aku ini sudah tidak dapat memikirkan helah yang lain. Helah ini sahaja yang aku rasakan relevan buat masa ini.
            “Alah, meeting pukul duakan? Rehat pukul satu. Ada sejam untuk kita makan. Tak payah makan kat tempat jauh-jauh kita makan kat restauran sebelah ni je. Okay.” Wafi terus membuat rancangan. Nampak sangat yang dia tidak mahu rancangannya hari ini tergendala sekali lagi.
            “Er… yelah, tapi aku…”
            “No, I don’t care. Kita jumpa tepat pukul satu kat lobi ni ek. Okay.” Kemudian di terus berlalu meninggalkanku.
            Aku berpaling memandangnya yang sengaja melajukan langkah meninggalkanku. “Wafi, aku tak bolehlah.” Jeritku padanya.
            “No, saya tak peduli.” Jerit Wafi juga sambil menutup kedua-dua belah telinganya dengan tangan. Dia terus meluru laju keluar dari wisma ini melepasi pintu kaca yang sudah terbuka dengan ketibaannya.
            Degil pula Wafi hari ini, selalunya dia akan mendengar dan menerima semua alasan yang aku berikan dengan mudah. Agaknya dia sudah dapat mengagak yang aku hanya memberikan pelbagai alasan padanya. Aku sudahnya duduk termenung sahaja di hadapan lif ini, menantikan lif yang tidak kunjung tiba.
            “Lambat masuk pejabat hari ini?”
            Aku menoleh memandang Zulhairi yang sudah bersandar di dinding lif sambil memeluk tubuh. Kepalanya dilentokkan juga di dinding lif sambil memandangku.
            “Apa pula lambatnya? Standardlah ni aku sampai waktu-waktu macam ni.” Aku memandang jam tanganku. Baru pukul 8.30 pagi. Dan sememangnya aku akan sampai pada waktu-waktu begini.
            Aku memandang Zulhairi semula apabila dia tidak membalas kata-kataku. Dia hanya tersenyum memandangku. Aku jadi semakin gusar, nasib baik tidak ramai orang di lobi lif ini, jika tidak pasti mereka semua berfikir yang bukan-bukan melihat dia memandangku sebegitu.
            “Cantik hari ni.”
            Sekali lagi aku menerima pujian. Tadi dari Wafi dan kini dari Zulhairi pula. Aku memandang baju kurung moden yang tersarung di badanku. Rasanya aku seperti biasa sahaja hari ini, tidak lebih dan tidak kurang. Sama sahaja seperti hari-hari biasa. Baju itu juga sudah biasa aku gunakan. Tapi kenapa kedua-dua mereka memuji aku sebegitu pula?
            “Ikhlas ke?” Sengaja aku menyoalnya begitu.
            Zulhairi tertawa kecil. Dia berdiri tegak dan memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam kocek seluar. “Jom lunch sama-sama hari ni. Teringin pula nak belanja kau makan.” Soalan aku tidak dijawabnya, kini dia mempelawaku pula untuk makan bersama-samanya.
            “Teringin nak belanja aku makan? Bukan kau memang selalu belanja aku makan ke?” Rasanya, sepanjang aku keluar bersama-sama dengannya hanya sekali dua sahaja yang aku mengeluarkan wang sakunya dan membelanjanya makan. Selalunya memang dia sahaja yang akan ke kaunter bayaran dan menjelaskan bil.
            “Hari ni aku ingat nak belanja kau kat tempat special sikit.” Tambahnya lagi.
            “Alah tak payah nak special sangatlah. Aku kalau kat kedai mamak tu pun aku dah bersyukur sangat-sangat.” Balasku. Aku memang bukan jenis yang memilih, lebih-lebih lagi tempat makan. Asalkan tempat itu menyediakan makanan yang halal dan bersih, aku akan masuk.
            “So, kira jadilah ni ye?” Soal Zul sambil aku dan dia melangkah masuk ke dalam lif yang sudah terbuka luas pintunya.
            Aku tersenyum, bersetuju dalam diam. Tapi ada sesuatu yang menerjah kepalaku saat ini. Macam mana dengan Wafi? Tidak baik pula jika aku membiarkan dia tertunggu-tunggu aku sebegitu. Lagipun aku terlebih dahulu sudah berjanji padanya. Malah sudah lama dia mengajakku makan bersama-sama dengannya. Kesian pula kalau aku menolak juga kali ini. Tidak mengapalah biarlah hari ini hari pertama dan terakhir aku keluar makan bersama Wafi.
            “Aku tunggu kau…”
            “Er… rasanya hari ni tak bolehlah Zul.” Pantas aku memotong sebelum Zulhairi meneruskan membuat perancangan.
            “Kenapa pula?” Zulhairi sudah berkerut keningnya memandangku. Nampak sangat yang dia tidak puas hati.
            “Aku dah janji dengan kawanlah hari ni. So, tak bolehlah aku nak keluar dengan kau.”
            “Kawan? Siapa? Sejak bila pula kau banyak kawan ni?”
            “Kawan sekerja aku dulu. Kau tak kenal.” Aku terpaksa berbohong. Bukan aku sengaja, jika aku memberitahunya yang aku akan keluar dengan Wafi hari ini pasti Zul akan fikir yang bukan-bukan, buatnya jadi bahan cerita. Ish.. tak nak aku!  
            “Erm… kalau macam tu tak apalah. Lain kali jelah.” Rendah sahaja nada yang Zulhairi alunkan tika ini. Matanya tidak lagi memandangku, dia hanya memandang nombor-nombor yang berkelip-kelip di dalam lif ini.
            Aku menarik nafas lega. Nasib baik dia tidak banyak soal hari ini. Jika tidak memang sukar untukku menyediakan jawapan yang boleh memuaskan hatinya.

WAFI mula mengambil tempat di hadapanku. Gembira benar dia kelihatan apabila aku menunaikan janjiku. Restauran ini agak lengang, padahal selalunya pada masa-masa begini memang restaurant ini agak sesak dengan pelanggan yang kebanyakannya pekerja-pekerja pejabat di sekitar kawasan ini.
            Telefon bimbitku berdering lagi. Dan pemanggilnya masih lagi orang yang sama iaitu Zulhairi. Sejak aku keluar dari pejabat tadi, Zulhairi asyik menghubungiku. Entah apa yang dimahukannya aku pun tak tahu. Namun aku masih lagi enggan menyahut panggilannya. Bukannya apa, aku punya sebab tertentu. Aku risau kalau-kalau dia ingin mengetahui di mana aku berada pada tika ini, dan yang paling aku khuatirkan ialah, dia muncul di sini. Oh tidak! Nahas jadinya. Mana tidaknya, aku sudah melakukan pembohongan dengannya. Mustahil hati boleh jadi senang dan tenang. Daripada menimbulkan syak wasangka dan amarah dalam dirinya, lebih baik aku tidak menjawab panggilannya. Tidak mengapa, balik sahaja ke pejabat nanti aku akan terus menghubunginya. Aku membuat janji.
            “Sebelum kita makan, saya nak tanya sikit boleh?” Wafi menyerahkan semula menu kepada pelayan yang berada di sisi meja sebelum mengarahkannya pergi terlebih dahulu.
            “Apa dia?”
            “Kenapa saya rasa awak layan saya lain sangat?” Soal Wafi.
            Aku hanya mampu memandang Wafi, tidak sangka dia akan bertanya sebegitu. Terasa sangatkah dirinya dengan layananku padanya sebelum ini. “Eh, mana ada aku rasa sama je.” Aku cuba mempertahankan diri, walaupun sudah jelas ketara jawapan yang sebenarnya.
            “Tak, tak sama. Cara awak layan saya tak sama dengan cara awak layan Zul. Dengan Zul awak okay je, dengan saya tak pula.” Luahnya lagi.
             “Kau kena faham… aku kenal dia dah lama, dari kecil lagi kita orang dah sama-sama. Dari sekolah rendah sampai universiti kita orang berdua. Apa-apa yang kita orang buat, kita orang buat sama-sama. Aku dah betul-betul kenal dia, macam tu juga dengan dia. So, kau tak boleh nak samakan kau dengan dia. Dia kawan baik aku!” Aku cuba untuk memahamkan Wafi. Kalau sudah dari kecil aku bersama-sama dengan Zulhairi, tidak mungkin kami tidak akan menjadi kawan baik.
            “Kawan baik aje?”
            Pelik sungguh soalan yang Wafi ajukan. “Yelah.”
            “Bukan kau orang tengah bercinta ke?”
            Aku sudah mengelengkan kepala. “Aku tak fahamlah, kenapa bila lelaki dengan perempuan berkawan, semua orang anggap itu cinta? Ingat lelaki dengan perempuan ni tak boleh berkawan aje ke?” aku bidas soalan yang betul-betul tidak aku senangi.  
            “Sebab cinta akan mudah berputik jika kita rapat dan mengenali seseorang itu sepenuhnya. So, dalam kes awak dengan Zul ni, saya rasa perasaan cinta tu mesti ada.” Wafi menyuarakan pendapatnya, pendapat yang langsung tidak boleh aku terima sama sekali.
            “Kau silaplah Wafi. Sampai bila-bilapun, dia tetap kawan aku. Kalau kita orang ni bercinta, dah lama dah kita orang kahwin. Aku sayangkan dia sebab dia kawan baik aku. Kawan yang sentiasa ada masa aku susah dan senang. Macam tu juga dengan dia. Kau memang takkan faham.” Aku terus mempertahankan pendapatku. Dan ini yang aku pegang selama aku berkawan dengan Zulhairi. Dia tetap kawan aku selamanya.
            “Boleh saya minta sesuatu?”
            Pelik sungguh aku dengan dia ini. Tadi mengeluarkan pendapat yang langsung tidak boleh aku terima, sekarang tiba-tiba nak buat permintaan pula. “Apa?”
            “Tolong jangan layan saya macam orang asing. Saya betul-betul nak jadi kawan awak. Kawan yang sentiasa ada bersama awak waktu awak susah dan senang. Macam Zul. Saya Ikhlas.” Pinta Wafi denga wajah yang penuh dengan pengharapan.
            Sudah kali kedua aku mendengar ayat begini dari Wafi. Rasanya dia betul-betul ikhlas mahu berkawan denganku. Namun aku sahaja yang selama ini susah sangat mahu menerima dia sebagai kawanku dengan ikhlas. Sebenarnya aku pun tidak tahu apa yang menyekat aku untuk menerimanya menjadi kawanku. Patutkan aku tolak untuk kali ini juga? Tidak mungkin, sampai bila aku harus menolak permintaannya yang kecil ini. Lagipun dapat aku rasa tulus hatinya membicarakan itu. jadi tidak salah jika aku menerima dia menjadi kawanku. Rasanya hari ini, aku patut bersedia menerimanya sebagai kawanku sepenuhnya.
            “Susah tau kalau jadi kawan aku. Nanti jangan meneysal pula!” Gurauku dalam masa yang sama bersetuju dengan permintaanya itu.
            Wafi sudah ketawa, mungkin faham dengan maksud kata-kataku itu. “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.” Dia berpantun pula denganku.
            Aku sudah ketawa sambil mengeleng-gelengkan kepala. Macam-macam perangai si Wafi ini. Telefon yang tidak berhenti berbunyi memaksa aku pantas mengeluarkan telefon bimbitku yang berada di dalam tas tanganku. Zulhairi masih lagi cuba menghubungiku. Hatiku sudah berasa tidak selesa. Tidak pernah dia sebegini sebelum ini. Mungkinkah Zulhairi dalam kesusahan dan memerlukan bantuanku?
            “Assalamualaikum.”
            Aku dan Wafi berpaling memandang wajah wanita yang memberi salam kepada kami. Aku menjawab salam dengan senyuman pada Madihah namun senyumanku mati apabila terlihat Zulhairi berada di sebelahnya yang sedang sibuk memandang telefon bimbitnya. Aku sudah menelan liur. Mataku terkebil-kebil seketika sebaik sahaja Zulhairi mengangkat wajahnya dan terpandang wajahku. Dengan pantas dia memadang Wafi dan aku silih berganti.
            “Boleh duduk?” Madihah meminta izin.
            Aku mengangguk tapi mataku masih memandang Zulhairi yang sudah mengambil tempat duduk di sebelah Wafi. Wajahnya kelat seperti tadi, matanya langsung tidak menyinggah lagi di wajahku, dan aku tahu dia pasti marah dengan diriku ini. Mana taknya, tadi aku kata aku ingin makan bersama kawan sekerjaku tapi yang berada di hadapanku adalah Wafi, orang yang dia kenal. Kalau aku jadi dia, aku pun marah kerana tidak berterus-terang. Walhal aku dengan dia bukan orang lain. Selalunya tiada rahsia antara kami. Tambahan pula aku langsung tidak mengangkat panggilannya sejak tadi, pasti dia terasa dengan sikapku.
            “Kita order makananlah.” Wafi mengangkat tangan memanggil pelayan yang berada berhampiran dengan meja kami.
Madihah memesan makanan untuk dirinya dan juga untuk Zulhairi sekali kerana Zulhairi langsung tidak mahu menyentuh menu yang tersedia di depannya, dia lebih selesa Madihah yang memilih untuknya. Wafi pula memesan makanan untuk dirinya dan aku sekali. Aku membiarkan sahaja dia memesankan makanan untukku. Aku benar-benar susah hati saat ini, apa yang perlu aku katakana pada Zulhairi atas pembohonganku.
Sepanjang menunggu pesanan tiba Zulhairi masih membisu, dia hanya menjawab soalan yang Madihah ajukan. Tangannya asyik dengan telefon bimibitnya sedari tadi. Sewaktu pesanan tiba aku sedikit terkejut memilih hidangan untuk Zulhairi dan Madihah adalah nasi seafood. Dan sebaik sahaja pelangan yang menghidangkan makanan untuk kami semua beredar Zulhairi cepat-cepat mengetuai bacaan doa makan, dia seolah-olah tidak sabar untuk menghabiskan hidangan yang dipesan Madihah untuknya itu.
“Wei, Zul kejap.” Aku menahan Zulhairi dari menyuap nasi ke dalam mulutnya. Bukan sahaja dia yang memberhentikan tindakannya, Wafi dan Madihah juga sama, berhenti sebelum sempat mahu menjamu suapan yang pertama. Pandangan dari mereka tidak aku hirau, yang penting sekarang Zulhairi, bukan orang lain.
“Kenapa?” Dengan muka yang tak puas hati Zulhaiti memandangku. Dan sejak dia mula duduk tadi, kali inilah baru kami bertentangan mata.
            “Kau mana boleh makan seafood. Nak-nak udang tu, kau allergic kan? So…”
            Belum sempat aku menghabiskan kata, Madihah pantas memotong kataku. “Abang Zul allergic dengan seafood ke?” Dia memandang aku dan Zulhairi silih berganti.
            “Ha’ah, nanti badan dengan muka semua tumbuh ruam. Mata pun merah sekali.” jawabku.
            “Sorry, Ihah tak tahu,” Pantas Madihah memohon maaf pada Zulhairi. Nampak sangat yang dia rasa bersalah kerana memesan makanan itu untuk Zulhairi.
             “Tak apa Ihah, bukannya ada orang kisah pun.” Tanpa menghiraukan aku yang masih memandangnya Zulhairi terus mahu menyuap nasi itu ke dalam mulutnya.
            “Kalau orang lain tak  kisah, aku tak peduli. Yang aku tahu, aku kisah! Bak sini nasi tu.” Aku terus merampas sudu yang dia gunakan. Pinggannya yang berisi nasi seafood itu aku angkat dan aku bawa ke hadapanku. Chicken Grill Rice yang Wafi pesankan untukku tadi aku letakkan di hadapannya pula.
            “Apasal pula ni?” Zulhairi memandang pelik nasi yang sudah berada di hadapannya.
            “Makan ajelah nasi tu. Jangan banyak cakap.” Aku sudah tidak menghiraukan mata Wafi yang tajam memandangku dan mata Madihah yang kelihatan terkejut dengan tindakanku.
Gila betul Zul ni. Kalau iyapun marahkan aku, tak payahlah nak boikot sampai macam tu!
Yang aku tahu aku tak mahu Zulhairi sakit. Kalau dia sakit bukan sahaja mak dia akan risaukan dia, malah aku pun sama, silap hari bulan dengan aku sekali tak boleh tidur kerana memikirkan tentang dia.

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum. Terima kasih masih ada utk mmbaca karya AH. Semoga anda semua dirahmati         ALLAH SWT. Insya'ALLAH next entry akan AH postkan nanti ya :)

6 comments:

Anonymous said...

Lalalalala.... Zulhairi dah pandai cemburu dgn Suraya + wafi. Kenapa suraya asyik reject wafi? Is there something wrong wz wafi?

Suraya pulak takder langsung feelings for zul ker?

Zalida said...

Kesian Suraya...terlalu memikirkan ttg amanat arwahnya sampai taknak bercinta ya??? Zul kan OK tu....

wanie said...

hai tak sabar nak tunggu cite selanjutnya....
mesti zul kembang hatinya bila suraya ambil berat pasal zul...
harap wafi gorat madiah ...

nur fakhariah said...

ambil berat betul su ngan zul..tu pun su masih kata hanya kawan heheh..x sabar tunggu selanjutnya

aneesanuraim said...

NAK SU NGAN ZUL..

ida said...

Thanks for the n3 Adah! Rasa mcm suspen pulak nak tunggu sambungan....Wafi jgn jealous ok, Su tu ckp aje takde feeling but actually dia dah jatuh cinta kat Zul tanpa dia sedar...To Zul,...teruskan utk pikat Su sbb skrg ni awak dah ada competitor tau!

Post a Comment